lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Pelumba SUKMA, TSG Terus Pamer Aksi Cemerlang
Pelumba SUKMA, TSG Terus Pamer Aksi Cemerlang
DUNGUN, 5 September- Pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul dan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff terus mempamerkan aksi cemerlang dalam peringkat kedua Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23). Kedua-dua pelumba tersebut berjaya mempertahankan jersi biru dan jersi putih dalam saingan hari ini. Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km. Pelumba TSG yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu berjaya memenangi jersi biru (kategori individu terbaik) dalam saingan hari kedua. Semalam pada aksi saingan pertama, beliau membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat. Manakala, Aiman Haiqal pula berjaya memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat kedua. Semalam, dia juga mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi jersi putih pada saingan pertama. Manakala, jersi merah jambu, yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi oleh pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli. Seterusnya, bagi jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) masing-masing dimenangi oleh pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli dan pelumba Armed Forces Cycling Team, Irwandie Lakasek.    
05 Sep 23
586
Peringkat Kedua TGDT23 Saji Lebih Cabaran
Peringkat Kedua TGDT23 Saji Lebih Cabaran
KUALA NERUS, 5 September- Laluan perlumbaan peringkat kedua Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) bakal memberi cabaran lebih besar kepada pelumba-pelumba yang bersaing hari ini. Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, laluan beralun dan berbukit di pertengahan perlumbaan itu akan mewujudkan lebih banyak drama dan aksi kayuhan oleh para pelumba. "Kalau ikut laluan perlumbaan peringkat kedua ini, permulaannya adalah laluan landai. "Tetapi, apabila memasuki daerah Dungun iaitu ke Bukit Besi, akan sedikit berbukit dan beralun. "Jadi, saya harap segalanya berjalan lancar dan semua pelumba dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan pertingkat kedua di Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan ahli parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak yang turut dihadiri ahli dewan undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Ahmad Shahrizal dalam pada itu berharap perlumbaan hari ini berjalan lancar sebagaimana peringkat pertama yang berlangsung semalam. "Cuma, semalam berlaku kemalangan kecil selepas permulaan iaitu di Alor Tumat, ada melibat sedikit kecederaan tetapi, Alhamdulillah perlumbaan dapat diteruskan "Untuk perlumbaan kali ini kita melantik 'respon team' yang berpengalaman daripada pihak kerajaan mahupun swasta yang pernah terlibat dalam acara lebih besar seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), jadi ia berjalan lancar," katanya.
05 Sep 23
199
Aiman Bolot Tiga Jersi Saingan Pertama TGDT23
Aiman Bolot Tiga Jersi Saingan Pertama TGDT23
KEMAMAN, 4 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff melaungkan cabaran awal kepada pelumba-pelumba lain apabila membolot tiga jersi yang dipertandingkan dalam saingan peringkat pertama Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) dari Marang ke Kemaman, hari ini. Pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu memenangi jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat. Aiman menewaskan pelumba Armed Forces Cycling Team, Mohd Zawawi Azman di tempat kedua (3:46:34) dan pelumba TSS Racing Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Rosli di tempat ketiga, juga dengan catatan masa 3:46:34. Dalam pada itu, pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat pertama. Manakala, jersi merah jambu; yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi bekas pelumba kebangsaan, Anuar Manan dari TSS Racing yang menamatkan perlumbaan dalam masa 3:49:56 saat. Perlumbaan peringkat pertama bermula dari Pulau Kekabu yang berakhir di Pantai Teluk Mak Nik itu melibatkan laluan sepanjang 157. 30 kilometer.    
