Artikel "Sukan" Terkini
SUKMA 2022: Alia Sumbang Pingat Pertama Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 September - Pelumba basikal wanita yang berkelana di Eropah, Siti Nur Alia Mansor menyumbang pingat pertama buat kontinjen Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, hari ini.
Alia menggondol pingat gangsa dalam acara Berbasikal Lebuh Raya apabila mencatatkan masa 46.25.155 saat pada saingan akhir ujian masa perseorangan wanita melibatkan laluan sejauh 29.7 kilometer di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pagi ini.
Acara tersebut dimenangi pelumba Johor, Siti Nur Adibah Akma Muhd Fuad dengan catatan masa 44.25.801 saat dan pelumba Perak, Nyo Chi Hui (45.52.607) di tempat kedua.
Dalam pada itu, ujian masa perseorangan lelaki akhir (39.9km) pula menyaksikan seorang lagi pelumba Terengganu, Kee Zhe Yie memenangi pingat Perak dengan catatan masa 53.44.086 saat, di belakang pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli yang memenangi Emas dengan catatan masa 53.08.865 saat.
Setakat petang ini, kontinjen Terengganu berada di kedudukan ketiga carta pungutan pingat keseluruhan dengan satu Perak dan satu Gangsa, kedua-duanya daripada skuad berbasikal.
14 Sep 22
2507
'Belum Tiba Masanya Julang Piala'- Penyokong TFC
KUALA TERENGGANU, 12 September - "Jangan sedih, belum tiba masanya untuk Terengganu Football Club (TFC) menjulang piala, mara sehingga ke perlawanan akhir Piala FA telah menunjukkan suatu kejayaan yang membanggakan," ujar penyokong TFC, Asrul Azani.
Menurut Asrul, 48, untuk melangkah sejauh itu bukan mudah.
Katanya, pasukan kesayangan ramai itu memliki kualiti tersendiri walaupun belum mampu menyaingi JDT.
"Sebelum ini kita dah berjaya tewaskan Negeri Sembilan, di separuh akhir kita telah pun menewaskan Selangor, kita berhadapan dengan pasukan lebih berpengalaman.
"Kekalahan ini kita terima dan kami sebagai penyokong akan terus memberikan sokongan padu dan mengharapkan agar prestasi akan terus dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa, kita akan buktikan untuk muncul sebagai tiga pasukan yang terbaik untuk layak ke piala AFC pada masa akan datang," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui ketika menyaksikan tayangan skrin berkenaan melalui skrin besar, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, kelmarin.
Katanya, adalah menjadi hasrat dirinya untuk menyaksikan perlawan berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun gagal mendapatkan tiket menyebabkan dia sekeluarga memilih untuk menyaksikan perlawanan itu menerusi skrin besar.
"Kalau kita tengok malam ini begitu ramai, kemeriahannya dapat dirasai, memang memberikan suatu suasana seperti berada di tempat perlawanan sebenar, kalah atau menang sudah menjadi adat perlawanan," ujarnya.
Sementara itu seorang remaja, Zuhairi Zuhair. 15, berkata dia hadir ke program tayangan skrin besar itu bersama ayahnya.
"Saya tidak dapat ke SNBJ, ahli keluarga yang lain pergi dan telah mengajak saya untuk ke sana namun tidak berpeluang kerana perlu menghadiri ke program yang diadakan di sekolah.
"Saya bersemangat malam ini sepertimana penyokong yang lain untuk menyaksikan Terengganu dapat membawa pulang piala ini namun apakan daya, rezeki masih belum berpihak, semoga pasukan TFC akan terus membuat segala yang terbaik pada masa akan datang," ujarnya yang datang dari Kampung Paloh.
Dalam pada itu, Azman Jusoh, 44, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyiarkan perlawanan itu menerusi tayangan perdana itu.
"Malah turut menyediakan hadiah cabutan bertuah, sebagai penyong TFC memang sedih kerana tidak dapat ke SNBJ namun dengan diadakan inisiatif ini saya beserta keluarga dan seluruh penyokong yang lain tetap merasai suasananya, walaupun kalah pada perlawaan ini kami akan tetap menjadi ekor sang penyu sampai bila-bila,"ujarnya.
