Artikel "Sukan" Terkini
Main Karom Boleh Kena Sakit Jantung?
KUALA NERUS, 24 November - Sukan Karom kurang terkenal dan jarang dipertandingkan terutama di Terengganu, sebaliknya sering menjadi aktiviti riadah ringan di kalangan masyarakat.
Namun, benarkah sukan 'indoor' ini mampu memudaratkan sehingga boleh menyebabkan sakit jantung?
Pemain karom Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang bertanding dalam Sukan Gemaputra 2022, Sabarul Aswadi Abdul Jalil berkata, bermain karom dalam kejohanan atau pertandingan bukan semudah dilihat.
Antara aksi Sabarul dalam Sukan Gemaputra 2022.
"Tekanan dia (bermain karom) tinggi, kita ada kes di mana ada pemain yang main dalam salah satu kejohanan karom 'Penang' yang diserang sakit jantung ketika bermain akibat tidak berjaya mengawal tekanan, padahal pemain itu masih muda.
"Setiap orang tidak sama dalam mengawal tekanan, paling penting untuk bermain karom perlu disiplin dan mental kena kuat, pengalaman dan latihan memang membantu fokus ketika 'game'," katanya ketika ditemui UPDI selepas perlawanan karom Sukan Gemaputra XVI di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.
Penolong Pengurus Kanan Industri itu memiliki 15 tahun pengalaman bermain karom dalam kejohanan, namun mengakui masih gementar ketika bertanding.
Jangan ingat 'tak' berpeluh, dalam kejohanan tangan selalu bergetar kalau main, itu yang selalu 'sharp-sharp' tetapi kalah akhirnya," ceritanya.
Normala (kiri) dan Zaharah (kanan) bersama salah seorang pengurus mereka.
Perkara itu turut diakui duo wanita dari Perbadanan Johor (JCORP), Zaharah Mohamed dan Normala Jelan (10).
Menurut mereka, bermain kategori single lebih memberikan tekanan.
"Jika kategori duo, kita dapat saling membantu meningkatkan prestasi ketika bermain.
"Untuk bermain karom, paling penting adalah minat kerana ia akan memudahkan kita membina skill," katanya.
Mereka yang masing-masing memiliki pengalaman 20 tahun dan 10 tahun menyertai kejohanan karom, kali ini hadir untuk membantu JCORP meraih pingat emas setelah muncul naib juara pada edisi 2018.
Antara aksi pada perlawanan akhir PKNS menentang SEDCO.
Zaharah turut menyatakan, dalam setiap perlawanan ada saat-saat yang seronok untuk dinikmati.
"Ketika bermain, kita perlu ada kesabaran, ketenangan dan perlu 'sharp' iaitu setiap bidikan membunuh atau menghasilkan kelebihan kepada pasukan.
"Saat yang paling 'best' ialah ketika kita hendak memasukkan buah terakhir ke dalam lubang.
"Waktu itu, rasa berdebar, teruja semua ada lebih-lebih lagi jika dikelilingi penonton dan penyokong," katanya.
Pemain-pemain PKNS dan SEDCO bergambar di atas podium.
Acara karom yang berakhir hari ini bagaimanapun menyaksikan, pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) muncul juara dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) di tempat kedua.
Manakala, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dinobatkan pemenang tempat ketiga bersama.
25 Nov 22
1112
Gemaputra 2022: Ratu Bola Jaring Kekal Milik PKNS
KUALA NERUS, 25 November - Juara bertahan 2018, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengekalkan gelaran 'ratu bola jaring' apabila menang tipis 14-13 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada perlawanan akhir bola jaring Sukan Gemaputra XVI 2022, hari ini.
Kedua-dua pasukan merupakan seteru utama sukan bola jaring dan saling bertukar gelaran juara pada dua edisi terakhir Gemaputra yang lalu.
Pasukan PKNP muncul naib juara.
Hasrat PKNP untuk membawa pulang kembali pingat emas setelah kali terakhir muncul juara pada 2016, berkecai apabila jaringan minit akhir pihak lawan di masa tambahan menggagalkan impian itu.
Pada aksi di Stadium Tertutup Gong Badak itu, PKNS mendahului dua gol sebelum PKNP bangkit menjaringkan enam gol untuk selesa di depan.
PKNS bagaimanapun kembali mengejar dengan persembahan lebih agresif dan berjaya menyamakan kedudukan.
Keputusan kekal 6-6 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Gergasi Merah cemerlang untuk konsisten mengatasi Tok Gajah dengan kelebihan satu jaringan.
Namun pada minit akhir perlawanan, PKNP berjaya menyamakan kedudukan dan perlawanan berakhir seri 12-12.
