Artikel "Sukan" Terkini
Dspex FC Raih RM3,000
Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
DUNGUN, 22 November - Pasukan Dspex FC telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah Piala Moonson Tertutup Dungun di Padang Arena Merdeka selepas berjaya menundukkan lawannya dari pasukan Kubey FC dengan kemenangan 1-0.
Dengan kemenangan itu, Dspex FC berjaya membawa pulang wang tunai RM 3,000 beserta medal, tempat kedua (Kubey FC) RM 1,500 dan medal. Manakala tempat ketiga milik bersama Astaka FC dan Galok FC membawa pulang RM 500.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari berakhir kelmarin (20 November) melibatkan 36 pasukan bertanding.
Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli, berkata penganjuran kejohanan kali pertama selepas kebenaran rentas negeri
Katanya program itu sangat sesuai dilaksanakan bagi mengisi masa lapang golongan belia di mana sebelum ini dilarang untuk berbuat demikian.
“Tanpa disedari, anak – anak muda menjadi gembira sesama mereka dan menjauhi diri dari gejala – gejala yang tidak sihat.
“Walaupun kehidupan anak muda dipenuhi dengan pengisian pelajaran dan kerjaya, saya nasihatkan agar sertailah program seumpama ini yang pastinya akan bertambah sihat dan cergas,”katanya
22 Nov 21
689
Kerteh FC Jual Beras?
KUALA TERENGGANU, 16 November - Kelab Bola Sepak M4 dari Terengganu, Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) bersama Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan sebagai salah satu produk terbaharu kelab berkenaan.
Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, menyifatkan usahasama itu membuka ruang dan lebih peluang kepada Kerteh FC melebarkan jenamanya di pasaran.
"Memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini telah menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara ketika ini.
"Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.
"Harapan kami, kerjasama bersama syarikat Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan, bukan sahaja hanya mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan asas yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas majlis pelancaran ringkas usahasama itu di ibu pejabat syarikat kelab, KAL Services Sdn Bhd, Kerteh, hari ini.
Melalui usahasama berkenaan, logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab Kerteh FC bukan sahaja berada pada plastik bungkusan beras, tetapi juga akan turut diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan iklan dan komersial.
Manakala logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise, Mohamad Adam Suffian Yacob menzahirkan kegembiraan atas kerjasama yang dimeterai.
"Pihak kami merasa yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini.
"Diharap dengan kerjasama ini dapat membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini", katanya.
16 Nov 21
348
Terengganu FC Menang Tipis Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 14 November-Terengganu FC membawa kelebihan satu gol ke kubu lawan apabila menang tipis 2-1 ke atas Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Seawal perlawanan, tuan rumah tangkas menyerang, namun rembatan leret Dechi Marcel pada minit ke-3 tersasar ke sisi gawang pelawat.
Pada minit ke-12, pertahanan Sarawak United, Stuart Wark hampir mengejutkan Terengganu FC dengan tandukan kencang, tetapi Suhaimi Husin lebih tangkas menampan dan mengeluarkan bola dari kawasan gawangnya.
Empat minit kemudian, Mohamad Faisal Halim yang menerima bola dari Marcel menggelecek dua pertahanan sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang menggamatkan stadium untuk gol pertama Terengganu FC.
Gol pertama tuan rumah dibayar mahal apabila pemain tengah, Habib Haroon terpaksa dikeluarkan pada masa sama akibat kecederaan.
Ketinggalan satu gol, anak-anak buah Elavarasan yang lebih banyak bertahan cuba mencatur serangan.
Pada minit ke-21, Tommy Mawat melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan mencari Uche Agba, namun Muhamad Shahrul Nizam yang cuba mengeluarkan bola tertanduk ke gawang sendiri menjadikan kedudukan 1-1.
Skuad kendalian Nafuzi Zain terus mengawal permainan.
Bagaimanapun, cubaan menggandakan gol tidak berhasil apabila gol Faisal pada minit ke-41 dinafikan penjaga garisan dan sepakan bebas Jordan Mintah pada masa tambahan hanya mengenai tiang.
Kedudukan kekal pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kenyalang Emas hampir mendahului Sang Penyu, tetapi peluang terbuka disia-siakan Uche Agba.
Pada minit ke-50, Jordan Mintah berjaya mengumpan bola yang disempurnakan Faiz Nasir dengan rembatan kencang untuk gol kedua Terengganu FC.
Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-62, bagaimanapun lorongan Mintah tidak berjaya disudahkan Muhammad Azarul Nazarith.
