Artikel "Sukan" Terkini
Pendekatan Mesra Syariah T-Fight Festival Buka Mata Dunia
KUALA NERUS, 1 Oktober- Pendekatan mesra syariah yang diterapkan T-Fight Festival menerima sambutan positif para pengamal sukan berkenaan.
Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu, Master Najmi Abdullah berkata, pendekatan tersebut turut mendapat perhatian Naib Presiden Global Association Of International Sports (GAISF) Stephan Fox yang hadir dalam festival di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
"Pendekatan mesra syariah ini semua ikut, bahkan Stephan menyambut baik dan kata ia membuka mata kepada negara lain kerana banyak petarung-petarung beragama islam seperti Iran, Iraq yang bermain muay thai.
"Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim juga hadir menyaksikan acara utama yang berlangsung malam ini (semalam)," katanya.
Menurutnya, penganjuran kejohanan muay thai dengan konsep baharu itu ternyata mampu menarik lebih banyak peminat ke acara tersebut.
"T-Fight ini baru kali pertama dijenamakan dan merupakn pertama kali kejohanan muay thai dalam bentuk festival yang mengandungi aktiviti e-sukan, awang nelang (bina badan), kejohanan remaja, kick boxing dan larian.
"Sambutan sangat menggalakkan dan sepanjang dua hari kita dapat menarik sambutan sekitar 15 ke 20 ribu pengunjung," katanya.
Najmi menambah, penilaian semula akan diadakan bersama kerajaan negeri selepas ini untuk memastikan T-Fight Festival dapat terus dijayakan pada masa akan datang.
" Kita orang sukan dan kita mahu tarik ramai orang datang menyertai sukan-sukan ini. Jadi, kita akan buat pos mortem dengan negeri sebelum memutuskan untuk buat lagi tahun depan.
"Kalau yang ini okey (baik) kita akan buat tahun depan, lebih berkembang dengan sambutan lebih menggalakkan," katanya.
01 Oct 23
297
LTDL : Terengganu Jadi Tumpuan Dunia
KUALA TERENGGANU, 24 September – Terengganu menjadi tumpuan dunia setelah menjadi tuan rumah perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 pada pusingan pertama dan kedua.
Perlumbaan pertama LTDL bermula daripada Kerteh ke Kuala Terengganu yang melibatkan laluan sepanjang 187.4 km.
Perlumbaan yang berakhir di Dataran Shahbandar itu turut menawarkan tiga zon pecut di Dungun, Ajil dan Tok Jamal selain dua zon bukit di Jerangau dan Sekayu.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri mengucapkan selamat datang kepada semua peserta, pihak pengurusan, penonton dan semua yang terlibat dengan Petronas Le Tour De Langkawi 2023.
“Buat perhatian semua juga, ada beberapa jalan yang ditutup bagi memberi laluan kepada program ini.
“Boleh rancang perjalanan anda bagi pengguna jalan-jalan yang terlibat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya semalam.
Terengganu merupakan penaja utama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dalam satu majis yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil baru-baru ini.
Terengganu tampil dengan jumlah penajaan hampir RM1 juta meliputi tajaan wang tunai berjumlah RM800,000 selain menyediakan bantuan logistik.
Peringkat kedua perlumbaan hari ini bermula di ‘Drawbridge’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2km.
24 Sep 23
1991
Sukan Air Curi Tumpuan Rakyat
KUALA NERUS, 24 September - Pertandingan Sukan Air Sempena Sambutan 25 Tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu (Jubli Perak) telah mencuri tumpuan ramai.
Acara penuh gilang gemilang itu telah diadakan di Jeti Pengkalan Jeram, Tepuh bermula 9.15 pagi.
Pelbagai acara dipertandingkan melibatkan lapan pejabat daerah dan lapan komuniti antaranya ialah Perlumbaan Perahu Panjang (Dragon Boat), Tangkap Itik, Gusti Air dan Panjat Tiang Licin.
Kemuncak program berkenaan telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Dalam program terbabit, Daerah Kuala Terengganu telah muncul juara Perahu Panjang.
