Artikel "Sukan" Terkini
Menteri Terkejut, Exco Terengganu Tampil Beri Penjelasan
KUALA NERUS, 8 Februari - Exco Kerajaan Terengganu hari ini tampil memberi penjelasan berhubung laporan berita yang mengatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terkejut dengan permohonan geran naik taraf saliran dan tukar rumput stadium dari negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, beliau percaya Hannah mungkin 'terkejut’ Terengganu masih memohon penambahbaikan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dikatakan sudah berada dalam keadaan 'tip top'.
"Sebenarnya tiada apa yang perlu terkejut. Sewaktu Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 pada 9 Januari lalu, saya mengambil peluang bertanyakan soalan dalam sidang mesyuarat ini.
"Antara yang saya timbulkan adalah padang untuk SSMZA tidak perlu untuk ditukar dengan rumput Zeon Zoysia kerana rumput Princess Bermuda 77 yang ada sekarang ini sudah memadai.
"Walaupun begitu, jika geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini boleh dimanfaatkan untuk kami 'upgrade' padang ini, ia satu peluang yang cukup baik untuk objektif yang sama. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat itu untuk cuba dahulu memohon atas semangat objektif yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Hishamuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, permohonan geran itu benar dan tidak membabitkan perkara-perkara lain melainkan sistem saliran padang dan menaiktaraf rumput sedia ada.
"Soal amaun, terpulang pada pandangan pihak kementerian. Usaha kami lakukan terlebih dahulu untuk memohon. Melihat objektif dan matlamat yang telah dinyatakan secara jelas," katanya.
Tambah beliau, permohonan itu juga dibuat kerana pihaknya mahu memastikan SSMZA berada di tahap paling berkualiti walaupun sudah ramai pemerhati bola sepak memuji keadaan semasa stadium terbabit.
"Sewaktu proses baik pulih padang stadium ini dilaksanakan pada tahun 2018-2019, ia tidak melibatkan sistem saliran secara sepenuhnya.
"Ia masih mengekalkan sistem saliran yang lama. Oleh kerana itu, walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten.
"Tawaran geran KBS ini kami sambut kerana objektif utama adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetatif.
"Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian, satu kawasan 'nursery' dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang," ujarnya.
Jelas Hishamuddin lagi, beliau percaya pihak KBS di bawah pimpinan Hannah amat menyokong usaha-usaha bersama ini demi melihat agenda pembangunan bola sepak negara terus diperkasakan.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Hannah terkejut dengan Terengganu yang berminat dengan geran naik taraf sistem saliran dan rumput stadium.
"Keputusan skuad Sang Penyu untuk menyahut perubahan berkenaan menarik perhatian kerana rumput jenis Bermuda Princess 77 yang digunakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu merupakan antara yang terbaik.
"Saya pun terkejut kerana dalam media sosial, orang ramai mengatakan ia memiliki kualiti cukup baik. Tetapi, dalam peruntukan disediakan, kami ada dua tujuan sahaja.
"Satu, ia adalah untuk sistem saliran dan satu lagi adalah untuk penukaran rumput supaya liga boleh berjalan," katanya.
08 Feb 24
307
Terengganu FC Kekal Enam Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Terengganu Football Club Sdn Bhd mungkin akan mengekalkan jumlah enam orang pemain import dalam selaras langkah pasukan untuk berbelanja secara berhemah pada musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Sabri Abas memaklumkan, itu pendirian pasukan setakat ini sebelum Liga Super Malaysia 2024 bermula pada Mei.
"Buat masa sekarang, kita kekal dengan enam (pemain import) sebagai langkah kita berbelanja secara berhemah. Ini kerana, kita bukan hendak penuhi kuota semata-mata, sebaliknya kita kena tengok dari segi kepentingan posisi pemain yang ingin diambil.
