Artikel "Sukan" Terkini
Isu Pengadil: Aduan Terengganu FC Masih 'Tergantung'
KUALA NERUS, 15 Jun- Aduan Terengganu FC ke atas pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih yang mengendalikan perlawanan Liga Super pasukan itu menentang Johor DT, minggu lalu masih 'tergantung' sehingga hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Penilai masih belum bertemu untuk membincangkan isu tersebut.
Tambahnya, pihaknya bagaimanapun sentiasa memandang serius isu mutu pengadilan dalam liga- liga kelolaan Malaysian Football League (MFL).
"Daripada 100 peratus aduan yang dibuat kepada Jawatankuasa Pengadil, 60-70 peratus hasil siasatan memperlihatkan pengadil membuat keputusan yang betul.
"Hanya 30-40 peratus aduan, benar-benar kesalahan pengadil.
"Yang paling sedih, dalam 90 minit perlawanan, kadang-kadang dia mungkin hanya salah membuat keputusan dalam 'split second' sahaja, itu yang terjadi," katanya dalam sesi Townhall bersama Presiden FAM di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menurut Hamidin, FAM dan Jawatankuasa Pengadil berusaha keras mempertingkatkan kualiti serta mutu disamping memastikan lebih banyak pengadil lahir dari persatuan-persatuan bola sepak negeri.
"Saya faham, harapan peminat nak zero kesilapan, namun ia tidak mungkin berlaku.
"Tetapi untuk meningkatkan taraf dan mutu, kita sudah mula untuk mendapatkan teknologi Pembantu Pengadil Virtual (VAR) dan kita harap selewat-lewatnya dapat diaplikasikan pada musim hadapan," jelasnya.
Dalam program berkenaan, sekitar 150 wakil penyokong hadir mengajukan persoalan berkisar pembangunan akar umbi, isu keselamatan dan peraturan di stadium serta isu-isu semasa dalam liga kelolaan MFL.
16 Jun 23
258
Malaysia Robek Gawang Solomon Islands
KUALA NERUS, 14 Jun- Pasukan kebangsaan menang selesa 4-1, ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.
Sekalipun turun tanpa penyerang utama, Shahrel Fikri yang dilanda kecederaan, Harimau Malaya berjaya mencetak dua gol dalam setiap separuh masa dalam aksi penuh tenaga di hadapan lebih 12,000 penyokong yang hadir.
Anak-anak buah Kim Pan Gon bermula agresif seawal babak pertama dengan beberapa cubaan serangan ke kubu pelawat.
Pada minit kesembilan, Stuart Wilkin hampir menghasilkan jaringan pertama menerusi rembatan dari luar kotak penalti tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Solomon, Philip Mango.
Dua minit berselang, skuad kendalian pengendali dari Sepanyol, Felipe Vega-Arango mengejutkan tuan rumah apabila penyerang, Gagame Feni berjaya menggelecek melepasi pertahanan dan Ahmad Syihan Hazmi dalam satu serangan balas sebelum membuat hantaran lintang kepada Raphael Le'ai yang mudah menjaringkan gol pertama perlawanan.
Tersentak dengan gol awal, Harimau Malaya menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan.
Memasuki minit ke-40, satu hantaran lintang daripada Arif Aiman berjaya berjaya dikeluarkan pertahanan Solomon Islands sebelum Paulo Josue yang menerima bola muntah itu melakukan rembatan kencang untuk jaringan gol penyamaan.
Malaysia terus menggasak dan pada masa tambahan separuh masa pertama, Arif Aiman berjaya menyelinap masuk ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan pertahanan lawan.
Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Arif untuk mencetak nama sebagai penjaring gol kedua bagi skuad kebangsaan.
Bersambung babak kedua, pemain-pemain kebangsaan terus melancarkan serangan bertali arus untuk menggandakan jaringan.
Pada minit ke-76, Muhammad Safawi Rasid yang masuk menggantikan Arif, menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck di luar kotak penalti lawan.
