Artikel "Sukan" Terkini
Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge
DUNGUN, 5 Disember – Pasukan Padat 4x4 muncul juara dalam Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge kategori Open Hardcore, semalam meskipun berdepan kesukaran berdepan cuaca di musim tengkujuh.
Pasukan gabungan tiga krew 4x4 daripada Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur tersebut berjaya mengalahkan Geng Tookmu untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan sijil.
Pemandu jentera ‘Buggy’ pasukan tersebut, Mohd Effendi Husin berkata pencapaian itu bukan perkara yang mudah kerana perlu berentap dengan jumlah peserta yang ramai.
“Kategori ini memerlukan ketahanan daripada segi mental, itu nombor satu, jentera kita juga serta kerjasama antara pemandu dan pemandu bersamanya, Muhammad Ifan Jamaludin dari kemaman, juga antara elemen penting bagi menguasai lapan trek disini.
“jika kereta atau ahli pasukan tidak mahir, kita tidak mampu sampai ke tahap ini, nasib juga menyebelahi kita.
“Ini adalah penyertaan kedua saya, sebelum ini pada 2018 saya gagal mendapat tempat disebabkan masalah teknikal dengan 4x4, jadi hari ini saya berjaya menebuskan kekecewaan dua tahun lalu,” katanya yang berasal daripada Kuala Lumpur.
Tambahnya, 90 peratus daripada trek memerlukan skil kawalan tinggi dalam menghadapi faktor seperti cuaca dan keadaan yang licin serta rintangan tinggi.
Pemandu daripada LC Houz tersebut berkata demikian selepas Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge di Bukit Besi Rainforest Park, Dungun, petang semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun.
Jelas Effendi, dia berterima kasih kepada Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT) dan Kerajaan Negeri atas penganjuran yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.
“Dengan hadiah besar ini amat berbeza dengan acara lain, sebelum ini kami rasa tidak dihargai, tapi hari ini saya harap setiap tahun kejohanan sebegini dapat diadakan di tempat lain dalam Terengganu,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengarah Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT), Shamsul Anuar Musa berkata, sebanyak 52 kelab melibatkan 190 pemandu dari pelbagai negeri berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertama pada 2018.
05 Dec 21
748
52 Kelab Berentap Rebut Kejuaraan Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4
DUNGUN, 5 Disember - Sebanyak 52 kelab melibatkan 190 peserta kembali berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertama pada 2018.
Pengarah Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT), Shamsul Anuar Musa berkata, kesemua peserta akan bertanding melalui dua kategori Super Core dan Light Core.
“Penyertaan membabitkan peserta dari seluruh negeri, termasuk Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, dan banyak lagi selain dari Terengganu. Cuma pada kali ini kita tidak jemput peserta dari luar negara walaupun mereka amat tertarik untuk menyertainya disebabkan kekangan pandemik.
“Kejohanan di sini seperti biasa mempunyai cabarannya yang tersendiri sinonim dengan nama Bukit Besi, treknya adalah berbukit kalau di venue yang lain pada kebiasaannya paya dan padang.
“Ia sangat mencabar peserta memerlukan kemahiran yang tinggi bagi mengharungi segala cabaran ini, sejauh 300 hingga 400 meter yang perlu dihabiskan dalam masa 15 minit hingga 20 minit.
"Semua peserta juga sedia maklum apabila diadakan pada musim monsun, mesti ia adalah musim hujan para peserta akan mengalami kesukaran untuk habiskan 'special stage ini' menjadikan ia lebih mencabar dan menyeronokkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada kejohanan tersebut yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kayu Kayan Terengganu, Suhairi Sulong dan pengarah Program, Azami Mansor.
Mengulas lanjut kata Shamsul Anuar, sokongan kerajaan negeri dalam membantu perkembangan sukan lasak tersebut sangat berkesan sekali gus menjadikan Terengganu tumpuan kepada seluruh penggemar sukan lasak di seluruh dunia.
