lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
KUALA NERUS, 16 Julai- Sebagai sokongan kepada ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dan jaguh berbasikal Paralimpik, Zulkhairie Tarmizi yang layak ke temasya sukan Olimpik di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada kedua-dua atlet kelahiran Terengganu itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyampaikan insentif tunai berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya itu. "Sebelum ini, kerajaan negeri telah anugerahkan kepada Azizulhasni Awang dan Khairul Anuar Mohamad, iaitu sebanyak RM100,000 setiap seorang di atas kelayakan secara merit mereka ke Olimpik. "Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menyampaikan juga insentif kepada Azreen dan Zulkhairie. "Walaupun tak sebanyak yang diterima dua atlet elit kita, insentif ini dizahirkan sebagai sokongan padu kepada atlet-atlet Terengganu yang layak ke sana dan bakal mengharumkan nama negara di sana," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Negeri kepada keempat-empat atlet tersebut secara maya di platform Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini. Tambahnya, besar harapan dan doa seluruh rakyat Terengganu agar keempat wira kelahiran negeri itu dapat membawa amanah dan harapan dengan keputusan yang cemerlang di sukan Olimpik nanti. "Tiada apa yang mustahil untuk dicapai. Walaupun Azreen contohnya, mungkin pergi atas tiket wild card. "Tetapi, tidak mustahil beliau dapat meraih kejayaan dengan kehendak Allah SWT," katanya.  
17 Jul 21
493
Terengganu Tambah 100 Peratus Elaun Atlet SUKMA
Terengganu Tambah 100 Peratus Elaun Atlet SUKMA
KUALA NERUS, 15 Julai - Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bersetuju untuk menaikkan elaun atlet prospek emas bagi Sukan Malaysia (SUKMA) yang berumur 22 dan 23 tahun, pada tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, keputusan itu sebagai tambahan persediaan menghadapi yang berlangsung di Johor nanti. "Kita akan beri elaun sebanyak RM1,200 sehingga maksimum RM1,500 berbanding RM650 yang diberikan pada masa ini. "Imbuhan ini diberikan kepada 34 orang penerima melibatkan peruntukan hampir 300,000 bagi tempoh selama 15 bulan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Bakul Prihatin MSNT di pejabat badan sukan itu, hari ini. Jelasnya, imbuhan tersebut diberikan bagi membantu atlet lebih umur berikutan penundaan SUKMA akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Tambah Wan Sukairi, sepanjang menjalani PKP 3.0 yang ditetapkan, MSNT tidak pernah mengabaikan kebajikan para atlet dan jurulatih. "Justeru, elaun yang telah ditetapkan diteruskan dan dibayar seperti biasa. Ini komitmen padu kita kepada jurulatih dan atlet yang bersedia untuk membawa nama negeri kita pada temasya sukan nanti. "Saya berharap, para atlet dan semua yang terlibat menjaga kesihatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan teruskan tekad bagi mengekalkan penguasaan Terengganu dalam SUKMA," katanya.    
15 Jul 21
632
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Terengganu antara kuasa besar sukan dalam negara telah diberi kepercayaan berkongsi idea dalam merangka Visi Sukan Negara (VSN) 2030 bagi menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apa yang dibincangkan juga adalah selari dengan perancangan jangka panjang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun bermula 2010. Katanya, sesi libat urus ptersebut berlangsung selama empat jam secara dalam talian dan turut disertai pemegang taruh serta penggiat industri sukan negara. “Enam bidang utama dibincangkan antaranya iaitu pembudayaan sukan, kegemilangan sukan, pembangunan bakat, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan profesionalisme sukan. “Pelan ini sentiasa dikemas kini setiap 10 tahun dan kini memasuki edisi kedua yang menjadi penanda aras program kecemerlangan industry ini melalui pencapaian atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. "Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas jemputan dan kami optimis dalam usaha dan hasrat VSN 2030 itu berada pada landasan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Mohd Izwandy Ismail berkata, penglibatan dalam VSN bukan sahaja mengiktiraf Terengganu sebagai jaguh malah penggiat sukan berpengalaman di negeri ini. “Kita yakin bahawa melalui gabungan idea dan pendapat di semua peringkat akar umbi, VSN ini akan dapat dirangka dengan sebaik mungkin dalam memastikan ianya berbentuk lebih komprehensif dan kolektif pada masa akan datang. "Malah kita yakin dan percaya dengan nilai pengalaman yang cukup tersendiri selain sudah tiba masanya pengalaman ini akan didokumentasikan melalui pembentukan visi ke arah pembangunan sukan yang lebih mapan pada masa akan datang,” jelasnya. Untuk pengetahuan, VSN 2030 adalah inisiatif baharu yang dilancarkan KBS pada April lalu bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh sukan seluruh negara dalam perancangan pembangunan sukan negara lebih bersepadu bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
14 Jul 21
240
Terengganu FC Perkemas Rentak Empat Aksi Persahabatan
Terengganu FC Perkemas Rentak Empat Aksi Persahabatan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Kemampuan pemain Terengganu FC (TFC) akan diuji menerusi empat perlawanan pemanas badan sebelum mengharungi Liga Super yang bakal bersambung 24 Julai ini. Pengurusnya, Zul Fadli Rozi berkata, perlawanan persahabatan pertama antara TFC dan Pulau Pinang FC telah berlangsung malam kelmarin, manakala perlawanan kedua dan ketiga menentang pasukan PDRM FC dijadualkan pada 14 dan 15 Julai, disusuli Kelantan United pada 18 Julai. “Untuk perlawanan persahabatan kita akan libatkan semua pemain, bukan tertumpu pada 'first eleven' sahaja. “Sebabnya kita mahu pastikan semua pemain dalam skuad TFC bersedia sepenuhnya, memandangkan jadual perlawanan liga yang padat bulan depan,” katanya kepada pemberita, semalam. Tambah Zul Fadli, skuad Penyu sudah siap sepenuhnya menghadapi baki sembilan perlawanan, dengan pertemuan pertama melibatkan pasukan Perak pada 24 Julai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus. -- SINAR HARIAN
13 Jul 21
363
Jangan Kecewa Terengganu FC!
Jangan Kecewa Terengganu FC!
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Pemain-pemain Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak perlu kecewa dengan pembatalan Piala AFC zon Asean yang diumumkan semalam. Bekas pemain bola sepak Terengganu dan kebangsaan, Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai-o menyifatkan, keputusan itu perlu diambil secara positif. "Saya rasa motivasi pemain tengah tinggi walaupun Piala AFC dibatalkan kerana mereka bersaing rapat dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekarang. "Peluang Terengganu FC masih terbuka. Ini perlu jadi motivasi pemain untuk membawa pasukan mendominasi Liga Super Malaysia tahun ini dengan baki saingan yang ada," katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam. Jelasnya, Terengganu FC merupakan antara pasukan yang bagus dalam persediaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berbanding pasukan-pasukan yang bertapak di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). "Saya akui, sememangnya bermain di AFC peluang yang terbaik untuk pasukan. Dalam saingan ini, kita tidak perlu letakkan target yang tinggi dahulu, paling penting terpilih melayakkan diri di AFC menjadi satu bonus kerana kita bertemu pasukan besar lain sekaligus berpeluang meningkatkan pengalaman untuk pemain lebih cemerlang di liga," katanya. Hairuddin yang memulakan kariernya bersama Terengganu pada 1999 kini bergelar usahawan produk makanan. Terbaru, Hai-o mengeluarkan produk Sambal Bilis Petai melalui jenama Duo Botak dan sebanyak 80,000 ribu botol telah berjaya dijual sejak dilancarkan April lalu.      