Pemain sayap kelahiran Terengganu itu membuat 'turn' mengatasi pertahanan sebelum melakukan rembatan 'volley' menewaskan Philip Mango untuk gol ketiga tuan rumah.
Pada masa tambahan separuh masa kedua, Malaysia sekali lagi merobek gawang Solomon Islands menerusi rembatan Lee Tuck untuk gol terakhir perlawanan.
Malaysia akan bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun ini dalam perlawanan kedua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.
14 Jun 23
555
Lee Tuck Ajak Penyokong 'Rumbu' Stadium
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Pemain naturalisasi kebangsaan, Andrew Lee Tuck menyeru penyokong Harimau Malaya menggamatkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon, malam ini.
Bekas pemain tengah Terengganu FC itu turut berpendapat, penyokong dari Terengganu mempamerkan semangat dan sokongan hebat setiap kali perlawanan diadakan.
"Saya pernah menghabiskan banyak masa di sini , banyak memori yang indah tentang bandar dan stadium ini, jadi ia seperti biasa untuk bermain di sini dan saya bersyukur kami dapat bermain di sini," katanya ketika ditemui pemberita di Primula Beach Hotel, semalam.
Skuad Harimau Malaya, buat kali pertama pada dekad ini dijadualkan beraksi di Terengganu dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon yang berada di 'ranking' 134 dan Papua New Guinea (159) pada Selasa depan.
Sementara itu, pertahanan kebangsaan, La,Vere Corbin-Ong pula mengingatkan kehangatan yang disajikan setiap kali berkunjung ke kubu Terengganu FC itu dalam perlawanan liga.
"Saya teruja bermain di hadapan penyokong di Terengganu. Saya berharap dapat melihat seramai mungkin penyokong yang hadir dan kami akan cuba memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan ini," katanya.
Berdasarkan info dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), setakat jam 12.00 tengahari ini, hanya sebanyak 7,750 tiket terjual dan FAM menyeru para penyokong Harimau Malaya memenuhkan sokongan kepada pasukan kebangsaan malam ini.
14 Jun 23
187
Kim Pan Gon Puji Fasiliti Stadium Terengganu
KUALA NERUS, 13 Jun- Pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon memuji infrastruktur dan kemudahan disediakan Terengganu, khususnya melalui pengurusan Terengganu FC kepada pemain-pemain skuad Harimau Malaya.
Menurutnya, penetapan lokasi perlawanan persahabatan antarabangsa kali ini merupakan peluang untuk mengenali dan merasai suasana baru di Pantai Timur ini.
"Terima kasih Terengganu, kerana menyediakan kemudahan yang baik, padang yang baik dan pemain kami menikmatinya, terima kasih.
"Terengganu juga memiliki bandar yang cantik, makanan yang enak, tetapi kami tidak dapat menerokainya secara keseluruhan.
"Saya harap, kami dapat memberikan kemenangan untuk penyokong dan kami mencuba sebaik mungkin untuk mengekalkan kemenangan moral pasukan," katanya dalam sidang media pra-perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Solomon Island, hari ini.
Jurulatih dari Korea Selatan itu turut memandang serius pertembungan pertama menentang negara dari benua Oceania itu.
"Setiap satu perlawanan kami mahukan kemenangan, namun pencapaian dalam melaksanakan apa yang dirancang adalah lebih penting dari kemenangan tersebut.
"Terutamanya seperti yang saya katakan, disini bagaikan kubu kami, sesiapa pun yang datang kita akan menewaskan mereka.
"Ini adalah budaya bola sepak yang kita cuba ketengahkan," katanya.
Skuad Harimau Malaya akan melayan kunjungan Solomon Island, malam esok sebelum menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
13 Jun 23
3105
‘Selamat Datang Harimau Malaya ke SSMZA’ - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan kedatangan skuad Harimau Malaya ke Terengganu bagi aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Ahmad Samsuri menerusi hantaran di media sosial turut mengucapkan selamat datang kepada seluruh peminat bola sepak untuk berkampung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
“Selamat datang peminat dan pemain skuad Harimau Malaya ke bumi Terengganu Darul Iman sempena perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun (Rabu) dan Papua New Gunine pada 20 Jun (Selasa).
