lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

KESSUMA : Pahang Ranapkan Impian Terengganu
KESSUMA : Pahang Ranapkan Impian Terengganu
KUALA NERUS, 21 Ogos - Impian pasukan bola sepak Terengganu untuk melakar kejuaraan pada Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) diranapkan pasukan dari negeri pahang dengan kekalahan tipis 2-1. Dengan menyenaraikan pemain terbaik dalam usaha Sang Penyu untuk memburu kejuaraan pada perlawanan peringkat suku akhir dalam kejohanan yang berlangsung di padang B Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT). Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tindakan kasar pemain Terengganu terhadap pemain Pasukan Pahang telah menyebabkan pengadil memberikan sepakan penalti yang akhirnya disempurnakan oleh penyerangnya, Amin Mohd Rosli pada minit ke-27. Tersentak dengan jaringan gol pihak lawan, Sang Penyu cuba bangkit dengan mengatur strategi dan mencorakkan serangan bagi memastikan harapan ke separuh akhir kembali cerah. Hasilnya, kelekaan pertahan lawan telah memberi peluang kepada pemain sayap Terengganu, Adeeb Firdaus Zainal Abidin menjaringkan sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-31. Keputusan seri pada babak masa pertama kekal sehingga wisel ditiupkan. Bersambung babak kedua, peluang terhidang buat Sang Penyu apabila hampir menjaringkan gol pada minit ke-39 menerusi Adeeb Hadif namun dipatahkan oleh penjaga gawang Pahang yang meluru keluar dari pintu gol. Pada minit ke-48, tuan rumah akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Tok Gajah yang berjaya mencipta gol kedua menerusi Amin Mohd Rosli. Keputusan itu kekal hingga tamat perlawan dan menyaksikan Sang Penyu berputih mata dengan kekalahan tipis itu.
21 Aug 24
5799
Sarawak Berjaya, Tahniah!
Sarawak Berjaya, Tahniah!
KUCHING, 21 Ogos- Turun menyaksikan acara olahraga yang dipertandingkan pada SUKMA XXI di Stadium Sarawak semalam, bapa angkat pasukan olahraga Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah merakamkan pujian kepada penganjur temasya sukan terbesar itu. "Saya rasa penganjuran SUKMA ini sungguh meriah, kalau dapat dilihat pada malam pembukaannya sudah bertaraf antarabangsa. "Tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan negeri Sarawak atas pengurusan pertandingan yang sempurna. "Setakat ini, sedikit-sedikit (kekurangan) itu lumrah. Sedia maklumlah, mengendalikan temasya yang besar ini bukanlah mudah untuk memuaskan hati semua orang. "Sarawak berjaya, tahniah," katanya ketika ditemui di venue sukan olahraga yang menyaksikan Terengganu meraih dua pingat emas melalui acara 4×400M wanita dan 110M lari berpagar lelaki. Wan Sukairi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri sangat bersyukur dan gembira kerana sasaran yang ditetapkan kepada olahraga masih berjaya dicapai. "Alhamdulillah, semua atlet yang disenaraikan berada dalam keadaan sihat dan begitu bersemangat menggalas tugas yang diamanahkan rakyat Terengganu kepada mereka," katanya. Tambahnya, pasukn olahraga akan bersaing selama dua hari lagi dan berharap akan terus berjaya 'mencuri' pingat dari pesaing-pesaing terkuat di lapangan.  