Memasuki masa tambahan, PKNP terlebih dahulu menjaringkan gol sebelum PKNS kembali menyamakan kedudukan.
Caption
GS Gergasi Merah, Aina Irdina Azni melengkapkan saat gemilang PKNS apabila menjaringkan gol kemenangan pada saat terakhir sebelum wisel penamat ditiupkan.
Pasukan tuan rumah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Perbadanan Johor (JCORP) pula muncul tempat ketiga bersama bagi acara berkenaan.
PMINT muncul pemenang tempat ketiga bersama JCORP.
25 Nov 22
678
Pengurus Terengganu FC Mohon Maaf
KUALA TERENGGANU, 22 November - Pengurus Terengganu FC, Mohd Fadhil Wahab memohon maaf kepada pasukan dan penyokong Selangor FC atas sikap segelintir penyokong yang mencetuskan insiden idak diingini pada malam tadi.
Mewakili pihak pengurusan, Fadhil melahirkan perasaan kecewa dengan aksi membaling dan melemparkan batu ke arah bas pasukan Selangor FC.
Kata beliau, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya.
"Seharusnya kejadian seumpana iti tidak wajar berlaku lagi dalam kancah bola sepak tempatan. Walau apapun.
"Kejadian malam tadi merupakan tindakan yang hanya dilakukan oleh segelintir penyokong yang tidak meletakkan semangat kesukanan dalam hati masing-masing dan bukan di kalangan penyokong setia pasukan Terengganu," ujarnya menerusi suatu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, rata-rata yang hadir mempamerkan semangat kesukanan tinggi dan dapat menerima kekalahan dalam aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia
"Penyokong Terengganu sememangnya amat terkenal dengan disiplin yang baik ketika perlawanan di luar mahupun ditempat sendiri, namun kerana segelintir mereka ini menyebabkan semuanya terpalit," ujarnya lagi
22 Nov 22
1101
Terengganu FC Gagal 'Rantai'Gergasi Merah
KUALA NERUS, 21 November - Langkah Terengganu FC berakhir pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2022 apabila sekadar menang 1-0 ke atas Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.
Kemenangan itu belum cukup untuk membawa Sang Penyu sekali lagi ke pentas akhir apabila tewas dengan agregat 2-3.
Membariskan Petrus Shitembi menggantikan Kpah Sherman, anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan permainan dengan agresif bagi merapatkan jurang agregat dengan gol awal.
Pada minit ke-12, Tcheche Kipre melakukan percubaan pertama yang melepasi gawang hasil hantaran Faisal Halim.
Selangor FC kemudian hampir mengejutkan tuan rumah apabila Nor Hakim Hassan nyaris menyumbat gol pertama, mujur diselamatkan Rahadiazli Rahalim pada minit ke-20.
Skuad kendalian Tan Cheng Ho lebih banyak mengukuhkan pertahanan untuk mengekalkan kelebihan dua gol pada aksi kedua ini selain cuba mengubah keputusan melalui serangan balas.
Terengganu FC berhasil memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke -35 setelah hantaran lintang rendah Faisal di berjaya ditolak Kipre ke dalam gawang.
Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama untuk menghidupkan semula peluang Terengganu FC ke perlawanan akhir.
Sepuluh minit setelah babak kedua bermula, Kipre berjaya menyambut rembatan Manuel Ott untuk gol kedua tuan rumah.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan menafikan gol tersebut berikutan posisi penyerang kelahiran Ivory Coast itu berada pada kedudukan 'offside'.
Sang Penyu terus menyerang menerusi rembatan leret Ott pada minit ke-62 dan rembatan luar kotak Shahrul Nizam pada minit ke-64, tetapi tidak mampu menjelmakan jaringan.
Pada minit ke-87, pertahanan Selangor FC, Yazan Mahmoud Al-Arab dilayangkan kad kuning kedua menyebabkan pelawat bermain dengan 10 pemain.
Sayangnya, tuan rumah tidak mampu menambah jaringan untuk menyekat peluang Selangor FC.
Sekalipun menang, Terengganu FC gagal mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas tewas agregat 2-3 kepada Gergasi Merah.
21 Nov 22
272
Sukan Gemaputra Kembali Ke Terengganu Selepas 26 Tahun
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kejohanan Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera & Perusahaan- Perusahaan Awam Malaysia (Gemaputra) kembali ke bumi Terengganu tahun ini, setelah sejak kali terakhir diadakan di negeri ini 26 tahun yang lalu.
Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), diberi mandat selaku penganjur dan tuan rumah bagi kejohanan antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) itu bagi kali kedua selepas menganjurkannya pada tahun 1996.
