Artikel "Sukan" Terkini
Sultan Terengganu Sertai 'RTES Endurance Ride' May 2023
SETIU, 13 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai RTES Endurance Ride May 2023, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), di sini hari ini.
Baginda yang memakai jersi nombor sembilan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), berlumba dalam kategori Championship Endurance National (CEN) 80km bersama 20 peserta lain.
Pelepasan perlumbaan tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada jam 5.00 petang tadi, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Selain itu, turut dipertandingkan adalah CEN 40km melibatkan seramai 50 pelumba.
Kejohanan kali ini juga disertai kira-kira tujuh pelumba antarabangsa iaitu satu pelumba dari Belarus, Great Britain(1), Jerman (3), Singapura (1) dan Indonesia (1).
Berlangsung sejak semalam dengan ketibaan para pelumba, RTES Endurance Ride May 2023 memulakan perlumbaan hari ini dan akan berakhir pada esok.
13 May 23
468
Pelajar Politeknik Dungun Gondol Emas di Sukan SEA
DUNGUN, 12 Mei- Muhammad Izzul Irfan Marzuki, 22, pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang mewakili Malaysia di Sukan SEA Ke-32 Kemboja 2023 telah berjaya mengharumkan negara dengan mengondol pingat emas.
Pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) itu telah menyumbang pingat emas ketiga buat kem Malaysia bagi acara silat Kelas D Putra (bawah 65 kilogram) setelah menewaskan pesilat dari Indonesia.
Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, YBrs Puan Hajah Zamra Derahman merakamkan ucapan tahniah kepada beliau bagi mewakili seluruh warga PSMZA.
"Kami rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai, syabas dan tahniah diucapkan. Teruskan kecemerlangan, semoga menjadi pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain, " katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat PSMZA hari ini.
Sementara itu, Izzul anak kelahiran Banggol Tuan Muda, Manir, berterima kasih diatas ucapan tahniah yang diberikan dan sokongan yang diberikan.
"Saya mohon doakan supaya saya terus cemerlang dalam pelajaran dan sukan," ujarnya dengan rasa terharu.
12 May 23
494
Terengganu Inc Taja Hakim Danish
KUALA TERENGGANU, 30 April – ZK Racing mengumumkan bahawa Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menaja pelumba cilik dari Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli untuk saingan musim ini.
Penajaan ini melibatkan perbelanjaan Hakim Danish di dalam Kejohanan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan juga Kejuaraan European Talent Cup.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata keputusan itu dibuat kerana melihat potensi yang sentiasa ada dalam diri Hakim Danish serta keazamannya untuk berjaya.
Katanya, kejayaannya itu akan membawa kebanggaan kepada rakyat Terengganu dan Malaysia sekali gus mengharumkan nama negara.
“Terengganu Inc percaya dengan membina hubungan melalui sukan ini dapat membawa perubahan positif kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Dalam pada itu, Hakim Danish meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih diatas penajaan tersebut.
“Saya akan terus memberikan yang terbaik dari segi prestasi diri dan motivasi untuk melangkah lebih tinggi dan berjaya dalam karier saya,” ujarnya.
Red Bull MotoGP Rookies Cup ialah siri perlumbaan motosikal yang dipertandingkan bagi penunggang muda tidak berpengalaman dalam Grand Prix motosikal.
Untuk makluman, Hakim Danish merupakan pelumba negara pertama yang mencipta sejarah setelah menjuarai Kejuaraan Asia Talent Cup sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2014.
30 Apr 23
732
Rekod Tanpa Kalah di Laman Sendiri ‘Lebur’
KUALA NERUS, 27 April - Terengganu Football Club (TFC) terpaksa menerima kekalahan pertama di laman sendiri menentang Sri Pahang FC 1-2 malam ini dalam Perlawanan Liga Super ke-10 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner kali ini mempertaruh tiga tonggak penyerang sebaris dalam kesebelasan utama; Jordan Mintah, Ivan Mamut dan Aadisak Kraisorn dalam misi mendapatkan gol awal.
TFC memulakan aksi dengan baik apabila Ivan Mamut berjaya melakukan ‘free header’ ke gawang gol lawan seawal minit ke-12 namun dinafikan penjaga Gol Sri Pahang, Izham Tarmizi.
Skuad The Turtle terus bertindak garang apabila beberapa siri percubaan tepat berjaya disasarkan namun masih buntu mendapatkan jaringan awal.
