Artikel "Sukan" Terkini
Dua Pelumba Cilik Terengganu Ke Pentas Akhir di Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Terengganu terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung membanggakan negeri ini di persada dunia.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata terbaharu Terengganu meraih nama di pentas sukan permotoran melalui dua pelumba cilik Qabil Irfan Azlan dan Ariel Marzuki.
"Qabil Irfan telah berjaya merangkul gelaran juara dan Ariel Marzuki menyandang gelaran naib juara dalam kategori Kelas 160cc FIM MiniGP Malaysia Series.
"InsyaAllah, kedua-dua pelumba cilik kita bakal berentap di Kejuaraan Akhir Dunia di Valencia, Sepanyol," ujarnya di laman rasmi facebook beliau hari ini.
Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata beliau dan seluruh rakyat Terengganu akan mendoakan kejayaan di peringkat antarabangsa nanti.
16 Oct 23
1238
Terengganu Tak Halang Atlet Bukan Muslim Sertai Gimnastik, Gimrama
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengalu-alukan atlet bukan Muslim kelahiran negeri Terengganu menyertai sukan gimnastik, gimrama, renang dan seangkatannya bagi mewakili negeri berkenaan dalam Sukan Malaysia (Sukma).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap, akan muncul atlet bagi sukan-sukan berkenaan dalam kalangan enam peratus rakyat bukan Muslim di negeri itu.
"Bagi sukan gimnastik, gimrama dan semua ini kita telah putuskan pada penggal lalu lagi untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Muslimah. Adapun bagi mereka yang bukan Muslim dan hendak sertai, MSNT akan memberi sokongan dan membantu dari aspek latihan.
"Sebelum ini kita (kerajaan negeri) telah berusaha untuk mencari kaedah pemakaian sesuai, namun ia terikat dengan undang-undang sukan tersebut. Jadi, pemakaian yang dihasilkan masih lagi tidak menepati piawaian syariah.
"Walaupun ada pelbagai komen dari banyak pihak, kami ambil pendirian untuk tidak hangatkan perkara tersebut. Pendirian kita juga cukup jelas, kita sudah ada garis panduan dan di dalamnya, ada yang fleksibel serta ada yang kita ambil ketegasan kerana kita tidak boleh berkompromi dengan perkara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, semalam.
Tambahnya, garis panduan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Terengganu sebenarnya diambil dari garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), cuma perbezaannya ialah kerajaan negeri cuba melaksanakan perkara itu pada sudut dan kemampuan yang ada.Â
Hishamuddin turut menafikan tindakan satu-satunya atlet gimnastik Terengganu pada Sukma 2022, Tok Exin berhenti mewakili negeri disebabkan garis panduan yang dikuatkuasakan.
Jelasnya, pihak MSNT menyediakan sokongan dan keperluan bahkan, atlet berkenaan pernah berlatih di bawah jurulatih yang dibawakan dari China semasa di Terengganu.
"Tidak timbul soal beliau tidak mendapat sokongan, tetapi beliau tidak meneruskan hasrat kerana menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), itu yang disampaikannya kepada pihak MSNT.
"Beliau atlet bukan Muslim dan telah berada di bawah jagaan MSNT sehingga penggal lalu. Itu buktinya kita menyediakan keperluan dan menyokong.
"Apa yang perlu ditimbulkan sekarang ini, tak akanlah dalam ramai bukan Muslim di negeri Terengganu, tidak ada yang berminat menyertai gimnastik? Begitu ramai bukan Muslim di Terengganu pun tiada yang berminat bermain gimnastik, tak akanlah kita hendak paksa orang Muslim? Pada kita jika ada, kita (MSNT) akan membantu dan memberi dorongan," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menganggap hasrat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk bertemu Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) adalah pertemuan antara kerajaan dan persatuan semata-mata.
