Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu Sebelah Kaki ke Separuh Akhir Piala FA
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Terengganu sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA selepas mengaibkan Sabah dengan jaringan 4-0 pada saingan suku akhir 1 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sebentar tadi.
Manuel Ott muncul wira sang penyu apabila menjaringkan satu gol dan dua bantuan gol di hadapan hampir 16 ribu penyokong.
Sang Badak yang dibarisi ramai pemain kebangsaan terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu Terengganu, namun ketenangan pertahanan tuan rumah menghampakan pelawat.
Tersentak dengan amaran Sabah, skuad kendalian Badrul Afzan membalas dengan beberapa gerakan menarik.
Hasilnya, pada minit ke-9, kombinasi satu dua Safawi Rasid dan Manuel Ott memerangkap Dominic Tan sekali gus membolehkan Ott menjaringkan gol pembukaan dengan 'taping' mudah.
Sabah memberi respons dengan serangan pantas, namun percubaan, Telmo Castanheira, Saddil Ramdani dan Ramon Machado tersasar dari pintu gol sang penyu yang dikawal Syed Nasrul Haq.
Sedang rancak anak buah Ong Kim Swee mencari jaringan penyamaan, Terengganu melakukan serangan balas yang menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-37.
Gerakan Azam Azmi dan Ott yang tenang memperdaya dua pertahanan Sabah berjaya disudahkan Ismaheel Akinade.
Belum sempat Sabah memperkemaskan permainan, berselang lima minit kemudian, stadium kembali bergema dengan sorakan tuan rumah selepas rembatan separa voli Marin Pilj menewaskan Khairul Fahmi buat kali ketiga.
Gol itu hadir hasil hantaran silang Azam yang gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh pertahanan Sabah.
Jaringan itu ternyata melenyapkan semangat Sabah hingga membolehkan Terengganu terus menguasai permainan.
Kelalaian itu membawa padah, Terengganu menambah derita Sabah dengan gol keempat pada masa tambahan separuh masa pertama.
Akinade menutup mulut pengkritik apabila rembatan kaki kirinya hasil hantaran Ott memberi bekalan selesa untuk skuad penyu mengakhiri babak pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu menukar strategi dengan mengendurkan sedikit permainan dan menanti serangan balas.
Ini menyaksikan Sabah mendominasi permainan dengan beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun ketumpulan barisan depan menghampakan peminat Sabah.
Pada minit ke-70, hasil serangan bertubi-tubi, skuad Borneo itu hampir memecah kebuntuan, namun pengadil membatalkan jaringan Machado selepas dikesan terlebih dahulu menolak Safwan Mazlan.
Terengganu yang sesekali menyerang kubu Sabah turut mendapat peluang pada minit ke-84 dan 85 menerusi Nurillo Tukhtasinov dan Azam Azmi, tetapi dinafikan Khairul Fahmi.
Beberapa minit sebelum perlawanan tamat, Sabah melancarkan serangan bertali arus, namun masih gagal menewaskan Syed Nasrul Haq,
keputusan 4-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Terengganu membawa bekalan selesa ke Likas Sabtu depan.
28 Jun 24
537
Terengganu Lebur 'Mimpi' Perak
KUALA NERUS, 14 Jun- Terengganu Football Club (Terengganu FC) bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menang tipis 2-1 ke atas Perak FC dalam saingan Piala FA, malam ini.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner membuat perubahan besar apabila penjaga gol utama yang pulih dari kecederaan, Mohd Suhaimi Husin diturunkan buat kali pertama musim ini mengemudi kubu Terengganu FC.
Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Yusri Che Lah mengejutkan 20,150 penyokong yang hadir apabila mendahului tuan rumah seawal minit kelima.
Gol pertama perlawanan itu bermula dengan sepakan percuma Sunday Afolabi yang disudahkan Luiz Henrique.
Terengganu FC terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk menyamakan kedudukan.
Kesilapan Tommy Mawat menjatuhkan Manuel Ott dalam kotak penalti pada minit ke-33 dihukum oleh Safawi Rasid dua minit kemudian untuk kedudukan 1-1.
Ibarat tonik, Sang Penyu terus menggandakan asakan dan pada minit ke-42, Marin Pilj melakukan rembatan rendah dari luar kotak penalti untuk Terengganu FC selesa dengan kelebihan jaringan pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Seladang lebih agresif mencipta peluang mencari jaringan penyamaan.