12 Sep 22
254
'Maafkan Kami, Terima Kasih Penyokong Terengganu '
KUALA LUMPUR, 11 September - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain merakamkan permohonan maaf kepada semua penyokong Terengganu atas kekalahan pasukan pantai timur itu kepada Johor DT dalam perlawanan akhir Piala FA 2022.
"Maaf kepada penyokong yang datang dengan harapan kita muncul juara malam ini.
"Terima kasih atas sokongan dan saya tahu ramai kecewa dengan keputusan malam ini.
"Saya juga kecewa tetapi kita telah memberikan yang terbaik dan kita telah berjaya ke perlawanan akhir dengan skuad yang kita ada," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Menurutnya, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan memberi impak yang besar dalam perlawanan itu.
"Kita kena faham, dalam perlawanan akhir situasi berbeza dan pemain-pemain Terengganu memiliki kualiti berbeza berbanding pemain Johor DT dari semua aspek.
"Dengan pengalaman di 'final', memang sukar bermain menentang Harimau Selatan.
Mereka mempunyai kualiti lebih baik di bahagian tengah, menyebabkan kita lambat 'settle down' dan Faisal Halim tidak dapat menerima lebih banyak bantuan daripada bahagian tengah.
Namun, beliau menyatakan peluang beraksi di pentas akhir bagus untuk pengalaman pemain-pemain mudanya.
"Ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan keranan laluan kita begitu sukar untuk ke perlawanan akhir.
"Ini pengalaman yang bagus bagi pemain dapat beraksi di pentas akhir dan memberi lebih keyakinan dalam aksi Piala Malaysia selepas ini," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC tewas 1-3 dengan gol lawan dijaringkan Bergson Da Silva dan Arif Aiman Mohd Hanapi manakala gol Terengganu FC dijaringkan Tcheche Kipre.
11 Sep 22
1838
Mimpi Piala FA Tak Jadi Realiti
KUALA LUMPUR, 10 September - Impian Terengganu FC dan seluruh rakyat negeri itu untuk menoktahkan kemarau piala berkecai apabila Sang Penyu tewas 1-3 kepada Johor DT dalam perlawanan akhir Piala FA 2022, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Terengganu FC turun tanpa kelibat penyerang, Kpah Sherman yang terpaksa diketepikan kerana peraturan pemain import.
Sebaliknya, pengendali Terengganu FC, Nafuzi mempertaruhkan pengalaman Tcheche Kipre di bahagian depan dibantu Faisal Halim dan Faiz Nasir selain diperkuatkan tiga rangkaian jentera tengah iaitu Habib Haroon, Petrus Shitembi dan Manuel Ott.
Sebaik wisel permulaan ditiupkan, Johor DT menunjukkan kredibiliti mereka sebagai pasukan terbaik dalam negara dengan menguasai bola di kawasan tengah.
Dalam tempoh 15 minit pertama, Terengganu FC tidak berjaya mengungguli bahagian tengah dan lebih banyak menerima asakan daripada jentera lawan.
Pada minit ke-10, pemain sayap Johor DT, Arif Aiman Mohd Hanapi yang menerima lorongan daripada Leandro Velasquez menguji penjaga gol, Rahadiazli Rahalim namun rembatannya diselamatkan tiang gol.
Terengganu FC berpeluang memecahkan kebuntuan gol selepas serangan balas dimulakan Rahadiazli pada minit ke-24 membolehkan Kipre berdepan satu lawan satu dengan Farizal Marlias, tetapi tidak berjaya disudahkan dengan baik.
10 minit kemudian, Johor DT berhasil melakukan serangan balas dimulakan dengan lontaran ke dalam Corbin Ong yang kemudian dilorongkan kepada Arif.
Pemain sayap kebangsaan itu menggelecek pertahanan Terengganu FC sebelum menewaskan Rahadiazli dengan rembatan kencang untuk Johor DT selesa di hadapan pada minit ke-34.