21 Aug 24
9747
Skuad Ping Pong Kessuma Terengganu Bergaya ke Suku Akhir
Skuad Ping Pong Kessuma Terengganu Bergaya ke Suku Akhir
KUALA NERUS, 20 Ogos - Suasana di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) gamat setelah skuad Ping Pong lelaki dan wanita Terengganu melangkah ke suku akhir dengan bergaya. Dalam acara berpasukan perempuan, Terengganu menunjukkan taringnya dengan kemenangan mutlak 5-0 ke atas Wilayah Persekutuan.  Prestasi hebat ini melayakkan mereka mara ke peringkat suku akhir dan mereka akan berentap dengan pasukan Pahang, esok. Bukan sahaja berjuang demi kejayaan, pasukan ini juga membawa harapan seluruh negeri Terengganu. Tidak mahu kalah, pasukan lelaki Terengganu mempamerkan aksi penuh semangat dan disiplin tinggi dengan menumpaskan Perlis juga 5-0.  Dengan langkah penuh yakin, pasukan ‘Penyu’ mara ke suku akhir dan akan bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan yang dijangka lebih sengit esok. Sementara itu, bagi kategori ping pong perempuan, negeri-negeri yang layak ke peringkat suku akhir adalah Selangor akan berentap dengan Kelantan, Johor bakal berhadapan dengan Perak dan Kedah akan bertemu dengan Negeri Sembilan. Bagi acara lelaki pula, Kedah akan bertemu Selangor, Pahang akan berentap dengan Johor, dan Perak akan bertarung dengan Kelantan di peringkat suku akhir.
20 Aug 24
600
Langkah Emas Armin Buat Terengganu
Langkah Emas Armin Buat Terengganu
KUCHING, 20 Ogos- Terengganu menambah koleksi pingat emas SUKMA XXI menerusi Mohamad Armin Zahryl Abdil Latif, 19, yang memenangi acara 110M lari berpagar lelaki di Stadium Sarawak, sebentar tadi. Atlet kelahiran Dungun itu mencatatkan masa 14.26 saat meninggalkan pelari dari Wilayah Persekutuan yang mencatatkan 14.51s. Manakala, tempat ketiga dimenangi atlet Johor dengan catatan 14.57s. Ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan, Armin berpuas hati setelah berjaya menjelmakan kilauan emas dalam penampilan pertamanya di temasya itu. "Apa yang saya rasa? sedih ada gembira pun ada. "Sedih kerana saya akhirnya dapat capai hajat jurulatih dan capai hajat untuk membantu keluarga, namun saya gembira kerana dapat pingat dalam penampilan pertama saya," katanya. Baru berusia 19 tahun, anak tunggal kesayangan ibunya, Hanariah Omar itu berhasrat melangkah lebih jauh dalam bidan olahraga. "Harapan? Jadi pasukan Malaysia. Terpilih dalm pasukan ke Sukan Sea," ujarnya. Armin turut memperbaharui catatan peribadinya pada pada saingan separuh akhir pagi tadi, dengan catatan 14.18s. Beliau bagaimanapun tidak berjaya mengulangi pencapaian itu pada saingan akhir berikutan balapan yang basah akibat hujan lebat sebelum perlumbaan. Dalam pada itu, pada acara 200M akhir wanita, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira sekali lagi 'memperkenalkan' dirinya setelah meraih pingat perak kedua peribadi dengan catatan 24.52s.    
20 Aug 24
2433
Terengganu Idam Pecah Dominasi Perak, Selangor
Terengganu Idam Pecah Dominasi Perak, Selangor
KUCHING, 20 Ogos - Pasukan Silambam Terengganu berhasrat memecahkan dominasi dua kuasa besar dalam sukan Silambam di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 ini iaitu Selangor dan Perak. Ketua jurulatih, Indrajith a/l Mooralitharan ketika ditanya tentang perkara berkenaan, mengiyakan hasrat itu. "Ya, kita boleh mendominasi lagi sukan ini, memang hendak pecahkan dominasi mereka. "Bagi empat acara awal (sebelah pagi) ini, kita bagi yang terbaik, budak-budak sudah bagi yang terbaik cuma keputusan yang diperolehi, kita kurang puas hati. "Selepas ini kita ada lagi 10 acara, memang kita akan beri yang terbaik untuk negeri kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat bagi acara Thanitiramai Kuthu Varisai dan Thanitiramai Silambam Stick di sini, hari ini. Dalam acara berkenaan, atlet Terengganu, Israwi a/p Murugiah memperoleh pingat perak dalam kategori wanita dengan kutipan 8.17 mata. Seorang lagi atlet muda, Keertika a/p Shankar membantu Terengganu menambah koleksi pingat gangsa dalam Thanitiramai Silambam Stick wanita dengan 7.37 mata.
