Artikel "Sukan" Terkini
Kejohanan Taekwando Serlahkan Bakat Muda Ke Peringkat Lebih Tinggi
KUALA NERUS, 16 September - Kejohanan Taekwando Tertutup Terengganu Kali-1 yang berjaya menarik lebih 800 peserta mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat anak muda dalam sukan taekwando di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata penyertaan mereka sekali gus diharap dapat menaikkan mutu kejohanan selain membantu mencari atlet atau bakat baharu untuk mewakili Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 nanti.
"Perjalanan acara pada hari ini cukup penting bagi persiapan menghadapi SUKMA 2024 dalam acara Taekwondo yang sebelum ini ditiadakan tetapi diadakan pada tahun depan.
"Kejohanan ini membantu kita mencungkil bakat yang boleh diketengahkan kerana tanpa kejohanan atlet tidak boleh bersaing...untuk mereka memiliki kenyakinan ketika berhadapan dengan pihak lawan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Kejohanan Taekwondo Tertutup Terengganu Kali-1 bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Taekwando Terengganu, Dato Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Tambahnya, kerajaan negeri juga sentiasa komited memajukan sukan terutama dalam melahirkan ramai atlet muda untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan seterusnya mengharumkan nama negara.
Justeru itu, Hishamuddin berharap Persatuan Taekwando dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan seterusnya berganding bahu untuk membentuk kekuatan bagi menguasai sukan tersebut di peringkat negara
Sementara itu, Mohd Nasir berkata objektif penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menonjolkan kebolehan masing-masing di dalam seni mempertahankan diri taekwondo malah membentuk disiplin dan peribadi mantap bagi melahirkan insan berkualiti serta dapat berbakti kepada masyarakat.
Tambahnya, antara kejayaan pasukan Taekwando Terengganu ialah membawa pulang pingat 14 pingat ketika pertandingan peringkat antarabangsa yang berlangsung di Bangkok baru-baru ini.
Justeru itu, beliau berharap penganjuran program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memantapkan sukan taekwando di Terengganu.
16 Sep 23
779
Kejohanan Kuda Lasak Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Buka Tirai
SETIU, 15 September- Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu membuka tirainya pagi ini.
Berlangsung selama tiga hari, seramai 105 peserta memulakan saingan pagi ini melibatkan tiga kategori iaitu 40KM, 30KM dan VIP 15KM.
Pelepasan flag off disempurnakan Naib Presiden Persatuan Ekuin Terengganu, Nasir Taib di Terengganu International Endurance Park (TIRP), seawal jam 6.30 pagi hari ini.
Dalam kejohanan berkenaan, kategori utama 80KM turut dipertandingkan dan akan bermula esok.
15 Sep 23
906
Kerajaan Digesa Naik Taraf Fasiliti Sukan di Setiu
KUALA LUMPUR, 14 September– Kerajaan Persekutuan digesa supaya menaik taraf kemudahan dan fasiliti sukan di Setiu agar pembangunan sukan tidak terbantut.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, Setiu telah melahirkan ramai atlet yang mewakili negara terutamanya dalam sukan bola sepak seperti Hairuddin Omar, Rahadi Azli Rahalim dan Zubir Azmi.
“Malangnya projek naiktaraf Mini Stadium Sungai Tarom telah dicadangkan dalam Rolling Plan (RP) 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tetapi sehingga kini masih belum diluluskan.
“Dan juga baikpulih fasiliti sukan termasuklah baikpulih Gelanggang Futsal Tertutup Kampung Beris Tok Ku, Kampung Apal, Jabi dan Kampung Gong Sekolah, Batu Rakit," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, beliau juga menyatakan keperluan untuk dibaikpulih fasiliti sukan di Sekolah Sukan Bukit Nenas.
"Yang mana sekolah ini telah melahirkan ramai atlet yang mengharumkan nama negara," jelasnya.
Seterusnya, Shaharizukirnain turut membangkitkan isu perparitan tidak diselenggara dan dibaikpulih di kawasan-kawasan felda.
“Air bertakung yang melimpah masuk ke dalam rumah penduduk, contoh yang berlaku di kawasan saya di Felda Chalok Rahmat, Setiu,” ujar beliau.
14 Sep 23
152
Pertahan Semangat Federalisme, Terengganu Taja LTdL
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Negeri Terengganu secara rasmi diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penaja utama Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) yang akan berlangsung pada 23 hingga 30 Spetember ini.
Dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu, kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu memberi tajaan sebanyak RM800,000 meliputi tajaan wang tunai dan bantuan logistik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim ketika ditanya tentang kesudian menaja kejohanan tersebut meskipun berlainan fahaman politik dengan kerajaan pusat, menyifatkan amalan politik matang dan sejahtera dalam pentadbiran PAS sebagai kerajaan negeri mengangkat semangat federalisme dalam hubungan antara kedua-dua pihak.
"Kerajaan negeri bersikap terbuka dalam hubungan antara kerajaan Pusat dan Negeri. Kita mempertahan semangat federalisme. Hubungan baik antara kedua peringkat ini akan terus dipelihara.