“Saya mencadangkan agar acara seperti ini diadakan sebagai aktiviti tahunan dan kerajaan perlu memberikan sokongan yang berterusan kepada TFT dan juga kelab lain bagi menganjurkannya.
“Di negeri ini sendiri ada 15 kelab yang mana masing-masing berupaya serta mempunyai kemampuan untuk membuat ‘event’ seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong aktiviti sukan lasak berkenaan.
“Kita anggap sukan lasak ini memberikan suatu suasana dan aspek yang sangat baik dalam membina kerjasama antara mereka di samping dapat membina pembentukan mental yang kuat kepada semua peserta.
"Selain merebut kejuaran melalui kejohanan yang diadakan mereka juga berperanan penting bagi membantu masyarakat di lapangan terutamanya ketika menghadapi bencana banjir, pasukanan ini akan turun bagi menyumbangkan khidmat bakti mereka melalui suatu kombinasi kerja berpasukan yang cukup hebat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Ujarnya penganjuran kejohanan tersebut juga bukan bukan setakat mengumpulkan peserta dan peminat dari seluruh pelusuk negara malah ia juga mampu merancakkan permbangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat.
03 Dec 21
490
Marang Monsoon Ride Tarikan Baru Sukan Berbasikal Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Marang Monsoon Ride 2021 anjuran Pejabat Daerah Marang yang berlangsung semalam, mampu menjadi tarikan baru kepada penggemar sukan berbasikal di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program berkenaan wajar dimasukkan dalam kalendar kayuhan bagi penggemar sukan berbasikal di Terengganu.
Ini kerana, laluan kayuhan sepanjang 25km merentasi keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang itu menyajikan pengalaman hebat sepanjang kayuhan.
"Alhamdulillah Marang Monsoon Ride 2021 berjalan dengan jayanya. Saya juga tidak melepaskan peluang hadir bersama-sama peserta kayuhan tersebut.
"Walaupun pertama kali diadakan program ini berjaya menarik lebih 400 penyertaan.
"Selain aktiviti berbasikal, program kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perasmian semalam.
Turut hadir memeriahkan lagi program berkenaan ialah YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Azizul Hadi.
Selain itu, mereka turut disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rozali Salleh, Pegawai Daerah Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
Jelasnya, meskipun program itu cuma di peringkat daerah, ia patut diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan keunikan kawasan Marang kepada orang ramai.
28 Nov 21
911
Nehz Squad 'Raja' PUBG Terengganu 2021
KUALA TERENGGANU, 28 November – Pasukan Nehz Squad muncul juara bagi permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile sempena Karnival e-Sport Belia Terengganu 2021.
Pasukan yang mewakili Hulu Terengganu tersebut berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 beserta piala dan pingat.
Mereka mengalahkan Loco Esports yang menduduki tempat kedua serta Fizx Ghost yang menduduki tempat ketiga.
Ahli pasukannya, Faiz Aiman Baharudin, 20, menyifatkan kemenangan sulung pasukannya dalam peringkat negeri menebus kekecewaan tahun lalu.
Faiz Aiman Baharudin menerima pingat daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim
“Antara rahsia kemenangan memperoleh ‘Chicken Dinner’ adalah berdoa sebelum perlawanan dan latihan secara konsisten. Rata-rata pemain dalam Nehz Squad telah mengasah skil sejak tiga tahun lalu secara kompetetif.
“Kami mendarat dan beraksi dalam PUBG enam hari seminggu dengan sehari cuti kerana ini adalah medan yang difokuskan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Karnival E-Sport Belia Terengganu 2021 di TD1303, petang semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Presiden E-Sports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani.
Sementara itu Mohd Hafizuddin Fikri Namaha, 22 yang juga ahli pasukan itu menyifatkan inisiatif penganjuran sukan elektronik tersebut sebagai mengangkat martabat belia Terengganu bersama kerajaan negeri.
