Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu Agih Insentif SUKMA Selepas Terima Laporan Pencapaian Atlet
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Insentif bagi atlet Terengganu yang meraih pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, baru-baru ini akan diumumkan selepas kerajaan negeri menerima laporan penuh pencapaian kontinjen Terengganu di temasya sukan itu.
Menurut Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau masih menunggu laporan penuh pencapaian daripada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sebelum memutuskan apa-apa tindakan.
"Insentif tetap ada, tetapi kita belum buat keputusan kerana saya masih menunggu laporan penuh pencapaian kita dan apa yang perlu dibuat.
"Apa yang paling penting ialah bagaimana kita akan melaksanakan pelan strategik lebih kemas supaya dua tahun lagi kita akan tambah baik keadaan kita dan tentulah target kita untuk menjadi juara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembersihan Pantai Batu Buruk yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin di pantai berkenaan, hari ini.
Tambahnya, kebersihan pantai, tempat pelancongan dan pulau-pulau di Terengganu merupakan peranan semua pihak.
"Ini peranan semua pihak, bukan sahaja majlis bandaraya, semua orang berperanan dan ada peranan masing-maisng yang perlu dibuat.
"Insya-Allah dengan cara demikian, pantai kita, tempat peranginan termasuklah di pulau akan lebih ceria untuk semua pengunjung.
"Saya rasa tentu setiap hari kita akan jumpa masalah tertentu, tetapi saya percaya ini ditambah baik dengan begitu baik oleh operator.
"Dari segi penguatkuasaan longgar? Kita akan tengok dari segi kesannya terutama jika luar dari kawalan dan memberi kesan kepada kesihatan terutamanya, kita akan pertingkat penguatkuasaan, buat masa ini kita minta kerjasama semua pihak itu lebih cermat dan lebih selamat," katanya.
27 Aug 24
289
Bisa Nelson Bonilla Ditagih Kembalikan Kekuatan TFC
KUALA NERUS, 27 Ogos - Bisa pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Nelson Bonilla ditagih bagi memperkuatkan kembali jentera serangan skuad penyu sekali gus menceriakan kembali peminat setia pasukan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, prestasi sang penyu diharap dapat ditingkatkan semula penyerang itu selepas ketiadaan Ivan Mamut yang mengalami kecederaan panjang.
Ujarnya, ketiadaan penyerang telah menjadi faktor TFC tidak mampu beraksi cemerlang sebagaimana yang dikemukakan oleh Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
"(Sebelum ini) 'coach' telah mengemukakan beberapa nama dan telah dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Pemiilihan melibatkan semua pihak kejurulatihan dan pengurusan.
"Tetapi sifat pemain ia agak subjektif walaupun prestasi sebelum ini di kelab asal bagus namun sewaktu datang berlaku sebaliknya.
"Apa yang kita harapkan 'striker' yang kita ambil ini, Nelson Bonilla mampu menterjemahkan prestasi yang sama seperti dia beraksi di liga Thailand," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di pejabat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semalam.
Mengulas lebih lanjut, adalah menjadi harapan agar peminat tidak putus asa untuk terus memberikan sokongan yang padu buat TFC kerana masih berada dalam kedudukan yang baik pada saingan Liga Super.
"Berada di tangga ketiga tidaklah terlalu teruk, kita juga tidak mencatatkan lagi kekalahan di laman sendiri melaikan tempoh hari ketika berhadapan Svay Rieng FC dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shoope 2024/25 dengan kekalahan 3-2." katanya.
27 Aug 24
376
Ragbi Akhiri SUKMA Dengan Perak dan Gangsa
MIRI, 22 Ogos- Pasukan Ragbi lelaki Hanelang Bangkit terpaksa menerima hakikat terlepas pingat emas setelah tewas 29-0 kepada Johor dalam perlawanan akhir di SUKMA XXI Sarawak, hari ini.
Namun, pencapaian pingat perak oleh pasukan lelaki dan gangsa bagi pasukan wanita pada temasya kali ini masih boleh dibanggakan.
Skuad ragbi Terengganu telah memperbaiki rekod pencapaian berbanding edisi lalu di mana kedua-dua pasukan ini telah dinoktahkan awal untuk berakhir di tempat ke-8 SUKMA MSN 2022.
