lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

"Harap Tragedi Keganasan Terhadap Faisal, Akhyar Adalah Yang Terakhir"
"Harap Tragedi Keganasan Terhadap Faisal, Akhyar Adalah Yang Terakhir"
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengharapkan agar tragedi keganasan yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak Faisal Halim dan Akhyar Rashid adalah kali terakhir dan tidak berulang lagi. Katanya, detik itu merupakan sejarah hitam dalam bola sepak negara kerana tidak pernah berlaku lagi keganasan sedemikian sehingga menyebabkan kecederaan parah dialami dua pemain tersebut yang boleh menjejaskan karier bintang bola sepak terbabit. "Saya harap kes ini yang terakhirlah (sebelum ini) tidak pernah berlaku serangan fizikal yang agak ganas  seperti ini dalam dunia bola sepak. "Terutama bagi kes yang membabitkan Faisal Halim, kita harap itu peristiwa terakhir dan selepas ini akan balik dalam suasana positif, para pemain merasa tenang dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi. "Antara pasukan bola sepak akan harmoni bertembung diantara satu sama lain di dalam padang tidak terbawa-bawa sehingga ke luar padang (selepas tamat perlawanan)," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu Football Club Sdn Bhd Sempena Pelancaran Kit Rasmi Musim 2024/2025, di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong. Mengenai perkembangan siasatan yang menimpa pemain Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid, Hishamuddin berkata pihaknya dimaklumkan kes itu telah diserahkan kepada polis Bukit Aman. "Ekoran kes yang timbul, pusat latihan ketika ini terpaksa ditutup dan pemain TFC kini berlatih secara tertutup kerana Akhyar dipercayai diekori oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum kejadian samun. "Selain itu polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain, kita juga diminta agar melaporkan pergerakan pemain kepada PDRM,"katanya. Tambah beliau, tindakan menutup pusat latihan pemain kepada peminat TFC hanyalah bersifat sementara sehingga keadaan kembali reda. "Sebagai langkah keselematan, kita juga memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan tersebut," katanya.  
16 May 24
420
Tiada Bola Malam Jumaat, Terengganu ‘Terkejut’ Dengan AFF
Tiada Bola Malam Jumaat, Terengganu ‘Terkejut’ Dengan AFF
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu ‘terkejut’ dengan komitmen Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang tidak mengadakan perlawanan bola sepak membabitkan Terengganu FC di negeri itu pada malam Jumaat sebagai menghormati dasar kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya menghargai maklum balas AFF yang bersetuju mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Katanya, walaupun ia permintaan yang agak kerdil, tetapi ia sangat besar ertinya buat rakyat Terengganu. “Sebagaimana yang telah maklum, Terengganu FC dan KL City dipilih mewakili negara bagi menghadapi saingan Kejohanan Kelab Asean, Shopee Cup. Ia merupakan satu peluang yang sangat baik untuk pasukan beraksi dan sekali gus sebagai satu penghormatan buat Terengganu FC. “Apa yang menarik, sewaktu sesi lawatan delegasi AFF ke Terengganu pada 19 Mac 2024, pihak Terengganu FC telah kongsikan maklumat berkenaan polisi Kerajaan Negeri melalui  yang tidak membenarkan acara berbentuk hiburan diadakan pada malam Jumaat kerana ia dikhaskan sebagai waktu tenteram masyarakat.  “Ia dimaklumkan oleh pihak TFC bagi memberikan kemudahan kepada pihak penganjur untuk menyusun jadual perlawanan selepas ini seandainya membabitkan Terengganu sebagai tuan rumah,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu itu berkata, sebaik sahaja penjelasan polisi itu diberikan kepada pihak AFF, penganjur kemudiannya berkongsi satu ’Special Provision’ yang diberikan kepada Terengganu sempena Shopee Cup.  “Sejujurnya, kami tidak menjangkakan AFF mengambil serius dan sangat menghormati permintaan Terengganu sehingga ia ditayangkan secara langsung dalam sesi taklimat sewaktu undian pada hari kelmarin di Ho Chi Minh City. “Semua pasukan yang terlibat juga memahami dan memberikan respon yang sangat baik atas permintaan ini. Agenda sukan sebenarnya sangat menyatukan sekalipun berlainan agama dan bangsa.  “Sekali lagi, dirakamkan ucapan terima kasih kepada pihak AFF dan Shopee sebagai penganjur dan penaja utama atas penghormatan yang diberikan kepada Terengganu,” tambah Hishamuddin.
