Artikel "Sukan" Terkini
Alamanda Fun Run Program Untuk Wanita Sihat Dan Aktif
KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Penganjuran Alamanda Fun Run untuk wanita negeri ini adalah bertujuan menjadikan golongan terbabit sihat, ceria, cergas dan aktif dalam pelbagai bidang sekali gus dapat memberi manfaat serta khidmat kepada pembinaan modal insan Terengganu.
Pengarah program Asma’ Abdullah berkata, acara larian khusus untuk kaum hawa itu julung kali diadakan di negeri Terenganu.
“Program seumpama ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan sukan patuh syariah untuk wanita Terengganu khususnya, bagi memastikan agenda yang dibawa ini dapat diterima baik oleh masyarakat.
“Selain itu, ia menjadi satu platform yang baik bagi memperkenalkan dan mengeratkan hubungan antara wanita-wanita Terengganu. Program yang pertama kali diadakan ini diharap dapat menarik lebih ramai golongan wanita menyertai program-program bermanfaat yang dianjurkan oleh kerajaan,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengarah Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) Terengganu berkata demikian dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, program ini dianjurkan bersama Urusetia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) beserta dengan rakan kerjasama Urusetia Wanita (USWa), ADUN Wanita Terengganu, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) , Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits), NGO Setia dan NGO Nisa’.
Beliau menambah, program Alamanda Fun Run ini akan berlangsung pada Sabtu, 23 Julai 2022, di Dataran Shahbandar bermula jam 7.30 pagi dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Abdul Rahman.
“Manakala acara pelepasan oleh ADUN Wanita Terengganu, Zuraida MD Noor, yang bermula dari Dataran Shah Bandar juga akan berakhir di sana.
“Antara pengisian yang menarik dalam larian ini ialah, peserta terawal akan diberikan hadiah berupa medal dan semua peserta juga berpeluang untuk menerima cabutan bertuah,” ujar Asma’.
Justeru itu, beliau menyeru kepada semua wanita muda Terengganu untuk mendaftarkan diri dalam google form yang disediakan (https://forms.gle/x8SyhD6XdRHj8axK8) dan hadir beramai-ramai pada sabtu ini.
Katanya, 500 orang peserta terawal akan mendapat medal larian dan peserta bertuah bakal memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya mesin pengering baju, basikal dan gelang emas.
19 Jul 22
806
Kontinjen Terengganu Tekad Kekalkan Kejuaraan Sukma
KUALA NERUS, 19 Julai- Kontinjen Terengganu berkeyakinan untuk mengekalkan gelaran juara Sukan Malaysia (Sukma) menjelang 60 hari ke kejohanan tersebut yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, atlet-atlet Terengganu kini berada di landasan yang betul dalam mempertahankan kejuraan berkenaan.
"Seramai 800 orang atlet dan pegawai kontinjen Terengganu akan menyertai 28 jenis sukan dengan sasaran mendapatkan 70 pingat Emas.
"Sukma kali ini akan mempertandingkan 31 jenis sukan melibatkan 424 acara secara keseluruhan. Jadi, hanya tiga jenis sukan yang tidak akan kita sertai iaitu bola tampar, gimrama dan kriket," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Kontinjen SUKMA Terengganu Menjelang 60 hari ke Sukma XX, MSN 2022 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Tengku Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmas Samsuri Mokhtar yang tidak dapat hadir.
Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor ditauliahkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Sukma XX.
Selain itu, turut diadakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma XX kepada ADUN-ADUN dan jabatan kerajaan.
Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja turut memaklumkan hasrat kerajaan negeri untuk kontinjen Terengganu terus mengekalkan kejuaraan.
"Setakat pengalaman saya, kita berada di landasan yang betul dan atlet-atlet kita sedang bersemangat tinggi. Kita harap, dalam 60 hari lagi mereka dapat mengekalkan momentum ini sehingga kejohanan nanti," katanya.