"Kita yakin pemain tempatan juga mampu bersaing dengan kelompok pemain import dalam saingan liga Malaysia. Saya sendiri melihat kekuatan Terengganu FC, kita mempunyai skuad 'depth' yang boleh dikatakan cukup berpotensi di setiap posisi.
"Kita mengambil pemain import untuk membantu kita di beberapa posisi tertentu (sahaja)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman 2024/2025 di antara Hijraa Management Sdn Bhd dan Terengganu Football Club, di sini semalam.
Dalam majlis berkenaan, pihak Hijraa Management diumumkan sebagai rakan kerjasama terbaru Terengganu FC dengan tajaan berjumlah RM250 ribu bagi musim 2024/2025.
Ahli lembaga pengarahnya, Dr. Hazmuhaimin Hashim memaklumkan, penglibatan kali pertama syarikat itu sebagai penaja pasukan bola sepak merupakan satu pengalaman baharu yang menarik.
"Pertamanya, sebagai anak Terengganu kita bangga dengan pencapaian Terengganu FC sendiri. Jenama ini (Terengganu FC) adalah jenama yang sedang meningkat dan kita rasa ini peluang terbaik untuk kita bekerjasama disamping memperkasakan perkhidmatan.
"Jumlah penajaan adalah sebanyak RM250 ribu dalam bentuk tunai, dan selebihnya dalam bentuk panel perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM500 ribu," ujarnya.
Setakat ini, Terengganu FC telah menerima tajaan keseluruhan hampir RM7 juta melibatkan tajaan tunai dan keperluan tajaan dalam bentuk lain.
Mohd Sabri turut membuka pintu kepada mana-mana syarikat dan agensi untuk bekerjasama dengan Terengganu FC bagi musim 2024/2025 sebelum liga bermula.
"Kita masih lagi mencari penaja yang sudi berkolaborasi dengan kita menjelang sepak mula liga kerana kita akan melalui musim yang panjang tahun ini yang akan berakhir pada Mei 2025," katanya.
05 Feb 24
699
Akram Mahinan Ganti Habib?
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Pemain tengah bertahan yang pernah menjadi kemudi utama pasukan kebangsaan, Akram Mahinan kini secara rasminya diumumkan sebagai pemain Terengganu FC bagi musim 2024/2025.
Melalui kenyataan dikeluarkan Terengganu FC Sdn Bhd hari ini, pemain kelahiran Kedah itu menandatangani kontrak untuk bersama 'Sang Penyu' bagi tempoh selama satu musim.
Akram merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal serta terkenal dengan aksi agresif dalam bertahan dan gaya permainannya mungkin dilihat dapat mengisi kekosongan bahagian tengah Terengganu FC selepas ketiadaan Habib Haroon.
Berusia 31 tahun, Akram pernah membantu pasukan terakhirnya iaitu Kuala Lumpur City FC, kembali ke saingan Liga Super pada tahun 2020, seterusnya berjaya membawa pasukan itu menjadi juara Piala Malaysia 2021.
Beliau juga menjadi nadi yang membawa pasukan tersebut mara ke pusingan akhir saingan Piala AFC 2022, serta menjadi naib juara Piala FA 2023.
Beliau yang akan menyarung jersi bernombor 14 bersama pasukan Terengganu FC pada musim ini memberi harapan untuk membantu pasukan baru ini mendapatkan kejayaan pada musim 2024/2025.
02 Feb 24
344
EPIC Berhad Suntik Semangat TSG
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menerima suntikan sebanyak RM500 ribu daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) sebagai sebahagian tajaan bagi musim 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali memaklumkan, tajaan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pasukan bertaraf benua tersebut mengekalkan gelaran nombor satu Asia di kedudukan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“EPIC Berhad berbesar hati dan teruja menjadi sebahagian daripada rekod prestasi cemerlang TSG dalam menakluki pelbagai kejohanan berbasikal di seluruh dunia.