20 Aug 24
3339
Cuaca Cabar Atlet Pelayaran Terengganu
Cuaca Cabar Atlet Pelayaran Terengganu
MIRI, 20 Ogos- Cuaca tidak menentu di venue acara sukan pelayaran Marina Bay, Miri menjadi cabaran tambahan buat skuad pelayaran Terengganu mencari rentak memburu pingat yang telah bermula secara rasmi, semalam. Ketua jurulatih sukan pelayaran Terengganu, Abdul Rani Idris berkata, pasukannya bermula baik di peringkat awal semalam apabila kekal di kedudukan dua teratas dalam empat acara yang dipertandingkan. "Hari ini, bermula seawal pagi cuaca di sini masih hujan lebat dengan angin bertiup kencang di mana kami masih menanti perlumbaan untuk bermula.  "Cuaca kelmarin yang tidak menentu dengan tiupan angin yang kuat memberi kesukaran buat pelayar-pelayar kami untuk mengawal bot masing-masing. "Melihat pada faktor cuaca semasa ini, kami perlu merangka taktikal baru untuk memanfaatkan segala ruang dan peluang yang ada untuk memburu pingat di sini." ujar Terengganu mempertaruhkan 11 pelayar lelaki dan enam pelayar wanita bagi perebutan tujuh pingat emas yang dipertandingkan. Tujuh kategori perlumbaan sukan pelayaran iaitu Optimist, ILCA 4, ILCA 6, ILCA 7, International 420, Techno 293 dan RS:One yang menjadi taruhan di perairan Marina Bay.
20 Aug 24
636
KESSUMA : Terengganu Hidupkan Peluang Ke Suku Akhir
KESSUMA : Terengganu Hidupkan Peluang Ke Suku Akhir
KUALA NERUS, 20 Ogos - Bangkit dari kekalahan pertama ketika bertemu Kelantan, pasukan bola sepak Terengganu menang bergaya mengatasi Pulau Pinang dengan jaringan 2-0 dalam aksi perlawanan Kumpulan A di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA). Kemenangan itu sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir.  Walau bagaimanapun, Terengganu terpaksa menunggu sehingga ke separuh masa kedua selepas perlawanan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.  Memulakan aksi di separuh masa kedua, Terengganu berusaha mencipta peluang bagi mengintai ruang untuk melayakkan diri ke suku akhir.  Membuka tirai jaringan, penyerang utama Terengganu, Muhammad Faizul Asyrah Mohd Nasir telah meletakkan sang penyu di hadapan dengan jaringan cantik pada minit ke-46.  Terengganu terus mengasak kubu pertahanan lawan dan pada minit 53, peluang terhidang apabila Terengganu diberikan sepakan percuma namun tendangan daripada Muhammad Hazim Iqbal Ismail meluru ke dakapan penjaga gol.  Sekali lagi pasukan Pulau Pinang dihukum dengan gol yang dijaringkan oleh, Adeeb Firdaus yang tidak memerlukan masa yang lama untuk mengesahkan kemenangan Terengganu untuk meletakkan Sang Penyu 2 gol di depan. Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.  Sementara itu, kemaraan ke peringkat suku akhir akan ditentukan pada perlawanan akhir kumpulan A pada petang ini antara Kelantan menentang Pulau Pinang.  Seandainya Pulau Pinang kalah, ini akan melayakkan Terengganu ke pusingan seterusnya.   
