lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Ibu Bapa Dorong Kejayaan Adik Qabil
Ibu Bapa Dorong Kejayaan Adik Qabil
KUALA NERUS, 15 Disember - Ibu bapa adalah kunci di sebalik kejayaan Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini. Ayah Qabil, Azlan Abd Rahman berkata, minat anaknya itu terhadap motosikal bermula semasa berusia 4 tahun. "Masa itu dia minta kami belikan motosikal jadi kami tunaikanlah sebagai pendedahan awal. Jadi, Alhamdulillah dengan berkat usaha dia sendiri kita pun latih dia dan menyertai beberapa program daripada kelab-kelab permotoran antaranya Zulfahmi Khairuddin Racing (ZK Racing), ZK Racing banyak membantu Qabil dan hasilnya Qabil dinobatkan selaku juara dunia. "Qabil sekolah macam biasa, bila belajar dia belajar, tiba masa mengaji dia mengaji, tak boleh lalai dengan minat dia, kena seimbangkan perkara itu, pada waktu petang pula dia turun berlatih," jelasnya. Dia berkata demikian pada program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran, Gong Badak, di sini baru-baru ini. Turut hadir dalam program tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Ditanya apa perasaan seorang bapa dan harapan, dia menjawab semestinya gembira selaku rakyat Malaysia, namun tidak mahu orang ramai terlalu memuji Qabil. "Elakkan terlalu memuji Qabil terlalu banyak kerana dengan pujian akan menjatuhkan dia, jadi kita hanya meminta doa orang ramai," tegasnya lagi Sementara itu, Jurulatih Qabil, Zulfahmi Khairuddin berkata, sebagai jurulatih FIM MiniGP,  beliau sedikit sebanyak memberi 'guideline' kepada semua ibu-bapa serta penjaga mengenai perlumbaan. "Jadual adik Qabil setiap petang selepas sesi persekolahan, jadi apabila saya melihat beliau sangat berbakat dan  yang sangat kuat berusaha. "Kalau duduk di Kuala Lumpur bersama saya, saya tahu rutin harian dia setiap petang nak bermain motor sama seperti dia berada di Terengganu tetapi akses kita di Sepang tidaklah sebebas seperti di sini (Terengganu) jadi itu kelebihannya dimana dia mempunyai kelebihan fasiliti 'track' untuk dia berlatih setiap hari, ini tidak ada pada pelumba dari negeri lain.  "Pada awalnya susah untuk kita percaya Malaysia mejadi juara dunia dalam sukan permotoran kalau kita lihat sejarah sukan permotoran kita jauh di belakang 'european country' tetapi Qabil Irfan telah membuktikan bahawa Malaysia khususnya Terengganu mempunyai bakat yang luar biasa. 'Semestinya saya berharap dengan segala sambutan ini, Qabil Irfan berpijak di bumi yang nyata, merendah diri, teruskan usaha untuk dia pergi ke peringkat yang seterusnya dan saya sudah ada pelan untuknya berlumba di peringkat yang seterusnya," tambahnya.  
15 Dec 23
227
TFC Dijangka Kurangkan Pemain Import
TFC Dijangka Kurangkan Pemain Import
KUALA NERUS, 14 Disember - Pasukan Terengganu FC (TFC) mahu mengurangkan pengambilan pemain import dalam mengharungi kancah bola sepak musim hadapan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan sebagai langkah penjimatan. "Tahun ini sembilan, tahun hadapan kita jangka lima (pemain import) sahaja bergantung kepada pandangan jurulatih dan bajet. "(Mengenai) berapa ramai (pemain) yang akan dikekalkan (nanti). kita tidak boleh memberikan maklum balas lagi untuk masa ini. Insya-Allah kita akan maklum dari semasa ke semasa mengenai pelepasan dan kemasukan pemain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Exclusive Meet and Greet With World Championship FIM Mini GP 2023, di Litar Permotorang Gong Badak, di sini, semalam. Dalam pada itu, Hishamuddin berkata tiada rombakan besar akan dilakukan TFC kerana telah memiliki asas yang kukuh. "Hanya perlu masukkan beberapa pemain import, insya-Allah progresnya sedang berjalan," ujarnya. Mengenai jurulatih pula katanya, keputusan telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC pada 14 November yang lalu bagi mengekalkan Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali skuad penyu. Manakala desas desus mengenai kemasukan Safawi Rashid ke pasukan Terengganu pula, Hishamuddin berkata perkara itu akan terjawab apabila kenyataan rasmi dikeluarkan nanti.      