19 Jul 22
870
Sang Kenari Pulang Hampa
KUALA NERUS, 15 Julai- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kalah lagi di tangan Terengganu Football Club (Terengganu FC), kali ini dengan skor 2-1 dalam aksi Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Sang Penyu sekali lagi melayan kunjungan Sang Kenari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan Nafuzi Zain mengekalkan barisan sama untuk mengekang anak-anak buah Aidil Sharin Sahak.
Permainan bermula pantas dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan jaringan awal.
Gandingan Kpah-Faisal konsisten mengancam kubu lawan.
Pada minit ke-13, lorongan Petrus Shitembi membolehkan Faisal Halim lolos di bahagian kanan gol.
Pemain sayap kebangsaan itu kemudian mudah menghantar bola untuk dikuis Kpah Sherman bagi gol pertama tuan rumah.
KDA FC cuba bangkit namun Terengganu FC lebih banyak menguasai bola.
Peluang pelawat hadir pada minit ke-36 apabila Muhammad Ariff Farhan melakukan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin, tetapi sayangnya bola hanya menggegarkan palang gol.
Keputusan kekal sehingga separuh masa pertama ditamatkan dengan Terengganu FC selesa mendahului.
KDA FC memulakan babak kedua dengan mengatur lebih serangan ke kubu tuan rumah.
Bagaimanapun, Sang Penyu lebih bijak bertahan dengan serangan balas melalui trio serangan mereka.
Pada minit ke-56, tuan rumah terus menambah duka pelawat menerusi rembatan leret Manuel Ott untuk gol kedua Terengganu FC.
Pada minit-minit terakhir perlawanan, Azamuddin Akil cuba menghidupkan peluang KDA FC selepas merapatkan kedudukan dengan rembatan dari jarak dekat.
Namun, tambahan masa lima minit yang diberikan tidak berjaya dimanfaatkan pelawat untuk membawa pulang satu mata.
Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut membawa Terengganu FC mendaki ke tangga keempat Liga Super Malaysia dengan 16 mata melalui sembilan perlawanan.
15 Jul 22
1181
Berbasikal Sambil Promosi Gaya Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Buat julung kalinya, KMI Medical Centre dengan kerjasama pasukan berbasikal terkemuka negara, Terengganu Polygon Cycling Team menganjurkan acara berbasikal dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat setempat.
Pengurus Besar KMI Medical Centre, Salina Long berkata, setelah dua tahun tanpa sebarang aktiviti umum berikutan pandemik Covid-19, KMI Medical Centre kembali dengan pendekatan baru.
"Kalau ikutkan dahulu, setiap tahun kami adakan Run for Diabetes. Tetapi memandangkan suasana pandemik, telah dua tahun kita tiada aktiviti dan kini kami hadir dengan pendekatan baru iaitu acara berbasikal dengan sokongan pasukan berbasikal terkemuka.
"Lebih menarik, ia juga merupakan acara berbasikal pertama yang disertakan forum kesihatan," katanya.
Salina.
Tambahnya, KMI Sport Forum merupakan sesi bersama pakar bedah tulang; Dr. Nik Mohd Fatmy Nik Mohd Najmi, pelumba profesional TSG; Goh Choon Huat dan pakar fisioterapi; Emee Al-Amin Ab Azizi untuk memberikan pendedahan tentang kecederaan-kecederaan yang biasa dialami oleh 'cyclist' dan cara rawatan serta kaedah yang ada untuk memberi pendedahan kepada umum.
Dalam program berkenaan, lebih 100 pelumba profesional dan amatur melakukan kayuhan sepanjang hampir 30KM di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berakhir di KMI Medical Centre Kuala Terengganu, yang turut disertai Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
15 Jul 22
351
'Kipre Mungkin Main Malam Ini'
KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC, malam ini.
Jelasnya, anak-anak buahnya seperti biasa sentiasa fokus pada momentum kemenangan lalu dalam pertemuan kali kedua selepas kemenangan ke atas lawan sama dalam saingan Piala FA , baru-baru ini.
