Artikel "Sukan" Terkini
Pelumba Cilik Sensasi Terima Hadiah Motor Daripada MB
SEPANG, 8 Februari - Kerajaan negeri mencipta kejutan apabila menghadiahkan sebuah motosikal mini GP berjenama Ohvale kepada pelumba cilik Terengganu dan negara, Qabil Irfan Azlan pada semalam.
Ahmad Samsuri berkata, pemberian itu adalah komitmen kerajaan negeri bagi menghargai anak Terengganu yang telah mencapai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa.
Katanya, motosikal itu akan dimanfaatkan Qabil ketika latihan dalam meningkatkan lagi prestasi ke tahap tertinggi.
“Kejayaan ini juga merupakan inspirasi kepada anak-anak muda di Terengganu, jika kita mempunyai kehendak dan usia yang luar biasa, kejayaan pasti dapat dicapai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tempat latihan Qabil Irfan dan Hakim Danish di Litar Antarabangsa Sepang yang dikelola oleh ZK Racing Sdn.Bhd.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun .
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap agar Qabil Irfan dan Hakim Danish akan menjadi pembuka jalan untuk kemajuan sukan permotoran di Malaysia secara amnya dan di negeri Terengganu khususnya.
“Kerajaan negeri berharap agar kedua-dua pelumba cilik ini dapat memberi fokus kepada sukan permotoran ini sehingga ke kemuncak iaitu MotoGP Dunia," katanya.
Dalam pada itu, Qabil Irfan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu atas pemberian ini yang mendorongnya untuk terus berjaya.
Untuk rekod, Qabil Irfan Azlan telah berjaya mencipta kejutan dengan menamatkan perlumbaan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia dengan menduduki tempat ketiga.
08 Feb 23
860
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Terengganu
KUALA NERUS, 5 Februari - Sukan motosikal lasak bakal menggegarkan kalendar sukan Terengganu apabila satu kejohanan bersiri bakal dianjurkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan Terengganu Motocross Series 2023 (TMS 2023) akan mengangkat prestij sukan motosikal lasak sebagai sukan yang mendapat tempat bukan sahaja di Terengganu, tetapi di Malaysia.
Kejohanan tersebut dijangka bermula Mac hingga November tahun ini akan diadakan di litar Kampung Kubang Ikan (Kuala Terengganu), litar Dungun serta tiga litar di Kemaman iaitu Kelimo Kerteh 5, Monica Bay dan Sand Trek Kerteh.
"Kita sangat menyokong sukan ini dan di peringkat kerajaan negeri kita bercadang mengadakan Motocross Terengganu Series di lima lokasi di negeri ini.
"Penganjuran pada hari ini menjadi satu pengenalan dan pembuka kepada program sukan motocross yang pasti menarik minat pelumba-pelumba dari luar dan dalam," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah MYFIT@Motosports Peringkat Zon Timur 2022 di Litar Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.
Jelasnya, penganjuran kejohanan motosikal lasak tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.
"Hari ini kita dapat penyertaan seramai 139 orang dari seluruh negara, kita ada 10 kategori ditawarkan daripada usia lapan tahun sehingga veteran berumur 40 tahun," katanya.
Turut hadir, Pengarah Belia dan Sukan Negeri Terengganu; Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT); Ahmad Shahrizal Yahaya, Presiden Kelab Motosikal Lasak Chukai (KMX); Aziz Arifin dan Wakil Motosports Association of Malaysia (MAM); Hashim Mohd Yusof.
05 Feb 23
1284
TFC Perkenal Jersi, Pemain 17 Februari
HULU TERENGGANU, 4 Februari - Majlis pelancaran jersi dan barisan pemain Terengganu Football Club (TFC) 2023 akan diadakan pada 17 Februari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah semalam.
"Program itu akan dibuat selama satu hari bermula dari pagi sehingga ke petang dengan pelbagai pengisian yang menarik.
"Pada kali ini akan diadakan di lokasi yang berlainan dari sebelum ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat hadir beramai-ramai, ia dilangsungkan di Dataran Jambatan Angkat Terengganu.
"Di majlis itu nanti akan diperkenalkan barisam pemain termasuk penaja dan juga jersi baru, jadi saya menyeru kepada semua rakyat untuk hadir beramai-ramai pada 17 Februasi nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Program Lepak Santai Cergas (LEGASI) Belia Darul Iman 3.0, di Taman Rekreasi Kuala Berang, di sini.
Dalam pada itu, penyokong TFC, Muhammad Haizat Kama, 32, sudah tidak sabar untuk hadir ke majlis itu.
Dia yakin dan percaya program sepanjang hari itu akan diselitkan dengan program keagaaman sebagaimana yang diadakan sebelum ini.
"Sudah tentu rakyat Terengganu, terutamanya penyokong setia akan berhimpun pada program yang akan diadakan itu, saya akui sudah tidak sabar untuk hadir," katanya.