04 Sep 23
421
Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai
Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai
MARANG, 4 September - Kerajaan negeri optimis impian untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal mampu dicapai. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasrat menjadikan Terengganu sebagai 'Land Of Cycling' merupakan sebagai sebahagian daripada promosi pelancongan negeri Terengganu. "Di mana destinasi yang menjadi tempat atau hentian program sebagaimana yang diadakan hari ini (Tour Gateh D'Tranung) akan lebih memperkenalkan lagi lapan daerah iaitu dari Marang, Dungun, Kemaman , Hulu Terengganu sehingga ke Besut. "Kita akan meneruskan program seperti hari ini bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mengangkat sukan basikal ini juga menjadikan Terengganu 'Negeri Kayuhan Basikal' akan mampu tercapai dan akan menjadi satu faktor pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 1, di Pulau Kekabu di sini hari ini. Katanya hari ini sebanyak 27 pasukan hebat antara benua terlibat, serta penyertaan dari Singapura, Indonesia serta Brunei. "Selain kita turut menerima peserta antarabangsa yang pada awalnya ingin turut menyertai namun membatalkan penyertaan pada saat akhir. "Insya-Allah kita akan ulangi lagi pada tahun hadapan dengan menjadikan ia sebagai acara antarabangsa. "Sebenarnya bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal ia turut dibantu dengan reputasi Terengganu yang selama ini telah melahirkan ramai jaguh-jaguh dalam sukan basikal yang mencipta nama bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.
04 Sep 23
807
Pecutan 'Tour Gateh D'Tranung' Bermula Hari Ini
Pecutan 'Tour Gateh D'Tranung' Bermula Hari Ini
MARANG, 4 September - Perlumbaan Jelajah Terengganu (Tour Gateh D'Tranung) hari ini telah memulakan cabaranya membabitkan 27 pasukan bertaraf benua. Peringkat pertama kejohanan berbasikal berkenaan hari ini telah bermula dari Pulau Kekabu (Marang) dan akan melalui perjalanan sejauh 157.3 kilometer ke Pantai Teluk Mak Nik (Kemaman). Pelepasan pelumba-pelumba basikal berkenaan telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, di sini, hari ini. Penganjuran edisi kedua Tour Gateh D'Tranung ini selain turut disertai Polygon Cycling Team ia turut disertai pelumba daripada Europe Trip Cycling, Sd Mavervicks Singapore dan Nusantara Pro Cycling Team yang semuanya merupakan pasukan bertaraf benua.  Pelumba-pelumba berkenaan akan merebut gelaran jersi biru untuk juara keseluruhan, jersi hijau (raja pecut), jersi polka dot (raja bukit) dan jersi putih (pelumba muda terbaik). Selain itu turut menerima penyertaan daripada pasukan negeri yang dalam persiapan ke Sukan Malaysia (SUKMA). Tour Gateh D'Tranung melibatkan lima peringkat perlumbaan dengan melalui daerah-daerah ini di negeri dan menawarkan lima kategori utama bagi kejohanan berprestij ini.  
04 Sep 23
660
Aiman Sasar Rampas Jersi Tour Gateh D'Tranung
Aiman Sasar Rampas Jersi Tour Gateh D'Tranung
KUALA TERENGGANU, 3 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menyuarakan keinginan untuk memenangi salah satu jersi peringkat yang dipertandingkan di Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23), yang bermula esok. Sekalipun masih mencari kecergasan kerana baru pulang dari perlumbaan di Iran, pemenang jersi merah Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu akan cuba memberikan aksi terbaik dalam TGDT23. "Pasukan yang datang bertanding kali ini semuanya memberikan saingan yang kuat dan saya kena lebih berusaha dan semangat untuk memenangi peringkat serta cuba memenangi jersi-jersi yang dipertandingkan. "Sebenarnya, ejohanan ini adalah persiapan terakhir saya untuk LTdL pada hujung bulan ini, jadi untuk TGDT ini saya cuba untuk cari rentak serta kecergasan selepas balik dari perlumbaan di Iran yang agak berbeza masa dan cuaca. "Rehat kurang cukup jadi saya akan ambil masa untuk memulihkan dan menyesuaikan diri dalam sehari dua ini. Sebab selalunya, selepas bertanding di luar, saya selalunya agak kurang cergas. Tetapi, dalam masa itu saya akan cuba mendapatkan sesuatu untuk pasukan. "Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan cuba dapatkan (kejuaraan) peringkat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Penaja Pasukan TGDT23 di Wisma Darul Iman, hari ini. Pada majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja itu, seramai 145 pelumba mewakili 25 pasukan melibatkan pelumba elit, tempatan dan pelumba bawah 21 tahun. Dalam pada itu, salah satu pasukan luar negara yang turut bertanding, Nusantara Cycling Team berjanji memberikan saingan sengit sepanjang kejohanan. Pengurus pasukan, Mohammad Rezza Adytya menyifatkan kehadiran kali pertama ke Terengganu akan mencabar kemampuan pasukannya, "Saingan tampak seimbang dan cabaran cukup kuat, namun kita juga tidak mahu kalah sepertimana pasukan-pasukan lain. "Kita (pasukan) sudah mengadakan persiapan yang cukup baik dan kita juga berusaha menjadi yang terbaik, kami menyasarkan 'rider' untuk cuba memenangi setiap peringkat ditambah kelebihan 'rider' kami dari Malaysia yang juga anak Terengganu iaitu Muhammad Afiq Huznie Othman dan Muhammad Hakimi Haikal Ahmad Sabri," katanya.        
