lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Terengganu FC Gagal Raih Mata
Terengganu FC Gagal Raih Mata
KUALA NERUS, 10 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Super Malaysia, sebentar tadi. Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Harimau Selatan yang turun dengan skuad utama jelas mendominasi permainan berdepan Sang Penyu yang kehilangan khidmat Mohd Faisal Halim, Manuel Ott dan Tcheche Kipre. Pada minit ke-11, Terengganu FC terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan apabila Nik Sharif Haseefy mendapat peluang terbuka di depan gawang setelah menerima lorongan Kpah Sherman, namun tidak berjaya disudahkan dengan baik. Pada minit ke-29, penjaring terbanyak JDT, Bergson Da Silva hampir meledak jaringan pertama tetapi rembatan leretnya diselamatkan tiang gol. Dua minit kemudian, hantaran jauh Afiq Fazail berjaya disudahkan Bergson yang melepasi perangkap offside untuk meletakkan pelawat di depan. Johor DT terus-menerus mengancam pintu gol tuan rumah, Fernando Forestieri nyaris menjarakkan kedudukan dengan rembatan dari luar kotak penalti tetapi diselamatkan Rahadiazli pada minit ke-33. Terengganu FC ketinggalan satu gol sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk meledak gol kedua. Pada minit ke-47, Forestieri berjaya menggelecek dua pertahanan sebelum menewaskan Rahadiazli dengan rembatan dari luar kotak penalti. Sang Penyu kembali bangkit merapatkan jurang pada minit ke-50 setelah Hakimi Abdullah menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma. Pada minit ke-75, pemain tengah Johor DT yang telah mengutip kad kuning pada separuh masa pertama, Hong Wan melakukan bentesan keras ke atas Syafik Ismail. Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir tidak menghadiahkan sebarang kad kepada Wong Han atas kesalahan tersebut. Memasuki 10 minit terakhir, perlawanan berlangsung semakin panas dengan lebih banyak kekasaran berlaku. Namun, keputusan kekal sehingga separuh masa kedua ditamatkan. Terengganu FC jatuh ke kedudukan keeenam dengan 17 mata daripada 13 perlawanan.      
10 Aug 22
817
Bonus Menanti Terengganu FC
Bonus Menanti Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan negeri akan memberikan bonus dalam bentuk kewangan kepada skuad Terengganu FC (TFC) yang layak ke final Piala FA 2022. Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini. Skuad TFC mengesahkan slot ke pentas final apabila menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. Ahmad Samsuri berkata, memandangkan bola sepak merupakan sukan nombor satu di Malaysia dan Terengganu sendiri, sudah tentu kerajaan negeri ingin memberikan imbuhan kepada perjuangan pemain untuk mencapai kemenangan. “Sebenarnya dalam motivasi saya kepada pemain sebelum perlawanan malam tadi, saya ada maklum, mereka akan menerima ganjaran sekiranya dapat mara ke perlawanan akhir. “Dan ternyata mereka berjaya menempah tiket ke akhir jadi ini merupakan sejarah juga untuk kita di Terengganu ini dan memang ada ganjarannya dan saya telah nyatakan kepada mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut. Ahmad Samsuri (tengah) hadir menyaksikan kejayaan skuad Terengganu semalam. Katanya, skuad Penyu itu juga bakal menerima insentif sekiranya berjaya menjuarai Piala FA dalam menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas akhir. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah buat pemain TFC dan mengharapkan pemain tidak mensia-siakan harapan semua pihak untuk mencipta sejarah dan kemenangan.  