"Menteri hendak berjumpa, kita alu-alukan. Kita tiada sebarang halangan kerana pertemuan itu antara kerajaan dan persatuan. Setakat penggal baru ini, masih belum ada komunikasi antara saya dan persatuan cuma pada penggal lepas telah ada (penjelasan tentang perkara ini) melalui YB Wan Sukairi Wan Abdullah (exco terdahulu)," katanya.
Â
15 Oct 23
427
Lebih 3,000 Pengunjung Sertai Hari Sukan Negara di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober- Lebih 3,000 pengunjung membanjiri Dataran Batu Buruk, di sini sempena sambutan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini.
Dalam sambutan yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali itu, pelbagai acara diadakan termasuk Fun Walk, Fun Run dan Fun Ride sejauh 30 Kilometer (km) dari Dataran Batu Buruk ke Kuala Nerus.
Selain itu, terdapat penganjuran karnival silat pantai, kejohanan penalti pantai, kejohanan pentanque, trail walk community dan pameran oleh agensi serta jabatan kerajaan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Â
14 Oct 23
666
Sabri 'Nakhoda' Baharu Terengganu FC Sdn Bhd
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Mohd Sabri Abas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Â Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang baharu, berkuatkuasa semalam.
Keputusan itu diumumkan di media sosial Terengganu FC hari ini, setelah pelantikan secara rasmi dibuat dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kali ke-3, dipengerusi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim di sini, semalam.
Sabri sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi TFCSB sejak tahun 2020.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ahli Lembaga Pengarah melihat kredibiliti serta pengalaman dimiliki beliau menjadikannya calon terbaik bagi menerajui TFCSB kini.
Untuk makluman, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBSNT yang turut berlangsung semalam, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan merujuk kepada Statut PBSNT, telah melantik Hishamuddin sebagai presiden yang baharu menggantikan dirinya.Â
Â
09 Oct 23
1395
Terengganu Tidak Sekat Kebebasan Atlet Bukan Muslim
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Kerajaan Terengganu tidak pernah melarang atau menyekat kebebasan atlet wanita bukan Muslim untuk mewakili negeri dalam acara sukan seperti gimnastik dan renang sekalipun ia tidak mematuhi konsep mesra syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan Negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berharap, kenyataannya sebelum ini difahami sebaiknya.
"Kita telah jelaskan dari awal, ia tidak terikat bagi bukan Muslim, kita tidak boleh paksa mereka tutup aurat dan syarat ini tertakluk dalam atlet Muslim sahaja kerana tanggungjawab kita untuk menjaganya.
"Kita jaga orang bukan Muslim sama sahaja, kalau agama mereka kata boleh maka, tiada masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas pra pelancaran International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023, di sini kelmarin
Tambahnya, apa yang penting individu tersebut perlulah berbakat dan berasal dari Terengganu untuk layak mewakili negeri.
Menurut Hishammuddin, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang lalu, Terengganu menghantar atlet gimnastik berbangsa Cina.
"Ada, atlet renang juga ada," ujarnya.
Â
Â
Â
Â
Â
07 Oct 23
576
Siapa CEO Terengganu FC?
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Teka-teki ketua pegawai eksekutif Terengganu FC bakal terjawab pada Ahad ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishammuddin Abdul Karim keputusan itu akan dinoktahkan selepas mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada hari berkenaan.
"Buat masa ini, tugas tersebut akan dipangku Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Sabri Abas.
"Walaupun Terengganu FC diswastakan, ia masih terikat dengan sumber daripada kerajaan negeri.
"Lazimnya, kita akan utamakan posisi tersebut dengan individu daripada kumpulan pegawai tadbir negeri untuk mengisi kekosongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran Internacional Golden Monsun Ride (IGMR) 2023, di sini hari ini.
Beliau sempat merakamkan ucapan tahniah atas peningkatan prestasi Terengganu FC di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Prestasi semakin baik, tahniah kepada pasukan Terengganu FC kerana mencatatkan keputusan membanggakan terutama dalam saingan Piala AFC," katanya.