03 Sep 23
473
Festival Muay Thai Gegar Terengganu Bermula 29 September
Festival Muay Thai Gegar Terengganu Bermula 29 September
KUALA TERENGGANU, 3 September - Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan menganjurkan Terengganu Fight (T-FIGHT) Festival 2023 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak pada 29 dan 30 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan memantau konsep perjalanan festival tersebut supaya mesra syariah dan akan dijadikan sebagai garis panduan bagi sukan bela diri berasaskan Muay Thai lain. “Sehubungan itu saya akan memohon kerjasama dari Jabatan Mufti Negeri Terengganu supaya menghantar satu pasukan pemantau dengan menyaksikan festival secara lebih dekat dan mengambil maklumat dari pihak penganjur secara langsung pada hari kejadian bagi memastikan festival itu mesra syariat,” katanya dalam Sidang Media di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya kerajaan negeri akan memberi sokongan kepada festival tersebut di atas semangat kesukanan dan akan melaksanakan tambah baik dengan penyertaan pasukan pemantau dari jabatan tersebut. Sementara itu Pengarah Teknikal T-FIGHT, Muhd Haslizak Hashim berkata kejohanan itu merupakan kesinambungan kepada penganjuran sebelum ini namun kali ini dirancang lebih besar dengan pengisian dan acara yang lebih hebat. Katanya acara utama ialah Cabutan Bertuah T-FIGHT berupa sebuah kereta Proton SUV X50, Motosikal Yamaha RXZ Restore, Pakej Percutian Empat Hari Tiga Malam Ke Sabah dan beberapa barangan lain. “Program yang dirancang ini adalah acara yang memfokuskan sukan tempur (gelanggang) MuayThai dan acara Malaysia ‘Book Of Records’ sebagai acara utama program. "Serta pengisian acara sampingan yang tidak kurang menariknya yang mampu menjadi tarikan para pengunjung dari dalam dan luar Terengganu serta pelancong asing,” jelasnya. Menurutnya, pelbagai pengisian acara utama dan acara sampingan yang mempunyai elemen tarikan tersendiri bakal ditonjolkan dalam program yang akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 11 malam selama dua hari dua malam itu.
03 Sep 23
686
TSG Shimano Fellowship Ride Realisasikan Terengganu Negeri Basikal
TSG Shimano Fellowship Ride Realisasikan Terengganu Negeri Basikal
KUALA TERENGGANU, 3 September - Penganjuran TSG Shimano Fellowship Ride 2023 yang menjadi acara terbesar setiap tahun berupaya menjelmakan Terengganu sebagai Negeri Kayuhan Basikal. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program yang dianjurkan oleh Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tersebut selaras dengan teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi menjadikan negeri ini terkenal dengan aktiviti berbasikal. "Kalau kita tengok hari ini ia menjadi program terbesar yang melibatkan 3,500 peserta malah menghimpunkan seluruh peminat basikal yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand. "Saya turut difahamkan bahawa hasrat TSG sangat bertepatan dengan kehendak kerajaan negeri bagi menjadikan acara ini sebagai pengerak kepada ekonomi negeri Terengganu dengan menyasarkan pendapatan RM2.1 juta setiap tahun pada setiap kali acara ini diadakan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui menyempurnakan pelepas program berkenaan, di Dataran Batu Burok, di sini semalam. Mengulas lanjut katanya, reputasi Terengganu selama ini berjaya melahirkan atlet berbasikal juga telah menarik perhatian dunia kerana itu sangat bertepatan menjadikan negeri ini sebagai lokasi popular untuk kayuhan basikal. "Kita berharap agar usaha-usaha ini diteruskan oleh pelbagai pihak kerana untuk menarik lebih ramai lagi rakyat terutama peminat-peminat sukan basikal samada dari dalam negara mahupun luar negara," ujarnya lagi.  
