lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Azizulhasni Terima Insentif RM350,000 Daripada Kerajaan Negeri
Azizulhasni Terima Insentif RM350,000 Daripada Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang hari ini menerima insentif kemenangan daripada Kerajaan Terengganu atas sumbangannya memenangi pingat perak (keirin lelaki) di Sukan Olimpik 2020 Tokyo, baru-baru ini. Atlet kelahiran Dungun itu menerima hadiah berupa sebuah rumah bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai sebanyak RM50,000. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rumah  teres setingkat itu juga terletak hanya 300 meter dari Velodrom yang sedang dibina di Dungun. Jelasnya, insentif tersebut sebagai penghargaan kepada anak negeri Terengganu itu yang telah membawa pulang satu-satunya pingat perak buat negara dari temasya Olimpik kali ini. "Ini menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Terengganu dan menjadi inspirasi bahawa kita boleh sahaja mempunyai apa jua cita cita, namun yang pentingnya ialah dengan berusaha keras dan sokongan dari pelbagai pihak yang tidak henti-henti. "Kerajaan berharap Dato' Azizulhasni dapat terus meningkat pencapaian dalam kejohanan selepas ini. "Kita terus berdoa dan bercita-cita supaya kita boleh memperolehi pingat emas pertama buat Malaysia dalam tiga tahun lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan insentif tersebut di Kediaman Seri Iman, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Tambah Dr. Samsuri, kerajaan negeri juga akan terus menyokong atlet-atlet anak negeri dalam mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi. "Kepada mana-mana atlet anak negeri yang berjaya mengharumkan nama negara, kerajaan negeri tidak akan lokek dan akan terus membantu," katanya.
25 Aug 21
563
'Penyu Terdampar' Di Laman Sendiri
'Penyu Terdampar' Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 21 Ogos- Kedah Darul Aman FC berjaya membawa pulang tiga mata apabila menang 2-1 ke atas Terengganu Football Club (Terengganu FC) dalam aksi Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi. Beraksi di laman sendiri, tuan rumah bermula tangkas merencanakan serangan dalam misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri. Makan Konate mula mengancam kubu lawan dengan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-4, namun dihentikan Mohd Ifwat Akmal dengan baik. Pelawat bingkas bangkit, Rabih Ataya yang mendapat peluang pada minit ke-13 melakukan rembatan dari sisi kiri gawang, tetapi bola berjaya didakap kemas Mohd Suhaimi Husin. Peluang terbaik Terengganu FC hadir pada minit ke-24 apabila hantaran lintang Azam Azmi menemui Faiz Nasir yang tidak dikawal, namun rembatannya melambung tinggi melepasi palang. Dua minit kemudian, Faiz Nasir sekali lagi terlepas dari kawalan dalam kotak penalti, namun peluang 'one by one' hasil lorongan Faisal Halim itu gagal dijelmakan kepada gol. Sekalipun skuad kendalian Nafuzi bermain baik, tetapi ketumpulan jentera mereka akhirnya dihukum KDA FC. Pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, gerakan satu-dua Kpah Sherman dan Syazwan Zainon disudahkan dengan lorongan cantik kepada Rabih Ataya yang mudah merobek gawang tuan rumah. Helang Merah mendahului satu gol sehingga tamat masa pertama. Lima minit selepas babak kedua bermula, anak buah Aidil Shahrin Sahak sekali lagi mengejutkan Terengganu FC selepas gerakan cantik Tchetche Kipre dan Kpah disempurnakan dengan rembatan Syazwan Zainon untuk pelawat menjarakkan kedudukan dengan dua gol. Sang Penyu menggandakan asakan dengan Da Silva lebih banyak melakukan rembatan dari luar kotak penalti. Pada minit ke-70, Da Silva yang dijatuhkan Mohd Loqman Hakim di luar kotak penalti, menyempurnakan sepakan bebas menerjah gawang lantas memecah kebuntuan gol tuan rumah. Terengganu FC terus menyerang kubu KDA FC sehingga minit terakhir perlawanan, namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan. Terengganu FC kekal di kedudukan kedua liga dengan 37 mata.        