“Alhamdulillah, SSMZA, Gong Badak telah terpilih menjadi tempat perlawanan antarabangsa dan ini satu pencapaian bagi negeri kita,” katanya.
Tambah Ahmad Samsuri, usaha kerajaan negeri hari ini membaiki dan membaikpulih stadium ini sejak 2019 akhirnya mendapat pengiktirafan.
“SSMZA menjadi salah satu stadium terbaik yang ada di Malaysia hari ini. Welcome to SSMZA,” katanya. Kedua-dua perlawanan pasukan Malaysia akan berlangsung pada 9 malam bagi memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur menyaksikan aksi pasukan kebangsaan.
Skuad kendalian Kim Pan Gon yang mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada bulan lepas, mencatat kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya, tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja penggantian rumput pada masa ini
11 Jun 23
529
Dua Kad Merah Rencat Langkah Terengganu FC
KUALA NERUS, 9 Jun- Dua kad merah yang diterima pertahanan, Argzim Redzovic dan penyerang, Ivan Mamut merencatkan usaha Terengganu FC mengutip sebarang mata, apabila tewas tipis kepada pendahulu Liga Super Malaysia, Johor DT, malam ini.
Melayan kunjungan pasukan 'kebal' itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Tomislav Steinbruckner membuat kejutan apabila menyenaraikan pemain muda meningkat naik, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob sebagai penyerang utama.
Tuan rumah mendapat peluang mencetak gol awal menerusi Sony Norde pada minit ke-17, namun rembatannya dari jarak dekat melambung melepasi gawang.
Empat minit kemudian, Engku Shakir pula nyaris-nyaris menjaringkan gol, tetapi sekali lagi rembatan tersasar.
Pada minit ke-20, Johor DT yang melakukan serangan pertama berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusi Fernando Forestieri.
Bermula dari hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi, Forestieri melakukan sepakan gunting di luar kotak penalti yang menerjah jaring selepas situasi kelam-kabut dalam usaha pertahanan Terengganu FC mengeluarkan bola.
Tuan rumah bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan apabila Sony Norde menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 20 meter, lapan minit kemudian.
Perlawanan berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan bertukar-tukar serangan.
Namun, pada minit tambahan separuh masa pertama, Sony Norde didakwa melakukan terjahan ke atas Arif Aiman sekaligus menghadiahkan penalti kepada pelawat.
Penjaring terbanyak liga, Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti untuk Harimau Selatan berada di hadapan dengan jaringan 2-1.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu 'tempang' pada minit ke-52, apabila Argzim dilayangkan kad kuning kedua setelah dikesan melakukan terjahan keras ke atas Juan Muniz.
Sekalipun kekurangan seorang pemain, Terengganu FC terus bermain secara terbuka untuk mencari jaringan penyamaan.
Bagaimanapun, Terengganu FC sekali lagi dihukum pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih yang melayangkan kad merah kepada pemain gantian, Ivan Mamut pada minit ke-73.
Ivan yang masuk menggantikan Domagoj Pusic tidak sampai sepuluh minit sebelum itu, didakwa mengasari Muhamad Feroz Baharudin yang melakukan kekasaran ke atasnya terlebih dahulu semasa perebutan bola.
Bermain dengan sembilan pemain, tuan rumah lebih banyak bertahan di kubu sendiri dan melancarkan serangan balas dalam beberapa kesempatan.
Johor DT menguasai perlawanan dan berhasil menambah jaringan menerusi Endrick Dos Santos pada masa tambahan separuh masa kedua.
Perlawanan berakhir dengan skor 3-1 disulami kemarahan penyokong tuan rumah kepada pengadil perlawanan.
Setelah perlawanan pertama pusingan kedua malam ini, Terengganu FC bagaimanapun kekal berada di tangga ketujuh liga dengan 20 mata.
