lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Terengganu FC Seru Penyokong Angkat Bendera Palestin
Terengganu FC Seru Penyokong Angkat Bendera Palestin
KUALA TERENGGANU, 1 November - Terengganu FC (TFC) menyeru kepada seluruh penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Jumaat ini untuk sama-sama mengangkat bendera Palestin.  TFC dalam satu kenyataan hari ini berkata, solidariti di perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 di antara TFC menentang Kuala Lumpur City bakal dilakukan ketika nyanyian lagu Negaraku. Katanya, ia sebagai simbolik terhadap apa yang berlaku atas dasar keamanan dan kemanusiaan. "Kami menyeru supaya penyokong mempamerkan aura yang berbeza. "Di samping itu, lontaran suara yang dapat didengari dari Besut hingga ke Kemaman, 90 minit gema sorakan tanpa henti.  "Antara perkara menarik yang bakal dijayakan pada Jumaat ini iaitu TIFO Gergasi dari ultras dan kelab penyokong," ujar kenyataan itu. Seru TFC lagi, seluruh penyokong akan melakukan tepukan pembukaan 'Tranung Engkaulah Jiwaku' sebelum sepak mula yang akan diketuai oleh Ultras Tranung. "Memasuki separuh masa kedua, ‘Half Time Show Product Toss’ akan diadakan yang melibatkan ratusan barangan cenderahati daripada Manis FM dilontarkan kepada penyokong yang hadir. "Tabung derma Palestin juga disediakan yang akan ditempatkan di setiap pintu masuk stadium.  "Kutipan akan dilakukan oleh Jabatan Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT)," jelasnya.  
01 Nov 23
343
Setiu Jamboree MTB Challenge 2023 Tawar Hadiah RM25,000
Setiu Jamboree MTB Challenge 2023 Tawar Hadiah RM25,000
Setiu, 31 Oktober -Jamboree Mountain Bike (MTB) Challenge 2023 tahun yang bakal berlangsung di Lata Payung, Setiu, di sini pada 18 dan 19 November 2023 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM 25,000. Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu Yang Mulia (YM) Raja Faisal Raja Haron berkata kejohanan tersebut menyaksikan 12 kategori keseluruhan dipertandingkan. "Untuk lelaki, kita ada kategori Men Junior (18 tahun kebawah), Men Master (19 -29 tahun), Men Senior (30-39 Tahun),  Men Veteran (40- 49 tahun), Men Otai (50 tahun keatas), Men Open (Terbuka). "Kategori wanita pula melibatkan Women Senior (35 tahun keatas) dan Women Open (Terbuka). Tambahan kita juga ada kategori Heaveyweight 90 KG (Terbuka), Fat Bike (Terbuka), E-MTB (Terbuka) dan Kakitangan Kerajaan Terengganu (Terbuka)," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini. Dalam pada itu katanya, kejohanan edisi sulong di Setiu ini menyasarkan 1000 penyertaan dan setakat ini lebih 700 peserta telah mengesahkan kehadiran dan ada peserta daripada Singapura dan Thailand. Raja Faisal berkata kayak kayuhan sejauh 30 kilometer melalui jalan hutan, denai dan sungai akan memberi lebih cabaran kepada pelumba. Pemdaftaran masih dibuka kepada orang ramai dan peserta yang berminat boleh hubungi talian 013-9606953 (Din Nejar) dan 019-2532483 (Yusrizal). Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap Azmi Maarof berkata melalui penganjuran sukan tersebut dapat mempromosikan tempat perkelahan itu di mata dunia. "Dengan adanya penganjuran berkaitan sukan di Setiu dan di DUN Langkap secara khususnya bilangan pelancong akan meningkat, seterusnya akan menambah pendapatan penduduk setempat melalui sewaan 'homestay' dan perniagaan lain," katanya.
