Artikel "Sukan" Terkini
Dr Sam Rakam Tahniah Hakim Danish Rangkul Anugerah SAM
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada pelumba motosikal muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang berjaya merangkul anugerah Atlet Muda Terbaik pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, semalam.
Anak kelahiran Terengganu yang kini mewakili pasukan ZK Racing itu terus menempa nama apabila beliau terpilih sebagai penerima anugerah tersebut oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan dan kejayaan demi kejayaan yang diperoleh.
Kejayaan Muhammad Hakim atau lebih dikenali sebagai Hakim Danish bergelar juara keseluruhan saingan perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022 turut menjadi faktor utama pelumba berusia 16 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah.
“Syabas adik Hakim Danish, teruskan mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran ini,” tulis beliau dalam laman facebooknya.
Foto Ihsan: Facebook Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia
30 Aug 23
881
66 Peluncur Udara 'Terbang' Sempena 66 Tahun Kemerdekaan
BESUT, 28 Ogos - Seramai 66 peluncur udara melakukan terbangan 'Merdeka Fun Fly' sempena 66 tahun kemerdekaan negara di Bukit Bubus semalam.
Pengarah Program, Fahami Zakaria berkata, ia merupakan salah satu acara kemuncak sempena Terengganu Air Festival (TIAF) pada tahun ini.
Katanya, ia merupakan tahun kedua program berkenaan diadakan dengan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
"Dengan beberapa acara yang diadakan turut melibatkan peserta antarabangsa dari enam negara iaitu Indonesia, Thailand, Korea, Filipina, Nepal dan India.
"Malah ramai lagi peluncur dari negara lain ingin menyertai namun ada kekangan tertentu jadi mereka tidak boleh hadir, diharapkan pada tahun akan datang program ini akan lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai peluncur," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di acara penutup program TIAF, di Bukit Bubu, Besut, di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong yang telah menyempurnakan acara penutup program berkenaan.
Dalam pada itu Fahami berkata, program pada tahun ini turut memberi peluang kepada kanak-kanak sekolah menyertai program bertaraf antarabangsa itu.
"Acara yang turut dimasukkan pada festival kali ini ialah acara roket peracut 'paper plan'. 'water rocket' bagi peringkat sekolah rendah dan menengah dengan penglibatan seramai 400 murid dari 40 buah sekolah," katanya.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pelancongan Negeri kerana selama ini berperanan menjadi nadi penting dalam memastikan acara TIAF dapat dijayakan dengan sempurna.
28 Aug 23
143
'Tour Gateh D' Tranung 2023' Ketengah Elemen Songket Warisan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Elemen songket diperkenalkan dalam rekaan jersi terbaru Tour Gateh D' Tranung 2023 bagi mengetengahkan salah satu warisan Terengganu melalui sukan berbasikal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif tersebut merupakan sokongan bersama Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) dalam acara itu.
"Terengganu juga terkenal dengan songket ini dan memang matlamat asal kita melalui semua daerah antaranya untuk membawa imej pelancongan Terengganu.
"Jadi, kita letakkan ia sebagai satu pencetus dalam memperkenalkan produk Terengganu dan imej negeri Terengganu," katanya.
Elemen songket itu akan dipamerkan pada lima jersi yang dipertandingkan iaitu jersi Elite, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan bagi Pelumba bawah 21 tahun.
Menurut Hishamuddin, penganjuran kali kedua itu melibatkan 27 pasukan terdiri daripada 10 pasukan SUKMA negeri, sembilan kelab tempatan serta penampilan lapan pasukan elit.
"Antara yang akan datang ialah daripada Europ Trip Cycling (Eropah), Nusantara (Indonesia), Maverick (Singapura) dan pelumba-pelumba daripada Qatar.
"Perlumbaan ini akan melibatkan laluan sepanjang 650 kilometer dengan penglibatan 164 pelumba," tambahnya.
Tour Gateh D' Tranung 2023 mempertandingkan lima kategori perlumbaan iaitu Elite, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan kategori Bawah 21 tahun.
Kejohanan tersebut akan berlangsung pada 3 September hingga 8 September dengan kerjasma Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT).
28 Aug 23
630
Anak Jati Terengganu Juara Muay Thai
KEMAMAN, 22 Ogos - Wan Muhammad Sabri Wan Zuki (Sabri Thai V6), 20 tahun telah menjuarai Kejohanan Terbuka Muay Thai Amatur dan Pro Melaka baru-baru ini.
Muhammad Sabri berjaya merebut kemenangan Tali Pinggang Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof.
