lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Ott Kembali Sarung Jersi TFC
Ott Kembali Sarung Jersi TFC
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Pemain tengah, Manuel Gelito Ott bersetuju untuk kembali bersama pasukan Terengganu FC (TFC) selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu selama satu musim bagi mengisi kouta Asean.  Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner berkata beliau bersetuju untuk mendapatkan khidmat Manny Ott pada musim ini dan percaya dengan adanya kualiti pemain kebangsaan Filipina tersebut semestinya dapat memberi tonik kepada pasukan TFC pada musim 2024/2025.  “Pemain ini mempunyai gaya hantaran-hantaran menarik dan kelebihan untuk melepaskan rembatan dari jarak jauh sekali gus memberi impak yang baik pada pasukan TFC pada musim ini. "Manny Ott akan kembali menyarung jersi bernombor 8 bersama pasukan Terengganu FC dan diucapkan selamat berjuang,” katanya dalam kenyataan media TFC semalam. Untuk rekod, pemain berusia 31 tahun itu pernah beraksi bersama Liga Thailand, kelab Ratchaburri dan Liga Malaysia Melaka United, Kedah Darul Aman dan Terengganu FC. "Beliau juga telah berjaya membantu pasukan Terengganu FC layak bagi saingan akhir Piala FA pada musim 2022 dan layak bagi Saingan AFC Champhionship 2023," ujarnya.
11 Mar 24
365
MSNT Sedia Khairat Kematian Buat Wan Muhammad Haikal
MSNT Sedia Khairat Kematian Buat Wan Muhammad Haikal
Foto: Gambar hiasan daripada MSNT KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Bahagian Kebajikan Atlet telah menyediakan bantuan khairat kematian berjumlah RM2,000 sebagai bantuan awal dan akan diserahkan kepada keluarga pesilat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, yang meninggal dunia, malam tadi. Selain itu, terdapat skim bantuan lain termasuk perlindungan insuran secara berkelompok yang disediakan MSNT bagi membantu keluarga Allahyarham. Kenyataan media dikeluarkan MSNT hari ini, turut memaklumkan bahawa laporan perubatan yang baru diterima mengesahkan kematian atlet tersebut berpunca daripada pendarahan dalam kepala (diffuse subarachnoid heamorrhage). "Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini. MSNT masih menunggu laporan penuh kronologi kes dan akan membuat penelitian terperinci memandangkan ia adalah kes pertama yang berlaku dalam sukan pencak silat. "Manakala, sebagaimana dimaklumkan Exco Sukan Terengganu, pengurusan jenazah dan urusan membawa pulang akan duruskan MSNT dengan bantuan Majlis Sukan Negeri Sembilan," jelas kenyataan tersebut. Allahyarham Wan Muhammad Haikal merupakan salah seorang atlet sasaran pingat bagi SUKMA 2024 dan dijadualkan bertanding dalam kategori Putra I (85-90 kg). Petang semalam, Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan semasa menyertai Kejuaraan Pencak Silat Pra SUKMA Jemputan Kebangsaan Negeri Sembilan yang sedang berlangsung di Seremban. Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, awal pagi tadi.  
03 Mar 24
995
Pesilat SUKMA Terengganu Meninggal Dunia
Pesilat SUKMA Terengganu Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Atlet silat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan semasa perlawanan dalam pertandingan Kejohanan Pra Sukma. "Kerajaan Negeri merakamkan rasa dukacita dan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Wan Muhammad Haikal. Allahyarham merupakan atlet fasa akhir Sukma Terengganu dan akan bertanding dalam kategori Putra I (85-90kg) serta merupakan salah seorang atlet sasaran pingat bagi negeri ini. "Laporan kemalangan ini telah disampaikan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada saya petang kelmarin. Laporan kematian pula dimaklumkan pada pagi ini. Buat masa ini, secara terperinci kronologi kes belum diterima, pihak MSNT akan memperhalusi selepas ini secara menyeluruh," jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya, hari ini. Menurut Hishamuddin,  ini kes pertama yang berlaku dalam aktiviti sukan silat berdasarkan rekod MSNT. "Ia amat mengejutkan semua keluarga sukan Negeri Terengganu. Bagi perkara ini, urusan membawa pulang jenazah dari Negeri Sembilan, pengurusan jenazah dan kebajikan keluarga akan diuruskan oleh pihak MSNT," katanya. Berdasarkan kenyataan berita kematian Allahyarham di Sinar Harian, beliau difahamkan berada di Seremban untuk pra Sukma sejak Jumaat lalu. Allahyarham diberitakan rebah selepas terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.  