Pada minit ke-80, hasrat Jordan Mintah mencetak gol terus digagalkan penjaga gol lawan, Mohd Sharbinee Allawee yang cemerlang menepis tolakan leretnya hasil hantaran lintang Engku Muhammad Nur Syakir.
Sepakan percuma Lee Tuck pada minit ke-89 pula hanya menggegarkan palang gol.
Kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
14 Nov 21
1008
Sultan Terengganu, Faizal Tahir Sertai Kejohanan Kuda Lasak
SETIU, 14 November - Kejohanan Terengganu Endurance Ride Stable (RTES) Endurance Ride November 2021 pada kali ini mendapat sambutan di luar jangka apabila menerima penyertaan 100 penunggang setelah 6 bulan acara berkenaan tidak dilangsungkan akibat Pandemik Covid-19.
Penyertaan paliang istimewa ialah bagi kategori Championship Endurance National (CEN) 80 Kilometer apabila disertai oleh KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan memakai jersi nombor 9
Manakala bagi kategori (CEN) 40 Kilometer telah disertai oleh selebriti terkenal tanahair, Faizal Tahir mengenakan jersi nombor 67.
RTES Endurance Ride yang diadakan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, bagi kategori CEN 90 KM pada kali ini disertai 19 peserta.
Acara pelepasannya pada jam 5 petang semalam telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Manakala bagi kategori 40 KM dibahagikan kepada dua, dimana Kumpulan A disertai seramai 35 orang yang acara pelepasannya disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Bagi Kumpulan B pula disertai seramai 32 peserta, dimana acara pelepasannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Kesemua acara berkenaan berakhir pada jam 2.30 pagi untuk CEN 80 KM, manakala bagi kategori 40 KM bagi Kumpulan A tamat pada jam 10.55 malam dan yang terakhir kumpulan B akan tamat pada jam 11.25 malam tado.
14 Nov 21
1955
44 Pasukan Berentap Dalam Kejohanan Terengganu Royal 7's
KUALA NERUS, 12 November- Sebanyak 44 pasukan dari pelosok Malaysia turun berentap dalam Kejohanan Ragbi Terengganu Royal 7's, bermula hari ini.
Kejohanan yang julung kali diadakan di Kuala Nerus itu merupakan kejohanan bertaraf kebangsaan dan menjadi antara penganjuran kejohanan ragbi tujuh sepasukan terbesar di pantai timur.
Kejohanan ini mempertaruhkan Piala Tengku Muhammad Ismail sebagai perebutan utama kategori terbuka lelaki selain hadiah kemenangan bernilai RM10,000, hadiah kewangan antara tertinggi pernah ditawarkan dalam penganjuran sukan ragbi tanah air.
Selain itu, kategori lain yang dipertandingkan ialah terbuka wanita dan lelaki bawah-22 yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM5,000 bagi setiap kategori.
Tuan rumah menampilkan enam pasukan terdiri Hanelang Warriors, Hanelang 7s White, Kemaman Rugby dan Marang Rugby bagi kategori terbuka lelaki manakala kategori terbuka wanita pasukan tuan rumah dikenali sebagai Hanelang Ladies 7s.
Hanelang 7s Black mewakili pasukan tuan rumah bagi kategori Lelaki U22(Bawah usia 22 tahun) yang memfokuskan penyertaan pasukan Sukan Malaysia(SUKMA).
Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dan boleh ditonton secara langsung melalui Facebook Ragbi Online.
12 Nov 21
758
Asrama Atlet Terengganu Siap 93 Peratus
KUALA NERUS, 11 November- Pembinaan Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bertempat di Gong Badak, di sini yang menelan kos RM90 juta kini mencapai kemajuan kerja 93 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata bangunan setinggi tujuh tingkat itu dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.
Katanya, asrama itu lengkap dengan pelbagai kemudahan antaranya gimnasium, kafeteria, kolam renang, bilik taklimat, ruang solat dan dewan utama yang ,ampu menempatkan lebih 600 orang.
“Saya percaya dengan kemudahan yang disediakan, ia dapat memudahkan atlet pada masa hadapan, baik dari segi penginapan yang selesa, kemudahan untuk ke tempat latihan dan juga dapat mengekalkan prestasi yang terbaik,”katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan asrama itu, hari ini.
Menurutnya, bangunan asrama dua blok itu akan dibahagi dua di mana penggunaan atlet semasa hanya melibatkan satu blok sahaja manakala lebihan satu blok lagi akan dibuka kepada orang awam untuk tujuan sewaan penginapan.
