Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu Juara Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia 2022
KUALA LUMPUR, 19 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) memulakan langkah bergaya dengan memenangi Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 semalam.
Kejayaan THT hadir selepas berjaya menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Penyerang berbisa THT, Faizal Saari membuka tirai jaringan melalui pukulan sudut penalti seawal minit ketujuh perlawanan berlangsung.
TNB terus mengasak kubu Terengganu bagi menyamakan kedudukan namun berjaya dihalang oleh penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman yang bertindak cemerlang sehingga habis suku masa pertama.
Memasuki suku masa kedua, skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin terus melancarkan serangan ke kawasan THT bagi mencari gol penyamaan.
Pada minit ke-21, TNB berjaya mendapat dua pukulan penalti namun gagal melepasi gawang THT setelah penjaga gol THT bertindak cemerlang menghalang.
Sebaliknya, pada minit ke-35, THT mengandakan kedudukan apabila pengadil perlawanan menganugerahkan penalti stroke setelah bola daripada pukulan sudut penalti THT terkena muka, Faiz Helimi, Kapten TNB.
Faizal Saari yang tidak mengsia-siakan peluang terhidang tersebut telah menjadi duri dalam daging buat TNB setelah menambah jaringan buat THT hasil pukulan itu.
Menjelang 5 minit terakhir perlawanan suku masa ketiga, THT sekali lagi berjaya meledak gol melalui Arif Syafie setelah dihadiahkan pukulan sudut penalti oleh pengadil perlawanan.
Meskipun Pemain TNB, Najib Abu Hassan berjaya membuka tirai jaringan bagi mengejar kedudukan perlawanan pada saat-saat akhir perlawanan suku masa ketiga serta menambah jaringan pada minit ke-52 melalui Faiz Helmi.
Jaringan tersebut tidak berjaya melebur misi THT untuk memenangi perlawanan tersebut apabila kekal 3-2 sehingga tamat perlawanan.
Tambah manis lagi, kemenangan itu juga membolehkan THT mengutip tiga mata sekali gus memulakan kempen pemburuan kejuaraan utama saingan teratas hoki negara dengan momentum positif.
19 Feb 22
525
Pasukan Hoki Terengganu Buru Kejuaraan Berganda
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam misi memburu kedudukan terbaik dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan tersebut tetap berazam menawarkan aksi terbaik pada tahun ini.
“THT yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah beraksi cemerlang dan meraih kejuaraan berganda dalam Liga Hoki Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut pada 2014, 2015, 2016 dan 2017.
"Kemudian, pada tahun 2021, THT telah berjaya merebut kembali Piala TNB dan menjadi Naib Juara Liga setelah berada pada tangga ketiga liga pada tahun 2020.
“Saya percaya, semua pemain pada tahun ini pasti lebih bersemangat untuk meraih kembali kejuaraan berganda yang pernah dikecapi dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Hoki Terengganu di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, Penaung Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Prof. Madya Dato' Dr. Shamala A/P Subramaniam, Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Mohd Fikri Harun.
Dalam perkembangan yang sama, Ir. Saiful Azmi berkata, THT meletakkan sasaran untuk merampas kembali sekurang-kurangnya satu piala pada tahun ini.
“Meskipun dalam kekangan Covid-19, pasukan telah menpersiapkan pemain untuk bermain dalam keadaan yang terbaik,” ujarnya.
18 Feb 22
581
25 Pasukan Berentap Rebut Piala Penyelaras DUN Batu Rakit 2022
SETIU, 14 Feb - Sebanyak 25 buah pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit bagi merebut Piala Penyelaras DUN berkenaan.
Kejohanan yang bakal bermula 18 Februari ini akan menggunakan format liga di mana pasukan-pasukan bertanding dibahagikan kepada enam kumpulan sebelum bertemu diperingkat 16 kalah mati.
Pengarah Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah, Harun Muhammad berkata, program berkenaan hanya boleh disertai oleh Pengundi DUN Batu Rakit bagi memberikan lebih kelebihan kepada penduduk tempatan.
“Antara objektif utama kejohanan ini supaya golongan muda di sini merasa diri mereka didekati, tidak dipinggirkan dan dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti berfaedah dan sihat,” katanya
Harun berkata, kejohanan itu juga menjadi landasan kepada anak muda untuk mengembangkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.