14 Dec 23
998
Terengganu FC Kekal Tanpa Kalah Di Asia
Terengganu FC Kekal Tanpa Kalah Di Asia
KUALA NERUS, 13 Disember - Terengganu FC mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala AFC apabila menang 2-0 ke atas Bali United FC pada aksi terakhir peringkat Kumpulan G, sebentar tadi. Melayan kunjungan pasukan dari Indonesia itu di halaman sendiri, Sang Penyu memerlukan kemenangan besar bagi mengatasi kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC sebagai pasukan kedua terbaik untuk layak ke peringkat kalah mati. Dengan ketiadaan Suhaimi Husin, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner memberi peluang penjaga gol muda, Syed Muhammad Nasrulhaq membuat kemunculan pertama dalam saingan Piala AFC. Terengganu FC bermula dengan baik di awal permainan dan agresif cuba menembusi kubu lawan. Pada minit ke-21, Habib Haroon berjaya melakukan tandukan yang ditepis keluar penjaga gol lawan, Muhammad Ridho. Dua minit kemudian, satu umpanan cantik Norhakim Hassan menemui Syahmi Zamri yang betul-betul berada di depan pintu gol, tetapi tidak berjaya diterjemahkan kepada gol. Sang Penyu terus berusaha memecahkan kebuntuan jaringan. Penjaring terbanyak pasukan, Ivan Mamut melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun ditepis Ridho pada minit ke-29. Pada minit ke-37 Sony Norde pula menyerang kubu lawan, tetapi bola muntah di depan gol gagal disambar Syahmi. Memasuki minit ke-39, Habib yang mengambil sepakan sudut melorongkan bola kepada Sony sebelum penyerang kelahiran Haiti itu melakukan sepakan tepat ke penjuru gawang untuk gol pertama tuan rumah. Terengganu FC menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan tipis satu jaringan. Pada minit ke-57, penyerang Bali United, Mohammed Rashid hampir menyamakan kedudukan buat pelawat, tetapi Syed Nasrulhaq pantas menyelamatkan keadaan. Terengganu FC cuba menjarakkan kedudukan pada minit ke-63 namun lorongan Norhakim disia-siakan Sardor Kulmatov dan Ivan yang berada di depan gawang. Pada minit ke-72, Ivan melakukan umpanan yang disudahkan Norhakim, bagaimanapun Ridho cemerlang menafikan peluang tersebut. Memasuki minit ke-88, bermula dari satu serangan balas, lorongan Nurillo Tukhtasinov disudahkan Sardor untuk gol kedua pasukan. Keputusan kekal 2-0 sehingga wisel penamat dibunyikan. Terengganu FC mengumpul 12 mata di tempat kedua dengan tiga kemenangan dan tiga seri sepanjang saingan. Kemenangan malam ini menjadi harapan kepada penyokong Terengganu FC menjelang pertemuan Phnom Penh Crown FC menentang kelab Myanmar, Shan United, esok   
13 Dec 23
633
Terengganu Salur Insentif Khas RM15,000 Kepada Juara Dunia
Terengganu Salur Insentif Khas RM15,000 Kepada Juara Dunia
KUALA NERUS, 13 Disember - Kerajaan negeri menyerahkan insentif khas wang tunai RM15,000 kepada Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini. Dalam usia 11 tahun, Qabil telah mengecapi kejayaan yang cukup membanggakan apabila melakar kemenangan hatrik pada ketiga-tiga siri perlumbaan yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo baru-baru ini sekali gus menobatkannya sebagai juara keseluruhan perlumbaan 160cc. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu adalah galakan kepada pelumba cilik berkenaan supaya terus bersemangat untuk mencapai kejayaan. "Saya berharap kerja keras dan usaha yang dipamerkan oleh adik Qabil dan pelumba cilik lain menjadi insiprasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing. "Saya juga merasakan anak remaja dan rakyat Terengganu perlu mempunyai minda kelas dunia dalam setiap perkara yang dilakukan. "Apa yang kita lakukan jangan diletakkan had sekadar dalam kampung kita sahaja, atau sekadar dalam negeri sahaja, sasarlah ia hingga ke peringkat antrabangsa. Sebuah kejayaan besar bermula daripada sekilas angan-angan dan cita-cita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran, Gong Badak, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, meraikan kejayaan Qabil Irfan serta Muhammad Airel Ahmad Marzuki amatlah bermakna dan disambut dengan penuh kesyukuran kerana terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan FIM MiniGP World Series. Dalam masa yang sama katanya, kerajaan negeri akan sentiasa menyediakan inisiatif khas bagi membantu pelumba-pelumba cilik yang lain untuk turut mengembangkan bakat sehingga ke peringkat antarabangsa. "Untuk rekod kerajaan negeri membantu membiayai yuran penyertaan mereka di peringkat kebangsaan (RM4 ribu hingga RM5 ribu), kemudian apabila terpilih ke peringkat antarabangsa mereka juga akan dibantu sama ada melalui kerajaan negeri secara terus atau anak syarikat milik kerajaan negeri. "Kerajaan negeri pada tahun lalu juga telah menyediakan sebuah motosikal dengan harga mencecah RM40 ribu kepada Qabil Irfan sebagai usaha dan persediaan beliau untuk melakukan latihan serta perlumbaan," katanya. Pada tahun ini pula katanya, kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn.Bhd. juga telah bersetuju untuk menaja Hakim Danish Ramli yang telah mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menjadi pelumba Malaysia pertama yang berjaya menjuarai Asia Talent Cup 2022. "Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada pelumba negeri ini untuk terus bersinar di peringkat antrabangsa," katanya.    
