Artikel "Sukan" Terkini
Manuel Ott Sertai Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 2 Januari- Pemain import dari Filipina, Manuel Gelito Ott melengkapkan barisan tonggak import pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) bagi saingan musim ini apabila menandatangani kontrak selama satu tahun bersama pasukan itu.
Manuel Ott, sebelum ini beraksi bersama pasukan Melaka United dan memainkan peranan penting membawa skuad Hang Tuah ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.
Pemain tengah berusia 29 tahun itu pernah beraksi bersama kelab Ratchaburi Mitr Phol FC dalam Liga Thailand pada tahun 2019.
Kehadiran Manuel Ott akan mengisi kuota pemain Asean yang ditinggalkan Carli De Murga dan menyarung jersi bernombor 8 bersama pasukan Terengganu FC pada musim ini.
Tonggak itu melengkapkan lapan pemain import Terengganu FC musim ini selepas Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast), Pape Diakite (Senegal), Luke Woodland (Filipina), Argzim Redzovic (Montenegro), Jordan Mintah(Ghana) dan Habib Haroon (Bahrain).
02 Jan 22
1029
Umbro Taja Jersi TFC RM2 Juta
KUALA NERUS, 1 Januari - Terengganu Football Club (TFC) mengorak langkah menggunakan jersi berjenama antarabangsa, Umbro bagi musim 2021-2022.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, penajaan tersebut adalah selama dua musim dengan nilai tajaan kira-kira RM2 juta.
"Sebenarnya kita melalui proses tender dan membuka peluang kepada semua jenama untuk terlibat dan jawatankuasa teknikal telah memilih berdasarkan proses tersebut.
"Lagipun, peminat telah biasa dengan jenama tempatan dan mempunyai keinginan lebih tinggi. Maka, jenama Umbro ini dipilih untuk memenuhi keinginan peminat memakai jenama antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian penajaan di pejabat TFC, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengurus Penjenamaan Umbro, Anwar Mamtaj berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai.
"Bagi pihak Umbro, kami daripada Al-Ikhsan Sport Sdn. Bhd sudah ada pengalaman bersama TFC selama beberapa musim.
"TFC mempunyai penyokong yang sangat bagus, jadi daripada segi komersial ia amat memberangsangkan bagi kita.
"Ini peluang kita untuk membawa jenama lebih baik kepada TFC dengan Umbro memang terkenal dalam bola sepak dan pernah dipakai oleh pasukan besar, eleman ini kami bawa," katanya.
Lebih menarik, Anwar menyatakan, TFC menjadi pasukan pertama ditaja Umbro secara sponsor penuh dengan 'total package'.
"Musim ini kita akan bawakan 'template international', bukan template yang kita buat sendiri tetapi semua daripada Umbro sendiri sebagaimana pasukan-pasukan di Liga Perdana Inggeris," katanya.
Umbro akan memasarkan tiga kit meliputi jersi home, jersi away dan jersi ketiga yang akan mula dijual selepas pelancaran jersi pasukan TFC hujung bulan ini.
01 Jan 22
3350
Anak Marang Menang RM10,000 Cabutan Bertuah TSG Virtual Ride
KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Anak jati Kampung Sungai Kerak, Marang muncul pemenang cabutan bertuah utama sempena program Terengganu Cycling Team (TSG) 10-Years Anniversary Virtual Ride berupa wang tunai RM10,000.
Kemenangan Mohd Amirul Ramli, 28, diumumkan oleh Pengarah Eksekutif Terengganu ProAsia Cycling Team merangkap Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja pada majlis penyampaian hadiah program tersebut yang diadakan secara ‘live’ di Tingkat 3, Studio TSG, hari ini.
Amirul yang merupakan anak kedua dari tujuh beradik berkata, dia tidak menyangka menjadi pemenang hadiah utama selepas membelanjakan RM120 untuk melayakkannya menyertai cabutan bertuah itu.
"Saya terkejut dan sangat tidak sangka ketika dihubungi pihak TSG sebentar tadi mengatakan saya pemenang utama cabutan bertuah ini," katanya yang dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman.