03 Mar 24
735
Sultan Mizan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Piala MB
Sultan Mizan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Piala MB
SETIU, 2 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah mencemar duli mengambil bahagian dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu. Baginda telah berkenan mencemar duli menyertai dalam Kategori Antarabangsa Championship Endurance  National (CEI 1*100)  Kilometer (KM) dengan memakai jersi bernombor 115. Di samping itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut bagi kategori Championship Endurance National (CEN) 80 KM dengan memakai jersi nombor 20. Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Menteri Besar Terengganu ini bagi kedua-dua kategori telah disertai seramai 84 peserta. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyempurnakan Pelepasan Kejohanan Kuda Lasak bagi dua kategori berkenaan pada petang ini di Terengganu International Endurance Park, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia.  
02 Mar 24
289
'Messi' Terengganu Berkelana Lagi
'Messi' Terengganu Berkelana Lagi
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Pemain sayap yang digelar 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir bakal dipinjamkan ke pasukan lain dalam usaha memastikan kantung pasukan Terengganu FC tidak berdepan masalah musim ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, seorang lagi pemain yang bakal mengikuti pemain berkenaan adalah tonggak pertahanan, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar. Jelas Mohd Sabri, kedua-dua pemain pertahanan dan sayap itu bakal dipinjamkan kepada pasukan Kuching City FC (KCFC) selama satu musim sehingga selesai liga pada April tahun depan. "Setakat ini, Arif Fadzilah hampir pasti bakal menyarung jersi skuad Pulau Borneo itu. Manakala, Faiz masih lagi di peringkat rundingan. "Selain Kuching City yang berminat untuk mendapatkan khidmat Faiz, pasukan negeri kelahirannya iaitu Kelantan United FC (KUFC) juga turut berminat untuk mendapatkan bekas pemain sayap skuad kebangsaan itu. "Namun sehingga kini kedua-dua pemain itu masih lagi pemain Terengganu FC dan pada masa sama ada lagi pemain yang bakal dipinjamkan bagi memastikan kantung pasukan tidak terjejas dalam mengharungi kancah Liga M," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum dengan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) di Gong Badak, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir Ahmad Azhan Suhaili @Ismail. Sementara itu Ahmad Azhan berkata, syarikat KUTT terpanggil untuk menaja TFC selepas melihat pencapaian yang membanggakan pada musim lalu terutama selepas muncul naib juara Piala Malaysia. "Secara rasmi kita menjadi penaja 'silver' Terengganu FC selama semusim sehingga Liga M berakhir," katanya ketika ditemui pada majlis itu.  
