lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Izzatul Perbaharui Rekod Peribadi 100M
Izzatul Perbaharui Rekod Peribadi 100M
KUCHING, 19 Ogos - Pelari pecut wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, berjaya memperbaharui catatan peribadinya apabila mencatatkan masa 11.90 saat dalam acara akhir 100M wanita di SUKMA XXI, sebentar tadi. Sekalipun meraih pingat perak di belakang pelari pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, atlet berusia 16 tahun itu gembira dengan penampilan pertamanya di temasya terbesar tanah air itu. "Untuk penampilan pertama ini, saya 'underdog' sebenarnya. Alhamdulillah, telah mendapat pingat perak dan untuk penampilan akan datang saya akan cuba perbaiki. "Saya gembira (perbaharui rekod peribadi) sebab tiada tekanan kerana ramai tahu siapa yang dapat pingat emas, saya cuma 'follow' sahaja larian dan dapat buat (perak)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlumbaan di Stadium Sarawak, sebentar tadi. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Manir itu sebelum ini mencatatkan masa peribadi 11.92s dalam Asean School Games di Vietnam pada Jun lalu.  Dalam pada itu, Afrina yang menang dengan catatan masa 11.62s berjaya memecahkan rekod SUKMA milik pelari pecut Terengganu pada edisi 2018, Azreen Nabila Alias. Tempat ketiga menjadi milik atlet tuan rumah, Ormilla Octavia Codday dengan catatan 12.91s.
19 Aug 24
6920
Terengganu Terus Usaha Raih Emas di SUKMA
Terengganu Terus Usaha Raih Emas di SUKMA
KUCHING, 18 Ogos - Atlet Terengganu yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak berada pada tahap terbaik untuk mempersembahkan prestasi masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, prestasi atlet ketika ini sangat bersedia untuk menghadapi sebarang pertandingan. "Walaupun ada sasaran emas terlepas tetapi kita yakin ada acara-acara lain yang boleh menghadiahkan bonus pingat emas kepada kontinjen Terengganu.  "Sebenarnya kita sudah mendapat bonus emas, antaranya dalam sukan memanah dan basikal lebuhraya (individu)," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Jelas Hishamuddin lagi, berpandukan prestasi itu, beliau yakin kontinjen Terengganu mampu merealisasikan kedudukan yang baik dalam SUKMA kali ini. Samada berjaya untuk misi merampas gelaran juara atau kekal sebagai naib juara masih terlalu awal untuk diperkatakan. Buat masa ini, pihak tuan rumah mendominasi kejayaan merebut pingat emas khususnya melalui acara subjektif. Katanya lagi, keyakinan itu juga lahir memandangkan sukan-sukan yang menjadi sasaran utama untuk kutipan pingat belum bermula. "Pertandingan seperti pelayaran, judo dan basikal (BMX) menjadi sasaran kita untuk mengutip emas sebanyak mungkin," ujarnya. Bagi memastikan semua berjalan lancar, Hishamuddin menegaskan motivasi atlet perlu dipantau secara berterusan. "Pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga menyediakan pasukan sokongan psikologi kepada atlet yang memerlukan perkhidmatan tersebut, ia bagi memastikan mood serta moral atlet berada pada tahap yang terbaik," katanya. Pentas SUKMA merupakan satu platform untuk mencungkil bakat atlet bagi diangkat ke pentas antarabangsa. Ia wajar dihadam oleh semua penggiat sukan. Atlet Terengganu juga telah dimotivasikan untuk melangkah lebih jauh. Malah, peranan atlet itu sendiri sangat penting untuk merealisasikan cita-cita tinggi ini. Setakat jam 10 malam hari ini, Terengganu berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul sebelas emas, sebelas perak dan sebelas gangsa.
