Artikel "Sukan" Terkini
272 'Ubi Muda' Tunjuk Belang di Terengganu
KUALA NERUS, 15 September- Seramai 272 atlet daripada 12 pasukan hadir ke Terengganu bagi menyertai Kejohanan Olahraga Bakat dan Pelapis Negeri 2024 yang bermula sejak semalam.
Berlangsung di Stadium Tengku Muhammad Ismail di sini, kejohanan berkenaan mempertandingkan 16 acara olahraga lelaki dan wanita seperti acara rejam lembing, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru.
Menurut Ketua Unit Pembangunan dan Bakat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Mohd Hilmi Haris, kejohanan yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan dari bakat dan pelapis tanah air apabila hampir semua negeri mengambil bahagian.
"Dari segi sambutan, boleh dikatakan seluruh negeri datang kecuali Sabah dan Sarawak yang mungkin berdepan kekangan kos yang tinggi untuk datang, tetapi negeri-negeri di semenanjung semua hadir dengan penyertaan atlet bawah 17 tahun.
"Negeri Terengganu sebagai tuan rumah pula menampilkan penyertaan paling ramai dengan 49 orang atlet untuk semua acara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu hadir ke kejohanan tersebut, semalam.
Tambahnya, penganjuran itu merupakan penghargaan kepada MSNT sebagai pengelola kejohanan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) yang bertujuan mencungkil bakat di peringkat kebangsaan.
"Kalau diikutkan kejohanan bakat (peringkat pelapis), kejohanan secara 'single event' ini kali pertama diadakan, jadi kita boleh tengok bakat-bakat sebenar para atlet dan kemampuan mereka kerana lebih terfokus pada satu-satu acara kerana dari sini kita akan tingkatkan kembali potensi mereka pada masa akan datang.
"Kita tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi kerana dari segi keputusan dan hasil ia nombor dua, yang utamanya dari sudut pendedahan atlet untuk bersedia ke arah SUKMA dan kejohanan peringkat tinggi yang lain.
"Tambahan pula pada Oktober nanti, prestasi atlet-atlet ini akan memuncak ketika Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), jadi kejohanan ini dilihat sebagai pendedahan awal untuk mengekalkan prestasi mereka," ujarnya.
14 Sep 24
3986
Dr Sam Sekali Lagi Curi Tumpuan Bawa RXZ
KUALA NERUS, 14 September - Hari ini sekali lagi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencuri tumpuan apabila menunggang motosikal RXZ.
Beliau menunggang motosikal Yamaha RXZ itu sejauh 15 kilometer (KM) bermula dari Kediaman Seri Setia hingga ke Tapak Program RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Negeri Gong Badak.
Pada kali ini sambutan terhadap program berkenaan mendapat sambutan yang sangat luar biasa apabila menerima kehadiran mencecah 80,000 melibatkan peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Program berkenaan dijangka akan berakhir pada jam 6.30 petang.
14 Sep 24
663
Sukan Menyatukan Masyarakat
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 28 September - Dalam menyertai apa jua kejohanan atau aktivti sukan kalah dan menang sudah menjadi adat, yang paling utama adalah silaturrahim itulah paling bermakna.
Seorang penduduk, Sulaiman Jusoh berkata, melalui penganjuran sukan yang diadakan juga turut dapat memupuk kerjasama antara satu sama lain dalam pasukan.
Ujarnya dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM800 pelbagai acara telah diadakan bagi memeriakan program.
"Selain acara tarik tali, turut diadakan Langkah Dirgahayu Negaraku, cabutan bertuah, pertandingan mewarna, shoot bola penalti, shoot bola jaring.
"Serta yang paling menarik ialah bowling buah kelapa yang dibuka penyertaannya kepada muslimat," ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman pada Program Dirghahayu Negaraku Tercinta Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di sini, baru-baru ini.
Program itu turut dihadiri oleh ADUN setempat, Sulaiman Sulong dan isteri, Hafizah Abdul Rahman.
10 Sep 24
209
Polis Tingkatkan Sekatan Jalan Raya Sepanjang 'RXZ Members'
KUALA TERENGGANU, 9 September - Polis akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) sempena dengan program RXZ Members yang akan diadakan pada 13 dan 14 September ini.
Seramai 101 anggota polis serta 50 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditugaskan bagi memastikan keadaan jalan raya terkawal dan selamat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, adalah menjadi rutin dan kebiasaan bagi pihak PDRM dan JPJ mengadakan tugasan itu setiap kali acara tersebut diadakan.
Ujarnya, perancangan tugas selain SJR adalah meliputi 'eskot motoked VVIP', rondaan cegahan samseng jalanan dan risikan Op Samseng Jalanan 42.
"Kita tidak pakai istilah pukat, SJR ini adalah rutin yang perlu kita buat melibatkan seluruh daerah.
