lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

RAKR Bukit Kuang A Gondol Kejohanan
RAKR Bukit Kuang A Gondol Kejohanan
KEMAMAN, 26 Jun - Pasukan RAKR Bukit Kuang A muncul juara pada Kejohanan Liga Bolasepak 9 Sebelah UHJ Kijal 2022 setelah mengalahkan pasukan RAKR Bukit Kuang B dengan jaringan 2-0 di peringkat akhir.  Dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Padang Bola Seri Bandi kelmarin, sebanyak 18 pasukan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang mengambil bahagian. Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap.  Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang menyempurnakan majlis perasmian kejohanan tersebut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang terlibat. Jelasnya, penganjuran kejohanan tersebut dapat mengasah bakat-bakat baru dalam kalangan pemain muda di kawasan Kijal di samping dapat menghindarkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang kurang sihat. Pasukan RAKR Bukit Kuang meraikan kejayaan mereka.  Pada kejohanan anjuran Pemuda PAS Kijal menyaksikan empat pasukan yang berentap di peringkat separuh akhir terdiri daripada RAKR Bukit Kuang A, RAKR Bukit Kuang B, Seri Bandi FC dan Beris FC dimana Seri Bandi FC ditempat ketiga setelah mengalahkan Beris FC 4-3 menerusi tendangan penalti.
26 Jun 22
710
'Cub Prix' Rancakkan Ekonomi Setempat
'Cub Prix' Rancakkan Ekonomi Setempat
KUALA NERUS, 25 Jun - Penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 mampu menjadi sebahagian daripada pelancongan sukan bagi negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran aktiviti sukan seperti itu boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung. "Sudah tentunya ia boleh beri manfaat ekonomi pada penduduk di negeri Terengganu sendiri dari segi perhotelan, pelancongan dan impak kepada kedai-kedai yang lain di dalam negeri. "Jadi, saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Petronas dan penaja-penaja yang telah menjadikan perlumbaan pada kali ini satu realiti, kita sangat terbuka untuk menerima penganjuran yang sama di waktu akan datang. "Kepada pelumba-pelumba, saya juga mengharapkan mereka teruskan meningkatkan keupayaan diri masing-masing bukan sekadar untuk pasukan mereka semata-mata, bahkan mungkin sampai satu peringkat mewakili negara ke perlumbaan antarabangsa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Pemotoran Terengganu, hari ini. Turut menyampaikan hadiah, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz. Dalam perlumbaan yang berlangsung itu, Kasma Daniel Kasmayudin yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor muncul juara, menewaskan rakan sepasukannya, Nazirul Izzat Md Bahauddin di tempat kedua. Manakala, pelumba kelahiran Terengganu yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran berjaya menduduki tempat ketiga.      
25 Jun 22
527
Harith Farhan Mahu 'Kuasai' Laman Sendiri
Harith Farhan Mahu 'Kuasai' Laman Sendiri
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pelumba muda yang kian meningkat naik, Mohd Harith Farhan Baharin, 23, berazam mempamerkan aksi terbaik buat peminat pada kejuaraan Pusingan Ke-4 perlumbaan PETRONAS CubPrix yang akan bermula esok. Pelumba berasal dari Bukit Besar, Kuala Terengganu itu menyifatkan, perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak menaikkan semangatnya untuk meraih podium. "Saya memang dari awal tahun 'prepare' untuk berlumba di sini, di kampung sendiri kerana saya 'familiar' dengan litar ini dan sering berlumba di sini sejak dari ia dibuka dahulu.  "Kalau tiada apa-apa masalah, saya menyasarkan untuk muncul pelumba terbaik di podium di sini," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu majlis beramah mesra bersama media di Kuala Terengganu, semalam. Beliau yang membuat penampilan pertama bersama pasukan Tobaki Pink Racing Team pada musim ini untuk cabaran kategori CP125 menjelaskan, komunikasi yang lancar bersama rakan sepasukan Saiful Azhary Mohamad bakal menjadi percaturan terbaik untuk beliau terus mengutip mata buat pasukan.  Tambah Harith, faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini dengan berbekalkan pengalaman bersama beberapa pasukan terdahulu, Harith optimis untuk menghadiahkan podium di Litar Gong Badak, Kuala Nerus di hadapan peminatnya tersendiri. Saya memang suka hujan sebenarnya. Kelebihan saya, memang saya boleh bawak dalam hujan sebenarnya, jadi kalau orang kata hujan esok, saya tiada masalah," katanya. Sebelum ini, pencapaian terbaik dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022, Harith yang memakai nombor 52, berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga pada pusi­ngan kedua di Litar Lumba Tangkak, Johor.    