"Apatah lagi dalam agenda sukan kerana sukan untuk semua. Melahirkan atlet datangnya dari lubuk negeri dan dibangunkan pula secara lebih komprehensif di peringkat nasional. Jika atlet kami diangkat, mereka tetap digelar Atlet Malaysia. Ini semangat kesukanan yang telah lama dibina. Tiada agenda politik.
Foto: Le Tour de Langkawi.
"Tempohari juga, kami menerima tajaan Kementerian Belia & Sukan untuk penganjuran Tour Gateh De Tranung(TGDT23). Ia tanggungjawab bersama," katanya.
Tambahnya, kerajaan Terengganu sebenarnya telah bersetuju untuk menaja LTdL 2023 sejak 31 Mei, iaitu semasa rombongan penganjur ke Wisma Darul Iman bagi membentangkan pakej penajaan.
Keputusan tersebut diambil berdasarkan pakej pulangan penjaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan negeri Terengganu ke seluruh dunia.
Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan penjenamaan Beautiful Terengganu telah diberi penghormatan menaja kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dan wakil kerajaan Terengganu akan menyarungkan jersi putih pada setiap peringkat perlumbaan.
Selaras hasrat Terengganu untuk menjadi Land of Cyclist, Terengganu turut diberi penghormatan menjadi lokasi Peringkat 1 LTdL 2023 yang melibatkan laluan sepanjang 184.4 kilometer (km) dari Kerteh ke Kuala Terengganu.
Peringkat 2 sejauh 186.2km juga akan bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.
13 Sep 23
668
TSG Mahu Pertahan Jersi Putih di Le Tour de Langkawi 2023
KUALA TERENGGANU, 13 September- Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) meletakkan sasaran untuk mempertahankan salah satu jersi yang dimenangi tahun lalu, apabila bersaing dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, salah satu jersi yang dimenangi pada tahun yang lalu iaitu jersi Raja Bukit (jersi hijau) yang dimenangi Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif atau Pelumba Terbaik Asia (jersi putih) milik Jambaljambts Sainbayar bakal menjadi keutamaan pasukannya.
"Jadi, enam pelumba bakal menggalas tugas tersebut dalam saingan yang bakal membuka tirai perlumbaan pada 23 September ini.
"Kita akan menurunkan tiga pelumba tempatan iaitu Mohd Harrif Saleh, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Nur Aiman manakala pelumba import terdiri daripada Jeroen Meijers, Sainbayar dan Youcef Reguigui.
"Pelumba-pelumba ini akan diketuai Amirul Fakhruddin selaku ketua pasukan," katanya.
Tambahnya, TSG juga menyasarkan satu podium peringkat selain berusaha memperbaiki prestasi pasukan dalam edisi-edisi sebelum ini.
Lebih menarik, jersi putih LTdL 2023 ditaja oleh kerajaan negeri melalui Beautiful Terengganu yang akan menaikkan semangat pasukan untuk mempertahankannya.
13 Sep 23
261
Penganjuran Tour Gateh D’Tranung Raih Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 9 September – Penganjuran Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) menerima pujian ramai apabila berjaya mengadakan perlumbaan berkonsepkan 'Sport Tourism'.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata 'Sports Tourism' itu dengan melaksanakan siri jelajah berbasikal merangkumi semua daerah dalam negeri ini.
Katanya, ia sekali gus dapat mempromosikan Terengganu di mata dunia melalui sukan berbasikal.
“Penganjuran sebegini amat penting bagi para atlet kita terutamanya yang masih muda supaya dapat menimba ilmu dan pengalaman sebelum ke peringkat yang lebih tinggi.
“Terengganu sentiasa mengalu-alukan sukan sebegini yang memberi manfaat kepada para atlet tempatan dan kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh pengacara ketika siaran langsung di laman Facebook Tour Gateh D’Tranung 2023 bertempat di Jabatan Angkat Kuala Terengganu di sini, semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Presiden, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Terdahulu ketika sidang media Tour Gateh D’Tranung 2023, Hishamuddin berkata program ini melibatkan seramai 164 orang pelumba dengan laluan sepanjang 650 kilometer.
"Pertandingan disertai 27 pasukan antaranya sembilan kelab tempatan, 10 pasukan Sukan Malaysia (Sukma) dan lapan pasukan elit antarabangsa dari Eropah, Qatar, Singapura dan Indonesia.
"Program ini anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) serta beberapa agensi yang turut terlibat," ujarnya.
09 Sep 23
597
Aiman Zariff Takluk Tour Gateh D'Tranung
KUALA TERENGGANU, 9 September - Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menepati ramalan apabila berjaya memenangi juara keseluruhan kategori individu terbaik (jersi biru) semalam.
Aiman berjaya mempertahankan kategori individu terbaik (jersi biru) sepanjang lima hari perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23).
Anak jati Terengganu itu juga berjaya mempertahankan gelaran raja bukit (jersi polkadot) selama tiga kali pertandingan iaitu pada saingan pertama, keempat dan kelima.
