lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Atlet Terengganu Bawa Pulang 25 Pingat Dalam Sukan SEA
Atlet Terengganu Bawa Pulang 25 Pingat Dalam Sukan SEA
HANOI, 24 Mei - Atlet Terengganu yang bersaing di Sukan Sea 2021 berjaya menyumbang dan membawa pulang 25 pingat untuk kontinjen Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pencapaian itu sangat membanggakan dan menggembirakan negara dan negeri. Katanya, untuk temasya kali ini kerajaan negeri Terengganu telah menghantar 47 orang iaitu 31 orang lelaki dan 16 orang wanita yang mewakili negara dalam 18 jenis acara sukan.  “Atlet negeri Terengganu telah berjaya meraih pungutan pingat sebanyak tiga emas, 10 perak dan 12 gangsa yang secara keseluruhannya ialah 25 pingat. 3 pingat yang diraih adalah dari acara sukan berbasikal – Mixed Mountain Bike (MTB) Relay, acara basikal lebuhraya dan Muay-Thai. “Negeri Terengganu juga berada di kedudukan yang keempat menghantar atlet teramai selepas dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor," katanya kepada UPDI. Wan Sukairi berkata, untuk acara individu, bagi yang berjaya mendapat pingat emas akan mendapat ganjaran sebanyak RM 4,000, pingat perak sebanyak RM 3,000 dan pingat gangsa sebanyak RM 2,000. "Bagi acara berpasukan pula, sebanyak RM 2,500 diberikan bagi yang mendapat pingat emas, RM 2,000 pingat perak dan RM 1,500 pingat gangsa. “Kerajaan negeri Terengganu akan adakan satu majlis penghargaan untuk atlet-atlet yang berjaya meraih kemenangan selepas ini disamping untuk menyampaikan insentif Skim Wakil Negara (SWARA) bagi yang belum saya sempat untuk sampaikan ketika di berada Hanoi,” katanya. Menurut beliau, masih ada ruang penambahbaikan yang dapat dibuat selepas ini bagi mempersiapkan atlet Terengganu untuk ke temasya sukan SEA ke-32 di Kemboja. “Untuk temasya sukan SEA ke-32 nanti, kerajaan negeri Terengganu menyasarkan peningkatan jumlah atlet dan jumlah bilangan pingat yang dapat diraih. Buat masa ini, usaha untuk mengadakan latihan dan program buat atlet bagi berpeluang mewakili negara sedang berjalan yang diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu dan seterusnya nanti akan dipilih oleh Majlis Sukan Negara Malaysia,” katanya.  
24 May 22
349
Atlet Terengganu Sumbang Emas Ke 37 Untuk Malaysia
Atlet Terengganu Sumbang Emas Ke 37 Untuk Malaysia
HANOI, 21 Mei - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili negara dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-31 berjaya merangkul pingat emas acara lebuh raya lelaki yang berlangsung di Wilayah Hoa Binh. Beliau yang menampilkan pecutan bertenaga ketika perlumbaan berbaki 1 km untuk sampai ke garisan penamat berjaya menyumbangkan pingat emas ke-37 negara pada temasya itu kali ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri Terengganu amat berbangga dengan pencapaian yang diraih ini.  “Bagi pihak kerajaan negeri Terengganu, saya merakamkan ucapan tahniah buat Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang berjaya mengharumkan nama negara dan negeri Terengganu. “Kerajaan negeri Terengganu juga ingin turut mengucapkan tahniah kepada Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang turut mewakili negara dan berjaya mendapat tempat ke-31 dengan catatan masa 4 jam 4 minit 48 saat,"katanya. Tambah beliau, kejayaan ini cukup bermakna apabila kali terakhir Malaysia memenangi acara tersebut ketika temasya sukan SEA kali ke-28 di Singapura yang turut dimenangi oleh pelumba Terengganu, Hariff Salleh. Untuk