Katanya, setakat ini dia belum memikirkan bagaimana untuk membelanjakan wang tersebut.
“Tidak sangka nombor cabutan 348 membawa rezeki kepada saya, teruja sangat sampai tidak ada lagi rancangan untuk buat apa dengan duit ini,” ujarnya yang merupakan seorang pekerja kilang.
Difahamkan, program kayuhan secara maya yang dianjurkan buat julung kalinya oleh TSG, pasukan berbasikal bertaraf benua Asia yang kini genap 10 tahun penubuhan adalah sebagai penghargaan kepada peminat setia TSG yang terus memberi sokongan terutama dalam misi untuk meningkatkan lagi kualiti dan pencapaian pasukan.
Kayuhan ‘TSG Virtual Ride 2021’ yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Disember lalu untuk jarak kayuhan sekurang-kurangnya 40 kilometer perlu ditempuhi setiap peserta di lokasi masing-masing, menawarkan sebanyak 110 hadiah cabutan bertuah kepada peserta sebagai tanda penghargaan kepada peminat khususnya.
28 Dec 21
836
International Golden Monsoon Ride Janji Cabaran Menarik Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Menutup tirai 2021, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) menjanjikan pengalaman aktiviti berbasikal 'off-road' lebih baik dengan penganjuran International Golden Monsoon Ride, tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, berikutan kejayaan penganjuran Golden Monsoon Ride 2021 baru-baru ini, pihaknya berhasrat mengangkat kejohanan berkenaan ke peringkat antarabangsa pada tahun 2022.
"Saya rasa berjaya dan kita dapat lihat penyertaan yang banyak daripada pelbagai pihak dalam dan luar terengganu. Terdapat sekitar 800 peserta daripada anak-anak syarikat, individu persendirian dan kelab-kelab berbasikal di Terengganu serta luar.
"Kita nampak sebenarnya kategori cabaran MTB (Mountain Bike) ini kita boleh bawa ke peringkat antarabangsa, sebab saya diberitahu Terengganu Cycling Team (TSG) sendiri trek itu amat menarik dan mencabar, sesuai untuk kita tingkatkan ataupun ketengahkan di peringkat antarabangsa.
"Jadi kita akan tengok bagaimana. Untuk akan datang, kita akan namakan International Golden Monsoon Ride dengan hadiah yang amat menarik dan kita akan tingkatkkan lagi lebih banyak kategori pada tahun-tahun akan datang," katanya pada kejohanan yang berlangsung di Setiu, baru-baru ini.
Terdahulu, Golden Monsoon Ride 2021 mengangkat kategori off-road sejauh 25 kilometer sebagai perlumbaan utama dengan cabaran pendakian lima bukit dalam cuaca hujan bertempat di Akademi TDM Sungai Tong.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah berupa tunai RM1,500 bagi pemenang yang dimenangi oleh pelumba TSS, Shahrul Mat Amin.
Selain itu, Golden Monsoon Ride turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Honda ADV 150 berharga lebih RM10,000.
27 Dec 21
604
Kehilangan Besar Sukan Rugbi Terengganu - Exco Sukan
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Kerajaan negeri menyifatkan pemergian ketua jurulatih skuad ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat sukan ragbi Terengganu tetapi juga buat negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Allahyarham adalah antara individu yang begitu komited dalam pembangunan sukan, bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di peringkat kebangsaan.
"Sudah tentu pemergian Allahyarham satu kehilangan besar khususnya di Terengganu terutama dalam pembangunan sukan ragbi pada peringkat akar umbi.
"Kami begitu terasa kehilangannya kerana sukan ragbi antara yang kita sasarkan untuk mendapat pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma), lagipun sekarang sukan itu berada pada landasan terbaik untuk mengutip pingat.
"Jika diimbas kembali baru-baru ini kita sudah selesai pertandingan ragbi yang diadakan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Gong Badak, jadi ketika kita mengilap bakat-bakat yang ada ini, tiba-tiba berlaku kematian, jadi sudah tentulah warga ragbi agak terasa kehilangannya.