24 Jun 22
790
Jordan Mintah Berkelana ke Kuala Lumpur
Jordan Mintah Berkelana ke Kuala Lumpur
KUALA TERENGGANU, 22 Jun- Harapan penyerang Terengganu Football Club II (Terengganu FC II), Jordan Mintah untuk bermain di Liga Super Malaysia kelihatan bersinar apabila bakal dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC sehingga hujung musim ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, pihak pengurusan telah memutuskan untuk meminjamkan penyerang import kelahiran Ghana itu bagi tempoh pinjaman sehingga tamat musim ini iaitu pada 30 November 2022. "Jordan yang masih berbaki kontrak sehingga tahun 2023 akan kembali bersama kelab ini setelah tempoh pinjaman berakhir. "Terengganu FC ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Jordan Mintah dan semoga peluang untuk beraksi di pentas Liga Super dan AFC Cup digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kualiti serta mendapatkan pengalaman di saingan liga tertinggi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media kepada pemberita, hari ini. Jelasnya, melalui syarat serta terma yang telah dipersetujui kedua-dua kelab, Jordan Mintah juga terikat dengan 'gentleman agreement' yang menimbulkan kontroversi sebelum ini iaitu beliau tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan menentang pasukan Terengganu FC atau Terengganu FC II sepanjang tempoh pinjaman. Musim lalu, Jordan membuat enam penampilan bersama Terengganu FC dalam saingan tertinggi dalam negara dan meledak empat gol sepanjang tempoh itu. Beliau juga memenangi kasut emas Liga Premier Malaysia 2021 apabila mencatatkan 21 gol bagi pasukan Terengganu FC II, tahun lalu.          
22 Jun 22
474
Faizal Tahir Buat Kejutan
Faizal Tahir Buat Kejutan
SETIU, 18 Jun –  Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang DiPertuan Muda Terengganu mendapat sambutan di luar jangka apabila menerima penyertaan seramai 151 orang termasuk artis terkenal tanah air, Faizal Tahir. Sementara itu, KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa iaitu CEN 1*100 dan Baginda berkenan memakai jersi nombor 9 . ​​​​Turut mencuri perhatian terdapat dua orang peserta antarabangsa iaitu daripada Thailand dan Singapore yang mengambil bahagian dalam kategori CEN 1*100. Semua peserta bagi CEN 100KM dan CEN 1*100KM dikehendaki melalui 4 landasan iaitu sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM, 20 KM. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis pelepasan pada jam 5 petang semalam bertempat di TIEP Lembah Bidong, Setiu. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
19 Jun 22
2199
Gol Tunggal Luqman Bawa Tok Saboh FC Bergelar Juara
Gol Tunggal Luqman Bawa Tok Saboh FC Bergelar Juara
BESUT, 19 Jun- Pasukan Bola Sepak Tok Saboh FC muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 2022 selepas menewaskan Sri Nail FC di Padang Bola Sepak Astaka Kampung Pachakan, Kuala Besut, di sini semalam. Mohd Luqman Abdullah mencetak nama sebagai penjaring tunggal sekaligus membawa pasukannya bergelar sebagai juara dengan keputusan 1-0. Gol yang dijaringkan Mohd Luqman pada babak separuh masa kedua perlawanan menjadikannya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan edisi ini. Kemenangan itu membolehkan Tok Saboh FC membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,500, piala dan pingat manakala Sri Nail FC selaku naib juara turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000 berserta pingat. Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh turut hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaikan hadiah kepada para pemenang. Beliau berkata kejohanan sukan seperti itu sangat bagus bagi menarik minat golongan anak muda menerapkan semangat kesukanan yang tinggi. “Kejohanan seumpama ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara anak muda serta masyarakat setempat. “Saya bagi pihak kerajaan negeri akan sentiasa menyokong aktiviti sebegini bagi mengelakkan anak muda daripada terjerumus dalam aktiviti yang tidak berfaedah,” ujarnya dalam majlis penutup. Sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang bermula pada 17 Jun dan berakhir pada 18 Jun.
19 Jun 22
432
'Roket' Habib Leburkan 'Tembok' KL City
'Roket' Habib Leburkan 'Tembok' KL City
KUALA NERUS, 18 Jun - Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menang 2-0 ke atas KL City FC dalam aksi Liga Super 2022, sebentar tadi.  Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), pasukan tuan rumah menguasai perlawanan pada awal permainan bagi mencari gol awal dengan beberapa asakan ke gawang lawan.  Pada minit ke-14, Muhammad Hairey Hakim Mamat melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun terkena palang gol.    The City Boys meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-20 namun dinafikan oleh pengadil kerana terlebih dahulu dikesan ‘offside’.  Pemain Terengganu FC terus menggandakan usaha dengan beberapa lagi siri percubaan namun tidak menghadirkan sebarang gol.    Bersambung di babak masa kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari gol. Sang Penyu akhirnya mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-75 melalui Habib Haroon selepas beliau melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti.   Selang enam minit kemudian, Manuel Ott meletakkan dirinya sebagai penjaring kedua Terengganu FC pada minit ke-81 melalui rembatan dari dalam kotak penalti.  KL City FC cuba merapatkan kedudukan namun skuad kendalian Nafuzi Zain menunjukkan corak disiplin kemas dalam mengekang asakan pasukan lawan.  Perlawanan kekal hingga ke wisel penamat dengan jaringan 2-0. Terengganu FC melonjak ke tangga keenam carta dengan sembilan mata dengan hanya lima perlawanan. Selepas ini, Terengganu FC akan bertemu Penang FC pada Rabu depan bagi perlawanan keenam dalam saingan Liga Super 2022.