Menurut YDP Gemaputra Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman, ia menjadi satu kebanggaan diberi mandat sebagai tuan rumah kali ini.
Wan Adnan (tengah) menunjukkan piala Kejohanan Gemaputra 2022.
"Sebagaimana yang dirancang, esok akan berlangsung Kejohanan Gemaputra yang mempertandingkan lapan acara iaitu golf, badminton, ping-pong, bola jaring, futsal, tenpin boling, dart dan karom.
"Pada kali pertama, kita menjadi tuan rumah pada 1996 dan kita menjadi juara pada masa itu. Namun, kali ini pengalamannya mungkin berbeza.
"Kita menjangkakan saingan agak sengit, tetapi kita telah bersedia dan kami mensasarkan untuk menjadi juara sekali lagi," katanya.
Tambahnya, Sukan Gemaputra kali ini melibatkan penyertaan sekitar 1,200 atlet dari 14 kontinjen iaitu PKNS (Selangor), PKNNS (Negeri Sembilan), PKNP (Pahang), PKNM (Melaka) PDC (Pulau Pinang) dan PKINK (Kelantan).
Selain itu, pasukan lainnya ialah SEDCO (Sabah), SEDC (Sarawak), PKNPK (Perak), UDA (Kuala Lumpur), JCORP (Johor), PKNK (Kedah) dan PKENPs (Perlis).
Kejohanan berkenaan akan berlangsung di beberapa venue utama iaitu Stadium Tertutup Gong Badak, KT Golf Resort, Stadium Negeri, PB Central dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Barisan penaja Kejohanan Sukan Gemaputra 2022.
21 Nov 22
603
Terengganu Inc Taja Terengganu FC RM1.6 Juta
KUALA NERUS, 15 November - Kumpulan Terengganu Incorporation (Terengganu Inc) meneruskan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan sukan di negeri Terengganu apabila menandatangani penajaan bernilai RM1.6 juta bersama Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), hari ini.
Tajaan bagi musim 2023 tersebut melibatkan tiga anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc iaitu Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB).
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun memaklumkan, tajaan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada gergasi pantai timur itu yang bakal bersaing dalam Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim depan.
"Bola sepak merupakan salah satu sukan utama di Terengganu yang mempunyai ramai peminat tempatan yang setia. Penajaan Kumpulan Terengganu Inc ini juga selari dengan momentum positif pasukan itu yang telah meraih tempat kedua Liga Super, naib juara Piala FA 2022, serta dalam usaha menempah tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.
"Sejak tahun 2017 sehingga kini, Terengganu Inc serta anak-anak syarikatnya sudah tidak asing lagi dalam mengadakan kolaborasi menang-menang bersama Terengganu FC," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Majlis menandatangani penajaan yang berlangsung di Pejabat Pengurusan TFCSB, disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC; Ridzuan Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SATU; Ts. Abdul Karim Endut, Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafiz Che Ku Denang serta disaksikan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun.
Manakala itu, TFCSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd, Ab Rasid Jusoh.
Sebagai penaja, Terengganu Inc serta tiga anak syarikatnya mendapat pelbagai peluang pemasaran strategik seperti promosi logo penaja pada jersi, tapak pemasaran sempena hari perlawanan, penjenamaan pada kit latihan rasmi pusat latihan, logo, iklan penaja di media sosial dan lain-lain lagi.
Selain itu, penajaan kepada pasukan Terengganu FC telah berlangsung selama enam tahun dengan tajaan keseluruhan sebanyak RM22.6 juta.
Burhanuddin turut berharap, kesinambungan penajaan berkenaan bakal mencetuskan peningkatan prestasi pasukan pada saingan Piala AFC 2023 nanti.
"Pihak kami juga yakin TFC bakal mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia disamping menaikkan nama Kumpulan Terengganu Inc di mata negara dan rantau Asia,” katanya.
Sebelum ini, Kumpulan Terengganu Inc. turut menaikkan tajaan kepada pasukan berbasikal ternama, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, berbanding RM1.5 juta pada tahun ini berikutan kecemerlangan pasukan tersebut di peringkat benua.
15 Nov 22
820
Nafuzi Terkilan
KUALA NERUS,12 November - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain meluahkan rasa terkilan terhadap profesionalisme pengurusan kelab gergasi Pantai Timur itu.
Jelasnya, sekalipun pengurusan Terengganu FC berhak menyambung atau menamatkan kontraknya, ia perlu dilakukan secara profesional.