Namun, pada minit ke-30 bekas penyerang TFC, Kpah Sherman terlebih dahulu meletakkan pasukannya di hadapan apabila berjaya meledak gol pertama buat Tok Gajah.
Sembilan minit kemudian, usaha keras pasukan TFC menyusun strategi akhirnya membuahkan hasil apabila Ivan Mamut berjaya sempurnakan hantaran daripada penyerang utama Thailand, Aadisak Kraisorn bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua bermula dengan kemasukan Sony Norde dan Syafiq Ismail, sekali gus menjadikan permainan TFC lebih rancak mendapatkan gol tambahan.
Terengganu FC ibarat serba tidak menjadi apabila banyak siri hantaran tidak disudahi dengan cetakan jaringan.
Lebih malang buat TFC apabila Sri Pahang FC berjaya mendapatkan gol pendahuluan melalui Azam Azih yang merembat daripada luar kotak penalti pada minit ke-68.
Perlawanan kekal 2-1 Sri Pahang FC mengatasi TFC walaupun beberapa taktikal serangan digerakkan namun gagal mendapatkan sebarang jaringan.
TFC kini jatuh ke tangga kelapan selepas kalah di laman sendiri dan bakal bertandang ke bumi Borneo menentang Sabah FC 19 Mei nanti.
28 Apr 23
179
Piala FA: TFC 'Ratah' Melaka
KUALA NERUS, 15 April – Terengganu FC (TFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila menundukkan Melaka FC 4-0 pada aksi Piala FA, malam tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan pertamanya dalam saingan Piala FA pada musim ini.
Pada aksi tersebut, TFC tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-4 menerusi penyerang import, Ivan Mamut yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk TFC mendahului 1-0.
TFC yang bermula garang itu terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan, namun pada minit ke-34 percubaan Ivan Mamut berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Muhammad Daniel.
Bersambung babak kedua, skuad tuan rumah hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-57 apabila rembatan Muhammad Safwan diselamatkan penjaga gol lawan hasil hantaran cantik Arif Fadzilah.
Pada minit ke-70, Stadium Sultan Mizan kembali bergema apabila Mohamad Hakimi berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan padu dari dalam kotak penalti membolosi pintu gol pelawat.
Berselang 12 minit, Jordan Mintah menggamatkan sorakan lebih 5,000 penyokong tuan rumah dengan gol ketiga Terengganu FC melalui umpanan cantik pemain tengah, Omid Nazari.
Memasuki masa tambahan, Jordan terus menambah derita Melaka FC apabila melengkapkan gol keempat bagi memastikan kemenangan bergaya 4-0 memihak TFC.
14 Apr 23
398
Terengganu FC Belasah Kelantan FC
KUALA NERUS, 4 April- Terengganu FC mudah membenam Kelantan FC dengan jaringan 5-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Pada aksi 'derbi Pantai Timur' yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Tomislav Steinbruckner menurunkan Argzim Redzovic bagi mengetuai benteng pasukan menggantikan Sardor Kulmatov yang digantung perlawanan.
Seawal minit pertama, tuan rumah beraksi dengan corak serangan pantas mengancam kubu pelawat.
Memasuki minit ke-15, Jordan Mintah yang menerima hantaran daripada Syafiq Ismail di luar kotak penalti melakukan rembatan deras menggegar gawang Kelantan FC untuk gol pertama Terengganu FC.
Enam minit kemudian, Sang Penyu semakin garang apabila menjarakkan kedudukan dengan gol kedua perlawanan.
Kali ini, penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn melakukan rembatan leret dari jarak 20 meter yang menewaskan penjaga gol The Red Warrior, Nik Mohd Amin Ahmad.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pelawat meningkatkan momentum serangan untuk merapatkan kedudukan.
Pada minit ke-24, Nurshamil Abd Ghani mendapat peluang untuk menjaringkan gol pertama pasukannya, tetapi sepakannya melambung tinggi.
Kedudukan kekal 2-0 pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Terengganu FC memulakan pesta gol apabila Ivan Mamut dijatuhkan Muhammad Afiq Azuan dalam kotak penalti pada minit ke-64.
Seminit kemudian, penyerang kelahiran Croatia itu mencetak gol pertama peribadinya musim ini setelah menyempurnakan penalti untuk gol ketiga Sang Penyu.
Kelantan FC cuba bangkit untuk mencipta jaringan dengan serangan demi serangan ke gawang tuan rumah, namun tidak berhasil.
