Artikel "Sukan" Terkini
Kejohanan PUBGM 2021 Galak Perkembangan E-Sports Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Kerajaan negeri komited memberi sokongan dan ruang kepada anak muda dalam perkembangan Sukan elektronik (e-sports) melalui penganjuran permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile dalam Program Karnival Esports Belia Terengganu 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran kali kedua sukan tersebut merupakan medium bagi mencungkil bakat anak muda di setiap daerah dalam arena e-sukan.
“Program anjuran Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Department of culture and sport-Esport (DACSes) serta E-sport Malaysia Terengganu (ESM) berjaya menolak persepsi negatif terhadap bidang tersebut dengan diselitkan syarat-syarat dan garis panduan tertentu kepada peserta.
“Agama islam tidak menghalang apa-apa minat termasuk dalam sukan e-sport dengan memberi panduan terbaik untuk melakukan sebarang pekerjaan begitu juga apabila berhadapan dengan permainan e-sport ini.
“Kerajaan negeri mahu melihat anak muda di Terengganu berjaya menempa nama dalam apa-apa yang diceburi dengan jayanya,” katanya semasa siaran langsung pelancaran di Facebook UBSNT, semalam.
Menurutnya, penganjuran kali kedua tersebut menampilkan seramai 512 pasukan daripada seluruh negeri dengan 64 skuad setiap lapan daerah berentap dalam kejohanan secara atas talian tersebut.
“Antara hadiah bakal direbut pada Peringkat Daerah sehingga RM1,500 bagi Juara, Naib Juara sebanyak RM800 manakala tempat Ketiga RM500 dan Tempat Ke-4 RM250,” katanya lagi.
Menurut kenyataan penganjur, kejohanan bermula 24 September lalu sehingga 16 Oktober depan akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada peringkat daerah.
“Pasukan empat Teratas setiap daerah akan ke peringkat seterusnya, yang akan mengumpulkan 32 pasukan terbaik Pejuang PUGBm Terengganu di Peringkat Grandfinal Offline,” jelasnya.
26 Sep 21
455
Aktiviti Pendakian, Sukan Lasak Di Terengganu Dibenar Bermula Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 22 September - Aktiviti mendaki bukit atau gunung serta sukan rekreasi lasak seperti 'motocross', ATV dan 'mountain bike' dalam hutan simpanan kekal di Terengganu hanya dibenarkan secara harian mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 24 September ini.
Jabatan Perhutanan Terengganu menerusi kenyataan rasminya berkata, jumlah peserta yang dibenarkan dalam aktiviti pendakian tidak melebihi tujuh orang dalam satu kumpulan pendaki serta disyaratkan mengguna perkhidmatan malim gunung berkelayakan atau berdaftar dengan pihak jabatan.
"Jumlah pendaki dihadkan kepada 50 orang sehari tidak termasuk malim gunung bagi setiap laluan pendakian.
"Permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal bagi tujuan pendakian gunung di negeri Terengganu disyaratkan dua minggu sebelum tarikh pendakian," jelas kenyataan tersebut pada Selasa.
Bagi kegiatan aktiviti sukan lasak pula, katanya, penggiat yang melaksanakan aktiviti rekreasi lasak dalam hutan simpanan kekal juga perlu memohon permit memasuki hutan simpanan kekal daripada Pejabat Hutan Daerah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh aktiviti.
"Had daya tampung bagi aktiviti lasak ini akan ditentukan berdasarkan kepada permohonan dengan mengambil kira kawasan hutan simpanan kekal yang akan dilaksanakan aktiviti tersebut," katanya.
Jelas kenyataan itu, kelonggaran dalam aktiviti sosial, kecergasan dan rekreasi selaras dengan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 17 September lalu.
Namun, katanya, orang awam yang ingin menjalankan aktiviti dalam Hutan Simpanan Kekal perlu lengkap menerima dua dos vaksinasi Covid-19 dan tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.
22 Sep 21
705
Terengganu FC II Tempat Ketiga Liga Premier 2021
KUALA TERENGGANU, 21 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC II) terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga Liga Premier 2021 apabila tewas 0-1 kepada Kelantan United FC (KUFC) dalam aksi terakhir liga, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dengan KUFC sebagai tuan rumah, Terengganu FC II mendominasi permainan dengan serangan seawal minit keenam, namun rembatan Jordan Mintah ditepis Muhammad Fikri Che Soh untuk sepakan sudut buat pelawat.