31 Oct 23
346
Sultan Mizan Berangkat Sampaikan Hadiah Pertandingan Kuda Lasak
Sultan Mizan Berangkat Sampaikan Hadiah Pertandingan Kuda Lasak
SETIU, 29 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah Pertandingan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2023 bagi Acara 120 kilometer (km) Individu dan berkumpulan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong di sini hari ini. Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Ketibaan Baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Nara Setia. Penunggang Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari dari State of Terengganu Endurance Team (STET) menjadi Johan Acara 120 km individu dan membawa pulang wang tunai RM18,480 beserta piala, medal dan barangan elektrik. Naib Johan acara tersebut,  Mohamad Adhwa Embong juga dari STET, yang menunggang kuda bernama Cha Magic membawa pulang RM14,840, sebuah piala, medal dan barangan elektrik. Sementara tempat ketiga dimenangi oleh Lans Kopral Muhammad Aminuddin Ali dari Royal Kelantan Endurance memakai vest bernombor 14 dengan menunggang kuda bernama Wattle Tree Echo membawa pulang RM10,080, sebuah piala , medal dan barangan elektrik. Bagi acara 120km berkumpulan pula Kumpulan STET terdiri dari penunggang Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari, Mohamad Adhwa  Embong, Muhammad Nurhan Fawwaz Mohd Nuhairi dan Mohammad Fuad Hashim mendapat johan dengan mencatat masa 22 jam 18 minit 56 saat membawa hadiah RM20,000, sebuah piala dan medal. Manakala kumpulan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES)  terdiri dari Sultan Mizan Zainal Abidin, Mohd Yunus  Abdullah dan Osman Mohd Jaafar membawa pulang hadiah RM10,000, sebuah piala dan medal. Kuda terbaik Kejohanan kali ini ialah Cha Magic ditunggangi oleh Mohamad Adhwa Embong dari STET memakai vest bernombor 16 dengan membawa pulang hadiah bernilai RM25,000. Setiap peserta bagi kategori 120km mendapat hadiah RM4,000.  
29 Oct 23
195
1,400 Berlari, Berbasikal Sebar Kepentingan Kesihatan Mental
1,400 Berlari, Berbasikal Sebar Kepentingan Kesihatan Mental
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Seramai 1,400 rakyat Terengganu menyertai Fun Run & Ride Mental Health 2023 yang berlangsung di Dataran parkir Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam program itu anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu itu, aktiviti larian sejauh empat kilometer merentasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu diadakan sebagai acara utama. Selain itu, turut diadakan aktiviti berbasikal sejauh 45 kilometer dengan kerjasama Terengganu Cycling Team (TSG) Corporation. Program disempurnakan dengan perasmian oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan turut dihadiri Timbalan SUK (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Program Fun Run & Ride Mental Health 2023 diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Oktober. Hari antarabangsa itu dikhususkan bagi pendidikan kesihatan mental di peringkat global serta advokasi dan kesedaran umum terhadap stigma sosial berkaitan isu tersebut.
28 Oct 23
134
139 Peserta Boling Padang Berentap
139 Peserta Boling Padang Berentap
KUALA NERUS, 28 Oktober - Seramai 139 peserta berentap dalam Kejohanan Boling Padang Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Gong Badak di sini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kejohanan tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu individu (single) dan berempat (fours). “Mereka terdiri daripada 64 peserta bagi acara individu lelaki dan 44 peserta bagi individu wanita. “Manakala, 18 pasukan bagi acara berempat lelaki dan 13 pasukan berempat wanita. “Saya juga difahamkan kejohanan ini turut disertai mereka daripada kalangan pemain kebangsaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam. Turut hadir Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut  mengucapkan tahniah kepada PLBM kerana berjaya memenangi satu pingat emas dan satu pingat gangsa di Kejohanan ‘World Bowls Championship’ 2023 baru-baru ini di Gold Coast, Australia. “Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya merangkul kejuaraan.  “Sudah pasti kemenangan ini datang bersama dengan ketekunan dan usaha yang keras sebelum daripada ini.  “Sudah menjadi adat pertandingan, ada yang menang dan ada juga yang kalah. “Yang belum menang jangan pernah berputus asa, jadikan ia sebagai motivasi yang terbaik untuk kita perbaiki dimana kesilapan serta kelemahan pada kali ini untuk berjaya dengan cemerlang pada kejohanan yang mendatang,” ujarnya. Sementara itu Ahmad Samsuri berkata, kejohanan boling padang itu bukan sekadar mengenai kemenangan semata-mata, tetapi untuk menyemai sikap semangat persaudaraan yang tinggi sesama peserta. "Malah, menjadi pangkalan semangat serta kecemerlangan bakat bagi sukan boling padang ini, Insya-Allah," katanya.    
