lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Terengganu Sasar 2024 Semua Atlet Wanita Berpenampilan Patuh Syariah
Terengganu Sasar 2024 Semua Atlet Wanita Berpenampilan Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kerajaan Terengganu menyasarkan semua atlet wanita muslim yang menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan memakai pakaian patuh syariah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perubahan ketara telah berlaku dalam aspek pemakaian patuh syariah atlet yang menyertai SUKMA baru-baru ini. Namun, perkara itu masih belum menyeluruh dalam semua sukan kerana proses pendidikan masih berjalan. "Kita akan terus berusaha melakukan perubahan dengan memberikan galakan dan juga semangat, termasuklah mendidik melalui pengajian ilmu dan juga kita telah menubuhkan satu unita khas iaitu Hal Ehwal Agama di Majlis Sukan Negeri Terengganu. "Alhamdulillah, perubahan ketara telah dapat kita saksikan dalam SUKMA baru-baru ini hanya tiga jenis sukan sahaja yang didapati para atletnya masih tidak menurup aurat dengan sempurna. "Jadi kita akan melipatgandakan lagi usaha sehingga semua para atlet kita ini di masa akan datang kita akan pastikan mereka akan menutup aurat dengan lebih sempurna," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu, SUKMA XX, MSN 2022 yang disemprunakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam. Wan Sukairi berkata, majlis yang diadakan itu adalah bagi memberikan insentif kepada semua atlet Terengganu yang telah berjaya mendapatkan pingan emas, perak dan juga gangsa pada temasya SUKMA lalu. Katanya, pada pencapaian SUKMA kali ini kerajaan negeri Terengganu bersetuju menaikkan kadar insentif sebanyak RM500 berbading kadar yang diberikan pada tahun 2018. "Di mana setiap atlet yang berjaya memperolehi pingat emas diberi RM3,500, perak RM2,500 dan gangsa sebanyak RM1,500. "Jadi ini merupakan satu penghargaan di atas pencapaian yang ditunjukkan kerana berjaya melebihi sasarkan yang ditetapkan oleh MSNT, untuk SUKMA tahun akan datang insya-Allah target kita adalah merampas semula kejuaraan keseluruhan," ujarnya lagi.
21 Oct 22
615
Penganjuran Sukan Permotoran Dibenarkan Kembali
Penganjuran Sukan Permotoran Dibenarkan Kembali
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan membenarkan semula penganjuran sukan permotoran dan kereta di Litar Gong Badak, tetapi hanya melibatkan perlumbaan drag sejauh 200 meter sahaja. Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata litar tersebut telah melalui ujian dan pemeriksaan yang terperinci dan didapati ia berada dalam keadaan baik serta tidak beralun sebagaimana didakwa. "Untuk makluman saya telah mendapat laporan daripada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam laporan itu jelas mencatatkan bahawa kemalangan yang berlaku kepada pelumba drag, Apeh Jamal bukan disebabkan litar tetapi kerana masalah teknikal jentera. "Pihak MSNT juga telah memanggil saudara Wazi Abul Hamid (bekas pelumba motor) untuk memeriksa litar dan telah mendapati ia berada dalam keadaan baik, tidaklah sebagaimana yang dikatakan beralun, ertinya litar berada dalam keadaan yang baik," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Wan Sukairi turut menjelaskan, sebarang perlumbaan melebihi jarak 200 meter kekal tidak dibenarkan lagi. "Hanya setakat jarak itu sahaja yang dibenarkan," jelasnya.
