lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Inisiatif Kawasan Khas Penonton Wanita Pacu Momentum Baru
Inisiatif Kawasan Khas Penonton Wanita Pacu Momentum Baru
KUALA NERUS, 30 Julai - Hari ini, Terengganu FC akan mula melaksanakan kawasan khas buat penonton wanita dan keluarga bagi setiap perlawanan Terengganu FC. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah memperhalusi perkara ini dan bersetuju untuk memberikan komitmen mereka. “Ia akan dimulakan sempena perlawanan Terengganu FC vs Negeri Sembilan FC pada malam ini. Berkebetulan juga, pihak TFC menganjurkan Matchday x Family Day. “Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk. “Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” katanya melalui satu hantaran di laman rasmi beliau. Jelasnya, perkara berkenaan timbul dan disuarakan penyokong sewaktu perlawanan bola sepak antara Terengganu FC vs Selangor FC sempena Separuh Akhir Piala FA, antara yang berbangkit adalah tentang percampuran penonton antara lelaki dan perempuan.   Oleh kerana itu, beliau berharap usaha Kerajaan Negeri itu dapat menarik lebih ramai sokongan daripada kaum wanita dan keluarga dalam usaha menyemarakkan lagi  tuntutan beragama dan bersyariah dalam segala aspek kehidupan.   “Pihak Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak. “Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” katanya.
29 Jul 24
115
Kerajaan Negeri Sumbang RM8,500 Suntik Semangat Atlet Judo
Kerajaan Negeri Sumbang RM8,500 Suntik Semangat Atlet Judo
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memberikan sumbangan sebanyak RM8,500 sebagai suntikan semangat buat para atlet judo yang mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, dengan sedikit suntikan permulaan itu ia akan menaikkan semangat serta moral para atlet sukan berkenaan untuk beraksi cemerlang pada kejohanan yang akan berlangsung di Mukah, Sarawak itu. Katanya sebelum kesemua atlet berangkat ke negeri Kenyalang itu hari telah diadakan jamuan selain menyerahkan sumbangan wang dan selepas ini akan ada insentif lain yang akan diberikan apabila berjaya merangkul pingat nanti. "Jadi tahun ini kita target enam emas akan berjaya diperolehi, kalau lebih itu sudah dikira sebagai bonus namun tidak mustahil untuk mencapai banyak pingat dalam acara ini kerana edisi sebelum ini telah berjaya dibuktikan dengan menjadi juara keseluruhan. "Kerana itu tahun ini kita juga target untuk menjadi juara secara keseluruhan termasuk dalam sukan-sukan yang lain,"ujarnya yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan terbabit. Beliau  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024 : Bapa Angkat dan Persatuan Judo Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini, semalam. Dalam pada itu beliau menitipkan pesanan kepada para atlet agar berjuang bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama Terengganu di temasya sukan yang berprestij dalam negara itu. "Saya yakin mereka boleh buat yang terbaik, saya juga selalu pergi ke tempat mereka mengadakan latihan dan mereka sangat berdisiplin, melalui disiplin yang tinggi itulah yang akan menjadi rahsia kejayaan mereka di SUKMA nanti," katanya.  
29 Jul 24
70
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang yang juga merupakan anak kelahiran Dungun Terengganu menjadikan al-Quran sebagai pendampingnya termasuk ketika beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa. "Perkara yang paling wajib sekali saya bawa setiap kali saya 'travel' adalah al-Quran kerana sebagai orang Islam adalah penting untuk kita membacanya sekurang-kurangnya dua muka setiap hari. "Ini adalah buku yang paling berkuasa dan penting untuk kita semua baca," ujarnya menerusi satu perkongsian video di facebooknya, baru-baru ini. Pelumba berusia 36 tahun itu juga berkata, beliau turut menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat untuknya dan turut berkongsi di dalam video yang dimuatkan di laman sosialnya, antara buku lain yang dibaca ialah 'Seni Berfikir Yang Hilang' tulisan Ustaz Hasrizal Abu Jamil. "Saya memang suka membaca buku tetapi kalau di rumah sukar sedikit nak membaca sebab anak-anak ramai dan perlu beri perhatian kepada mereka. "Buku 'Seni Berfikir Yang Hilang' ini memang saya bawa kemana-mana sahaja saya pergi kerana maklumat dan perkongsiannya sangat 'brilliant' kadang-kadang saya baca balik untuk ingatkan saya semua mengenai kandungannya. "Kedua, saya bawa buku kawan baik saya Sonny Bill Williams (lagenda ragbi New Zealand), saya rancang nak habiskan baca buku ini semasa kejohanan olimpik," ujarnya.