"Bagaimanapun kita yakin dengan asas yang dibina oleh Allahyarham, kita akan meneruskan kesinambungan bagi memastikan sukan itu terus bertapak kukuh di Terengganu lebih-lebih lagi stadium baharu dinaik taraf baru-baru ini," katanya selepas merasmikan Marang Monsoon Challenge di Marang hari ini.
Terdahulu, Izaimi, 48 menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.45 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman susulan pembedahan kerongkong di hospital berkenaan pada Khamis.
Allahyarham yang juga guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Terengganu adalah ketua jurulatih skuad Piala Agong dan Sukma Terengganu bermula 2017 hingga kini. Allahyarham juga pernah membimbing skuad negara Bawah-15 (B-15), B-17, B-19 dan B-20.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor.
27 Dec 21
471
800 Pengayuh Meriahkan Cabaran Berbasikal Monsun Marang
MARANG, 26 Disember - Seramai 800 peserta dari dalam dan luar negeri memeriahkan acara berbasikal Cabaran Monsun Marang (MMC) 2021 di sekitar daerah ini pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Persatuan Lumba Basikal Terengganu dengan kerjasama Majlis Daerah Marang itu menerima sambutan menakjubkan meskipun diadakan pada musim tengkujuh.
“Acara ini mempertandingkan empat kategori iaitu ‘Road Race’ (78 KM), ‘Mountain Bike Race’ (25 KM), ‘Women Open (25 KM) dan kayuhan santai (25 KM) yang bermula di Dataran Bandar Marang.
“Di samping kewujudan laluan berbasikal baharu di daerah ini, anjuran sebegini boleh diadakan setiap kali hari cuti dan pelepasan sama ada di peringkat komuniti setempat, daerah dan negeri.
Wajah ceria mewarnai Fun Ride MMC 2021
“Sambutan peserta daripada negeri-negeri seperti Johor, Selangor, Perak dan lain-lain lagi menunjukkan sukan ini bukan sahaja terkenal dengan atlet malah rakyat biasa juga, insya-Allah, penganjuran ini dapat diteruskan dan kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengayuh luar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas acara flag-off MMC 21, di Dataran Bandar Marang, pagi tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YM Tengku Bijaya Raja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.
Tambah Wan Sukairi, kejayaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu dalam kejohanan Terbuka Negeri Sembilan meningkatkan lagi momentum dalam sukan tersebut.
“Mungkin disebabkan perhatian tinggi dan fokus diberikan panel jurulatih dan para atlet meskipun mengharungi fasa pandemik COVID-19, namun kita terus mengambil ruang dan peluang melalui latihan atas talian dan penyertaan dalam kelonggaran diberikan,” katanya lagi.
26 Dec 21
812
Jurulatih Ragbi Terengganu Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Ketua Jurulatih Pasukan Ragbi Terengganu (TRT), Izaimi Zainuddin, 48, meninggal dunia akibat jangkitan kuman di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 4.45 petang semalam.
Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu (PRT), Amir Amri Muhammad berkata, Izaimi telah dimasukkan ke wad HKL pada Selasa lalu sebelum menjalani pembedahan kerongkong kelmarin.
"Kematian Allahyarham satu kehilangan besar khususnya buat pasukan ragbi Terengganu kerana arwah banyak menyumbang tenaga, idea dalam membangunkan sukan itu.
"Allahyarham juga seorang jurulatih yang disegani selain sudah banyak membantu kejayaan pasukan negeri sehingga bergelar antara salah satu kuasa ragbi dalam negara," jelas Amir Amri ketika dihubungi semalam.
Allahyarham Izaimi, 48, yang juga seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu adalah watak penting membawa Terengganu menjulang Piala Agong pada 2019 selepas mengalahkan Sabah pada perlawanan akhir.
Beliau juga melatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu sejak 2017 selain pernah membimbing pasukan Bawah-17 (B-17) dan Bawah-15 (B-15) negara pada tahun 2011 dan 2016.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor pada pagi ini.
26 Dec 21
1202
MCT Lancar Tabung Bencana Bantu Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 21 Disember- Dalam kemeriahan Kenyir Monsoon Casting Tournament (MCT), para penggiat sukan memancing tidak melupakan rakan-rakan dan saudara yang ditimpa bencana banjir ketika ini.
