Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu Sasar Juara SUKMA 2022
KUALA TERENGGANU, 12 April- Terengganu kini berada di landasan yang terbaik dalam usaha mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) yang dirangkul kali terakhir pada 2018, lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berbaki 170 hari menjelang pembukaan tirai SUKMA 2022 September ini, kontinjen Terengganu kini memasuki fasa akhir persiapan dalam menghadapi sukan tersebut.
"Insya-Allah, kita yakin sekiranya segala berjalan sebagaimana yang kita rancang, kita mampu menjadi juara keseluruhan tahun ini dengan pungutan pingat yang disasarkan lebih berbanding sebelum ini.
"Dengan kelonggaran yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia untuk membenarkan kita melakukan aktiviti dengan cara yang lebih bebas, kita akan ambil peluang untuk perkuatkan lagi pasukan-pasukan dan juga sukan-sukan yang kita jangka memberikan emas kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Iftar dan Agihan Duit Raya Atlet Sukma di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Shahrizal Yahya serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Pengurus MSNT.
Tahun ini, skuad Terengganu bakal mengambil bahagian dalam 31 acara, iaitu hampir keseluruhan acara-acara yang dipertandingkan SUKMA 2022.
"Ada beberapa acara sandaran emas yang kita jangka mampu memberi kejutan antaranya hoki, kapal layar, muay thai dan silat," katanya.
12 Apr 22
712
Langkah Longlai Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 7 April - Terengganu FC memulakan aksi Liga Super Malaysia 2022 dengan kekalahan besar 0-3 kepada pasukan PJ City, semalam.
Terengganu FC memulakan aksi pertama musim ini selepas penangguhan dua perlawanan awal membabitkan perlawanan liga (vs Sri Pahang) dan Piala FA (NSFC) akibat kekangan Covid-19 dengan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menentang skuad kendalian P. Maniam yang telah beraksi dua perlawanan sebelum ini.
Dalam perlawanan tersebut, anak-anak buah Nafuzi Zain nyata tidak berjaya mengimbangi jenteran serangan PJ City apabila dibolosi jaringan hatrik bekas penyerangnya, Darren Lok pada minit ke 13, 31 dan 38 perlawanan.
Gandingan penyerang import Terengganu, Kpah Sherman dan Kipre Tcheche masing-masing gagal mencipta jaringan buat pasukan gergasi pantai timur itu.
Foto: Media Terengganu FC.
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi mengakui, kekurangan perlawanan kompetitif menjadi punca utama aksi longlai pasukannya sekalipun dibarisi pemain import.
"Perlawanan pertama yang sukar, sebab sudah tiga bulan kita tiada perlawanan sedangkan pasukan lain sudah bermain. Malam ini baru saya melihat kemampuan pasukan bermain dalam perlawanan kompetitif.
"Memang banyak kelemahan, kalah 3-0 memang besar. Dari segi pertahanan, malam ini kita pakai pemain tempatan, jadi banyak benda yang tidak sepatutnya berlaku seperti kadang-kadang kesilapan mudah. Tetapi, masih ada masa untuk kita cuba meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.
Jelasnya, perlawanan terbabit tidak boleh dijadikan penilain terhadap kemampuan pasukannya.
"Ini baru pertama kali (musim ini), jadi kita nampak apa yang perlu diperbaiki. Dari segi permainan, kita menguasai separuh masa kedua. Kita juga tukar beberapa cara bemain, cuba bagi semangat balik saya rasa.
"Pemain cuba bagi yang terbaik namun, selepas ketinggalan pemain mungkin tertekan untuk bangkit balik. Kita cuba mendapatkan sebiji gol untuk meningkatkan permainan balik tetapi PJ City bermain baik," katanya.
Mudah dijinakkan PJ City, Terengganu FC bakal 'berpeluh' lagi apabila bertandang ke Johor Bharu berdepan juara bertahan, Johor DT tiga hari lagi, sebelum beraksi menentang Sarawak United pada 17 April, juga di gelanggang lawan.
Foto: Media Terengganu FC.