29 Jul 24
223
Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak
Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak
KUALA NERUS, 28 Julai - Beberapa fasiliti di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak kini sedang dalam proses pembinaan dalam usaha kerajaan negeri memastikan pelbagai aktiviti dan kegiatan sihat dapat dilakukan oleh seluruh rakyat di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, antara fasiliti yang sedang dibangunkan adalah tempat latihan angkat berat, memanah serta padang sintetik beserta lampu limpah Katanya, tujuan menghidupkan Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu supaya lebih ramai rakyat negeri ini boleh berkunjung dan melakukan aktiviti riadah dan bersukan. "KIta telah menjalinkan hubungan kerja sama dengan pihak kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebahagian (peruntukan) itu adalah daripada pihak kementerian supaya kompleks sukan kita ini tidak statik dengan apa yang telah sedia ada. "Jadi kita juga berharap apabila ada fasiliti-fasiliti baru ini ia mampu untuk membangunkan bakat atlet kita dengan lebih agresif pada hari mendatang. "Namun ada juga tempat latihan yang kita tidak boleh buat di kompleks ini seperti pusat latihan layar jadi kita buat tepi pantai yang 'progress' pembinaanya saya rasa dah hampir siap, insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan 'update' perkembangan pusat pembangunan yang saya maksudkan." ujarnya. Beliau berkata demikian ketika  ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Fit Is Sunnah 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. Dalam pada itu, Hishamuddin berkata 'Fit Is Sunnah' itu merupakan agenda yang terkandung di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PINTAS) di samping mengajak rakyat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat ia juga bertujuan memperkasakan Komplek Sukan itu untuk menjadi pusat sukan di peringkat negeri. Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata program seperti 'Fit Is Sunnah' itu merupakan mercu tanda agenda PINTAS. "UBSNT sedang merangka banyak program dan aktiviti kecergasan yang akan kita laksanakan dalam rancangan merakyatkan sukan kepada seluruh masyarakat negeri Terengganu dengan konsep patuh syariah," ujarnya.  
28 Jul 24
758
'Kita Harap Azizulhasni Mampu Hadiahkan Emas Sulung'- Hishamuddin
'Kita Harap Azizulhasni Mampu Hadiahkan Emas Sulung'- Hishamuddin
KUALA NERUS, 28 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap agar jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang berupaya menghadiahkan emas sulung buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024. Katanya, kejayaan atlet yang berasal dari Dungun Terengganu itu sudah tentu akan bermakna bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa itu. Kata beliau, selain Datuk Azizulhasni Awang seorang lagi pemain yang turut diharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat buat negara ialah Nur Aisyah Muhammad Zubir yang merupakan atlet berasal dari Kemaman. "Atlet (Terengganu) kita ke Sukan Olimpik ada dua orang ini yang semuanya merupakan atlet berbasikal dan kita harapkan kedua-duanya mampu untuk menyumbang pingat kepada Malaysia. "Dato' Azizulhasni Awang kita harapkan beliau mampu memberikan emas sulung bagi pasukan negara kita, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program 'Fit Is Sunnah 2024' di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam. Untuk rekod, Dato' Azizulhasni akan membuat penampilan kelimanya di Olimpik Paris. dengan sebelum ini dia telah berjaya memenangi pingat gangsa di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Olimpik Tokyo 2020. Manakala, Nur Aisyah dalam usia 27 tahun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara berbasikal lebuh raya wanita yang akan turun beraksi secara berseorangan mewakili Malaysia.  