Pasukan ragbi lelaki menepati sasaran untuk meraih pingat perak setelah hadir selaku finalis SUKMA Sarawak 2024 bertemu Johor.
Manakala, tuah tidak menyebelahi pasukan wanita apabila tewas tipis dengan hanya satu jatuhan try oleh pasukan tuan rumah pada penentuan separuh akhir.
Bagaimanapun mereka bangkit menewaskan Sabah 17-5 bagi merebut pingat gangsa.
22 Aug 24
888
Memanah Terus Bidik Emas
KUCHING, 22 Ogos- Pasukan memanah Hanelang Bangkit terus menyumbang pingat emas buat kontinjen Terengganu di SUKMA XXI Sarawak.
Gandingan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki, Muhammad Hazmi Aisar Azmi dan Muhammad Amiruddin Zulkifli mengatasi Sabah 226-221 dalam acara Compund Berpasukan Lelaki akhir untuk menghadiahkan satu lagi pingat emas, hari ini.
Semalam, dua emas telah dijelmakan di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya menerusi gandingan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki dan Nurul Syaza Husna Mahari yang memenangi acara Compund Berpasukan Campuran.
Aiman Syafiq dan Syaza Husna menewaskan pasangan Wilayah Persekutuan 151-147 untuk Terengganu unggul dalam saingan tersebut.
Satu lagi emas turut disumbangkan dalam acara Recurve Berpasukan Campuran yang diwakili Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan dan Nurul Izzah Mazlan.
Setakat ini, skuad memanah telah menyumbang lima emas dan satu pingat perak.
Esok petang, pasukan memanah Hanelang Bangkit akan turun pada hari terakhir pertandingan sukan berkenaan dalam acara Recurve wanita dan lelaki individu bagi merebut pingat gangsa.
22 Aug 24
2228
0.279 Saat 'Pisahkan' Emas Amer
KUCHING, 22 Ogos- Jurang 0.279 saat menjadi taruhan sengit buat kem berbasikal Terengganu yang terpaksa akur dengan meraih pingat perak bagi acara Down Hill Individu di SUKMA XXI.
Pada acara yang berlangsung di Bukit Siol DBKU semalam, pelumba Hanelang Bangkit, Amer Akhbar Anuar menamatkan perlumbaan sejauh 1.2km dengan catatan masa 01:48.412 terpaksa melepaskan pingat emas kepada pelumba Pahang, Tengku Mukhriz Tengku Mansor yang meraih catatan masa sedikit pantas 01:48.133.
Manakala pingat gangsa milik pelumba Pulau Pinang, Aaron Iman Kennedy dengan catatan masa 01:57.695.
“Saya terpaksa akur untuk jurang masa yang teramat sedikit dengan keputusan hari ini.
"Di mana sasaran sebenar saya adalah pingat emas di litar Bukit Siol ini.
"Cuaca hujan lebat seawal pagi sememangnya memberi cabaran tambahan kepada setiap pelumba termasuk saya di mana kita boleh lihat beberapa pelumba terlibat dalam kemalangan kecil berikutan litar yang berlecak dan licin," katanya.
Amer kini telah menghadiahkan dua pingat buat kontijen Terengganu.
Untuk rekod, terdahulu beliau menghadiahkan pingat emas bagi acara BMX kepada kontijen Hanelang Bangkit sekaligus mendominasi jumlah punggutan pingat keseluruhan bagi acara berbasikal SUKMA Sarawak 2024.
Sehingga kini, skuad berbasikal Terengganu masih mendominasi pungutan pingat terbanyak bagi acara berbasikal dengan meraih lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa menghimpunkan keseluruhan sebanyak 10 pingat.
22 Aug 24
294
Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024
KUALA NERUS, 22 Ogos - Kontinjen Terengganu terus mengungguli Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-23 tahun 2024 apabila dinobatkan juara keseluruhan sekaligus mengekalkan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut.
KESSUMA yang berlangsung mulai 19 hingga 22 Ogos 2024 di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), menyaksikan penyertaan dari 12 negeri dengan keseluruhan kontinjen melebihi 2,200 peserta
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri berpuas hati atas kecemerlangan yang dipamerkan oleh peserta kontijen dan kejayaan yang telah diraih pada kali ini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian, di semua peringkat bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri sehinggalah di peringkat kebangsaan atas kejayaan penganjuran KESSUMA.