09 Jun 23
433
Batu 4 Muncul Johan Liga Dun Piala YB Air Putih 2023
KEMAMAN, 6 Jun - Pasukan Batu 4 muncul juara dalam perlawanan akhir menentang Neram 2 pada kejohanan bola sepak sebelah tertutup dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dan membawa pulang Piala Yang Berhormat pada 3 Jun yang lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkat, perlawanan sengit itu tamat dengan keputusan penuh 3-0 dan kemenangan berpihak kepada pasukan Batu 4.
"kejohanan ini mengambil masa hampir tiga bulan dengan 32 perlawanan keseluruhannya bertempat di Stadium Mak Chili dan disertai oleh 16 pasukan yang bermain setiap hujung minggu.
“Kejohanan ini julung kali diadakan dan kita akan menjadikannya sebagai acara tahunan kerana sambutan yang amat menggalakkan terutamanya daripada golongan muda.
“Syabas dan tahniah kepada pasukan Batu 4 yang telah menjadi juara pada kejohanan kali ini dan pasukan lain juga masih berpeluang untuk menjadi juara pada kejohanan yang akan datang," ujar beliau ketika ditemubual selepas tamat perlawanan akhir di Stadium Mak Chili, Kemaman di sini baru-baru ini.
Tambah Ab Razak, semua pemain juga telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan dan seumpamanya walaupun kadang-kadang ada provokasi dari pihak penyokong masing-masing.
Ab Razak berterima kasih kepada Penyelaras Pemuda DUN Air Putih selaku penganjur atas kejayaan cemerlang dalam mengendalikan kejohanan tersebut.
"Kejayaan itu pastinya adalah hasil dari kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemuda walaupun ianya agak mencabar," jelasnya.
Kejohanan ini menawarkan hadiah utama berupa tunai sebanyak RM 2000, pingat dan piala pusingan, tempat kedua RM 1000, berserta pingat, tempat ketiga RM 700 berserta pingat dan tempat keempat RM 500 beserta pingat.
05 Jun 23
339
Piala FA: Terengganu FC Mara Ke Separuh Akhir
KUALA NERUS, 27 Mei- Terengganu FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023 setelah menang 4-2 ke atas seteru pantai timur, Kelantan FC pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Biarpun beraksi buat kali pertama pada waktu petang, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner mempamerkan corak permainan agresif dan tidak menunggu lama untuk mencetak gol pertama perlawanan.
Azam Azmi Murad mencetak nama selaku penjaring gol pertama menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-17, setelah menerima hantaran Liridon Krasniqi.
Pada minit ke-28, tuan rumah hampir menjarakkan kedudukan apabila penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang menerima hantaran Sony Norde melakukan sepakan 'volley' cantik melepasi kawalan penjaga gol pelawat, Nik Mohd Amin Ahmad.
Namun, jaringannya dibatalkan pengadil setelah beliau didapati berada pada kedudukan 'offside' terlebih dahulu.
Majoriti penguasaan bola dimiliki Terengganu FC yang lebih banyak merencana serangan.
Memasuki minit ke-41, Ivan berjaya merampas bola dari pertahanan Kelantan FC sebelum meledak jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Tiga minit berselang, The Red Warrior kembali menghidupkan harapan penyokongnya setelah penyerang, Ismaheel Akinade merapatkan kedudukan menerusi rembatan leret melepasi Suhaimi Husin, hasil kesilapan barisan pertahanannya yang terlepas bola.
Separuh masa pertama tamat dengan Sang Penyu di harapan berbekal kelebihan satu jaringan.
Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan momentum serangan bagi menjarakkan kedudukan.
Pada minit ke-52, Sony Norde yang menerima bola dari Habib Haroon menggelecek pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menolak masuk bola ke gawang untuk gol ketiga Sang Penyu.
Bagaimanapun, Kelantan FC kembali bangkit merapatkan jurang apabila Ismaheel menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 setelah kapten pasukannya, Mario Arques Blasco dijatuhkan Muhammad Shahrul Nizam.