"Sebelum ini kita menang dalam Piala FA, jadi kita tidak boleh terlalu konfiden. Cuma, ambil kesempatan peluang kita dan pemain perlu fokus untuk kita cuba memperbaiki kedudukan kita dengan mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini.
"Buat kita, kita bergantung kepada kecergasan pemain dalam latihan, mungkin akan ada peluang Tcheche (Kipre) boleh diturunkan pada perlawanan ini sekiranya beliau cergas, tetapi kita juga masih ada Petrus (Shitembi) dan pemain lain untuk mengisi ketiadaan pemain yang cedera," katanya.
14 Jul 22
5044
SUKMA ke-20 : Terengganu Sasar 70 Pingat Emas
KUALA NERUS, 8 Julai - Terengganu meletakkan sasaran 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-20 September ini sekali gus mempertahankan kejohanan terbabit
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata untuk mencapai target berkenaan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) telah mempersiapkan para atlet bagi memastikan persedian terbaik dapat dilakukan.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat dalam masa 71 hari lagi yang masih berbaki para atlet kita ini mempunyai semangat juang yang tinggi dan insya-Allah mereka akan mengekalkan kejuaran yang diperolehi pada edisi yang lalu.
"Memang kita menyasarkan untuk menambah kutipan 70 pingat emas, namun saya yakin dan optimis kita berupaya mencapai lebih dari apa yang kita sasarkan sebagaimana pada kejohanan 2018 kita telah berjaya memperolehi 56 pingat emas melebihi target.
"Antara acara sukan yang akan kita perolehi kejuaraan nanti adalah menerusi acara Judo dan sudah tentu menerusi acara sukan berbasikal yang pada edisi lepas memberi sumbangan yang cukup besar untuk muncul juara keseluruhan sebagaimana SUKMA yang lalu dimana kita mempunyai persaingan yang cukup sengit diberikan oleh kontijen Johor, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas mengadakan lawatan ke Veneu Latihan SUKMA XX, bertempat di Dewan Serbaguna MSNT, di sini, kelmarin.
Tambah beliau, persediaan para atlet tidak hanya menerusi latihan yang dijalani tetapi turut meliputi aspek pemakanan dalam memastikan atlet terus bertenaga dalam menghadapi temasya sukan yang penuh berprestij itu.
"Walaupun berlaku kenaikan kos harga makanan namun itu tidak menjadi halangan bagi kita dimana MSNT sangat menjaga pemakanan para atlet.
"kita juga telah melantik bapa angkat dan jabatan angkat yang kita harapkan mampu menampunh segala kekurangan di pihak MSNT dan persatuan dalam kita memastikan atlet kita ini benar-benar bersedia dalam menghadapi cabaran pada kali ini untuk kita terus menguasai dan mempertahankan kejuaraan," ujarnya.
08 Jul 22
754
10 Pemain, Terengganu Tetap Mara!
KUALA NERUS, 6 Julai - Jaringan tunggal pemain tengah Terengganu Football Club (Terengganu FC), Faiz Nasir berjaya membenam Kedah Darul Aman FC dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan Piala FA Pusingan Kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini sebentar tadi walaupun bergelut dengan 10 pemain.
Taktikal pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain dampak ‘menjadi’ apabila pasukan tuan rumah hampir menjaringkan gol seawal minit pertama namun digagalkan penjaga gol pelawat, Mohd Ifwat Akmal.
Tidak perlu menunggu lama, Faiz Nasir yang digelar ‘Messi Terengganu’ berjaya meletakkan Skuad Penyu di depan dengan tandukan sempurna pada minit ke-6 melalui hantaran Faisal Halim.
Penyerang lincah Malaysia, Faisal Halim hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-25 namun gagal disudahkan yang dengan baik.
Minit ke-43, Kpah melorongkan bola kepada Faisal namun sekali lagi gagal diletakkan ke dalam jaring lawan.
Permainan terus rancak dengan corak yang dipamerkan Terengganu FC menyebabkan Kedah FC perlu berkerja keras untuk bertahan.