"Kami berharap dapat memanfaatkan peluang promosi sektor pelancongan sukan untuk menarik lebih ramai pelabur berpotensi demi pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan, hari ini.
Ridzuan mewakili syarikat hadir ke majlis memperkenalkan barisan pelumba dan penaja baharu selain meraikan kejayaan TSG merangkul gelaran juara Asia serta pasukan benua terbaik dunia 2023 yang diadakan di Permai Hotel, di sini baru-baru ini.
Tambahnya, EPIC Berhad tidak asing dalam menyokong dan merancakkan pembangunan sukan di Negeri Terengganu.
Syarikat itu sebelum ini turut menganjurkan kejohanan berbasikal “International Golden Monsoon Ride 2023” yang berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,500 peminat sukan basikal termasuklah 30 peserta antarabangsa dari China, Indonesia, Singapura dan Thailand dalam usaha membangunkan industri sukan di Terengganu.
"Selain itu, EPIC Berhad menjadi penaja Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Hockey Team (THT) dan Persatuan Ragbi Daerah Kemaman (Kemaman Rugby) serta pelbagai lagi program sukan tempatan," katanya.
23 Jan 24
216
TSG Tampil Tiga Muka Baharu Hadapi Musim 2024
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Pasukan Benua Terbaik Dunia, Terengganu Cycling Team (TSG) menampilkan tiga pelumba baharu bagi saingan musim 2024 dalam usaha meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood memaklumkan, dua pelumba import iaitu Andreas Miltiadis dari Cyprus dan Merhawi Kudus Ghebremedhin dari Eritrea mengisi kekosongan ditinggalkan pelumba musim lalu, Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) dan Jeroen Meijers (Belanda).
Jelasnya, Miltiadis yang berperanan di posisi 'all rounder' memiliki rekod yang agak baik sebagai juara sembilan kali National Championship Cyprus-ITT.
"Kudus pula merupakan antara sandaran TSG pada musim 2024 di mana beliau merupakan seorang 'general rider', memandangkan Sainbayar telah berpindah ke pasukan Pro Continental.
"Selain itu, Nur Aiman Rosli adalah satu nilai tambah kepada TSG kerana beliau merupakan juara kebangsaan dalam kategori catatan masa individu pada tahun lalu, beliau akan bergandingan bersama aiman zarif bagi melengkapkan senarai pasukan TSG untuk tahun 2024," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Pasukan TSG 2024 di Permai Hotel, malam tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim sekaligus diadakan sempena kejayaan TSG bergelar Juara Asia serta Pasukan Benua Terbaik Dunia.
TSG turut membariskan Nur Amirull Fakheruddin Mazuki (Kapten pasukan), Mohd Hariff Saleh, Irwandie Lakasek, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Wan Abdul Rahman Hamdan, Kee Zhe Yie, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dan Zuladri Amin Zulkurnain sebagai tenaga tempatan bagi musim ini.
TSG juga mengekalkan Aiman Cahyadi (Indonesia), Jesse Ewart (Ireland), Youcef Reguigui (Algeria), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea) dan Anatolii Budiak dari Ukraine.
Dalam pada itu, Hishamuddin memuji pencapaian luar biasa TSG pada musim 2023.
"Alhamdulillah, pencapaian TSG amat baik di luar jangkaan kami. Buat masa ini, TSG telah meletakkan kedudukan antara terbaik pada musim 2023.
Sebenarnya apabila pencapaian sudah berada pada tahap yang agak baik, sasaran kita tentulah untuk mengatasi pencapaian ini. Namun, kita belum letakkan secara terperinci sasaran seterusnya cuma akan melebihi pencapaian semasa.
"Kita sangat berpuas hati, antara sebab penaja terus bersama kita adalah usaha mereka (TSG) memberi layanan terbaik kepada penaja menyebabkan penaja-penaja besar kekal bersama walaupun berdepan situasi ekonomi yang sukar sekarang," katanya.