18 Aug 24
2963
Syaza Bangkit Bidik Emas Buat Terengganu
Syaza Bangkit Bidik Emas Buat Terengganu
KUCHING, 18 Ogos- Hampir putus asa dalam sukan memanah kerana kesibukan dan dilanda masalah kesihatan sekitar dua tahun lalu, Nurul Syaza Husna Mahari bangkit pada SUKMA XXI Sarawak dengan menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Terengganu. Lebih manis, beliau turut meletakkan satu rekod baru SUKMA dalam acara Compund 50 Meter wanita apabila format kejohanan diperbaharui pada temasya kali ini. "Ini pingat emas pertama saya, cabaran saya ialah saya bukan dikalangan pemanah sasaran, saya pun tak sangka dapat lawan ketakutan saya. "Saya sering persoal diri, kenapa masuk memanah? Sebab saya tidak tahu apa lagi yang boleh dibanggakan dalam memanah ini. "Saya pernah berhenti sebab 'dok boleh gi' dengan latihan kerana latihan di Terengganu tidak dapat berlatih dengan sempurna, tetapi Alhamdulillah dengan latihan itu saya berjaya dapat pingat emas," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya, hari ini. Ketika ditanya mengapa tidak bermain pada edisi lalu sedangkan pada SUKMA 2018, beliau berada dalam pasukan. Beliau cuma menjawab ia bukan rezekinya kerana telah berusaha sebaik mungkin pada 2022. Cuma, anak ketiga daripada lima beradik itu amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya atas sokongan yang membantunya meneruskan sukan memanah. Dalam pada itu, seorang lagi pemanah Terengganu, Aiman Syafiq Mohd Tariki memperoleh pingat perak dalam acara Compund 50 Meter lelaki setelah tewas tipis kepada pemenang pingat emas dari Wilayah Persekutuan.                
18 Aug 24
1522
Majlis Pembukaan SUKMA Sarawak Bertaraf Antarabangsa
Majlis Pembukaan SUKMA Sarawak Bertaraf Antarabangsa
KUCHING, 18 Ogos- Majlis Pembukaan Temasya Sukan Malaysia SUKMA XXI Sarawak, malam tadi mendapat pujian ramai pihak. Ketua kontinjen Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, apa yang dilakukan Sarawak wajar dicontohi negeri lain. "Majlis pembukaan yang berlangsung semalam bertaraf antarabangsa, kami kontinjen Terengganu berterima kasih kepada penganjur atas kecemerlangan dalam melaksanakan majlis berkenaan. "Kesungguhan ini wajar dicontohi penganjur SUKMA selepas ini supaya temasya nasional terbesar ini lebih berprestij dan dapat menarik peninjau bakat bertaraf dunia ke sini," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi UPDI, pagi ini. Beliau memuji sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atas sokongan dan usaha yang dilakukan. Sebelum ini, Tun Ahmad Faisal juga memuji perkampungan sukan SUKMA XXI Sarawak. Tuan rumah Sarawak katanya, tidak hanya menyediakan penginapan semata-mata, malah turut menempatkan petugas-petugas yang sentiasa bersedia untuk membantu sebarang keperluan kontinjen.  "Penginapan yang bersih dan teratur memberi tambah nilai besar khususnya secara tidak langsung memberi motivasi yang tinggi kepada atlet untuk fokus sepenuhnya kepada pertandingan tanpa sebarang gangguan,” katanya.  Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ucapannya memaklumkan, temasya kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah penganjurannya. "Ia mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan sembilan bahagian negeri Sarawak. "Seramai 7,838 atlet dihimpunkan, pelbagai mesej boleh disampaikan. "Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong, anda semua mpunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik," katanya.          
18 Aug 24
2003
Hadiah 1,1,1 Buat Terengganu
Hadiah 1,1,1 Buat Terengganu
KUCHING, 17 Ogos- Pasukan berbasikal lebuhraya Terengganu menutup tirai acara tersebut dalam Sukan Malaysia SUKMA XXI, dengan tiga pingat menerusi Kriterium lelaki dan wanita, hari ini. Pada acara Kriterium lelaki yang berlangsung di Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan Bin Haji Satem pagi ini, Terengganu memenangi pingat Emas dan Perak, masing-masing melalui Mohamad Afi Danial Ramli dan Muhammad Iqbal Daniel Muhammad Nawawi. Manakala, pingat gangsa diraih pelumba Muhammad Hafiq Mohd Jafri dari Melaka. Afi Danial ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, sokongan daripada rakan sepasukannya banyak membantu dalam kemenangan itu. "Saya hendak berterima kasih kepada kawan-kawan saya iaitu Afiq, Iqbal, Amad, Aiman Sarawak, Adam, Zhe Yie sebab merealisasikan impian emas saya selama ini. "Sebelum berlumba saya sudah rasa kurang yakin sebab laluannya agak sukar. Boleh dikatakan, saya takut untuk (melakukan) 'u-turn' sehingga tidak boleh tidur malam semalam. " Tetapi saya cuba set minda saya krmbali dan cuba buat yang terbaik untuk Terengganu," katanya. Dalam acara kategori wanita pula, Ameera Alya Md Zahiruddin berjaya meraih pingat gangsa sekalipun pasukan Terengganu mengalami kemalangan di awal perlumbaan itu. Ameera mengumpul 12 mata, hanya satu mata di belakang pelumba Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi yang memperoleh pingat perak dengan 13 mata. Pingat emas kriterium wanita dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari. Secara keseluruhannya, pasukan berbasikal lebuhraya Terengganu telah menyumbang empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa buat kontinjen Terengganu.  
