lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

SUKMA : Zhe Yie Hadiah Emas Pertama Buat Terengganu
SUKMA : Zhe Yie Hadiah Emas Pertama Buat Terengganu
KUCHING, 14 Ogos - Pelumba basikal lebuhraya Terengganu, Kee Zhe Yie, 21, mengatasi pelumba meningkat naik Perak, Muhammad Adam Hakimi Nazuan dengan perbezaan seminit 10 saat untuk meraih pinga Emas pertama buat Kontinjen Terengganu menerusi acara ujian masa perseorangan lelaki, hari ini. Pada aksi yang berlangsung di Politeknik Kuching itu, Zhe Yie mencatatkan masa 48:23:880 mengatasi Adam Hakimi di tempat kedua. Manakala, Lau Newjoe dari Wilayah Persekutuan memperoleh pingat gangsa dengan catatan masa 49:50:077. Dalam pada itu, pelumba wanita lebuhraya Terengganu, Dahlia Hazwani Hasyim yang bertanding dalam acara ujian masa perseorangan wanita sekadar menduduki tempat keenam dengan catatan masa 45 minit 54 saat, empat minit di belakang pendahulu dari Perak.  
14 Aug 24
813
Yusuf Dikec Boleh Dijadikan Inspirasi Skuad Menembak- Khalil
Yusuf Dikec Boleh Dijadikan Inspirasi Skuad Menembak- Khalil
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos- Komitmen dan keyakinan atlet menembak Turkiye, Yusuf Dikec sehingga berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024 boleh dijadikan inspirasi kepada skuad menembak Terengganu untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebagai ‘bapa angkat’ kepada skuad menembak negeri, beliau ingin melihat semangat juang yang ditunjukkan Yusuf Dikec ketika beraksi di pentas dunia itu dapat dicontohi para atlet bagi merealisasikan sasaran satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa. “Ambil semangat beliau itu (Yusuf Dikec) walaupun dengan gaya bersahaja beliau mencapai satu prestasi dan kejayaan yang begitu hebat dengan memperolehi pingat perak. “Satu perkara yang boleh menjadi inspirasi kepada atlet kita untuk mencapai kejayaan dalam SUKMA yang akan berlangsung beberapa hari lagi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Menembak SUKMA Terengganu dan Jabatan Angkat (Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu) di Sumai Hotel, semalam. Terengganu menghantar seramai 17 atlet menembak iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita untuk bertanding dalam 14 acara. Terdahulu, Yusuf Dikec, menjadi tular di media sosial kerana sikapnya yang kelihatan santai ketika menembak untuk meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024. Gambar yang banyak dikongsi menunjukkan Dikec menembak dalam baju-T dengan satu tangan di dalam poket, memakai sepasang cermin mata biasa dan ekspresi wajah yang tenang.  
13 Aug 24
227
SUKMA: Terengganu Kejutkan Juara Bertahan
SUKMA: Terengganu Kejutkan Juara Bertahan
KUCHING, 13 Ogos- Pasukan kriket Terengganu mengejutkan juara bertahan, Perak apabila menang dengan dua wicket pada aksi pertama peringkat kumpulan di Sukan Malaysia SUKMA XXI Sarawak, hari ini. Pada perlawanan yang berlangsung di Padang Kriket dan Ragbi Sarawak itu Perak terlebih dahulu beraksi garang pada innings pertama melalui Afiq Syakir yang melakukan 36 larian dan Norman Haiqal sebanyak 27 larian, tertinggi bagi pasukan mereka. Manakala, pembaling Terengganu, Fathul Muin mendominasi balingan dengan dua wicket dan 14 larian. Memasuki innings kedua, Terengganu bermula perlahan apabila hanya mendapatkan 49 larian/ 5 wicket ketika berbaki 9.4 over. Namun, selepas itu kejutan demi kejutan dilakukan dengan gandingan pemukul Akmal Naqib dan Shahmil Adam berjaya mendapatkan 109 larian buat Terengganu. Sekalipun kapten Perak, Haiq Aiman berjaya menyingkirkan Shahmil Adam, ia sudah terlambat untuk Perak kekal mendahului sehingga tamat perlawanan keranan Hanelang hanya memerlukan dua larian untuk mengatasi mereka. Terengganu mencapai 111 larian hasil gandingan Akmal dan Irwan Syah dan menang dengan dua wicket.