“Program sebegini amat digalakkan, jika ada rezeki tahun hadapan kita akan sahut cabaran lagi,” katanya yang juga seorang penjual runcit.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut menjadi satu medan mengumpulkan dan menghubungkan ‘gamers’ daripada seluruh daerah dan mengembangkan lagi persaudaraan melalui medium digital tersebut.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan Terengganu untuk memperkembangkan lagi bakat anak muda Terengganu dalam sukan e-sports yang kini menjadi fenomena antarabangsa, dengan bidang ini sebagai sumber pendapatan utama.
“Pendidikan dan tunjuk ajar kepada para pemain turut ditekankan dan dibimbing agar tidak leka akan tanggungjawab sebagai seorang muslim,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, kerajaan merancang agar program tahunan ini sentiasa berjalan dalam membina bakat sukan tersebut yang kini menjadi medan pungutan medal.
Untuk rekod Kejohanan tahunan anjuran UBSNT dengan kerjasama Esports Malaysia Terengganu telah disertai oleh 32 pasukan daripada setiap daerah pada tahun ini dalam merebut takhta nombor satu sebagai juara PUBG peringkat negeri.
28 Nov 21
452
Penyokong Terengganu Mahu Nafuzi Kekal
KUALA TERENGGANU, 27 November - Rata-rata penyokong Terengganu FC yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim semalam mahu Nafuzi Zain terus diberi kepercayaan menerajui pasukan pantai timur itu.
Salah seorang penyokong, Syed Zulkarnain Tuan Ngah, 31, berkata, jurulatih muda itu perlu diberikan lebih ruang dan peluang bagi mencorakkan skuad yang dibarisi ramai pemain berpotensi.
"Walaupun kalah kita sebenarnya telah menang moral apabila mengikat skuad bintang Harimau Selatan di laman sendiri pada aksi separuh akhir pertama tempoh hari.
"Harus diingat perbezaan antara Terengganu FC dan Johor DT terlalu ketara dan Nafuzi bersama pemainnya telah melakukan yang terbaik sehingga ke tahap ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Sementara itu, Wan Luqman Hakim, 34, berpendapat, Nafuzi memiliki kelebihan menonjolkan bakat-bakat muda Terengganu ke saingan liga tertinggi kebangsaan.
Justeru, beliau merasakan pengurusan Terengganu FC perlu menguruskan segera kontrak jurulatih tersebut yang akan berakhir 30 November ini.
"Jika diuruskan segera, Nafuzi akan dapat lebih masa membentuk pasukan untuk saingan Liga Super 2022.
"Pemilihan pemain import perlu diperhalusi sebaiknya kerana aspek ini turut menjadi masalah kita pada musim ini," katanya.
Dia berharap, Terengganu FC akan lebih mencabar tahun depan dengan perubahan dan pertambahan kualiti di beberapa posisi kritikal.
27 Nov 21
2498
Hati Nafuzi Masih Untuk Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 27 November - Nafuzi Zain menyatakan keutamaannya masih kepada Terengganu FC meskipun kontraknya bersama pasukan itu bakal tamat 30 November ini.
"Saya masih menunggu tawaran Terengganu FC sebelum membuat sebarang perancangan.
"Jika ada kelab yang sudi berunding, saya terbuka untuk berbincang tetapi keutamaan saya masih untuk Terengganu FC kerana sepanjang dua tahun bersama, saya rasa ada misi yang belum tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta pemberita mengulas statusnya bersama Terengganu FC, selepas perlawanan semalam.
Jelasnya, masih ramai pemain yang perlu bimbingan dan memerlukan lebih masa untuk matang menjadi pemain lebih baik.
"Pandangan dalam bola sepak ini berbeza antara individu, mungkin ada yang rasakan saya bagus, ada yang tidak.
"Namun, secara peribadi saya berpuas hati dengan persembahan pemain, saya bangga kerana ramai pemain muda tempatan mendapat peluang untuk bermain di peringkat tertinggi," katanya.