Tuan rumah pula lebih banyak bertahan sambil melakukan serangan balas ke kubu lawan.
Pada minit ke-19, Kelantan United memperolehi peluang terbaik apabila sepakan sudut Muhammad Amirul Syafik Che Soh gagal dikeluarkan penjaga gol Terengganu FC II, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Situasi kelam-kabut di depan gol dimanfaatkan Mohamad Hakim Ismail yang mudah menolak masuk bola untuk skuad Kijang Hijau di depan dengan kelebihan satu gol.
Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC II menggandakan asakan ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-50, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar ditepis penjaga gol.
Seminit kemudian, sepakan sudut Muhammad Zuasyraf berjaya menemui Masaki Watanabe, tetapi tandukannya tepat ke dakapan Muhammad Fikri Che Soh.
Muhammad Syafik Ismail yang masuk pada babak kedua melakukan rembatan dari luar kotak pada minit ke-52, sayangnya hanya sedikit tersasar melepasi palang gol.
Jordan Mintah yang memburu kasut emas cuba mendapatkan gol penyamaan, namun rembatannya pada minit ke-57 dan 67 ditepis penjaga gol.
Penguasaan bola jelas dikuasai The Turtle, bagaimanapun siri-siri serangan Terengganu FC II terus gagal merobek gawang KUFC sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC II kekal dengan 35 mata di tempat ketiga, dibelakang Sarawak United (kedua) dan Negeri Sembilan yang muncul juara Liga Premier Malaysia 2021 selepas menewaskan PDRM, malam ini.
21 Sep 21
428
Bukit Tok Salai Sungai Nerus, Destinasi Terbaharu Penggemar 'Hiking'
KUALA NERUS, 20 September - Bukit Tok Salai Sungai Nerus (BTSSN) kini menarik perhatian pengunjung tempatan sebagai destinasi baharu bagi penggemar aktiviti mendaki bukit di Negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, lokasi tersebut mempunyai masa depan cerah sebagai tarikan rekreasi secara tidak langsung memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Kampung Kesom Che Nordin ini kawasan sekitarnya.
“Bukit berketinggian 160 meter dari paras laut itu bakal menjadi terkenal bagi penggemar aktiviti ‘hiking’ dan mereka yang baru menyahut cabaran pendakian.
“Ini terbukti dengan kehadiran mencecah ribuan pengunjung dalam satu-satu masa walaupun baru sahaja dibuka orang awam sejak pertengahan tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Merdeka Photo Contest Bukit Tok Salai di kaki Bukit Tok Salai, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pendakian ke puncak bukit mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit sahaja, sesuai didaki oleh semua lapisan masyarakat.
“Bila sudah terkenal, sudah tentu diikuti dengan pembangunan dari segi infrastruktur dan prasarana bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung, saya percaya akan terus bertambah dan bertambah akan datang.
“Aktiviti jual beli akan menjadi lebih rancak kerana keperluan makanan, minuman dan cenderahati, membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga," jelasnya.
Tambah Ridzuan, beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pencapaian dan kerjasama dikalangan warga komuniti yang bersemangat tinggi menggembleng tenaga bagi memajukan projek tersebut.
“Syabas dan tahniah kepada Kampung Kesom Che Nordin khususnya peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat dalam memajukan kawasan ini,” katanya lagi.
20 Sep 21
2990
Faris Haikal, Imran Eirfan Rebut Kejuaraan Di Holland Hari Ini
KUALA NERUS, 9 September - Dua atlet Terengganu, Faris Haikal Hassan Sa’ari, 21, dan Annur Muhammad Imran Eirfan Anuwar, 19, antara lima anggota pasukan kebanggaan negara yang berentap hari ini di Ermelo, Holland bagi merebut kejuaraan FEI World Endurance Championship for Young and Junior Riders.
Buat Imran Eirfan, ini adalah kali pertama beliau menyertai kejohanan bertaraf dunia dan menyifatkannya sebagai pencapaian terbaiknya dalam sukan lumba kuda.
