lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

1000 Sertai Kayuhan Basikal Minggu Al-Quds
1000 Sertai Kayuhan Basikal Minggu Al-Quds
KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Seramai 1,000 peserta telah menyertai Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' sempena Minggu Al-Quds 2023 bagi menunjukkan solidariti terhadap isu berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu merupakan salah satu pengisian dalam menyambut Minggu Al-Quds pada tahun ini. Ujarnya, kesungguhan kerajaan negeri dalam menganjurkannya untuk mengajak seluruh rakyat menzahirkan solidariti terhadap negara seluruh umat Islam itu, serta menanam perasaan untuk membebaskannya daripada cengkaman Zionis Yahudi. "Sebagaimana kita tahu Palestin merupakan negara yang dimiliki oleh umat Islam, walaupun kita tidak berada di sana, apa-apa yang berlaku kita mesti bertanggungjawab. "Jadi, ini merupakan inisiatif untuk kita menyampaikan mesej daripada rakyat Terengganu dan seluruh negara untuk sentiasa mempertahankannya daripada sebarang anasir yang ingin menghancur dan memusnahkan bumi umat Islam," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmiaan program berkenaan, di Dataran Awam Batu Burok, di sini, hari ini. Kesemua peserta telah menyempurnakan kayuhan membabitkan jarak 18 kilometer bermula di Dataran Batu Burok dan melalui Jambatan Angkat ke Masjid Baru Seberang Takir serta kembali semula ke Dataran Batu Burok. Pada acara yang diadakan itu pelbagai hadiah cabutan bertuah telah disediakan bagi memeriahkan acara yang menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut disertai kaum cina.  
25 Feb 23
628
Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023
Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Pasukan Petai Bubus muncul 'Raja Sungai Terengganu' bagi sukan perahu panjang apabila menewaskan pasukan Mahkota Dewa Gedong (Tanjung Sabtu) dalam perlumbaan akhir di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Pasukan Petai Bubus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 manakala, Mahkota Dewa Gedong membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000. Sementara itu, Banggol Peradong di tempat ketiga turut menerima hadiah bernilai RM500. Perlumbaan sempena Festival Sukan Air Terengganu anjuran bersama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dan TTI itu menonjolkan antara sukan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat negeri persisir pantai itu sebagai salah satu acara dipertandingkan. Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak berkata, acara berkenaan menjadi pembukaan kepada Festival Air Terengganu yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad. "Kita sebagai pihak kerajaan negeri berharap sukan air ini akan lebih berkembang lagi. "Kita akan cuba menghidupkan aktiviti dan karnival seperti ini tambahan pula, air memang sinonim dengan Terengganu sebagai negeri persisir pantai. "Apa-apa sahaja berkaitan sukan air akan menjadi keutamaan kita untuk diberikan sokongan dalam apa jua bentuk," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara perahu panjang. Festival Air Terengganu memasuki hari kedua, hari ini akan menampilkan acara utama iaitu perlumbaan jet ski melibatkan lebih 40 pasukan seluruh negara. Sembilan kategori akan dipertimbangkan melibatkan dua jenis perlumbaan iaitu Cross Course dan Endurance. Selain itu, pertandingan memancing, perlumbaan perahu layar dan pelbagai acara sukan air turut diadakan.    