“Tahniah kepada tuan rumah kerana menjuarai KESSUMA kali ini dengan tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa sekaligus melakar kejayaan dalam mempertahankan kejuaraan dua tahun secara berturut-turut dan berharap meneruskannya untuk tahun depan di Kedah,”ujarnya kepada pemberita.
KESSUMA merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang bernaung di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).
22 Aug 24
9400
Terengganu Gagal Jinakkan Juara Liga Kemboja
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Hasrat skuad Terengganu FC untuk meraih tiga mata penuh pada aksi sulung saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 tidak kesampaian selepas gagal menjinakkan Juara Liga Kemboja sebentar tadi.
Turun dengan semangat yang tinggi setelah membuat persiapan rapi berminggu-minggu tidak cukup untuk anak-anak buah Tomislav Steinbruckner melakar kejutan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terengganu walau bagaimanapun bermula garang dengan asakan awal ke kubu Svay Rieng FC, rembatan padu Mohd Ubaidullah Shamsul pada minit ke-6 hampir membuahkan hasil namun ditangkap kemas penjaga gol lawan.
Tersentak dengan serangan tuan rumah, Svay Rieng memperkemaskan permainan dengan serangan-serangan pantas ke kawasan Terengganu.
Usaha pelawat membuahkan hasil selepas gol yang dicari akhirnya tiba, 'placing' Gabriel Silva ke sudut kiri gawang selepas menerima hantaran cantik rakannya pada minit ke-12 meletakkan kedudukan 1-0.
Terkedu dengan jaringan itu, Terengganu cuba mengatur semula permainan dengan pergerakan lebih teratur.
Namun, semangat itu gagal diterjemahkan dengan jaringan sebaliknya dihukum dengan gol kedua Svay Rieng pada minit ke-14.
Kelekaan barisan pertahanan Terengganu membawa padah apabila pemain import pelawat, Pablo Agusto meledak untuk memberi kelebihan dua gol.
Terengganu cuba bangkit, tetapi ketumpulan penyudah menjadi duri dalam daging.
Pelawat yang mencari gol ketiga turut mendapat peluang keemasan, termasuk percubaan pada minit ke-30 oleh Agusto, namun dinafikan palang gol.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Tomislav membuat pertukaran dengan mengeluarkan Shahrulnizam Roshasni dan memasukkan Matthew Steenvoorden.
Perubahan pemain itu tampak berkesan dan memberi tonik baru kepada pasukan apabila Terengganu berjaya mendapatkan gol pertama.
Jaringan pada minit ke-55 itu tercipta hasil kawalan bola menarik Ubaidullah yang memperdaya dua pemain lawan sebelum menolak bola tersebut kepada Manuel Ott.
Ott yang tidak dikawal, tenang menendang bola masuk gol sudut kanan penjaga gol sekali gus merapatkan kedudukan 2-1.
Perlawanan terus berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Dalam keghairahan Terengganu menyerang, Svay Rieng berjaya mencuri bola dan melakukan serangan balas pada minit ke-86.
Min Ratanak yang menerima bola tersebut melakukan rembatan di hadapan kotak penalti Terengganu dan gagal dihalang Suhaimi Hussin sekali gus memberi kelebihan 3-1 buat pelawat.
Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan skor 3-1, Terengganu mendapat sepakan penalti selepas pemain gantian, Chijioke dijatuhkan dalam kotak penati oleh penjaga gol lawan.
Safawi yang mengambil sepakan tersebut tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol kedua buat Terengganu.
Namun ia sudah terlewat buat pasukan tuan rumah untuk bangkit, kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat.
21 Aug 24
496
Terengganu Dominasi Kategori Ping Pong Lelaki dan Perempuan Dua Tahun Berturut-turut
KUALA NERUS, 21 Ogos - Pasukan ping pong Terengganu sekali lagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar sukan tersebut apabila menjuarai kategori lelaki dan perempuan dalam kejohanan kebangsaan untuk dua tahun berturut-turut.
Bagi kategori lelaki, Terengganu berjaya menewaskan pasukan lawan dari Kelantan dengan kemenangan mutlak 3-0.