Pasukan TSG merekodkan pencapaian terbaik pada musim 2023 sejak 13 tahun penubuhannya setelah dinobatkan selaku pasukan ke-29 terbaik UCI World Tour daripada 215 pasukan sekaligus muncul sebgai Pasukan Benua Terbaik Dunia.
Pasukan pantai timur itu turut mengulangi pencapaian juara Jelajah Asia UCI dengan kejayaan merebut 118 podium sepanjang musim.
Kejayaan demi kejayaan bergelar Juara Asia sebanyak lima kali dan Juara UCI Continental sebanyak dua kali berjaya menarik 23 penaja dengan nilai keseluruhan melebihi RM10 juta.
Antara penaja baru yang menyertai TSG musim ini adalah Nusantara Trust Fund Foundation, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), MS Earth Travel, Cetak Now dan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT).
22 Jan 24
549
Insiden Gaduh : KESA FC Digugurkan Daripada 'Terengganu Football League'
KUALA NERUS, 16 Januari - Pasukan KESA FC yang terlibat dalam insiden pergaduhan pada perlawanan menentang NAG FC minggu lalu, digugurkan daripada Liga Terengganu Football League (TFL) 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, hasil mesyuarat kelolaan Jawatankuasa Tatatertib TFL yang disampaikan kepadanya semalam memutuskan pasukan KESA FC didapati bersalah atas kecuaian mengawal pemain dan pegawainya.
"Apa yang saya boleh kongsikan, setelah ambil kira dan merujuk kepada pegawai-pegawai perlawanan, video dan meneliti peraturan TFL 2023, perkara 30.5 membabitkan perlakuan ganas, perlakuan tidak tertib pemain pegawai dan penonton, maka kita dapati KESA FC gagal mengawal pemain atau pegawai daripada melakukan tindakan ganas sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada beberapa pemain dan pegawai pasukan lawan.
"Hal ini juga telah diambil tindakan serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Terengganu dan diklasifikasikan di bawah seksyen 147 kanun keseksaan.
"Untuk mengelakkan perkara tersebut berulang dalam kejohanan ini, pihak jawatankuasa TFL bersetuju secara sebulat suara mengenakan hukuman kesalahan kepada KESA FC. Mereka digantung dan terkeluar daripada saingan liga TFL berkuatkuasa tarikh surat dikeluarkan berdasarkan peruntukan yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Daerah Kuala Nerus di Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, susulan keputusan tersebut semua perlawanan melibatkan KESA FC tidak akan diambil kira serta perubahan kedudukan carta liga adalah tanpa melibatkan perlawanan KESA FC.
"Pihak persatuan menyokong penuh keputusan yang dicadangkan dan kita harap ia menjadi satu pengajaran penting untuk semua pasukan yang terlibat dalam mana-mana acara pertandingan bola sepak di negeri Terengganu.
"Kita tidak campur tangan dalam keputusan ini kerana mereka (TFL) sudah ada peraturan serta sudah dibuktikan, jadi saya menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa tatatertib TFL untuk menentukan hukuman sewajarnya dan hukumannya telah ditentukan," katanya.
Tambahnya, perlawanan lain bagi saingan liga TFL 2023 yang berbaki satu perlawanan akan berlangsung seperti biasa.
16 Jan 24
2649
Sukan Bukan Tempat Bertumbuk
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menasihati penggemar dan pengamal sukan di negeri itu memperkasakan disiplin serta ketahanan mental bagi mewujudkan suasana harmoni dalam penganjuran kejohanan dan program sukan,
"Bersukan bukan untuk saingan pergaduhan. Ia bermatlamat untuk mengukuhkan persaudaraan dan menjalin hubungan yang lebih erat walaupun dengan pasukan lawan.
"Sekalipun sukan yang melibatkan perlawanan tempur, seperti Muaythai, silat, taekwando dan seumpamanya, ia tetap ada disiplin dan peraturannya sendiri. Tamatnya perlawanan, yang menang atau kalah tetap menjalin hubungan persaudaraan bukannya menyambung pergaduhan.