24 Feb 23
1748
Sukan Elektronik Terus Diberi Perhatian
Sukan Elektronik Terus Diberi Perhatian
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Pihak Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sejahtera Terengganu sentiasa komited menyediakan ruang dan platform kepada anak muda negeri ini dalam membangunkan Sukan Elektronik (E-Sport). Pengarahnya, Mohd Nasir Abdul Razab berkata minat anak muda terhadap E-Sport diberikan perhatian khusus dalam merancakkan pembangunannya serta berusaha bagi memperkasakannya. "Kecenderungan belia di negeri ini terhadap E-Sport ini perlu diberikan perhatian yang serius tidak boleh dipandang biasa-biasa. "Kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak muda kita ini kerana mereka telah menunjukkan prestasi yang sangat luar biasa di Sukan Malaysia (SUKMA) malah kita juga mempunyai wakil di peringkat Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA). "Kerana itu kita memberikan sokongan sepenuhnya dan meneruskan penganjuran Karnival E-Sport Belia Terengganu yang dikelolakan oleh UBSNT melalui kerjasama pelbagai pihak untuk kita terus memperkasakannya serta mencungkil bakat-bakat baru," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui UPDI, ketika hadir pada program berkenaan, di Terengganu Trade Centre, di sini hari ini. Mengulas lanjut katanya, pada tahun ini merupakan Kali ketiga Karnival itu dianjurkan dengan mendapat penyertaan yang sangat mengalakkan daripada 400 peserta dari semua daerah menyertainya. "Karnival ini akan diadakan selama dua hari, hari ini pembukaanya telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. "Dalam meraikan minat anak muda ini juga kita telah bekerjasama dengan Persatuan E-Sport Terengganu, di mana selepas ini akan ada penganjuran yang lebih besar lagi akan diadakan oleh persatuan tersebut. "Di peringkat Kerajaan negeri, akan sentiasa memberikan sokongan penuh dalam setiap perkara yang mendatangkan kebaikan untuk pembangunan belia di negeri ini," ujarnya.  
24 Feb 23
281
THT Kukuh Kedudukan Di Persada Liga
THT Kukuh Kedudukan Di Persada Liga
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengekalkan kelebihan jaringan untuk menang tipis 2-1 ke atas skuad projek remaja kebangsaan, Young Tiger (YT) pada perlawanan ketujuh Liga Hoki Malaysia (MHL), semalam. Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, anak-anak buah Seo Jongho selesa di depan seawal minit kedua apabila Jang Jonghyun menjaringkan gol pendahuluan menerusi pukulan sudut penalti. THT terus melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-8, hasil gerakan solo Muhammad Marhan Mohd Jalil setelah menerima umpanan Mohd Faizal Saari. Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain-pemain kendalian Muhammad Amin Rahim mula menggasak untuk merapatkan kedudukan. Seminit kemudian, Young Tiger berjaya mengurangkan jurang setelah Perabu Tangaraja menyumbat gol pertama pasukannya menerusi pukulan sudut penalti. YT kekal menguasai permainan sehingga siren separuh masa pertama dibunyikan, namun kedudukan kekal 2-1. Memasuki babak kedua, YT lebih dahulu mengancam gawang tuan rumah, bagaimanapun pukulan sudut penalti yang diperolehi tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan. THT lebih banyak menerima asakan pada separuh masa kedua tetapi masih berhasil melakukan serangan berbahaya ke gawang pelawat. Perlawanan ini menyaksikan kedua-dua penjaga gol iaitu Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri (THT) dan Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal (YT) mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan gawang masing-masing. YT nyaris-nyaris menyamakan kedudukan apabila memperoleh beberapa pukulan sudut penalti pada minit-minit akhir perlawanan. Bagaimanapun, THT berjaya mempertahankan kelebihan satu jaringan sehingga masa penamat. Kemenangan 2-1 menyaksikan pasukan kebanggaan Terengganu itu kekal di persada liga selepas tujuh perlawanan 19 mata. THT akan kembali bertemu YT dalam aksi pusingan kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.        
