lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

'Demi Tranungku', Penyokong Wakaf Dua Zahir Semangat Final
'Demi Tranungku', Penyokong Wakaf Dua Zahir Semangat Final
MARANG, 6 September - Sebahagian penyokong-penyokong Terengganu Football Club (Terengganu FC) bergotong-royong mengecat dan menyiapkan 10 kain rentang kata-kata semangat untuk pasukan kesayangan mereka yang akan beraksi di perlawanan akhir Piala FA, minggu ini. Wakil peminat bola sepak Terengganu dari Kampung Wakaf Dua, Muda Mat Ali, 60, atau lebih dikenali sebagai Pok Pin bola berkata, semua penduduk memberikan sokongan dan dukungan menyiapkan kain rentang dengan kos sekitar RM1,000. "Hari ini, kami peminat dengan penuh semangat turun bergotong royong menyediakan kain rentang, banner bagi menyerikan dan menambah semangat penyokong-penyokong kita menuju ke Bukit Jalil. "Kita dengan penuh rasa rendah diri serta semangat, harap pemain dapat mencurahkan dan melahirkan apa yang kita mahu selain bermain penuh semangat dalam menjayakan matlamat kejayaan kita semua," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Wakaf Dua, hari ini. Tambahnya, sebanyak tiga bas rombongan peminat-peminat akan bergerak Jumaat ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu FC. "Inilah yang mampu kami sumbangkan kepada pasukan. "Sudah sekian lama kita tidak merangkul piala, harap kali ini kita membawa pulang kejayaan untuk rakyat Terengganu," katanya. Peminat setia sejak tahun 1978 itu turut menyatakan, penyokong dari kampung berkenaan turut berjanji akan 'menumbangkan' dua ekor lembu jika Terengganu FC berjaya menjulang Piala FA 2022. "Ini bukan cakap main-main, kalau kita menang kali ini kami telah menyediakan dua ekor lembu sebagai mengenang jasa pasukan, pemain dan kejurulatihan," katanya.  
06 Sep 22
1462
Giliran Terengganu FC Belasah Melaka United
Giliran Terengganu FC Belasah Melaka United
KUALA NERUS, 3 September- Melaka United FC pulang hampa apabila sekali lagi dibelasah, kali ini tumpas 5-0 di tangan Terengganu Football Club (Terengganu FC) pada aksi Liga Super Malaysia 2022 di Gong Badak, sebentar tadi. Manakala, skuad kendalian Nafuzi Zain terus konsisten mengutip tiga mata dengan penyerang kelahiran Ivory Coast, Tcheche Kipre mencatat jaringan hatrik pertamanya musim ini. Beraksi di halaman sendiri, tumpuan terarah kepada penyerang tuan rumah, Kpah Sherman dan Kipre yang kembali digandingkan dalam kesebelasan utama. Terengganu FC bermula cemerlang dengan menguasai perlawanan seawal minit pertama. Rangkaian jentera serangan Sang Penyu diketuai Kpah, Faisal Halim dan Kipre membuatkan anak-anak buah Asri Ninggal terpaksa 'berkubu' di kawasan sendiri. Pada minit ke -16, Kpah berjaya meletakkan Terengganu FC di depan apabila menanduk kemas hantaran lintang Faisal. Kedudukan kekal 1-0 pada separuh masa pertama selepas tuan rumah gagal menterjemahkan beberapa peluang 'besar' untuk menambah jaringan. Memasuki babak kedua perlawanan, pelawat cuba merapatkan kedudukan dengan merencana beberapa percubaan, namun tidak berhasil. Pada minit ke -47, perlawanan dihentikan seketika apabila penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembang dengan pemain gantian pelawat yang baru masuk, Harith Naim Jaineh. Suhaimi Husin masuk menggantikan Rahadiazli yang cedera sebelum perlawanan diteruskan kembali. Pada minit ke-62, Nik Sharif Haseefy yang masuk menggantikan Mohd Faiz Nasir seminit sebelum itu muncul hero dengan mencetak nama sebagai penjaring gol kedua pasukan selepas menolak masuk bola rembatan Kpah yang ditampan penjaga gol lawan, Tian Keat See. Sekalipun memiliki kelebihan dua gol, pemain-pemain Terengganu FC terus menggasak kubu Melaka United. Pada minit ke -67, Kipre yang menerima bola dari Faisal tidak mensia-siakan peluang dan rembatannya mudah menewaskan Tian Keat. Terengganu FC meneruskan 'malam pesta' mereka dan pada minit ke -75, Kipre menambah jaringan peribadinya selepas menolak masuk hantaran lintang Faisal untuk gol keempat tuan rumah. Sang Penyu semakin garang membuatkan Sang Kancil tersipu-sipu. Enam minit berselang, Faisal sekali lagi melakukan 'assist' dengan Kipre menyempurnakan hatrik bagi gol kelima perlawanan. Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu FC kekal di kedudukan keempat liga, mengekori Negeri Sembilan FC di tangga ketiga dengan hanya perbezaan tiga mata.      
