Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu Impi Anak Tempatan Berlumba Dalam MotoGP
KUALA NERUS, 17 Oktober – Kerajaan negeri yakin akan kebolehan anak-anak muda tempatan dalam sukan permotoran dan menetapkan cita-cita untuk menyertai saingan motosikal antarabangsa seperti kejuaraan Grand Prix Motosikal (MotoGP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, impian tersebut berpotensi untuk direalisasikan melihat kepada pencapaian bakat pelumba muda seawal umur lapan tahun seperti Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan.
“Nama seperti Adam Danial Abdul Fattah dan juga Hakim Danish Ramli turut cemerlang dan sinonim dengan Kejohanan SIC MiniGP serta menyerlah bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.
“Di peringkat kejohanan Cub Prix juga ada pelumba daripada negeri ini yang telah juara, Insya-Allah dengan pelapis sebegini tidak mustahil bakal melahirkan bakal pencabar di pentas MotoGP pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu 2021 di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.
Tambah Wan Sukairi, anjuran program permotoran tersebut telah lama dirancang namung kekangan pandemik menangguhkan usaha kerajaan dalam penganjuran tersebut.
“Namun begitu, sempena Sambutan Hari Sukan Negara, Terengganu berjaya menganjurkan acara ini sebagai tanda galakkan dan sokongan kepada warga muda.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala aktiviti dijalankan orang muda terutamanya yang bertujuan baik. Dalam ucapan saya tadi, saya turut menasihati anak-anak muda yang hadir agar sentiasa mengutamakan syariat agama dalam bersukan disamping tidak meninggalkan solat,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu 2021 mempertandingi empat kategori iaitu Sprint Test (Kereta) Sprint Test (Motorsikal), Time Attack Battle (Kereta) dan Time Attack Battle (Motorsikal).
17 Oct 21
601
DACS Kemaman Santuni Pelumba Muda
KEMAMAN, 16 Oktober - Department of Arts, Culture & Sport (DACS) Kawasan Kemaman berpeluang menyantuni pelumba muda yang sedang meningkat naik.
Muhammad Asyraf Zailani, 22, berasal dari Kampung Meraga Beris, Kijal kini sedang mencipta nama di persada sukan permotoran cubcross di negeri Terengganu.
Asyraf tempoh hari telah berjaya menaiki beberapa podium di antaranya ialah di Terbuka Cubcross sempena Kemaman Track Day 2021. Dengan kemahiran dan semangat juang tinggi yang dimiliki, dia dinobatkan sebagai juara kategori berkenaan di Litar Monica Bay.
Pengerusi DACS Kawasan Kemaman, Mohd Takiyuddin Mohd Shaffee mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK) optimis agar lebih ramai lagi bakat baharu di sukan permotoran ini dapat dilahirkan bagi mengharumkan nama daerah Kemaman.
Takiyuddin (tengah) bersama pasukan Asyraf dan piala yang digondol.
"Kami berharap lebih ramai lagi pelumba muda seperti Asyraf dapat dicungkil dan diasah bakatnya bagi melahirkan produk yang bermutu dan digeruni lawannya.
"Bukan sahaja dapat mencetak nama di peringkat negeri malah ke peringkat negara dan seterusnya di peringkat antarabangsa," ucapnya.
Kejayaan terbaru Asyraf adalah selaku naib juara dalam kategori cubcross di Kejohanan Fun Race Track Terengganu sempena Hari Sukan Negara yang diadakan di Panchur Kuin, Batu Rakit.
Takiyuddin ditemui di majlis keraian kejayaan Asyraf di Pusat Tarbiyah PAS Bukit Kemuning anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Darat Kijal bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tempoh hari.
Jentera Honda Wave 125cc yang dikendalikan Asyraf.
Asyraf yang mengendalikan jentera Honda Wave 125cc merupakan anak kedua daripada empat adik beradiknya yang kini pasukannya bernaung di bawah pengurusan Geng Cubcross Kijal Kemasik (GCKK).
Beberapa cenderahati dihulurkan kepada pelumba muda itu dan pasukannya sebagai tanda penghargaan dan sokongan oleh DACS Kemaman yang merupakan salah satu entiti di bawah DPPKK.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Mohamad Haiqal Safie beserta ahli jawatankuasanya dan ahli jawatankuasa Pemuda PAS DUN Kijal.
Takiyuddin turut memaklum akan menganjurkan Kejohanan Cubcross Tertutup Kemaman dalam masa terdekat ini dengan mempertandingkan beberapa kategori bagi mengalakkan dan melahirkan bakat-bakat baharu dalam dunia sukan pemotoran cubcross di Kemaman.