rekod, Muhammad Nur Aiman yang merupakan anak jati dari daerah Setiu itu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 48 minit 22 saat, mengatasi pencabarnya dari Indonesia Aiman Cahya di tempat kedua dan pelumba Thailand Navuti Liphongyu di tempat ketiga. Wan Sukairi serta delegasi kerajaan negeri Terengganu yang turut hadir di tempat acara perlumbaan berlansung turut memberi semangat kepada para pelumba negara selain turut menyampaikan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) sebanyak RM 1,000. “Saya juga telah menyerahkan insentif SWARA kepada kedua-dua pelumba sebagai tanda penghargaan dan motivasi bagi meningkatkan semangat atlet untuk bersaing di peringkat tertinggi”. Selain itu, beliau turut menyerahkan insentif SWARA kepada dua orang pelumba wanita Terengganu yang turut mewakili negara dalam temasya sukan SEA bagi acara berbasikal lebuhraya. Dua orang pelumba tersebut ialah Nur Aisyah Mohamad Zubir dan Nur Aisyah Munirah Chek Ramli yang akan berentap pada 22 Mei 2022. Wan Sukairi turut berharap agar kedua-dua pelumba tersebut dapat mencipta rekod sekaligus mendapat pingat dalam acara berbasikal lebuhraya yang akan diadakan di Wilayah Hoa Binh.            
21 May 22
397
Terengganu Serah Insentif RM47,000 Buat Atlet Negara
Terengganu Serah Insentif RM47,000 Buat Atlet Negara
KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Kerajaan Terengganu menyerahkan cek berjumlah RM47,000 Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini. Jumlah tersebut merangkumi 47 atlet Terengganu yang terpilih mewakili pasukan kebangsaan dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) yang sedang berlangsung di Hanoi, Vietnam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif berkenaan sememangnya diadakan oleh MSNT bagi meningkatkan motivasi atlet untuk bersaing di peringkat tertinggi. "Bagi SWARA, setiap atlet diberikan sebanyak RM1,000 dan insentif ini akan dibawa rombongan ke Vietnam pada malam esok. "Selain itu, ntuk atlet kelahiran Terengganu yang berjaya merangkul pingat dalam Sukan SEA, kita juga ada menyediakan insentif khas menerusi Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE). "Dalam skim ini, sebanyak RM4,000 akan diberikan kepada pemenang pingat Emas dalam acara individu, manakala RM3,000 bagi pingat Perak dan RM2,000 bagi pingat Gangsa," katanya. Tambahnya, bagi acara berpasukan, ganjaran sebanyak RM2,500 akan diberikan kepada pemenang pingat Emas, RM2,000 bag pingat Perak dan pemenang pingat Gangsa akan menerima RM1,500. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya dan Temu Mesra Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO bersama Warga Sukan Terengganu, di pejabat MSNT, hari ini. Wan Sukairi turut mengharapkan akan ada pertambahan pingat yang dihasilkan atlet negeri dalam temasya Sukan SEA. Setakat hari ini, seramai lapan atlet kelahiran Terengganu berjaya merangkul pingat kejuaraan dalam temasya tersebut. Jaguh berbasikal bukit, Ahmad Syazrin Awang Ilah berjaya merangkul pingat Emas dalam acara MTB rentas desa Olimpik campuran. Manakala Azreen Nabila Alias memenangi pingat Perak dalam acara 4×100m Wanita, Muhammad Zulfiqar Ismail (Perak) dalam acara 4×100m Lelaki, Siti Rahmah Mohamed Nasir (Perak) dalam Pencak Silat dan Sharifah Aqilah Farhana (Perak) dalam Petanque. Sementara itu, Muhammad Shahrul Aimy Kamarul Hisam (Gimnastik), Yousuff Daniel Fauzi Cruz (Kurash) dan Ahmad Atif Irsyad Aad Zahidi (Pencak Silat) masing-masing berjaya merangkul pingat Gangsa.