13 Aug 24
12413
Skuad Menembak Terengganu Azam Bidik Emas di SUKMA
Skuad Menembak Terengganu Azam Bidik Emas di SUKMA
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos- Skuad menembak Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos depan. Ketua jurulatih, Nazihan Harun berkata, beliau yakin sasaran berkenaan boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa penembak yang mempamerkan persembahan baik dan konsisten ketika menjalani latihan. “Kita menghantar 17 atlet iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita untuk bertanding dalam 14 acara dan sasaran emas disandarkan pada Adam Firdaus Azrul menerusi acara 50 meter Rifle tiga posisi (individu lelaki). "Kami percaya dengan latihan yang begitu bersungguh-sungguh selama dua tahun, jika mereka beraksi sehabis baik mungkin akan membuahkan pingat lebih daripada itu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Temu Mesra Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi Bersama Pasukan Menembak SUKMA Terengganu dan Jabatan Angkat (Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu) di Sumai Hotel, semalam. Nazihan berkata, selain sasaran pingat emas, pasukannya turut mengintai peluang untuk meraih podium dalam beberapa acara lain. “Untuk SUKMA Sarawak ini kita sasarkan satu pingat emas, satu perak dan enam gangsa dapat disumbangkan oleh skuad menembak Terengganu. “Majoriti atlet pada tahun ini adalah muka baru, cuma empat atlet pernah beraksi pada SUKMA edisi ke-20 di Kuala Lumpur dua tahun lalu,” ujarnya. Katanya, Negeri Sembilan dan Pahang menjadi ancaman utama Terengganu untuk meraih keputusan positif tetapi beliau tetap yakin atlet negeri ini mampu untuk melaksanakan tanggungjawab. “Semua atlet dalam keadaan baik dan bersedia untuk bertanding di kejohanan SUKMA yang akan bermula beberapa hari lagi. “Harapan kami adalah untuk membawa balik seberapa banyak pingat dari bumi kenyalang,” ujarnya. Dalam pada itu, kapten skuad menembak, Muhammad Naufal Mohamed Nasir berkata, dia dan rakan sepasukan sudah mencapai dalam 95 peratus kemajuan. “Kami kini dalam fasa akhir jalani latihan dan sekarang lebih kepada latihan untuk gilap semula dari segi sasaran dan mengekalkan prestasi dan juga kecergasan untuk bertanding di sana nanti,” ujarnya.   
13 Aug 24
248
Litar Permotoran Terengganu 'Laju', 'Makan' Tayar
Litar Permotoran Terengganu 'Laju', 'Makan' Tayar
KUALA NERUS, 11 Ogos- Litar Permotoran Terengganu memiliki keunikan tersendiri yang menarik kehadiran pasukan dan pelumba beraksi di sini. Pengarah Promosi Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix Malaysia, Ron Hogg berkata, litar berkenaan merupakan antara paling laju dalam negara. "Litar ini sangat laju, berdasarkan 'average speed' (kelajuan biasa) dalam satu pusingan, mengambil masa dalam 48-49 saat yang bermakna dalam satu pusingan itu, purata kelajuan adalah 90km/j ke atas. "Dalam keadaan itu, ia menjadikan selain dari Litar Sepang, Litar Permotoran Terengganu merupakan litar yang sangat laju," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah perlumbaan CP150 yang disempurnakan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di sini, semalam. Tambahnya, ia mempunyai cabaran tersendiri ditambah dengan cuaca sangat panas di Kuala Terengganu. "Jarang pelumba merungut tentang cuaca, tetapi di Terengganu cuaca panasnya mengganggu kadar kegunaan tayar mereka. "Itu cabaran utama bila berlumba di sini," ujarnya. Menurut Ron, kesukaran itu memberi satu pengalaman kepada pasukan dan pelumba. "Bagi kami, ia satu litar yang sangat teknikal untuk 'set up' pasukan dan pelumba. "Kami suka litar tetap sebegini, seboleh-bolehnya di setiap negeri ada pitar seperti ini ia akan menyokong sukan permotoran negara. "Cub Prix cuma boleh datang setahun sekali, tetapi tempat ini boleh digunakan untuk kejohanan peringkat negeri atau tertutup dan ia akan melahirkan bakat-bakat baru kerana bakat-bakat baru ini boleh datang dari mana sahaja," ujarnya.  
11 Aug 24
813
Jemput Datang Lagi Petronas MAM Cub Prix!
Jemput Datang Lagi Petronas MAM Cub Prix!