Seminit sebelum masa pertama tamat, Terengganu FC sekali lagi memperoleh peluang besar untuk mencetak gol selepas Shitembi berjaya masuk ke dalam kotak penalti berdepan Farizal, tetapi beliau lebih memilih untuk tidak merembat ke gawang yang terbuka dan berjaya digagalkan pertahanan lawan.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC cuba meningkatkan rentak permainannya bagaimanapun tidak berjaya mencipta penyudah ke arah gawang.
Pada minit ke-60, kesilapan pertahanan memaksa Rahadiazli menjatuhkan Bergson Da Silva dan menghadiahkan penalti kepada Johor DT.
Harimau Selatan berjaya menjarakkan kedudukan kepada dua gol hasil jaringan Bergson.
Sang Penyu bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke -75 hasil gerakan Faisal dan Kipre dari sisi kanan gawang Johor DT sebelum rembatan Kipre terbias pada badan Farizal dan menggegar gawang.
Kebangkitan Terengganu FC tidak bertahan lama.
Tiga minit kemudian Johor DT kembali meledak jaringan, Mohamadou Sumareh yang masuk menggantikan Arif Aiman pada minit ke -76 menewaskan Rahadiazli dan mencipta lorongan untuk disudahkan Bergson bagi gol kedua peribadinya malam ini sekaligus kembali menjarakkan kedudukan.
Terengganu FC terus melakukan serangan tetapi tidak berjaya menambah jaringan sehingga perlawanan ditamatkan.
Kegagalan Terengganu FC menyaingi kehebatan Johor DT menyaksikan pasukan itu meneruskan kemarau piala dan perlu kembali memusatkan perhatian pada saingan Liga Super Malaysia 2022 untuk menempah harapan ke Asia.
10 Sep 22
516
SUKMA 2022: Terengganu Sasar 57 Pingat Emas
KUALA NERUS, 12 September - Terengganu menyasarkan kutipan 57 pingat Emas, 25 Perak dan 40 Gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur yang bermula pada 16 hingga 24 September ini.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata sasaran itu dijangka diperoleh daripada 31 acara sukan yang dipertandingkan.
Katanya, acara sukan berbasikal, pelayaran, judo dan kanu bakal menjadi sandaran utama bagi kontinjen Terengganu untuk meraih pingat.
“Setelah menjalani tempoh persediaan selama hampir empat tahun, saya yakin semua atlet sudah tidak sabar untuk bertanding pada kejohanan SUKMA nanti.
“Kontinjen negeri pada kali ini akan membawa misi mengekalkan kembali kejuaraan yang telah dimenangi pada SUKMA 2018 dengan tagline '2022 Victory Mission'," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu kepada Kontinjen SUKMA XX, MSN 2022 bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu yang juga merupakan 'chef de mission' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.
Tambahnya, pelbagai kemudahan disediakan kepada para atlet bermula daripada elaun latihan bulanan, inisiatif kebajikan sehinggalah kepada pembinaan asrama atlet yang bernilai hampir RM100 juta.
“Diharapkan semua atlet mendapat latihan, fasiliti dan kemudahan penginapan yang selesa serta mampu memberi kesan besar terhadap perancangan latihan yang berkualiti.
"Pelaburan pembangunan sukan di negeri ini telah membuahkan hasil apabila bidang sukan khususnya dalam Kejohanan SUKMA berada pada tahap serta reputasi yang cemerlang," katanya.
10 Sep 22
1498
Nafuzi Mahu Pemain Nikmati Final, Buat Yang Terbaik
KUALA LUMPUR, 9 September - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu pemain-pemainnya menikmati aura dan kehangatan bermain di Perlawanan Akhir Piala FA 2022 serta menyifatkan mereka akan turun tanpa sebarang tekanan.
“Tekanan bagi kami adalah sepanjang menempuh perlawanan ke perlawanan akhir, itu lebih terasa sebenarnya. Kini, kita bermain untuk piala setelah kita capai sasaran ke ‘final’.
“Untuk pertama kali JDT (Johor Darul Ta'zim) kalah dengan kami pada musim lepas, bagaimanapun kemenangan kali ini bukan mudah kerana mereka lebih dari segenap segi.
“Terengganu FC tidak memiliki ramai pemain yang mempunyai kekuatan fizikal, tapi kita akan gunakan kelebihan lain yang ada.