24 Sep 23
384
Tegshbayar Sedia Pertahan Jersi Beautiful Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 September- Pelumba Roojai Online Insurance (ROI) dari Thailand, Batsaikhan Tegshbayar bersedia mempertahankan jersi putih Beautiful Terengganu (Pelumba Terbaik Asia) dalam perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, hari ini.
Pelumba kelahiran Mongolia itu memenangi jersi putih tajaan kerajaan Terengganu pada perlumbaan peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer, semalam.
"Ini kali pertama saya memenangi jersi dalam LTdL, jadi sudah semestinya saya akan cuba mempertahankannya," katanya yang ditemui sebelum pelepasan perlumbaan peringkat kedua LTdL 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, hari ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu turut berharap mencipta nama dalam Jelajah LTdL 2023 selepas menjuarai Tour of Thailand 2023 yang berlangsung pada April lalu.
Dalam majllis pelepasan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pagi ini, 'flag off' disempurnakan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2023 melibatkan laluan sepanjang 186.2 kilometer yang merangkumi dua zon pendakian dan tiga zon pecutan.
24 Sep 23
413
Pelumba Terengganu Cemerlang Sarung Jersi Raja Bukit
KUALA TERENGGANU, 23 September – Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan pertama setelah memperoleh jersi polkadot (raja bukit).
Peringkat pertama perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi 2023 bermula daripada Kerteh ke Kuala Terengganu yang melibatkan laluan sepanjang 187.4 km.
Aiman Zariff berkata, walaupun menghadapi kesukaran terutama untuk melepasi 30 kilometer terawal, dia bersyukur berjaya mendapatkan rentak tidak lama selepas itu.
“Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat sebelum menghadapi LTDL, ia membantu saya keluar daripada masalah.
“Seperti menyertai Tour Of Iran, Tour Gateh De Terengganu dan pelbagai lagi latihan bagi menghadapi perlumbaan berprestij ini.
“Motivasi untuk LTDL 2023 ini berbeza dengan sebelumnya kerana pengalaman yang saya dan perlumbaan bermula di Terengganu.
“Insya-Allah saya akan lakukan terbaik sepanjang LTDL 2023 ini,” jelasnya.
Dia berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Penyarungan Jersi dan Penyampaian Hadiah Petronas Le Tour De Langkawi 2023 Peringkat Pertama bertempat di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Peringkat Pertama LTdL 2023 menyaksikan pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn membolot dua jersi iaitu jersi hijau (juara keseluruhan) dan jersi oren (raja pecut).
Manakala, jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dimenangi oleh Pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan.
Peringkat kedua perlumbaan esok akan bermula di ‘Drawbrige’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2 km.
23 Sep 23
1654
Aura Kampung Sendiri, Afif Ungguli Cub Prix di Terengganu
KUALA NERUS, 23 September - Pelumba kelahiran Dungun, Ahmad Afif Amran membuktikan aura halaman sendiri apabila mengungguli kategori CP150 pada perlumbaan Pusingan Ke-7 PETRONAS Malaysia Cub Prix 2023.
Dalam perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu itu, Afif memintas pendahulu yang juga rakan sepasukannya dari Petronas Sprinta Yamaha- CKJ Racing, Md Akid Aziz pada pusingan terakhir untuk muncul juara denga perbezaan masa 0.764 saat.
"Rezeki saya menang hari ini, semangat tempat sendiri itu luar biasa.
"Sebenarnya, sudah lama saya tidak menang di sini, kali terakhir menang pada 2018," katany ketika ditemui selepas perlumbaan, hari ini.
Tambahnya, pada permulaan perlumbaan, beliau fokus mengekori rapat pendahulu dan mencari peluang untuk memintas.
"Perlumbaan tadi, Akid mula langkah lebih cepat dari saya.
"Rakan sepasukan memang kuat race pace, jadi saya cuba ikut dan mencari ruang untuk mencelah tetapi dia tidak melakukan kesilapan.
"Pada tiga pusingan terakhir, 'laps time' Akid agak menurun dan saya ambil kesempatan untuk memintasnya pada pusingan terakhir," ceritanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu menyifatkan, kemenangan kali ini merupakan tonik terbaik untuk mencabar kejuaraan PETRONAS Malaysia Cub Prix 2023.
Beliau kini menduduki kedudukan kedua keseluruhan dengan 114 mata, tujuh mata dibelakang Akid dengan baki tiga pusingan perlumbaan.
