lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Hakim Danish Lakar Kejayaan Berganda Di Litar Mandalika
Hakim Danish Lakar Kejayaan Berganda Di Litar Mandalika
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Pelumba muda negara Hakim Danish Ramli terus mempamerkan aksi memukau apabila muncul juara perlumbaan kedua pusingan kedua Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 berlangsung di Lombok, Indonesia hari ini. Kejayaan diraih di Litar Mandalika itu menyaksikan Hakim Danish melakar kejayaan berganda selepas turut menjuarai perlumbaan pertama di venue sama, semalam. Malah, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya mengatasi kepantasan 28 minit 8.357 saat (s) yang dirakam pada perlumbaan terdahulu apabila melepasi garisan penamat perlumbaan kedua dengan catatan masa 28:6.916s. Pelumba berusia 15 tahun itu meninggalkan dua pelumba Jepun, Gun Mie dan Shinya Ezawa yang menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Hakim Danish kini mengungguli carta kedudukan pelumba dengan mengumpul 72 mata memintas Ezawa di tempat kedua dengan perbezaan satu mata manakala seorang lagi wakil Jepun Amon Odaki mengutip 54 mata di kedudukan ketiga. Pusingan ketiga dijadual berlangsung di Jepun sebelum saingan diteruskan di Thailand (pusingan keempat), Malaysia (pusingan kelima) dan kembali semula ke Indonesia bagi pusingan terakhir. -- BERNAMA
21 Mar 22
789
Tour Gateh D'Tranung Buka Tirai Perlumbaan
Tour Gateh D'Tranung Buka Tirai Perlumbaan
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Tour Gateh D'Tranung 2022 membuka tirai dengan 144 pelumba daripada 26 pasukan bersaing bagi peringkat pertama, hari ini. 'Flag Off' yang bermula di Pantai Batu Buruk itu disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadzil Wahab. Peringkat pertama merangkumi laluan jambatan ikonik Terengganu, Drawbridge sebelum pecutan pertama di Kampung Merang, Setiu. Perlumbaan peringkat pertama akan berakhir di Stesen Bas Jerteh dijangkakan sekitar jam 1.00 petang ini. Terdahulu, Kejohanan Tour Gateh D'Tranung kembali dianjurkan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2011. Kejohanan dwitahunan itu dijangkakan bakal membuka lembaran baru penganjuran sukan berbasikal tempatan.
21 Mar 22
663
Jelajah Gateh D'Tranung : Nafas Baru Sukan Berbasikal
Jelajah Gateh D'Tranung : Nafas Baru Sukan Berbasikal
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Penganjuran Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2022 yang akan berlangsung selama lima hari, bermula esok menjadi nafas baru sukan berbasikal di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan, kejohanan yang kembali diadakan itu bakal membuka peluang bakat-bakat baru menyerlah dalam arean berbasikal tempatan dan antarabangsa. "Penganjuran kali ini merupakan permulaan yang baik kerana ia pertama kali dianjurkan secara dwi tahunan sebagai kejohanan Jelajah Terengganu pada tahun 1984 dan berakhir pada tahun 2011.  "Kejohanan ini juga bakal menjadi satu titik tolak kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan persatuan serta kelab-kelab basikal untuk mencari bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan ke pasukan negeri mahupun ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Penaja & Pasukan 'Tour Gateh D'Tranung' yang dirasmikan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Kejohanan dianjurkan negeri Terengganu itu selaras salah satu teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Kayuhan Basikal’. Reputasi Terengganu sebagai antara pengeluar terbesar jaguh berbasikal negara berjaya menarik penyertaan 26 pasukan tempatan termasuk dua pasukan daripada Singapura bagi penganjuran tersebut. Tour Gateh D'Tranung akan bermula esok dari Pantai Batu Buruk ke Jerteh bagi peringkat pertama. Kejohanan ini akan menamatkan saingan di peringkat keempat yang berakhir di Kemaman pada Khamis ini, sebelum perlumbaan 'Night Criterium' yang akan berlangsung di Drawbridge pada Jumaat malam. Kejohanan itu boleh disaksikan secara langsung di laman Facebook 'Tour Gateh D'Tranung'.  