KUALA NERUS, 10 Ogos- Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix Malaysia pusingan keenam di Terengganu menyaksikan sambutan hangat peminat sukan permotoran tempatan. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah yang hadir mewakili kerajaan negeri, sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur kejohanan. "Kami mengharapkan agar program ini diteruskan di negeri Terengganu. "Kami juga memohon maaf jika ada kelemahan dalam apa sahaja yang berlaku. "Program ini memberi impak besar sama ada kepada peminat permotoran, peniaga, hotel dan banyak pihak. Semoga ia terus berjaya di masa depan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang perlumbaan CP150. Hadir sama ialah Pengarah Promosi Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix, Ron Hogg dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli. Saingan perlumbaan CP150 tadi menyaksikan pelumba Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar kembali menakluki Litar Permotoran Terengganu apabila mengungguli perlumbaan dengan catatan 16:20:880. Kejayaan Azroy menyaksikan mengejar rapat pendahulu kejohanan,Md Akid Aziz dari Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing dengan 91 mata.  
10 Aug 24
108
EPIC, MS Citajaya 'Berebut' Suntik Semangat Kontinjen SUKMA Terengganu
EPIC, MS Citajaya 'Berebut' Suntik Semangat Kontinjen SUKMA Terengganu
KUALA NERUS, 10 Ogos- Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan EPIC Berhad membuat kejutan apabila mengumumkan tambahan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada kontinjen Terengganu yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili memaklumkan, pihaknya bakal menambah sumbangan asal RM20,000 menjadikan jumlahnya sebanyak RM35,000. "Kita sudah umum (sumbangan) ini untuk enam sukan yang diadakan di Miri iaitu pelayaran, softball, ragbi, karate, lawan pedang dan silat. "Sebelum ini kita telah menyumbang RM5,000 kepada pasukan e-sukan dan pasukan bola sepak menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan EPIC Berhad sebenarnya berjumlah RM45,000. "Harapan kita supaya Terengganu mampu menjadi juara keseluruhan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan tajaan yang disempurnakan ketua kontinjen, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di Ar-Riyadah Residence, hari ini. Dalam majlis itu, satu lagi syarikat swasta iaitu MS Citajaya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada atlet -alte yang bertanding. Apa yang menarik, usaha itu juga merupakan tambahan sumbangan setelah syarikat berkenaan menyumbang RM3,000 kepada pasukan sepak takraw sebelum ini. Penolong pengurus besar, Br. Ts. Mohamed Tajali berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial pihak syarikat dalam membantu pembangunan sukan di Terengganu. "Syukur Terengganu boleh hantar wakil ke Sarawak, sedia maklum SUKMA boleh mencungkil bakat anak-anak Terengganu, kita telah melihat permata- permata kita mewakili negara di Olimpik kali ini. "Sacara dasarnya, ia satu platform yang bagus mencungkil bakat anak-anak Terengganu ke hadapan lagi. "Walaupun bukan 100 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh menyertai (melalu sumbangan ini) dan mengetengahkan bakat baru," ujarnya. Selain kedua-dua syarikat tersebut, terdapat beberapa syarikat swasta telah memberikan sumbangan secara langsung kepada pasukan-pasukan yang bertanding. Sumbangan dan kerjasama pihak swasta dalam pembangunan sukan di Terengganu selama ini banyak membantu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan diharap ia akan terus berkembang di kalangan syarikat dalam dan luar negeri.                        
10 Aug 24
259
76 Emas Sasaran Bawa Pulang Kejuaraan SUKMA
76 Emas Sasaran Bawa Pulang Kejuaraan SUKMA
KUALA TERENGGANU, 31 Julai- Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu meletakkan sasaran mengutip 76 pingat Emas, 36 Perak dan 106 Gangsa pada SUKMA XXI (ke-21) di Sarawak bagi merampas kembali kejuaraan pada temasya yang akan bermula kurang 20 hari lagi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi mencapai hasrat tersebut bakal direalisasikan 568 atlet yang akan bertanding bermula 17 Ogos nanti. "Pasukan bola sepak merupakan pasukan pertama yang membuka tirai SUKMA dengan menentang pasukan Johor pada 12 Ogos nanti. Kita berdoa supaya pasukan bola sepak kita bermula dengan langkah kanan yang akan memberi dorongan positif kepada pasukan-pasukan lain bagi sama-sama melangkah lebih jauh dalam sukan masing-masing. "Daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan, kita menyertai 36 daripadanya iaitu 340 acara daripada 488 acara yang dipertandingkan. Kita percaya kesemua acara yang disertai pada kali ini, atlet negeri akan memperagakan prestasi terbaik serta memberi saingan yang sengit kepada lawan-masingmasing. "Saya secara peribadi berpuas hati dengan keseluruhan persiapan yang telah dilaksanakan serta optimis pada 24 Ogos nanti, piala kejuaraan SUKMA 2024 akan kita arak ke kembali ke  bumi Terengganu, insya-Allah," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan ucapan aluan dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontijen SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini. Penyerahan bendera disempurnakan Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dihadiri lebih 200 atlet, jurulatih dan pengurus sukan. Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.    