Sebaliknya, pada minit-minit akhir perlawanan, Ivan yang menerima umpanan Hakimi Abdullah berjaya meledak gol keempat perlawanan.
Seminit kemudian, serangan balas Terengganu FC disempurnakan Hakimi untuk tuan rumah selesa dengan keputusan 5-0.
Terengganu FC kini mengumpul 10 mata daripada tujuh perlawanan dan kekal di tangga keenam Liga Super Malaysia 2023.
04 Apr 23
525
Terengganu FC Lega Pertahan Tiga Mata
KUALA NERUS, 1 April- Pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) mendaki 2023 ke tangga keenam Liga Super Malaysia hasil kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan United FC, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan kedua selepas permulaan hambar musim ini.
Seawal minit kelima, tuan rumah sudah di depan hasil jaringan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi setelah menerima umpanan Muhamad Azam Azmi Murad dalam kotak penalti pelawat.
Tiga minit kemudian, anak-anak buah Tomas Trucha cuba menyamakan kedudukan, namun rembatan Victor Silva berjaya ditepis keluar Mohd Suhaimi Husin.
Perlawanan berlangsung perlahan dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan banyak bermain di kawasan tengah.
Pada minit ke-27, Jordan Mintah menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC.
Bermula dari hantaran lintang Syafiq Ismail, pemain kelahiran Ghana itu menanduk masuk bola menggegarkan gawang Muhammad Ilham Amirullah Razali untuk gol pertamanya musim ini.
Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Kelantan United FC mencipta beberapa peluang seawal babak kedua bersambung untuk merapatkan jurang jaringan.
Pada minit ke-51, Devid de Santana yang menerima umpanan di dalam kotak penalti cuba mengatasi Suhaimi tetapi tidak berjaya.
Tiga minit kemudian, Abdul Latif Suhaimi berpeluang meledak jaringan, namun tandukannya tersasar.
Pada minit ke-56, Terengganu FC menyerang kubu pelawat tetapi rembatan kencang dari jarak 20 meter oleh penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut diselamatkan palang gol.
Memasuki minit ke-75, pemain sayap Filipina, Jose Elmer Porteria memecah kebuntuan jaringan Kelantan United FC dengan rembatan dari jarak 20 meter untuk merapatkan jurang kepada 1-2.
Kelantan United FC cuba menyamakan kedudukan bagi mencuri satu mata dari Gong Badak, namun tiada jaringan tambahan terhasil.
Kemenangan tersebut memastikan Terengganu FC menghuni kelompok enam teratas dengan tujuh mata dari enam perlawanan.
Terengganu FC akan melayan kunjungan satu lagi pasukan dari Kelantan, Kelantan FC pada Selasa depan.
31 Mar 23
353
Mohamad Nur Aiman Dinobat Olahragawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Pelumba Pasukan Terengganu Polygon Cycling Club (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Terengganu dalam Anugerah Sukan Terengganu (AST) bagi tahun 2021/2022.
Aiman menewaskan saingan dari senarai akhir pencalonan iaitu Muhammad Shahrul Aimy Kamaru Hisham (Gimnastik), Khairul Anuar Mohamad (Memanah), Zulfikri Zulkifli (Berbasikal) dan Muhammad Izzuddin Abdul Rani (Pelayaran) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, Piala Pusingan dan jaket (blazer) khas serta piala iringan bersama sijil kepujian.
Pelumba berusia 27 tahun itu pernah melakar sejarah menjadi pelumba tempatan pertama meraih jersi merah, Raja Bukit ketika edisi 2020 bersama pasukan Sapura Cycling (TSC) serta meraih pingat emas di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.
Dalam majlis yang berlangsung semalam, penghargaan disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja kepada ibunya, Suzila Rifin berikutan Aiman kini berada di Sepanyol menjalani latihan sebulan bersama TSG.
"Saya memohon maaf kerana tidak dapat hadir.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak TSG yang telah memberi ruang kepada saya untuk memenangi anugerah ini, tidak lupa juga kepada keluarga yang banyak menyokong, kejayaan ini juga memberikan saya semangat untuk lebih bermotivasi pada masa akan datang," katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan.
Selain Aiman, Anugerah Olahragawati Negeri turut menonjolkan muka baharu apabila dimenangi atlet Karate, Siti Nur Azwani Nor Azli.