20 Mar 22
412
THT Kekal Cabar Pendahulu Liga
THT Kekal Cabar Pendahulu Liga
KUALA TERENGGANU, 19 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) mudah menewaskan TNB Thunderbolts (TNB-T) 5-0 dalam aksi TNB Liga Hoki Malaysia 2022, sebentar tadi. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Burok, THT bermula garang namun sukar untuk menembusi gawang TNB-T. Tuan rumah mendapat tujuh pukulan sudut penalti pada suku pertama dan kedua perlawanan, namun gagal menembusi kubu pelawat. Bagaimanapun, penyerang pasukan ,Faizal Saari menamatkan kegusaran penyokong apabila berjaya meledak jaringan pertama hasil serangan balas pada minit ke-26 bagi meletakkan THT selesa di depan pada separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, THT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan, Faizal sekali lagi meledak gol pada minit ke-32 untuk kedudukan 2-0. THT kemudian menambah gol menerusi jaringan padang Muhammad Noor Firdaus Rosdi hadil umpanan Nabil Fiqri Mohd Nor pada minit ke-49 untuk gol ketiga perlawanan. Tuan rumah tetus menambah duka TNB-T dengan Faizal sekali lagi melebarkan jurang melalui jaringan keempat pada minit ke-55. Memasuki babak terakhir, TNB-T akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamasul pada minit ke-59. Kemenangan hari ini membolehkan THT terus merapatkan jurang dengan pendahulu  liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan perbezaan satu mata. Selasa ini, THT akan bertemu TNB dalam aksi terakhir liga, sekaligus menjadi perlawanan penentuan juara TNB Liga Hoki Malaysia 2022. Sebahagian penyokong Terengganu yang hadir memberi semangat kepada pasukan.  
19 Mar 22
567
Kejohanan Berbasikal Terengganu Kembali Selepas 11 Tahun
Kejohanan Berbasikal Terengganu Kembali Selepas 11 Tahun
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan negeri akan menganjurkan kembali sukan berbasikal jelajah Terengganu melalui Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2022 setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2011. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan jelajah Terengganu diadakan pada 20 hingga 25 Mac melibatkan lima pusingan di semua daerah bermula dari Kuala Terengganu dan berakhir di kemaman.  Katanya, program tersebut adalah sebahagian daripada pengumuman Ucapan Belanjawan 2022 yang diumumkan Menteri Besar bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Kayuhan Basikal’.  “Penjenamaan negeri berkaitan sukan berbasikal ini selari dengan salah satu teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030).  “Program ini juga adalah sebahagian daripada pendekatan pelancongan sukan dalam usaha merancakkan kembali sektor ekonomi negeri serta rakyat,” tambah beliau dalam sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.  Wan Sukairi turut berkata, kos sebanyak RM650,000 diperuntukkan kerajaan bagi sesi penganjuran kejohanan kali ini.  “Kejohanan ini akan diadakan secara dwitahunan (dua tahun sekali) namun tidak mustahil untuk diadakan sebanyak setahun sekali sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan,” ujarnya.  Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya serta Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Mazlan Md Jalil. Mengulas lanjut berkenaan kejohanan tersebut, penutupan jalan akan dialakukan di pusingan terakhir sekitar Drawbridge dan akan dimaklumkan oleh penganjur nanti. Kejohanan ini melibatkan penyertaan 27 pasukan berbasikal dengan acara bawah 23 tahun dan terbuka, termasuk dua pasukan dari Singapura iaitu Singapore Cycling Federation dan Specialized Dynasty Mavericks.   
15 Mar 22
974
Tomislav Steinbrückner Dilantik Pengarah Teknikal Terengganu FC
Tomislav Steinbrückner Dilantik Pengarah Teknikal Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 3 Mac- Bekas pengendali pasukan T-Team pada 2015, Tomislav Steinbrückner dilantik sebagai Pengarah Teknikal kelab Terengganu Football Club (Terengganu FC), bermula musim 2022. Sah memegang tampuk berkenaan, jurulatih kelahiran Croatia ini bakal menerajui kesemua struktur pasukan di bawah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB). Tomislav berperanan sebagai pengurus di kelab Divisi kedua Croatia, NK BSK Bijelo Brdo sejak penghujung tahun 2019 sebelum melepaskan jawatannya Disember lalu, merakamkan rasa terima kasih kepada pengurusan Terengganu FC. "Saya gembira kembali lagi ke Terengganu. Saya mahu mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat lagi di sini. "Saya mengikuti perkembangan Terengganu FC beberapa tahun kebelakangan ini dan tahun ini, saya pasti kita akan melihat beberapa peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana kelab telah mendapatkan ramai pemain-pemain berkualiti untuk membantu pasukan ke peringkat tinggi," katanya kehitak dihubungi di sini, hari ini. Kembali sebagai Pengarah Teknikal (TD), beliau melihat tugasan tersebut merupakan cabaran baru yang lebih besar baginya.  "Saya selalu akan membuat yang terbaik, sekarang sebagai TD saya melihat falsafah bola sepak Nafuzi hampir sama dengan saya yang lebih gemarkan pemain muda, saya mengikuti cara kerjanya sebelum ini dan beliau seorang yang bagus serta masih muda. "Saya tahu semua penyokong di Terengganu mengharapkan lebih. Tahun ini, saya di sini untuk membantu Nafuzi dan seluruh pasukan, saya berjanji untuk meningkatkan kualiti dan pencapaian pasukan ini ke peringkat tertinggi," katanya.     