"Sebelum kami menyertai kejohanan ini kami tinggal di Perancis selama 42 hari dengan menyertai sebanyak empat pertandingan di sekitar Europe termasuk France, Poland, Itali dan Jerman.
"Alhamdulillah kelima-lima kami melakukan yang terbaik dan semuanya layak untuk kejohanan final.
"Dalam tempoh selama sebulan lebih, banyak kami belajar di luar negara dan ramai atlet-atlet bertaraf antarabangsa mengajar kami," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, baru-baru ini.
Menurutnya, faktor pendorongnya adalah negeri Terengganu sendiri yang mengutamakan sukan selain kata-kata semangat daripada ibu bapa, keluarga dan teman-teman.
"Teregganu sebagai negeri yang mengutamakan sukan membuka banyak peluang kepada saya untuk terus berjaya dan ibu bapa saya juga mendorong cita-cita saya serta rakan-rakan banyak menolong menjadikan impian saya lebih besar," jelasnya.
Mengulas lanjut, tambahnya, beliau mengharapkan pasukan mereka dapat membawa pulang kemenangan untuk negara tercinta, Malaysia.
"Harapan saya adalah kami atlet-atlet Malaysia dapat membanggakan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Seterusnya menjadi pendorong buat anak-anak muda untuk mencipta kejayaan buat negara. Insya-Allah," ujarnya.
Tiga atlet Terengganu akan mewakili Malaysia di Ermelo, Holland, hari ini termasuk Anfal Insyirah Abu Talib.
Selain itu, Yusuf Luqman Zakaria dan Nur Qasrina Amani Zakaria juga di antara lima anggota pasukan kebanggaan negara.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sangat berbesar hati dapat membekalkan atlet untuk pelbagai kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk kejohananan sukan berkuda berkenaan.
"Daripada lima atlet Malaysia yang akan bertanding, tiga daripada mereka ialah atlet dari Terengganu yang mewakili negara untuk kejohanan FEI World Endurance for Young and Junior Riders yang akan berlangsung di Belanda 9 September ini," katanya.
'Flag off' dilakukan Wan Sukairi, di sini baru-baru ini bersama Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Mohd Izwandy Ismail.
Ini adalah kali kelima Malaysia bertanding dalam pertemuan kategori dua puluh satu tahun ke bawah sejak 2013. Pencapaian terbaik sebelumnya dalam acara berpasukan muncul pada tahun 2013 ketika mereka berada di kedudukan keempat di Tarbes, Perancis dan kelima pada edisi 2019 di Pisa, Itali.
Dalam pertandingan hari ini, mereka menentang lebih dari 100 pelumba dari 20 buah negara seluruh dunia menggunakan kuda dari Perancis semasa pertemuan.
09 Sep 21
734
Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali
KUALA TERENGGANU, 6 September – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menempa nama di liga kejuaraan antarabangsa menerusi kejayaannya dalam Kejuaraan Ohvale Coppa Italia, baru-baru ini.
Anak muda daripada Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior dalam aksi di Litar Pomposa, Itali.
Hakim turut memecahkan rekod peribadi selepas melakukan rekod pusingan baru dengan catatan 1:01.270 s dalam perlumbaan pertama mengalahkan Thomas Bonomi daripada pasukan CMV, manakala tempat ketiga menjadi milik Davide Ferrazi (Dolomiti Corse).
Dalam perlumbaan kedua dengan 12 pusingan sama seperti saingan pertama menyaksikan Hakim Danish bangkit dari ketinggalan pada aksi awal untuk menumpaskan Ferrazi, manakala tempat ketiga diraih Lorenzo La Sorsa daripada Settimotoa.
"Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba dalam saingan Coppa Italia kerana di sini saya berpeluang untuk menimba pengalaman berharga yang sangat penting dalam karier saya.