17 May 22
611
Terengganu FC II Gagal Raih Mata
Terengganu FC II Gagal Raih Mata
KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Kelantan FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), sebentar tadi. Beraksi dalam hujan renyai, skuad kendalian Badrul Afzan Razali tewas hasil jaringan tunggal kapten Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani pada separuh masa pertama. Perlawanan babak pertama bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati menyusun serangan. Bagaimanapun, pelawat lebih banyak mengancam kubu tuan rumah dengan cubaan- cubaan merbahaya. Pada minit ke-29, hantaran lintang pemain kelahiran Indonesia, Natanael Siringo Ringo berjaya disudahkan dengan 'volley' rendah Nurshamil untuk pelawat mendahului 1-0. The Turtle cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun pelawat lebih banyak menguasai bola dan melancarkan serangan. Tiga minit kemudian, Kelantan FC hampir menambah jaringan berpunca dari hantaran lintang Natanael, tetapi penjaga gawang Terengganu FC II, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin berjaya menepis tandukan deras Syed Sobri Syed Mohd. Situasi tuan rumah semakin parah apabila pertahanan, Argzim Redzovic dilayangkan kad merah pada minit ke-36 setelah menjatuhkan Natanael. Kekurangan pemain memaksa anak-anak buah Badrul Afzan memperlahankan tempo permainan sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC II menyerang seawal permainan bagi menyamakan kedudukan sementara Kelantan FC pula lebih banyak melakukan serangan balas. Pada minit ke-52, Kijang Emas berpeluang menambah jaringan apabila penyerang, Nixon Guylherme melepasi perangkap offside, tetapi Nasrulhaq berjaya menafikan peluang satu lawan satu itu. Penjaga gol The Turtle itu terus menjadi nadi semangat pasukan apabila sekali lagi menyelamatkan rembatan Muhammad Farhan Roslan dalam situasi satu lawan satu lima minit kemudian. Meskipun bermain dengan 10 pemain, tuan rumah menguasai sebahagian babak kedua dengan serangan bertalu-talu ke kubu pelawat. Pada minit ke-82, Jordan Mintah nyaris meledak gol penyamaan hasil hantaran lintang Muhammad Muslihuddin 'Atiq, tetapi berjaya ditepis Nik Mohd Amin Ahmad. Terengganu terus buntu mencipta jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan. Kekalahan tersebut meletakkan Terengganu FC II kekal di tangga kelima liga dengan 10 mata. Kelantan FC kekal di tangga kedua liga, namun berkongsi mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang dipisahkan dengan perbezaan jaringan.  
08 May 22
577
Terengganu FC Layak Ke Peringkat Kedua
Terengganu FC Layak Ke Peringkat Kedua
KUALA TERENGGANU, 29 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengesahkan laluan ke peringkat kedua setelah menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi pertama Piala FA 2022, sebentar tadi. Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), permainan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan berhati-hati melancarkan serangan. Pada minit ke-28, tuan rumah berhasil mendapatkan gol pertama hasil kesilapan pertahanan import NSFC, Herold Goulon tertampan bola hantaran lintang Mohd Syafik Ismail ke gawang sendiri. Terkejut dengan keputusan itu, pelawat cuba bangkit dengan lebih banyak serangan ke kubu Sang Penyu. Skuad kendalian K. Devan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-35 apabila Omid David Nazari menanduk masuk bola sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee untuk skor 1-1. Namun, hanya tiga minit berselang, Terengganu FC kembali di depan selepas Mohd Faisal Halim berjaya menjaringkan gol kedua pasukan dalam keadaan kelam kabut di hadapan gawang. Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Sang Rusa lebih banyak menyerang kubu tuan rumah. Pelawat hampir mendapatkan jaringan penyamaan, namun Evanonye Adetu disahkan offside ketika dia sudah berada dalam situasi satu lawan satu berdepan Muhammad Rahadiazli pada minit ke-54. Pada minit ke-64, Tcheche Kipre mempunyai peluang menambah jaringan, bagaimanapun rembatannya tersasar. Negeri Sembilan FC memasukkan lebih banyak penyerang bagi mengubah situasi perlawanan, namun Terengganu FC lebih cemerlang bertahan sambil melakukan serangan balas. Terengganu FC kekal mendahului sehingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan malam ini menyaksikan Terengganu FC menempah pertemuan menentang Kedah Darul Aman FC dalam peringkat kedua.    