Kejuaraan itu diraih setelah dia berjaya menewaskan Fabian Farhan daripada Indonesia dalam kategori Pro (60kg) yang berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos 2023 di Dataran Menara Taming Sari Melaka.
Muhammad Sabri merupakan anak jati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik yang merupakan atlet kebanggaan di sini.
Selain itu, dia juga banyak menempa nama dan mengharumkan nama DUN Kemasik sendiri dalam pelbagai kejohanan Muay Thai yang disertainya.
Perjumpaan di Pejabat ADUN Kemasik.
Hari ini, Muay Thai Club Visix (Thai V6) Kampung Ranggon Estate Kerteh membuat kunjungan hormat ke Pejabat DUN Kemasik berjumpa ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili bagi meraikan kemenangan Muhammad Sabri dan berbincang untuk perancangan akan datang.
Turut bersama, Pengasas Thai V6, Mokhtar Che Lah dan Pengurus Thai V6, Muhammad Safar Makhtar.
Saiful Azmi melahirkan ucapan tahniah kepada Muhammad Sabri kerana berjaya merangkul gelaran juara di Kejohanan itu.
"Tidak dilupakan juga tahniah buat mereka yang mendokong di belakang beliau yang banyak berjasa memberi komitmen sehingga kini," ujarnya.
Wan Muhammad Sabri (Sabri Thai V6), 20 tahun.
Sementara itu, Muhammad Sabri bersyukur kerana dapat menghabiskan perlawanan pada malam itu.
"Alhamdulillah dengan usaha saya namun saya perlu berlatih lebih lagi kerana ada perlawanan yang lebih besar menanti selepas ini.
"Pertandingan dalam masa terdekat iaitu perlawanan bertarung dengan Kapten Malaysia, Muhammad Ali Yaakub," katanya.
22 Aug 23
3649
Terengganu FC Melangkah Ke Suku Akhir Piala Malaysia
KUALA NERUS, 18 Ogos- Terengganu FC melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2023 setelah menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.
Pada perlawanan berkenaan, Tomislav Steinbruckner menurunkan skuad kedua melayan kunjungan pasukan dari Liga M3 itu setelah menang selesa 4-0 pada pertemuan pertama di Petaling Jaya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sang Penyu melebarkan agregat jaringan kepada 7-0.
Pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan meletakkan Terengganu FC di depan apabila menolak mudah bola hantaran lintang Safwan Mazlan pada minit ke-31.
Memasuki separuh masa kedua, Liridon Krasniqi yang masuk sebagai pemain gantian me'mati'kan usaha KL Rovers untuk bangkit, apabila menjaringkan gol kedua buat tuan rumah.
Pada minit ke-89, Nor Hakim mencatat jaringan peribadi keduanya dalam perlawanan itu sekaligus menghadiahkan kemenangan selesa kepada Terengganu FC.
Gergasi pantai timur itu bakal menentang pemenang dalam perlawanan di antara Selangor FC dan PDRM FC yang akan berlangsung pada Sabtu.
18 Aug 23
782
Terengganu FT Tempah Laluan Sukar Ke Separuh Akhir
KUALA TERENGGANU, 10 Julai- Terengganu Futsal Team (Terengganu FT) menempah laluan sukar ke separuh akhir apabila tewas 1-4 kepada Selangor MAC FC pada aksi suku akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 pada Sabtu.
Beraksi di Stadium Negeri, di sini Selangor MAC terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan menerusi Aidil Shahril Rosli pada minit ke-16.
Terengganu FT bagaimana pun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Supakorn Sangom, dua minit kemudian untuk mengheret keputusan seri sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, pelawat melebarkan jurang dengan dua jaringan penyerang import, Ali Ebrahimi pada minit ke 21 dan 31.
Aidil Shahril Rosli kemudian menoktahkan kebangkitan Terengganu FT dengan gol keempat pelawat pada minit ke-3.
Keputusan kekal 1-4, menyaksikan tugas berat menanti Terengganu FT apabila berkunjung ke Shah Alam, 15 Julai ini.
Lebih-lebih lagi setelah kehilangan kapten pasukan, Tengku Azraf Fahimi yang dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Nurul Atikah Janah.
Ketua jurulatih, Rozairi Ahmad menyifatkan kekalahan semalam merupakan sesuatu yang perit untuk dihadam.
"Kita bermain baik pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua, berlaku perubahan ketara terhadap mental apabila Selangor MAC dapat gol awal.
"Apa yang berlaku ada kesan dari mutu pengadilan sebenarnya, saya sendiri tengok tadi pengadil banyak membunuh perlawanan dan kekecohan malam ini berpunca darinya sejak awal lagi," katanya.