Jaringan kekal hingga ke tamat separuh masa pertama.
Permulaan babak kedua perlawanan sedikit menekan tuan rumah apabila pemain tonggak utama The Turtle, Pape Diakite dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Skuad Kenari, Wanja Ronald Ngah pada minit ke-50.
Nafuzi terpaksa mengubah corak permainan dengan melakukan beberapa pertukaran termasuk mengeluarkan penjaring tunggal perlawanan.
The Turtle bermain penuh disiplin dengan beberapa siri percubaan ke arah gawang gol Kedah FC walaupun tempang dengan kehilangan Shitembi.
Kemasukan pemain gantian mengekalkan semangat juang Terengganu FC dengan melakukan percubaan namun tidak tepat ke sasaran.
Perlawanan semakin rancak apabila serangan balas yang dilakukan Kedah FC pada minit ke-87 oleh bekas pemain The Turtle, Dechi Marcel tidak tepat.
Tidak senang duduk sepanjang perlawanan, seramai 11,689 penonton membanjiri SSMZA memberi sokongan bagi kedua-dua pasukan.
Perlawanan kekal dengan 1-0 hingga pengadil meniupkan wisel dan mengesahkan kemenangan tuan rumah.
Kemaraan Terengganu FC ke peringkat suku akhir memberikan suntikan semangat kepada skuad Nafuzi yang sekali lagi bakal menerima kunjungan Kedah FC di saingan Liga Super pada 15 Julai nanti.
06 Jul 22
4218
MHC Puji Pengurusan Sukan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof Dr. Shamala Subramaniam memuji strategi dan gaya pengurusan yang dilaksanakan kerajaan Terengganu dalam pembangunan sukan negeri itu.
Jelasnya, negeri berkenaan sentiasa membangunkan program untuk meningkatkan prestasi para atlet dalam pelbagai cabang sukan selain mengambil peranan menghargai jasa atlet di negeri itu.
"Adalah satu penghormatan bagi saya untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengenai penganjuran kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang bakal diadakan negeri ini.
"Sebagaimana ditegaskan oleh Presiden MHC, Dato' Sri Subahan Kamal, kami memastikan sokongan penuh terhadap penganjuran Terengganu International 5's Hockey Festival di Kuala Terengganu dan berada di sini, hari ini bagi membincangkan pelbagai aspek kejohanan tersebut bersama kerajaan negeri serta Persatuan Hoki Terengganu.
"Kami amat menantikan kerjasama ini untuk melihat Terengganu menjadi mercu tanda seterusnya bagi kejohanan hoki antarabangsa yang berprestij seperti Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Sultan Johor," katanya
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan di laman facebook miliknya selepas mengadakan pertemuan dengan Wan Sukairi di Wisma Darul Iman,baru-baru ini.
Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan bahawa penganjuran Terengganu International 5's Hockey Festival dijangka berlangsung pada 20-26 November 2022 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
"Terima kasih Prof Dato Dr Shamala Subramaniam, ia adalah satu penghormatan bertemu anda dan saya menghargai idea anda tentang masa depan sukan dan atlet di Terengganu.
"Kerajaan Terengganu sentiasa mengalu-alukan usaha dan kolobrasi daripada persatuan-persatuan sukan yang lain bagi menterjemahkan hasil kepada kemenjadian Terengganu sebagi negeri kuasa sukan tanah air," jelasnya.
05 Jul 22
454
Terengganu FC Menang 'Derby Pantai Timur'
KUALA NERUS, 2 Julai - Terengganu FC menang tipis 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Selepas buntu mencipta jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) Rabu lalu, Nafuzi Zain melayan kunjungan Tok Gajah dengan taktikal baru apabila meletakkan Kpah Sherman selaku penyerang tunggal dan Petrus Shitembi di nadi pasukan.
Hasilnya, hanya 52 saat diperlukan penyerang Liberia itu bagi merobek gawang pelawat.
Sherman yang menerima lorongan Shitembi dalam serangan pertama, berjaya menewaskan penjaga gol kelahiran Mali, Mamadou Samassa.