21 Oct 22
802
Tiada Lagi Kelibat Syahida di SUKMA
Tiada Lagi Kelibat Syahida di SUKMA
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Atlet kanu berbakat besar Terengganu, Shahida Asyiqin Rusli, 18, membuat keputusan untuk meninggalkan Sukan Malaysia (SUKMA) meskipun menerima pujukan ramai pihak supaya kekal dalam karier terbabit. Katanya, dia nekad berbuat demikian bagi memberi tumpuan dalam dunia pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi. "SUKMA ke-20 baru-baru ini adalah yang terakhir dan memberikan kenangan manis kepada saya setelah berjaya memecah tiga rekod kebangsaan. "Saya tidak menyangka akan mencapai kemenangan itu kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi walaupun dimaklumkan dengan kejayaan ini saya boleh pergi ke peringkat yang lebih tinggi di sukan SEA. "Namun, keputusan berhenti ini adalah muktamad, datang daripada diri sendiri, sebelum SUKMA lagi saya simpan nekad dan menyatakan ini merupakan penyertaan terakhir," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menerima insentif kemenangan di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu, SUKMA XX, MSN 2022, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini. Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Untuk rekod, Syahida merupakan penerima insentif terbanyak dengan jumlah keseluruhan diberikan oleh kerajaan negeri RM33,500.00 atas kejayaan memenangi empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa. Selain itu, dia turut menerima seutas jam tangan sukan berjemana Garmin, bernilai RM1,500. Sementara itu, mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri yang ingin menempatkannya di IPT Terengganu, Shahida Asyikin berkata dia sedang menunggu keputusan itu. "Kalau masih tidak dapat akhir tahun ini, harapnya akan dapat menyambung pelajaran awal tahun hadapan, pertemuan dan perjumpaan sudah diadakan, tiada kata putus lagi. "Saya memang berhasrat berlajar di IPT Terengganu sahaja,"katanya. Untuk rekod, sukan kanu merupakan penyumbang pingat terbanyak dengan memperolehi lima emas, lapan perak dan 17 gangsa yang menerima insentif tertinggi keseluruhan dengan jumlah RM286,000.00 . Terdahulu, Menteri Besar Terengganu mengumumkan insentif sebanyak RM1,504,500 atas pencapaian terbaik dan dinobatkan sebagai Naib Juara dengan membawa pulang pingat sebanyak 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa. Walaupun tidak dapat mengekalkan kejuaraan, namun Terengganu telah merekodkan kejayaan manis apabila mencatat rekod baru kutipan pingat serta menjadi juara keseluruhan bagi 10 acara sukan yang dipertandingkan selain berjaya memperolehi ibu segala pingat iaitu bola sepak.  
20 Oct 22
3597
Sukan Permotoran Dihentikan Sementara - Wan Sukairi
Sukan Permotoran Dihentikan Sementara - Wan Sukairi
SETIU, 17 Oktober- Kerajaan negeri mengarahkan penganjuran semua acara melibatkan aktiviti sukan permotoran dan kereta di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dihentikan buat sementara waktu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata arahan yang berkuatkuasa dua hari lalu dilaksanakan susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelumba kereta drag Muhamad Hafez Jamal Jamaluddin ketika menyertai perlumbaan Battle Of The Kings (BOTK) 2022 kelmarin. Katanya, semua aktiviti di litar terbabit diarahkan dihentikan serta-merta kelmarin dan akan dibuka semula selepas semua hasil laporan dan aspek keselamatan di litar ditambah baik. “Mewakili kerajaan negeri, saya merakamkan salam takziah kepada keluarga arwah dan kita sangat kesal dengan apa yang berlaku dan ini merupakan insiden pertama kali libatkan kematian di litar ini. “Kita jangka akan terima laporan berkaitan insiden terbabit daripada penganjur hari ini (semalam). “Sebaik terima laporan, kita akan kaji dan lihat aspek keselamatan yang perlu diperbaiki serta ditambah baik dari segi kemudahan dan penganjur sendiri,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini, semalam. Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada enam pemenang dalam pelbagai kategori dan turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang diiringi oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Wan Sukairi berkata, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak penganjur untuk mendengar sendiri tentang apa yang berlaku. Katanya, dari segi permit kebenaran dan sebagainya tidak ada masalah kerana penganjur telah mendapat kebenaran daripada pesuruhjaya sukan negeri. Dalam kejadian kelmarin, pelumba drag dikenali Apeh Jamal, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag BOTK 2022 pada 11.35 pagi akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Mitsubishi Lancer Evo yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas melepasi trek perlumbaan sebelum merempuh sebatang pokok.  
17 Oct 22
793
TFC Terbang Ke Asia
TFC Terbang Ke Asia
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) kendalian Nafuzi Zain layak ke peringkat Asia secara merit apabila mencatatkan kemenangan ke atas Kedah FC dengan jaringan 3-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman tadi.  Kemenangan hasil daripada dua jaringan Tchetche Kipre dan Faisal Halim (1) sekali gus melayakkan TFC ke saingan Piala AFC 2023 apabila berada di kedudukan kedua dalam Liga Super 2022.  Dalam aksi tersebut, Skuad Penyu dilihat berjaya menguasai perlawanan sepenuhnya dengan kekemasan disiplin yang dipamerkan semua pemain.  Seawal minit ke-4, penyerang sensasi negara, Faisal Halim berjaya mendapatkan jaringan awal hasil umpanan daripada pemain tengah, Petrus Shitembi.  Penyerang utama TFC, Tchetche Kipre dengan cemerlang meletakkan namanya sebagai penjaring gol pada minit ke-16 apabila menyempurnakan lorongan Manuel Ott serta Faiz Nasir pada minit ke-76. Walaubagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya mendapatkan satu gol apabila bekas pemain TFC, Derci Marcel berjaya membolosi gawang pelawat. Kekalahan Sabah FC dan Negeri Sembilan FC terhadap pasukan lawan masing-masing turut mengukuhkan kelayakan TFC ke Asia apabila ketiga-tiga pasukan bersaing bagi layak ke saingan Piala AFC.     
