lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

6,000 'Walk For Peace' Di Terengganu
6,000 'Walk For Peace' Di Terengganu
KUALA NERUS, 14 Januari - Lebih 6,000 peserta berhimpun di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, sempena Hari Keamanan Bangsa-bangsa Bersatu 2023, hari ini. Para peserta terdiri daripada pelajar lelaki, perempuan dan keluarga itu berjalan sejauh lima kilometer bagi menjayakan program 5km International Fun Walk For Peace yang turut berlangsung di lapan negeri di seluruh Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Pengakap Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu dan PPD Kuala Nerus itu amat baik dan harus disokong. "Kita boleh lihat penyertaan begitu ramai terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan keluarga. "Ini satu aktiviti bagus bagi keluarga, secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan dan dapat menjadikan aktiviti sihat ini untuk seisi keluarga," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta ditemani Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.  
14 Jan 23
502
TSG Terima Penajaan RM11 Juta Bagi Musim 2023
TSG Terima Penajaan RM11 Juta Bagi Musim 2023
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mencatat sejarah baru buat pasukannya apabila menerima penajaan bernilai lebih RM11 juta bagi musim 2023. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai pasukan itu memperlihatkan 25 syarikat dalam dan luar negara seperti Jepun, Taiwan, Indonesia dan Singapura turut serta menyokong TDG sebagai penaja musim ini. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, kepercayaan para penaja itu adalah hasil pencapaian membanggakan TSG menjuarai pelbagai peringkat pada musim 2022. "Saya percaya itu (penajaan) merupakan satu pengiktirafan kepada pasukan ini. Apabila pencapaian baik, tentulah ramai yang ingin menaja. "Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penaja dan saya percaya bahawa TSG telah membawa nama para penaja ke peringkat antarabangsa dengan baik," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG di Hotel Permai, semalam. Tambahnya, pasukan TSG akan terus mempamerkan aksi terbaik bagi musim 2023. "Yang pentingnya, TSG atau Terengganu sendiri kini dilihat sebagai 'branding' bagi sukan berbasikal. "Mana-mana kita pergi orang sering mengaitkan kita dengan sukan berbasikal. "Kita berharap, suatu masa nanti kita mampu menghantar pelumba kita ke peringkat tertinggi Tour de France," katanya. Tahun lalu, TSG dinobatkan sebagai Juara Jelajah Asia UCI dengan memenangi 118 podium dan berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional. Bahkan, TSG turut merampas kedudukan ketiga pasukan Benua Dunia UCI daripada 178 pasukan.              
13 Jan 23
417
Duo Croatia Lengkapkan Import Terengganu FC
Duo Croatia Lengkapkan Import Terengganu FC
KUALA NERUS, 4 Januari - Pasukan Terengganu Football Club (TFC) melengkapkan sembilan pemain import bagi pasukan gergasi pantai timur itu apabila menandatangani dua pemain kelahiran Croatia iaitu Domigoj Pusic,32, dan Ivan Mamut,26 tahun. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Abd Rasid Jusoh memaklumkan, kehadiran duo import itu bakal menyertai senarai pemain import pasukan yang dibarisi Jordan Mintah, Luke Woodland, Argzim Redzovic, Adisak Kraisorn, Habib Haroun, Sony Norde dan Sardor Kulmatov. "Domagoj Pusic, pemain tengah yang sebelum ini bersama pasukan kelab liga Crotia, NK BSK Bijelo Brdo telah menandatangani kontrak semusim bersama Terengganu FC. "Manakala, Ivan Mamut yang bermain di posisi serangan, juga telah menandatangani kontrak semusim dan dilihat bakal menjadi pilihan utama dibarisan hadapan pasukan bersama penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn," katanya. Dengan ketinggian 1.92 cm, Ivan yang bakal memakai jersi nombor 7, dilihat memiliki kelebihan fizikal dalam mengemudi jentera serangan pasukan menggantikan tempat Kpah Sherman sebelum ini. Tambah Abd Rasid, kedua-dua pemain berkenaan yang tiba di Terengganu, semalam ( 3 Januari 2023 ) turut diiringi dua lagi tenaga kejurulatihan pasukan dari Croatia iaitu Jurulatih Kecergasan, Hrvoje Bradasic dan Jurulatih Penjaga Gol, Domagoj Malovan.    