03 Sep 23
670
3,500 Peserta Meriahkan TSG Shimano Fellowship Ride 2023
3,500 Peserta Meriahkan TSG Shimano Fellowship Ride 2023
KUALA TERENGGANU, 2 September - Seramai 3,500 peserta telah memeriahkan program berbasikal atau TSG Shimano Fellowship Ride 2023. Penganjuran berprestij oleh kerajaan negeri melalui Terengganu Polygon Cycling Team itu bukan hanya disertai peserta dalam negara bahkan juga turut menerima penyertaan dari Singapura, Indonesia dan Thailand. Pada pagi tadi, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli telah menyempurnakan pelepasan program berkenaan, di Dataran Batu Burok. Program berbasikal tersebut yang dijayakan pihak TSG itu turut melibatkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu. Jarak yang perlu dilalui oleh peserta adalah sejauh 94 kilometer membabiitkan dua hentian pertama iaitu Bandar Baru Kuala Nerus dijadikan sebagai 'Water Station 1' dan Terengganu International Indurance park dijadikan 'Water Station 2'. Bermula dari dataran peserta akan melalui jalan ke Masjid Terapung dan akan menggunakan Bypass Tok Adis dan kemudian akan melalui Jambatan Manir dan Kampung Wakaf Mesira untuk sampai ke 'Water Station 1'. Kemudian peserta akan ke 'Water Station 2', dari situ peserta akan bergerak untuk menamatkan kayuhan melalui Bulatan Batu Rakit, Pantai Teluk Ketapang seterusnya ke Dataran Jambatan Angkat sebelum berakhir dinDataran Rekreasi Batu Burok melalui Jambatan Angkat. Program berkenaan turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utamanya adalah sebuah Kereta Perodua Bezza.
02 Sep 23
542
'Jangan Main Politik Dalam Sukan'
'Jangan Main Politik Dalam Sukan'
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Kepimpinan sukan diingatkan tidak membawa sentimen politik kepartian dalam menguruskan sukan termasuk bola sepak agar usaha memajukan sukan negeri Terengganu tidak terbantut. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata Kerajaan Terengganu hanya membenarkan bendera hitam putih (bendera Terengganu) sahaja 'dikibarkan' dalam pengurusan sukan supaya pembangunan sektor itu dapat diberi tumpuan sepenuhnya oleh semua pihak. “Kita tidak boleh membawa sentimen politik kepartian dalam menguruskan sukan bola sepak, tanggalkan bendera hijau atau biru dan angkat bendera hitam putih (Terengganu) dalam pengurusan bola sepak, barulah kita boleh fokus destinasi yang ingin kita tuju dengan mengangkat dan menjulang jati diri negeri kita,” katanya ketika diwawancara TV Darul Iman di sini hari ini. Katanya dalam masa yang sama, kerajaan tidak boleh memberi tumpuan untuk memajukan sukan bola sepak semata-mata, tetapi pemantauan untuk membangunkan sukan negeri Terengganu mesti dibuat secara menyeluruh termasuk juga sukan lain. Jelasnya, sukan negeri Terengganu dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) secara keseluruhan manakala persatuan sukan mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan sukan negeri itu mengikut kapasiti sukan yang dipertanggungjawabkan. “Kita (kerajaan) lebih suka melihat persatuan-persatuan sukan bergerak lebih bebas dan aktif, ada kebebasan dan mereka membuat sesuatu dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. “Saya akan berjumpa dengan pemegang taruh dalam sukan bola sepak termasuk TFC, PBSNT dan bekas pemain-pemain Terengganu yang mencipta nama suatu ketika dahulu untuk mengambil pandangan dan meneliti komen-komen mereka terhadap pasukan bola sepak kita,” ujarnya lagi.
30 Aug 23
213