29 Apr 22
2030
300 Peserta Fun Ride Hidupkan Malam Terakhir Ramadan
300 Peserta Fun Ride Hidupkan Malam Terakhir Ramadan
MARANG, 28 April- 300 anak muda mengambil peluang menyertai program 'Fun Ride Sahur' bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan melakukan aktiviti beriadah sambil beramal. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bulan Ramadan bukan penghalang untuk anak muda kekal aktif melakukan aktiviti berbasikal terbabit. "Program yang diadakan ini juga memberikan penekanan kepada anak muda agar menggunakan kekuatan yang dimiliki untuk melazimi solat jemaah di masjid serta surau dan menghidupkan malam terakhir di bulan ini untuk memperbanyakkan amalan seperti berzikir, solat tahajud dan membaca al-Quran. "Juga melalui bulan yang mulia ini kita mengambil semangat peperangan badar mencontohi golongan terdahulu untuk sentiasa bersemangat dalam perjuangan bagi menegakkan syiar Islam dan menyampaikan mesej dakwah kepada seluruh masyarakat bahawa Islam tidak melarang untuk umatnya melakukan apa jua aktiviti dan kegiatan yang mendatangkan faedah untuk dilakukan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Fun Ride' Sahur Marang 2022, di Dewan Terbuka Sena Rendang, Bukit Payung, di sini, pada hari ini. Turut serta, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, yang Dipertua Majlis Daerah Marang Merangkap Pemangku Pegawai daerah, Haji Zuwislan Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi. Pada program terbabit, para peserta melakukan kayuhan sejauh 15 Kilometer (KM) dengan menjadikan Masjid Rusila, Masjid Kubang Ikan sebagai tempat persinggahan untuk acara menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf yang layak membabitkan DUN Rhu Rendang, Batu Burok dan Bukit Payong. Di mana ia telah bermula dari pejabat daerah pada jam 10 malam dan berahir di Dewan Terbuka Sena Rendang pada jam 12 malam. Pada program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong dengan kerjasama Pejabat daerah itu juga, turut diserikan dengan acara cabutan bertuah dengan hadiah utamanya ialah TV 40 inci serta dua buah basikal.    
28 Apr 22
1240
Dua Gol Dalam Dua Minit, Julang Terengganu FC II
Dua Gol Dalam Dua Minit, Julang Terengganu FC II
KUALA TERENGGANU, 27 April- Dua gol dalam tempoh dua minit membolehkan Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) menang 2-0 ke atas UiTM FC pada saingan Liga Premier 2022, malam ini. Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah SSINS), duo import Jordan Mintah dan Argzim Redzovic memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila masing-masing menyumbang gol pada minit ke- 63 dan ke-65 perlawanan. Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang bagi memburu jaringan sulung. Pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang lawan menerusi percubaan tonggak import, Jordan Mintah pada minit keempat namun ditepis penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid. Pada minit ke-38, The Lions Troop melakukan percubaan balas, sayangnya tendangan Ahmad Azriddin Rosli dari luar kotal penalti tinggi melepasi palang gol. Kedua-dua pasukan bermain baik namun terus buntu tanpa jaringan sehingga wisel separuh masa ditiupkan. Memasuki babak kedua, skuad kendalian Badrul Afzan Razali cuba meningkatkan kualiti serangan mereka dengan lebih banyak menguasai bola. Pada minit ke-64, The Turtle berjaya meledak gol sulung berpunca rembatan deras Amirul Syazwan Nor Azmi yang ditepis penjaga gol, mudah ditolak masuk Jordan Mintah. Dua minit berselang, Argzim pula menanduk kemas bola muntah hasil tandukan Wan Mohamad Fazli dari sepakan sudut yang diambil Muhammad Syaiful Haqim. UiTM FC cuba bangkit menyamakan kedudukan, bagaimanapun pertahanan Terengganu FC II kekal ampuh sehingga tamat perlawanan. Kemenangan malam ini melonjakkan kedudukan The Turtle ke tangga keempat liga dengan 10 mata.  