07 Apr 22
1721
Hasrat 'Treble' THT Lebur
KUALA LUMPUR, 31 Mac- Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk mendakap piala ketiga musim ini lebur apabila kalah tipis 2-3 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2022, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Sekalipun berjaya bangkit mengatasi defisit dua gol menerusi dua jaringan padang dalam masa dua minit, skuad kendalian Roslan Jamaluddin akhirnya bolos pada minit terakhir perlawanan menerusi ledakan gol Muhammad Amirul Hamizan.
Turun selaku juara Liga Hoki Malaysia 2022, THT bermula agak perlahan apabila lebih banyak diasak barisan serangan TNB.
Pada minit ke-18, pasukan pantai timur itu dikejutkan jaringan pertama TNB menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan pemain kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.
Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, TNB tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti keempatnya dengan gol kedua menerusi jaringan Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-39.
Ketika perlawanan berbaki kira-kira 20 minit, THT bangkit menjaringkan gol padang dalam masa menerusi Muhammad Mahran Mohd Jalil minit ke-49.
Seminit berselang, Ismail Abu meledak gol kedua pasukan untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Pada minit-minit terakhir permainan, THT cuba mengheret perlawanan kepada penentuan penalti, namun kealpaan pemain dihukum.
TNB berjaya melakukan serangan balas pada minit akhir dan berhasil mendapatkan gol ketiga yang menghampakan seluruh penyokong pasukan pantai timur itu.
Menutup musim 2022, THT berjaya menjulang kejuaraan berganda setelah mendakap Piala Sumbangsih dan Piala Liga Hoki Malaysia tahun ini.
Kejayaan tersebut memperbaiki pencapaian THT sebagai juara Piala TNB musim lalu.
31 Mar 22
603
Aslan Warrior Juara Piala Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Pasukan Aslan Warrior FC mewakili Rejimen Askar Melayu Diraja;(RAMD) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini semalam.
Dalam aksi akhir itu, Aslan WarrioFC menewaskan Seberang Takir Pantai dengan jaringan 2-1.
Selaku juara, Aslan Warrior membawa pulang hadiah berupa wang tunai serta medal.
Pengurus pasukan, Mohamad Hafiz, 32, berkata, tempoh sebulan yang diberi bermula Februari sehingga akhir malam ini memang singkat untuk mempersiapkan pasukan.
“Bulan Mei nanti kami akan menyertai pasukan askar melayu dan ini adalah pendedahan buat pemain.
“Perlawanan kedua-dua pasukan malam ni sangat baik, tidak ada berat sebelah dan semua menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab yang ditemui selepas perlawanan berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Aslan Warrior FC daripada RAMD kerana telah menjuarai kejohanan pada kali ini.
“Kepada pasukan Seberang Takir Pantai FC jangan hampa dan cuba lagi pada tahun akan datang dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan perlawanan mala mini.
“Paling penting kita mahu melihat anak muda bersama kita dalam memajukan sukan untuk negara dan masyarakat amnya serta mengeratkan ukhwah antara kita,” katanya
29 Mar 22
1002
Terengganu FC II Menang Mudah Aksi Pertama
KUALA NERUS, 26 Mac- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) menang mudah 3-0 ke atas Perak FC dalam aksi pertama pasukan itu di Liga Premier Malaysia 2022, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), tuan rumah berusaha mencari gol awal dengan asakan berterusan ke kubu lawan.
Pada minit ke-12, Engku Muhammad Nur Syakir yang menerima hantaran lintang rakan sepasukan cuba menanduk masuk bola ke gawang, namun tersasar.
Tersentak dengan percubaan itu, Perak FC cuba menyerang.
Tiga minit berselang Penyerang Perak FC, Royizzat Daud berjaya menggelecek dua pertahanan tuan rumah sebelum melakukan rembatan dalam kotak penalti, namun Syed Muhammad Nasrulhaq lebih tangkas menampan bola keluar.
Memasuki minit ke-22, hasil kesilapan pertahanan lawan, pemain tengah kelahiran Namibia, Petrus Shitembi, yang melakukan 'debut' malam ini berjaya mencatat nama sebagai penjaring menerusi rembatan deras dari jarak 20 meter menewaskan Muhammad Farhan Abdul Majid untuk The Turtle selesa satu gol di hadapan.