Gadis kelahiran Kuala Terengganu itu seakan-akan tidak percaya berjaya mengenepikan saingan Siti Rahmah Mohamed Nasir (Pencak Silat), Nur Aisyah Mohamad Zubir (Berbasikal) dan Azreen Nabila Alias (Olahraga).
"Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.
"Terima kasih mama, papa, jurulatih dan rakan sepasukan, Insya-Allah dengan apa yang saya dapat hari ini, saya akan lebih bersemangat menggalas tugas demi negara," kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi itu.
Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja turut mengucapkan tahniah kepada kesemua pemenang AST tahun ini.
"Majlis ini adalah maniefestasi dalam menzahirkan komitmen kerajaan negeri bagi melahirkan pengiktirafan kepada semua atlet dan pemimpin-pemimpin sukan atas jasa mereka menaikkan nama Terengganu di persada sukan tanah air.
"Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha menjadikan Terengganu sebagai kuasa utama dalam bidang sukan walaupun terpaksa melalui satu proses yang panjang dan memerlukan dana yang besar. Kerajaan negeri melihat sukan sebagai satu bidang penting untuk diberikan keutamaan sewajarnya.
"Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri sedaya upaya cuba memenuhi keperluan pembangunan kecemerlangan sukan berprestasi tinggi ini dengan kemampuan yang ada," katanya dalam ucaptama AST di Wisma Darul Iman, semalam.
21 Mar 23
694
Kesom Che Nordin Fc Julang Piala Ahli Parlimen Kuala Nerus
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Pasukan Kesom Che Nordin Fc muncul johan pada Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB Ahli Parlimen Kuala Nerus 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Manakala, pasukan Tanjung Sabtu Fc meraih Naib Johan dan tempat ketiga bersama ialah pasukan Banggol Homestay FC dan pasukan Batu 6 FC.
Johan menerima RM5,000 beserta piala dan pingat, naib johan RM3,000 beserta pingat dan tempat ketiga bersama pasukan menerima RM1,500 beserta pingat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada barisan jawatankuasa pelaksana yang telah berusaha menjayakan kejohanan ini.
“Semangat juang yang tinggi dan berpasukan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan wajar dipuji setelah kedua-dua pasukan memberikan saingan yang sengit sehingga membawa kepada penentuan sepakan penalti.
“Apa yang lebih penting adalah objektif penganjuran kejohanan ini iaitu sukan menyatukan kita semua,” katanya.
20 Mar 23
452
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
KUALA LUMPUR, 19 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023, malam tadi.
Aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu berlangsung hangat seawal minit pertama dengan kedua-dua pasukan rancak berbalas serangan.
Pada minit ke-20, THT berjaya mendahului TNB dengan gol pertama menerusi jaringan Faizal Saari.
Bermula dari serangan balas digerakkan Syarman Mat Tee kepada Abdul Khaliq Hamirin, Ismail Abu kemudian melorongkan bola kepada Faizal yang menewaskan dua pertahanan sebelum melakukan tolakan melepasi penjaga gol lawan.
Dua minit kemudian, The Turtles hampir mencipta jaringan kedua, namun Muhammad Abid Sufian yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol gagal menyempurnakannya.
Keputusan kekal 1-0 sehingga siren dibunyikan.
Bersambung babak kedua, TNB beraksi lebih pantas dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya.
Mujur ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman menafikan semua percubaan TNB.
Pada minit ke-43, TNB dihadiahkan tiga pukulan sudut penalti (PC) berturut-turut sebelum Muhammad Azrai Aizad menyudahkan flick Syed Muhammad Syafiq dengan tampanan tinggi melepas benteng THT untuk gol penyamaan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, THT menggandakan asakan ke kubu TNB, namun Mohammad Hairi Abdul Rahman 'kebal' menjaga gawangnya.
TNB mendebarkan penyokong Terengganu setelah mendapat peluang daripada enam mata PC berturut-turut, bagaimanapun benteng THT mampu bertahan sekalipun Firdaus terpaksa dikeluarkan akibat cedera.
Lapan minit sebelum masa penamat, THT memperolehi PC ketiga dalam perlawanan dan Jang Junghyun meletakkan nama sebagai penjaring kedua pasukan untuk THT mendahului 2-1.
TNB cuba bangkit bagaimanapun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sekaligus menyaksikan THT menjulang Piala TNB 2023 setelah memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia musim ini.
Dalam perlawanan tersebut, Faizal dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, manakala Hafizzudin memenangi gelaran penjaga gol terbaik.
18 Mar 23
878