“Cuma apa yang penting pemain menikmati ‘moment’ di ‘final’, kali ini Alhamdulillah semua pemain cergas untuk bermain dan ia bagus untuk pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hari ini.
Nafuzi turut berharap dapat mencipta sejarah sebagai jurulatih dengan menjulang Piala FA kali ini.
“Sebagai pengendali pasukan ini lebih bermakna untuk mendapatkan kejuaraan, saya masih baru dan masih belajar, setiap jurulatih perlukan piala untuk membuktikannya dan saya harap esok adalah malam saya,” katanya.
09 Sep 22
305
'Semoga Pengadil Telus, Tak Bunuh Semangat Sukan'
KUALA TERENGGANU, 10 September- Penyokong-penyokong pasukan Terengganu FC berharap pengadil yang bakal mengemudi perlawanan akhir Piala FA 2022, esok tidak bertindak membunuh semangat bola sepak tempatan.
Penyokong dari Kampung Wakaf Dua, Muhd Shahrul Ikhwan Muda, 28, berkata, perlawanan akhir tersebut perlu dikendalikan dengan teliti oleh pengadil bagi menjaga prestij perlawanan berikutan banyak kontroversi melibatkan pengadil pada musim ini.
"Semoga pengadil lebih telus, amanah. Jangan asyik pakai pengadil yang sama dan sering kontroversi. Jangan bunuh semangat kesukanan.
"Kedua-dua penyokong pasukan datang dari jauh dan kami mahukan perlawanan yang adil serta penuh semangat sukan," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, semangat kali ini lebih membara kerana Terengganu FC akan menentang pasukan serba kuat, Johor DT.
"Lebih semangat sebab mereka pasukan yang berbeza berbanding lawan-lawan lain.
"Pemain pula biar bermain betul-betul, balas kepercayaan penyokong.
"Saya bawa seluruh keluarga, adik-beradik, isteri, ibu dan sepupu-sepupu seramai sembilan orang dan berhabis kos keseluruhan sekitar RM3,000 untuk perlawanan ini.
"Semoga pengorbanan penyokong-penyokong dibalas dengan kejayaan, menang 2-0 'padan doh'," katanya.
Dalam pada itu, penyokong dari Kampung Sahkaizar Ab Razak,43, pula mahukan kemenangan dari pasukan kesayangan mereka itu.
"Kita gembira boleh masuk final dan bertemu pula Johor DT, kita akan berlawan habis-habisan untuk menang.
"Harapan kami supaya pemain kita buat yang terbaik untuk perlawanan ini dan balas sokongan kami yang hadir memberi semangat.
"Kami bertolak malam ini sekitar jam 9-10. Dari Telaga Mengkudu sebuah bas sahaja. Tetapi setakat yang saya tahu, ada sekitar 30 bas dari sini," katanya.
09 Sep 22
352
Bonus Menanti TFC Jika Juara Piala FA
KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri akan memberikan ganjaran buat Terengganu Football Club (TFC) sekiranya berjaya menjadi juara Piala FA tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bonus itu sebagai suntikan semangat buat TFC menjelang aksi Perlawanan Akhir berdepan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini.
“Saya percaya semangat pemain kita (Terengganu FC) dalam keadaan baik bagi menghadapi perlawanan akhir menentang JDT nanti.
“Bagi menyuntik lagi semangat itu, kerajaan akan memberikan insentif sekiranya pasukan kita berjaya membawa pulang Piala FA ke negeri ini,” katanya ketika mengiringi dan memberi semangat buat pemain sebelum berlepas ke ibu negara di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Sultan Mizan (LTSM), Gong Badak, di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap para penyokong tidak bertindak agresif walau apa keputusan nanti.
“ Saya berharap apa jua keputusan kelak, semua (penyokong) bertindak dengan penuh tatatertib kerana hakikat sebenar bola sepak ini adalah sukan yang menyatukan,” ujarnya.
Terengganu FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Selangor FC dalam penentuan penalti menjadikan episod memenangi piala itu 11 tahun lalu mampu berulang.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September bagi meraikan semangat penyokong yang bakal memenuhi Stadium Nasional bukit Jalil (SNBJ).
