Artikel "Sukan" Terkini
Jaringan 'Silent Killer' Terpahat di Jersi Baru Terengganu FC
KUALA NERUS, 10 Jun- Nombor 110 di belakang kolar koleksi jersi kedua (away) Terengganu FC yang dilancarkan hari ini menimbulkan persoalan dikalangan peminat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FCSB, Ab Rasid Jusoh, nombor tersebut merupakan jumlah gol yang dijaringkan salah seorang pemain legenda Terengganu FC, Mohamad Ashaari Shamsuddin sepanjang 222 penampilannya bersama pasukan itu.
Jelasnya, pemain yang terkenal dengan gelaran 'silent killer' itu dijadikan inspirasi bagi menghasilkan motif dan elemen utama jersi tersebut.
"Mempamerkan motif rekaan merujuk kepada pemain yang disayangi ramai itu, jersi ini seharusnya dijadikan salah satu koleksi yang wajib dimiliki setiap penyokong.
"Kami berharap dengan pelancaran jersi ini bakal memberikan motivasi kepada para pemain untuk lebih bersemangat dalam baki saingan Liga Super Malaysia," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu FC di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyempurnakan perasmian jersi terbaru itu.
Kombinasi warna keramat hitam terus menjadi pilihan Sang Penyu yang menggunakan jenama antarabangsa, Umbro dengan rekaan kolar dan lengan hitam putih bagi jersi berharga RM119 sehelai.
10 Jun 22
3378
Terengganu FC Mahu Kekalkan Faisal Halim
KUALA NERUS, 10 Jun- Terengganu Football Club (FC) Sdn. Bhd. menzahirkan hasrat melanjutkan kontrak pemain sayap kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim yang akan tamat pada 30 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, pengurusan dan barisan kejurulatihan telah membincangkan status pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
"Kita akui prestasi pemain ini dan memang kita telah menyuarakan hasrat untuk mengemukakan lanjutan kontrak.
"Cuma Faisal belum memberi keputusan bagi perkara terbabit.
"Dia memaklumkan mahu menumpukan sepenuh tumpuan dan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Dalam majlis berkenaan, pasukan pantai timur itu memperkenalkan jersi kedua (away) koleksi terbaru Terengganu FC ×UMBRO yang disempurnakan YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNP).
Tambahnya, selain Faisal, seramai 19 pemain Terengganu FC II dan 10 pemain Terengganu FC juga akan tamat kontrak pada November ini.
"Perkara ini juga masih dalam penilaian pihak pengurusan," katanya.
Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Terengganu FC, Hairuddin Omar memaklumkan, barisan kejurulatihan juga telah mencadangkan perkara tersebut kepada pengurusan.
"Faisal pemain yang penting untuk Terengganu FC. Jadi, kita harap rundingan antara pengurusan dan pemain itu membuahkan hasil positif," katanya.
10 Jun 22
2222
Kontinjen Sukan Sea Terengganu Terima 'Durian Runtuh'
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan Terengganu 'menghadiahkan' RM143,000 kepada 57 atlet, jurulatih dan pegawai yang menyertai Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM86,000 diperuntukkan kepada 27 atlet sebagai Insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) atas kejayaan meraih pingat pada temasya sukan tersebut.
Selain itu katanya, Insentif Skim Wakili Negara (Swara) berjumlah RM57,000 turut diberikan kepada 30 lagi atlet, jurulatih dan pegawai anak negeri yang mewakili negara dalam pelbagai acara sukan.
Wan Sukairi berkata, insentif berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada atlet dari negeri ini yang beraksi cemerlang pada Sukan Sea di Vietnam pada Mei lalu.
“Diharapkan insentif ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat atlet untuk beraksi di kejohanan Sukma Ke-20 di Kuala Lumpur pada September nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemasyhuran Ketua Kontinjen (CDM) Terengganu, Sukma Edisi Ke-20, MSN 2022 Dan Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) Sukan Sea Ke-31, Vietnam 2021 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen Terengganu ke Sukma Ke-20.
08 Jun 22
481
Hadiah Buat Rakyat Terengganu, Malaysia
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Pemenang pingat emas dan gangsa pada Sukan Sea 2021, Hanoi, Vietnam berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dari awal hingga akhir pertandingan.
Ahmad Syazrin Awang Ilah,25 berasa amat gembira atas kejayaan mendapat emas dalam sukan berbasikal pada kejohanan sukan sea yang kali pertama disertainya.
“Rahsia kejayaan saya melalui latihan yang cukup padat yang diberikan oleh jurulatih dan ia amat membantu dalam pertandingan," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Penyerahan Skim Insentif Hadiah Kemenangan (SHAKE) Sukan Sea 2021 Vietnam di Wisma Darul Iman hari ini.
Sementara itu, Siti Nur Azwani Nor Azli 23, turut melahirkan rasa gembira setelah memenangi pingat gangsa dalam sukan karate.