23 Sep 23
492
Terengganu FC Lakar Kemenangan Pertama Piala AFC
KUALA NERUS, 20 September - Terengganu FC merakamkan kemenangan berharga apabila menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners FC, 1-0 pada aksi pertama Piala AFC 2023, malam ini.
Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu FC turun dengan kesebelasan utama yang menang ke atas Selangor FC tempoh hari.
Namun, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner melakukan sedikit perubahan dengan meletakkan Mohamad Arif Fadzilah selaku pertahanan kiri menggantikan Alif Zakaria.
Tuan rumah hampir dikejutkan seawal minit kedua apabila penyerang Mariners, Marco Tulio melakukan sepakan gunting yang menerjah sisi gawang.
Pelawat terus garang menggasak kubu Sang Penyu.
Penyerang, Angel.T berjaya melepasi perangkap offsaid untuk berdepan satu lawan satu dengan Suhaimi Husin pada minit ke-16, tetapi penjaga gol Terengganu FC itu cemerlang mengawal gawangnya.
Pada minit ke-30, Terengganu FC melakukan serangan balas bagaimanapun lorongan Ivan Mamut gagal disudahkan Nor Hakim Hassan.
Mariners yang berbekal kelebihan fizikal lebih banyak menguasai perlawanan, namun tuan rumah tampak berani bermain secara terbuka dan menyerang balas.
Memasuki minit tambahan separuh masa pertama, Nurillo Tukhtasinov melakukan hantaran lintang rendah yang ditampan pertahanan lawan, Nathan Paull ke gawang sendiri.
Kesilapan tersebut memberi kelebihan tuan rumah mendahului pada tamat separuh masa.
Mariners memulakan aksi babak kedua dengan lebih agresifdengan tandukan kencang Alou Kuol pada minit ke-45 yang melewati palang.
Pada minit ke-75, Habib Haroon melakukan rembatan dari luar kotak penalti tetapi hanya menggegar tiang gol.
Pelawat melakukan beberapa lagi percubaan merbahaya, namun keampuhan benteng Terengganu FC menafikan sebarang gol dijaringkan.
Sang Penyu berjaya memperoleh tiga mata berharga dalam perlawanan pertama Piala AFC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga kedua Kumpulan G.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, pasukan dari Indonesia, Bali United merebut kedudukan pendahulu kumpulan setelah menang 5-2 ke atas pasukan Stallion Laguna FC dari Filipina.
20 Sep 23
243
Jaringan Sulung Syahmi Bantu Terengganu FC Menang Selesa
KUALA NERUS, 16 September - Pemain muda meningkat naik, Muhammad Syahmi Zamri,23, menggamatkan stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) apabila jaringan minit terakhirnya membantu Terengganu FC memiliki bekalan selesa dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023, sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC menang 2-0 ke atas Selangor FC hasil jaringan Ivan Mamut dan jaringan peribadi pertama dihasilkan Syahmi buat Terengganu FC.
Seawal minit ke-5, tuan rumah sepatutnya sudah selesa di depan apabila Ivan Mamut yang menerima lorongan Sony Norde berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville.
Sayangnya, penyerang kelahiran Croatia itu gagal membuka tirai jaringan.
Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner terus menguasai perlawanan dengan Ivan sekali lagi mendapat peluang di depan gol lawan pada minit ke-22.
Kali ini, rembatannya ditampan pertahanan kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin.
Gergasi Merah melakukan serangan balas pada minit ke-22, namun rembatan Ayron Rodriguez hanya singgah di sisi gawang.
Pada minit ke-34, Ayron sekali lagi melepasi kawalan pertahan tuan rumah, tetapi rembatannya ditampan penjaga gol, Suhaimi Husin yang telah bersedia di depan gawang.
Memasuki minit tambahan separuh masa pertama, pemain tengah Sang Penyu, Nurillo Tukhtasinov dijatuhkan Quentin Cheng di dalam kotak penalti.
Ivan Mamut mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk Terengganu FC mendahului 1-0 pada tamat separuh masa.
Memasuki babak kedua, Selangor FC menggandakan asakan ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-57, Richmond Boakye-Yiadom menanduk bola hantaran lintang, namun berjaya ditampan Suhaimi.