07 Aug 22
1282
Terengganu FC Kejar Impian Piala FA
Terengganu FC Kejar Impian Piala FA
KUALA NERUS, 6 Ogos- Muhammad Rahadiazli Rahalim muncul watak utama dalam kemenangan 4-2 Terengganu Football Club (Terengganu FC) ke atas Selangor FC dalam aksi separuh akhir Piala FA 2022, sebentar tadi. Penjaga gol bawah 23 tahun kebangsaan itu menyelamatkan dua sepakan penalti lawan untuk membawa pasukannya menempah tiket ke perlawanan akhir selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada 90 minit permainan sebenar. Dalam perlawanan tersebut, lebih 30,000 penyokong yang hadir menyaksikan aksi berintensiti tinggi dipamerkan kedua-dua pasukan seawal permainan dimulakan. Selangor FC membuka tirai jaringan menerusi Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-23. Terengganu FC kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi jaringan solo Mohd Faisal Halim. Ketandusan tambahan jaringan dalam 120 minit perlawanan memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti. Pemain antarabangsa Filipina, Manuel Ott gagal menyempurnakan penalti apabila sepakannya hanya menggegarkan palang gol. Namun, aksi 'heroic' Rahadiazli menyelamatkan sepakan penalti Aliff Haiqal Lokman dan Yazan Al-Arab melayakkan Terengganu FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas akhir Piala FA.  
06 Aug 22
1103
400 Polis Kawal Perlawanan Terengganu Selangor
400 Polis Kawal Perlawanan Terengganu Selangor
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Seramai 400 pegawai dan anggota Polis dikerah bagi mengawal perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata, pemeriksaan badan dan beg akan dilakukan bagi memastikan penonton tidak membawa barang terlarang seperti mercun, bunga api, suar, mancis, pemetik api dan sebarang objek tajam termasuk pisau, payung serta besi. "Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menimbulkan kekacauan dengan mengadakan perhimpunan atau perarakan sebelum atau selepas perlawanan. "Sebarang provokasi akan dikenakan tindakan tegas sekiranya ditangkap," ujarnya dalam suatu kenyataan. Jelasya lagi, bagi memastikan perlawanan berjalan lancar pihaknya akan turut mengawal aliran trafik bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di sekitar stadium. "Penonton diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan ke kawasan pintu utama SSMZA," ujarnya lagi.  
06 Aug 22
333
Atlet Terengganu ke Sukan Komanwel 2022 Diraikan
Atlet Terengganu ke Sukan Komanwel 2022 Diraikan
BIRMINGHAM,3 Ogos – Seramai 4 orang atlet negeri Terengganu yang berjaya mewakili negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 telah disantuni oleh delegasi kerajaan negeri Terengganu di Birmingham, United Kingdom.  Keempat-empat atlet terbabit ialah Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam (gimnastik), Muhamad Idham Amin Ramlan (lawn bowls), Arvin Shaun Singh Chanal (renang) dan Muhammad Atib Zakaria (sukan para bola keranjang).  Untuk rekod, 72 buah negara dan wilayah telah mengambil bahagian pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Malaysia telah menghantar seramai 104 orang atlet. Delegasi kerajaan negeri Terengganu yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut disertai timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Nasree Najmi serta kakitangan MSNT. Menurut Wan Sukairi, lawatan tersebut diadakan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada atlet Malaysia khususnya dari Terengganu di Sukan Komanwel 2022. “Sepanjang disana, saya telah menyantuni kesemua atlet Terengganu yang mewakili negara bagi memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada mereka agar dapat memberikan persembahan yang terbaik dalam pertandingan yang disertai. “Keempat-empat atlet yang mewakili negara ini juga telah menerima Insentif Skim Wakili Negara (SWARA) berjumlah RM 1,500 setiap orang," katanya. Tambah beliau, setiap atlet yang berjaya mendapat pingat juga akan diberikan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) dan akan diraikan dalam satu majlis oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu seperti sebelum ini. Beliau yang turut mengadakan lawatan ke perkampungan atlet Sukan Komanwel 2022 di University of Birmingham berkata, lawatan berkenaan adalah satu bukti keperihatinan dan juga kecaknaan kerajaan negeri terhadap kebajikan atlet Terengganu yang berjaya mewakili negara dalam acara berprestij sebegini. Jelasnya, kerajaan negeri berharap agar atlet-atlet Terengganu yang sedang meningkat naik dapat mencontohi kejayaan atlet-atlet yang telah berjaya mewakili negara ke acara sukan bertaraf antarabangsa. Mengulas lanjut, beliau serta delegasi turut menghadiri acara perasmian penuh gilang gemilang Sukan Komanwel 2022 yang disempurnakan oleh Prince of Wales Putera Charles pada 28 Julai lalu di Stadium Alexander, Perry Bar. Sementara itu, atlet gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam berkata, beliau amat bergembira dan teruja dengan kehadiran delegasi kerajaan negeri yang dapat memberi semangat kepada beliau dan atlet Terengganu yang lain.  