15 Oct 21
923
"Berlumba Di Tempat Yang Betul" - Kecik
KEMAMAN, 14 Oktober - "Berlumba motosikal kini menjadi kegilaan sesetengah remaja, tapi kalau nak berlumba biarlah kena pada tempatnya."
Itu harapan yang diluahkan oleh Muhammad Asyraf Zailani, 22, atau 'Kecik' panggilan lain oleh rakannya yang sedang mencipta nama di persada sukan permotoran di negeri Terengganu.
Muhammad Asyraf Zailani @ Kecik.
Kecik tempoh hari telah berjaya menaiki beberapa buah podium, di antaranya di kejohanan Terbuka Cubcross sempena Kemaman Track Day 2021. Dengan kemahiran tunggangan yang dipamerkannya di Litar Monica Bay, dia dinobatkan sebagai juara kategorinya.
Kejayaan terbaharu Asyraf adalah selaku naib juara kategorinya pada Cubcross Terengganu Kejohanan Fun Race Track sempena Hari Sukan Negara di Panchur Kuin, Batu Rakit.
Asyraf (kiri) bersama ahli pasukannya.
Pelumba muda yang ditemui pemberita di majlis keraiannya di Pusat Tarbiyah PAS Bukit Kemuning anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Darat Kijal bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal kelmarin mengucapkan syukur dan berterima kasih di atas majlis yang diadakan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur di atas kejayaan ini dan berterima kasih di atas majlis yang diadakan ini.
"Walaupun ringkas tapi ia amat bermakna buat saya dan pasukan di mana usaha yang kami lakukan selama ini tidaklah sia-sia dan ada pihak yang menghargainya," ucapnya.
Asyraf yang mengendalikan jentera Honda Wave 125cc merupakan anak kedua daripada empat adik beradiknya yang tinggal di Kampung Meraga Beris, Kijal dan kini pasukannya bernaung di bawah Geng Cubcross Kijal Kemasik (GCKK).
Turut hadir dalam majlis tersebut, Zabidin Awang selaku Pengerusi JPKK Darat Kijal, Adnan Mohamad, Setiausaha Majlis Tindakan PAS DUN Kijal yang mewakili Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Osman Awang, Ketua Balai Polis Kijal dan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS DUN Kijal.
13 Oct 21
767
Program Jom Hiking Aktifkan Gaya Hidup Sihat
Gambar: Afiq Fahmi
DUNGUN, 10 Oktober - Program Jom Hiking yang diadakan sempena Hari Sukan Negara 2021 adalah untuk mengaktifkan komuniti mengamalkan gaya hidup sihat dan bebas dadah.
Ketua Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dungun, Aidawani Ismail berkata, di samping itu ia menggalakkan amalan kecergasan dan berekreasi sebagai gaya hidup.
"Seramai 100 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program yang diadakan di Taman Rekreasi Bukit Chatak 2 yang telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, YB (Yang Berhormat) Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli," katanya ketika dihubungi.
Program tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai AADK Dungun, Yusri Mohd.
"Peserta-peserta adalah terdiri daripada Skuad Anti Dadah Dungun, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Chatak Tengah, Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Zon Jerangau/Sura, Majlis Belia Dungun dan kakitangan AADK Dungun," ujarnya lagi.
10 Oct 21
514
Terus Komited Gayakan Hidup Aktif - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Penganjuran Hari Sukan Negara perlu dimanfaatkan rakyat khususnya rakyat Terengganu dalam menggayakan cara hidup sihat dan aktif.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan semasa yang melanda tidak seharusnya menghalang individu dan masyarakat daripada membina cara hidup sihat.
"Saya menyeru semua rakyat Terengganu untuk mengambil peluang dan semangat Hari Sukan Negara dengan terus mengaktifkan anggota keluarga masing-masing supaya kita sihat dan mampu melawan apa jua virus yang ada di sekeliling kita.
"Mungkin tidak terfikir bagaimana keadaan ini hadir dalam kehidupan kita, namun ia tidak menghalang membangunkan budaya sukan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang kedia selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Jelasnya, semua aktiviti dan pertandingan sempena sambutan tersebut dilakukan secara maya berikutan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran secara besar-besaran.
"Apapun tahniah kepada Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO dan JBSNT yang telah melakukan yang terbaik hari ini.
"Juga, terima kasih kepada yang telah menjayakan, bukan sahaja yang ada dalam dewan tetapi yang turut menyaksikan secara maya", katanya.
Berbasikal menjadi antara budaya sukan yang semakin digemari rakyat Terengganu. (gambar ehsan pembaca)
09 Oct 21
212
Pemain Hoki Terengganu Terima Hadiah Tanah
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Setelah bertahun menanti, Persatuan Hoki Terengganu (THT) telah mendapat insentif berbentuk kenderaan serta geran tanah buat pemain dalam memudahkan urusan pertandingan serta motivasi meneruskan prestasi cemerlang dalam sukan tersebut.