31 Jul 24
242
Terengganu 'Berpeluh' Kutip Tiga Mata
Terengganu 'Berpeluh' Kutip Tiga Mata
KUALA NERUS, 30 Julai - Terengganu FC kembali melakar kemenangan pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 setelah menang tipis 3-2 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner melakukan perubahan dengan merehatkan tonggak tengah, Nurillo Tuskhtasinov dan memberi kepercayaan kepada Akram Mahinan mengemudi 'jantung' pasukan.  Terengganu FC bermula agresif seawal minit pertama permainan. Duo tengah, Marin Pilj (minit ke-9) dan Manuel Ott (minit ke-11) masing-masing cuba melakukan percubaan dari luar kotak penalti untuk mencari jaringan awal. Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-15 menerusi Miguel Martinez yang menanduk bola hantaran lintang pemain sayap kelahiran Jepun, Takumi Sasaki menerjah jaring. Ketinggalan 1-0, Sang Penyu cuba bangkit dengan melakukan lebih banyak percubaan ke gawang lawan. Rembatan Ott sekali lagi tepat ke dakapan penjaga gol skuad Jang, Muhammad Aqil Abdul Razak pada minit ke-20. Enam minit kemudian, Marin yang melihat ruang terbuka melakukan rembatan deras tetapi ditepis keluar Aqil. Memasuki minit terakhir permainan, Azam Azmi Murad dijatuhkan di kawasan hadapan kotak penalti, membuka peluang tuan rumah menyamakan kedudukan. Menepati jangkaan, Safawi Rasid menyempurnakan sepakan percuma untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1. Bersambung babak kedua, Terengganu FC menggandakan asakan dengan kemasukan Nurillo dan penyerang, Chijioke Chukwu. Tidak menunggu lama, Chukwu meletakkan Terengganu FC di depan apabila menanduk masuk gol kedua pasukan hasil hantaran Akhyar Rashid pada minit ke-47. Negeri Sembilan FC kembali bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-53. Jacque Faye yang menerima bola dalam kotak penalti melakukan 'turning' dan melepaskan rembatan yang menewaskan Syed Nasrulhaq dengan gol kedua Negeri Sembilan FC. Pada minit ke-58, perlawanan semakin rancak setelah Akhyar Rashid menyudahkan lorongan Marin untuk jaringan ketiga Sang Penyu. Suasana di stadium semakin hangat dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan bagi mencetak lebih banyak jaringan. Bagaimanapun, kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Terengganu FC mengutip tiga mata berharga membolehkan pasukan itu mendaki ke tangga ketiga Liga Super Malaysia dengan 11 mata. Selepas ini, skuad kendalian Steinbruckner akan berkunjung ke Petaling Jaya untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA Malaysia.      
30 Jul 24
456
SUKMA : Atlet Judo Optimis Capai Target Enam Emas
SUKMA : Atlet Judo Optimis Capai Target Enam Emas
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Atlet sukan judo yang akan mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) kini telah berada tahap terbaik dan optimis dapat mencapai sasaran enam emas. Ketua Jurulatihnya, Marjan Abdullah berkata, 22 atlet yang dipertaruhkan bagi mencapai pingat emas itu merupakan muka baru dan hanya seorang yang pernah mewakili SUKMA dalam edisi sebelum ini. Ujarnya, peserta paling muda berusia 15 tahun dan tertua berusia 22 tahun melibatkan atlet lelaki dan wanita yang akan beraksi menerusi lapan kategori pertandingan. "Persediaan atlet kita sekarang ini 95 peratus, semuanya telah bersedia untuk ke Sarawak dan bebas daripada kecederaan. "Insya-Allah kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk  mencapai misi sekurang-kurangnya merangkul enam pingat emas, sebelum ini kita dapat lima pingat emas. "Kali ini kita akan cuba leburkan emas baru melalui muka-muka baru yang kita tampilkan dan kesemua mereka telah melalui latihan mencukupi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). semasa menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024: Bapa Angkat dan Persatuan Judo Negeri Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu katanya, pihaknya juga turut mengawal pemakanan bagi memastikan kesemua atlet cergas dan mampu memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung. "Kita mengharapkan agar emas mampu dicapai sebanyak-banyaknya melalui acara ini dan melepasi target yang kita sasarkan dengan semua atlet kini berada pada tahap mental yang terbaik bagi menghadapi SUKMA pada kali ini," ujarnya.  
30 Jul 24
159