08 Sep 22
312
Abey Impi Beraksi di Pentas Final
KUALA TERENGGANU, 8 September – Penjaga gol utama Terengganu Football Club (Terengganu FC), Muhammad Rahadiazli Rahalim mengimpikan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam Perlawanan Akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) 10 September ini.
Rahadi atau lebih dikenali ‘Abey’ berkata, beliau teruja dan berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan nanti.
“Pada tahun lepas saya terpaksa berehat panjang disebabkan kecederaan. Tahun ni rezeki pasukan (Terengganu FC) ke ‘final’ jadi memang saya nak main nanti.
“Harapan saya ingin membawa pulang Piala FA buat rakyat Teregganu selepas 11 tahun kali terakhir, insya-Allah tahun ini kita usaha sehabisnya,” katanya selepas turun menjalani latihan di Pusat Latihan Terengganu FC, Gong Badak, di sini malam tadi.
Walau bagaimanapun, dia yang berasal dari Kampung Telaga Papan akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh barisan kejurulatihan.
Abey kembali menjalani latihan buat kali pertama selepas insiden pelanggaran dengan pemain Melaka United dalam saingan Liga Super sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital Sabtu lalu.
Pada masa yang sama, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menzahirkan kesyukuran kerana tiada kecederaan serius yang dialami penjaga gawang pasukannya itu.
“Syukur Rahadi tiada kecederaan yang serius dan mula latihan hari ini (semalam). Kita akan pantau kondisi dia selalu.
“Bagi saya tiada masalah bagi posisi penjaga gol kerana dua ‘keeper’ saya, Suhaimi dan Rahadi bersedia untuk diturunkan dengan prestasi terbaik,” ujarnya.
07 Sep 22
1079
Pengurus TFC Perjelas Salah Faham Isu Solat
KUALA NERUS, 7 September – Ekoran video tular di media sosial berhubung dakwaan merendah-rendahkan penyokong lawan perihal kewajipan solat, Pengurus Terengganu FC, Mohd Fadhil Wahab tampil memberi penjelasan.
Menurut beliau, kenyataan dikeluarkan bukan mahu menyatakan penyokong lawan tidak menunaikan solat, sebaliknya mahu penyokong Terengganu FC menitik beratkan kewajipannya.
“Bukan kita menidakkan penyokong lawan tidak solat cuma kadang-kadang kita berbahasa dalam loghat Terengganu, beza pemahaman orang. Ketika itu saya bercakap dalam konteks penyokong Terengganu yang ada di hadapan saya.
“Apa pun bagi pihak saya, jika ia menimbulkan keraguan, saya minta maaf banyak-banyak, takut tersilap kata. Niat saya bukan nak cakap orang tak solat tetapi nak lihat penyokong kita jaga adab dan mengambil berat soal solat,” jelasnya dalam Bual Bicara Sembang Bola di TV Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut berpesan kepada penyokong Terengganu supaya menjaga diri dan tidak bertindak di luar batasan.
"Biasalah, semua ingin menang belaka, tetapi satu pasukan sahaja akan menang. Pasukan yang menang akan puas hati, yang kalah tidak akan puas hati mungkin kepada sistem pengadilan.
"Jadi, kita akhirnya kena terima dengan hati terbuka. Kadang-kadang tindakan ini menyebabkan kelab diambil tindakan, kita ada peranan masing-masing kepada Terengganu, jadi tenang-tenang sahaja," pesannya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan semua pemain bebas kecederaan termasuk penjaga gol, Rahadializli Rahalim yang sudah pun menjalani latihan ringan, semalam.
"Saya telah menziarahi beliau dan insya-Allah beliau akan beraksi pada sabtu ini bergantung kepada ketua jurulatih untuk melihat tahap kecerdasan semasa," tambahnya.
Skuad Penyu mara ke pentas final selepas menewaskan Selangor FC menerusi penentuan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 dalam 120 minit.
Pasukan pantai timur itu melangkah ke Bukit Jalil dengan impian mengulangi kejayaan menjulang Piala FA pada tahun 2011 sekali gus mengesahkan tiket untuk bersaing di pertandingan peringkat Asia pada musim depan.
07 Sep 22
5805