“Ini merupakan kejayaan pertama saya mendapat pingat setelah kali kedua menyertai sukan sea.
“Kunci kejayaan saya adalah dengan memanfaatkan dan melebihkan masa latihan berbanding biasa serta tidak melupakan pelajaran supaya saya dapat keduanya.
“Di samping itu, restu dan sokongan ibu bapa saya yang sentiasa mengiringi dalam sukan ini,” katanya.
08 Jun 22
380
Terengganu Juara Kejohanan Judo Kebangsaan
KUALA NERUS, 5 Jun- Terengganu muncul juara pada Kejohanan Judo Kebangsaan Beautiful Terengganu 2022 yang menutup tirainya, hari ini apabila mengutip 13 Emas, lima Perak dan empat Gangsa daripada 16 acara yang dipertandingkan bagi kategori senior.
Dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu, atlet Terengganu turut dinobatkan sebagai atlet wanita dan lelaki melalui Alya Yasmin Rosali dan Muhammad Izham Harun.
Alyaa Yameen dinobatkan atlet wanita terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman yang menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, menzahirkan ucapan tahniah kepada para peserta.
Jelasnya, penganjuran kejohanan tersebut memberikan peluang kepada atlet-atlet mempamerkan bakat setelah lama berlatih tanpa kejohanan berprestij.
Pada penganjuran edisi ke-58 itu, seramai 229 atlet daripada 12 pasukan menyertai kejohanan iaitu Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Sabah, Selangor dan Melaka.
Selain itu, Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelab Judo Bangsar, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Johor), Putrajaya dan pasukan Melaka Tengah turut mengambil bahagian.
05 Jun 22
1504
Terengganu FC Perkemas Aksi Persahabatan Seterusnya
KUALA NERUS, 5 Jun – TFC semalam mencatatkan keputusan seri, 1-1 dalam aksi perlawanan persahabatan dengan Phnom Phenh Crown yang merupakan juara liga di Kemboja.
Pasukan TFC mendapat kelebihan di minit ke-26 apabila Hakimi Abdullah mencetak nama sebagai penjaring bagi mendahului perlawanan.
Dalam separuh masa kedua, TFC dibolosi pemain Phnom Penh Crown pada minit ke-58 melalui Andres Nieto.
Perlawanan kekal dengan jaringan 1-1 sehingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan saling melakukan percubaan ke gawang gol.
Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menegaskan akan memperkemas aksi pasukannya mengharungi baki dua perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan bagi ‘first game’ mereka selepas rehat yang panjang.
“Paling penting kita cuba untuk elakkan kecederaan pemain dan satu perlawanan yang baik bagi kedua-dua pasukan.
"Pasukan kita juga perlu bersedia dengan jadual perlawanan Liga Super yang padat apabila liga disambung nanti,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus.
TFC sehingga kini mempunyai empat perlawanan liga berbanding sembilan perlawanan bagi pasukan lain setelah berlakunya penangguhan perlawanan.
Nafuzi turut berkata, semua pemain import TFC kekal dalam keadaan cergas dan bersedia untuk beraksi di padang.
TFC akan mengharungi lagi dua perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa menentang Phnom Penh Crown (Isnin) serta Balestier Khalsa (khamis) depan yang turut diadakan di SSMZA.
05 Jun 22
547
Terengganu Sasar Kekal Juara, Lantik Bapa Angkat SUKMA
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri hari ini mula mempersiap kontinjen Temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX, MSN 2022) dengan misi mempertahan kemenangan selepas edisi terakhir pada 2018 sebagai juara keseluruhan.
Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja sebagai Ketua Kontinjen negeri Terengganu untuk sesi kali ini.
Selain itu, pelantikan Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat turut dilakukan bagi melancarkan persediaan pasukan serta atlet negeri.
Setiap acara yang dihantar ke SUKMA XX akan diketuai seorang Bapa Angkat yang terdiri daripada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan jabatan kerajaan yang terpilih.
Sukan berbasikal bakal diketuai Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim selaku Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan bantuan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sebagai jabatan yang bertanggungjawab menyelia kebajikan atlet serta pasukan.
Manakala Timbalan Penegerusi Jawtankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim bersama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu diberi amanah mengetuai pasukan bola sepak.
Pelantikan yang lebih awal ini dijangka akan merancakkan persiapan atlet serta pasukan dengan pemantauan latihan persaingan yang lebih rapi.
Ia juga menjadi bukti keazaman pihak kerajaan Terengganu dalam mempertahankan kejuaraan.
SUKMA XX, MSN 2022 dijadualkan memulakan tirai temasya pada 29 September sehingga 8 Oktober di Kuala Lumpur selepas tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.
02 Jun 22
820
MB Bersama 5,000 Anak Muda Saksi Liverpool Kecundang
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Menteri Besar bersama kira-kira 5,000 anak muda Terengganu antara jutaan peminat bola sepak seluruh dunia yang menjadi saksi kemenangan 1-0 Real Madrid ke atas Liverpool semalam.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang memakai jersi Liverpool hadir ke Dataran Shah Bandar di sini bagi menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) membabitkan kedua-dua pasukan.