Namun, beliau percaya kebangkitan mampu dijelmakan dalam aksi kedua minggu depan.
"Kita ada lebih kurang seminggu lagi dan akan cuba sebaik mungkin. Tugas memang berat tetapi apapun boleh berlaku kerana saya percaya pada pasukan dan kita akan 'prepare' sebaik mungkin.
"Kita akan pergi ke 'away', jadi semestinya Selangor MAC akan 'stand by' dan apa yang berlaku malam ini, kita mungkin akan hadapi tekanannya di sana nanti," katanya.
09 Jul 23
318
Terengganu FC 'Berpeluh' Atasi Sang Kenari
KUALA NERUS, 3 Julai- Terengganu FC bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super Malaysia 2023, malam ini.
Melayan kunjungan KDA FC di laman sendiri, Tomislav Steinbruckner mempertaruhkan gandingan Adisak Kraisorn, Nik Muhammad Sharif dan Sony Norde di barisan hadapan dibantu Engku Muhammad Nur Shakir berikutan ketiadaan penyerang, Ivan Mamut dan Jordan Mintah.
Terengganu FC memulakan perlawanan dengan agresif namun, skuad kendalian Victor Andrag mengimbangi permainan dengan serangan-serangan balas yang pantas.
Pada minit ke-11, Azam Azmi Murad melakukan hantaran lintang yang disambut tandukan Adisak menggegar gawang pelawat, bagaimanapun gol itu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin kerana 'offside'.
Sang Penyu berjaya meledak jaringan pertama pada minit ke-16 apabila Azam Azmi menggerakkan serangan balas dan melorongkan bola kepada Engku Shakir yang disudahkan dengan rembatan leret dari luar kotak penalti melepasi kawalan Mohd Ifwat Akmal.
Tiga minit kemudian, Sony Norde pula mencuba rembatan dari jarak jauh, tetapi tersasar di sisi gawang.
Sang Kenari yang ketinggalan satu gol, cuba meningkatkan momentum serangan.
Pada minit ke-23, pertahanan KDA FC, Wan Amirul Afiq berjaya menggelecek masuk dari sebelah kiri kubu tuan rumah, tetapi dua rembatannya berturut-turut dinafikan Suhaimi Husin.
Memasuki minit ke-44, Wan Amirul sekali lagi melakukan percubaan setelah menerima lorongan Manuel Hidalgo, kali ini tiang gol menjadi penghalang.
Separuh masa pertama tamat dengan Terengganu FC mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, anak-anak buah Tomislav berpeluang menambah jaringan, namun percubaan Nik Sharif pada minit ke-54 berjaya ditampan Ifwat.
Perlawanan kemudian berlangsung perlahan berikutan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati mengatur serangan.
Pada minit ke-74, perlawanan dihentikan seketika kerana penjaga gol tuan rumah, Suhaimi mengalami kecederaan setelah bertembung dengan pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam.
Memasuki minit ke-81, Sang Penyu cuba menggandakan jaringan menerusi Muhammad Alif Zakaria yang menerima umpanan Muhammad Syahmi Zamri di hadapan pintu gol lawan.
Bagaimanapun, Ifwat dan barisan pertahanan Sang Kenari kental bertahan menafikan peluang itu.
KDA FC terus menggasak pada minit-minit terakhir perlawanan, namun tiada gol berjaya dihasilkan.
Keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terengganu FC naik ke tangga keenam liga dengan mengumpul 23 mata.
Gergasi pantai timur itu selepas ini akan berkunjung menentang Kuala Lumpur City FC, pasukan yang menewaskan mereka pada saingan Piala FA lalu.
03 Jul 23
357
Kenapa Bagi Liridon Ambil Penalti?
KUALA NERUS, 26 Jun- Itu mungkin persoalan yang bermain di minda penyokong Terengganu FC, semalam.
Corak permainan Liridon Krasniqi sering menjadi igauan peminat musim ini dan kegagalan pemain pinjaman dari Johor DT itu menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan Terengganu FC ke atas Kuala Lumpur City FC pada aksi separuh akhir Piala FA itu, menggores luka lebih dalam.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagaimanapun ada jawapannya sendiri atas sebab itu.
"Saya sedikit marah kerana beberapa pemain saya yang lebih cergas, apabila diarahkan mengambil sepakan penalti, kebanyakan mereka enggan, takut.
"Pemain seperti Liridon yang bermain 120 minit, bekerja keras, mengambilnya dengan teruk dan sebelum itu, Nik Sharif (Haseefy), tetapi ok, penalti adalah penalti.