18 Jun 22
1513
1,300 Peserta Meriahkan 'Family Fun Ride'
1,300 Peserta Meriahkan 'Family Fun Ride'
KUALA TERENGGANU, 18 Jun- Seramai 1,300 peserta melibatkan belia, beliawanis dan keluarga menyertai program 'Family Fun Ride' pagi ini. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis pelepasan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Program yang dianjurkan Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu melibatkan jarak sepanjang 35 kilometer dan menjadikan Muzium Negeri Terengganu sebagai perhentian pertama sebelum kembali semula ke Dataran Awam Batu Burok. Dalam program itu pihak urus setia turut menyediakan empat buah basikal, dua buah motorsikal 'Honda Beat' kepada peserta bertuah juga pelbagai hadiah lain seperti barangan elektrik dan hamper.  
18 Jun 22
600
Timbalan KPN Warnai Kejohanan Kuda Lasak 2022
Timbalan KPN Warnai Kejohanan Kuda Lasak 2022
SETIU, 18 Jun – Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain menjadi salah seorang penunggang senior yang berjaya menamatkan acara Championship Endurance National (CEN) 40 kilometer. Turut menamatkan acara tersebut ialah Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnol yang mengenakan ‘vest’ bernombor 62. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Acara Sampingan sempena Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang DiPertuan Muda Terengganu 2022 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di sini semalam. Penunggang cilik, Kasih Dania Sofia Norhisyam berjaya merangkul kejuaraan dalam acara CEN 30 km kategori PONY bersama kudanya HKRC Yakub dengan catatan masa dua jam empat minit (2:04:51) manakala Supt. Suffian Hamzah mewakili pasukan STET pula menjuarai acara CEN 15 km kategori VIP dengan masa (1:09:41). Kejohanan tersebut berlangsung bermula pada 16 Jun sehingga 18 Jun, kategori CEN 100 km dan CEN 1*100 km bakal dilepaskan pada petang ini.
17 Jun 22
632
Ragbi Wanita, Lelaki Terengganu 'Sama-sama Naik'
Ragbi Wanita, Lelaki Terengganu 'Sama-sama Naik'
KUALA TERENGGANU, 15 Jun- Pasukan ragbi lelaki dan wanita Terengganu, masing-masing membuat kejutan serentak dengan mara ke peringkat akhir bagi perebutan kejuaraan Kejohanan Ragbi Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan edisi ke-5 penganjuran dan Kejohanan Ragbi Wanita 15 Sepasukan Kebangsaan yang julung kali dipertandingkan. Terengganu yang hadir selaku pasukan bukan pilihan bagi kedua-dua kategori mengejutkan lawan apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan meskipun pasukan wanita Terengganu berada kumpulan maut bersama pasukan pilihan iaitu Kedah dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi aksi Kumpulan B wanita. Pengurus Pasukan Ragbi Terengganu, Nizam Kamal menzahirkan kesyukuran dengan kejayaan yang diraih skuadnya. "Kedua-dua pasukan ini sememangnya pada awal lagi bukan pasukan pilihan setelah diundi dalam kumpulan masing-masing. "Kita tidak boleh nafikan pasukan-pasukan lain membuat persediaan yang lebih awal dengan program latihan masing-masing berbanding kita yang baru bermula sewaktu pasca COVID-19 ini. Nizam Kamal, Pengurus pasukan Ragbi Terengganu. "Alhamdullilah, berkat kerjasama jitu Persatuan Ragbi Negeri Terengganu yang memberi komitmen penuh membantu persiapan pasukan, kita berjaya ke tahap ini walaupun program latihan kami hanya bermula tiga minggu sebelum kejuaraan membuka tirai," katanya kepada pemberita selepas perlawanan terakhir di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, baru-baru ini. Tambahnya, beraksi di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus ternyata membawa tuah buat pasukan wanita apabila menafikan kehebatan PDRM yang hadir selaku pasukan pilihan dengan dua jatuhan try untuk berkeputusan 14 berbalas 3. Situasi terkini ini meletakkan pasukan ragbi wanita Terengganu layak untuk mara ke pusingan penentuan separuh akhir bertemu Selangor pada Sabtu ini di Padang Utara, Petaling Jaya. Pasukan lelaki yang diundi di dalam kumpulan B  bersama Wilayah Persekutuan Labuan dan Pahang pula mudah mengenepikan saingan lawan apabila menang 13-8 dalam aksi pertama (menentang Labuan) dan 11-0 pada aksi kedua (menentang Pahang). "Untuk situasi terkini, pasukan lelaki bawah 19 tahun mara ke suku akhir dan akan bertemu Kuala Lumpur juga pada Sabtu ini di Stadium Ragbi TUDM, Subang," katanya.
15 Jun 22
378