04 Feb 23
361
Azizulhasni Terima Anugerah Olahragawan Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Atlet berbasikal negara, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, 35, sekali lagi dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2021 hari ini.
Beliau yang juga dikenali sebagai The Rocket Pocketman menerima anugerah itu dalam majlis Majlis Anugerah Sukan Negara sekali gus menjadikan anugerah kelima buatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah merakamkan penghargaan buat atlet kelahiran Dungun itu.
“Kejayaan yang diperoleh ini menjadi satu penghargaan dan kejayaan buat seluruh rakyat Terengganu khususnya buat Kerajaan Negeri.
“Kerajaan sentiasa komited dalam memberi sokongan serta komitmen terhadap Dato’ Azizulhasni dalam sukan berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Sukairi mewakili kerajaan negeri menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negara yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
31 Jan 23
310
Jang Bawa 'Aura' Korea Selatan Perkuat THT
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun kembali memperkuatkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.
Kali ini, kehadiran Jang turut diiringi dua rakan senegaranya, Choi Hoil serta Yoo Seung Ho yang sah menjadi keluarga baharu THT.
Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun memaklumkan, selain trio Korea Selatan itu, THT juga berjaya 'menambat' khidmat kapten skuad kebangsaan Piala Dunia 2023, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan tiga pemain skuad Speedy Tigers iaitu Shello Silverius, Faizal Saari dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.
"THT beraksi dalam saingan msuim ini untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala Liga selain Piala TNB yang terlepas musim lalu.
"Selain pemain muda yang menjadi aset pasukan, bekas kapten kebangsaan iaitu Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor, Ismail Abu, Fitri Saari dan penyerang muda berbakat negara, Mohamad Akhimullah Anuar Essok akan turut ada dalam senarai skuad kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi, Penaja serta Memperkenalkan Pemain THT dan TLHT di Hotel Permai, semalam.
Fikri menambah, THT juga melantik jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho yang akan dibantu jurulatih tempatan, Mohd Harfizi Baharom yang bertindak selaku jurulatih penjaga gol.
"Seo pernah bersama THT ketika menjadi pembantu Dharma Raj Abdullah sebelum ini," katanya.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang turut mengumumkan penajaan sebanyak RM2.5 juta kepada PHNT.
"Kerajaan negeri telahpun menambah penajaan sebanyak RM500,000 menjadikan keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta untuk pasukan terutama dalam memperkasakan program pembangunan melalui Akademi Hoki Terengganu (AHT) yang ditubuhkan hari ini.
"Kita harap suntikan kewangan ini akan membantu perkembangan sukan hoki di negeri Terengganu," katanya.
29 Jan 23
350
TLHT Kembali Bersaing Dalam Kancah Hoki Malaysia
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bakal kembali ke kancah Liga Hoki Wanita Malaysia 2023 setelah 'berehat' selama dua tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan wanita tersebut bakal tampil berwajah baru selepas kali terakhir bergelar naib johan Liga Hoki Wanita Malaysia 2020.
"Tahun ini, pasukan TLHT akan digabungkan bersama pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan keutamaan untuk menggilap pemain-pemain Sukan Malaysia (Sukma) bagi menghadapi kejohanan Sukma 2024 nanti.
"Kerajaan negeri turut menambah penajaan sebanyak RM500,000 menjadikan jumlah penajaan keseluruhan RM2.5 juta bagi sempena penubuhan Akademi Hoki Terengganu (AHT) yang akan dilaksanakan dengan kerjasama MSNT dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Memperkenalkan Pemain, Jersi dan Penaja bagi saingan TNB-MHL 2023 di Hotel Permai, semalam.
TLHT akan dilatih oleh bekas pemain berpengalaman THT dan kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah serta bekas pemain Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Rahmah Othman masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong jurulatih.
Dalam pada itu, pasukan Hoki Terengganu (THT) berazam mempertahankan kejuaraan disamping memberi cabaran dalam saingan musim ini. THT akan memulakan saingan dalam Piala Sumbangsih menentang pasukan TNB pada 9 Februari ini.
29 Jan 23
276
Kejohanan Kuda Lasak PDRM Tarik Lebih 145 Peserta
SETIU, 29 Januari – Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini meriah apabila menerima penyertaan seramai lebih 145 orang peserta.
KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa iaitu CEI 1*100 KM dan Baginda berkenan memakai jersi nombor sembilan.
Di samping, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengambil bahagian dalam kategori Cen 100 KM dengan jersi bernombor 87.
Turut mencuri perhatian kehadiran dua orang artis terkenal tanah air yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut iaitu Faizal Tahir dan Mawar Karim.
Bagi kategori 100 KM dikehendaki melalui empat landasan sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM dan 20 KM.
Manakala kategori 80 KM dan 40 KM dikehendaki melalui tiga dan dua landasan iaitu sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM dan 20 KM, 20 KM.
Jumlah kuda bagi Kategori Cen 40 KM dan Cen 80 adalah sebanyak 90 dan 26 ekor.