13 Dec 23
841
Terengganu FC Berdepan Tugas Getir
Terengganu FC Berdepan Tugas Getir
KUALA NERUS, 12 Disember - Terengganu FC berdepan tugas sukar dalam usaha melayakkan diri ke peringkat kalah mati menjelang aksi terakhir Kumpulan G pada saingan Piala AFC malam esok. Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner berharap pasukan kendaliannya berjaya memperoleh keputusan lebih baik dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu. "Ada sedikit rasa bimbang dengan keadaan pemain selepas perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini, di mana pemain sedikit lesu bukan sahaja fizikal tetapi mental kerana kami kalah. "Ada yang cedera, tetapi saya tau pemain saya. Setakat ini Aza, Alif dan juga Ivan Mamut tidak menyertai latihan akibat kecederaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media di SSMZA, hari ini. Tambahnya, setiap perlawanan adalah penting lebih-lebih lagi, Sang Penyu masih belum tewas dalam aksi Piala AFC. "Kami buat kesilapan apabila seri menetang Stallion (Laguna FC) di sini. Kami memerlukan kemenangan. "Setiap perlawanan akan ada tekanan, tetapi ini kerja kami dan kami harus bekerja dalam tekanan," ujarnya. Tomislav turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong Terengganu FC untuk seluruh musim ini dan berharap penyokong terus memenuhkan stadium pada perlawanan esok.  
12 Dec 23
572
TFC Kalah Bermaruah
TFC Kalah Bermaruah
KUALA LUMPUR, 8 Disember - Terengganu Football Club (TFC) mempamerkan aksi cemerlang sebelum tewas ke atas pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023. Seramai 82,555 orang penyokong kedua-dua pasukan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat bagi menyaksikan perlawanan berkenaan. TFC di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner membariskan trio serangan terbaik, Ivan Mamut, Norhakim Hassan dan Sony Nordey sebagai senjata di bahagian serangan bagi merobek gawang JDT. Sementara itu, pengendali JDT turut merangka percaturan berbisa dengan meletakkan Fernando Forestieri, Arif Aiman dan Heberty sebagai penyerang untuk menggempur pertahanan sang penyu. Bermula perlawanan, pada minit ke-6, JDT dihadiahkan sepakan penalti apabila Fernando Forestieri dijatuhkan oleh Azam Azmi Murad dalam kotak penalti TFC. Penyerang import JDT, Bergson Da Silva berjaya menyudahkan penalti dan meletakkan JDT kelebihan satu mata di hadapan. TFC yang ketinggalan terus melancarkan serangan ke kubu lawan melalui cubaan Engku Nur Shakir di luar kotak penalti pada minit ke- 13 namun berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Syihan Hazmi. Pada minit ke 18, TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Ivan Mamut dikasari oleh Jordi Amat dalam gawang JDT. Penyerang import TFC, Ivan Mamut berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan TFC menyamakan kedudukan 1-1 sebelum tamat babak pertama. Bersambung babak kedua, pada minit ke 64, Syihan Hazmi sekali lagi cemerlang menepis rembatan kencang Ivan Mamut yang menerima hantaran cantik mellalui sepakan percuma dari Sony Nordey. Babak kedua menyaksikan para pemain kedua-dua pasukan lebih agresif dan masing-masing saling berbalas serangan. Pada minit 73, JDT berjaya meledak jaringan kedua menerusi tandukan Feroz Baharudin yang meletakkan JDT mendahului 2-1 hadapan TFC. Berselang 7 minit kemudian, Azam Azmi Murad terus memberi tekanan dengan merembat ke gawang lawan namun penjaga gol JDT itu terus cemerlang menepis rembatannya. Memasuki masa tambahan, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, S. Logeswaran selepas Arif Aiman Hanapi dikasari oleh Muhammad Shahrul Nizam dalam kotak penalti. Arif Aiman tidak berdepan masalah untuk meledak gol ketiga JDT sekali gus menyaksikan Harimau Selatan merangkul Piala Malaysia buat kali keempat.    