27 Nov 21
2923
Terengganu Lepas Peluang Tamatkan Penantian 20 Tahun
JOHOR BAHRU, 26 November - Terengganu FC melepaskan peluang untuk menamatkan penantian 20 tahun tanpa Piala Malaysia selepas terkandas di peringkat separuh akhir kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Walau bagaimanapun, aksi memukau skuad Terengganu FC sehingga layak ke peringkat separuh akhir sangat membanggakan.
Dalam perlawanan semalam, bolos tiga gol dalam 15 minit pertama perlawanan mengakibatkan Terengganu FC tewas 0-3 kepada JDT dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia 2021, sebentar tadi.
Bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, segalanya serba tidak menjadi buat Sang Penyu.
Pada minit ke-6, penyerang Harimau Selatan, Bergson Da Silva yang mengintai peluang terbuka, melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk JDT selesa di depan dengan gol pertama perlawanan.
Empat minit kemudian, bermula dengan gerakan pemain muda meningkat naik, Arif Aiman, Gonzalo Cabrera berjaya mencetak gol kedua tuan rumah apabila memanfaatkan peluang dalam keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti Terengganu FC.
Tersentak dengan gol tersebut, anak-anak buah Nafuzi Zain cuba mengatur kembali penguasaan bola.
Namun, kesilapan Habib Haroon gagal mempertahankan bola dihukum rembatan Bergson yang menggegar gawang Sang Penyu pada minit ke-14.
Ketinggalan 3-0, Terengganu FC seakan mendapat harapan baru untuk bangkit apabila Syafiq Rahim diarahkan keluar padang akibat mengasari Faisal Halim setelah perlawanan dihentikan, seminit selepas itu.
Dengan kelebihan seorang pemain, Terengganu FC mula melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-21, pemain muda, Muhammad Zuasyraf Zulkiefli melakukan rembatan, namun terlalu tinggi.
Nik Akif Syahiran yang masuk menggantikannya turut mendapat peluang pada minit ke-35 apabila menerima hantaran lintang Faisal, tetapi rembatannya diselamatkan Farizal Marlias.
Peluang terbaik Terengganu FC hadir seminit kemudian apabila pertahanan, Faisal melakukan hantaran lintang kepada Azarul Nazarith yang tidak dikawal dalam kotak penalti.
Azarul kemudian menolak bola kepada Jordan Mintah di hadapan pintu gol yang terbuka, namun disia-siakan penyerang kelahiran Ghana itu yang merembat tinggi bola melewati palang.
Keputusan kekal dengan JDT selesa mendahului tiga gol.
Memasuki babak kedua, tuan rumah lebih banyak ber'kampung' di kawasan sendiri, namun Terengganu FC terus gagal membolosi kubu kebal tuan rumah.
Kegagalan menggunakan kelebihan satu pemain itu sekaligus memadam harapan pasukan pantai timur untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2018.
Sementara itu, JDT terus cemerlang ke pentas final keempatdalam kejohanan yang kali dijuarainya pada 2019.
26 Nov 21
8140
'Habuan Menanti Terengganu FC'
KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri akan memberi bonus khas kepada skuad Terengganu Football Club (TFC) sekiranya berjaya mara ke pentas 'final' dan menjulang Piala Malaysia musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau yakin skuad penyu mampu mara ke pentas akhir walaupun bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir kedua malam nanti.
Katanya, TFC berdepan misi sukar menentang JDT di Stadium Sultan Ismail (SSI), namun beliau percaya halangan itu dapat diatasi dengan semangat serta disiplin tinggi sekali gus melayakkan mereka ke pentas 'final'.
"Bonus pada setiap kemenangan untuk pemain itu sudah ada, tapi jika mereka berjaya melangkah ke 'final' dan seterusnya menjulang trofi berprestij itu, kerajaan negeri akan beri imbuhan sebagai penghargaan kepada pemain.