21 Aug 21
508
Spesifikasi Velodrom Azizulhasni Ditetapkan KBS Pada 2009
Spesifikasi Velodrom Azizulhasni Ditetapkan KBS Pada 2009
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Berikutan pendapat disuarakan Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Mazlan Md Jali berkenaan Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah tampil memberi penjelasan. Menurut Wan Sukairi, projek yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 2009 itu merupakan milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan Persekutuan ketika itu. "Ini projek yang telah ditetapkan lama dahulu jadi spesifikasi dan hal-hal berkaitan telah diputuskan pada peringkat KBS sebab mereka pemilik projek itu.  "Cuma, apabila kita mengambil alih pentadbiran negeri Terengganu pada 2018, kita berusaha supaya pembinaan velodrom ini dilaksanakan," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Tambahnya, beliau turut hadir ke tapak projek berkenaan pada November lalu dan mengakui kewujudan isu-isu yang dibangkitkan Mazlan. "Kita dimaklumkan, begitulah keadaannya kerana ia dibina dengan tujuan untuk latihan sukan berbasikal di Terengganu. "Tiada tempat penonton, bumbung dan laluan masuk ambulans serta atlet. "Kita juga minta dibuat satu pengubahsuaian supaya ambulans boleh masuk ke dalam sekiranya berlaku kemalangan dan buat pintu masuk di sebelah bawah. "Tetapi, ia melibatkan isu perubahan spesifikasi dan bajet, dalam bahasa mudahnya kita terpaksa terima sahaja apa yang telah dibuat itu dengan sedikit cadangan penambahbaikan daripada kita," katanya. Tambahnya, kerajaan negeri telah mengazetkan tanah seluas 4.5 hektar dan tapak velodrom itu hanya mengambil separuh dari keluasan tanah yang ada. "Maksudnya kita ada banyak ruang lagi yang boleh digunakan," katanya. Untuk rekod, projek bernilai RM11.8 juta itu juga pernah ditangguhkan berikutan bantahan penduduk setempat tentang pengambilalihan tanah pada tahun 2010.  
14 Aug 21
1113
Velodrom Azizulhasni Bukan Dibina Untuk Kejohanan Antarabangsa
Velodrom Azizulhasni Bukan Dibina Untuk Kejohanan Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Velodrom Azizulhasni Awang sememangnya tidak dibina untuk penganjuran kejohanan basikal bertaraf antarabangsa (UCI). Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, oleh itu tidak timbul sebarang isu berkaitan mengadakan kejohanan bertaraf UCI di sana. Menurutnya, ia sebaliknya berfungsi sebagai kemudahan latihan awal bagi atlet berbasikal yang baru. "Hasrat asal pembinaan veledrom ni bukan untuk penganjuran kejohanan, tetapi untuk melahirkan bakat baru sukan berbasikal trek memandangkan Negeri Terengganu memang kilang melahirkan atlet berbasikal berbakat.  "Memang diakui terdapat sedikit kecacatan pada reka bentuk veledrom tersebut dan saya serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ada membangkitkan isu berkaitan laluan masuk ambulan dan atlet dan lain-lain yang berpotensi menjadi masalah kelak. "Tetapi pihak kontraktor memaklumkan, perubahan bagi pembinaan laluan masuk ke dalam veledrom tidak boleh diubah kerana asasnya telah di bina dan ia akan merosakkan struktur veledrom," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Jelasnya, projek tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada tahun 2009 sebagai penghargaan atas jasa Dato' Azizulhasni Awang dalam sukan berbasikal. Namun ia tergendala dan berlarutan hingga beberapa tahun atas faktor tertentu. "MSNT pernah memohon supaya velodrom itu dibina di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak dengan spesifikasi ditetapkan UCI, tetapi tidak diluluskan. "Kami dimaklumkan, pembinaan velodrom bertaraf UCI sebagaimana di Johor memerlukan kos sebanyak RM30 juta hingga RM50 juta berbanding kos velodrom ini iaitu RM11 juta," katanya. Terbaharu, kerajaan menjangkakan velodrom di Dungun itu akan siap pada April 2022. Semalam, tular gambar velodrom terbabit dan pengulas sukan serta orang ramai mempertikaikan spesifikasi pembinaan projek itu yang dikatakan tidak memenuhi piawai penganjuran sukan berbasikal trek.