12 May 24
13536
Misi Pertama Terengganu FC Cemerlang
Misi Pertama Terengganu FC Cemerlang
KUALA NERUS, 11 Mei- Terengganu FC memulakan misi Liga Super 2024/2025 dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini. Dalam perlawanan tersebut, Pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tuskhtasinov membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Haziq Nadzli, untuk tuan rumah selesa di hadapan. Pasukan pelawat cuba untuk menyamakan kedudukan, tetapi tandukan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-36 hanya singgah di palang. Sang Penyu hampir menambah jaringan pada minit terakhir separuh masa pertama, apabila Marin Pilj yang menerima hantaran lintang Nur Hakim Hassan berjaya menarik penjaga gol lawan keluar, namun umpanannya tidak berjaya disudahkan Manuel Ott. Memasuki babak kedua, Perak FC cuba bangkit dengan mengukuhkan penguasaan bola. Pada minit ke-50, Tommy Mawat melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti, namu berjaya dinafikan Syed Muhammad Nasrulhaq. Bagaimanapun, sepuluh minit kemudian Sang Seladang berjaya memadamkan perbezaan jaringan hasil sepakan penalti Luciano Guaycochea, selepas Manuel Ott melakukan bentesan ke atas Lee Tae-Min. Terengganu FC tidak menunggu lama untuk kembali menguasai perlawanan apabila pertahanan lawan, Shivan Pillay tertampan bola ke gawang sendiri setelah Haziq menepis bola lintang Nik Sharif Haseefy pada minit ke-65. Duka bertambah buat pelawat pada minit ke-74 apabila pertahanan, Luiz Henrique dilayangkan kad kuning kedua. Pada minit ke-80, Terengganu FC 'menguburkan' harapan Perak FC untuk bangkit apabila pemain gantian, Chukwu Chijioke yang baru dimasukkan menewaskan Haziq untuk gol ketiga tuan rumah setelah menerima umpanan Engku Muhammad Nur Shakir. Keputusan kekal 3-1 sehingga tamat perlawanan menyaksikan Terengganu FC meraih tiga mata pertama dalam aksi sulung Liga Super 2024/2025.  
11 May 24
312
Tun Ahmad Faisal Kemudi Kontinjen Terengganu ke SUKMA XXI Sarawak
Tun Ahmad Faisal Kemudi Kontinjen Terengganu ke SUKMA XXI Sarawak
KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak ditauliahkan secara rasmi sebagai Ketua Kontinjen (CDM) SUKMA Terengganu yang bakal bersaing di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini. Pentauliahan disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, semalam. Selain itu, Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Maldiana Abd Patah turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (TCDM). Pelantikan itu merupakan tanggungjawab kali kedua berturut-turut buat Tun Ahmad Faisal setelah mengetuai kontinjen Terengganu menyandang Naib Juara keseluruhan di SUKMA XX, MSN 2022 yang lalu dengan pungutan 64 Emas, 49 Perak dan 56 Gangsa. Sekalipun bergelar naib juara, pencapaian 64 Emas menjadi pencapaian terbaik kontinjen Terengganu di temasya sukan itu. Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkatkepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen serta ketua-ketua jabatan. Hadir sama dalam sesi terbabit ialah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai kewangan negeri, Dato' Nara Setia. Pelantikan itu menjadi tradisi kontinjen negeri sebagai strategi untuk meraih sokongan moral serta suntikan semangat daripada pelbagai peringkat kepimpinan negeri. Penganjuran SUKMA Sarawak 2024  menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan Bola Keranjang. Kini, kontinjen Terengganu telah memasuki fasa akhir persiapan dan latihan dengan berbaki 100 hari lagi menjelang temasya terbesar peringkat nasional itu.
09 May 24
464
SUKMA Terengganu Sasar Raih 75 Emas
SUKMA Terengganu Sasar Raih 75 Emas
KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Kontinjen SUKMA Terengganu 2024 menyasarkan untuk memungut 75 pingat emas sekali gus merebut kembali kejuaraan SUKMA edisi ke-21, kali ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran yang diletakkan melebihi pencapaian terbaik tahun lalu dengan pungutan 64 Emas. "Cita-cita kita besar, untuk merampas kejuaraan yang pernah dimiliki Terengganu pada 2018. "Semua tahu di mana kekuatan negeri Terengganu dan kita ada juga sukan-sukan baru yang kita akan cuba dapatkan pingat Emas. "(Sukan) pelayaran, basikal, malah olahraga juga tidak kurang pada kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam majlis tersebut, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen serta ketua-ketua jabatan. Penganjuran SUKMA Sarawak 2024 pada Ogos nanti menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan bola keranjang.