15 Oct 22
606
Penyertaan IGMR22 Dibuka Hingga 31 Oktober
Penyertaan IGMR22 Dibuka Hingga 31 Oktober
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pendaftaran bagi Kejohanan berbasikal antarabangsa ‘International Golden Monsoon Ride 2022’ (IGMR22) edisi kedua anjuran Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dilanjutkan sehingga 31 Oktober ini bagi memberi peluang lebih ramai penyertaan. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran kali ini bakal diadakan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) melalui laluan Ladang Rakyat yang lebih mencabar berbanding edisi sebelumnya. “Kejohanan kali ini dianggap lebih berprestij apabila dinaik taraf di peringkat antarabangsa melibatkan negara Asia Tenggara antaranya Indonesia, Thailand dan Singapura dengan sasaran seramai 2,000 orang peserta.  “Monsun Timur Laut dijangka berlaku menjelang November sehingga Mac yang mana dijangkakan berlakunya penurunan pelancong. Namun, dengan penganjuran ini sedikit sebanyak mampu menarik peminat sukan berbasikal ke sini," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pra Pelancaran International Golden Monsoon Ride 22 di Hotel Primula, baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Presiden dan Pengerusi Ketua Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Ketua Eksekutif Ladang Rakyat Rakyat Trengganu Che Ku Hafiz Che Ku Denang.  Kejohanan tersebut merupakan salah satu daripada acara dalam Terengganu Inc Challenge Series (TICS) yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri.  Enam kategori disenaraikan dalam kejohanan ini termasuklah “Fun Ride Off Road” sejauh 37 kilometer dan “Fun Ride On Road” sejauh 43 kilometer. Bertepatan dengan trek yang lebih mencabar, hadiah kejohanan ditawarkan lebih RM22,000 serta sebuah Perodua Myvi 1.3 sebagai cabutan bertuah utama.
14 Oct 22
345
Dua Gol Benam Sabah Cerahkan Misi Ke Asia
Dua Gol Benam Sabah Cerahkan Misi Ke Asia
KUALA NERUS, 1 Oktober - Kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super malam ini mencerahkan peluang Terengganu Football Club (TFC) untuk layak ke saingan peringkat Asia.  Pengendali TFC, Nafuzi Zain mempertaruh barisan terkuat bagi pasukannya apabila menurunkan Faisal Halim dan Azam Azmi Murad yang baru pulang mewakili skuad negara dalam kempen King’s Cup. Gol pembukaan perlawanan disempurnakan melalui tandukan pemain pertahanan TFC, Pape Diakite yang menerima hantaran Petrus Shitembi melalui sepakan sudut pada minit ke-6.    Skuad Penyu terus menjarakkan kedudukan pada minit ke-30 melalui rembatan kencang pemain pinjaman, Nik Sharif Haseefy yang menerima hantaran lintang daripada Faisal Halim. Pasukan pelawat mengasak bagi mencari gol namun dikecewakan oleh disiplin pertahanan TFC yang dipamerkan sehingga tamat aksi separuh masa pertama.    Separuh masa kedua bermula dengan seimbang dengan beberapa siri percubaan oleh kedua-dua pasukan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.  Minit ke-54, ketua pasukan TFC, Tchetche Kipre hampir-hampir menambah duka Sabah FC apabila percubaannya dikeluarkan Dominic Tan sebelum bola melepasi garisan gol.  Sabah FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Rizal Ghazali dilayangkan kad kuning kedua akibat menjatuhkan pemain gantian TFC, Hakimi Abdullah.     Terengganu FC kini naik ke kedudukan ketiga liga dengan perbezaan gol dengan Negeri Sembilan FC apabila ditewaskan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim dengan 0-5. Perlawanan malam ini menjadi aksi terakhir tuan rumah bermain di ‘venue’ sendiri sebelum menamatkan baki di tempat lawan.  TFC perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi layak secara merit ke Piala AFC dengan berada dalam ‘Top 3’ liga selain fokus pada Piala Malaysia nanti.