14 Aug 21
3163
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II merampas kedudukan teratas Liga Premier Malaysia 2021 setelah seri 0-0 dengan Perak FC II, malam ini. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menguasai bola dan melancarkan serangan berintensiti tinggi. Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah apabila Ghislain Guessan mempamerkan gelecekan menarik pada minit ke-21 melepasi pertahanan Terengganu FC untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin. Mujur Nasrulhaq pantas menepis kuisan penyerang kelahiran Perancis itu keluar. Sebagai respon, The Turtle bangkit menyerang. Rembatan Rahmat Makasuf dari luar kotak penalti ditampan pertahanan Perak FC II pada minit ke-31. Tujuh minit kemudian, Argzim Redzovic hampir memecah kebuntuan jaringan, namun tandukannya hasil sepakan bebas Amirul Syazwan ditepis penjaga gol, Ahmad Syazwan Syazany dan meniti di atas palang gol sebelum keluar. Pada minit-minit akhir separuh masa, skuad kendalian Syamsul Saad sekali lagi memiliki peluang terbaik selepas Khairul Syafiq bijak menggelecek pertahanan Terengganu FC II. Namun, rembatannya dinafikan kecemerlangan Nasrulhaq mengawal gawang. Bersambung babak kedua, Perak FC II lebih banyak menjana serangan sambil Terengganu FC II memberi tumpuan bertahan dan melancarkan serangan balas. Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-57 apabila pemain tengah Perak FC II, Royyizat Daud membentes Amirul Syazwan dalam usaha mengeluarkan bola dari kotak penalti. Pengadil perlawanan, Mohamad Izzat Izaini menghadiahkan penalti kepada Terengganu FC II pada minit ke-57. Sayangnya, Muhammad Izzan Syahmi mensia-siakan peluang tersebut setelah rembatannya ditepis Syazwan Syazany dan tertampan ke tangannya. Perlawanan terus berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan cuba mencari tiga mata. Bagaimanapun, keputusan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan. Terengganu FC II kini berkongsi 29 mata bersama pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC, namun mengungguli carta liga dengan kelebihan empat gol.  
11 Aug 21
923
'Saya Bangga Jadi Atlet Kelahiran Terengganu' - Azizulhasni
'Saya Bangga Jadi Atlet Kelahiran Terengganu' - Azizulhasni
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Wira olimpik negara, Dato' Azizulhasni Awang bersyukur dan berbangga kerana menjadi salah seorang atlet kelahiran negeri Terengganu. 'The Pocket Rocketman' itu dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, ini kerana kejayaannya meraih pingat perak di sukan olimpik Tokyo baru-baru ini banyak dibantu kerajaan negeri. Tanpa berselindung, Azizul mengakui keprihatinan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar banyak membantu perkembangan karier beliau. "Ucapan terima kasih  kepada seluruh warga kerajaan negeri Terengganu khususnya Menteri Besar yang sentiasa mengambil berat perihal berkenaan dengan saya dan amat cakna dengan karier lumba basikal saya dan begitu juga dengan atlet-atlet Negeri Terengganu yang lain.  "Terima kasih kerana turut membantu di dalam melincirkan persiapan saya ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini.  "Saya amatlah bersyukur dan berbangga menjadi salah seorang atlet kelahiran Negeri Terengganu. Ganu Hanelang," ujar Azizul. Menurut anak kelahiran Dungun itu,  kejayaan tersebut merupakan kejayaan terbesar dalam kariernya sebagai seorang atlet negara dan beliau percaya ia juga adalah sejarah baharu buat arena sukan negara. Justeru katanya, peranan Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) terutamanya Menteri Belia & Sukan Dato Seri Reezal Merican Naina Merican dalam membawa kejayaan itu sangat dihargai.  "Serta seluruh warga Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa memberikan sokongan penuh didalam perjalanan karier saya. "Tidak lupa juga kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria serta seluruh warga MOM dan juga Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang membantu melancarkan segala urusan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Azizul turut menghargai jasa penaja-penaja yang menghidupkan karier lumba basikal professional nya terutama penaja CIMB. "CIMB memberikan kepercayaan penuh akan kebolehan saya dan mereka komited memberikan sokongan bermula pada tahun 2017 sehingga sekarang.  "Begitu juga dengan penaja seterusnya iaitu Daikin dan AirAsia, mereka juga amat komited berdiri teguh di belakang saya. Tidak lupa juga penaja berikutnya iaitu Wattbike, Oakley dan juga OGK Kabuto yang sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun saya," tambah beliau.