04 Jan 23
789
Terengganu FC Tak Mahu Ganggu Tumpuan Faisal
Terengganu FC Tak Mahu Ganggu Tumpuan Faisal
KUALA NERUS, 1 Januari - Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Abd Rasid Jusoh tidak mahu mengulas lanjut isu membabitkan pasukan Terengganu FC dan penyerang kebangsaan, Mohd Faisal Halim. Jelasnya, pihaknya tidak mahu mengganggu tumpuan pemain itu yang kini sedang menggalas tugas negara dalam saingan Piala AFF 2022. "Kita ucapkan tahniah kepada Faisal, bekas pemain pasukan ini yang berjaya memakai lilitan kapten skuad kebangsaan dan itu bukan sesuatu perkara yang mudah. "Teruskan dengan tumpuan dengan aksi pasukan kebangsaan, kita 'move forward'. "Kami tidak mahu mengulas lebih lagi berkaitan isu ini, cukuplah apa yang telah dimaklumkan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani penajaan bersama Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd di pejabat TFCSB, hari ini. Dalam majlis berkenaan, Sabasun bakal merealisasikan tajaan bernilai RM250,000 bagi tahun 2023.
01 Jan 23
1173
Sabasun Kembali Hiasi 'Dada' Terengganu FC
Sabasun Kembali Hiasi 'Dada' Terengganu FC
KUALA NERUS, 1 Januari - Selepas 10 tahun, pasar raya terkemuka Terengganu, Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, kembali meletakkan nama mereka di 'dada' pasukan bola sepak Terengganu apabila menaja Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) bagi tahun 2023. Sabasun pernah memeriahkan arena bola sepak Terengganu setelah menjadi penaja pasukan T-Team pada tahun 2013. Pengarah Urusan Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim memaklumkan, pihaknya bakal merealisasikan tajaan kategori Silver bernilai RM250,000 dalam bentuk tunai. "Hasil sokongan dan dukungan tidak berbelah bahagi rakyat Terengganu, kami terpanggil untuk memberi pulangan melalui penajaan kepada pasukan. "Kami merasa sangat berbesar hati kepada pihak TFSB kerana memberi peluang dan ruang untuk kami bersama-sama sebagai penaja tahun ini "Mudah-mudahan, kerjasama ini akan terbentuk dalam rangka lebih luas lagi disamping usaha kami berjuang di bidang ekonomi," katanya ketika ditemui selepas menandatangani usahasama penajaan di pejabat TFCSB, hari ini. Majlis menandatangani penajaan tersebut disempurnakan Che Salmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abd Rasid Jusoh. Dalam pada itu, Abd Rasid merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas penajaan pasar raya terbabit. "Setakat ini, kita telah menerima 15 penajaan secara keseluruhannya dengan nilai tajaan sebanyak RM9 juta melibatkan tunai, barangan dan lain-lain. "Saya juga mengumumkan nilai kutipan tiket (gate collection) sepanjang beraksi di halaman sendiri pada saingan 2022 adalah sebanyak RM3.2 juta," tambahnya.  