"Setiap pemain perlu menutup aurat ketika bermain dan mana-mana pemain yang melanggar peraturan ini, tidak akan dibenarkan bermain.
"Saya berharap kejohanan ini akan berjalan dengan lancar tanpa berlaku insiden-insiden yang tidak diingini", katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai Majlis Serahan Jersi dan Pengundian Kejohanan Bola Sepak di Dewan Serbaguna Wakaf Catur,Maras, semalam.
14 Feb 22
624
Wan Sukairi Harap Insiden 'Kungfu' Tidak Berulang
KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap insiden yang berlaku dalam perlawanan antara Terengganu FC II dan Penang FC, semalam.
"Saya bagi pihak penganjur mengucapkan syabas dan tahniah kepada Terengganu FC II yang muncul juara Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022.
Wan Sukairi bertemu pengurusan Penang FC selepas perlawanan semalam.
"Dalam masa sama, melahirkan rasa kecewa dengan insiden yang berlaku dan kita harapkan insiden sebegini dapat dielakkan dalam pertandingan selepas ini.
"Walaupun insiden berlaku, semoga tujuan dan matlamat perlawanan bukan sahaja untuk dapat kemenangan tetapi juga menaikkan taraf sukan bola sepak dan melahirkan bakat hebat tercapai," katanya.
Jelasnya, perkara berkenaan akan dirujuk kepada pihak berwajib dan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk membuat sebarang keputusan berdasarkan laporan yang bakal diberikan penganjur nanti.
Tambah Wan Sukairi, peristiwa yang berlaku juga tidak sekali-kali mematahkan semangat penganjur untuk terus mengadakan kejohanan itu pada masa akan datang.
"Kepada pasukan Terengganu FC I dan II, pengurusan dan juga kru supaya dapat saling bekerjasama serta membantu satu sama lain untuk menjadikan Terengganu FC pasukan yang digeruni dan mampu memenangi apa juga kejohanan yang disertai.
"Momentum yang ada malam ini adalah satu permulaan yang baik.
"Kita harap ini adalah petanda baik dan pembuka semangat kepada pasukan dalam kejohanan yang lain," katanya.
10 Feb 22
2769
Terengganu FC II Juara Piala MB Terengganu 2022
KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Terengganu FC II dinobatkan sebagai juara Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022, apabila menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi terakhir, sebentar tadi.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke 30.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) itu terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin, pada penghujung separuh masa pertama apabila berlaku pergaduhan di kalangan pemain kedua-dua pasukan.
Kekecohan bermula selepas pemain-pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad menampan sepakan penalti kapten Harimau Kumbang, Endrick Dos Santos pada minit ke-45 perlawanan.
Ketidakpuasan hati beberapa pemain kemudiannya mencetuskan pergaduhan dan aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan sebelum dileraikan anggota keselamatan.
Rentetan insiden tersebut, seorang pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan pemain tuan rumah, Mohd Ridzuan Mohd Razali cedera di bahagian kepala.
Setelah 45 minit dihentikan, pengadil terpaksa menamatkan perlawanan atas faktor tertentu.
Skuad 'adik' yang mendahului 1-0 pada separuh masa pertama diangkat sebagai juara kejohanan edisi kedua selepas mengumpul enam mata hasil tiga perlawanan.
Dalam pada itu, pasukan Terengganu FC menoktahkan aksi dengan kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), dalam satu lagi perlawanan sebentar tadi.
Wan Sukairi menyampaikan pingat kemenangan kepada Terengganu FC II.
09 Feb 22
851
Nafuzi Komited Kemudi Terengganu FC
KUALA NERUS, 6 Februari - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu terus komited dengan tugasnya mengendalikan pasukan tersebut biarpun terdapat ura-ura namanya antara yang tercalon sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan Gon bagi mengemudi skuad kebangsaan.
"Setakat ini tiada lagi tawaran rasmi dan saya sendiri tidak pernah memikirkan nama saya menjadi isu (calon penolong jurulatih).
"Kalau betul, itu merupakan satu penghargaan kepada saya tercalon untuk jawatan itu. Namun, minat tidak boleh cakap kerana kini komitmen saya hanya pda Terengganu FC," katanya kepada pemberita selepas aksi pertama pra-musim dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022, semalam.
Jelasnya, sekiranya ada tawaran rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), barulah perkara itu akan difikirkan.