"Semua rakyat Terengganu menaruh harapan tinggi agar Piala Malaysia dapat dibawa pulang ke bumi Darul Iman kali ini selepas kali terakhir pada 2001," katanya ketika dihubungi.
26 Nov 21
3157
Tayangan TFC Vs JDT Di 'Big Screen' Stadium Malam Esok
MARANG, 25 November – Kerajaan Negeri menerusi Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) akan membawa suasana dan ‘feel’ saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia dalam tayangan skrin besar di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut adalah bagi membawa kehangatan perlawanan antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim buat penyokong dalam negeri.
“Selain itu, untuk daerah lain juga ada menganjurkan tayangan ‘big screen’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), hanya 500 kerusi disediakan buat peminat daripada Terengganu, TFC juga menyediakan tawaran istimewa melalui pakej penerbangan bersama pemain dan pihak pengurusan dengan 70 tempat terhad.
“Manakala pelbagai kelab penyokong daripada daerah lain mengambil inisiatif mereka menggunakan bas bagi membawa penyokong di sana,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi.
Tambahnya, beliau mengharapkan TFC membawa kejutan dalam perlawanan tersebut kerana ia adalah perkara tidak mustahil memandangkan kelab tersebut pernah mengalahkan Johor di laman sendiri.
Menurut penganjur, majlis bermula pada Jumaat malam akan dimulakan dengan Solat Isyak berjemaah pada jam 8.00 malam dengan tayangan bermula pada jam 9 malam,
Terdahulu, keputusan kekal 1-1 dan Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini dalam aksi timbal balik dengan juara Liga Super 2021 itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.
25 Nov 21
1567
Terengganu Tempuh Laluan Sukar
KUALA NERUS, 22 November- Terengganu FC berdepan laluan sukar apabila seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim dalam aksi sedikit kontroversi pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.
Melayan kunjungan lawan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, skuad kendalian Nafuzi Zain bermula garang apabila mencetak gol pertama melalui penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang menanduk kemas hantaran lintang Lee Tuck seawal minit ke-8 permainan.
Anak-anak buah Benjamin Mora cuba menyamakan kedudukan pada minit ke-10, namun rembatan Bergson Da Silva dinafikan tiang.
Pada minit ke-28, Penyerang muda Harimau Selatan, Arif Aiman berpeluang meledak gol penyamaan, tetapi Mohd Suhaimi Husin lebih cekap menepis rembatannya.
Bergson sekali lagi mendapat peluang satu lawan satu di hadapan gol pada minit ke-41, tetapi ditepis Suhaimi.
Seminit kemudian, Mintah berjaya melepasi perangkap offside dan menggelecek pertahanan lawan, sayangnya rembatan penyerang tersebut hanya menerjah jaring sisi gawang.
Bersambung babak kedua, pasukan pelawat mempamerkan aksi bertenaga dengan lebih banyak menyerang.
Gol penyamaan Johor DT hadir pada minit ke-50 selepas Bergson yang berjaya menewaskan pertahan Terengganu FC, merembat kencang ke gawang tuan rumah.
Sang Penyu lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua dengan menumpukan serangan balas bagi menembusi kubu Johor DT, lebih-lebih lagi setelah pertahanan, Mohd Arif Fadzilah dan Carli De Murga dikeluarkan akibat cedera.
Pada minit ke-71, kekecohan berlaku di hadapan gol Terengganu FC apabila Shane Lowry bertindak mengasari Mintah yang telah terjatuh.
Pemain pertahanan itu turut menjatuhkan penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi yang cuba menenangkannya, namun amat mengejutkan ramai apabila pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin tidak memberikan sebarang kad atas kesalahan tersebut.
Pada minit-minit terakhir perlawanan, Tuan Mohd Yassin turut melakukan beberapa keputusan kontroversi yang menghangatkan suasana di kalangan penyokong di stadium sehingga tamat perlawanan.
Keputusan kekal 1-1 dan Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini dalam aksi timbal balik dengan juara Liga Super 2021 itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.
22 Nov 21
889