Artikel "Sukan" Terkini
Tok Gajah Jadi 'Ayam'
KUALA NERUS, 1 November - Pasukan Sri Pahang FC sekali lagi di'ayam'kan Terengganu FC apabila tewas 4-2 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia, malam ini.
Kemenangan tersebut melayakkan Terengganu FC mara ke peringkat suku akhir dengan agregat 9-3.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), tuan rumah hanya memerlukan masa dua minit selepas permainan dimulakan untuk meledakkan gol pertama menerusi jaringan penyerang berbisa, Kpah Sherman.
Memasuki mini ke-29 pemain sayap kebangsaan, Mohd Faisal Halim pula menggamatkan stadium apabila menyumbat masuk gol kedua hasil umpanan Kpah Sherman.
Skuad kendalian Dato' Dollah Salleh berpeluang merapatkan kedudukan apabila Steven Rodriguez berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin sebelum beliau mensia-siakan peluang yang terhidang.
Anak-anak buah Nafuzi Zain terus memperagakan aksi terbaik dan gol ketiga Terengganu FC hadir menerusi Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-35.
Tiga minit berselang, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah setelah menjadi benteng terakhir melakukan 'foul' ke atas Steven Rodriguez.
Namun, kekurangan pemain tidak melunturkan semangat Sang Penyu.
Pada minit ke-45, Kpah Sherman menambah derita Sri Pahang FC dengan menyudahkan sepakan penalti yang diperolehi tuan rumah.
Empat gol yang dihasilkan Terengganu FC pada separuh masa pertama dilihat cukup untuk melenyapkan harapan Sri Pahang FC ke peringkat seterusnya.
Memasuki babak kedua, Tok Gajah lebih agresif mencipta ancaman ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-71, pemain naturalisasi terbaru Sri Pahang, Lee Andrew Tuck berjaya menjelmakan jaringan pertama buat pelawat.
Memasuki minit ke-84, Sri Pahang FC berjaya menambah gol kedua menerusi Steven Rodriguez.
Namun, kebangkitan tersebut tidak memberikan apa-apa makna berikutan Terengganu FC menang dengan agregat 9-3.
Terengganu FC akan bertemu Kuala Lumpur City di peringkat suku akhir pada 6hb November ini.
01 Nov 22
853
Terengganu Tuan Rumah SUKSEM 2024
SHAH ALAM, 30 Oktober- Terengganu dipilih sebagai tuan rumah Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) bagi edisi ke-9 pada tahun 2024.
Penyerahan bendera diserahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk SUKSEM 2022, Dato' Haris Kasim kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dalam acara penutup di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, SUK Selangor, semalam.
Ketua Kontinjen Terengganu, Anuar Awang ketika ditemui selepas majlis memaklumkan, negeri Terengganu berbesar hati dipilih sebagai tuan rumah bagi SUKSEM 2024.
"Jadi, kita kena melakukan persiapan yang lebih rapi sebagai tuan rumah untuk menyambut ketibaan atlet-atlet lain nanti.
"Kita juga perlu memastikan kita meraih lebih banyak kemenangan dan memberikan tentangan sengit kepada lawan di halaman sendiri," katanya.
Tambahnya, dalam SUKSEM kali ini Terengganu berjaya mengumpul satu pingat emas melalui sukan golf, satu perak melalui sukan e-sport (acara PUBG) dan satu gangsa daripada sukan ping-pong.
"Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan dalam karnival sukan yang menutup tirainya malam ini.
"Hari ini, hari terakhir kita di Shah Alam. Terima kasih kepada semua atlet SUKSEM Terengganu dan kita berjaya mengumpulkan tiga pingat kali ini," ujarnya.
Negeri Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKSEM 2022, manakala Sabah di tempat kedua.
Selain itu, tuan rumah iaitu negeri Selangor menerima anugerah pasukan paling mesra dalam karnival sukan kali ini.