"Buat masa ini, Terengganu FC dan pemain-pemain saya lebih penting," katanya.
Dalam pada itu, pada aksi pertama menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) semalam, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan jaringan dihasilkan oleh Kpah Sherman dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah.
Sekalipun seri, Nafuzi berpuas hati dengan persembahan pasukan kendaliannya.
"Malam ini bagi saya perlawanan pertama bertemu Penang FC ini agak kompetetif. Saya berpuas hati walaupun keputusan seri, tetapi objektif yang kita mahukan, tercapai.
"Kalau kita tengok kombinasi pemain agak baru dan ini ruang melihat, menilai dan mencari persefahaman. Banyak aspek yang saya dapat lihat dan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.
Mengenai Pape Diakite dan Luke Woodland di barisan pertahanan pula, jelasnya gandingan tersebut masih baru.
"Kita masih ada masa untuk membina gandingan mantap dan bagi malam ini, masih terlalu awal untuk kita menilai," katanya.
06 Feb 22
566
Sukan Takraw Tepoh Terima Suntikan, Ligatkan Riadah Anak Muda
KUALA NERUS, 6 Februari - Sukan Takraw di Tepoh bakal menerima suntikan semangat baru melalui insentif kewangan sebanyak RM500 kepada sembilan buah gelanggang takraw yang aktif bertujuan meligatkan lagi aktiviti sukan komuniti tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim berkata, buat anak muda di kawasan itu, takraw merupakan diantara aktiviti riadah yang paling digemari melihat kepada jumlah buah gelanggang yang banyak dan meriah.
"Saya berharap ke semua gelanggang yang terlibat dalam pertandingan ini (Kejohanan Sepak Takraw Tepoh) terus bergiat aktif dan berusaha mencungkil bakat baru.
"Untuk hari ini, disamping sumbangan sebanyak RM500, tiga biji bola sepak takraw dan satu set jersey untuk semua pasukan bertanding akan disediakan selepas acara kejohanan hari ini tamat.
"Usaha ini merupakan satu lontaran semangat buat semua penggiat sukan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Tertutup DUN Tepoh di Gelanggang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), baru-baru ini.
Terdahulu, sumbangan peralatan dan prasarana aktiviti sukan seperti bola dan jaring sepak takraw menjadi aktiviti rutin Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh untuk membangunkan dan mempromosikan aktiviti sihat buat golongan belia.
06 Feb 22
332
TDC Holdings Taja Terengganu FC RM4 Juta
KUALA NERUS, 18 Januari - TDC Holdings Sdn Bhd, pengeluar produk kesihatan Colever diumumkan sebagai penaja platinum bagi Terengganu Football Club (TFC) bagi musim 2022 dan 2023.
Syarikat yang terkenal dengan produk susu kolostrum, C2Joy itu menandatangani persefahaman strategik bersama TFC Sdn Bhd dengan penajaan bernilai RM4.5 juta bagi dua musim bermula tahun ini.
Tajaan tersebut melibatkan sokongan kewangan berjumlah RM2 juta bagi setahun dan RM500 ribu melalui penajaan barangan.
Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings, Mohd Hafizudin Hiew Abdullah berkata, persefahaman tersebut merupakan langkah mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat.
“Pada awalnya, perbincangan lebih bertumpu kepada penajaan biasa, namun setelah beberapa pertemuan kita berhasrat menjadi penaja platinum bagi TFC dan menjalinkan persahabatan antara kedua entiti.
“Melalui siri-siri pertemuan, kita menilai visi dan misi kita bersama TFC agak selari, ‘branding’ kita juga agak sinonim dan sesuai dengan pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani persefahaman di Komplek Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Tambahnya, selain memberi sokongan kewangan, pihaknya juga memfokuskan kerjasama sebagai rakan kerja strategik dalam perniagaan bagi membangun TFC supaya bukan sahaja bergantung kepada dua sumber iaitu jualan tiket dan marchandise cenderamata tetapi turut memiliki pembangunan produk bersama pada masa depan.
“Untuk makluman, TDC Holdings juga adalah sebuah syarikat yang fokus kepada pemasaran, jadi kita boleh melakukan pemasaran produk yang boleh menjana keuntungan kepada TFC secara konsisten,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berbesar hati dengan penajaan berkenaan.