01 Jan 23
1932
PBSNT Tunggu Tindakan Faisal, Sedia Berbincang
PBSNT Tunggu Tindakan Faisal, Sedia Berbincang
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, pihak persatuan akan menunggu tindakan lanjut penyerang kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim sebelum mengambil sebarang tindakan secara rasmi. Jelas Menteri Besar Terengganu itu, PBSNT telah mendapatkan penjelasan daripada Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) berhubung isu tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan secara baik. "Ada perkara yang sedang berlaku sebenarnya dan kita menunggu surat daripada pihak beliau untuk mendapatkan penjelasan dan kita akan berkomunikasi secara rasmi dengannya. "Ada salah faham yang berlaku, yang dia (Faisal) pun tahu bahawa ada perkara yang tidak patut dibuat tetapi telah berlaku, dan ada tindakan yang ditangguhkan pada peringkat awal namun diambil tindakan selepas itu, apapun kita berbincanglah. "Kita hendak selesaikan secara baik, cuma kita kena sedar apa yang salah tetap salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan PBSNT 2022 di Primula Beach Hotel, hari ini. Tambahnya, perkara itu boleh diselesaikan oleh kedua-dua pihak dengan baik. Beliau bagaimanapun menyatakan, perkara itu tidak memberi kesan kepada persediaan pasukan Terengganu FC untuk musim hadapan. "Ada isu-isu yang perlu diselesaikan sebenarnya dan kita tunggulah surat daripada beliau, beliau boleh membuat rayuan tiada masalah dan kita boleh berbincang dari situ," jelasnya. Dalam kongres berkenaan, Samsuri menggariskan beberapa langkah yang dipersetujui untuk memajukan bola sepak di Terengganu. Antara yang diutarakan ialah penganjuran liga peringkat bawah umur dalam negeri. "Kita akan mengadakan liga untuk peringkat bawah umur, bagi mencungkil bakat baru dari daerah- daerah ke peringkat tinggi. "Kita akan bincang dalam peringkat jawatankuasa terutama berkenaan kewangan dan masalah-masalah lain untuk menjayakan perkara ini," katanya.
26 Dec 22
1356
Penyerang Thailand Sertai Terengganu FC
Penyerang Thailand Sertai Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Terengganu Football Club (TFC) harini mengumumkan penyertaan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bagi menghadapi saingan bersama TFC musim 2023. Adisak sebelum ini beraksi bersama kelab Muangthong United selaku kelab yang beraksi di liga utama Thailand menandatangani kontrak bersama TFC selama tempoh 2 tahun (1+1).  TFC dalam satu kenyataan menyatakan bahawa dia akan mengisi kuota pemain asing Asean yang ditinggalkan oleh Manuel Ott. "Adisak memutuskan untuk berhijrah dari liga Thailand bagi mendapatkan cabaran baru melihatkan saingan Liga Malaysia sebagai salah sebuah liga kompetitif di Asia Tenggara. "Adisak bakal menyarung jersi bernombor 9 bersama Terengganu FC. Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83m ini semestinya bakal memberi lebih variasi dalam jentera serangan pasukan ini," katanya. Untuk rekod, beliau pernah menjuarai kejohanan ini bersama pasukan Thailand bagi tahun 2014 dan 2020 selain memenangi gelaran penjaring terbanyak bagi kejohanan ini untuk tahun 2018.   
22 Dec 22
432
AMCT 2022 Tarik Penyertaan Antarabangsa
AMCT 2022 Tarik Penyertaan Antarabangsa
HULU TERENGGANU, 3 Disember - Asean Monsoon Casting Tournament 2022 (AMCT 2022) menarik tumpuan antarabangsa apabila menerima penyertaan 14 peserta dari Amerika Syarikat, Thailand (18 peserta), Singapura (3 peserta) dan beberapa penyertaan dari Lithuania untuk saingan kali ini. Program selama tiga hari bermula hari ini, menghimpunkan 433 peminat sukan memancing melibatkan gerombolan 24 buah rumah bot (houseboat) dan 60 kayak. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2009, aktiviti tahunan itu bukan sahaja menonjolkan imej Tasik Kenyir ke persada dunia melalui penyertaan antarabangsa. "Program ini kita harapkan menjadi mercu tanda aktiviti sukan memancing di peringkat tasik. "Penyertaan melibatkan peminat sukan memancing tempatan dan antarabangsa, kita rasa satu sambutan yang cukup dalam mempromosikan Terengganu dan Tasik Kenyir itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelepasan peserta AMCT 2022 di jeti Pulau Poh, hari ini. Jelasnya, dengan kerjasama yang erat daripada tourism Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), penganjuran tersebut memberi banyak manfaat terutama kepada pengusaha rumah bot, pemandu bot dan penduduk setempat. Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat. AMCT 2022 mempertandingkan empat kategori iaitu King of Sebarau, King of Toman, King of Special dan Best of Barra. Berkonsepkan tangkap dan lepas, program berkenaan mampu memupuk kesedaran awam terutama peminat aktiviti memancing dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem serta biologi marin Tasik Kenyir. Bersempena AMCT 2022, sebanyak 10,000 anak ikan lampam hasil sumbangan Jabatan Perikanan Terengganu turut dilepaskan sebagai usaha menggalakkan pemancing meraih kemenangan. Berdasarkan rekod, sejumlah 500,000 anak benih ikan spesies eksotik tempatan asli termasuk Temoleh, Lampam, Kelah, Jelawat, Kerandang dan Sebarau telah dilepaskan penganjur di setiap penganjuran AMCT bermula 2015 hingga 2021.    