Sebagai rekod, CEO Terengganu FC sebelum ini, Ab Rasid Jusoh meninggalkan kelab pada awal Oktober lalu, selepas dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ( Pengurusan ).
05 Oct 23
2067
13 Kategori Perlumbaan 'Hangatkan' IGMR 2023
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023 menawarkan 13 kategori perlumbaan melalui kejohanan edisi ketiganya pada 16 Disember ini.
Kategori dipertandingkan ialah Men Elite, Men Open dan Junior, Master A,B,C, Women Open dan Master, Heavyweight, Fat Bike Open, E-Bike Open dan Gravel Bike Open.
Satu lagi kategori ialah kayuhan Fun Ride Open yang menampilkan pelumba-pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata, IGMR menawarkan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM31,000.
"Acara sukan berbasikal ini akan diadakan di Teluk Kalong ,Kemaman.
"Peserta-peserta bagi semua 13 kategori akan menempuhi laluan beberapa destinasi pelancongan dan trak 'off road' di Kijal dan Kemasik," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Pra Pelancaran IGMR 2023 di KTCC Mall, hari ini.
Lebih menarik, acara tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000 dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 Auto.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir, timbalannya Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, pengurusan EPIC Berhad serta ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.
Pendaftaran dibuka kepada orang ramai sehingga pertengahan November melalui pautan https://bit.ly/DaftarIGMR2023 dengan tawaran 'early bird' sah sehingga 15 Oktober ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook kejohanan- IGMR 2023.
Â
Â
Â
Â
Â
Â
Â
Â
05 Oct 23
383
Terengganu Serius Didik Atlet Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober- Kerajaan negeri sentiasa serius dalam melaksanakan dasar sukan patuh syariah termasuklah pemakaian menutup aurat dalam ruang lingkup kuasa yang ada.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelbagai usaha juga dilaksanakan dalam menjayakan hal itu termasuklah mengeluarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu pada tahun 2020.
"Buat masa ini kita memang membawa penerapan dasar atlet patuh syariah, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. jadi, kita mengukuhkannya melalui pendekatan mesra syariah untuk mereka (atlet) mula lakukan perubahan dan proses ini perlu untuk bimbing serta beri kesedaran kepada mereka.
"Kita tidak ambil pendekatan terus kepada penguatkuasaan. Sebaliknya, lebih kepada pendidikan dan menyelaraskan kesesuaian dengan pendekatan-pendekatan yang kita terokai," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini.
Menurut ADUN Tepoh itu, sebelum ini terdapat usahasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mereka bentuk pakaian atlet secara patuh syariah bagi menjayakan penerapan itu secara menyeluruh.
"Perkara tersebut tidak diteruskan disebabkan adanya kekangan kewangan ketika itu dan kita tidak mampu memenuhi keperluan dari pihak UniSZA,.
"Tetapi, kita berusaha dalam beberapa segmen sukan umpamanya basikal yang mana kita telah terima beberapa pakaian namun, sebagaimana saya katakan tadi, agak sukar menepati patuh syariah kerana ia melibatkan aspek keselamatan, undang-undang melibatkan Persatuan Basikal Antarabangsa (UCI) apabila menyertai pertandingan dan tidak semudah itu untuk diguna pakai.
"Jadi, kita akan sesuaikan dari masa ke masa secara 'internal' dan saya akan terus berinteraksi membawa hasrat ini kepada atlet-atlet kita," katanya.
Oleh demikian tambahnya, kerajaan negeri akan meneruskan keputusan untuk tidak menyertai acara-acara sukan yang sukar untuk diterapkan konsep mesra syariah sebagaimana penggal terdahulu.
"Ada sesetengah sukan-sukan yang kita tidak sertai seperti gimnastik, gimrama kerana kita terpaksa untuk tidak berkompromi dalam perkara ini dan kita harap pihak-pihak terbabit menghormatinya.