01 Oct 22
328
Terengganu Mahu Tampil Lebih Garang SUKMA 2024
Terengganu Mahu Tampil Lebih Garang SUKMA 2024
KUALA TERENGGANU, 29 September - Terengganu bertekad untuk tampil lebih garang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sekali gus merampas kembali kejuaraan kejohanan terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, biarpun tidak bergelar juara keseluruhan, pencapaian kontinjen Terengganu pada penganjuran SUKMA XX MSN tetap menjadi kebanggaan. Katanya, secara keseluruhannya pencapaian SUKMA kali ini lebih cemerlang daripada pencapaian terdahulu dan melepasi sasaran 57 emas. "Kita berjaya dapatkan 64 emas. Manakala, sasaran 25 perak, kita dapat 49 dan daripada sebanyak 40 gangsa yang disasarkan, kita dapat 55 pingat. “Selain itu, kita masih menguasai 10 sukan yang dipertandingkan berbanding negeri lain yang hanya menguasai tiga atau empat sukan sahaja,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman, semalam. Jelasnya, sukan-sukan yang dikuasai Terengganu adalah Pelayaran, Pencak Silat, Angkat Berat, Tinju, Boling Padang, Tenis, Petanque, Sepak Takraw, Bola Sepak dan E-Sport. “Johor menjadi juara dalam sukan kanu, olahraga dan berbasikal sahaja, manakala Wilayah Persekutuan hanya menguasai renang, gimnastik, muay thai, golf dan bola jaring. “Ini menunjukkan kita masih lagi memilik penguasaan dalam sukan dan mampu memacu prestasi ini lebih jauh,” katanya. Tambahnya, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan membuat ‘bedah siasat’ dan memulakan program Latihan SUKMA 2024 tidak lama lagi. “Kita telah kenal pasti kategori sukan yang cemerlang, mencapai sasaran dan kurang cemerlang, jadi kita akan mengambil pendekatan segera menilai kelemahan atau meningkatkan prestasi sedia ada pada sukan-sukan ini,” katanya.
29 Sep 22
2113
Isu Doping SUKMA : MSNT Panggil PBBABT
Isu Doping SUKMA : MSNT Panggil PBBABT
KUALA TERENGGANU, 29 September - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan akan mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) memanggil Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) bagi mendapatkan penyelesaian sewajarnya berhubung isu doping dua atlet angkat berat negeri itu. Katanya, ia selepas dua atlet terbabit didapati positif penggunaan bahan terlarang pada ujian yang dilakukan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, baru-baru ini. “Secara peribadi, saya agak kecewa dengan isu ini kerana kita telah mengalaminya pada 2018 lalu, dan kini kita menghadapi perkara yang sama.  “Sepatutnya ia menjadi pengajaran kepada kita, sama ada atlet, jurulatih dan pengurusan sebab kita ambil masa agak lama untuk latihan dan persiapan bagi SUKMA kali ini serta ia melibatkan kewangan, masa, tenaga yang besar, tetapi apabila tiba kepada kejohanan yang menentukan pencapaian kita, tiba-tiba kita gagal bertanding disebabkan isu doping. “Jadi, selepas ini MSNT akan panggil PBBABT untuk mencari satu penyelesaian yang sewajarnya kerana ini kelalaian dan kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, semalam. Dalam pada itu, pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan penekanan terhadap semua aspek bagi memasti perkara tersebut tidak berulang sebelum ini. “Kita telah berikan pendedahan daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) selain maklumkan kepada atlet supaya sebarang pengambilan ubat-ubatan serta perbekalan makanan tambahan perlu melalui penilaian MSNT. “Cuma, kesilapan yang berlaku memang diluar jangkaan kita, pengambilan ubat lelah atlet yang digunakan tidak dimaklumkan lebih awal kepada kita. “Sebenarnya, jika dapat dimaklumkan lebih awal, kita dapat memohon pengecualian daripada adamas dan beliau akan dapat bertanding,” katanya. Beliau menyatakan, atlet tersebut kini sedang dalam proses membuat rayuan untuk membuka sampel B dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau tidak akan dikenakan hukuman.
29 Sep 22
578
Kumpulan Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta
Kumpulan Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta
KUALA TERENGGANU, 29 September - Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) meningkatkan nilai tajaan kepada Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, berbanding RM1.5 juta pada tahun ini. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed Harun berkata, penajaan bagi tahun kelima berturut-turut sejak 2017, Terengganu Inc serta anak-anak syarikat Kumpulannya sudah tidak asing lagi dalam menjadi pemangkin utama kepada kemajuan dan keunggulan pasukan berbasikal taraf benua ternama itu. "Kita rasa ini adalah sokongan yang amat padu kepada TSG dan kita amat bangga dengan pencapaian besar yang diperolehi pasukan ini. "Kami memahami peningkatan kos dalam menguruskan pasukan dan kita sama-sama mengambil peranan serta manfaat dengan salah satu pasukan yang mengharumkan nama negeri kita di peringkat dunia," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani perjanjian bersama TSG yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood di sini, semalam. Tajaan bersama secara Kumpulan itu melibatkan usaha sama TDM Berhad, salah satu syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc dan juga bahagian penjagaan kesihatannya iaitu Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare). Sementara itu, Burhanuddin Hilmi optimis akan dengan penajaan sedia ada bakal memacu TSG untuk menunjukkan persaingan sengit pada edisi ke-26 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini.                    
29 Sep 22
761