Manakala bagi kategori Cen 100 KM dan CEI 1*100 KM iaitu sebanyak enam dan 23 ekor.
Sementara itu, Faris Iskandar Mohamad Iskandar, 12 merupakan peserta termuda bagi kejohanan kali ini yang berasal dari Ipoh.
Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala PDRM ini julung kali diadakan di Terengganu dan mendapat tumpuan oleh mereka yang meminati sukan kuda lasak daripada seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, pelbagai hadiah disediakan kepada pemenang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah menyempurnakan majlis pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pelepasan tersebut pada jam lima petang bertempat di TIEP Lembah Bidong, Setiu di sini semalam.
Kejohanan ini merupakan anjuran PDRM bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Royal Terengganu Endurances Stable (RTES) dan Kumpulan Shapadu yang diadakan selama tiga hari.
28 Jan 23
437
TFCPLAY, Penanda Aras Baharu Kelab Bola Sepak
KUALA NERUS, 15 Januari - Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) muncul kelab bola sepak pertama di Malaysia memiliki platform penstriman perkhidmatan (service streaming) sendiri apabila melancarkan TFCPLAY, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abd Rasid Jusoh memaklumkan, TFCPLAY menyediakan sesuatu yang berbeza buat para peminat dan penyokong pasukan Terengganu FC untuk menyaksikan gergasi pantai timur itu secara lebih dekat dan eksklusif.
"Kita mahu mendekatkan peminat-peminat kepada pasukan, memberi kemudahan kepada ahli untuk mendapatkan sesuatu secara lebih eksklusif dari TFCSB.
"Saya yakin dan percaya, dengan gerak kerja dibuat oleh pasukan kita bahawa kandungan yang dimuat naik dalam TFCPLAY amat menarik.
"Contohnya kita ada filem yang tidak pernah disiarkan di mana-mana dan sesuai dengan kehendak peminat serta dokmentasi pasukan yang menarik perhatian penyokong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan TFCPLAY di pejabat TFCSB, hari ini.
Tambahnya, TFCPLAY juga menawarkan harga yang kompetitif iaitu RM7 bagi langganan sebulan dan RM60 untuk langganan setahun.
"Harga yang murah dengan kandungan lebih besar dan menarik akan bermula dari persediaan pasukan sewaktu pra-musim 2023 ini," katanya.
15 Jan 23
354
TDM Kekal Taja TSG
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri (GLC) mengekalkan nilai tajaan bernilai RM500,000 bagi musim 2023 kepada pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).
Pengarah eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, prestasi dan kejayaan TSG yang cemerlang dalam menakluki pelbagai kejohanan di seluruh dunia memberi keyakinan kepada Kumpulan TDM untuk mengekalkan penajaan bagi musim ini.
“Pencapaian pasukan TSG yang diurustadbir oleh Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) amat membanggakan apabila pada musim 2022, pasukan TSG sekali lagi dinobatkan sebagai juara Jelajah Asia UCI, kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional serta kedudukan ke-3 pasukan Benua Dunia UCI.
“Terkini, TSG telah berjaya memenangi jersi merah selaku Raja Bukit serta jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Terbaik Asia Le Tour de Langkawi edisi ke-26 Oktober 2022.
“Kejayaan ini menjadi kebanggaan kepada kami sebagai penaja dan sebagai tanda sokongan kepada pasukan yang diurus tadbir oleh 90 peratus anak kelahiran Terengganu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa penglibatan TDM bersama-sama bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) keterujaan dalam bekerjasama dengan entiti besar seperti TSG.
“Kolaborasi ini penting bagi mengetengahkan produk-produk baru atau sedia ada sebagai pelaburan strategik dalam membawa jenama TDM dan KMI Healthcare di dalam Malaysia seterusnya dapat dikembangkan sehinggga ke persada antarabangsa,” tambahnya.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG bagi musim 2023 dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM11 juta.
15 Jan 23
346
Velodrom Azizulhasni Bakal Diuji
KUALA NERUS, 14 Januari - Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun yang telah siap dibina bakal diuji, Isnin ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelumba dari Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan bekerjasama untuk pandu uji tersebut.
"Ini bagi memastikan velodrom berkenaan benar-benar selamat atau tidak untuk digunakan nanti.
"Dari sini (pandu uji), kita akan buat 'marking' di tempat-tempat tertentu yang memerlukan pembaikan dan sebagainya.
"Kita harap selepas itu, kita akan dapat menggunakan velodrom itu sepenuhnya untuk rakyat Terengganu berbasikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta 5km International Fun Walk For Peace sempena Hari Keamanan Bangsa-bangsa Bersatu 2023 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah JBSNT, Mohd Izwandy Ismail yang hadir sama dalam program itu menjelaskan, buat masa ini pandu uji berkenaan dijalankan secara tertutup bagi mengenalpasti keperluan dan penyelesaian kepada masalah-masalah yang mungkin timbul.
14 Jan 23
334