28 Oct 23
199
Tandukan Adisak Selamatkan Terengganu FC
Tandukan Adisak Selamatkan Terengganu FC
KUALA NERUS, 26 Oktober - Jaringan gol pemain kelahiran Thailand, Adisak Kraison pada minit ke-91 menyelamatkan Terengganu FC dari pulang 'tangan kosong' pada saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2023, hari ini. Gergasi pantai timur itu seri 2-2 ketika melayan kunjungan Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang dihadiri sekitar 2,000 penyokong. Terengganu FC dikejutkan dengan jaringan pertama pelawat seawal minit keenam apabila sepakan percuma Griffin McDaniel gagal ditangkap kemas Suhaimi Husin. Ketinggalan di awal permainan, Sang Penyu menggandakan asakan dalam usaha menyamakan kedudukan. Pada minit ke-40, Stallion Laguna FC berjaya menjarakkan kedudukan menerusi jaringan Stephen Sam. Bermula dengan rembatan Juan Diego yang ditepis Suhaimi, Stephen merembat bola muntah menerobos gawang. Seminit kemudian, Ivan Mamut hampir mencipta kebangkitan buat Sang Penyu, tetapi dinafikan penjaga gol, Hayeson Pepito. Memasuki minit tambahan separuh masa pertama, Terengganu FC berjaya bangkit mengurangkan jurang jaringan menerusi Sony Norde yang menyudahkan bola rembatan Engku Nur Shakir yang terbias kearahnya. Memasuki babak kedua, Terengganu FC menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu Stallion Laguna FC. Pada minit ke-53, Ivan hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukannya ditepis Pepito. Pemain gantian, Liridon Krasniqi cuba menghidupkan harapan pada minit ke-87, tetapi hantarannya tidak berjaya disudahkan Syahmi Zamri. Memasuki minit ke-91, hantaran lintang Sony Norde ditanduk Adisak untuk gol penyamaan Terengganu FC yang menggamatkan stadium. Keputusan penuh perlawanan berakhir dengan seri 2-2.
26 Oct 23
191
TFC Sasar Tiga Mata Jumpa Stallion Laguna Esok
TFC Sasar Tiga Mata Jumpa Stallion Laguna Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Pengendali Terengganu FC percaya skuadnya mampu mencatat keputusan positif berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), 4 petang esok. Tomislav Steinbruckner berkata, TFC kini memiliki empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri dalam dua perlawanan Piala AFC terdahulu. “Kami mahu mendapatkan tiga mata, setakat ini TFC sudah ada kutipan mata yang baik ditambah lagi jika berjaya memungut mata penuh esok. “Saya berharap pasukan saya dapat memberikan aksi bertenaga walaupun perlawanan dilangsungkan pada 4 petang dan ada beberapa pemain utama yang cedera,” katanya ketika sidang media pra-perlawanan di SSMZA hari ini. Mengulas lanjut, Tomislav berkata beberapa pertukaran pemain mungkin akan dibuat berdasarkan status kecederaan dan kecergasan pemain. “Kami berdepan dengan jadual yang padat, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC, kesemua perlawanan adalah penting dan mencabar. “Pemain mana diturunkan akan ditentukan sebelum perlawanan berdasarkan sesi latihan terakhir nanti, saya berharap pemain yang diturunkan memberikan aksi terbaik,” ujarnya. Beliau juga menagih sokongan para penyokong Terengganu agar dapat memenuhkan stadium meskipun waktu perlawanan dibuat pada waktu petang di hari bekerja. “Saya faham ada penyokong yang masih bekerja pada waktu itu, namun saya berharap agar mereka yang berkelapangan boleh hadir memberikan sokongan. “Sokongan mereka sangat penting sebagaimana yang mereka lakukan di Kuala Lumpur berdepan KL City dalam saingan Piala Malaysia tempoh hari, pengorbanan para penyokong memberikan semangat dan kita menang perlawanan itu,” jelasnya.  