Perseorangan pertama Terengganu, Aqil Danial mempamerkan permainan yang mantap, diikuti oleh kemenangan beregu pertama yang terdiri daripada M. Afif dan NorNafis.
Perseorangan kedua, Khairul Aqil, turut menyumbangkan mata kemenangan, manakala pasangan beregu kedua, M. Shahid dan A. Syakir, serta perseorangan ketiga, Naufal, melengkapkan kemenangan bergaya.
Manakala kategori perempuan, Terengganu tidak kurang hebatnya apabila menewaskan lawannya iaitu Kedah dengan keputusan 3-1.
Perseorangan pertama, Nurul Aaliya, membuka tirai buat pasukan, diikuti dengan kemenangan beregu pertama, Nur Amiera dan Asmaa.
Manakala perseorangan kedua ialah Fatin Nazura dan beregu kedua iaitu Wardatul dan Kauthar serta perseorangan ketiga Nur Dhia.
21 Aug 24
355
Kuartet Muda Terengganu 'Buka Mata' Peminat Sukan
KUCHING, 21 Ogos- Pertama kali digabungkan, kuartet muda wanita Terengganu berjaya 'membuka mata' ramai pihak apabila memenangi acara 4×400M wanita akhir di Sukan Malaysia SUKMA ke-21, petang semalam.
Gandingan Wan Nurnatasha Atiqah Wan Ramli (19 tahun), Nurin Aira Rusdi (17 tahun), Marissa Maisyara Mazlan (16 tahun) dan , Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira (16 tahun) mencatatkan 3:54.83 saat untuk mengatasi gandingan pilihan, Johor di tempat kedua.
Pengendali pasukan, Khairul Azman Adnan amat berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya.
"Acara ini memang kita punya sasaran, cuma hari ini kita semua patut berterima kasih kepada Izzatul kerana beliau menunjukkan kematangannya.
"Pelari terakhir Johor itu adalah pelari senior yang menyertai Sukan Sea, dia menunjukkan kematangan dengan menunggu saat-saat yang paling tepat untuk memotong dan dengan umurnya baru 16 tahun, ia luar biasa," katanya.
Jelasnya, catatan masa yang dihasilkan merupakan rekod pertama gandingan tersebut.
"Ini kali pertama digabungkan sebab mereka bersekolah di sekolah berlainan.
"Semua orang menjangkakan Johor, kita datang sebagai 'underdog' tetapi menyasarkan pingat emas kerana, semua pelari kami sama 'level'.
"Puas hati," ujarnya.
21 Aug 24
1700
KESSUMA, Terengganu Mara ke Separuh Akhir Ping Pong
KUALA NERUS, 21 Ogos - Sorakan bergema di Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) apabila perlawanan sengit di Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESUMMA) dalam acara ping pong layak ke separuh akhir bagi kategori lelaki dan perempuan.
Dalam kategori lelaki, Terengganu berjaya melangkah ke separuh akhir dan bakal bertemu Kedah, manakala Pahang akan berentap dengan Kelantan.
Bagi kategori wanita, Terengganu akan menentang Selangor, sementara Johor bersiap sedia untuk berdepan Kedah.
Pada perlawanan suku akhir, ping pong lelaki Terengganu beregu dengan Negeri Sembilan mendapat mata 3-0.
Pemain perseorangan pertama Mohd Naufal, beregu pertama Haris Irfan dan Muhamad Syahid Hakimi dan perseorangan kedua Khairul Aqil Harith.
Manakala Beregu kedua A. Syakir Ikhwan dan Arshad Hadi serta perseorangan ketiga A. Aqil Danial.
Sementara itu, bagi kategori ping pong perempuan pula berentap dengan Negeri Pahang mendapat markah 3-2 sewaktu perlawanan suku akhir.
Perlawanan tersebut menyaksikan perempuan perseorangan pertama Nur Amiera Farisya Rofi dan beregu pertama Nur Aliya Najihah Marsani dan Nurina Aisyah Zaimeri dan perseorangan kedua , Fatimah Nazura Mohd Lotfi dan beregu kedua Asma’a Mohd Azmi dan Khauthar Mohd Azmi serta perseorangan ketiga Nur Dhia Zahra Mazli.
21 Aug 24
532