18 Aug 24
2793
Bumi Sarawak 'Pulangkan' Semula Emas Terengganu
Bumi Sarawak 'Pulangkan' Semula Emas Terengganu
KUCHING, 17 Ogos- Pengendali skuad berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan menyifatkan apa yang paling manis dalam kemenangan anak-anak buahnya hari ini, adalah kejayaan mereka merampas kembali pingat emas dalam kategori individu acara lepas beramai-ramai lelaki dalam SUKMA XXI Sarawak. "Saya amat berbangga, sebab kami tunggu emas individu ini sejak 2018, kami dapat perak begitu juga pada tahun 2022. "Kita dari awal sasarkan acara berpasukan sahaja, individu sebagai bonus sebab kita tengok peluang individu hanya 50-50. "Kali ini, kita berjaya rampas kembali pingat emas yang kali terakhir diraih pada 2016, juga di bumi Sarawak," luahnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan tersebut di Politeknik Kuching, baru-baru ini. Menurut beliau, kemalangan yang menyebabkan Aiman Haiqal Mohammad Khairul ketinggalan daripada peloton memaksa pasukan mengatur taktik baru untuk merealisasikan kemenangan. "Laluan ini memang 'course' bagi Aiman, tetapi pusingan pertama basikalnya rosak dan tidak dapat kejar kembali, jadi kami simpan beliau supaya tidak penat dan guna lima tenaga sahaja untuk habiskan perlumbaan. "Bila kita hilang seorang 'rider', memang kita terpaksa tukar rancangan untuk bergerak, sepatutnya pergerakan 'breakaway' itu Aiman dan Iqbal, tetapi apabila Aiman tiada kita terpaksa menggunakan Adam; yang sepatutnya digunakan untuk cari emas berpasukan," katanya. Beliau menambah, latihan yang dilakukan atlet berbasikal sememangnya agak keras kerana harapan MSNT dan rakyat Terengganu amat tinggi kepada pasukan itu dan beliau tidak mahu ada kesilapan
17 Aug 24
21299
Tahajud Sumber Kekuatan Ekbal Rangkul Emas
Tahajud Sumber Kekuatan Ekbal Rangkul Emas
PETRAJAYA, 16 Ogos - Tanpa berselindung, pemenang pingat emas pertama Terengganu bagi acara Wushu Sanda (70kg) mendedahkan solat tahajud adalah sumber kekuatan dirinya meraih kejayaan. Ekbal Dave Sandhu Aslam Dave mengakui pada awal pertarungan dia agak gugup, namun memikirkan sokongan rakan-rakan, atlet Terengganu itu tetap meneruskan saingan. "Saya berdebar sangat hari ini, memang rasa tak boleh menang hari  ini tapi demi kawan-kawan, demi keluarga yang datang saya kembali bersemangat. "Di samping itu, antara kekuatan saya, saya cuba amalkan solat tahajud, jangan lewatkan solat dan bismillah setiap kali buat sesuatu," katanya kepada UPDI. Lebih manis katanya, kemenangan itu dilakar di hadapan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir menyaksikan sukan terbabit. Selain satu emas, Terengganu juga cemerlang merangkul empat lagi gangsa dalam sukan wushu hari ini.