03 Sep 22
2711
SUKMA 2022 : Terengganu Sasar Satu Emas Karate
SUKMA 2022 : Terengganu Sasar Satu Emas Karate
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara karate pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada 6 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata berdasarkan prestasi semasa sasaran satu pingat emas mampu untuk dicapai. Katanya, jika berjaya meraih lebih pingat emas, itu menjadi bonus kepada pasukan dan kontinjen negeri. “Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pasukan karate ini melalui sedikit pembiayaan serta peruntukan bagi memastikan para atlet pergi dengan penuh semangat dan membawa pulang manfaat kepada diri sendiri dan untuk negeri. “Kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM 5,000 sementara Yayasan Terengganu juga tidak ketinggalan memberi sumbangan kepada pasukan karate negeri dalam bentuk barangan keperluan atlet,” jelas bapa angkat skuad karate Terengganu. Beliau berkata demikian semasa Majlis Temu Mesra Bersama Pasukan Karate Terengganu Sukma 2022 bertempat di Hotel Paya Bunga (PB) baru-baru ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.  Tambah Hanafiah, pasukan karate Terengganu terdiri daripada tujuh atlet lelaki dan empat atlet wanita diketuai oleh Shamsiah Mokhtar sebagai Pengurus Pasukan. Katanya, para atlet kini sedang giat menjalani latihan di Dewan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan bakal menyertai 13 acara daripada 16 acara yang dipertandingkan di SUKMA nanti. “Harapan dan hasrat kami agar seluruh warga negeri Terengganu dari semua peringkat dan golongan bersama-sama mendoakan kejayaan pasukan dan Kontinjen negeri Terengganu yang akan bertanding di SUKMA nanti," katanya.  
30 Aug 22
706
Skuad Menembak Terengganu Optimis 'Bidik' Dua Emas
Skuad Menembak Terengganu Optimis 'Bidik' Dua Emas
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Pasukan Menembak Terengganu menetapkan sasaran meraih dua pingat Emas untuk dicapai dalam Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung pada 16 September ini. Ketua jurulatih, Nazihan Harun berkata, pasukannya komited mencapai sasaran ditetapkan dengan mempertaruhkan 25 atlet menerusi 14 acara (26 pingat) yang dipertandingkan. "Kita meletakkan sasaran dua pingat Emas daripada acara 25M Sport Pistol (men) menerusi gandingan Nik Mohd Luqman Nik Omar, Muhammad Naufal Mohamed Nasir dan Muhammad Nur Rifqi Muhammad Ansarullah Eu Abdullah serta dalam acara 10M Air Raifal (mix) menerusi Ahmad A'zim Aizuddin Mohd Rafii dan Nur Aqasha Damia Abdullah. "Namun, ada beberapa acara yang kita berpeluang untuk podium antaranya Standard Pistol dan Sport Pistol (women), jika kita beraksi baik mungkin akan membuahkan pingat," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Hi-Tea Bersama Pasukan Menembak Sukma anjuran Primula Beach Hotel di hotel berkenaan, semalam. Tambahnya, sekalipun SUKMA XIX di Perak pada 2018 menyaksikan pencapaian cemerlang pasukan menembak dengan tiga pingat Emas, lapan Perak dan tiga Gangsa, ia tidak boleh dijadikan ukuran.  "Sebelum ini, kita mengalami kekangan dari segi latihan kerana kita hanya dapat mula berlatih di Lapang Sasar Gong Kuin, Gong Badak ini bermula Jun 2021, jadi tempoh masa yang diberikan agak terhad untuk kita meletakkan sasaran lebih tinggi. "Lebih-lebih lagi kita juga berdepan cabaran utama daripada Perak dan Pahang. "Bagi fasa akhir ini, kami baru balik daripada latihan di Mantin selama seminggu, jadi pada peringkat akhir ini kita berlatih lebih santai untuk mengekalkan prestasi atlet sebelum acara bermula pada 18 September," katanya. Tambahnya, beliau membariskan 10 muka lama dalam Sukma kali ini dengan seramai 14 atlet lelaki dan 11 atlet wanita berumur antara 16 hingga 23 tahun.        