"Saya sendiri tanya Jordan (Mintah), tidak mahu. Saya tanya Faiz (Nasir), tidak mahu. Saya tanya Hakimi (Mohammad), seorang yang mempunyai sepakan bagus, juga tidak mahu," katanya dalam sidang media selepas Terengganu FC tumpas 4-2 dalam penentuan sepakan penalti, semalam.
Tambahnya, setiap pemain perlu yakin diri dan memikul tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti apabila berlaku situasi itu.
Menurut Tomislav, beliau tahu satu stadium penuh tekanan dan setiap orang mengharapkan sesuatu, iaitu menjaringkan gol.
"Disebabkan itu, saya letakkan Arif Fadzilah kerana saya tahu dia pemain berpengalaman dan melakukannya seperti dalam latihan.
"Saya tahu siapa yang sepak lebih baik. Tetapi biasanya, apabila terjadinya penentuan penalti, saya akan tanya siapa yang mahu ambil? Ada pemain muda, ada yang berpengalaman dan ini berlaku dalam bola sepak.
"Ini tidak bagus, kamu tahu siapa yang tidak pernah tersasar sepakan penalti? Hanya orang yang tidak mengambilnya," katanya hampa.
-Sebahagian gambar merupakan ehsan foto Terengganu FC.
26 Jun 23
1171
Sang Penyu 'Menangis' di Halaman Sendiri
KUALA NERUS, 25 Jun- Terengganu FC terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 4-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA 2023, malam ini.
Bermain di halaman sendiri, Terengganu FC sememangnya memiliki kelebihan apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) turun tanpa kelibat, penjaga gol utama, Kevin Mendoza dan Edison Caion yang dilepaskan, baru-baru ini.
Namun, jaringan Paulo Josue, Romel Morales, Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuoco berjaya membawa 'The Citizen' ke pentas akhir.
Penjaga gol Sang Penyu, Mohd Suhaimi Husin menghidupkan harapan penyokong tuan rumah apabila menyelamatkan sepakan Matko Zirdum.
Bagaimanapun, Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan penalti mengecewakan lebih 26,000 penyokong yang hadir.
Terengganu FC berpeluang mencetak jaringan awal apabila penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang menerima lorongan Engku Muhammad Nur Shakir melakukan percubaan dari jarak dekat dalam tempoh 52 saat perlawanan bermula.
Namun, bola muntah yang ditampan penjaga gol muda, Muhammad Azim Al-Amin gagal disambar Sony Norde.
Pada minit ke-8, anak-anak buah Bojan Hodak mendebarkan penyokong tuan rumah apabila sepakan sudut Paulo Josue tidak berjaya dikeluarkan pertahanan tuan rumah.
Bagaimanapun, rembatan Sebastian Avanzini sekadar menggegar sisi gawang.
Tuan rumah menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu pelawat, tetapi beberapa percubaan yang dihasilkan dinafikan penjaga gol bawah-23 kebangsaan itu.
Pada minit ke-38, KL City sekali lagi berpeluang mencipta kejutan apabila Tcheche Kipre yang menerima hantaran T. Saravanan, melakukan 'set' dihadapan pintu gol, bagaimanapun rembatan Paulo Josue sekadar melambung tinggi.
Pada masa tambahan, satu serangan balas oleh Sang Penyu melepaskan Ivan daripada perangkap offside, sayangnya rembatan penyerang tinggi lampai itu ditangkap kemas Muhammad Azim.
Pelawat yang terancam dengan serangan itu, melakukan transisi pantas menyerang dari sebelah kiri.
T. Saravanan dapat melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri, tetapi tidak berjaya disudahkan Zhafri Yahya.
Keputusan kekal tanpa jaringan di separuh pertama.
Bersambung babak kedua, 'The Citizen' menukar 'gear' dengan lebih banyak menguasai bola.
Tomislav memasukkan Nik Muhammad Sharif, Jordan Mintah dan Mohd Faiz Nasir bagi menyuntik ketajaman serangan.
Pada minit ke-72, Nik Sharif melakukan rembatan dari luar kotak penalti setelah melepasi kawalan pertahanan, namun ditangkap kemas Muhammad Azim.
Tiada jaringan berjaya dihasilkan sehingga wisel dibunyikan, mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan kedudukan 0-0.
Bersambung masa tambahan, Terengganu FC agresif memecah kebuntuan jaringan.
Pada minit ke-100 rembatan Nik Sharif sekali lagi dinafikan Muhammad Azim.