28 Jul 24
289
Motivasi Atlet Sukma Terengganu di Tahap Terbaik
Motivasi Atlet Sukma Terengganu di Tahap Terbaik
KUALA NERUS, 28 Julai - Motivasi atlet Terengganu yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berada pada tahap terbaik menjelang temasya sukan itu yang akan diadakan di Sarawak pada bulan hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia. Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan laporan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semua atlet sangat bersedia. "Sebahagian besar telah pun melalui latihan termasuk berkunjung ke luar negara, ada yang telah melalui beberapa perlawanan dan persaingan dengan pelbagai pihak di mana sebahagian besar atlet telah mula berada di Kuching. "Saya difahamkan ketika hari perlawanan (bola sepak) Terengganu FC menentang Selangor (Separuh Akhir Piala FA) atlet sukan layar telah pun bertolak ke sana. "Jadi saya jangkakan dari semasa ke semasa akan bermulalah atlet-atlet kita akan berada di Sarawak mengikut jadual perlawanan masing-masing," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program 'Fit Is Sunnah' 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini semalam. Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berharap agar tuah akan berpihak kepada atlet Terengganu bagi mencapai sasaran untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya sukan berprestij dalam negara itu. "Kita harap kita akan jadi juara keseluruhan dengan semua atlet akan berusaha bagi mencapai pingat emas," ujarnya.
28 Jul 24
304
Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tutup Tirai
Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tutup Tirai
SETIU, 28 Julai- DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu yang menutup tirainya, hari ini. Keberangkatan tiba Baginda diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba Baginda adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Bdan Bukan Kerajaan (NGO, Hishamuddin Abdul Karim. Dalam majlis di Terengganu International Endurance Park (TIEP) itu, Pasukan KAET Singapore dinobatkan sebagai juara. Pasukan tersebut membawa pulang hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai bernilai RM7,500. Sementara itu, bagi kategori individu penunggang Pasukan Endurance Negeri Terengganu (STET), Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa'ri mengungguli acara utama CEI 120km dengan catatan 6:05:05 jam. Beliau menerima hadiah piala, pingat dan wang tunai berjumlah RM9,075. Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan lebih 200 penunggang yang bersaing melibatkan empat kategori perlumbaan. Selain itu, ia turut disertai lima buah pasukan luar negara dari iaitu Singapura, China, Indonesia, Belarus dan Thailand.
28 Jul 24
139
Budaya Sihat, Jaga Kebersihan Julang Pelancongan Terengganu
Budaya Sihat, Jaga Kebersihan Julang Pelancongan Terengganu
MARANG, 21 Julai - Dengan melakukan amalan kehidupan sihat melalui bersukan dan menjaga kebersihan oleh setiap rakyat Terengganu berpotensi untuk memartabatkan negeri ini dan menjadi nilai tambah untuk menarik pelancong ke negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata , kerana itu kerajaan negeri giat mengadakan pelbagi program dan aktiviti ke arah mempromosikan kehidupan sihat dan menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya. Sepertimana program 'fit Sunnah Hiking' yang diadakan hampir di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan menarik seramai mungkin bertujuan untuk memastikan komuniti mengamalkan kehidupan sihat. "Aktiviti begini dapat memupuk semangat diantara komuniti khususnya kepada anak muda. Aktiviti bersukan ini ianya adalah aktiviti yang sangat bermanfaat dan sihat. "Jadikan aktiviti begini rutin harian dan jadual mingguan, diantara aktiviti sukan yang dapat kita lakukan adalah berjoging , berbasikal dan lain-lain.," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri 'Program Fit Sunnah Hiking', di Bukit Lubuk Batu, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, menjaga kebersihan dan mengamalkan aktiviti hidup sihat merupakan sunnah Rasulullah SAW. "Sabda Nabi SAW yang bermaksud  'kebersihan adalah sebahagian daripada Iman' seterusnya menjadikan kebersihan satu produk pelancongan Negeri Terengganu," ujarnya. Untuk rekod Program yang dianjurkan oleh Urusetia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) telah disertai  kira-kira 120 orang dan penyertaan hanya terbuka kepada peserta lelaki sahaja.  