08 Dec 23
347
Karnival Silat Gegarkan Gong Badak
Karnival Silat Gegarkan Gong Badak
  KUALA NERUS, 7 Disember - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) dan Yayasan Al Amin dengan kerjasama Kerajaan Terengganu akan menganjurkan Karnival Silat Kebangsaan (KSK) Kali Pertama 2023 di Stadium Tertutup Komplek Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak selama empat hari bermula 14 hingga 17 Disember ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamudin Abdul Karim berkata Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka akan merasmikannya dengan slogan 'demi penyatuan, dakwah dan jati diri'. Katanya, pengajuran karnival tersebut diuruskan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Negeri Terengganu. Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu Sukan Malaysia XXI (SUKMAXXI), Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli,  Pengerusi PEKIDA Terengganu, Ahmad Fadrul @ Damak Md Taha dan Penasihat I KSK, DCP (B) Dato' Abdul Razak Mohd Yusoff. Hishamudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh berkata aktiviti karnival tersebut termasuk acara kejohanan silat kebangsaan kali kedua, pameran agensi dan korporat, pameran senjata Melayu, both jualan makanan dan minuman, pertunjukan silat, forum dan ceramah, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah. "Saya dimaklumkan bahawa karnival ini lebih kepada  memupuk semangat jati diri Melayu dan penyatuan ummah, jadi ia adalah satu 'event' yang cukup bermakna kepada rakyat negeri Terengganu. "Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, kita akan memberi kerjasama mana yang perlu untuk membantu menjayakan karnival tersebut," tambah beliau. Kerajaan Terengganu juga katanya kagum dengan usaha gigih pihak pengajur untuk merealisasikannya pada tarikh yang ditetapkan itu. Justru beliau menyeru rakyat Terengganu hadir beramai-ramai bagi merai dan menjayakan  karnival yang cukup bermakna itu. Sementara itu, Abdul Razak berkata dijangka 3,000 ahli persatuan silat dari seluruh negara akan menyertai karnival tersebut pada tarikh tersebut. "Masih ramai yang ingin menyertai karnival berkenaan tetapi penyertaan terpaksa ditutup kerana kapasiti stadium tidak mengizinkan penyertaan melebihi had tersebut untuk acara dan pertandingan," jelasnyge widget
07 Dec 23
721
Terengganu Sertai 36 Acara di SUKMAXXI Sarawak
Terengganu Sertai 36 Acara di SUKMAXXI Sarawak
KUALA NERUS, 6 Disember - Terengganu dijangka menyertai 36 daripada 37 acara Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak tahun depan bagi merampas kejuaraan sukan berprestij itu dari negeri Johor. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamudin Abdul Karim berkata, sasaran emas adalah dirahsiakan bagi mengelakkan pasukan lawan mengatur langkah bagi mengekang kemaraan Terengganu menjuarai semula sukan tersebut. Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran, Bandar Al Wathiqu Billah di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Terdahulu dari itu dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Hishamudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh berkata atlet SUKMA Terengganu kini memasuki latihan Fasa kedua dan akan diikuti dengan latihan fasa ketiga sedikit masa lagi. "Dalam fasa ini atlet didedahkan dengan pertandingan yag banyak dan pemilihan pertandingan bersesuaian sangat penting terutama untuk membuat penilaian sebenar sama ada pasukan kita atau pasukan lawan lebih baik," jelasnya. Katanya dalam fasa tersebut juga ada kemungkinan kerajaan akan membenarkan  latihan dan pertadingan di luar negara. "Namun begitu jurulatih perlu pandai memilih pertandingan di luar negara yang berkualiti, sesuai dengan keperluan dan tahap atlet kita," ujarnya. Pendedahan sebegini katanya mampu melonjakkan prestasi atlet terpilih terutama atlet sasaran emas. Hishamudin menjelaskan bahawa Terengganu perlu menyorok prestasi sebenar etlet negeri dengan mengurangkan penyertaan dalam kejohanan dalam negara sekali gus lebih mendedahkan pertandingan di luar negara. "Ini bagi memastikan pasukan lain tidak dapat menjangka kekuatan kita (atlet Terengganu) sehinggalah pada hari kejohanan sebenar," tambahnya.