29 Oct 22
2676
SUKSEM 2022: Skuad Ping-pong Hadiahkan Gangsa Buat Terengganu
SHAH ALAM, 29 Oktober- Pasukan Ping-pong menghadiahkan pingat gangsa kepada negeri Terengganu di hari terakhir Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) 2022 apabila menewaskan Perak 3-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga, sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa itu, pasukan pantai timur itu menang menerusi beregu Open, Wanita dan Lelaki untuk memastikan pingat gangsa menjadi milik Terengganu.
Pengurus pasukan, Abdul Hakim Abdullah merakamkan kegembiraan atas kemenangan itu.
"Alhamdulillah, kita dapat rangkul pingat gangsa pada hari terakhir pertandingan.
"Harapan kita besar untuk ke 'final' sebenarnya, sebagaimana di Kelantan pada edisi sebelum ini. Tetapi, sedikit kesilapan menyebabkan kita tewas 1-4 kepada Sarawak.
"Kalau ikutkan prestasi pasukan, kesemua 'game' kita menang kecuali kepada Sarawak dan disebabkan format pusingan kedua secara kumpulan digunakan, kita gagal layak ke perlawanan akhir," katanya.
Mewakili pasukan ping-pong, beliau akan memastikan pasukannya lebih bersedia menghadapi SUKSEM edisi akan datang.
29 Oct 22
470
SUKWA Buka Tirai Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Kejohanan Sukan Wanita Terengganu 2022 (SUKWA) khusus untuk wanita Terengganu membuka tirai pada hari ini dengan gilang gemilang.
Acara yang dipertandingkan sepanjang tiga bermula 27 dan berakhir pada 29 Oktober diadakan di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ialah senamobik aerodance, bola tampar, bola jaring, dart dan badminton.
Pertama kali dalam sejarah yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini aktiviti sukan, riadah menggunakan kekuatan jasmani menggunakan pemikiran cergas dari badan sihat dipertandingkan dan paling istimewa ia adalah untuk kaum wanita sahaja.
Terengganu menjadi negeri pertama di negara ini menganjurkan sukan patuh syariah yang mana di tempat lain tiada elemen tersebut.
Pasukan menyertai permainan bola tampar yang mana hadiah utama akan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, kedua RM800 dan ketiga RM500. Manakala acara 20 orang beregu dalam acara dart mendapat hadiah pertama RM400, naib johan RM300 ketiga RM200 dan keempat RM200.
Dalam acara badminton pula akan mendapat RM400 beserta medal untuk pemenang utama, kedua RM300 beserta medal dan ketiga RM200 beserta medal.
Selain itu, pemenang yang menyertai Senamrobik Aerodance mendapat RM1500 dan medal, kedua RM1000 dan medal dan ketiga RM800 dan medal.
Manakala, bagi pertandingan bola jaring pemain terbaik kejohanan akan dipilih ketika sesi tersebut dan yang mendapat johan akan menerima RM2000, medal dan piala ADUN Wanita, Naib Johan RM1500 dan ketiga RM1000.
27 Oct 22
316
SUKSEM 2022: Golf Raih Emas Pertama Terengganu
SHAH ALAM, 27 Oktober - Pasukan golf Terengganu menggungguli saingan semalam dengan meraih pingat emas pada aksi di Kelab Golf Seri Selangor, semalam.
Menurut pengurus pasukan, Mohd Fadhli Jusoh, emas pertama dalam Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) 2022 itu sedikit sebanyak menaikkan semangat kontinjen Terengganu dalam sukan-sukan lain.
"Kami bersyukur dan bangga dengan pencapaian ini. Penghargaan dan terima kasih juga kepada pegawai daerah Kemaman, Mohd Farhan Abdul Wahab selaku bapa angkat pasukan.
"Dalam aksi semalam, format pertandingan dikira dengan mengambil Jumlah terkumpul “nett score” terbaik daripada tiga orang pemain setiap pasukan.
"Kita berjaya mengungguli pertandingan dengan keputusan 'nett score' 20 di bawah par (-20) dan jauh meninggalkan pencabar dari negeri Sarawak selaku naib johan," katanya.