Sir Pahang FC cuba bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian, tetapi sepakan percuma Kevin Ingresso tersasar ke sisi gawang.
Habib Haroon berpeluang menambah jaringan pada minit ke-8, namun rembatan leretnya ditangkap kemas Samassa.
Pada minit ke-21, Manuel Ott melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti, tetapi berjaya ditepis keluar Samassa.
Terengganu FC terus menguasai perlawanan dengan cubaan-cubaan ke kubu lawan sepanjang masa pertama.
Manakala, Sri Pahang FC terus buntu menjelmakan serangan ke kubu tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu terus garang menggasak pelawat.
Pada minit ke-68, Sri Pahang FC hampir menyamakan kedudukan apabila Malik Mat Arif berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.
Bagaimanapun, Muhamad Shahrul Nizam menyelamatkan bola di garisan gol.
Gol kedua Terengganu FC hadir pada minit ke-80 apabila Mohd Faisal Halim dijatuhkan Shahrul Aizad dalam kotak penalti.
Penalti pertama pada minit ke-75 berjaya diselamatkan Samassa, namun pengadil, Zulkarnain Zakaria mengarahkan sepakan diambil semula.
Faisal Halim kemudian mudah menewaskan Samassa untuk gol kedua Terengganu FC.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 2-0, Malik Mat Arif melepasi perangkap offside dan menewaskan Suhaimi untuk pelawat merapatkan kedudukan.
Sri Pahang FC cuba bangkit tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan dalam masa yang berbaki.
Terengganu FC naik ke kedudukan kelima dengan 13 mata.
Skuad kendalian Nafuzi itu akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA di halaman sendiri, Rabu ini.
03 Jul 22
1119
Kongsi Mata Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 30 Jun - Terengganu Football Club (Terengganu FC) gagal memanfaat bermain di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Zainal Abidin (SSMZA) di sini sebentar tadi.
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain sekali lagi mempertaruhkan sentuhan magik duo penyerang import, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre namun masih gagal mencari kemenangan.
Awal permainan menyaksikan pasukan tuan rumah mendominasi permainan dengan beberapa kali membawa bola ke dalam kotak penalti Skuad Hobin Jang Hobin namun dikecewakan barisan pertahanan pelawat.
Selepas 13 minit sepak mula, perlawanan terpaksa ditangguhkan sekitar disebabkan hujan lebat serta kilat di SSMZA.
Bagaimanapun, penyokong The Turtle seramai 4,500 orang setia menanti selama satu jam sehingga perlawanan disambung semula.
Minit ke-32, pemain pertahanan muda Terengganu FC, Azam Azmi melakukan rembatan jauh dari luar kotak penalti namun penjaga gol lawan, Ahmad Syihan Hazmi menangkap kemas.
Peluang Terengganu FC mendapatkan gol pendahuluan sekali lagi dinafikan oleh tiang gol apabila lorongan bola Nik Sharif kepada Kpah namun gagal disempurnakan pada minit ke-36.
Perlawanan kekal tanpa jaringan hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, NSFC bermula rancak dengan beberapa percubaan namun masih buntu mendapatkan gol.
Pemain lincah Skuad Penyu, Faisal Halim cemerlang melakukan beberapa gerakan namun dikekang kemas pertahanan Negeri Sembilan FC.
Pada minit ke-83, Terengganu FC sekali lagi gagal memanfaatkan sepakan percubaan hasil sepakan pemain gantian The Turtle, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle yang tinggi.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-88 menerusi pemain tengah Terengganu FC, Manuel Ott yang melakukan rembatan jauh tapi digagalkan palang gol.
Perlawanan kekal 0-0 hingga tamat 90 minit.
Keputusan malam ini meletakkan Terengganu FC naik ke tangga ke-7 dengan tujuh perlawanan.
Selepas ini, Terengganu FC akan menerima kunjungan Sri Pahang FC pada Ahad.
29 Jun 22
431