08 Jul 21
837
Harrif Salleh Kongsi Duit Menang Lumba Basikal Dengan Masyarakat
Harrif Salleh Kongsi Duit Menang Lumba Basikal Dengan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Jaguh pecut negara dan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh, menunaikan hasratnya berkongsi hadiah dimenanginya bersama orang ramai dengan cara tersendiri. Atlet terkenal Terengganu itu memasak gulai ayam kampung bersama keluarganya untuk disedekahkan kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai bapa mentuanya di Jalan Panji Alam, hari ini. Menurutnya, sejumlah RM2,000 hadiah yang dimenangi ketika muncul pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan di Eropah pada Februari dibelanjakan bagi menyediakan juadah itu. "Sudah menjadi kebiasaan sebelum berlumba, saya memasang niat untuk bantu orang ramai sekadar termampu jika saya berjaya menduduki kedudukan podium atau lebih baik, muncul juara. "Sebelum ini saya berkunjung rumah ke rumah memberi sumbangan berbentuk keperluan asas, tapi kali ini dengan wabak pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu selain pelanggan tidak boleh makan di kedai, saya memilih untuk memasak sendiri gulai ayam kampung sambil dibantu keluarga," katanya. Pelumba berusia 33 tahun yang lebih mesra dipanggil Mamat berkata, dia mengagihkan sebanyak 160 pek gulai ayam kampung sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini. Februari lalu, Harrif mencipta sejarah mengungguli Grand Prix (GP) Manavgat di Turki sekali gus menjadi pelumba tempatan pertama memenangi perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di benua Eropah. "Pencapaian di Turki adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam karier saya, lebih-lebih lagi kali pertama berlumba di Eropah terus membawa pulang kejayaan selepas tidak berkayuh selama setahun berikutan wabak COVID-19. "Sekarang saya menumpukan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Thailand nanti selain jika dipanggil mewakili negara pada temasya Sukan SEA di Vietnam hujung tahun ini," katanya.  
03 Jul 21
1459
Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin
Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 85 atlet para Terengganu menerima dos pertama vaksin, bermula Khamis lalu dalam persiapan ke temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) yang telah dianjakkan pada 2022 nanti. Pegawai Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Fikri Mahmud memaklumkan, kerjasama antara pihak JBSN Terengganu bersama kerajaan negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membantu mempercepatkan kadar penerimaan vaksin bagi Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini menyasarkan masyarakat golongan kurang upaya(OKU).  "Terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu khususnya kerana telah memberi kerjasama yang begitu baik dengan memberi peluang atlet-atlet para negeri Terengganu menerima vaksinasi pada kadar segera. "Hari ini, mereka semua ini nampak begitu gembira setelah divaksin. Saya begitu terharu kerana apabila atlet-atlet kita telah di vaksin, keyakinan diri mereka untuk menjalani latihan bagi menghadapi Para SUKMA di Johor nanti semakin tinggi," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Terengganu Trade Centre (TTC), baru-baru ini. Jelasnya, rata-rata para atlet yang berkelainan upaya khususnya mempunyai masalah komunikasi dalam pendaftaran program vaksin dan usaha ini memebolehkan mereka juga tidak terkecuali meneruskan kehidupan bersama komuniti setempat sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah. Atlet memanah wheelchair, Nurhaslina Suria Mohamed, 38, selesai mendapatkan dos pertama vaksin. "Setakat ini, semua atlet para memang tidak mengadakan latihan berpusat, cuma masing-masing membuat latihan ringan di rumah berpandukan kepada jurulatih masing-masing. "Kita masih lagi menunggu keputusan dari Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada Para SUKMA di Johor itu akan diteruskan atau tidak. Sekiranya ada tarikh ditetapkan, insya-Allah kita akan mulakan latihan kepada atlet," katanya. Tambahnya, sesi latihan pasca pandemik tidak menjadi masalah berikutan kebanyakan acara yang adatidak melibatkan sentuhan langsung dan lebih kepada individu seperti memanah, bocia dan sebagainya. "Jadi saya rasa tiada masalah dari segi untuk kita laksanakan latihan," katanya. Atlet boling padang para Terengganu, Fadhlullah Mazdan, 28 mendapatkan suntikan dos pertama di PPV TTC.    
03 Jul 21
484
Ratu Pecut Terengganu 'Berlari' Ke Olimpik 2020
Ratu Pecut Terengganu 'Berlari' Ke Olimpik 2020
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Olaragawati SUKMA 2018, Azreen Nabila Alias yang beraksi dalam acara 100m terpilih sebagai calon tiket wild card ke temasya Olimpik Tokyo 2020. Ratu pecut kelahiran Terengganu itu dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menerima wild card yang akan diumumkan Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada, 30 Jun ini. Tiket wildcard sah akan diberi kepada Malaysia jika atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei layak secara merit ke termasya sukan terbesar dunia di Tokyo itu. Azreen Nabila merupakan pemegang rekod 100M SUKMA dengan catatan masa 11.81s dan meraih tiga emas dalam kejohanan berkenaan pada 2018. Kehadirannya ke Tokyo akan menyertai dua lagi atlet kelahiran Terengganu iaitu Khairul Anuar Mohamad (pemanah negara) dan Azizulhasni (berbasikal) ke sukan tersebut.  