23 Feb 23
530
ATM Jadi 'Lauk' THT
ATM Jadi 'Lauk' THT
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Selepas berpesta gol membelasah TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 8-1, Sabtu lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi tampil garang di laman sendiri dengan mencatat kemenangan 5-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini. Anak-anak buah Seo Jongho tidak menunggu lama untuk meledak gol pertama. Bermula dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-5, pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jonghyun menyempurnakan hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk tuan rumah selesa di depan dengan kelebihan satu jaringan. Enam minit berselang, Jang melakukan hantaran jauh ke kubu lawan lalu disudahkan dengan sempurna oleh Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri untuk melebarkan kelebihan kepada 2-0. Ketinggalan dua jaringan, pelawat terus berkampung di kubu sendiri sebelum mencorak serangan ke kawasan THT. Namun, barisan pertahanan tuan rumah tenang mematahkan serangan-serangan yang datang. Memasuki minit ke-28, Mohammad Firdaus Omar berjaya merampas penguasaan bola daripada pertahanan lawan sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari melorongkan bola kepada Shello Silverius dalam kawasan D lawan untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol ATM, Mohd Khairul Afendy Kamarulzaman. Pemain kebangsaan itu tenang menggelecek penjaga gol sebelum menjaringkan gol ketiga perlawanan untuk THT sebelum separuh masa pertama ditamatkan. Memasuki babak kedua, ATM berjaya merapatkan jurang jaringan melalui Mohammad Amirul Hanis Abdul Aziz hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-37. Perlawanan di babak kedua lebih seimbang antara kedua-dua pasukan dengan lebih banyak bertukar ancaman ke gawang lawan. Pada minit ke-55, satu lorongan deras Muhammad Arif Syafie Ishak dari kawasan tengah berjaya dikuis Shello untuk gol keempat The Turtle. Tiga minit kemudian, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari melengkapkan petang gemilang untuk THT apabila melakukan gerakan solo melepasi dua pertahanan sebelum melakukan pukulan deras untuk jaringan terakhir perlawanan.  THT kini mengungguli puncak liga dengan 16 mata selepas enam perlawanan, meninggalkan Maybank di tangga kedua dengan perbezaan satu mata.  
21 Feb 23
1793
Liridon, Habib 'Hilang' Aksi Sumbangsih
Liridon, Habib 'Hilang' Aksi Sumbangsih
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Tonggak tengah pasukan Terengganu FC, Habib Haroon bakal terlepas aksi Piala Sumbangsih 2023, pada 24 Februari ini apabila disahkan mengalami kecederaan hamstring oleh pengendali pasukan Tomislav Steinbruckner. "Habib Haroon cedera sebelum perlawanan terakhir di Bangkok dan perkembangan terbaru menyatakan Habib akan berehat minimum selama dua minggu, ini menyebabkan dia tidak dapat bermain dua perlawanan terawal menentang Johor DT dan Kedah Darul Aman FC. "Untuk perlawanan seterusnya, kita akan lihat nanti.  "Manakala, Faiz Nasir sudah tiga empat minggu tidak bersama kami kerana masalah keluarga, itu sahaja. Bagaimanapun, Faiz sudah mula turun berlatih dengan melakukan program latihan individu semalam," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Black and White Day Terengganu Football Club 2023 di Dataran Shahbandar yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini. Menurut Tomislav, kemasukan pemain tengah naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi bakal mengukuhkan 'kemudi tengah' pasukannya. "Sebelum ini, saya juga ada minta CEO Terengganu FC datangkan pemain tengah menyerang seperti Liridon kerana kita perlu tingkatkan kemampuan serangan. "Jadi, saya harap beliau dapat menjadi salah satu tonggak pasukan kami terutama dalam mencipta peluang dan kadang-kadang menjaringkan gol dan saya mengharapkan aksi lebih baik dari beliau," katanya. Tambahnya, Liridon tidak akan bermain dalam aksi Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super kerana persetujuan yang dicapai dalam kontrak pinjaman pemain itu antara pasukan Johor DT dan Terengganu FC. Tomislav kini dalam fasa terakhir dan sudah memiliki senarai kesebelasan utamanya untuk aksi liga nanti.  "Ya, saya sudah ada pemain utama ketika ini, tetapi kita ada satu minggu lagi sebelum bertemu Johor DT, kami akan menentang kelab divisyen ketiga (Liga M3), Persada Integriti Bersatu (PIB FC) dalam aksi pra musim terakhir esok, apa sahaja boleh berlaku jika dilihat kepada kecederaan dan lain-lain. "Kadang-kadang ketika saya tidak berpuas hati dengan satu-satu pemain, saya akan melakukan rombakan ketika itu, tetapi sekarang saya ada senarai pemain utama dan saya harap kita akan dapat hasil terbaik dalam perlawanan (Piala Sumbangsih) itu," katanya.  