27 Apr 22
633
Gergasi Merah 'Tenggelam' Di Pantai Timur
Gergasi Merah 'Tenggelam' Di Pantai Timur
KUALA NERUS, 22 April- Terengganu FC mudah menewaskan Selangor FC dalam aksi ni keempat Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini. Beraksi di laman sendiri, pengendali Skuad Penyu Nafuzi Zain mempertaruhkan pemain Filipina, Luke Woodland bagi menggantikan Petrus Shitembi yang cedera dalam perlawanan menentang Sarawak United tempoh hari. Terengganu FC mempamerkan corak permainan pantas sejak wisel ditiupkan bagi mengulangi kemenangan sulung, hujung minggu lalu. Pada minit ke-20 penyerang lincah, Faisal Halim yang menerima umpanan Habib Haroon meledak gol pendahuluan setelah menewaskan dua pertahanan sebelum rembatan derasnya melepasi jangkauan Mohd Khairul Azhan. Selangor FC yang belum tewas musim ini, cuba bangkit namun rembatan leret Herlison Caion setelah menerima lorongan Mukhairi Ajmal berjaya ditepis Muhammad Rahadiazli pada minit ke-26. 10 minit kemudian, tuan rumah hampir menambah jaring berpunca kesilapan Shahril Nazeem mengeluarkan bola, Syafik melakukan volley rendah ke sisi gol. Keputusan kekal 1-0 pada separuh masa. Bersambung babak kedua, Red Giant merancakkan serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-50, mujur rembatan Mohd Syahir Bashah ditepis Rahadiazli. Seminit kemudian, rembatan susulan Yazan Al-Arab yang menewaskan penjaga gol berjaya dikeluarkan Muhammad Shahrul Nizam. Pemain kesayangan ramai, Habib Haroon cemerlang mendominasi kawasan tengah pasukan. Skuad penyu kembali mendapat tonik pada minit ke-60 apabila Muhammad Syafik Ismail dijatuhkan Yazan Al-Arab dalam kotak penalti. Kapten pasukan, Tcheche Kipre tenang menyempurnakan jaringan menjarakkan jurang kepada 2-0. Pelawat terus buntu mencipta jaringan, menjadikan Terengganu FC kekal mengatasi 2-0 sehingga wisel penamat ditiupkan. Skuad kendalian Nafuzi naik ke tangga ketujuh liga dengan enam mata, menolak Red Giant ke tangga kelapan dengan lima mata.          
22 Apr 22
2658
Pertahan Piala Agong Misi Utama Ragbi Terengganu 2022
Pertahan Piala Agong Misi Utama Ragbi Terengganu 2022
KUALA TERENGGANU, 17 April - Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) giat memperkemaskan jentera pasukan bagi mempertahankan kejuaraan Piala Agong yang akan membuka tirai pada Oktober nanti. Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohammad memberikan gambaran bahawa tekanan cabaran pada musim ini sudah pasti terarah kepada Terengganu selaku pasukan pilihan setelah melakar sejarah untuk pertama kali merangkul Piala Agong setelah menewaskan Sabah selaku pasukan pilihan musim lalu dan juga penyandang juara ketika itu. “Mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar berbanding usaha untuk memburu kejuaraan. Malah, ini merupakan kejuaraan sulung yang pertama kali dilakar oleh Terengganu sejak sejarah Piala Agong dipertandingkan. "Tahun ini juga, kita berdepan cabaran mempertahankan kejuaraan 7 sepasukan kebangsaan. "Oleh itu, kami telah melakukan kerja-kerja awal dalam memperkemaskan pasukan dan mengenal pasti beberapa pemain baru. Manakala, sebahagian besar pemain- pemain yang telah mencipta sejarah bersama kami pada Piala Agong lalu masih dalam senarai panjang pasukan," katanya. Tambahnya, setelah dua tahun penganjuran Piala Agong tertangguh berikutan situasi