20 Jul 24
109
Tandukan Akinade Bantu Kemenangan Terengganu
Tandukan Akinade Bantu Kemenangan Terengganu
KUALA NERUS, 19 Julai- Ismail Akinade muncul wira pasukan Terengganu FC apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA. Jaringan gol pemain kelahiran Nigeria itu membolehkan Terengganu FC membawa bekalan satu jaringan ke gelanggang lawan setelah tuan rumah menang tipis 3-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. Pasukan pelawat kendalian Nidzam Jamil tampak garang di awal perlawanan dengan Allan Fernandez melakukan percubaan seawal minit ke-8. Pelawat kemudian nyaris mengejutkan tuan rumah apabila lorongan Allan disudahkan pemain kelahiran Belanda, Alvin Fortes yang melambungkan bola melepasi penjaga gol, Syed Nasrulhaq, mujur Alif Zakaria sempat mengeluarkan bola di hadapan gawang pada minit ke -12. Alvin sekali lagi hampir merobek gawang Terengganu FC pada minit ke-27, tetapi tendangannya melambung tinggi. Pada minit ke-30, Safawi Rasid meletakkan Sang Penyu selesa di depan menerusi sepakan percuma untuk gol pertama perlawanan. Memiliki kelebihan jaringan, tuan rumah terus meningkatkan penguasaan bola di kawasan kubu lawan. Lima minit berselang, Nurillo Tuskhtasinov sekali lagi menggamatkan stadium dengan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan Sam Somerville untuk gol kedua Terengganu FC. Gergasi Merah yang tersentak dengan gol tersebut kembali mengatur serangan. Selangor FC kembali merapatkan kedudukan sebelum tamat separuh masa melalui pelamin kelahiran Belanda, Alvin Fortes yang menyudahkan hantaran lintang Mukhairi Ajmal pada minit ke-38. Bersambung babak kedua, Gergasi Merah hanya memerlukan dua minit untuk mengikat kedudukan apabila kesilapan Alif membolehkan Alvin melorongkan bola kepada Mahmoud Al-Rawabdeh untuk gol penyamaan Selangor FC. Empat minit kemudian, Rawabdeh hampir mengejutkan tuan rumah, namun rembatannya tersasar. Pada minit ke-69, Nurillo melakukan lambungan ke arah kotak penalti sebelum disambut dengan tandukan Ismail Akinade yang melemaskan Sam Somerville untuk tuan rumah kembali di depan dengan jaringan 3-2. Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan bekalan tipis, tentunya Terengganu FC mengharapkan sokongan padu peminat ketika berkunjung ke Petaling Jaya untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 3 Ogos nanti.  
19 Jul 24
887
Hanelang Ladies Lengkapkan 'Hatrik' Juara National 7s
Hanelang Ladies Lengkapkan 'Hatrik' Juara National 7s
KUALA NERUS, 15 Julai- Pasukan Ragbi Wanita Terengganu atau lebih dikenali Hanelang Ladies terus mempertahankan gelaran sebagai juara bertahan bagi kategori wanita bawah 21 tahun dalam Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan (National 7s), setelah membelasah Selangor 17-0 pada perlawanan akhir pada Ahad. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, pemain terbaik kejohanan, Nur Alya Nabila Samsu Bahari melakukan dua 'try' dan satu 'conversion' untuk Terengganu selesa, sebelum Nur Syamimi Atasha Samsubahari melakukan satu 'try' pada minit terakhir perlawanan bagi menggamatkan detik gemilang itu. Pengendali pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail berkata, kemenangan tersebut melakar sejarah apabila Hanelang Ladies terus mempertahan gelaran juara bagi kategori berkenaan bagi tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2021. "Alhamdulillah atas kemenangan ini, ini satu kelebihan kita bermain di tempat sendiri. "Saya rasa para pemain menjalankan tugas dengan jayanya dan mereka berhak menang, walaupun kita memiliki dua pemain kebangsaan tetapi kuncinya adalah kerja berpasukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan dalam kejohanan yang berakhir pada Ahad. Secara peribadi, Nasharuddin menyifatkan penambahan kategori wanita dalam kejohanan National 7s membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita untuk menceburi sukan itu. "Kategori wanita adalah penambahbaikan yang bagus yang diadakan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.  "Ia membuka mata dan ruang untuk wanita menceburi sukan ragbi di negeri ini. Alhamdulillah, dari satu segi Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) berjaya melaksanakan National 7s dengan baik di sini," katanya. Dalam kejohanan National 7s itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada juara-juara bagi setiap kategori. Hadir bersama ialah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad.    
15 Jul 24
194