29 Aug 22
524
Primula Beach, Hotel Pertama Taja Pasukan Sukma Terengganu
Primula Beach, Hotel Pertama Taja Pasukan Sukma Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Primula Beach Hotel menzahirkan sokongan kepada atlet-atlet Terengganu yang akan bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan menaja pasukan menembak negeri itu. Syarikat perhotelan itu menjadi perintis program kolaborasi bersama Kontinjen Sukma Terengganu sebagai menterjemahkan obligasi sosial syarikat kepada masyarakat khususnya warga sukan Terengganu. Pengurus besarnya, Suaibah Harun berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha hotel tersebut untuk menyokong pertumbuhan industri pelancongan sukan yang semakin berkembang pada masa ini. "Ini inisiatif kita untuk memberikan sokongan moral kepada atlet-atlet dari negeri Terengganu supaya lebih bersemangat dan semoga berjaya menang dalam Sukma nanti.   "Kita terbuka untuk menyokong apa juga 'sport tourism' kerana ia amat membantu ekonomi negeri terutamanya kepada industri perhotelan. "Baru-baru ini, kita mengadakan Pink Ride dan ia sangat berjaya serta menunjukkan adanya manfaat industri pelancongan dalam bidang sukan. Ramai pengunjung datang untuk sukan tetapi ia menjana ekonomi negeri disebabkan ada kaitan antara industri satu sama lain," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Hi-Tea bersama pasukan menembak Sukma di hotel itu, semalam. Tambahnya, para atlet akan lebih positif dengan sokongan daripada pihak industri terhadap usaha mereka mengharumkan nama negeri. "Saya juga cuba (mengetengahkan) menerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia cawangan Terengganu dengan harapan mungkin ada dua tiga hotel lagi akan menyokong untuk menaja pasukan-pasukan Sukma. "Penganjuran sukan memberikan impak luar biasa dalam menjana ekonomi, ia 'create awareness' dan memberi kesan yang besar," katanya.          
29 Aug 22
167
Menang Atau Kalah, Terengganu Cuti 11 September
Menang Atau Kalah, Terengganu Cuti 11 September
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada 11 September 2022 sempena perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) . Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata seperti yang kita sedia maklum, Terengganu FC telah berjaya ke perlawanan akhir Piala FA yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil iaitu pada sabtu, 10 September 2022. “Tujuan cuti peristiwa ini adalah untuk memberikan keselesaan perjalanan pulang dan balik serta memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya. “Kerajaan negeri berharap para penyokong Terengganu FC dapat mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlibat dengan sebarang insiden yang tidak sepatutnya serta menyusun atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa,” jelasnya. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan di laman facebook miliknya pada hari ini. Tambah Dr Samsuri, beliau berharap agar penyokong Terengganu sentiasa menunjukkan akhlak dan adab yang baik ketika menyaksikan perlawanan tersebut. “Kepada pasukan Terengganu FC, saya berharap para pemain dapat memberikan fokus yang maksima dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekaligus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu,” katanya.  