Lima minit kemudian, Faiz Nasir berjaya memasuki 'box' lawan sebelum melepaskan rembatan yang ditepis penjaga gol.
Terengganu FC mengharungi separuh masa kedua tanpa bantuan Sony Norde yang mengalami kecederaan dengan lebih banyak bertahan.
Bagaimanapun, wisel penamat dibunyikan dan kebuntuan jaringan berterusan menuju penentuan sepakan penalti.
Kecemerlangan Muhammad Azim yang menyelamatkan sepakan Nik Sharif dan Liridon menamatkan impian Terengganu FC untuk ke pentas akhir Piala FA buat tahun kedua berturut-turut.
25 Jun 23
305
Harimau Malaya Berpesta Gol Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Gandingan pemain sayap Mohd Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Hanapi menjadi tumpuan dalam kemenangan besar pasukan Malaysia ke atas Papua New Guinea di Gong Badak, malam tadi.
Pada aksi terakhir perlawanan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Kim Pan Gon mencatat kemenangan 10-0 setelah menjaringkan sembilan gol di babak kedua perlawanan.
Harimau Malaya mempamerkan aksi 'garang' apabila mengancam lawan dengan tampanan kapten pasukan, Shahrul Saad yang ditepis penjaga gol, Ronald Warisan seawal minit ketiga.
Dalam tempoh 20 minit pertama, Malaysia melakukan lebih empat percubaan ke gawang lawan, namun Papua New Guinea yang menerapkan taktikal bertahan sukar ditembusi.
Memasuki minit terakhir separuh masa pertama, Muhammad Akhyar Abdul Rashid berjaya melakukan gerakan solo ke kawasan penalti lawan, tetapi dijatuhkan Solomon Rani sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Sepakan itu disempurnakan Muhammad Safawi Rasid untuk gol pertama perlawanan untuk skuad kebangsaan mendahului 1-0 sebelum babak pertama ditamatkan.
Bersambung separuh masa kedua, Kim Pan Gon melakukan pertukaran dengan memasukkan Faisal, Arif dan Daniel Ting untuk mengukuhkan cengkaman ke atas pelawat.
Kemasukan Faisal-Arif memberikan dimensi baru kepada serangan Harimau Malaya apabila kedua-dua pemain itu terlibat dalam hampir kesemua gol yang dijaringkan pada separuh masa kedua.
Pada minit ke-52, lorongan Azam Azmi Murad disudahkan Paulo Josue untuk gol kedua tuan rumah.
Empat minit kemudian, Arif yang melepasi perangkap offside, menyempurnakan hantaran jauh bintang baru, Nooa Laine untuk menjarakkan kedudukan kepada 3-0.
Pada minit ke-58, benteng Papua New Guinea sekali lagi ditembusi, kali ini menerusi Faisal yang tenang menumpaskan pertahanan lawan untuk gol keempat setelah menerima hantaran lambung Arif.
Seminit kemudian, pemain kelahiran Pulau Pinang itu pula melakukan bantuan gol dengan hantaran lintang dari sebelah kirin gawang yang mudah disudahkan Arif untuk gol kelima perlawanan.
Harimau Malaya terus menyerang untuk menggandakan jaringan.
Pada minit ke-63 dan ke-69, Paulo Jouse berjaya menjaringkan dua gol (keenam dan ketujuh) untuk merekodkan hatriknya buat skuad kebangsaan sebelum digantikan dengan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi.
Ronald yang ampuh mengawal gawang Papua New Guinea pada separuh masa pertama bolos lima gol hanya dalam tempoh 10 minit, mengalami mimpi ngeri apabila Malaysia terus-menerus melakukan serangan.
Gol kelapan Malaysia dijaringkan Daniel Ting pada minit ke-75 apabila hantaran lintang Arif tidak berjaya dikeluarkan Ronald.
Memasuki minit ke-86, Arif Aiman berjaya mencari hatrik peribadinya menerusi serangan balas yang digerakkan Dion Cool dan Faisal.
Dua minit kemudian, gerakan Faisal dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi memecahkan blok pertahanan di dalam kotak penalti lawan sebelum bola dilorongkan kepada Arif yang meledak gol keempatnya dalam perlawanan itu.
Kemenangan besar itu menyaksikan pasukan Malaysia bakal mendaki dua anak tangga dari kedudukan 138 ke kedudukan 136 dunia selepas turut menang ke atas Solomon Islands, minggu lalu.
Malaysia kini berupaya merapati Rwanda di kedudukan 135 dunia serta memintas kedudukan Filipina (136) dan Turkimenistan (137).
21 Jun 23
267