pandemik COVID-19, Terengganu yang hadir selaku pasukan pilihan telah diundi untuk berada dalam kumpulan maut bersama Johor, Kedah dan Melaka. "Ketiadaan Sabah sebagai antara kuasa besar ragbi tanah air yang menarik diri bagi saingan musim ini tidak menjadi kelebihan buat kita memandangkan momentum pasukan dari negeri-negeri lain yang kian meningkat setelah lama berehat," katanya. Selain itu, jawatan ketua jurulatih masih belum diputuskan oleh PRNT setelah ketiadaan Allahyarham Izaimi Zainuddin yang telah meninggal dunia pada Disember lalu. PRNT dijangka akan memuktamadkan senarai akhir barisan pemain dan kejurulatihan bagi skuad Piala Agong musim ini setelah kempen skuad kebangsaan di pentas Kejohanan Ragbi Asia melabuhkan tirai. Untuk rekod, tahun 2019 muncul sebagai tahun bermakna buat sejarah ragbi negeri Terengganu apabila dinobatkan selaku juara berganda setelah pertama kali melakar sejarah menjuarai Kejohanan Piala Agong dan Kejohanan 7 Sepasukan Kebangsaan. Pada Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi lalu, Terengganu hadir selaku pasukan bukan pilihan membuat kejutan di saat-saat akhir perlawanan untuk menamatkan penguasaan Sabah selaku penyandang juara dengan keputusan 25- 24. Manakala, pasukan 7 sepasukan muncul juara kategori kelompok utama atau ‘Men Core’ Kejohanan Siri Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019 selepas mengalahkan Kelantan berkeputusan 24-5 dalam perlawanan akhir.
17 Apr 22
575
Terengganu Kecewa 'Ratu Pecut' Digugurkan Daripada Sukma 2022
Terengganu Kecewa 'Ratu Pecut' Digugurkan Daripada Sukma 2022
KUALA TERENGGANU, 14 April - Terengganu akan terus mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) bagi membolehkan pelari pecut, Azreen Nabila Alias beraksi di temasya sukan itu nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan terbaru yang diputuskan mesyuarat jawatankuasa tersebut susulan pembatalan kelayakan atlet itu atas alasan beliau telah menyertai sukan Olimpik di Tokyo, tahun lalu. "Kami berpandangan pengguguran Azreen Nabila sebagai atlet Sukma adalah satu penafian terhadap haknya kerana pemilihan beliau mewakili negara adalah berdasarkan tiket 'wild card', bukannya secara merit. "Pada peringkat awal, beberapa negeri menyokong (penyertaan Azreen Nabila ke Sukma 2022). Tetapi, setelah dibawa ke mesyuarat pengarah-pengarah majlis sukan negeri, ia dibincangkan kembali di peringkat jawatankuasa tertinggi Sukma," katanya. Menurut Wan Sukairi, pihaknya juga telah mengemukakan rayuan dan justifikasi tentang perkara berkenaan dalam beberapa siri mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, tetapi ditolak. Wan Sukairi ketika program iftar bersama atlet-atlet Sukma Terengganu, baru-baru ini. "Kita sedia maklum, menjadi impian semua atlet untuk ke Olimpik. Kalau kita halang dia (Azreen Nabila) ke sana dulu, ia adalah satu tindakan kejam kepada beliau. "Setakat ini keputusan jawatankuasa tertinggi masih tidak membenarkan, tetapi kita lihat apa lagi yang boleh dibuat dan ruang yang ada untuk memastikan pelumba pecut kita beraksi," katanya. Azreen Nabila merupakan pemegang rekod Sukma bagi acara 100M dengan catatan 11.81s. Selain itu, beliau turut memecahkan rekod peribadinya apabila mencatatkan masa 11.77 saat dalam pusingan kelayakan 100m wanita di Sukan Olimpik, baru-baru ini.  
14 Apr 22
9143