28 Aug 22
1095
Terengganu FC Harap Tuah Bukit Jalil
Terengganu FC Harap Tuah Bukit Jalil
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) menjadi harapan seluruh rakyat Terengganu untuk menjulang kembali Piala FA 2022 setelah kali terakhir menjuarainya pada tahun 2011. Rata-rata penyokong gembira apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi lokasi pilihan berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA  edisi ke-32 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT). Ini kerana, perlawanan penuh berprestij itu mengembalikan nostalgia yang tercipta 11 tahun yang lalu di mana Sang Penyu berjaya membawa pulang Piala FA setelah menewaskan Kelantan 2-1 dalam pertembungan epik 'derby' pantai timur. Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini memaklumkan, stadium keramat itu telah diputuskan dijadikan tempat berlangsungnya perlawanan terbabit setelah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM. Pemilihan SNBJ bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam dan ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan dikawal. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, berkata pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran ini. "Anatara elemen menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti. "Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,0000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium. "Selain itu, MFL juga menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti. Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk berkerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik. "MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan, kita (juga) sedia maklum SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini,"katanya. Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berterima kasih kepada pihak MFL kerana telah memilih SNBJ sebagai venue terbaik untuk perlawanan bersejarah itu. Beliau yakin dengan tarikh yang diberikan itu juga TFC akan mempunyai persiapan yang cukup bagi bertemu JDT dan memastikan pemain akan bermain sehabis baik untuk perlawanan ini. "Sememangnya kita mengharapkan kejayaan pasukan yang kita sokong sesuai dengan slogan kita 'win back mission' kerana TFC dahahakan kemenangan yang kali terkahir dimenangi pada 2011 yang mana ia akan turut melayakkan pasukan TFC bertanding di piala AFC. "Namun andainya keputusan sebaliknya saya juga berharap semoga para peminat TFC yang saya sayangi ini sentiasa menjaga tatasusila adat budaya orang Pantai Timur perlu berlapang dada dan mempunyai sifat profesional yang tinggi supaya tidak berlaku rusuhan," ujarnya.  
26 Aug 22
2457
93 Regu Pamer Libasan Di Piala MB Terengganu
93 Regu Pamer Libasan Di Piala MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos- Lebih 90 pasukan tempatan dan luar negeri turun mempamerkan kehebatan masing-masing dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Terengganu yang membuka tirainya di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini. Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memaklumkan, sebanyak 22 regu dan pasukan ternama dari seluruh tanah air akan merebut hadiah kejuaraan bernilai RM5,000 dalam kejohanan selama tiga hari itu. “Serentak itu, akan turut berlangsung Piala Exco Sukan, Belia Dan NGO Terengganu yang mendapat penyertaan daripada 71 regu dalam negeri. “Selepas sahaja Sepak Takraw League dan Piala Tun Ali yang baru tamat di Melaka, kita tidak terkecuali untuk duduk sebaris dengan kejohanan-kejohanan ini apabila menampilkan kejohanan antara berprestij setanding peringkat kebangsaan. “Piala yang dipertandingkan ini juga antara acara sepak takraw terbesar dilangsungkan dalam negeri setakat ini, kerana kita membuka enam gelanggang serentak sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya. Beliau turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan dan tajaan, serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam kerjasama melancarkan penganjuran kejohanan. “Selain itu, terima kasih juga kepada syarikat Proeight, Gajah Emas, Faiza, Paijang Sports dan tidak lupa kepad Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu atas tajaan dan sokongan,” ujarnya. Penganjuran tersebut menurutnya, turut membuka ruang dan peluang kepada penggiat sukan takraw tanah air untuk datang ke Terengganu, bukan sahaja semata-mata bersukan tetapi juga melancong. “Kejohanan ini boleh menjadi salah satu daripada sukan pelancongan, ajak keluarga melancong di negeri Terengganu dan dalam masa sama kita memperhebat industri sukan. “Kita yakin dan percaya kejohanan ini akan mengembalikan kegemilangan industri sukan sepak takraw Terengganu,” katanya. Kejohanan Piala MB Terengganu merupakan kejohanan terbuka menampilkan penyertaan regu-regu dari seluruh negara dan menawarkan hadiah utama bernilai RM5,000. Manakala, Piala Exco menampilkan bakat-bakat tempatan di seluruh negeri Terengganu dan menawarkan hadiah utama bernilai RM1,000. Kedua-dua kejohanan ini berlangsung serentak bermula hari ini sehingga 27 Ogos ini. 