03 Mar 22
821
Terengganu FC Mahu Rampas Satu Piala
Terengganu FC Mahu Rampas Satu Piala
KUALA NERUS, 26 Februari - Pasukan Terengganu Football Club (TFC) meletakkan sasaran untuk memenangi satu piala bagi musim 2022. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga ahli lembaga pengarah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) pasukan. Syarikat Air Terengganu (SATU) menjadi salah satu penaja musim ini. "Seperti kita sedia maklum, pasukan TFC akan memulakan perjuangan seminggu dari sekarang. "Jadi, kita mengharapkan momentum sedia ada dengan serba serbi baru, pemain dapat berikan satu persembahan dan permainan yang baik sebagai merealisasikan impian kita seperti dinyatakan tadi iaitu sekurang-kurangnya satu piala kita dapatkan dalam musim 2022," katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis memperkenalkan penaja, pemain dan jersi rasmi Terengganu Football Club 2022  di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, Terengganu FC mempamerkan jersi utama hitam berkonsepkan tradisional dengan dengan memperkenalkan kegiatan masyarakat Terengganu zaman dahulu khusus nelayan. Manakala, jersi ganti (alternate) menampilkan warna turquoise dengan sulaman warna biru pada logo pasukan dan jenama. Jersi dengan tanda harga RM119.00 itu dikhabarkan akan mula dijual dalam seminggu lagi, sebelum saingan Liga Malaysia 2022 dimulakan.    
26 Feb 22
1474
'Kena Denda RM10,000'
'Kena Denda RM10,000'
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 kepada pasukan Terengganu FC II berikutan insiden 'panas' ketika Kejohanan Bolasepak Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu pada awal Februari lalu. Selain itu, pemain pertahanan TFC II, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabriturut dikenakan denda RM2,000 dan digantung sebulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 25 Mac 2022 akibat melakukan provokasi kepada pemain lawan. Manakala, Pemain sayap TFC II, Mohammad Ridzuan Mohd Razali pula didenda RM4,000 dan turut digantung selama dua bulan daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak bermula 24 Februari hingga 24 April 2022. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya menerima denda itu dengan hati yang terbuka jika benar kesilapan dilakukan pemain skuad The Turtles itu. "Andainya dua pemain TFC II itu betul-betul melakukan kesilapan berkenaan, kita akur dan menerima hukuman itu. "Ini kerana dalam hujah pembelaan, kita mempertahankan diri, tapi disebabkan kita tidak boleh membuat sebarang rayuan mengenai hukuman itu, kita tiada pilihan selain perlu membayar denda berkenaan," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, petang semalam. Beliau turut berharap, hukuman denda itu menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain agar dapat mengawal emosi selain kembali mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi.  Dalam pada itu beliau memaklumkan, kapten skuad kebangsaan Namibia, Petrus Shetembi menjadi pemain import terakhir 'dirantai' Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini. "Shetembi yang sudah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan negaranya sah kembali ke Terengganu selepas didaftarkan pada hari terakhir jendela perpindahan pertama pemain Liga M pada 22 Februari lalu. "Pemain import kesembilan TFC Sdn Bhd itu menandatangani kontrak selama semusim sehingga berakhir saingan Liga M musim ini dan didaftarkan bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II)," katanya. Tambah Ab Rasid, kehadiran pemain itu bakal memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan TFC dan TFC II dalam menghadapi saingan Liga M yang kian mencabar. Selain itu, beliu menyatakan pemain pertahanan, Argzim Redzovic belum lagi didaftarkan sebagai pemain naturalisasi kerana masih tidak cukup syarat.    