"Dengan jangkaan 80,000 yang akan hadir kita tidak mampu untuk melakukan pemeriksaan satu persatu, apa yang diharapkan adalah mereka yang hadir boleh mematuhi undang-undang itu sahaja.
"Sebab sebagai rakyat Malaysia yang memiliki motosikal kita harus mematuhi undang-undang jalan raya, kena ada lesen serta insuran dan mematuhi spesifikasi motosikal yang boleh dipandu di atas jalan raya." ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media sempena RXZ Members di Bilik Mesyuarat Utama IPK Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, apa yang dilakukan adalah bertujuan mengekang kesalahan jalan raya.
"Sebelum ini PDRM juga telah mengadakan sebanyak empat kali perjumpaan bersama pihak penganjur iaitu perjumpaan pertama pada 10 Ogos telah dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Siasatan & Perundangan Trafik Terengganu, Supt. Affandi Hussin dan turut disertai oleh semua Ketua Polis Balai Daerah Kuala Terengganu.
"Juga melibatkan pihak JPJ Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2)," katanya.
Dalam pada itu katanya mengikut arahan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman masih lagi dalam tempoh pelaksanaan Ops Khas Motorsikal bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Sementara itu katanya antara kesalahan yang sering dilakukan adalah seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran fancy, tiada cermin sisi, pengubahsuaian motosikal dan kenderaan tiada cukai jalan dan insuran.
"Kesemua kesalahan ini jika dikenalpasti, maka pemandu kenderaan akan dikenakan saman," tegasnya.
09 Sep 24
587
Terengganu Juara Veteran Badminton MAKSAK
KUALA TERENGGANU, 8 September- Kontinjen Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu muncul juara acara beregu lelaki veteran dalam Kejohanan Badminton MAKSAK yang berakhir hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, peningkatan prestasi pasukan Terengganu turut dibuktikan apabila Terengganu turut muncul naib johan dalam acara perseorangan wanita dan beregu campuran pada kejohanan berkenaan.
"Pada kali ini juga dalam acara kejohanan badminton, MAKSAk Malaysia telah bersetuju menjadikan ia 'single event' yang mana setiap perlawanan akan memberikan markah kepada pasukan. Ia memberikan ruang dan peluang kepada semua untuk pergi ke peringkat lebih tinggi.
"Hari ini, alhamdulillah kita dapat johan veteran, beregu campuran (dan perseorangan wanita) naib johan. Kalau dahulu mungkin ia dimonopoli oleh negeri-negeri tertentu sahaja seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi kali ini kita nampak Pulau Pinang, Melaka dan juga Terengganu sendiri.
"Ia satu langkah yang sihat bagi saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan itu di Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, hari ini.
Dalam kejohanan tersebut, kontinjen Selangor memenangi acara perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.
Manakala, kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul pemenang acara perseorangan lelaki.
Kejohanan Badminton MAKSAK kali ini menghimpunkan 15 pasukan membabitkan 200 atlet.
Kejohanan berkenaan berlangsung selama empat hari bermula Khamis dan berakhir hari ini.
08 Sep 24
781
SUKMA 2024 'Wake Up Call' Buat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 September- Prestasi kontinjen Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, tempoh hari sewajarnya dijadikan suntikan untuk atlet-atlet negeri itu kembali meningkatkan prestasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, jatuh ke kedudukan kelima keseluruhan dalam temasya terbesar itu kali ini menjadi satu kekecewaan buat semua yang terlibat.
"Memang apabila jatuh kita kecewa, dalam masa sama kita anggap ia satu 'wake up call' untuk Terengganu melakukan pascanilai (post-mortem) menyeluruh dan melakukan proses untuk bangkit kembali dengan lebih serius.
"Kita tidak mahu mencipta alasan, tetapi kita mahu memperbaiki semua kelemahan-kelemahan itu dalam tempoh dua tahun bermula daripada sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran pasukan Terengganu Turtles sempena Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 di sini, semalam.
Tambahnya, buat masa ini proses pascanilai sedang dijalankan secara teliti melibatkan semua pihak yang menyertai SUKMA.
"Keseluruhan, belum lagi sebab kita perlu panggil satu demi satu jurulatih, pengurus pasukan untuk mendengar laporan daripada semua berkenaan acara yang dipertandingkan dan keputusan yang dicapai.
"Sebab, justifikasi kegagalan atau semua itu kita akan dengar dari semua, buat masa ini kita belum selesai keseluruhan dan ia berada di bawah tindakan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)," katanya.
06 Sep 24
1535
Terengganu Usul Persatuan Cari Segera Atlet Renang 'Non Muslim'
KUALA TERENGGANU, 6 September- Kemelut isu penyertaan atlet terjun wanita Muslim Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak telah diselesaikan dengan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga telah menganjurkan supaya persatuan lebih giat mencari atlet-atlet dengan menepati syarat ditetapkan.