25 Aug 22
520
Fiesta Wau Negak Marang Ditangguhkan
Fiesta Wau Negak Marang Ditangguhkan
MARANG, 21 Ogos - Acara hari terakhir Fiesta Wau Negak Marang 2022 terpaksa ditangguhkan ke hari sabtu depan, 27 Ogos 2022 atas faktor cuaca yang tidak menentu. Urus Setia program, Suria Mohamad berkata keadaan hujan yang terlalu lebat menyebabkan pihaknya terpaksa menangguhkan acara tersebut. "Acara ini diadakan selama dua hari iaitu bermula 19 hingga 20 Ogos 2022 namun terpaksa ditangguhkan pada hari terakhir pertandingan atas faktor cuaca dan keselamatan peserta. "Penyertaan bagi acara ini adalah seramai lebih 200 orang peserta yang tidak mengira lapisan umur dan acara ini diadakan di Kampung Durian Pahit Merchang, Marang," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).  Perasmian penutup bagi acara ini akan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Sulaiman Sulong. Tambah Suria, sambutan pada hari jumaat,19 Ogos iaitu pada hari pertama program sangat meriah dengan pelbagai aktiviti seperti Pameran Wau Sobek, Demostrasi Pembuatan Wau dan Pertandingan Wau. Sementara itu, pelbagai hadiah menarik disediakan kepada peserta yang bertanding seperti wang tunai sebanyak RM750 dan RM500 kepada Johan dan Naib Johan pertandingan.  
21 Aug 22
674
Gol Kpah Bantu Terengganu FC Rampas Tiga Mata
Gol Kpah Bantu Terengganu FC Rampas Tiga Mata
KUALA NERUS, 14 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menang tipis 1-0 dalam aksi menentang Sarawak United pada saingan Liga Super, semalam. Penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman muncul wira membantu pasukannya memungut tiga mata dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-72. Pada aksi terakhir di halaman sendiri, Sang Penyu turun tanpa kekuatan penuh dengan beberapa pemain yang kurang cergas direhatkan berikutan jadual perlawanan yang agak padat. Terengganu FC jelas mendominasi permainan sejak wisel pertama ditiupkan, namun buntu menterjemahkan serangan ke kubu lawan dengan jaringan gol sekalipun berpeluang melakukan banyak percubaan ke gawang pelawat. Kemasukan pemain sayap lincah kebangsaan, Mohd Faisal Halim pada separuh masa kedua ternyata menambah sengat jentera serangan tuan rumah. Hantaran lintang Faisal dari sebelah kanan pintu gol Sarawak United berjaya disambar Kpah untuk memecah kebuntuan gol. Kedudukan tersebut kekal sehingga perlawanan di tamatkan. Pengendali pasukan, Nafuzi Zain menyifatkan, tiga mata yang berjaya diperolehi amat penting dalam situasi rehat yang singkat antara perlawanan. "Rombakan terpaksa dilakukan kerana pemain-pemain utama kita terlalu penat, ada juga yang cedera dan kurang sihat. Faisal dan Manuel (Ott) juga terpaksa bermain walaupun belum bersedia kerana kita memerlukan khidmat mereka.  "Kita perlukan tiga mata ini dan saya terharu dengan komitmen yang pemain berikan," katanya. Kemenangan berkenaan membantu Terengganu FC naik ke tangga keempat liga dengan 20 mata, manakala Sarawak United yang mengumpul 13 mata, kekal di kedudukan ke-10.     
14 Aug 22
605