Pada minit ke-69, kekasaran Muhammad Firdaus Saiyadi ke atas Nurillo Tuskhtasinov seakan-akan membantutkan peluang pelawat apabila pemain sayap itu dilayangkan kad merah.
Perak FC cuba menghidupkan harapan dengan kemasukan penyerang, Clayton da Silva dan Nur Azfar Fikri.
Namun, gandingan pertahanan tempatan diterajui Shahrul Nizam, Ubaidillah Alias, Safwan Mazlan, Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad ampuh sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terengganu FC menanti pertemuan Sabah FC dan KL Rover FC esok untuk menentukan lawan mereka di peringkat suku akhir Piala FA nanti.
14 Jun 24
556
TFC, XFOX Batal Tajaan Demi Keharmonian Kelab
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Terengganu FC (TFC) dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd mencapai kata sepakat hari ini untuk membubarkan perjanjian tajaan bernilai RM1.5 juta demi keharmonian pasukan.
TFC berkata, tajaan bagi kejohanan Piala Shoppe AFF yang dimeterai pada 9 Jun itu ditamatkan secara bersama tanpa sebarang tuntutan antara kedua-dua pihak.
Katanya, ia dibuat agar kelab dapat mengharungi pelbagai cabaran mendatang tanpa sebarang isu setelah banyak tohmahan muncul terhadap pasukan susulan tajaan itu.
"Pihak TFC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan penaja," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam tempoh berbaki, pihak TFC akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi kejohanan berkenaan.
"Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat TFC, XFOX dan semua penyokong-penyokong kelab," ujar kelab terbabit.
TFC turut menjelaskan, proses untuk memuktamadkan penajaan itu melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak TFC seperti penaja-penaja lain.
"Walaupun begitu, setelah tular perjanjian penajaan ini, munculnya suasana yang kurang sihat dalam media sosial dengan pelbagai tohmahan. Ia sekali gus menjejaskan keharmonian kelab.
"Pihak TFC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bola Sepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan TFC sebagai sebuah kelab bola sepak.
"Selain itu, pelbagai lagi perniagaan yang dijalankan oleh pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd.
"Walau bagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah TFC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini," tambah beliau.
11 Jun 24
5847
Terengganu Optimis Raih Dua Emas Acara Kabaddi
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pasukan Kabaddi optimis menyumbang dua pingat emas kepada Kontinjen Terengganu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Pengurus pasukan Saliza Alias berkata beliau yakin dengan kemampuan pasukannya di temasya edisi kali ini.
"Walaupun pasukan ini baru sahaja berusia 8 bulan, majoriti atlet daripada pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Vokasional Wakaf Tembesu ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak lawan.
"Bagi menambah pengalaman, pasukan kita dijadualkan ke Kuala Lumpur pada minggu ini bagi perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan di sana," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika Majlis Ramah Mesra bersama Pasukan Kabaddi Sukma Sarawak 2024 di BB Seafood Garden, Gong Badak malam tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu Raduan Ramli dan Penolong Pengarah (Infrastruktur & Kemudahan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) A. Zulkefli Mohammad.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof merangkap Bapa Angkat kepada pasukan menyampaikan kata-kata semangat dan harapan kepada pasukan.
"Insya-Allah hasil tidak akan mengkhianati usaha. Saya percaya kita mampu membawa pulang pingat emas."
Pada majlis berkenaan, Azmi Maarof turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada pasukan Kabaddi untuk menyuntik semangat dan menampung kos pengurusan.
10 Jun 24
218
20 Pasukan Berentap Rebut Piala Purnama Manir
HULU TERENGGANU, 9 Jun - Sebanyak 20 pasukan berentap pada Kejohanan Bola Sepak Piala Purnama Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir 2024 yang diadakan dua hari lalu berakhir petang semalam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Harun Esa berkata dia berharap pertandingan itu dapat mengeratkan hubungan antara sesama pemuda.
"Silaturahim dalam kalangan peserta bukan sahaja terjalin ketika perlawanan, bahkan diharapkan lebih erat di luar selepas perlawanan itu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Bola Sepak Piala Purnama DUN Manir anjuran Pemuda PAS DUN Manir di padang bola Kampung Pulau Bahagia semalam.