17 Feb 23
760
Siapa Ganti Woodland?
Siapa Ganti Woodland?
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak menolak kemungkinan menambah pemain import dalam pasukannya selepas tular kelab berkenaan melepaskan pemain kebangsaan Filipina, Luke Zantua Woodland dengan persetujuan bersama, baru-baru ini.  Namun menurutnya, perkara itu bergantung kepada kemampuan pasukan pemantau bakat Terengganu FC berdepan kekangan masa dalam jendela perpindahan kali ini. "Kini kami ada masa beberapa hari lagi, masa yang singkat untuk memilih beberapa pemain, mungkin pemain kuota asean dan pemantau bakat kami perlu bertindak pantas untuk membawa seseorang ke sini.  "Saya harap saya sentiasa ada seseorang (pemain pilihan) tetapi, ia terlalu sukar untuk membawa pemain dari Eropah tambahan pula, pemain-pemain yang bagus sudah ada kontrak, mungkin kita akan tunggu tengah atau hujung musim. Pada Jun (jendela perpindahan kedua) nanti, kami perlu meneliti dan boleh membuat analisis dalam masa beberapa bulan ini sebelum kami memutuskan untuk menambah atau membawa pemain baru," katanya ketika ditemui pemberita selepas Black and White Day Terengganu Football Club 2023 di Dataran Shahbandar, hari ini. Dalam majlis yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Terengganu FC melancarkan jersi utama berwarna putih bertemakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai 'kubu keramat' pasukan serta jersi kedua berwarna hijau membawa tema sosio ekonomi utama negeri Terengganu iaitu perlombongan petroleum. Kedua-dua jersi berkenaan dijual pada harga RM129 dengan jualan bermula hari ini.     
17 Feb 23
174
Jaringan Akhir Maybank Nafi Cengkaman THT
Jaringan Akhir Maybank Nafi Cengkaman THT
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pasukan hoki Terengganu (THT) gagal merampas kedudukan teratas Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila sekadar seri 2-2 dengan pendahulu, Maybank pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini hari ini. Beraksi dalam suasana hujan lebat, kelebihan bermain di halaman sendiri tidak berjaya dimanfaatkan pasukan apabila pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan. Tuan rumah terlebih dahulu mencetak gol menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari, hasil hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-17 untuk THT mendahului 1-0. Maybank yang bermain secara selamat sejak awal perlawanan cuba mencipta rangkaian serangan bagi menyamakan kedudukan. Hujan semakin lebat menyebabkan permukaan padang semakin licin dan menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan serangan. Pada minit terakhir separuh masa pertama, Maybank berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Izham Azhar untuk kedudukan terikat 1-1 sebelum permainan dihentikan. Bersambung babak kedua, Mohd Fitri Saari hampir meletakkan THT kembali di depan seawal permainan dimulakan, bagaimanapun pukulan derasnya berjaya ditampan penjaga gol Maybank, Muhammad Aidil Md. Shah. Tuan rumah meningkatkan momentum serangn memasuki suku terakhir perlawanan untuk mencuri tiga matadalam perlawanan tersebut. Pada minit ke-51, pertahanan Maybank Muhammad Syawal Abd Razak dilayangkan kad kuning memberi peluang THT menggandakan asakan. Tiga minit kemudian, hantaran lintang Syarman Mat Tee disudahkan Fitri dengan satu pukulan deras menewaskan Muhammad Aidil.   Berbaki enam minit, THT cuba memperlahankan permainan dalam cuaca hujan yang semakin lebat. Namun, ketika perlawanan hampir menjadi milik The Turtle, Maybank berjaya mencetak gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan, hasil jaringan pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim. Perlawanan antara kedua-dua pasukan teratas liga itu berkesudahan seri 2-2 dengan kedua-duanya berkongsi sepuluh mata dan Maybank kekal di tangga teratas di atas kelebihan perbezaan jaringan.        