06 Dec 23
355
'Pemain Perlu Fokus Mental dan Fizikal'
'Pemain Perlu Fokus Mental dan Fizikal'
KUALA NERUS, 6 Disember - Pemain-pemain pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) harus menyediakan fizikal dan mental yang ampuh dalam usaha menyaingi pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 nanti. Itu nasihat yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim. "Buat masa ini, saya lihat jurulatih memberikan tumpuan sepenuhnya dan beberapa pemain yang cedera diberitakan telah pulih serta boleh terlibat (dalam perlawanan). Cuma, saya harap mereka capai kecergasan sepenuhnya. "Dalam perlawanan akhir ini, mereka perlu fokus dan memastikan tidak diusik pelbagai gangguan dalam padang. "Seperti kita tahu, Johor DT sebuah pasukan yang cukup lengkap dan mereka juga memiliki keupayaan mengusik emosi.  "Jadi ,harap mereka mengekalkan tumpuan dalam perlawanan," katanya. Dalam pada itu, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner lega dengan kembalinya tiga tonggak pertahanannya yang dilanda kecederaan sebelum ini. "Shahrul Nizam, Safwan Mazlan dan Azam Azmi, hanya Alif Zakaria yang masih cedera. "Semua tahu tentang Johor DT, mereka ada pemain berkualiti dan menewaskan kami beberapa kali. "Tetapi, kami tahu bagaimana kami perlu bermain. Kami perlu lebih agresif, lebih fokus, lebih banyak berlari dan sedikit tuah untuk menewaskan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di LTSM, tengahari tadi. Bagi menghadapi aksi akhir yang berlangsung Jumaat ini, pasukan 'Sang Penyu' berlepas ke Kuala Lumpur dengan Hishamuddin serta sebahagian ahli lembaga pengarah Terengganu FC Sdn Bhd turut menghantar pasukan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.  
06 Dec 23
152
Kejutan Menanti Qabil Irfan
Kejutan Menanti Qabil Irfan
KUALA NERUS, 4 November - Kerajaan negeri bakal memberikan insentif khas buat Qabil Irfan Azlan, 11 yang dinobatkan sebagai juara dunia FIM MiniGP World Series 160cc 2023, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merupakan satu penghargaan kepada usaha keras pelumba cilik berkenaan dalam mengatasi saingan peringkat antarabangsa pada perlumbaan yang berlangsung di Valencia, Sepanyol itu. "Kita sangat berbangga dengan pencapaian adik Qabil, baru baru ini. "Oleh kerana jadi juara, negeri bersetuju memberi insentif khas yang akan diumumkan dan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar nanti," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sewaktu menyambut ketibaan Qabil, semalam. Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap Qabil dan lima lagi pelumba cilik kelahiran Terengganu akan akan mencetak nama di peringkat seterusnya. Dalam pada itu, Qabil yang tiba dari Kuala Lumpur melahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut. "Saya tidak sangka saya boleh buat sebab sebelum itu saya duduk di belakang. "Sebelum ini, saya cuma menyasarkan masuk peringkat akhir dan tidak sangka jadi juara. "Terima kasih ibu ayah dan semua yang sokong saya, saya akan cuba naik kategori dan berlatih yang terbaik lagi," katanya. Bapanya, Azlan Abdul Rahman,47 pula menyifatkan kejayaan yang dikecapi amat bermakna. "Keadaan cuaca ketika itu agak sejuk di mana Qabil berlumba dalam suhu enam darjah celcius dan keadaan litar yang masih basah. "Untuk perancangan tahun depan, mungkin Qabil akan main pada kategori 190cc. Tetapi segalanya akan ditentukan oleh Zulfahmi Khairuddin, iaitu pihak ZK Racing yang mengelola latihan dan perlumbaan Qabil," katanya. Musim ini merupakan musim kedua Qabil bersaing di MiniGP World Series selepas menduduki tempat keempat keseluruhan pada tahun lalu.
04 Dec 23
364