26 Feb 22
634
‘Terkejut’ Program Pelancaran Jersi Ada Pengisian Agama
‘Terkejut’ Program Pelancaran Jersi Ada Pengisian Agama
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Rata-rata peminat pasukan Terengganu Football Club (TFC) ‘terkejut’ dan teruja apabila Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Barisan Pemain TFC 2022 pada kali ini berbeza daripada kebiasaan apabila menampilkan beberapa slot keagamaan. Penyokong tegar TFC, Abu Ammar Shafiq, 31, berkata, sepanjang menjadi penyokong skuad penyu ini adalah kali pertama program pengenalan pemain diselitkan dengan pengisian rohani. “Ini satu pembaharuan yang sangat baik, program sukan diadunkan dengan aktiviti agama, kata orang selain bertemu pemain diminati, kita juga boleh sama-sama menambah ilmu. “Apatah lagi, ilmuan yang ditampilkan bukan tokoh biasa-biasa, sebaliknya seorang yang boleh mencuit hati pendengar dengan penjelasan dan celotehnya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. Sementara itu, bagi Mohammad Mirza Danial Mohd Sudzli, 25, inisiatif pihak kerajaan negeri dan penganjur wajar dipuji kerana berani mengetengahkan idea segar. “Semua sedia maklum bahawa masyarakat di Terengganu suka dan cintakan program ilmu, apabila ada forum seumpama itu, pasti lebih ramai masyarakat hadir ke karnival terbabit. “Jadi, karnival kali ini pasti menghimpunkan semua golongan, bukan hanya peminat suka bola sepak, sekali gus ia membangkitkan semangat para pemain untuk menggapai satu piala sekurang-kurangnya,” kata Mirza Danial.  Solehah Zakaria, 27, turut sependapat dengan Mirza Danial, ujarnya, forum Ustaz Haslin Baharin atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Bollywood’ dan Ustazah Asma Harun pasti akan menarik golongan berusia untuk turut memeriahkan karnival. “Sebelum ini, jika sebut program berbentuk sukan, sudah tentu hanya orang muda yang datang, namun kali ini ada pengisian agama, pasti ibu bapa akan turut hadir,” kata penyokong setia TFC itu. Karnival ‘Terengganu Football Club Black And White Day’ (TFCBWD)  yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Februari ini diisi dengan forum keagamaan bersama Ustaz Haslin’ pada hari pertama. Difahamkan, pemain kegemaran peminat TFC, Mohd Faisal Halim atau Mickey turut terlibat dalam forum ‘Berdakwah Melalui Sukan Bola Sepak’ berkenaan sebagai panel bersama pelawak tanah air yang sudah tidak asing lagi, Saiful Apek. Selain, satu lagi program yang mencuri tumpuan ialah Bicara Santai bersama Ustazah Asma harun pada hari kedua karnival.
21 Feb 22
1173
Futsal TFC Lepas Peluang Tambah Mata, Dibelasah 6-0
Futsal TFC Lepas Peluang Tambah Mata, Dibelasah 6-0
KUALA LUMPUR, 19 Februari - Pasukan Futsal Terengganu FC (TFC) terpaksa melupakan hasrat bagi menambah tiga mata penuh dalam membaiki kedudukan liga setelah dibenam skuad Hobin Jang Hobin. Kegagalan TFC mengekang asakan bertubi-tubi dari pasukan Negeri Sembilan (NS) telah menyebabkan Negeri Sembilan menang bergaya dengan enam jaringan tanpa bolos di Stadium Panasonic Shah Alam, petang semalam. Pemain NS, Nazreen Saudi berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke sepuluh hasil lorongan cantik rakan sepasukannya. Tersentak dengan jaringan tersebut, TFC bangkit memburu gol penyamaan.  Namun, Pemain NS, Navin Das berjaya menambah duka TFC setelah menjaringkan gol selepas mengelecek pemain TFC dari tengah gelangan pada minit ke-14. Pada saat-saat akhir perlawanan suku masa pertama, Saiful Nizam, pemain TFC mencuba untuk memecah kebuntuan gol tetapi berjaya dihalang penjaga gawang NS. Keputusan kekal 0-2 sehingga tamat separuh masa pertama. Masuk separuh masa kedua, TFC berjaya melakukan asakan pada awal minit perlawanan.  Tetapi, pemain NS mudah mematahkan serangan dari TFC. Pada minit ke-26, pemain NS sekali lagi berjaya menambah gol yang ketiga hasil rembatan padu Lee Chia kearah gawang TFC. Sekali lagi pintu gol TFC kembali cemas apabila pemain NS yang cuba untuk menjaringkan gol berjaya dihalang oleh penjaga gol TFC dalam pertemuan 1 lawan 1 pada minit ke-27. Asakan bertali arus yang dilakukan NS akhirnya membuahkan hasil apabila pemain NS, Syazwan Ashraf menjadi duri dalam daging buat TFC dengan jaringan yang ke-4 pada minit ke-31 hasil pergelutan di depan gol TFC. Akhirnya, TFC terpaksa akur dengan kehebatan NS apabila NS berjaya menambah 2 lagi jaringan pada minit-minit akhir perlawanan. Keputusan kekal 0-6 sehingga wisel penamat dibunyikan yang menyaksikan TFC terpaksa akur dengan NS.
19 Feb 22
1005