10 Aug 21
855
Terengganu Umum Insentif Buat Azizulhasni Dalam Masa Terdekat
Terengganu Umum Insentif Buat Azizulhasni Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Kerajaan negeri akan mengumumkan ganjaran buat wira olimpik negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada 'The Pocket Rocketman' atas kejayaan memenangi pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. “Kerajaan negeri sudah bersetuju memberikan insentif selepas beliau meraih pingat perak yang turut dianggap pencapaian luar biasa. “Azizul merupakan model terbaik dengan pengorbanannya berjauhan daripada keluarga dan negara, jadi, ini antara usaha kita membalas sumbangan beliau,” katanya ketika dihubungi hari ini. Pada perlumbaan final di Veledrom Izu semalam, Azizul berada di tempat kedua di belakang pelumba Britain, Jason Kenny, manakala pingat gangsa dimenangi Harrie Lavreysen dari Belanda. Mengulas lanjut, kecemerlangan Azizul nyata mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Katanya, semua itu hadir apabila pelumba berusia 33 tahun itu kental dan mempunyai pengorbanan tinggi walaupun bapanya kini terlantar sakit di Kampung Nibong Stesen, Dungun. "Saya begitu teruja dan bangga dengan semangat melawan ditunjukkan beliau ketika melakukan kayuhan untuk memburu pingat. "Walaupun tidak dapat meraih pingat emas, tapi situasi semasa dengan bapanya terlantar sakit, beliau dapat meraih pingat perak yang begitu membanggakan. "Ini satu perjuangan begitu hebat daripada anak muda yang bertubuh kecil tapi bersemangat waja untuk mengharumkan nama negara di persada dunia. "Azizul dapat mengimbangi emosi dengan semangatnya untuk memburu kejayaan buat negara," jelasnya. Wan Sukairi mewakili kerajaan negeri turut mengucapkan tahniah Azizul. Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri memberi RM100,000 kepada Azizulhasni dan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad sebagai persediaan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.
09 Aug 21
636
Azizulhasni Raih Pingat Perak Olimpik Tokyo 2020
Azizulhasni Raih Pingat Perak Olimpik Tokyo 2020
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Jaguh berbasikal negara, Dato' Muhammad Azizulhasni Awang berjaya menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam temasya Olimpik 2020 di Tokyo, sebentar tadi. Dalam acara akhir keirin lelaki akhir yang berlangsung tadi, The Pocket Rocketman memulakan perlumbaan di posisi ke lima sebelum memintas juara dunia 2019 dari Belanda Harrie Lavreysen untuk tempat kedua. Hasrat jaguh kelahiran Dungun itu untuk meraih pingat emas terhalang oleh taktiK pemenang pingat emas di Rio 2016 yang berasal dari Great Britain, Jason Kenny yang terus memecut menggunakan teknik 'senko' dari 750 meter terakhir meninggalkan pesaing lain untuk memenangi perlumbaan tersebut. Azizul ketika ditemui media selepas perlumbaan berkata, beliau sedikit kecewa gagal meraih emas buat Malaysia. "Saya tahu harapan kepada saya untuk meraih emas cukup besar dari rakyat Malaysia. "Saya tinggalkan keluarga untuk meraih yang terbaik untuk anda semua, saya harap saya kecewakan semua. "Saya minta maaf," jelasnya.