"Saya juga gembira dapat bergaul dengan pelumba Itali yang bagi saya mereka sangat baik walaupun pertama kali bertemu. Saya gembira berkawan dengan mereka," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu, penyertaan sulungnya di European Talent Cup (ETC) disertainya di Litar Catalunya, Jun lalu, anak muda itu turut mampu bersaing di pentas saingan yang dianggap tiga kali ganda lebih sukar berbanding Asia Talent Cup (ATC)
Dalam pada itu, penunggang berusia 14 tahun itu menetapkan sasaran tinggi pada ATC di Jepun pada bulan hadapan setelah penampilan sulungnya dalam pertandingan sama meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.
Kredit Foto : Facebook SIC
06 Sep 21
614
Tiga Anak Terengganu Wakili Malaysia Ke Belanda
KUALA NERUS, 5 September - Tiga atlet Terengganu akan mewakili Malaysia di FEI World Endurance Championship for Young and Junior Riders di Ermelo, Holland 9 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sangat berbesar hati dapat membekalkan atlet untuk pelbagai kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk kejohananan sukan berkuda berkenaan.
"Daripada lima atlet Malaysia yang akan bertanding, tiga daripada mereka ialah atlet dari Terengganu yang mewakili negara untuk kejohanan FEI World Endurance for Young and Junior Riders yang akan berlangsung di Belanda 9 September ini.
"Saya difahamkan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu akan membuat 'flag off' untuk pasukan Malaysia di KLIA (Kuala Lumpur International Airport), malam nanti," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Faris Haikal Hassan Sa’ari, 21, Annur Muhammad Imran Eirfan Anuwar, 19 dan Anfal Insyirah Abu Talib selamat berangkat tengah hari tadi dengan 'flag off' dilakukan Wan Sukairi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Mohd Izwandy Ismail.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri turut mengharapkan pasukan Malaysia akan kembali dengan keputusan cemerlang di kejohanan lumba kuda dunia tersebut sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri Terengganu.
"Insya-Allah kita sama-sama doakan pasukan Malaysia akan dapat memenangi kejohanan ini," ujarnya.
Ini adalah kali kelima Malaysia bertanding dalam pertemuan kategori dua puluh satu tahun ke bawah sejak 2013. Pencapaian terbaik sebelumnya dalam acara berpasukan muncul pada tahun 2013 ketika mereka berada di kedudukan keempat di Tarbes, Perancis dan kelima pada edisi 2019 di Pisa, Itali.
Mereka akan menentang lebih dari 100 pelumba dari 20 buah negara seluruh dunia.
Dalam pada itu, Yusuf Luqman Zakaria dan Nur Qasrina Amani Zakaria juga di antara lima anggota pasukan kebanggaan negara. Mereka akan menggunakan kuda dari Perancis semasa pertemuan.
05 Sep 21
2119
Terengganu FC Tewas Tipis
KUALA TERENGGANU, 4 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) gagal memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam saingan Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi.
Tanpa kelibat penyerang utamanya, David Da Silva, Nafuzi Zain menempatkan Mohamad Faisal Abdul Halim dan Makan Konate selaku penyerang serta meletakkan tonggak Terengganu FC II, Argzim Redzovic mengetuai barisan pertahanan.
Dalam aksi separuh masa pertama, Johor DT sebagaimana dijangka lebih banyak melakukan asakan ke kubu tuan rumah.
Muhammad Safawi Rasid yang mengambil sepakan bebas pada minit ketiga hampir menjelmakan gol buat Harimau Selatan, namun rembatannya ditepis Mohd Suhaimi Husin.
Sang Penyu pula nyaris mendahului lawan pada minit ke-18 apabila sepakan bebas Lee Tuck ditanduk Argzim membolosi gawang Farizal Marlias, bagaimanapun golnya dibatalkan pengadil kerana 'offside'.
Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan lebih banyak merencanakan serangan.
Johor DT akhirnya berjaya membuka akaun jaringan pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, apabila bola rembatan Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang ditepis Suhaimi tiba tepat ke kaki Shane Lowry untuk beliau meledak jaringan pertamanya musim ini.
Tamat separuh masa pertama dengan Johor DT mendahului satu gol di depan.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC cuba mencorakkan lebih banyak serangan ke kubu pelawat bagi menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-72, Johor DT hampir menambah jumlah gol apabila Bergson menanduk kencang hantaran Safawi namun dinafikan tiang gol.