“Apabila siap kelak, kerajaan negeri akan memutuskan hak pengurusan sama ada di bawah MSNT atau melantik mana-mana syarikat swasta yang bertauliah bagi menguruskan asrama ini dengan kaedah perkongsian penggunaan.
“Nama khas bagi bangunan ini akan ditetapkan kemudian bertujuan menarik minat pelancongan untuk menyewa,”katanya..
11 Nov 21
1800
Pasukan Terengganu Bawa Cabaran Negara Dalam AFF Beach Soccer Festival 2021
KUALA TERENGGANU, 9 November - Pasukan bola sepak pantai Terengganu, Markless Komii dipilih mewakili Malaysia dalam kejohanan AFF Beach Soccer Festival NSDF Thailand 2021, yang bermula 7 November lalu.
Pengurus pasukan Markless Soccer Team, Mohd Salleh Isa berkata, pasukannya dipilih berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kekurangan masa untuk membuat pemilihan dan membentuk pasukan bagi memenuhi jemputan kejohanan di Pantai Pattaya Utara itu.
“Jadi, FAM memberi tawaran ini kepada pasukan kami yang dibentuk daripada Markless Soccer Team dan NR Team Kemaman, membentuk Markless Komii bagi mewakili negara.
“Walaupun berdepan kekurangan, kami dengan semangat pemain yang ada cuba menyahut seruan tersebut,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Foto daripada: FB Kemaman Beach Soccer League
Jelasnya, para pemain berdepan kesukaran dalam membentuk pasukan untuk bersaing dengan Thailand A, Thailand B dan All-Star Inter yang turut menyertai kejohanan berkenaan.
“Sebenarnya, mereka hanya sempat berlatih dalam empat hari selepas mendapat jemputan dan berdepan cabaran untuk meningkatkan stamina selepas lama tidak menyertai kejohanan.
“Namun, mereka tetap mahu pergi bermain atas dasar semangat dan minat. Banyak juga tekanan yang perlu dipikul dari keluarga dan kerjaya untuk memikul cabaran negara selama lebih kurang tujuh hari ini,” katanya.
Lebih menarik, Mohd Salleh tidak menyangka pasukannya menang besar dalam perlawanan pertama pada 7 November lalu.
Kemenangan 13-3 ke atas All-Star Inter itu menaikkan lagi semangat pasukan untuk mencabar lebih jauh.
“Kami harap dapat berikan yang terbaik, kita hendak menang cuma dengan persiapan pasukan yang tidak seberapa, menang adalah satu bonus.
“Fokus kami untuk memberikan yang terbaik buat negara sedaya upaya kami,” katanya.
Markless Komii akan bertemu Thailand A, dalam perlawanan kedua, jam lima petang ini dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di Facebook Kemaman Beach Soccer League.
Foto daripada: FB Kemaman Beach Soccer League
09 Nov 21
769
Terengganu Ke Suku Akhir Piala Malaysia
KUALA NERUS, 3 November - Tiga gol awal Terengganu FC dalam masa kurang 30 minit pada separuh masa pertama melenyapkan hasrat Perak FC untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia 2021.
Dalam aksi peringkat kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebentar tadi, skuad kendalian Nafuzi Zain sekali lagi menang mudah, kali ini dengan keputusan 4-0 ke atas anak-anak buah Mohd Shahril Nizam Khalil.
Tuan rumah mencipta gol pertama seawal minit ke-12 apabila Faisal Halim bijak melakukan sepakan bebas pantas yang disudahkan rembatan cantik Makan Konate menewaskan Hafizul Hakim.
Walaupun pemain-pemain Perak FC membantah, pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir mengesahkan gol berkenaan.
Bos Gaurus terus dihukum Sang Penyu, tujuh minit kemudian.
Bermula dari umpanan Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar, Faisal Halim melakukan hantaran lintang rendah yang ditolak mudah penyerang kesayangan ramai, David Da Silva untuk gol kedua Terengganu pada minit ke-19.
Pada minit ke-26, Dechi Marcel yang menerima bola dari Faiz Nasir melakukan 'half volley' tepat ke dalam gawang lawan.
Terengganu FC selesa dengan perbezaan tiga jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Perak FC cuba bangkit tetapi penguasaan bola terus dikekalkan Terengganu FC.
Sang Penyu yang mula mengendurkan asakan bagaimanapun terus menambah jaringan.
Habib Haroon yang dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-60 dalam satu serangan balas pantas, tenang menyempurnakan penalti untuk jaringan keempat pasukan.