Beliau menerusi Facebooknya berkata, program yang dianjurkan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu itu tidak semata-mata menonton bola, tetapi turut mengajak anak muda melaksanakan ibadah qiamullail.
“Layan anak muda dulu pagi ini, akhir UCL antara pasukan kegemaran saya Liverpool menentang Real Madrid di tayangan skrin besar,” katanya.
Solat Tahajud ketika waktu rehat perlawanan diimamkan Juara Qari Tilawah Al-Quran Terengganu, Ustaz Abdul Hadi Che Abdul Halim, turut serta ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Harun Esa.
Dalam perlawanan akhir itu, Real Madrid tidak berdepan masalah besar untuk muncul juara Eropah buat kali ke-14.
Gol babak kedua minit ke-59', Vinicius Junior sudah cukup membolehkan anak buah Carlo Ancelloti menewaskan Liverpool yang bercita-cita mengatasi rekod ‘treble’ Manchester United.
Kira-kira lima ribu anak muda penuhi Dataran Shah Bandar.
29 May 22
1232
Kuala Nerus Ungguli SUTERA 2021
KUALA NERUS, 29 Mei - Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2021 yang berakhir semalam menyaksikan tuan rumah, Kuala Nerus meraih juara keseluruhan dengan pungutan 26 emas, 10 perak dan 16 gangsa.
Mereka membawa pulang piala pusingan, piala iringan beserta wang tunai RM75,000.
Manakala naib johan pula dimenangi oleh Kontinjen Kuala Terengganu dengan pungutan pingat 20 emas, 9 perak dan 19 gangsa serta membawa pulang piala iringan beserta hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Sementara itu, Marang pula terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga dengan hanya meraih kutipan pingat 13 emas, 16 perak dan 14 gangsa serta membawa pulang piala iringan dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Anugerah olahragawan Sutera 2021 pada kali ini telah dinobatkan kepada Mohd Zulhafizi Ariffin dari kontinjen Kuala Terengganu yang telah berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Tenpin Bowling bagi acara ' single, double, trio dan team'.
Manakala bagi olahragawati pula telah dianugerahkan kepada Nurul Huwaida Mohd Hamka dari kontinjen Daerah Kuala Nerus yang telah tampil cemerlang dalam sukan olahraga dengan memenangi dua pingat emas dan dua pingat gangsa bagi acara 100 Meter (M), 200 M, 4 x 100 M dan 4 X 400 M.
Masing-masing membawa pulang piala iringan dan hadiah tunai sebanyak RM1,000 seorang.
Majlis penutup temasya SUTERA Kuala Nerus 2021 itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
SUTERA 2021 itu telah ditutup secara rasmi semalam dengan ucapara menurukan bendera serta penyerahan bendera kejohanan dan buku manual pengelolaan temasya sukan terbabit kepada Majlis Sukan Daerah Dungun yang bakal menjadi tuan rumah bagi tahun hadapan.
29 May 22
1428
Ahli Parlimen Setiu Suntik Semangat Setiu Fighters
SETIU, 25 Mei –Sukan Negeri Terengganu (SUTERA) kini telah membuka tirainya, dalam pada itu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyatakan sokongan serta memberikan suntikan semangat tidak berbelah bahagi kepada Kontinjen Setiu, termasuk pasukan sepak takraw Setiu Fighters.
Katanya acara yang diadakan secara dwi tahunan itu berkonsepkan temasya atau mini suka di peringat negeri itu sangat penting untuk diberi perhatian oleh semua pihak terbabit dalam mengangkat taraf sukan di negeri ini dimana ia diperkenalkan pertama kali pada tahun 2019.
"“Alhamdulillah kemenangan kedua Pasukan Sepak Takraw Setiu Fighters selepas menewaskan Marang 2-1. Pagi tadi (semalam) mengalahkan Besut dengan keputusan yang sama. Layak ke Semifinal petang esok (hari ini), tahniah."ujarnya menerusi hantaran di facebook rasminya, pada hari ini.
Mengulas lanjut katanya, peserta yang terlibat semuanya merupakan atlet di bawa umur 20 tahun bagi kategori pelapis dan 21 tahun ke atas untuk kategori terbuka.
" Sukan ini terbuka kepada rakyat Negeri Terengganu sahaja atau yang telah bermastautin di Negeri Terengganu di mana acara yang dipertandingkan ialah Badminton, berbasikal, bola sepak, bola jaring, bola tampar, Lawn Bowls, olahraga, pencak silat, petanque, pingpong, sepak takraw, tenis dan tenpin bowling adalah sukan yang dipertandingkan.
"Bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak dan Majlis Sukan Negeri Terengganu serta beberapa venue lain,"ujarnya.
25 May 22
467