Terengganu FC II terus mendominasi perlawanan sehingga wisel separuh masa ditiup dan kedudukan kekal 1-0.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC II tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan.
Pada minit ke-57, penyerang kesayangan ramai, Jordan Mintah meledak gol melalui tandukan kemas setelah Engku Muhammad Syakir menanduk bola hasil hantaran Shitembi tepat menemuinya.
Hanya tujuh minit berselang, Muhammd Syafik Ismail pula menjaringkan gol ketiga pasukan melalui hantaran lintang rendah Engku Muhammad Syakir.
Terengganu FC II kekal mendahului 3-0 sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, The Turtle akan bertemu PDRM, 10 April ini bagi perlawanan kedua Liga Premier Malaysia 2022.
25 Mar 22
966
Nabil Bolot Podium Peringkat Akhir Tour Gateh D'Tranung 2022
KEMAMAN, 25 Mac - Pelumba Heavy Cycling Club, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri mencipta kejutan apabila 'merampas' semua kedudukan teratas bagi setiap kategori dalam saingan peringkat keempat Tour Gateh D'Tranung 2022, hari ini.
Pelumba lebuh raya negara kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, setelah tiga hari perlumbaan, beliau berjaya merealisasikan hasrat mencipta pencapaian bagi pasukannya yang masih 'hijau' dengan mengungguli saingan terakhir dalam kejohanan berkenaan.
"Hari ini saya berjaya sapu ketiga-tiga kategori iaitu gelaran pecut, raja bukit dan juara keseluruhan bagi peringkat terakhir perlumbaan ini.
"Ini satu kejayaan besar buat Heavy Cycling Club yang baru sahaja ditubuhkan. Dalam kumpulan ini, hanya saya pelumba berpengalaman dan ada diantara kami yang baru pertama kali berlumba," katanya selepas majlis penyampaian hadiah saingan terakhir di Padang Astaka Chukai, di sini hari ini.
Jelasnya, berdasarkan pengalaman yang ada, beliau 'membaca' persaingan di peringkat -peringkat awal sebelum meledak tenaganya pada perlumbaan terakhir dalam saingan sejauh 111.4 KM dari Dungun ke Kemaman itu.
"Alhamdulillah, segalanya berjalan sebagaimana dirancang dan saya berhasil menaiki podium setelah dua tahun tidak berlumba secara jelajah," katanya.
Pelumba-pelumba bersaing untuk kategori raja bukit di Bukit Kijal dalam saingan hari ini.
Nabil kali terakhir menyertai perlumbaan berprestij ketika beraksi untuk pasukan negara dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi 2020 sebelum pandemik Covid-19 melanda.
24 Mar 22
1413
THT Juara Liga Hoki Malaysia 2022!
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) muncul juara TNB Liga Hoki Malaysia 2022 apabila bangkit menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, THT yang memiliki kelebihan laman sendiri dikejutkan gol awal TNB pada minit ke-11 perlawanan.
Gol Azril Misron itu diperolehi melalui pukulan sudut penalti dari Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang terbias melambung sebelum Azril melakukan 'tap' ke gawang yang terbuka.
The Turtle kemudian bangkit menerusi taktikal pukulan sudut penalti antara Faizal Saari dan Muhammad Arif Syafie Ishak yang disempurnakan oleh Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-30.
Perlawanan kekal 1-1 sehingga akhir suku ketiga perlawanan.
Memasuki suku keempat, THT tampil bertenaga dan berjaya meledak gol menerusi gerakan solo Faizal Saari pada minit ke-48.
Ketika kemenangan kelihatan seakan-akan berpihak kepada The Turtle, TNB menggandakan jaringan untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-54.
Bagaimanapun, sorakan penyokong Terengganu menggegar semangat pemain THT untuk terus mencari jaringan.
Berbaki tiga minit terakhir, THT mendapat pukulan sudut penalti yang berjaya disudahkan Faizal Saari untuk kemenangan pasukan pantai timur itu.
Kemenangan tersebut meletakkan THT di tangga teratas TNB Liga Hoki Malaysia 2022 dengan 32 mata sekaligus muncul juara berganda bagi musim ini.