Safiq Rahim cuba menyudahkan bola yang kembali keluar, bagaimanapun Suhaimi lebih tangkas menidakkan peluang itu.
Pada minit ke-83, Nik Akif menerima hantaran lintang Lee Tuck, namun rembatannya tersasar.
Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan dengan Johor DT menang 1-0.
Dengan keputusan tersebut, Terengganu FC kekal di tangga ketiga dengan 37 mata, sama mata dengan Penang FC di kedudukan keempat liga yang akan bertemu Sri Pahang di Kuantan, esok.
04 Sep 21
674
Paralimpik 2020 : Zulhairie Perbaiki Catatan Peribadi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Atlet para berbasikal trek negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi bersyukur dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C4-5 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, semalam.
Atlet kelahiran Terengganu itu mencatatan 1 minit 06.472 saat (s) untuk berada di tempat ke-10 daripada 21 peserta yang beraksi di Velodrom Izu, sekali gus memperbaiki catatan terbaik peribadinya 1:07s dalam satu kejohanan di Milton, Kanada pada Februari 2020.
"Alhamdulillah syukur untuk acara 1000m ini, saya rasa puas hati kerana apa yang disasarkan, saya dapat melakukannya dengan masa 1:06.472s. Bagaimanapun, saya dapat merasakan persaingan agak sengit untuk Paralimpik Tokyo ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Pingat emas dimenangi pelumba Sepanyol, Alfonso Cabello Llamas yang turut memecahkan rekod dunia dan Paralimpik dengan catatan 1:01.557s. Turut memecahkan rekod temasya acara berkenaan adalah pemenang perak dari Great Britain, Jody Cundy dengan catatan 1:02.529s.
Zuhairie selepas ini dijadual bergandingan bersama Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi dalam acara pecut berpasukan campuran C1-5 750m esok.
"Bagi saya, untuk acara ini sekiranya semua pelumba boleh memberikan komitmen penuh, kami boleh memasuki final tiga dan empat. Ini adalah sasaran kami untuk berada di kedudukan ketiga dan keempat sekiranya berdasarkan catatan masa sebelum ini," katanya lagi.
Sementara itu, jurulatih kem berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berpuashati dengan pencapaian anak buahnya yang dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi masing-masing.
"Alhamdulillah untuk pencapaian bagi atlet hari ini (semalam), masing-masing memperbaiki catatan peribadi mereka dengan baik.
"Walaupun sebelum ini mendapat kekangan semasa latihan di tanah air kerana PKP, tetapi atlet tetap menunjukkan kesungguhan untuk bersaing dan membuat catatan terbaik peribadi," jelasnya.
Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada atlet kelahiran Terengganu itu berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya tersebut.
27 Aug 21
225
Terengganu Komited Perjuangkan Nasib John Beasley
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan Terengganu melaungkan komitmen untuk memperjuangkan lanjutan kontrak jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley sehingga Sukan Olimpik 2024 Paris.
Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu bagi memastikan jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang dapat terus mengekalkan prestasinya.
"Saya beri komitmen bahawa sekiranya keputusan berbeza hendak dibuat oleh mana-mana pihak, saya akan perjuangkan supaya Dato' Azizulhasni dapat khidmat jurulatih terbaik sebagaimana yang dikehendakinya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan insentif kemenangan kepada The Pocket Rocketman atas kejayaannya mendapat pingat perak dalam Sukan Olimpik 2020 di kediaman Seri Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.
Sementara itu, Azizulhasni menyatakan rasa lega dengan kesediaan kerajaan negeri itu.
"Apabila dengar Dato' Seri kata begitu, saya rasa 'dok (tak) serabut dah pale (kepala)' dan tidak rasa terganggu lagi untuk persiapan latihan saya.
"Setakat yang kita sedia maklum, Exco dan pemimpin di Terengganu ini 'very supportive' dan menyahut impian saya untuk meneruskan lagi usaha ke Paris bagi mengejar pingat emas.
"Jadi, kalau ada masalah mereka akan cuba bantu," katanya sambil berharap khidmat 'bapa angkat'nya yang akan tamat hujung tahun ini disambung bagi meneruskan legasi perjuangannya sehingga sukan Olimpik akan datang.
25 Aug 21
155