03 Aug 22
1180
SUKMA 2022: Pasukan E-Sports Terengganu Impi Tiga Emas
SUKMA 2022: Pasukan E-Sports Terengganu Impi Tiga Emas
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos- Skuad sukan elektronik (E-sports) Terengganu yang akan membuat penampilan sulung di pentas Sukan Malaysia (SUKMA 2022) pada September nanti optimis untuk menghadiahkan tiga pingat emas buat kontinjen negeri Terengganu. Menurut pengurus pasukan E-sports Terengganu, Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah, sasaran itu dilihat realistik memandangkan barisan atlet sukan tersebut berada dalam momentum terbaik untuk memburu kejuaraan yang pertama kali dipertandingkan dalam sejarah penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA). “Kita mensasarkan empat pingat emas iaitu tiga pingat dari acara Pro Evolution Soccer 2021 (PES 2021) dan bonus, satu pingat emas dari Mobile Legends. “Walaupun bakal berdepan cabaran sengit, kami tetap yakin mampu menghadiahkan podium bagi acara Mobile Legends ini.  “Manakala, bagi acara DOTA kami mensasarkan untuk berada di antara empat pasukan teratas untuk SUKMA 2022 ini,” katanya ketika ditemui sewaktu Kejohanan Terengganu E-Football Championship 2022 di Bukit Payung, Marang, baru-baru ini. Jelasnya, pasukan dari pantai timur itu juga memiliki nilai tambah tersendiri yang mana sebahagian mereka menganggotai beberapa pasukan profesional persendirian seperti Todak, Homebois dan RSG MY yang beraksi di pentas kebangsaan dan antarabangsa.  “Kita kini berada di fasa akhir program latihan di bawah kawal selia Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT). “Komitmen yang tinggi diberikan oleh setiap atlet dan barisan jurulatih kami dalam program latihan ini memandangkan kami semua begitu teruja untuk pertama kali beraksi di pentas SUKMA 2022 di Kuala Lumpur nanti,” katanya. SUKMA 2022 akan diadakan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bakal menjadi venue rasmi bagi perebutan pingat sukan elektronik mempertaruhkan tiga jenis sukan elektronik mengikut konsol permainan masing-masing iaitu Pro Evolution Soccer 2021(PES 2021), Mobile Legends dan DOTA 2.    