08 May 24
550
MB Terengganu Harap Jenayah Cederakan Atlet Tidak Berulang
MB Terengganu Harap Jenayah Cederakan Atlet Tidak Berulang
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan rasa simpati atas perbuatan berunsur jenayah yang menimpa beberapa pemain bola sepak tanah air. "Sesiapa jua, ia (kejadian tersebut) tidak patut berlaku dalam negara ini. Kita bersimpati kepada pemain yang menjadi mangsa. "Pagi ini, saya dapat tahu ada lagi pemain yang menjadi mangsa kejadian seperti ini. "Saya tidak tahu apakah ia trend atau perkara baru yang berlaku, ia membimbangkan. "Saya harap ia bukan trend baru, semua pihak harus menghormati satu sama lain termasuk ahli sukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim turut memaklumkan keadaan terbaru membabitkan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid yang cedera disamun baru-baru ini. "Dalam lawatan yang terakhir, fizikalnya tiada masalah dan ada beberapa luka perlu masa untuk sembuh.  "Cuma trauma memang ada. Jadi, kita bagi masa beliau bersama keluarganya untuk sama-sama membantu memulihkan trauma yang dialami. "Di samping itu, pihak kita telah memikirkan beberapa sokongan lain terutama dalam sudut pemulihan trauma. "Saya jangka dalam beberapa perlawanan awal mungkin Akhyar tidak akan sertai, tetapi dia akan mula berlatih selepas sesi pemulihan," katanya. Beliau merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), juga menyatakan pihaknya telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi perkara terbabit. "Kelmarin, kita telah selesai taklimat keselamatan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM). "Perkara ini dipandang serius pihak polis dan kita ucapkan terima kasih kepada PDRM kerana sangat memperhalusi perkara ini. "Kita juga akan membuat solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan Akhyar dan pemain-pemain lain termasuk Faisal Halim. "Walaupun bukan dari pasukan kita, saya menyeru supaya rakyat Terengganu solat hajat dan mendoakan ke arah lebih baik buat Faisal," katanya.
08 May 24
189
Tomislav Gusar Serangan Sang Penyu Masih Tumpul
Tomislav Gusar Serangan Sang Penyu Masih Tumpul
KUALA NERUS, 4 Mei - Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan aksi terakhir pramusim menentang Kelantan Darul Naim FC, malam tadi bukanlah 'permainan sebenar' pasukannya. "Ini bukan yang saya jangkakan, saya tidak tahu apa alasannya kerana kita tidak bermain sepertimana kita boleh dan biasa bermain. Apa yang berlaku kepada Akhyar semalam juga (mungkin mengganggu) dan segalanya kelihatan tidak seperti biasa. "Sebelum perlawanan, saya bertanya kepada pemain adakah semuanya baik, mereka mengiyakan tetapi apa yang kita lihat dalam perlawanan, ia sebaliknya," luah jurulatih kelahiran Croatia itu. Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang berkesudahan seri 0-0 itu, Sang Penyu dilihat masih tumpul di hadapan gawang , lebih-lebih lagi tanpa kehadiran penyerang utama, Ivan Mamut yang dilanda kecederaan. "Separuh masa pertama, kami mengawal permainan dengan lebih banyak peluang, kami pasukan yang lebih baik tetapi bermain terlalu lembut. "Selepas itu saya melakukan pertukaran lebih awal untuk mendapatkan tenaga baru tetapi saya tidak dapat apa yang dimahukan, hanya ia keputusan yang baik kerana kami tidak melepaskan gol tetapi, sekali lagi kami mempunyai masalah untuk menjaringkan gol. "Kami mengalami masalah tanpa kualiti tambahan, saya jangkakan apabila Ivan kembali selepas kecederaan dalam beberapa minggu, akhyar dan Azam Azmi untuk lebih serangan, saya harapkan permainan lebih baik kerana hari ini saya tidak boleh berpuas hati. "Saya akan cuba mencari sebabnya kerana kami bermain lebih baik menentang Sri Pahang FC dan mengawal permainan walaupun mereka lawan yang baik, hari ini kami banyak peluang tetapi tidak menguasai perlawanan," katanya lagi. Dalam pada itu, beliau turut berharap pemain sayap, Akhyar Rashid yang cedera disamun, Khamis lalu dapat kembali dengan keadaan dan mental yang lebih baik kepada pasukan. "Sesuatu yang tidak dapat membunuh kamu akan menjadikan kamu lebih kuat, itu pesanan saya kepada pemain dan saya harap Akhyar akan kembali lebih kuat daripada sebelum ini. "Saya tidak tahu banyak tentangnya, saya harap dia akan kembali segera cuma saya tidak betigu tahu bagaimana tahap kecederaannya, tetapi untuk sistem serangan dia penting pada masa ini.  "Saya tidak mahu terlalu mengganggunya tetapi dia tahu kami semua, pemain, pengurusan dan penyokong sentiasa bersamanya," katanya.    