26 Jun 21
1934
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Elaun atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tetap dibayar seperti biasa meskipun acara dwi-tahunan yang sepatutnya berlangsung pada 2021 itu dibatalkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan kepada altet sukan negeri ini. Katanya, elaun bulanan berfasa kepada para atlet SUKMA diteruskan dengan perubahan minima akibat pertukaran tarikh baharu acara itu ke tahun hadapan. “Fasa pertama melibatkan pembayaran elaun kepada penggiat sukan sebanyak RM130 sebulan, jumlah bagi fasa kedua juga sama manakala bagi seterusnya kita akan bayar sebanyak RM390 sebulan. “Sehingga sekarang kita masih meneruskan bayaran elaun seperti biasa kepada warga sukan, jurulatih dan selebihnya yang terlibat. Namun kini kita kembali kepada fasa pertama dan akan mulakan fasa ketiga jika menghampiri tarikh pertandingan. “Selain itu, Skim Penggiat Sukan sebanyak RM650 sebulan kepada atlet Terengganu berusia 18 tahun ke atas turut diwujudkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Tambah Wan Sukairi, Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga telah meluluskan Skim Khas Sukma 2022. “Seperti sedia maklum, had umur atlet bagi SUKMA adalah tidak lebih daripada 21 tahun kebawah, namun begitu dengan berlaku tundaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut. “Peserta boleh berdaftar dalam acara yang akan diadakan di Johor Darul Takzim itu walaupun berumur dengan maksimum sehingga 23 tahun dan layak menerima skim tersebut. “Jumlah elaun tersebut bergantung kepada pencapaian dan syarat ditetapkan, contohnya jumlah diberikan adalah RM650, namun jika dinilai, mereka layak menerima RM1,000,” katanya lagi. Jelasnya, insentif kebajikan khas tersebut berperanan sebagai penyunting semangat dan persediaan dalam menghadapi acara sukan tahunan kebangsaan tersebut.
19 Jun 21
539
Terengganu FC- ESMT Tubuhkan Pasukan Bola Sepak Virtual Pertama Negara
Terengganu FC- ESMT Tubuhkan Pasukan Bola Sepak Virtual Pertama Negara
KUALA TERENGGANU, 3 Jun- Terengganu Football Club ( Terengganu FC) mengorak langkah menceburi bidang sukan elektronik (e-sukan) menubuhkan pasukan bola sepak virtual Terengganu FC. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi pasukan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, usaha melalui kerjasama strategik Esports Malaysia Terengganu (ESMT) menjadikan pasukan itu sebagai kelab bolasepak professional Malaysia yang pertama yang mempunyai pasukan bola sepak virtual. "Kerjasama strategik bersama pihak ESMT ini juga bakal membantu pengurusan TFC membentuk pengurusan operasi pasukan dan semua yang berkaitan sukan ini. "Pemain yang bakal menyertai pasukan Terengganu FC bakal menyertai kejohanan permainan FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES) khususnya di peringkat kebangsaan", katanya. Menurutnya, bidang e-Sukan juga dirancang mampu membawa nama Terengganu FC ke peringkat antarabangsa bagi jangka masA panjang. Selain itu, kerjasama dalam penganjuran kejohanan juga turut menjadi cabang kerjasama diantara kedua-dua belah pihak untuk terus memperkembangkan penyertaan Terengganu FC dalam arena e-Sukan. "Melihatkan pasaran besar penggiat dan peminat e-Sukan di Malaysia, ia menjadi sasaran yang relevan untuk memasarkan jenama TFC ke peringkat global. "D isamping itu juga, penubuhan pasukan di landasan e-Sukan ini juga memastikan bidang sukan elektronik berkembang dan terus bertapak di Malaysia seiring dengan perkembangan di peringkat global," katanya. Bagi Presiden ESMT, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani, ini merupakan kerjasama yang sangat positif dan apa yang lebih menarik, pertama kali dijayakan di Malaysia yang melibatkan pasukan bola sepak utama negeri. "Melalui kerjasama ini ESMT akan berupaya menjadi sebuah organisasi sukan yang mampu menyediakan landasan terbaik untuk melahirkan atlet pelapis serta juara sukan elektronik terutama dari negeri Terengganu pada masa akan datang sekali gus mampu mengharumkan nama Terengganu di peringkat yang lebih tertinggi", katanya.    
03 Jun 21
421