"Bukan kita membenci sukan itu, tetapi untuk membiarkan atlet negeri kita keluar dalam keadaan begitu, ia tidak sesuai," ujarnya.
Namun, beliau menegaskan atlet bukan Muslim yang mewakili negeri Terengganu tidak terikat dengan polisi itu.
Â
04 Oct 23
191
Ragbi Piala Agong 2023: Raja Muda Bantu Terengganu Belasah Selangor
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- DTYM Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berkenan membantu pasukan Ragbi Terengganu membelasah Selangor dalam aksi pertama Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023, Sabtu lalu.
Baginda yang masuk sebagai pemain gantian membantu pasukan mencatatkan dua try terakhir untuk Terengganu menang bergaya dengan skor 72 - 6.
Dalam perlawanan minggu kedua yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, Terengganu mendahului 36-0 pada separuh masa pertama melalui lima try dan empat conversion.
Bersambung separuh masa kedua, Terengganu menjarakkan kedudukan kepada 53-0 sebelum Selangor berjaya mendapatkan tiga mata pertama setelah pemain mereka dikasari.
Foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu
Berbaki tiga minit sebelum tamat permainan, Selangor menambah tiga mata lagi sebelum Terengganu menutup saingan dengan dua lagi try menjadikan skor 72-6 pada akhir perlawanan.
Kemenangan tersebut melonjakkan semangat Terengganu menjelang aksi minggu ketiga menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan penentuan juara kumpulan D, pada 7 Oktober ini.
Sebanyak 14 pasukan beraksi dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 bermula dengan aksi peringkat kumpulan yang diadakan secara liga sepusingan (round robin), dengan lima juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik mara ke suku akhir.
Aksi suku akhir akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 hingga 15 Oktober, manakala perlawanan separuh akhir pada 18 Oktober, penentuan tempat ketiga/keempat dan final pada 21 Oktober akan berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.
Ragbi Piala Agong 2023 boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Malaysia Rugby dan Ragbi Online.
Â
02 Oct 23
644
Pasukan Ragbi Mahu Hadiah Kemenangan Buat Sultan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Pasukan Ragbi Terengganu bertekad menjuarai Ragbi Piala Agong 2023 sebagai hadiah kepada DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, tahun ini.
Presiden Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Mohamad berkata, pasukannya berhasrat merampas kembali kejuaraan daripada juara bertahan iaitu pasukan Putrajaya, juga sebagai hadiah kepada Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli berkenan menjadi antara tonggak pasukan itu bagi saingan kali ini.
"Tahun ini Alhamdulillah, Baginda mencemar duli untuk bersama pasukan dan ini memberikan impak kepada semangat pemain.
 "Baginda masuk sebagai pemain gantian untuk membantu kita mencatat dua try terakhir pada kemenangan 72-6 ke atas Selangor, tempoh hari," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Tambahnya, dalam perlawanan pertama menentang Selangor, pasukan masih lagi mencari kesesuaian posisi bagi pemain-pemain.
Foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu
"Selangor tiada pemain import dan ini merupakan peluang kepada kita menilai pemain yang rata-rata sudah lama tidak beraksi. Pada 'game' itu, kita mahu lihat komitmen dan dari segi kesesuaian posisi pemain import terutama dari Fiji.
"Saingan kita antaranya ialah pasukan Sabah, yang kembali beraksi pada tahun ini. Selain itu, pasukan PDRM dan juara bertahan tahun lalu, Putrajaya.
"Pada aksi terakhir kumpulan nanti (7 Oktober), kita mahu menang dengan Negeri Sembilan untuk mengungguli kumpulan kerana secara psikologinya ingin menunjukkan kepada lawan bahawa Ragbi Terengganu harus diberi perhatian," katanya.
Ragbi Piala Agong 2023 berlangsung bermula 23 September sehingga 21 Oktober ini dan boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Malaysia Rugby dan Ragbi Online.
Â
02 Oct 23
418