Terdahulu, THT memenangi Piala Sumbangsih dengan menewaskan lawan sama dengan skor 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Februari lalu.
22 Mar 22
4186
'Ayuh! Sokong THT Untuk Julang Piala'
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari menyeru rakyat Terengganu untuk hadir menyokong pasukan tersebut dalam aksi terakhir TNB Liga Hoki Malaysia 2022, di Stadium Hoki Batu Buruk, jam 5 petang, hari ini.
"Untuk hadapi perlawanan terakhir ini, kita mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
"Untuk penyokong yang hadir, terima kasih. Datanglah beramai-ramai hari ini menaikkan semangat pasukan yang sedikit sebanyak membantu perjuangan kami," katanya.
Perlawanan terakhir hari ini merupakan perebutan piala Liga Hoki Malaysia antara THT dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Berada pada kedudukan kedua, THT hanya dibezakan satu mata dengan pendahulu.
Faizal berharap, seluruh pasukan akan beraksi habis-habisan dalam misi terakhir ini.
"Saya yakin dengan rakan sepasukan untuk menunjukkan permainan terbaik.
"Saya tak kisah dapat menambah jaringan peribadi atau tidak, janji kami menang," katanya.
22 Mar 22
539
Tour Gateh D'Tranung: 'Salah Laluan Berlaku Luar Jangkaan'
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Isu salah laluan yang melibatkan sebahagian pelumba dalam saingan peringkat pertama Tour Gateh D'Tranung 2022, semalam adalah isu kecil yang tidak disengajakan.
Pengarah Teknikal kejohanan, Mazlan Md Jail yang juga merangkap Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, ia berlaku di luar jangkaan pihak penganjur.
"Ini kerana dalam peraturan perlumbaan, mana-mana pelumba yang menyertai kejohanan hendaklah mengetahui laluan perlumbaan dalam erti kata lain, mengulang kaji laluan tersebut.
"Pihak penganjur telah menyediakan papan tanda 'exit' ke kiri secukupnya tanpa halangan di mana kita menyediakan tiga papan tanda di lokasi itu," katanya.
Jelasnya, pelumba yang terlibat dalam isu berkenaan adalah dari kelompok kedua iaitu 'chaser'/ pengejar.
Tambah Mazlan lagi, beliau juga tidak dapat mengenal pasti alasan mana-mana individu yang melakukan kesilapan itu.
"Jadi, saya anggap ini kesilapan kecil semasa kejohanan yang tidak mengambil jarak panjang dan menjejaskan 'timing' keseluruhan kejohanan.
"Dalam perlumbaan antarabangsa juga berlaku kesilapan kecil sebegini,' katanya ketika ditemui pemberita sebelum saingan peringkat kedua Tour Gateh D'Tranung 2022, hari ini.
Mazlan yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) turut memaklumkan, setakat ini tiada aduan mahupun bantahan daripada pasukan-pasukan terlibat dalam Tour Gateh D'Tranung berkenaan isu itu.
22 Mar 22
5105
Tour Gateh D'Tranung 2022: Amirul Bolot Dua Jersi
BESUT, 20 Mac - Kapten Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki mengungguli peringkat pertama Kejohanan Tour Gateh D'Tranung yang berakhir di Jerteh, di sini hari ini.
Amirul mencatat masa 2:33:34 saat mendahului pelumba Sapura Cycling Team, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan pelumba Singapore Cycling Federation, Yeo Boon Kiak di tempat ketiga.
Catatan terpantas hari ini membolehkannya memenangi jersi kuning bagi juara keseluruhan peringkat pertama.
Dalam perlumbaan sejauh 130.9 KM dari Kuala Terengganu ke Besut itu, Nur Amirul turut membolot jersi hijau (raja pecut), juga mengatasi Muhammad Shaiful di tempat kedua.
Bagi kategori bawah 23 tahun (U23), pelumba Terengganu Cycling Testteam, Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo memenangi jersi putih apabila berjaya merangkul anugerah pelumba terbaik kategori tersebut bagi peringkat pertama hari ini.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Haizam Mohd Shabri (Terengganu Cycling Testteam) dan tempat ketiga dirangkul pelumba Selangor, Zulhelmi Zainal.
21 Mar 22
891