25 Oct 23
155
Setiu FA Sasar Juara TFL
Setiu FA Sasar Juara TFL
SETIU, 25 Oktober - Pasukan Bola Sepak Setiu FA membuat sasaran untuk menjuarai kejohanan Terengganu Football League (TFL). Pegawai Daerah Setiu, Rizal Mamat berkata beliau mengharapkan keputusan yang cemerlang bakal dibuat oleh Setiu FA. "Kita perlu menyasarkan untuk menjulang piala pada edisi kali ini selepas hanya meraih tempat kedua pada edisi lalu. "Kita akan bermain empat kali di tempat sendiri dan tiga kali di tempat lawan, warga Setiu perlu mengambil kesempatan ini untuk menyokong penuh pasukan Setiu FA," katanya lagi. Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Makan Malam Meraikan Pemain-Pemain Bola Sepak dan Pengenalan Jersi Baharu Terengganu Football League 2023 Daerah Setiu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu semalam. Turut hadir, ADUN Permaisuri, Yusof Majid. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof turut menaruh harapan Setiu FA akan mencipta kejayaan dan membanggakan Setiu dalam edisi kali ini. "Terima kasih kepada semua pihak pengurusan yang bertungkus lumus membentuk pasukan setiu bagi memberikan cabaran kepada pasukan lain," jelasnya.  
25 Oct 23
79
Atlet Terengganu Terima RM44,500 Insentif SWARA, SHAKE
Atlet Terengganu Terima RM44,500 Insentif SWARA, SHAKE
KUALA NERUS, 24 Oktober - Kerajaan Negeri menyampaikan insentif berjumlah RM44,500 kepada 17 atlet serta dua pegawai dari Terengganu yang mewakili negara pada Temasya Sukan Asia Hangzhou, China 2023, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak dua jenis insentif disampaikan kepada semua atlet dan pegawai terlibat. "Penyampaian Skim Wakili Negara (SWARA) berjumlah RM28,500 telah kepada sebahagian atlet yang hadir hari ini. Dari jumlah 32 pingat yang berjaya dibawa pulang oleh Kontinjen Malaysia, empat orang atlet Terengganu iaitu Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisham (gimnastik), Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudden (pelayaran), Azreen Nabila Alias (olahraga) dan Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), masing-masing menyumbang pingat gangsa. Ini melayakkan mereka menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) berjumlah RM16,000," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan tersebut di Ar Riyadah Residence, hari ini. Hadir sama, timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.            
24 Oct 23
300
TFC Bawa Kelebihan Satu Gol ke Gong Badak
TFC Bawa Kelebihan Satu Gol ke Gong Badak
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Terengganu FC (TFC) berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur City (KL City) dengan jaringan (2-1) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi. Beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan di tempat lawan. TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KL City dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 16 menerusi Hakim Hassan namun berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza. Pada aksi tersebut, TFC membuka tirai jaringan memasuki masa tambahan babak pertama, menerusi penyerang import, Ivan Mamut yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk TFC mendahului 1-0.  Bersambung babak kedua, pada minit ke 59, Engku Nur Shakir hampir menambah derita tuan rumah apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Ivan Mahmud. Pada minit ke- 67, penyerang muda, Nik Sharif yang masuk menggantikan Hakim Hassan tidak menunggu lama untuk menguji kubu lawan namun ditepis oleh Kevin. Pada minit ke 83, Nik Sharif sekali lagi menguji Kevin namun penjaga gol KL City itu terus cemerlang menepis rembatannya. Berselang 7 minit kemudian, Nik Sharif menggamatkan sorakan lebih 4,210 penyokong di stadium dengan gol kedua TFC melalui umpanan cantik Syahmi Zamri. Pada masa kecederaan babak kedua, Skuad KL City dihadiahkan sepakan penalti selepas Syahmi Zamri menjatuhkan pemain lawan. Penyerang import KL City, Tchetche Kipre berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu tidak membawa pulang bekalan lebih selesa. Kedua-dua pasukan akan mengharungi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 3 November ini.    
21 Oct 23
354