02 Aug 22
537
'Phoenix' Berkubu, Terengganu FC Buntu
'Phoenix' Berkubu, Terengganu FC Buntu
KUALA NERUS, 1 Ogos- Kecemerlangan benteng pertahanan lawan diketuai penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz mewarnai aksi seri tanpa jaringan antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan PJ City FC dalam aksi Liga Super 2022, sebentar tadi. Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dalam cuaca mendung, Skuad Penyu turun tanpa kehadiran Habib Haroon dan Kpah Sherman, namun kembali diperkuatkan tonggak pertahanan, Pape Diakite. Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan babak pertama dengan corak permainan pantas bagi memburu gol pembukaan. Bagaimanapun, P. Maniam lebih bersedia bertandang ke Terengganu apabila hadir dengan taktikal bertahan. Pada minit ke-13, satu hantaran lintang rendah dilakukan Nik Muhammad Sharif Haseefy menemui Tchetche Kipre memberi harapan tuan rumah mencetak jaringan pendahuluan tetapi sepakan pemain itu tinggi melepasi palang gol lawan yang terbuka. Sepakan percuma Petrus Shitembi pada minit ke-29 berjaya menggegarkan gol pelawat, namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut setelah Kipre didapati mengasari Kalamullah. Terengganu FC sekali lagi berpeluang meledak gol pada minit ke-33 dan kali ini giliran Mohamad Faisal Halim pula mensia-siakan peluang di depan gawang dengan kuisan ke 'langit'. Babak pertama berakhir tanpa sebarang gol walaupun tuan rumah berjaya melakukan beberapa percubaan merbahaya ke kubu lawan. Bersambung babak kedua, Kalamullah terus cemerlang menyelamatkan pintu gol PJ City FC sekalipun berdepan serangan bertubi-tubi tuan rumah. Dalam keghairahan menyerang, pintu gol Terengganu FC hampir bolos pada minit ke-62 setelah Darren Lok berjaya memintas bola lorongan ke belakang Pape Diakite. Penyerang kebangsaan itu berjaya menewaskan Rahadiazli namun rembatannya tersasar ke sisi gawang. Barisan serangan Sang Penyu terus buntu berdepan Sang Phoenix yang 'berkubu' di kawasan sendiri. Berbaki enam minit masa tambahan, pemain gantian, Muhammad Syahmi Zamri hampir mengejutkan tuan rumah dengan rembatan kencang yang menggegarkan tiang gol Terengganu FC. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kekebalan benteng pertahanan PJ City FC dan kecemerlangan Kalamullah membolehkan pelawat membawa pulang satu mata dari Gong Badak.    
01 Aug 22
2991
TSG ‘Takluk’ Turki
TSG ‘Takluk’ Turki
KUALA TERENGGANU, 28 Julai- Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) berjaya menjuarai podium dalam Grand Prix Erciyes 1.2 dan Grand Prix Kayseri 1.2 di Turki, baru-baru ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, kejayaan Jeroen Meijer menduduki tempat pertama (Erciyes 2.1) serta Anatolii Budiak (tempat pertama) dan Metkel Eyob (tempat kedua) di Kayseri 1.2 merupakan keputusan positif bagi TSG dalam kejuaraan jelajah Eropah di negara itu kali ini. “Sekarang TSG berkampung di Turkiye sehingga dengan baki dua perlumbaan iaitu Grand Prix Yahyali 1.2 (31 Julai) dan Grand Prix Velo Erciyes 1.2 (4 Ogos). “Insya-Allah, kita akan cuba yang terbaik untuk perlumbaan seterusnya walaupun dijangkakan menerima cabaran sengit pasukan-pasukan berkelas dunia yang akan berkampung di Eropah untuk kejohanan seterusnya selepas Tour de France melabuhkan tirainya,” katanya. Jelasnya, jelajah tersebut merupakan serampang dua mata bagi memperkemaskan persiapan TSG menghadapi Le Tour de Langkawi pada Oktober nanti. Che Ku Izmuddin turut memaklumkan mengenai perancangan TSG untuk melebarkan sayap meneroka benua Eropah pada masa akan datang. “Selepas berjaya menempatkan diri di siri jelajah Eropah di Turkiye tahun lalu, pada tahun 2023 kita akan cuba satu lagi tempat di Eropah di mana Sepanyol jadi pilihan kerana altitud dan perlumbaan di sana yang mampu meningkatkan kualiti pasukan secara keseluruhan,” katanya. TSG kini memegang tahta selaku nombor satu Asia dan berada di kedudukan kedua terbaik bagi pasukan benua terbaik diantara 160 pasukan. “Bagi kelompok benua, kita di belakang pasukan dari New Zealand. Walaubagaimanapun,  menjadi kebanggaan kita ada pasukan dari Malaysia yang mampu bersaing dengan pasukan dari eropah di peringkat dunia,” katanya.  