"Saya hanya menerima surat tawaran bertarikh 27 Oktober, diserahkan pada saya dua hari kemudian (29 Oktober) melalui 'kitman' pasukan.
"Mungkin sayalah jurulatih pertama di Malaysia yang menerima surat tawaran daripada 'kitman' sedangkan kita berada di kelab yang profesional.
"Sepatutnya pengurusan perlu memanggil saya untuk berbincang mengenai tawaran kontrak dan hala tuju pasukan, tetapi saya menerima surat tanpa ada sebarang perbincangan atau makluman," katanya.
Beliau turut menafikan isu gaji menjadi persoalan utama, sebaliknya lebih berkisar tentang rasa hormat dan penghargaan kelab terhadapnya sebagai jurulatih.
"Saya rasa segalanya telah diberikan pasukan untuk musim ini di mana kita layak ke Piala AFC, naib johan Piala FA dan berada di kedudukan kedua Liga Super.
"Mungkin kita hanya selangkah lagi untuk ke 'final' Piala Malaysia, tetapi saya betul-betul terkilan diperlakukan seperti itu," luahnya.
Nafuzi bagaimanapun menegaskan, beliau tetap fokus dan isu berkenaan tidak menjejaskan pasukannya.
"Saya sendiri berjanji dengan peminat untuk buat yang terbaik, dan insya-Allah jika ada rezeki kita akan sekali lagi ke 'final' tahun ini.
"Saya akan menyerahkan surat tersebut kepada pihak pengurusan esok bagi jawapan saya," katanya.
12 Nov 22
937
Terengganu FC Ratah Juara Bertahan
KUALA NERUS, 12 November - Terengganu FC melangkah selesa ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022 setelah menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.
Pada aksi suku akhir kedua itu, Terengganu FC meledak tiga jaringan sekaligus mengukuhkan agregat kepada 4-1 untuk menang selesa berdepan juara bertahan Piala Malaysia itu.
Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain bermula garang mengancam kubu pelawat.
Dua percubaan daripada Tcheche Kipre dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan hampir menjelmakan gol pertama tuan rumah.
Pemain tengah kebangsaan Filipina, Manuel Ott berjaya melebarkan kelebihan agregat kepada dua jaringan apabila meledak gol pertama buat Terengganu FC pada minit ke-21.
Pada minit ke-27, serangan Kuala Lumpur City FC hampir menghasilkan gol apabila rembatan Paulo Josue terbias Pape Diakite, namun berjaya dikeluarkan Mohd Aliff Zakaria.
The City Boys berjaya merapatkan jurang menerusi 'tap in' Muhammad Haqimi Azim Rosli setelah menerima hantaran lintang Paulo Josue pada minit terakhir sebelum separuh masa pertama ditamatkan.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu lebih banyak bertahan dari asakan pelawat.
Bagaimanapun, Terengganu FC kembali menjarakkan kedudukan setelah lorongan Manuel Ott 'melepaskan' Kipre berdepan penjaga gol lawan, Kevin Mendoza dalam situasi satu lawan satu.
Penyerang kelahiran Ivory Coast itu mudah menyempurnakan peluang terbuka untuk gol kedua Terengganu FC pada minit ke-62.
Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak memasukkan Romel Morales dan J. Partiban untuk cuba mengubah keputusan perlawanan.
Tetapi, Terengganu FC memadamkan harapan itu dengan mengukuhkan cengkaman kemenangan setelah Kpah Sherman menjaringkan gol ketiga pada minit ke-89.
Jaringan tersebut mengekalkan status penyerang kelahiran Liberia itu sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan tujuh gol.
Terengganu FC akan bertemu Selangor FC di peringkat separuh akhir pada 16 November nanti.
12 Nov 22
532
Ragbi Piala Agong 2022: Terengganu Belasah Johor
KUALA NERUS, 6 November- Pasukan Ragbi Terengganu membuka tirai perlawanan dengan langkah kanan apabila menumpaskan Johor 30-17 pada aksi pertama Ragbi Piala Agong 2022, semalam.
Lebih menarik, perlawanan ini turut disaksikan Tuanku Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan salah seorang anggota skuad ragbi Terengganu Piala Agong 2022.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Gong Badak itu, Johor terlebih dahulu memperoleh mata melalui try dilakukan Muhammar Faiq Aslah Mohd Satar pada minit ke-25, disusuli tendangan conversion dua mata yang disempurnakan Mohamaad Asri Azhar.