Sepuluh minit kemudian, penyerang kebangsaan, Faisal Halim melepaskan rembatan dari luar kotak penalti tetapi tidak menepati sasaran.
Memasuki minit terakhir perlawanan, Faisal berjaya melakukan hantaran lintang rendah yang disudahkan Brendan Gan.
Bagaimanapun, Safwan Mazlan berhasil menghalang bola memasuki gawang sebelum diselamatkan Suhaimi.
Serentak itu, serangan balas terakhir dilancarkan Terengganu FC.
Nik Sharif Haseefy melakukan hantaran lintang yang ditanduk kemas Syahmi untuk gol kedua perlawanan, sekaligus memusnahkan harapan Selangor FC membawa pulang sebarang jaringan.
Keputusan penuh perlawanan menyaksikan Tomislav dan pasukannya membawa bekalan dua gol untuk perlawanan kedua di Petaling Jaya, 24 September nanti.
16 Sep 23
384
'Explorace' Beliawanis Jadi Terapi Kesihatan Mental
KUALA NERUS, 17 September - Penganjuran Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 mampu menjadi terapi masalah kesihatan mental di kalangan kaum wanita di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Khairunnisa' Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata, program itu amat baik untuk wanita muda serta golongan yang berumur.
"Aktiviti sukan dan rekreasi merupakan satu bentuk terapi yang berkesan dalam memupuk kekuatan diri secara berpasukan.
"Yang mana pentingnya dalam kita menjaga minda dan tubuh badan," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Mawaddah negeri Terengganu berkata demikian ketika merasmikan program Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 di Bandar Al-Wattiqu Billah, Kuala Nerus, pada kelmarin.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama menjaga minda dan tubuh badan kerana dua perkara tersebut adalah yang paling utama perlu dijaga.
"Paling penting melaksanakan amalan yang diredhai oleh Allah swt.
"Saya berharap agar program ini dapat diteruskan kerana ia sebenarnya bukan semata-mata untuk sambutan Hari Kemerdekaan.
"Program ini kena ada kesinambungan paling tidak diadakan di peringkat negeri sebulan sekali dan juga di peringkat daerah," jelas beliau.
16 Sep 23
264
Wanita Ajil Juara Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka
KUALA NERUS, 16 September - "Kami akui terkejut apabila diumumkan sebagai Juara Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0," kata salah seorang pemenang berkumpulan, Siti Zaharah Sudin, 29.
Katanya, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut kerana kumpulan lain dilihat lebih kuat.
"Terkesima, terkejut dan tak percaya apabila dinobatkan sebagai juara sebab rasa macam orang lain hebat lagi daripada kami," jelasnya.
Dia yang menetap di Kampung Merbau Pulas, Ajil, berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 yang di adakan di Bandar Baru Kuala Nerus, pada semalam.
Dia turut menceritakan bagaimana keterlibatan dalam explorace yang mana bermula dengan ajakan adiknya.
"Adik saya (Aisyah) nak sertai sangat explorace ini, pastu dia cari orang untuk cukupkan empat orang dan terbentuklah pasukan kami ini.
"Anyaman ketupat menggunakan reben paling mencabar sebab kami tak pandai menganyam ketupat nasi.
"Kalau ketupat palas kami pandailah tapi kami cuba siapkan jugak walaupun terpaksa gunakan stapler untuk siapkan sebiji sarang ketupat," ujarnya.
Justeru itu, dia berharap agar program itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
"Alhamdulillah sangat baik dan dapat menarik minat orang muda untuk sertai.
"Di samping bermain ada juga dapat ilmu dan dapat sihatkan badan.
"Berbaloi sangat hadiah yang dapat. Hilang penat walaupun pusing 'roundabout' Bandar Kuala Nerus.
"Kalah dan menang adat permainan dan jangan takut untuk sertai lagi program-program seperti ini akan datang," tambahnya lagi.
Katanya, pasukannya orang terdiri daripada Siti Aishah Sudin, 26, tinggal di Kampung Merbau Pulas, Mazila Muda, 40, Taman Hadhari, dan Norshahida Bbdul Manaf, 26 menetap di Kampung Tok Randok.
16 Sep 23
462