08 Aug 21
945
Tok Gajah 'Lemas' Di Terengganu
Tok Gajah 'Lemas' Di Terengganu
KUALA NERUS, 7 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terus mengutip tiga mata selepas menang 2-0 keatas Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super 2021, malam ini. Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, pasukan pelawat tampak garang apabila menguasai bola dan melakukan serangan ke kubu tuan rumah seawal permainan. Bagaimanapun, David Da Silva yang kembali mendapat sentuhan gol ketika bertemu PJ City FC, baru-baru ini berjaya membolosi gawang skuad kendalian Dollah Salleh itu pada minit ke-11 untuk Terengganu FC berada di depan dengan satu gol. Bermula dengan kombinasi gerakan bersama Makan Konate, Faiz Nasir berjaya melorongkan bola ke Da Silva dan penyerang kelahiran Brazil itu bijak menggelecek Fazly Mazlan sebelum mudah meletakkan bola ke dalam gawang kendalian Zarif Irfan. Sri Pahang hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-14. Namun, tandukan penyerangnya, Kenny Athiu tepat ke tiang gol dan terbias ke Aung Kaung Mann sebelum singgah lagi ke tiang gol untuk menghampakan penyokong Tok Gajah. Dua minit kemudian, Da Silva digantikan dengan Hakimi Abdullah dan meletakkan Faisal Halim sebagai penyerang Sang Penyu. Keputusan itu membuahkan hasil apabila penyerang cilik itu meledak gol kedua pada minit ke-23 melalui tandukan hasil hantaran lintang Faiz Nasir. Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, anak buah Nafuzi Zain mempamerkan penguasaan bola menarik untuk mengekalkan kedudukan semasa. Pada minit ke-50, Dechi Marcel melakukan rembatan dari luar kotak penalti, namun tersasar melepasi palang. Kesilapan pertahanan Pahang pada minit ke-59 sekali lagi mengundang padah apabila bola yang cuba dikeluarkan Muslim Ahmad ditanduk Faisal membolehkan Konate melakukan 'half volley' yang hampir menerjah jaring. Pelawat terus buntu menghasilkan gol bagi menyamakan kedudukan sekalipun Sang Penyu mengendurkan asakan pada 10 minit terakhir perlawanan. Keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan.  Terengganu FC kini terus kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata.  
07 Aug 21
755
Jordan Angkat Terengganu FC II Ke Persada Liga
Jordan Angkat Terengganu FC II Ke Persada Liga
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Jordan Mintah mencatatkan jaringan ke-14 peribadinya untuk membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) II terus mengekalkan rentak kemenangan dalam Liga Premier Malaysia 2021. Melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), skuad kendalian Badrul Afzan Razali menang 1-0 untuk menduduki takhta liga buat kali pertama musim ini. Tuan rumah bermula baik seawal minit pertama dengan penyerang kelahiran Ghana itu melakukan rembatan deras pada minit ke-7 yang ditepis penjaga gol lawan, Sharbinee Allawee. Selang 10 minit kemudian, pemain muda, Muhammad Izman Solehin melakukan sungkitan cantik melepaskan Jordan berhadapan dengan Sharbinee dan memaksa penjaga gol itu melakukan bentesan. Terengganu FC II dihadiahkan penalti yang mudah disempurnakan Jordan pada minit ke-19. Ketinggalan satu gol, Sarawak United bangkit menggandakan asakan. Pada minit ke-25, Taylor Regan menanduk sepakan bebas, Lee Changhoon namun tandukannya tersasar. Christie Jayaseelan pula hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 apabila menyambut baik hantaran lintang Asri ChuChu, tetapi sepakannya hanya singgah ke sisi gol. The Turtle pula lebih banyak menerapkan serangan balas bagi mengimbangi perlawanan. Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Sarawak United jelas menguasai permainan dengan lebih banyak serangan ke kubu tuan rumah. Terengganu FC II pula lebih banyak bertahan bagi mengekalkan kelebihan satu gol dibantu aksi cemerlang Argzim Redzovic. Pada minit ke-70, Jordan yang mendapat lorongan di hadapan gol cuba menjarakkan jurang, bagaimanapun pertembungannya dengan Sharbinee membuatkan penyerang itu terpaksa diusung keluar. Pelawat terus menggasak tetapi kubu Terengganu FC II kekal kebal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan tersebut meletakkan Terengganu FC II di tangga teratas dengan 28 mata.  
03 Aug 21
923