Terengganu kekal mendominasi permainan dalam perlawanan yang disaksikan 4,200 orang penyokong sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terengganu FC kini mengungguli carta Kumpulan B dengan 12 mata dan secara meritnya telah layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021.
03 Nov 21
1951
Tiga Anak Bukit Besi Juara Silat Kebangsaan
Oleh : Muhammad Amiruddin
DUNGUN, 2 November – Tiga anak kelahiran Bukit Besi telah dinobatkan sebagai juara silat peringkat kebangsaan dalam tiga kategori berbeza.
Nurin Zawira Mohd Wahab, 12, muncul juara Kebangsaan bagi kategori Seni Tari Silat Puteri manakala Muhammad Syakir Fitri Razali, 13, yang mewakili MRSM Kuala Berang johan Kebangsaan Tari Silat Putera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Muhammad Fakhrul Amin Samsudin, 11, merangkul Juara Kebangsaan Tunggal Putera.
Menurut Nurin Zawira pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, dia mula berjinak-jinak dengan dunia persilatan ketika berumur tujuh tahun.
"Ayah dan ibu saya yang banyak memberi galakan dan sokongan menjadikan saya bersungguh-sungguh untuk berlatih," katanya.
Sementara itu orang yang bertanggungjawab melatih mereka, Ismail Salleh, 49, wasit dan jurulatih peringkat kebangsaan memuji kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan pihak sekolah juga amat membantu dalam meluaskan seni silat jawi di DUN Bukit Besi.
“Kepada anak murid saya, saya selalu berpesan kepada mereka, belajar silat bukan untuk menunjuk siapa hebat di depan lawan sebaliknya untuk merapatkan ukhwah dan secara batinnya, " ujarnya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mail merangkap Ketua Persatuan Seni Silat Jawi Negeri Terengganu yang telah ditubuhkan pada 21 Julai 2003.
Ghazali menyampaikan cenderahati dan wang tunai kepada Adik Nurin Zawira sebagai tanda penghargaan diatas kejayaan menjuarai salah satu kategori dalam Pertandingan Silat Kebangsaan.
Mereka ditemui ketika kunjungan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN),Ghazali Sulaiman ke kediaman masing-masing di Bukit Besi untuk menyampaikan cenderahati dan sumbangan berupa wang tunai.
Mengulas lanjut kejayaan mereka itu, Ghazali berkata mereka perlu diberi penghargaan dan sokongan yang konsisten bagi memastikan prestasi cemerlang yang ada dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya percaya semangat juang yang dipelajari ketika latihan dan pertandingan silat, berjaya memupuk daya keyakinan dalam diri mereka sama ada di sekolah dan kehidupan seharian. Ia juga mendorong generasi muda untuk menjauhi gejala social seperti penyalahgunaan dadah dan pergaulan yang tidak sihat," katanya.
Kesemua mereka menyertai Kejohanan Satu Sekolah Satu Silat Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan secara atas talian.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Satu Sekolah Satu Silat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia(PESAKA Malaysia) dan Bahagian Sukan, Kokurikulm dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia.
02 Nov 21
1184
Hariff Saleh Juara TSS Criterium Challenge 2021
KUALA NERUS, 23 Oktober - "Kemenangan hari ini memberi saya lebih semangat dan keyakinan dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Tour of Thailand yang berlangsung hujung bulan depan," kata pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Hariff Saleh selepas mengungguli kategori Road Bike Pro dalam TSS Criterium Challenge 2021, hari ini.
Beliau membawa pulang hadiah berupa pingat, wang tunai RM500 dan tiket penerbangan tajaan AirAsia selepas menewaskan rakan sepasukan, Wan Abdul Rahman Hamdan dan Irwandie Lakasek di tempat kedua dan ketiga.
Kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan tidak Negeri Terengganu (JBSNT), Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) dan TSS Cycling Club itu turut disertai seramai 500 pelumba dari pelosok tanah air.
Pengerusi penganjur, Mohd Rijaluddin Mohd Hamdan bersyukur kejohanan berkenaan akhirnya dapat dijayakan.
"Kejohanan ini sepatutnya berlangsung pada Februari lalu, tetapi ditangguhkan berikutan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Namun, Alhamdulillah kita menerima banyak penyertaan dan kami melihat potensi kejohanan ini dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Turut hadir menyaksikan pelumbaan ialah YM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Pengarah Bukan Eksekutif Air Asia, Dato' Abdul Aziz Abu Bakar.
23 Oct 21
494