04 May 24
533
Tomislav Puas Hati Aksi Ismaheel Akinade
Tomislav Puas Hati Aksi Ismaheel Akinade
KUALA NERUS, 18 April - Pengendali pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC), Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan aksi ditunjukkan penyerang import baharunya, Ismaheel Akinade pada perlawanan pramusim Agarbomb Performance Cup 2024 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Tomislav lega ketiadaan penyerang utamanya, Ivan Mamut yang dilanda kecederaan sedikit sebanyak ditampung penyerang kelahiran Nigeria itu. "Ismaheel bekerja keras dan memberikan 100 peratus (dalam latihan dan perlawanan), hari ini beliau menjaringkan gol lagi dan sebelum ini menjaringkan tiga gol. "Saya berpuas hati dengan usahanya, beliau mempunyai kualiti dan kepantasan. Ivan mungkin pemain yang berbeza tetapi kedua-dua mereka akan bermain lebih banyak kerana musim baru ini lebih panjang," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, semalam. Pada aksi pertama menentang Penang FC itu, Ismaheel muncul wira pasukan dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-69. Pengendali kelahiran Croatia itu juga memaklumkan akan memanfaatkan aksi pramusim sebelum memutuskan barisan kesebelasan utamanya menjelang aksi Liga Super 2024/2025 kurang sebulan lagi. "Kalau dilihat kita tampil musim ini dengan kehadiran tujuh pemain baharu berbanding musim lalu. Kadang-kadang, ia memerlukan masa untuk para pemain menyesuaikan diri. "Kita juga tidak mahu berlakunya kecederaan lagi di kalangan pemain menjelang permulaan liga," katanya.        
18 Apr 24
471
Safawi, Akhyar Bakal Diuji Malam Ini
Safawi, Akhyar Bakal Diuji Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Pemain Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bakal membuat penampilan pertama bersama jersi hitam putih apabila berdepan Selangor FC II di Padang Latihan Selangor FC pada malam ini. Pengendali Pasukan TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, tiga pemain kebangsaan iaitu Safawi, Akhyar dan juga Suhaimi akan kembali bersama TFC untuk tiga aksi perlawanan persahabatan setelah pulang dari menentang pasukan Oman tempoh hari. Katanya, dua lagi perlawanan persahabatan TFC bakal menentang PDRM FC dan Negeri Sembilan FC yang bertarikh 2 dan 4 April 2024. “Namun begitu, dua lagi pemain utama pasukan iaitu Azam Azmi dan Ivan Mamut tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.  “Azam dilihat memerlukan masa yang agak panjang untuk kembali sembuh dan Ivan Mamut pula dijangka akan dapat kembali bersama pasukan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Tomislav, pada ketika ini sangat menguji kecergasan setiap pemain serta kefahaman taktikal. Menurutnya, perkara tersebut menjadi keutamaan untuk memastikan keserasian dapat diterjemahkan.  “Keputusan perlawanan ini juga amat penting untuk membina motivasi buat para pemain,” ujarnya.              
31 Mar 24
479
Azam Azmi Dinobat Pertahanan Terbaik Tewaskan Duo JDT
Azam Azmi Dinobat Pertahanan Terbaik Tewaskan Duo JDT
KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Pertahanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad dinobat sebagai Pertahanan Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk tahun 2023 yang berlangsung semalam. Menurut kenyataan rasmi Malaysian Football League (MFL) berkata Azam berjaya menewaskan dua lagi finalis bagi kategori pertahanan terbaik iaitu Feroz Baharudin dan Corbin Ong dari Pasukan Johor Darul Takzim (JDT). Katanya, tiga finalis tersebut telah disenarai pendek daripada 10 calon bagi kategori berkenaan. “Antaranya, Azam Azmi dan Shahrul Nizam dari Terengganu, Dominic Tan dan Rizal Ghazali dari Sabah, Feroz Baharudin, Corbin Ong dan Matt Davies dari JDT, Kamal Azizi dari KL City, serta Quentin Cheng dan Sharul Nazeem dari Selangor. “Untuk rekod bagi edisi ABK22 pada musim lalu, kategori ini telah dirangkul oleh pemain pertahanan dari JDT iaitu Shahrul Saad namun kini gelaran itu disandang oleh pemain muda negara yang sedang meningkat naik iaitu Azam Azmi Murad,” ujar kenyataan itu. Sementara itu, pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili turut mencuri tumpuan selepas berjaya memenangi Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL yang juga merupakan kategori baharu untuk kejohanan yang kali pertama dipertandingkan pada musim 2023. “Alhamdulillah untuk anugerah ini dan saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu, barisan jurulatih, rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu perjalanan kami di Piala MFL. “Terima kasih juga kepada MFL yang menyediakan platform kejohanan ini khusus buat pemain-pemain muda buat kali pertama pada tahun lalu,” kata Ubaidullah. Anugerah Fair Play pula dimenangi Pasukan Terengganu FC manakala anugerah Fan XI Malaysia 2023 yang ditentukan menerusi undian penyokong dimenangi oleh Azam Azmi Murad dan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni daripada TFC.      
26 Mar 24
452