"Sukan menuntut setiap yang terlibat menajamkan fokus, ketahanan mental, kelasakan fizikal, pecutan kelajuan, kemahiran (skills) dan pelbagai lagi yang perlu diperkasakan. Penguasaan emosi paling utama," jelasnya melalui kenyataan dikeluarkan di laman Facebooknya, semalam.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, insiden pergaduhan yang berlaku dalam saingan Terengganu Football League (TFL) antara pasukan NAG FC dan KESA FC di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, pada Jumaat lalu amat mendukacitakan.
"Ia sewajarnya dielakkan oleh semua pihak yang terlibat.
"PBSNT akan memperhalusi insiden ini dengan menyerahkan mandat siasatan kepada Jawatankuasa Tatatertib TFL untuk meneliti semua laporan sebelum ia diputuskan secara muktamad di bawah PBSNT.
"Anasir tidak sihat ini amat mendukacitakan kami dan berharap ia tidak berulang. Kami anggap ia sebagai kes serius dan akan berusaha menanggani dengan cermat dan tidak berkompromi," katanya.
Dalam pada itu, pihak TFL menjanjikan tindakan tegas terhadap pelaku terlibat dalam aksi 'gusti' sehingga mengakibatkan tiga anggota Pasukan NAG FC iaitu Muhammad Alauddin Roslan (pemain), Muhammad Zarif Adib Chek Azman (Ahli Fisio) dan Ronny Irwan Husni@ Abdul Rahman (Pegawai Admin) cedera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, TFL memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dilakukan melalui laporan pegawai perlawanan dan pihak keselamatan.
Penganjur liga itu turut komited meningkatkan protokol keselamatan bagi mengelakkan insiden itu berulang pada acara dianjurkan di masa akan datang.
14 Jan 24
144
Pesiapan Padang Sempena Pertandingan Piala Adun Sura Rancak Berjalan
DUNGUN, 18 Disember - Pesiapan padang sempena pertandingan Bola Sepak Pantai Piala ADUN Sura yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini di Pantai Teluk Lipat disini sedang rancak berjalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, ketika ini semua pihak terlibat berganding bahu menyiapkan padang bola berkenaan bagi memperlihat suasana yang cantik kepada para pengunjung.
"Lokasi padang ini merupakan lokasi yang baharu. Kita cuba meneliti dengan baik setiap aspek bagi menjamin keselesaan pengunjung yang hadir dengan menitikberatkan beberapa perkara termasuklah dari sudut keselamatan memandangkan ianya berdekatan dengan pantai.
"Semua langkah ini dititikberatkan demi menyajikan pengalaman sepak bola pantai yang tidak hanya menambah daya tarik pertandingan, tetapi juga sempurna dan memberi impak positif kepada setiap pengunjung," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan.
Tambahnya, penduduk Dungun khususnya di kawasan Sura, turut diharapkan akan menikmati limpahan ekonomi melalui peningkatan aktiviti pelancongan dan perniagaan tempatan.
"Kejayaan penganjuran acara ini bukan sahaja membawa kegembiraan sukan kepada masyarakat tetapi juga membawa manfaat positif dalam jangka panjang kepada ekonomi setempat," ujarnya.
Beliau turut mengharapkan program tersebut berjalan lancar memandangkan sekarang ini musim tengkujuh.
19 Dec 23
309
Terengganu FC Catat Kemenangan Terakhir Liga Super
KUALA NERUS, 17 Disember - Pasukan Terengganu FC menutup tirai Liga Super Malaysia 2023 dengan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Perak FC di halaman sendiri, malam ini.
Terengganu FC bermula garang apabila Ivan Mamut meledak jaringan seawal minit keenam hasil kesilapan penjaga gol lawan, Muhammad Farhan Abdul Majid.