28 Jul 22
2246
Nafuzi Tekad Tajamkan Jentera Serangan
Nafuzi Tekad Tajamkan Jentera Serangan
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Pengendali Terengganu Football Club (Terengganu FC), Nafuzi Zain yakin untuk tajamkan jentera serangannya menjelang perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. “Perlawanan ‘away’ sebelum ini walaupun kita kalah, dari segi permainan kita lagi baik cuma ketumpulan penyudah gol dan kesilapan mudah yang perlu dibaiki. "Saya tahu kualiti pemain yang kita ada, jadi kita akan fokus untuk bagi aksi yang terbaik nanti," katanya selepas aksi suku akhir Piala FA tempoh hari. Susulan kejayaan menundukan Kuching City FC 4-1 dalam saingan suku akhir Piala FA, Sabtu lalu, dua gol berharga dijaringkan penyerang import, Tcheche Kipre selepas menggantikan Kpah Sherman pada minit ke-60. "Dua gol yang dijaringkan Kipre membuatkan pemain kita bangkit dan berlakunya perubahan permainan apabila tahap keyakinan bermain meningkat hingga tamat permainan," ujarnya. Terengganu FC menang bergaya 4-1 dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sekali gus melayakkan mereka melangkah ke separuh akhir menentang Selangor FC pada 6 Ogos nanti. Skuad Terengganu FC bermain di hadapan lebih 20,000 penyokong tanpa kehadiran tonggak utama, Habib Haroon dan dijangka kembali diturunkan menjelang aksi malam ini.  
27 Jul 22
540
Gol Kipre Bikin Penyokong Terengganu 'Berpesta'
Gol Kipre Bikin Penyokong Terengganu 'Berpesta'
KUALA NERUS, 23 Julai - Dua gol jaringan penyerang kesayangan ramai, Tcheche Kipre membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengatasi Kuching City FC, 4-1 dalam aksi suku akhir Piala FA 2022, sebentar tadi. Seawal minit pertama, Terengganu FC menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri dengan menggasak kubu Kuching City FC bertubi-tubi. Meskipun tanpa kehadiran dua tonggak import iaitu Pape Diakite dan Habib Haroon, skuad kendalian Nafuzi Zain tampak mendominasi permainan dengan Argzim Redzovic mengetuai barisan pertahanan. Pada minit ke-18, tuan rumah hampir dihadiahkan penalti setelah situasi kelam-kabut di hadapan gol pasukan pelawat. Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli membatalkan keputusan itu setelah merujuk pembantunya. Gol pendahuluan Terengganu FC hadir dua minit kemudian selepas pemain yang mendapat gelaran 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir menanduk hantaran lintang Azam Azmi Murad membolosi kawalan Mohd Iqbal Mohd Suhmi. Sang Penyu terus menguasai perlawanan sementara 'Il Gatto' (The Cats) lebih banyak bertahan. Anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim hanya berpeluang melakukan serangan pada minit ke-34 perlawanan. Tiga minit sebelum tamat babak pertama, salah faham antara barisan pertahanan Terengganu FC menghadiahkan pelawat gol penyamaan apabila Amir Amri Salleh menyambar tandukan Wan Mohammad Faiz yang dibiarkan pertahanan dengan rembatan padu melepasi Muhammad Rahadiazli Rahalim. Separuh masa pertama berkesudahan dengan keputusan 1-1. Bersambung babak kedua, Terengganu FC terus menggandakan serangan untuk jaringan kedua. Kemasukan Kipre menggantikan Kpah Sherman pada minit ke-60 membuahkan hasil apabila penyerang kelahiran Ivory Coast itu meledak dua gol dalam tempoh enam minit bagi mengatasi lawan. Jaringan pertamanya muncul pada minit ke-73 setelah menanduk deras hantaran Shitembi ke gawang lawan. Kipre kembali menggegarkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) apabila menggelecek penjaga gol lawan dalam situasi satu lawan satu untuk gol ketiga tuan rumah. Penyerang lincah kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim turut mencetak nama sebagai penjaring gol dan melengkapkan kemenangan 4-1 Terengganu FC dengan rembatan leret pada minit ke-87 perlawanan. Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu FC bakal melayan kunjungan Selangor FC dalam aksi separuh akhir Piala FA pada 5 Ogos ini.      
23 Jul 22
4417