20 Aug 24
2018
Atlet Kessuma Terengganu Dominasi Acara Ping Pong
Atlet Kessuma Terengganu Dominasi Acara Ping Pong
KUALA NERUS, 20 Ogos – Terengganu mempamerkan 'belang' dalam sukan ping pong kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) apabila menang besar bagi saingan awal lelaki dan wanita dengan skor 5-0. Dalam saingan pagi tadi, pasukan lelaki menewaskan Johor dengan kemenangan 5-0, manakala pasukan wanita turut membenam cabaran Negeri Sembilan skor sama. Jurulatih Ping Pong KESUMMA Terengganu, Khairul Anuar Abdul Rahman berkata, kemenangan itu adalah hasil persiapan rapi dan latihan insentif sebelum kejohanan. “Untuk perlawanan pagi ini antara Terengganu dan Negeri Sembilan alhamdulillah kita (pasukan perempuan) menang 5-0  dan semua pemain bermain mengikut apa yang dirancang.    “Pasukan lelaki kita juga menang dengan johor 5-0 dan pemain bermain dengan baik sekali untuk hari ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Dewan Arena Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong badak, pada hari ini. Justeru itu, beliau berharap, momentum kemenangan ini akan berterusan hingga peringkat akhir nanti. Selain ping pong, KESSUMA juga mempertandingkan beberapa acara sukan lain termasuk bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton (lelaki dan perempuan) serta bola tampar.  Kejohanan tahunan ini, yang kini memasuki edisi ke-23, melibatkan penyertaan dari 12 negeri di seluruh Malaysia, menjadikannya antara platform utama untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam kalangan pelajar sekolah menengah agama.  
20 Aug 24
976
Kessuma Buka Gelanggang
Kessuma Buka Gelanggang
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (Kessuma) secara rasmi membuka gelanggang hari ini dengan perlawanan bola sepak antara Terengganu dan Kelantan menjadi tumpuan. Memulakan perlawanan di Padang Kompleks Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kelantan tampil garang bagi menundukkan tuan rumah dengan skor 3-1. Gol pertama dihasilkan dalam minit keenam menerusi pemainnya Muhammad Luqman Arif Ramli.  Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu cuba bangkit dan membuat beberapa percubaan dan berjaya mendapatkan jaringan balas bagi menghidupkan harapan menerusi pemain, Muhammad Faizul Asyrah pada minit ke-22. Selang seminit, Kelantan sekali lagi berada di hadapan apabila Syah Syazean Aide Ikhrame menggandakan jaringan Kelantan.  Kelantan terus mengasak pintu gol tuan rumah sehingga habis separuh masa pertama dengan serangan bertali arus memaksa tuan rumah untuk bertahan.  Memulakan separuh masa kedua, Kelantan sekali lagi beraksi cemerlang mendominasi perlawanan namun gawang Terengganu sukar dirobek.  Dalam pada itu Terengganu cuba mengimbangi perlawanan dan tidak putus asa bagi mencari gol penyamaan bagi berkongsi mata.  Namun Terenggganu dalam aksi perlawanan Kumpulan A bertemu Kelantan dilihat sukar dan berhempas pulas sehingga menghampiri tamat perlawanan.  Kelantan yang tampil cemerlang sekali lagi menghukum pasukan Terengganu dengan menambah satu jaringan pada masa tambahan.  Dengan kemenangan pertama ini Kelantan memperolehi tiga mata dan menjadi peneraju kumpulan A.
20 Aug 24
342
Skuad Menembak Intai Emas
Skuad Menembak Intai Emas
KUCHING, 20 Ogos - Sepanjang tiga hari sukan menembak berlangsung, pasukan Terengganu telah meraih empat pingat Perak dan satu pingat gangsa. Jurulatih pasukan, Nazihan Harun setakat ini berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. "Apa yang kita rancang setakat ini berada di landasan yang betul. "Cuma saya harap momentum ini diteruskan pasukan dan cuba buat yang terbaik untuk dapatkan emas pada acara berikutnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Lapang Sasar Menembak Petra Jaya, petang semalam. Membariskan 17 atlet muda dalam temasya kali ini, Nazihan melihat perkembangan positif dalam pasukan. "Ada acara yang disasarkan gangsa, kita beroleh pingat perak jadi saya mengharapkan sokongan dan doa rakyat Terengganu supaya pingat emas dapat dijelmakan," katanya.  
20 Aug 24
132