Justeru, pihak MCT melancarkan Tabung Bencana Banjir yang dilancarkan pada hari akhir festival yang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu bertujuan membantu mangsa yang teruk dilanda banjir.
Pengerusi Sekretariat MCT 2021, Azri Ngah, berharap ia dapat meringankan beban selain menghilangkan kesedihan mangsa yang kehilangan harta benda, kediaman, malah turut membabitkan kehilangan nyawa.
"Kita belum dapat jumlah sebenar kutipan hari ini dan kutipan ini akan diserahkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima," katanya selepas perasmian penutup MCT, semalam.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Timur, Hafiz Hazin, berkata pelancaran tabung berkenaan adalah tindakan tepat dilakukan penganjur pada masa ini.
"Dalam kita berseronok menjayakan festival ini, kita tidak lupa kepada saudara kita, rakan dan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan bencana ini.
"Malah, ada peserta dari negeri terbabit banjir termasuk kakitangan Tourism Malaysia terpaksa pulang serta-merta selepas kediaman mereka dinaiki air," katanya.
MCT 2021 mendapat sambutan meriah apabila menerima penyertaan lebih 350 kaki pancing termasuk dua peserta luar negara masing-masing dari Amerika Syarikat dan Jepun.
21 Dec 21
497
800 Pelumba Pamer Aksi Dalam Hujan Di Golden Monsoon Ride
SETIU, 19 Disember - Suasana hujan lebat mengujakan peminat sukan berbasikal apabila hampir 800 penunggang basikal turun beraksi dalam Golden Monsoon Ride 2021, semalam.
Sebahagian besar peserta hadir memberikan saingan dalam kayuhan santai sejauh 53 kilometer. Manakala, sebahagian lagi turun mencabar dalam acara santai dan cabaran 'off road' di trek sejauh 25 kilometer dalam ladang sawit TDM Bhd (TDM).
Cabaran off road yang bermula di Akademi TDM, Sungai Tong itu melalui lima kawasan berbukit itu menawarkan hadiah tunai RM1,500 dan sijil bagi johan, diikuti tempat kedua RM1,000, ketiga (RM800), keempat (RM500) manakala kelima hingga ke-10 masing-masing RM100.
Program berbasikal berkenaan dirintis Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) melibatkan kerjasama lima anak syarikat iaitu GPB, TDM Bhd. (TDM), Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dan Ladang Rakyat Sdn. Bhd..
Penganjuran Golden Monsoon Ride dijangka akan menghiasi acara tradisi tahunan Kumpulan Terengganu Inc. sekali gus dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun depan.
Malah, perlumbaan bertaraf antarabangsa itu selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal pada 2022.
19 Dec 21
532
Shahrul Juara Golden Monsoon Ride 2021
SETIU, 18 Disember - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin membuktikan kemampuannya dalam acara 'off road' apabila mengungguli kategori Golden MTB Off-Road Challenge Open dalam Kejohanan Golden Monsoon Ride 2021, hari ini.
Ketika ditemui pemberita, Shahrul memuji cabaran trek sepanjang 25 kilometer yang disediakan penganjur.
"Trek ini memang mencabar dengan bukitnya, dengan jalan berselut, memang 'tough' dan menyeronokkan.
"Ditambah hujan lebat, bagi penggemar MTB memang itu yang kami cari," katanya.
Tambahnya, cabaran 'off-road' sebenarnya turut membantu meningkatkan prestasi penunggang.
"Cabaran off-road ini berbeza, kita dapat 'improve' lebih kepada kayuhan on-road kita, bagi saya ia membantu untuk prestasi saya berlumba musim ini," katanya.
Shahrul berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1:05:45s.
Kemenangan tersebut menyaksikan beliau membawa pulang hadiah kemenangan berupa tunai sebanyak RM1,500, medal beserta sijil.
Menurutnya, Golden Monsoon Ride perlu diadakan lebih kerap.
"Sebelum ini ramai yang dah mencuba kayuhan MTB tetapi selepas pandemik, ia jadi 'slow' sedikit.
"Kalau ada sebenarnya memang dijangka akan ramai yang datang," katanya.
18 Dec 21
542