Presidennya, Fikri Harun menyifatkan pemberian oleh kerajaan negeri berupa sebuah Hyundai Starex tersebut merupakan kali pertama berbanding sumbangan kebiasaan berbentuk wang tunai kepada pasukan dan pemain.
“Anugerah besar ini akan dimanfattkan sebaik mungkin kerana kita ada banyak pergerakan melibatkan pertandingan dan latihan persatuan yang boleh dikatakan diantara paling aktif dalam negeri.
“Kami daripada persatuan amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan negeri di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Penaung Persatuan, Ir. Saiful Azmi Suhaili,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Tambahnya lagi, pihaknya sedang giat membuat persiapan dalam kejohanan Piala Razak pada akhir bulan ini dengan tarikh perlawanan dijadualkan pada 10 sehingga 20 November.
“Kami menyasarkan johan dalam merebut piala paling berprestij di Malaysia ini, setelah tiga tahun mendapat naib johan,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pemain berusia 28 tahun, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sabri berkata, penyerahan geran tanah di Setiu tersebut memberi peluang buatnya bagi mendirikan rumah.
“Insya-Allah ia akan menjadi salah satu motivasi kepada pemain Terengganu khususnya pemain muda supaya memberikan yang terbaik,” katanya yang aktif dalam sukan hoki sejak 18 tahun lalu.
Dalam pada itu, Wan Sukairi menjelaskan, Faiz adalah salah seorang daripada tiga atlet hoki termasuk Muhammad Hafizuddin Othman dan Muhammad Shahiran Zali yang mendapat geran tanah di Rusila, Marang.
“Pemberian geran tanah ini adalah penghargaan dari Kerajaan Negeri Terengganu atas kejayaan mereka memenangi naib johjan Liga Hoki Malaysia dan piala TNB tiga tahun berturut-turut.
“Insya-Allah, besar harapan saya agar pemberian tanah kepada pemain-pemain THT tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membina rumah agar dijadikan tempat untuk keluarga mereka berteduh,” tambahnya.
04 Oct 21
1045
Hampa Terlepas Juara, Afif Mahu Pamer Aksi Terbaik Untuk Orang Terengganu
KUALA NERUS, 2 Oktober- Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing, Ahmad Afif Amran fokus mempamerkan aksi lebih baik dalam saingan pusingan keenam Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix, yang berlangsung esok.
Berlumba di halaman sendiri, anak kelahiran Dungun itu hampa apabila menduduki tempat kedua di belakang pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar dalam saingan CP150 peringkat kelima, sebentar tadi setelah perlumbaan ditamatkan akibat kemalangan pada pusingan terakhir perlumbaan.
"Memang saya tidak jangka trek berada dalam keadaan tidak baik kerana minyak tumpah akibat daripada pelumba yang terbabas.
"Marshall juga hanya sempat mengibarkan bendera kuning, kami sudah berhati-hati tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi, kami terjatuh di selekoh keenam dan perlumbaan ditamatkan," katanya selepas perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Namun, beliau bersyukur kerana keputusan pusingan ketiga terakhir, diambil sebagai keputusan akhir perlumbaan meletakkannya pada kedudukan kedua dengan catatan 14:04.818s.
Tambah Afif, bermain di Litar Permotoran Terengganu menjadi motivasinya untuk memperbaiki prestasi.
"Apabila main di hometown ini, apa yang boleh saya kata ada satu semangat luar biasa.
"Walaupun jika ada kekurangan dari segi jentera atau apa sahaja, saya rasa perlu cuba sebaiknya untuk memberikan yang terbaik kepada orang Terengganu.
"Untuk esok, saya akan 'keep pace race' macam tadi, cuma saya akan perbaiki sedikit sebanyak kesilapan dan memberikan yang terbaik," katanya.
Ahmad Afif kini berada di kedudukan kedua dari senarai keseluruhan perlumbaan dengan 58 mata.
02 Oct 21
500
Petronas Malaysian Cub Prix Model Terbaik Gelembung Sukan
KUALA NERUS, 2 Oktober- Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix mampu diletakkan sebagai penanda aras penganjuran aktiviti sukan dalam norma baharu pasca pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penekanan prosedur operasi standard (SOP) yang amat baik oleh pihak penganjur patut dicontohi.
"Hari ini, kita dapat lihat setiap individu yang memasuki litar ini dikehendaki melalui ujian swab Covid-19 yang ditetapkan penganjur serta aspek-aspek lain dilakukan secara teratur dan lancar.