“Ini adalah nilai keseluruhan penajaan berdasarkan apa yang dimeterai. Namun, kerjasama lain akan turut dijalinkan melalui perbincangan dan persefahaman dari masa ke masa,” katanya.
Majlis persefahaman terbabit turut dihadiri pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain bersama sebahagian pemain TFC.
18 Jan 22
4692
Tajaan TDM Suntik Semangat TSG Cabar Kejuaraan
KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Tajaan TDM Berhad untuk Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mampu menyuntik semangat pasukan terbabit merebut kejuaraan pada tahun ini.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM yakin pasukan bertaraf benua tersebut mampu mengekalkan momentum kejayaan dan mengungguli kedudukan di peringkat dunia.
"Perkara ini juga akan menjadi satu peluang promosi dalam sektor pelancongan sukan buat KMI Healthcare, selari dengan penjenamaan identiti baharu dan perkembangan perniagaan yang dijalankan oleh TDM.
"TDM meletakkan keyakinannya terhadap barisan pelumba dan keupayaan TSG untuk menempa kejayaan sulung di 'Tour of Sharjah' yang dijangka bermula pada 28 Januari nanti," ujarnya ketika ditemui dalam majlis memperkenalkan barisan pelumba dan penaja baharu TSG di Hotel Primula baru-baru ini.
Majlis memperkenalkan pelumba dan penaja TSG.
Menurut Najman, kerjasama tersebut merupakan satu kejayaan buat TDM dalam merintis penglibatan dalam sektor sukan dan perubatan sekali gus menjadi saluran promosi strategik.
"Peluang kolaborasi bersama TSG dan barisan pelumba basikalnya dapat dijana dalam usaha mendorong gaya hidup sihat melalui penjagaan kesihatan yang baik," ujarnya.
Jelas Najman, hospital syarikat menawarkan pelbagai perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan berpatutan, lengkap dengan kemudahan terkini yang disokong oleh barisan pakar perubatan berkemahiran tinggi.
"KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) misalnya dilengkapi dengan Pusat Fisioterapi dan Pemulihan serba lengkap yang dapat memberi manfaat kepada para pelumba basikal, atlet professional dan peminat sukan dalam memulih dan mengekalkan mobiliti, fungsi serta kesejahteraan tubuh badan.
"Pihak syarikat berhasrat untuk mengetengahkan kemudahan ini bersama perkhidmatan penjagaan kesihatan lain kepada orang ramai," katanya.
Untuk Rekod, KMI Healthcare menguruskan lima hospital pakar mesra komuniti iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Center, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre, KMI Taman Desa Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre.
17 Jan 22
442
Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah
KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Anak kelahiran Terengganu, Siti Nur Alia Mansor muncul atlet wanita Malaysia pertama menyertai pasukan berbasikal berstatus pro di Eropah.
Nur Alia, 21, dipilih pasukan kelima terbaik UCI Women's World Tour, Canyon-SRAM Road Bicycle Racing Team yang berpangkalan di Catalonia, Sepanyol bagi saingan musim ini dengan kontrak setahun.
"Alia rasa bangga sebab dapat peluang ini, sebelum ini dengan CIMB pro-cycling team (permubaan trek). Ini menjadi peluang terbesar Alia dalam perlumbaan lebuh raya dan ini peluang untuk buktikan pada negara dan Terengganu.
"Bekas jurulatih TSG, Adam Szabo yang hubungi Alia pada Jun tahun lalu menawarkan untuk sertai pasukan ini. Dia kini menguruskan pasukan wanita untuk UCI ini dan akan menjadi jurulatih Alia dalam pasukan musim ini," katanya yang mengambil masa sekitar dua bulan untuk menyatakan persetujuan.
Belilau berkata demikian selepas menerima insentif penghargaan berjumlah RM3,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman, hari ini.
Adik bongsu kepada atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor itu telah pun menceburi sukan berbasikal semenjak usia 11 tahun dan mewakili Terengganu sejak 2016.
Jelasnya, jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang telah 'menjaga'nya sejak berumur 11 tahun dan memberikan banyak ilmu sehingga dirinya mencapai ke tahap tersebut.
"Bagi Alia, dekat Malaysia kita berlumba dengan sesama kita jadi, di sana mental Alia perlu lebih kuat. Alia akan buat yang terbaik dan harap pemergian Alia akan buka peluang untuk 'rider-rider' lain dari Malaysia," katanya.
04 Jan 22
4076