Kehadiran Mohd Harun juga sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) menggantikan ADUN Manir, Hilmi Dato' Harun yang berada di Mekah menunaikan ibadah haji.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan Tualang FC muncul juara setelah menewaskan pasukan DPCH FC dengan keputusan 3-2 melalui penentuan penalti, sekaligus menutup tirai Kejohanan Bola Sepak Piala Purnama kali ini.
09 Jun 24
645
Terengganu Bangkit Dramatik Tewaskan Kelantan
KUALA TERENGGANU, 9 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan Pasukan Polo Terengganu bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Pasukan Polo Kelantan 5-4 pada Kejohanan Polo Jemputan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu, semalam.
Dalam aksi kejohanan polo yang julung kali diadakan itu, pasukan Kelantan mendahului dengan dua gol pada 'chukka' (segmen) pertama, sebelum Terengganu kembali bangkit menjaringkan empat gol pada 'chukka' kedua untuk selesa pada kedudukan 4-2.
Pada 'chukka' terakhir, Kelantan merapatkan kedudukan kepada 4-3, namun Terengganu berjaya melenyapkan kebangkitan itu dengan dengan gol kelima.
Bagaimanapun, Kelantan yang mendapat penalti merapat jurang pada minit-minit terakhir untuk keputusan penuh 5-4 di akhir permainan.
Terdahulu, Sultan Mizan berangkat tiba ke Terengganu Equestrian Resort (TER) diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada jam 3.00 petang.
Turut hadir, menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Sebelum perlawanan polo dimulakan, pertandingan 'show jumping' dan acara memanah sambil menunggang kuda dipersembahkan.
Sultan Mizan turut berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang sebelum keberangkatan pulang Baginda pada sekitar jam 5.00 petang.
08 Jun 24
2811
Bola Tampar Pantai SUKMA Sasar 1 Emas
KUALA NERUS, 5 Jun - Bola Tampar Pantai menyasarkan 1 emas dan 1 gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.
Ketua Pasukan, Adam Hanif, 20, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan ranking semasa dan persiapan rapi yang dijalankan dan pendedahan atlet ke luar negara sebelum kejohanan nanti.
"Latihan terdekat ini adalah di Lombok, Indonesia. Walaupun ini kali pertama bermain di SUKMA tetapi amat berkeyakinan pasukan mampu membutirkan pingat emas berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat.
"Dengan semangat dan dorongan daripada ibu-bapa serta sahabat sedikit sebanyak menaikkan semangat kami serta ganjaran yang diumumkan oleh 'chef de mission' baru-baru ini," katanya lagi.
Sementara itu, bapa angkat acara Bola Tampar Pantai, Khazan Che Mat berkata, kerajaan telah mengeluarkan bajet yang tinggi untuk SUKMA nanti
"Oleh itu, bermainlah dengan baik, bersungguh-sungguh seterusnya dapat mengharumkan nama Terengganu.
"Nasihat buat pemain, sukan ini dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.
"Kita semua maklum Terengganu melahirkan ramai atlet berpotensi dan pastinya mereka juga mensasarkan emas, insya-Allah Bola Tampar Pantai nanti tidak berkecuali," katanya selepas majlis pertemuan antara pemain dan pengurusan di BB Seafood.
05 Jun 24
344
Hamdan Awang Akhiri Kisah Suka Duka Dunia Pengadilan
KUALA NERUS, 26 Mei – Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamdan Awang yang telah memberikan impak besar dalam arena bola sepak tempatan telah mengumumkan persaraannya pada usia 42 tahun.
Hamdan atau Cikgu Hamdan yang juga merupakan anak jati Terengganu telah berkecimpung selama 16 tahun dalam dunia kepengadilan mengumumkan persaraan beliau melalui hantaran di laman facebook rasminya kelmarin.
Presiden Bola Sepak Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi menghargai jasa beliau satu majlis kejutan telah diadakan sempena persaraannya.
Katanya, Cikgu Hamdan akan dikenang sebagai seorang pengadil yang berdedikasi dan memberi sumbangan besar kepada bola sepak Malaysia.
“Semoga persaraannya membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam usaha masa depannya,” katanya
Jelas Hishamuddin melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada semalam.
Sejak pengumuman persaraan oleh Cikgu Hamdan, Hishamuddin segera menghubungi beliau untuk memahami keputusan tersebut.