16 Aug 24
218
Pasukan Kriket Terengganu Lakar Sejarah ke Separuh Akhir
Pasukan Kriket Terengganu Lakar Sejarah ke Separuh Akhir
PETRAJAYA, 16 Ogos - Pasukan kriket Terengganu mencipta sejarah baharu di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) apabila layak ke separuh akhir buat kali pertama. Ketua Jurulatih Kriket Terengganu, Kamarudin Husin berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana pasukannya hadir ke bumi kenyalang sebagai 'underdog'. "Kami tidak dikenali apatah lagi digeruni mana-mana pasukan. "Namun, pada perlawanan pertama kami buktikan kemampuan kami, kami tewaskan juara bertahan, Perak," katanya ketika ditemui UPDI sejurus selepas melangkah ke separuh akhir. Menurut Kamarudin, Terengganu menyasarkan untuk menyumbang satu pingat emas dan perak bagi sukan tersebut. "Insya-Allah Terengganu akan berjuang bermatian-matian untuk mencapai sasaran tersebut. "Di separuh akhir kami masih menanti siapa lawan, sama ada Kelantan, Selangor ataupun Sarawak," katanya. Tambah beliau lagi, pembinaan pasukan kriket Terengganu seawal 2019 akhirnya membuahkan hasil hari ini. Terengganu melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Pulau Pinang dengan 8 wiket pagi tadi.  
16 Aug 24
283
17 Tahun Tunggu 'Mimpi' Emas
17 Tahun Tunggu 'Mimpi' Emas
KUCHING, 15 Ogos- Sejarah tercipta buat kontinjen Terengganu apabila skuad tenpin boling meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki menerusi Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, semalam. Menurut ketua jurulatih, Mohd Syafiq Suhaimi, ini merupakan pingat emas pertama yang diperolehi skuad tenpin boling Terengganu sepanjang 17 tahun menyertai SUKMA. "Tahun 2008, Terengganu kali pertama menghantar anak jati untuk sukan boling,  ketika itu sayalah atlet kelompok pertama dan sekarang saya dipertanggungjawabkan untuk SUKMA kali ini, Alhamdulillah kini kita dapat. "Saya mengikuti SUKMA dari tahun 2008 dan berharap ada yang dapat bawa pulang emas dari sukan boling. "Jadi, saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan Timbalan Ketua Kontinjen, Dato' Rosli Latif di Megalanes Sarawak, semalam. Tambahnya, kemenangan itu sebenarnya amat mengejutkan. "Saya tidak sangka, boling susah untuk kita jangka kerana keadaan 'lane' berbeza-beza. "Masa latihan semalam pun, saya masih tidak nampak dia mampu dapatkan emas dan hari ini, setelah balingan ke sebelas baru kita mampu mengejar. "Memang saya diamanahkan untuk dapatkan emas, tetapi saya sasarkan acara berpasukan kerana kekuatan kita di situ," katanya. Tidak lupa, beliau sempat memohon rakyat negeri Terengganu untuk terus mendoakan pasukan tenpin boling bagi mencipta kejutan pada acara regu dan berpasukan dalam tempoh lima hari mendatang.
16 Aug 24
367
Terengganu Terus Hasilkan Kayuhan Emas
Terengganu Terus Hasilkan Kayuhan Emas
KUCHING, 15 Ogos- Pasukan berbasikal menghadiahkan dua lagi pingat emas kepada kontinjen Terengganu di Sukan Malaysia SUKMA XXI setelah memenangi acara lepas beramai-ramai lelaki akhir, hari ini. Terengganu meraih emas dalam kategori individu dan berpasukan yang diadakan serentak melibatkan laluan sepanjang 144 km. Bagi kategori individu, Muhammad Iqbal Daniel Muhammad Nawawi menewaskan penunggang Johor, Muhammad Fahim Nazim Muhammad Zaini di tempat kedua. Manakala, pingat gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Ren Bao Tsen. Dalam kategori berpasukan pula, Terengganu turut diwakili Kee Zhe Yie, Mohamad 'Afi Danial Ramli, Afiq Iskandar Hasyim, Muhammad Aiman Haiqal Mohammad Khairul,  Muhammad Adam Ramdzan Razali dan Ahmad Irfan Abdul Hamid. Pasukan Hanelang sekali lagi mengalahkan seteru utamanya iaitu Johor (kedua) dan Wilayah Persekutuan (ketiga). Lebih menarik, Terengganu pada awalnya hanya menyasarkan emas berpasukan, ditambah kemalangan yang melanda Aiman seawal pusingan pertama akhirnya berjaya mengejutkan penyokong dengan kilauan emas kategori individu. Semalam di venue sama, Terengganu telah memperoleh emas pertama melalui Kee Zhe Yie dalam acara ujian masa individu. Kayuhan emas dari skuad berbasikal menjadi tiga emas pertama diperolehi Terengganu pada SUKMA kali ini.  
15 Aug 24
194