"Sekiranya begini pengendalian yang dilakukan penganjur, saya amat berpuas hati dan ia boleh menjadi penanda aras gelembung sukan dalam penganjuran acara-acara lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika kunjungan ke kejohanan tersebut di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.
Jelasnya, kerajaan negeri sangat menyambut baik sukan permotoran yang dilangsungkan secara rutin di Terengganu itu, lebih-lebih lagi dengan pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Saya yakin dengan kerjasama yang baik antara peserta, penganjur dan mereka yang terlibat akan memudahkan kerajaan untuk membuka lebih luas gelembung sukan.
"Sekarang ini, saya boleh katakan semua (penganjur aktiviti sukan) sedang bersedia di garisan permulaan, tunggu pengisytiharan sahaja daripada kerajaan untuk fasa empat (Pelan Pemulihan Negara) dan saya yakin apabila masuk fasa seterusnya pelbagai penganjuran sukan kita akan lakukan," katanya.
02 Oct 21
531
Terengganu FC Teruskan Rentak Cemerlang
KUALA NERUS, 29 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2021 apabila menang tipis 2-1 ke atas Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.
Kemenangan kedua diraih skuad kendalian Nafuzi Zain membolehkan Terengganu FC memimpin saingan Kumpulan B dengan enam mata.
The Red Giants bermula garang menerusi serangan Ifedayo Olusegun yang menerima umpanan Mukhairi Ajmal Mahadi namun percubaannya ditepis penjaga gol tuan rumah.
Gerakan satu dua Ifedayo dan Mukhairi terus mencemaskan Sang Penyu, mujur bola sempat dikeluarkan pertahanan, Azam Azmi Murad, di atas garisan gol pada minit ke-14.
Pada minit ke-23, Terengganu FC akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila hantaran Faisal Abdul Halim gagal dibaca Selangor untuk Dechi Marcel melepaskan rembatan luar kotak yang menggegarkan jaring gol.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa dengan tuan rumah memiliki kelebihan satu gol.
Aksi babak kedua semakin sengit setelah tuan rumah menjarakkan kedudukan 2-0 hasil gerakan Faisal dari sebelah kiri yang mudah disambar Lee Tuck pada minit ke-52.
Hasrat penyerang Terengganu, Jordan Mintah untuk mencetak nama selaku penjaring masih tidak kesampaian apabila percubaannya pada minit ke-59 dan ke-60 dinafikan Mohd Khairulazhan Khalid.
Selangor cuba menghidupkan peluang untuk mencuri mata dari tuan rumah apabila Mohamad Ashmawi Yakin merapatkan kedudukan kepada 1-2 pada minit ke-75.
Namun, kebangkitan itu sudah terlewat untuk menghalang kemenangan Terengganu FC.
29 Sep 21
832
Terengganu Menang Aksi Pertama
KUALA NERUS, 26 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menang mudah ke atas Kuching City FC dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), tuan rumah mempamerkan corak serangan dan penguasaan bola yang tinggi seawal minit pertama.
Pada minit ketiga, sepakan percuma Lee Tuck ditepis penjaga gol, Wan Muhammad Azraie.
Terengganu FC hampir mendapatkan gol pertama pada minit ke-8, namun tandukan Makan Konate hasil sepakan percuma Lee Tuck 'diselamatkan' tiang gol.
Gol sulung perlawanan hadir melalui sepakan penalti apabila penyerang Terengganu FC II yang dinaikkan, Jordan Mintah dijatuhkan Wan Azraie pada minit ke-17.
Lee Tuck hampir-hampir gagal merobek gawang Kuching City apabila sepakan penaltinya diselamatkan Wan Azraie, namun berjaya menyudahkannya setelah pengadil memutuskan sepakan penalti diambil semula pada minit ke-22.
Tuan rumah terus melakukan beberapa percubaan ke kubu lawan sementara pelawat langsung tidak berjaya menyerang ke gawang tuan rumah.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC berjaya menggandakan kelebihan gol seawal minit ke-48 melalui Faisal Halim.
Tandukan Makan Konate hasil sepakan sudut Lee Tuck, ditampan pertahanan lawan tetapi Faisal pantas menolak bola muntah tersebut ke gawang untuk Terengganu FC selesa di depan.
Skuad kendalian Nafuzi Zain terus mengekalkan penguasaan bola sambil anak buah 'sifunya' Irfan Bakti Abu Salim buntu merencanakan serangan dan bertahan sehingga tamat perlawanan.
Terengganu kini mendahului carta kumpulan B dengan kelebihan jaringan apabila Selangor sekadar menang 1-0 menentang Perak dalam satu lagi aksi di Shah Alam, hari ini.
26 Sep 21
1588