“Maklum balas Cikgu Hamdan amat saya fahami dan akur dengan keputusan persaraan tersebut.
“Beliau telah meletakkan Key Performance Indicator (KPI) untuk diri beliau dan rakan-rakan pengadil yang lain bagi mengangkat agenda pembangunan pengadil pelapis untuk Terengganu selepas ini secara lebih serius,” tambahnya.
Tambahnya lagi, komitmen Cikgu Hamdan terhadap pembangunan pengadil pelapis dibuktikan dengan penganjuran Akademi Pengadil Muda Terengganu pada Ogos 2024.
“Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Pengadil Negeri Terengganu, yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Unit Pengadil FAM.
“Saya yakin, Cikgu Hamdan Awang merupakan pengadil yang sangat digemari oleh semua peminat bola sepak tanah air. Jasa dan bakti cikgu pasti dikenang oleh semua. Semoga beliau terus berjaya dalam skop kerja baharu selepas ini,” ujarnya..
25 May 24
540
Terengganu FC Lepas Geram, Tumbangkan Kelantan
KUALA NERUS, 25 Mei - Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah membenam pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Pada aksi ‘derbi Pantai Timur’ yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan keduanya dalam aksi saingan liga pada musim ini.
TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KDN dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 12 menerusi Manuel Ott namun bola sedikit melepasi palang gol.
Memasuki minit ke 36, Skuad TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Afzal Akbar menjatuhkan Safawi Rasid dalam kotak penalti.
Penalti itu diberikan selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Penyerang import TFC, Ismaheel Akinade berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu mendahului satu gol di hadapan.
Pada minit ke 41, pemain tengah TFC, Marin Pilj hampir menambah derita skuad Kijang Emas apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Alif Zakaria.
Berselang empat minit kemudian, Nurillo Tukhtasinov menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC melalui umpanan cantik Ubaidullah Shamsul untuk pasukannya mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat jaringan ketiga selepas Manuel Ott melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-47 berpunca daripada bola sepakan sudut.
Pada minit 74, TFC sekali lagi hampir memecah kebuntuan gol apabila rembatan kencang Akhyar Rasyid sedikit melepasi palang gol lawan.
Kemenangan 3-0 Terengganu FC ke atas Kelantan Darul Naim menyaksikan TFC kini menghuni tempat kedua dalam kedudukan saingan Liga Super pada minggu ketiga.
Pada perlawanan tersebut, penyokong Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera Palestin sepanjang perlawanan berlangsung.
Lebih 13,000 penyokong yang hadir di stadium berkenaan mengibarkan bendera dan sepanduk sebagai tanda sokongan kepada rakyat di negara berkenaan yang ditindas rejim Zonis.
24 May 24
386
Shopee Cup Platform Terbaik TFC Mantapkan Pasukan
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Shopee Asean Championship Cup (ACC) merupakan platform terbaik bagi memantapkan Terengganu FC( TFC) untuk tampil lebih cemerlang bagi mengharungi kancah musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bermain di peringkat Asean akan menjadi pengalaman yang berharga buat skuad penyu untuk musim 2024/2025.
"Paling penting sekali pengalaman dan juga untuk meningkatkan keyakinan pemain, untuk Shopee Cup ini kita tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.
"KIta hendak ambil keuntungan daripada pengalaman tersebut untuk ditejemahkan balik dalam aksi Liga Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Majlsi Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu Football Club Sdn Bhd, Sempena Pelancaran Kit Rasmi musim 2024/2025 di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.
Dalam pada itu katanya, bagi menghadapi cabaran musim 2024/2025, TFC telah dipersiapkan untuk melakar kejayaan yang lebih membanggakan berbanding musim lalu.
"TFC akan mengharungi empat kejohanan musim ini tiga darinya Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA termasuklah satu daripadanya di peringkat Asean iaitu Shopee Asean Championship Cup," ujarnya.
Dalam perkembangan terkini katanya, TFC kini mempunyai 22 syarikat penaja dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.332 juta iaitu RM6.310 juta bagi tajaan wang tunai serta RM2.022 bagi tajaan perkhidmatan.
"Pada musim 2024/2025 ini saya mengalu-alukan kesudian pihak penaja TFC untuk turut bersama-sama di dalam rangka kerjasama strategik yang membawa manfaat dua hala," ujarnya.
17 May 24
530