Manakala, tempat ketiga diraih pasukan dari negeri Johor.
27 Oct 22
466
SUKSEM 2022: Skuad E-Sport Terengganu Naib Juara PUBG
SHAH ALAM, 27 Oktober - Pasukan E-sport Terengganu muncul naib juara bagi kategori Player Unknown's Battleground (PUBG) dalam Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) 2022, pada saingan hari pertama semalam.
Jurulatih pasukan, Syed Afif Hakimi Al-Idrus berkata, pasukannya bermain dengan baik dalam keseluruhan perlawanan tetapi terpaksa akur pada kehebatan skuad Selangor.
"Kita sebenarnya hanya menyasarkan untuk tiga teratas dalam kategori ini, tetapi tidak sangka pasukan memberikan aksi terbaik sehingga kita hampir muncul juara.
"Pasukan kita mendahului enam pusingan pertama, namun Selangor mendominasi dua pusingan terakhir dan berjaya mengutip mata tertinggi," katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.
Pada saingan hari ini, skuad E-sport akan turun beraksi dalam kategori FIFA 2022 dalam saingan hari kedua bertempat di SUK Selangor.
"Kita meletakkan sasaran untuk podium bagi aksi hari ini dalam kategori FIFA 2022 dan berharap dapat merealisasikannya," katanya.
26 Oct 22
368
SUKSEM 2022: Terengganu Sasar Kutipan Pingat Tertinggi
SHAH ALAM, 27 Oktober -Kontinjen SUK Terengganu melaungkan semangat awal untuk mengutip sebanyak mungkin pingat dalam acara-acara yang dipertandingkan dalam Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia SUKSEM 2022.
Ketua kontinjen Terengganu, Anuar Awang berkata, penglibatan negeri itu dalam edisi kelapan membawa harapan untuk menyerlah lebih baik selepas mengungguli Karnival Sukan SUK Pantai Timur sebelum ini.
"Terengganu menghantar 192 atlet melibatkan 10 acara sukan dipertandingkan iaitu bola sepak, golf, bola tampar, dart, tenpin boling, badminton, E-sport, ping-pong, bola jaring dan sepak takraw.
"Saya berharap atlet-atlet menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam setiap acara disertai.
"Sebagaimana hasrat penganjuran SUKSEM, kita ingin mengukuhkan hubungan sesama SUK negeri disamping cuba mendapatkan pingat sebanyak yang boleh," katanya.
Semalam, Terengganu berjaya meraih satu emas melalui sukan golf dan satu perak dalam acara Player Unknown's Battleground (PUBG) bagi sukan E-sport.
26 Oct 22
386
SUKSEM 2022 Buka Tirai, 192 Atlet Terengganu Beraksi
SHAH ALAM, 26 Oktober - Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) 2022 membuka tirai kejohanan secara rasminya hari ini dengan sambutan meriah dalam pembukaan yang berlangsung di Dewan Matsushita Panasonic, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja yang hadir sebagai salah seorang tetamu kehormat, melaungkan harapan supaya 192 atlet daripada Terengganu yang bertanding mempamerkan aksi terbaik dalam SUKSEM kali ini.
"Semasa Kejohanan Sukan SUK Pantai Timur pada 2019 kita muncul juara, jadi kita harapkan atlet kita akan menyerlah kali ini walaupun kita tahu kontinjen negeri-negeri lain tidak kurang hebatnya.
Kita juga ditawarkan untuk menjadi host SUKSEM dua tahun lagi, kita tengok dulu kalau persembahan kita terbaik, mungkin bersedia kita jadi tuan rumah lagi," katanya.
Dirasmikan Menteri Besar Selangor, Dato'Seri Amirudin Shari sebagai penaung dalam penglibatan pertama negeri tersebut sebagi tuan rumah, majlis turut diserikan dengan perarakan masuk 12 kontinjen negeri-negeri bertanding.