Sepuluh minit kemudian, hantaran lintang daripada Nik Muhammad Sharif Haseefy ditanduk kemas Engku Muhammad Nur Shakir untuk gol kedua Sang Penyu.
Pada minit ke-23, Sony Norde hampir menambah jaringan tetapi rembatannya ditepis Farhan.
Keputusan kekal dengan tuan rumah mendahului dua jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Perak FC cuba menggasak seawal babak kedua dengan Shivan Pillay melakukan percubaan yang ditangkap kemas Syed Muhammad Nasrulhaq pada minit ke -46.
Terengganu FC berpeluang mengukuhkan kedudukan pada minit ke-50, namun Ivan gagal menyudahkan peluang keemasan di depan gol yang terbuka.
Seminit kemudian, Nik Sharif Haseefy pula mensia-siakan peluang terhidang.
Pada minit ke-55 Engku Nur Shakir hampir menambah jaringan, tetapi diselamatkan palang gol lawan.
Peluang Sony Norde turut dinafikan apabila rembatannya hanya singgah di tiang gol pada minit ke-61.
Pada minit ke-67, The Bos Gaurus nyaris merapatkan jurang jaringan tetapi sepakan percuma Luciano Guaycochea sekadar melewati palang gol.
Permainan lebih terbuka dengan pelawat agresif cuba menembusi kubu Terengganu FC.
Memasuki minit ke-80, Nurillo Tukhtasinov melorongkan bola kepada Mohd Nor Hakim Hassan yang berjaya melepasi perangkap offside, beliau kemudian menewaskan Farhan yang keluar dari kotak penalti sebelum menolak mudah bola ke dalam gawang untuk gol ketiga Sang Penyu.
Wisel penamat dibunyikan berkesudahan Terengganu FC menang 3-0, namun gergasi pantai timur itu kekal di tangga keenam dengan 40 mata.
Kemenangan itu turut menyaksikan Ivan Mamut muncul pejaring terbanyak pasukan apabila mengumpul 11 gol dalam saingan Liga Super Malaysia buat musim pertamanya.
17 Dec 23
311
IGMR 2023: Lebih 1,000 Pelumba 'Langgar' Kemaman
KEMAMAN, 17 Disember - International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2023 berjaya menghimpun lebih seribu penunggang basikal dalam program yang berlangsung di Kijal, semalam.
Penganjuran IGMR 2023 mendapat perhatian ramai apabila menampilkan 13 acara melibatkan hadiah keseluruhan bernilai RM31,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pengelolaan tersebut merupakan satu pengiktirafan buat kebolehan dan kemampuan syarikat- syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc dalam mengendalikan acara-acara sukan pada skala yang besar.
"Semestinya kejohanan sukan sebegini menuntut komitmen padu jawatankuasa penganjur dengan sokongan pelbagai pihak termasuklah penaja-penaja dan agensi- agensi di bawah Kerajaan Negeri demi memastikan kelancaran penganjuran.
"Saya juga percaya penganjuran kejohanan sebegini mampu melahirkan bakat-bakat besar dalam bidang sukan di samping menjadi satu pembudayaan ke arah meningkatkan kehidupan. kesihatan dan kualiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan IGMR 2023 di Pangkalan Bekalan Kemaman, Telok Kalong, semalam.
Kejohanan yang dianjurkan pada edisi ketiga itu turut memerima penyertaan 30 peserta antarabangsa antaranya dari China, Indonesia dan Thailand.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, dan NGO, beliau menyambut baik program- program yang dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada pihak penganjur mahupun komuniti yang terlibat, tetapi juga masyarakat serta Negeri Terengganu sendiri.
"Kejohanan sebegini juga jelas dapat memberikan pelbagai impak yang baik, sekaligus merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi dan juga pelancongan tempatan yang mana dapat dirasai oleh pengusaha- pengusaha di kawasan sekitar kejohanan berlangsung," tambahnya.
17 Dec 23
394