19 Feb 24
1203
Terengganu FT Pertaruh Kudrat 'Anak Malaysia' Hadapi MPFL 2024
Terengganu FT Pertaruh Kudrat 'Anak Malaysia' Hadapi MPFL 2024
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Terengganu Futsal Team (Terengganu FT) tampil sebagai satu-satunya pasukan tanpa pemain import dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 yang bermula hari ini. Ketua jurulatih, Rozairi Ahmad menyifatkan, ia satu cabaran besar buat pasukan terbabit dalam menempatkan diri di kalangan pasukan terbaik Liga Futsal Kebangsaan itu berikutan ketujuh-tujuh pesaing memiliki tenaga import. "Untuk tahun ini, persedian pasukan menampilkan sepenuhnya pemain tempatan dengan 80 peratus merupakan tonggak bawah 21 tahun (11 pemain) yang bersaing di Sukan Malaysia (SUKMA). "Manakala, hanya 30 peratus 'muka lama' yang dikekalkan dari tahun lepas. Boleh dikatakan ia merupakan pasukan baharu yang diketengahkan. Dari segi senior, ada dua pemain baru iaitu Alif Mat Amin dari Pahang Rangers dan bekas pemain KL City FC, Akram Mukhriz. Tetapi dari segi positifnya, ia merupakan pendedahan awal terutama kepada pemain SUKMA, mungkin jika ia tidak berhasil di MPFL kita akan dapat sesuatu di SUKMA pada Ogos nanti," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum dan Persefahaman KOMII sebagai penaja kit rasmi Pasukan Futsal Terengganu bagi musim 2024 di DSH, Batu Burok, baru-baru ini. Majlis ini ditandatangani oleh Pengarah Urusan KOMII, Ameer Asraf Abllah dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya yang disaksikan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim. Menurut Rozairi, pertemuan menentang KL City FC malam ini bakal menguji langkah pertama skuad kendaliannya. "Kita tidak lawan mereka tahun lalu kerana berlainan kumpulan, tetapi kalau tengok pada rekod, kita bagus melawan mereka lebih-lebih lagi kita ada kelebihan sebagai tuan rumah pada perlawanan pertama ini. "Cuma, kita tidak tahu tentang duo import mereka yang dimaklumkan daripada Korea Selatan dan Afghanistan, tetapi kekuatan kita di rumah sendiri agak tinggi," katanya. Justeru, beliau berharap penyokong futsal Terengganu dapat menggamatkan Stadium Negeri malam ini dengan sorakan yang mengentarkan lawan.          
17 Feb 24
308
Pemain Belanda Perkuat Benteng TFC
Pemain Belanda Perkuat Benteng TFC
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Pemain asal Belanda, Matthew Rudolf Maria Steenvoorden bakal memperkukuh benteng Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan itu. Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata Steenvoorden telah menjadi pilihan utama pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk ditempatkan di benteng pertahanan terakhir pasukan TFC. Katanya, pemain yang berumur 31 tahun yang berketinggian 1.88 meter itu merupakan bekas pemain kelab Feyenoord dalam Liga Belanda musim 2012 hingga 2015. "Beliau akan beraksi buat kali kedua di pentas Asia selepas tahun sebelum ini bersama kelab Uzbekistan, Pakhtakor Tashkent FC. "Ketika beraksi di liga utama Uzbekistan itu beliau turut membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan kali keempat berturut-turut," ujar kenyataan itu. Tambahnya, Matthew Steenvoorden juga pernah beraksi di liga Belanda bersama Feyenoord Rotterdam, Excelsior Rotterdam, Dordrecht FC dan SC Cambuur Leewarden sebelum berhijrah ke Croatia pada tahun 2019. "Pencapaian itu cukup membuktikan beliau seorang pemain yang mempunyai pengalaman yang luas di eropah dan turut pernah menyertai Skuad bawah 19 tahun Belanda. "Dengan harapan yang tinggi, beliau yang bakal menyarung jersi bernombor 4 menyatakan ingin menggunakan peluang ini sebaik mungkin membuktikan kualiti yang beliau ada bagi memantapkan lagi jentera pertahanan tengah pasukan ini," jelasnya. Pihak Pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada Steenvoorden dan selamat berjuang.                  