Sebanyak 10 sukan dipertandingkan dalam SUKSEM 2022 bermula hari ini melibatkan venue pertandingan di sekitar Shah Alam dan Klang.
25 Oct 22
463
TFC Kekalkan Nafuzi
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd hari ini mengumumkan tawaran sambungan kontrak buat ketua jurulatih, Nafuzi Zain bagi saingan musim 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) bersetuju melanjutkan kontrak pengendali muda itu.
“Mesyuarat ALP tadi berlangsung sekitar dua jam setengah, membincangkan banyak perkara berkenaan TFC termasuk laporan perkembangan serta perancangan bagi pasukan.
“Perbincangan turut melibatkan pemilihan ketua jurulatih bagi musim akan datang dan kita bersetuju untuk memberikan tawaran sambungan kontrak kepada Nafuzi untuk kekal bersama TFC,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-2 di Kediaman Rasmi Seri Iman, Batu buruk di sini.
Beliau turut berkata, pihak TFC Sdn Bhd berpuas hati dengan pencapaian semasa skuad Terengganu FC hasil sentuhan Nafuzi sejak dilantik sebagai jurulatih.
“Beliau (Nafuzi) diberi tempoh sekitar dua minggu bagi memberi respon terhadap tawaran itu. Kita tawarkan kepadanya, maka kita tunggu jawapan balas nanti.
“Kita ada beberapa pilihan nama jurulatih, tapi keputusan mesyuarat memilih Nafuzi maka pilihan lain kita tolak. Sekiranya diolak maka kita akan membuat pilihan yang lain,” tambahnya.
Terdahulu, Nafuzi menyatakan hasrat untuk mencuba cabaran baru apabila kontraknya bersama pasukan Terengganu FC akan tamat menjelang akhir musim 2022 ini.
Terengganu FC cemerlang apabila menamatkan aksi Liga SUper 2022 di kedudukan kedua sekali gus layak ke Aksi Piala Asia 2023.
25 Oct 22
644
Terengganu Tubuh SUKANT Jaga Kebajikan Atlet
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan negeri melancarkan Sekretariat Kebajikan Atlet Terengganu (SUKANT) bagi memastikan kebajikan mereka yang menceburi bidang sukan serta bekas atlet terjamin serta tidak dipinggirkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia berperanan sebagai perantara untuk menyelaraskan segala urusan dan keperluan golongan terbabit yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
"Fungsinya sama seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli di kalangan atlet dan bekas atlet yang merupakan anak jati negeri Terengganu, termasuk sekiranya mereka ingin menyambung pelajaran maka akan digunakan jawatankuasa ini bagi merealisasikan hasrat mereka.
"Jika sekiranya ada atlet yang berminat untuk berniaga maka kita akan uruskan untuk mereka mengikuti kursus dan mendapatkan modal yang diperlukan, juga termasuk dalam menjaga aspek kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan memberikan kad sejahtera pada peringkat awal ini supaya digunakan untuk tujuan mendapatkan perubahan di klinik swasta yang menjadi panel kepada kerajaan.
"Kita berikan inisiatif ini di atas menghargai segala jasa yang mereka lakukan sewaktu memberikan sumbangan dan mengharumkan nama negeri dengan melakarkan kejayaan yang sangat membanggakan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini.
Katanya, pada peringkat awal ini kerajaan sedang mengumpulan semua bekas atlet untuk disenaraikan sebagai ahli SUKANT.
"Walaupun mereka telah mendapat bantuan selama ini daripada YAKEB, kerana mereka atlet Terengganu maka merkea ini juga akan dipastikan mendapat inisiatif ini untuk menampung keperluan juga sebagai sokongan tambahan.
"Setakat ini tidak ada kadar yang spesifik, ia adalah mengikut keperluan dan dana yang diberikan oleh kerajaan sebagai permulaan untuk hari ini kita telah menerima RM100,000 yang diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dana ini akan ditambah lagi melalui pihak kerajaan dan swasta berdasarkan keperluan tertentu di masa akan datang," katanya.
23 Oct 22
347