Beliau berjaya mencatat masa cemerlang 0:57:23 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.
Peringkat kelima perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula dan berakhir di tengah Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Perlumbaan melibatkan laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu ke tangki air, berpatah balik ke KTCC Mall melalui Pasarnita dan kembali semula ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebanyak 12 kali.
Perjalanan tersebut melibatkan laluan sepanjang 145 km.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.
Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba TSS Racing, Anuar Manan.
Untuk rekod, Tour Gateh D'Tranung melibatkan lima peringkat perlumbaan dengan melalui semua daerah di negeri ini serta menawarkan lima kategori utama.
Lima kategori tersebut iaitu Elit, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun.
09 Sep 23
378
Pelumba TSG Rampas Gelaran Raja Bukit
HULU TERENGGANU, 7 September – Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berjaya merampas kembali gelaran raja bukit (jersi polkadot) saingan peringkat keempat setelah kali terakhir dimenangi olehnya pada saingan pertama.
Pada saingan pertama, beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit).
Pada saingan keempat, Aiman juga berjaya mempertahankan gelaran individu terbaik keseluruhan (jersi biru) selama empat hari pertandingan berlangsung.
Beliau yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 berjaya mencatat masa cemerlang 3:15:28 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.
Aiman berkata perjalanan perlumbaan pada hari ini sangat mencabar dengan laluan berbukit melalui tiga pendakian yang sukar.
"Saingan terhadap pelumba lain juga kuat sekali gus bagus bagi semangat dan motivasi saya dalam persediaan untuk ke Langkawi nanti.
"Di samping, saya berharap jersi biru (kategori individu terbaik) terus menjadi milik saya sehingga saingan terakhir pada hari esok," katanya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pulau Poh, Tasik Kenyir pada hari ini.
Peringkat keempat perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula daripada Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu ke Pulau Poh, Tasik Kenyir yang melibatkan laluan sepanjang 147.65 km.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.
Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli.
07 Sep 23
504
Pelumba Basikal Puji Penganjuran Tour Gateh D'Tranung
DUNGUN, 6 September – Peserta Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) memuji penganjuran program berbasikal tersebut sebagai yang terbaik dan berprestij.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli berkata, laluan sepanjang pertandingan juga amat baik dan sesuai untuk laluan berbasikal.
Katanya, dalam satu Malaysia, hanya di Terengganu sahaja yang dapat dia merasai pengalaman luar biasa ini dengan suasana yang cantik sepanjang laluan.
“Saya sentiasa sokong penganjuran ini jika diadakan lagi untuk setiap tahun.
“Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi dan semangat para pelumba berbasikal di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Penamat Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 2 di Pejabat Daerah dan Tanah Dungun di sini semalam.
Aiman Rosli merupakan pelumba daripada TSS Racing yang telah memenangi jersi hijau (raja pecut) pada saingan kedua.
Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peruntukan sebanyak RM600 ribu disediakan untuk meneruskan program berprestij dalam perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli
06 Sep 23
1252
Aiman Zariff Sasar Kekalkan Jersi Biru TGDT23
BESUT, 6 September- Pemenang jersi biru bagi kategori individu keseluruhan Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) setakat ini, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berazam memastikan penguasaan mutlak ke atas jersi itu kekal menjadi miliknya, menjelang perlumbaan peringkat terakhir dari Kuala Terengganu ke Hulu Terengganu, esok.
Sekalipun tidak berjaya menaiki podium pada peringkat ketiga TGDT23 hari ini, Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu menegaskan bahawa beliau bersedia untuk perlumbaan seterusnya.
"Syukur Aiman masih berjaya mengekal jersi keseluruhan (jersi biru) selama tiga peringkat, esok penentuannya dan Aiman akan cuba kekalkannya.
"Setakat ini, Aiman akan fokus kepada jersi biru sahaja, untuk yang lain Aiman tidak akan usiklah (beri tumpuan)," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan TGDT23 peringkat ketiga di Pantai Peranginan Air Tawar, di sini hari ini.
Namun, Aiman juga menyedari perlumbaan yang akan berakhir di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu memiliki cabaran tersendiri.
"Kami (pelumba) sedia maklum, laluan ke Tasik Kenyir ini mempunyai bukit yang tertinggi, cabaran lebih berliku dan ia merupakan 'Queen Stage' bagi TGDT23 kali ini.
"Walau apa pun esok, Aiman akan cuba buat yang terbaik serta 'all out' untuk pasukan dan diri Aiman," ujarnya yakin.
Dalam saingan hari ini, pelumba kesayangan rakyat Terengganu yang mewakili Armed Forces Cycling Team, Mohd Harrif Saleh mengungguli podium dengan catatan masa 3:20:21 saat.
Harrif turut memenangi kategori 'sprint' hari ini, namun tidak berjaya merampas jersi hijau daripada rakan sepasukannya, Irwandie Lakasik yang mengekalkan jersi tersebut buat hari kedua berturut-turut.
06 Sep 23
202