15 Feb 24
231
TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
HULU TERENGGANU, 15 Februari- Pasukan Bola Sepak, Terengganu FC (TFC) menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM500,000 daripada Rimba Razia Petting Zoo, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, jumlah penajaan itu adalah bagi tempoh semusim.  "Selain wang tunai bernilai RM250,000, tajaan yang diterima daripada pihak Rimba Razia membabitkan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan pasukan TFC. "Kami ingin mengucapkan terima kasih atas penajaan ini, " ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani penajaan TFC sesi 2024/2025 di Rimba Razia Petting Zoo di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lanjut katanya, setakat ini pasukan TFC telah berjaya mengumpul kira-kira RM7 juta penajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 23 syarikat. Sementara itu, Pengerusi Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, sebagai peminat tegar bola sepak, tajaan tersebut merupakan salah satu sumbangan syarikatnya kepada pembangunan sukan bola sepak negeri selain diharap dapat membantu mempromosikan zoo miliknya itu.  "Kami mengharapkan agar sumbangan kecil daripada syarikat kami ini akan meransang lagi pasukan TFC dan pemain-pemainnya untuk berjuang dalam pertandingan musim hadapan ini dengan lebih cemerlang. "Sekiranya prestasi syarikat dan TFC bertambah baik, insyaAllah kita akan tambah lagi penajaan pada musim-musim akan datang," katanya.
15 Feb 24
345
Ismaheel Akinade Senjata Baru Terengganu FC
Ismaheel Akinade Senjata Baru Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Belum reda dengan berita kemasukan duo pemain sayap Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid ke Terengganu FC, kelab gergasi pantai timur itu tampil mengumumkan penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade sebagai penggempur baharu pasukan. Ismaheel, 30 pernah menjadi tonggak utama bagi pasukan Kelantan United dan juga Kelantan FC musim lalu dan menjaringkan 10 gol dan enam bantuan gol dalam 25 penampilan bagi kedua-dua pasukan. "Saya tidak sabar menunggu musim baharu dan sangat teruja bersama kelab besar ini. Saya menentang kelab ini pada musim lalu dan kini gembira menyertainya musim ini. Saya berharap kita akan kembali layak ke Piala AFC lagi. "Apa yang perlu dilakukan ialah cuba memperbaiki dan membantu pasukan dalam apa jua keadaan. Selagi kami bersama sebagai satu pasukan, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan lihat apa yang berlaku nanti, semoga kita berada di puncak atau setidaknya di sekitar puncak menjelang akhir musim nanti," katanya. Berketinggian 1.90 meter, Ismaheel dilihat berpotensi dibangunkan bersama Ivan Mamut di barisan hadapan oleh pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner. Dengan Ivan yang menyumbang 17 gol untuk Terengganu FC musim lalu, mampukah Ismaheel menyaingi penyerang kelahiran Croatia itu atau sekurang-kurangnya menyuntik lebih sokongan dalam membina duo yang ampuh buat Sang Penyu musim ini?         
14 Feb 24
316
Safawi, Akhyar Sah Sarung Jersi TFC
Safawi, Akhyar Sah Sarung Jersi TFC
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Dua tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini sah bersama Terengganu Football Club (Terengganu FC) bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025. Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata kedua-dua penyerang itu diikat masing-masing selama setahun secara pinjaman dari kelab JDT. “Safawi kini sekali lagi akan menjadi anak didik Tomislav Steibruckner buat kali kedua dimana sebelum ini mereka pernah bekerjasama di dalam pasukan T-Team FC pada tahun 2015. “Akhyar pula dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import Terengganu FC musim lepas iaitu Sony Norde,” ujar kenyataan itu. Tambahnya lagi, jika tiada sebarang masalah, kedua pemain itu bakal menjalani latihan pertamanya bersama Sang Penyu bermula 15 Februari ini. Menurutnya, Safawi akan menyarung jersi bernombor 11 manakala Akhyar pula bakal menyarung jersi bernombor 33 bersama pasukan Terengganu FC. “Kedua-dua pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner. "Sekali gus, meletakkannya mereka dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025,” jelasnya. Pihak pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang buat kedua-dua pemain dan semoga berjaya membawa kejuaraan buat pasukan gergasi pantai timur itu.                
12 Feb 24
332