Namun pada minit ke-31, pasukan tuan rumah merapatkan kedudukan dengan try pertama menerusi Kinijoji Taukeisalili dan conversion dua mata disempurnakan Muhammad Faris Pead untuk kedudukan tujuh sama, terikat sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu bangkit menerusi penalti tiga mata yang disempurnakan Muhammad Faris pada minit ke-50, tetapi Johor bingkas menyamakan kedudukan dengan try oleh pemain nombor lapan mereka, Sikeli Qauqau untuk kedudukan mata 10-12.
Penalti pada minit ke-55 oleh Muhammad Faris menjadi titik kebangkitan Terengganu, disusuli try Muhammad Halim Abu Kassim serta conversion dua mata oleh Muhammad Faris pada minit ke-60 menjadikan kedudukan mata 20-12.
Johor cuba bangkit merapatkan jurang mata dengan try Muhammad Shahiran Setopha pada minit ke-70 untuk kedudukan 20-17.
Bagaimanapun, tendangan penalti Muhamad Faris pada minit ke-77 serta try pada minit minit akhir permainan oleh Muhammar Aqil Ahmad Fodzi, ditambah penyudah conversion berjaya disempurnakan Abdul Latif Sa'id pada minit 80 berjaya menambah jurang mata kepada 30-17.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.
06 Nov 22
783
Ragbi Bawa Gadis Terengganu Ke Azerbaijan
KUALA TERENGGANU,5 November- Tiga pemain ragbi wanita Terengganu mencipta sensasi dalam perkembangan sukan ragbi tempatan apabila berjaya memecahkan dominasi pemilihan skuad wanita tujuh sepasukan kebangsaan (7s) setelah layak secara merit untuk menyarung jersi Bunga Raya 7s bagi siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.
Nur Alyia Nabila Samsubahari, 18 tahun, Aida Wardini Mohd Lazim (19 tahun) dan Siti Nursyamimi Tajudin (19 tahun) kini merupakan pemain ragbi wanita pertama kelahiran Terengganu layak untuk mewakili pasukan ragbi wanita kebangsaan bagi menyertai perlawanan-perlawanan antarabangsa.
Malah ketiga-tiga mereka juga merupakan pemain skuad SUKMA 2022 yang telah muncul juara di Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan 2022,di Ipoh pada Julai lalu.
Menurut Yang DiPertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, Amir Amri Mohamad, perkembangan ini memberi satu penanda aras baru bagi program pembangunan ragbi yang telah dilaksanakan khususnya melibatkan pemain-pemain ragbi wanita dari negeri ini.
“Program pembangunan ragbi wanita dari peringkat akar umbi telah bermula secara agresif sejak SUKMA 2018 melabuhkan tirai yang mana kita memberi fokus sepenuhnya penglibatan anak jati negeri ini bermula dari bangku sekolah lagi.
“Sehingga kini sebanyak tujuh sekolah dalam negeri Terengganu menjalankan program pembangunan ragbi wanita dan dua darinya turut mendapat perhatian Program Pembangunan Ragbi Malaysia(NRDP), satu inisiatif oleh Majlis Sukan Negara(MSN) bersama Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) sejak 2016.
“Kejayaan ini bukan hanya untuk mereka, tetapi sekaligus menjadi penanda aras terbaik buat jurulatih-jurulatih tempatan yang terdiri daripada guru-guru sekolah dari luar bandar dalam menghasilkan pemain-pemain berkualiti setanding negeri-negeri lain yang mempunyai program pembangunan lebih bagus dari kita," katanya.
Beliau berharap, pencapaian ketiga-tiga pemain ragbi wanita itu dapat dijadikan contoh terbaik buat bakat-bakat muda ragbi wanita di Terengganu untuk membuktikan yang mereka juga setanding seperti yang lain.
Buat ketua jurulatih ragbi wanita Terengganu, Asaari Abdullah pula, perkembangan tersebut melahirkan rasa bangga dan syukur setelah anak didiknya layak secara merit untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Rata-rata pemain ragbi wanita negeri ini adalah mereka yang bersekolah di kawasan luar bandar dan sering berasa kurang keyakinan diri untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi khususnya di peringkat antarabangsa. Namun, kini mereka menjadi contoh terbaik untuk membakar semangat buat generasi - generasi seterusnya di sini.
“Kredit juga harus diberikan kepada jurulatih di sekolah masing-masing yang bersungguh-sungguh mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan," katanya.
Tambahnya, usaha berkenaan bukan mudah buat mereka dari sekolah luar bandar kerana pendedahan sukan ragbi tidak seperti di negeri-negeri pantai barat yang sering mendapat tumpuan.
Skuad Bunga Raya 7s Wanita U20 akan berentap bersama-sama pasukan tuan rumah, United Arab Emirates(UAE), India dan Thailand bagi memburu kejuaraan Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20.
05 Nov 22
581