Ketika kedudukan seakan-akan berakhir tanpa jaringan tambahan, Mohd Syafik Ismail berjaya menewaskan dua pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol terakhir perlawanan pada minit ke-81.
Keputusan yang berpihak kepada Terengganu FC menyaksikan gergasi pantai timur itu sekali lagi lolos ke peringkat separuh akhir Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Sang Penyu bakal menanti lawan seterusnya antara Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC yang akan berentap esok.
27 May 23
646
Jaringan Engku Shakir Legakan Penyokong Terengganu FC
KUALA NERUS, 24 Mei- Jaringan tunggal pemain gantian, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob membantu Terengganu FC menewaskan Penang FC pada aksi Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Shakir yang masuk menggantikan Omid Nazari memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-74 bagi membolehkan tuan rumah memungut tiga mata.
Bermula dari serangan balas yang digerakkan Sony Norde, Syakir menerima lorongan Sony sebelum melakukan rembatan leret membolosi kawalan Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri untuk gol tunggal perlawanan.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan kemenangan tersebut.
"Kemasukan pemain-pemain simpanan bagi memberikan tenaga baru kepada pasukan berhasil.
" Kita dapat lihat Nik Sharif berjaya melakukan beberapa percubaan cuma tidak berjaya menghasilkan gol.
"Engku Shakir banyak mengisi posisi sayap sebelum ini, tetapi bermain baik di belakang penyerang dan mendapatkan kita tiga mata," katanya.
Hasil perlawanan ini, Terengganu FC naik ke tangga ketujuh dengan mengumpul 17 mata dari 12 perlawanan.
24 May 23
647
Jijoe, 'The Komodo' Serikan Karnival TMBS
KUALA LUMPUR, 20 Mei- Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang dan bekas pemain nombor satu skuasy lelaki kebangsaan, Muhammad Nafiizwan Adnan atau lebih dikenali sebagai 'The Komodo' sepanjang kariernya, hadir menyerikan Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) di MAEPS Serdang, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyempurnakan perasmian majlis, sempat menjemput kedua-dua atlet berkenaan untuk menyampaikan ucapan di pentas utama.
"Pada kesempatan ini, saya hendak buat sesuatu yang berbeza. Bagi mengiktiraf peranan mereka yang telah menaikkan nama negeri Terengganu,bukan sahaja di persada negara, bahkan di persada dunia dan antarabangsa.
"Ramai sebenarnya yang telah bertanggungjawab menaikkan nama Terengganu dan dua daripadanya berada di sini bersama tuan-tuan.
Bagi pihak pemain-pemain dari negeri Terengganu yang mewakili negara dan berada di persada antarabangsa, saya beri kesempatan kepada mereka untuk bercakap sepatah dua dan mengucapkan selamat hari raya kepada tuan-tuan," katanya.
Kehadiran kedua-dua ikon sukan tempatan itu menarik perhatian sekitar 10,000 pengunjung yang hadir.
Pada kesempatan itu, Azizulhasni sempat berpesan kepada para hadirin supaya sentiasa mengangkat nama Terengganu.
"Saya sebenarnya baru lepas berlumba, semalam. Dato' Seri (menteri besar) telefon saya menjemput hadir bersama rakyat Terengganu hari ini.
"Ini pertama kali saya menghadiri majlis hari raya anak Terengganu di perantauan.
"Sedikit nasihat saya, walaupun kita berada di mana sahaja, di Australia atau United Kingdom, jangan lupa menabur bakti kepada negeri tercinta ini," katanya.
Atlet kelahiran Dungun itu baru segar dengan kemenangan pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 di Nilai, semalam.
Manakala, Nafiizwan yang merupakan pemain Malaysia pertama memenangi pingat individu dalam Sukan Komanwel apabile memenangi pingat Perak pada 2018 di Australia, kini menabur bakti sebagai jurulatih skuasy kebangsaan.
20 May 23
356