16 Feb 23
695
TLHT-MSNT Gagal Jelma Kebangkitan
TLHT-MSNT Gagal Jelma Kebangkitan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Jaringan Fazila Sylvester Silin menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-46 gagal menyuntik semangat Pasukan Hoki  Wanita Terengganu (TLHT-MSNT) untuk bangkit mengutip mata apabila tewas 1-2  kepada Young Tigress dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, semalam. Bermain di laman sendiri, gandingan pemain muda dan berpengalaman TLHT-MSNT mempamerkan aksi kurang meyakinkan menentang skuad projek remaja kebangsaan itu. Pelawat turut mengejutkan tuan rumah dengan mendahului menerusi pukulan ‘reverse’ Siti Nur Irdina Mohd. Nor pada minit ketujuh. Ypung Tigress semakin garang selepas pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin meledak gol kedua pelawat hasil percaturan bijak dalam pukulan sudut penalti. Memasuki babak kedua, TLHT-MSNT berjaya mengurangkan tekanan untuk bangkit dengan gol pukulan sudut penalti Fazila untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2. Bagaimanapun, kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah dibayangi kecemerlangan penjaga gol pelawat, Fitrinur Amiera Ramlee. Kekalahan 2-1 itu meleburkan hasrat anak-anak buah Mohd Shahrun Nabil Abdullah untuk mengekalkan kedudukan teratas Liga Hoki Wanita Malaysia.      
16 Feb 23
349
THT Juara Piala Sumbangsih 2023
THT Juara Piala Sumbangsih 2023
KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengekalkan rekod sebagai juara Piala Sumbangsih 2023 dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 sebentar tadi. Kemenangan THT tercipta apabila menumpaskan seteru utama, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jaringan 4-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.  Seawal minit ke-14, TNB terlebih dulu mendahului permainan apabila Azrai Aizad berjaya menampan masuk bola ke dalam gawang gol THT menewaskan penjaga gol kebangsaan, Hafizuddin Othman.  The Turtle kemudian memanfaatkan peluang bermain dengan 10 pemain TNB sehingga ketua pasukan, Fitri Saari berupaya menyamakan kedudukan dengan pukulan ‘high reverse’ pada minit ke-20.  Permainan separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan seri 1-1.  Dua minit selepas suku ketiga bermula, TNB tidak perlu menunggu lama menambah jaringan apabila Syed Syafiq menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan Hafizuddin.  Namun, THT pantas menyamakan jaringan 2-2 melalui pakar sudut penalti Korea, Jang Jonghyun di saat seorang pemain TNB dilayangkan kad kuning.  Memanfaatkan 11 lawan 10, THT menambahkan derita TNB melalui jaringan gol padang oleh Shello Silverius apabila berjaya menampan pukulan Marhan Jalil menjadikan jaringan 3-2. Pengadil terpaksa menghentikan perlawanan seketika berikutan hujan lebat di Stadium Hoki Nasional sehingga reda.    Usai permainan diteruskan, pemain TNB Amirul Hamizan merapatkan kedudukan dengan kedudukan 3-3 melalui ‘setpiece’ daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-69.  Jang menjadi wira The Turtle apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit sebelum perlawanan ditamatkan menjadikan jaringan 4-3 kekal sehingga wisel ditiup.  THT memulakan musim dengan langkah kanan apabila mengekalkan Piala Sumbangsih sekali gus mengutip tiga mata bagi permulaan musim 2023.
09 Feb 23
968