03 Dec 22
555
Tomislav Pengendali Baru Terengganu FC
Tomislav Pengendali Baru Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Teka-teki individu yang akan mengambil alih peranan Nafuzi Zain sebagai pengendali Terengganu FC bagi musim 2023 terjawab apabilaTomislav Steinbruckner, 56, sah dilantik memimpin pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia dan Piala Asia musim depan, hari ini. Pengendali berasal dari Croatia itu hadir ke Terengganu pada awal tahun ini untuk berperanan sebagai Ketua Pengarah Teknikal pasukan pada musim ini. Menurutnya, beliau memahami keterujaan penyokong dengan prestasi pasukan musim ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik dalam mengekalkan status pasukan berkenaan. "Musim depan, pasukan akan berdepan lebih banyak perlawanan dengan saingan liga, piala dan di peringkat asia. "Kita berharap untuk melakukan pencapaian lebih baik dan dapat mengekalkan pencapaian musim ini, itu juga cukup bagus," katanya dalam sidang media di pejabat Terengganu FC Sdn Bhd, hari ini. Tomislav memiliki lesen UEFA Pro berpengalaman mengendalikan pasukan di Liga Croatia iaitu NK Novigrad, NK Orsijek dan Bijelo Brdo. Tomislav juga merupakan pengendali pasukan T-Team FC pada 2015 dan berjaya mengangkat bakat-bakat baru tempatan ketika itu antaranya Safawi Rasid, Arif Fadzilah dan Norhakim Hassan.  
01 Dec 22
560
Hakim Danish, Qabil Terima Insentif Kerajaan
Hakim Danish, Qabil Terima Insentif Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri melalui Urusetia Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu (UBSNT), hari ini menyampaikan insentif kepada dua Ikon Permotoran Terengganu iaitu Muhamad Hakim Danish Ramli (15 tahun) dan Qabil Irfan Azlan (10 tahun) bagi membantu pelumba-pelumba cilik itu melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif tersebut merupakan penghargaan kerajaan negeri sempena meraikan kejayaan Hakim juara keseluruhan Asian Talent Cup 2022 di Litar Mandalika, Indonesia baru-baru ini dan Qabil yang meraih tempat ketiga dalam FIM Mini GP World Series di Valencia, Sepanyol. "Untuk Qabil, beliau merupakan peserta paling muda dari kalangan 16 buah negara bertanding. "Atas kemenangan tersebut kerajaan negeri sebagai tambahan turut bersetuju menaja sebuah motosikal sebagai jentera khas yang diperlukan Qabil untuk latihan dan pertandingan, bernilai kira-kira RM50,000. "Harapan kerajaan dengan adanya insentif ini akan memberikan galakan dan semangat kepada kedua-dua ikon ini untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi dalam sukan permotoran," katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam majlis berkenaan, Wan Sukairi juga mengumumkan penganjuran Terengganu Motocross Series 2023 (TMS 2023) sebagai salah satu kejohanan sukan bagi tahun 2023. Kejohanan itu berlangsung sebanyak lima siri di litar-litar seluruh Terengganu dan dijangkakan melibatkan penyertaan sekitar 3,000 peminat sukan motor lasak tempatan dan antarabangsa.      
30 Nov 22
515