"Kita telah harmonikan keadaan tersebut. Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) kebanyakannya dipimpin 'non Muslim' dan kesalahan ini kali pertama, jadi kita tidak ambil sikap menghukum dan bila berlaku perkara ini mereka mula faham, dari situ juga apabila kita menghalang bagi SUKMA akan datang, mereka sudah nampak dan tidak timbul lagi persoalan.
"Malah, kerajaan negeri sudah memaklumkan kepada mereka supaya berusaha menyediakan atlet-atlet renang 'non Muslim', malah kita akan bantu berada dalam program pembangunan sebagaimana atlet yang lain, samalah juga dengan atlet gimnastik.
"Kita tidak menghalang 'non Muslim' kerana garis panduan kita membenarkan dan kita tidak halang sebab pengamalan mereka, hak mereka. Bagi (atlet) Muslim pula, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk kita mendidik dan menjaga maruah mereka, itu adalah sikap kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran pasukan Terengganu Turtles bagi saingan Liga Premier Sepak Takraw (STL Premier) 2024, di sini semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri tiada masalah dan akan membenarkan sebarang acara sukan dilaksanakan mengikut syarat yang dibuat.
"Dalam masa yang sama, kalau pihak persatuan renang akuatik negara (Persekutuan Renang Malaysia) dapat mempertimbangkan pakaian yang lebih mesra syariah, tidak mustahil untuk kita mempertimbangkan kembali (perkara ini), tiada masalah," katanya.
06 Sep 24
277
Terengganu Turtles Sasar Kedudukan Terbaik STL
KUALA TERENGGANU, 5 September- Pasukan Terengganu Turtles meletakkan sasaran untuk menempatkan diri di Piala Kejuaraan 2024 apabila turun bersaing dalam Liga Premier Sepak Takraw (STL Premier) 2024.
Biarpun tahun ini merupakan pertama kali bersaing di Liga Premier setelah lima tahun beraksi dalam Divisyen Satu, pasukan pantai timur itu tidak gentar meletakkan sasaran mara lebih jauh pada saingan tahun ini.
Menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, negeri Terengganu sebelum ini dilihat sebagai satu kuasa besar untuk bersaing dalam STL dan setelah lima tahun beraksi di Divisyen satu, Terengganu Turtles akhirnya telah berjaya melangkah ke Liga Premier.
"Kita sedia maklum negeri Terengganu antara negeri pengeluar pemain dan bintang sepak takraw tanah air.
"Harapan kita bukan sahaja persatuan, tetapi untuk membawa suara peminat serta komunti sepak takraw ditambah galakan dan sokongan kerajaan negeri, kita mahu mengembalikan negeri Terengganu sebagai negeri ketiga atau mungkin keempat terbaik dalam saingan STL 2024 kali ini.
"Saya menetapkan sasaran bersama pengurusan kali ini, kalau boleh untuk menjadi 'semi finalist' dalam setiap siri Grand Prix yang berlangsung dan menjadi juara pada siri yang berlangsung di Terengganu nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Terengganu Turtles di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang mewakili kerajaan negeri sebagai sokongan kepada pasukan tersebut yang akan bersaing bermula 11 September nanti.
Dalam pada itu, Hishamuddin berterima kasih kepada PSNT turut meletakkan pemain-pemain bertaraf Sukan Malaysia (SUKMA) dalam saingan lebih mencabar di Liga Premier.
"Satu perkara yang cukup baik dan saya juga agak bersetuju adalah pendedahan mereka (pemain muda) yang berada bersama import yang lebih matang dan boleh mengajar cabaran berada dalam gelanggang, sebab masa depan mereka masih panjang dan bukan sahaja pada liga kali ini, tetapi pada tahun-tahun akan datang.
"Jadi pendedahan seperti ini kita sangat sokong dan kita harap mereka jadi pemain yang lebih berkualiti untuk Terengganu," katanya.
Untuk makluman, sempena penganjuran edisi ke-10 tahun, saingan Divisyen Premier STL mengalami perubahan format pertandingan bermula tahun ini menerusi pengenalan pusingan Grand Prix (GP) di lima lokasi berbeza.
STL akan membuka tirai kejohanan di GP Selangor pada 11 sehingga 15 September sebelum berakhir di GP Johor pada 29 Oktober hingga 2 November depan.
Antara paling menarik ialah penganjuran siri kedua iaitu GP Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak pada 24 hingga 28 September ini.
05 Sep 24
1315
Fokus Lahirkan Bakat Muda Seni Silat
Fokus Lahirkan Bakat Muda Dalam Seni Silat
MARANG, 27 Ogos - Pertubuhan Seni Silat Gayong Jati Malaysia (PSSGJM) Gelanggang Awam Marang yakin mampu melahirkan bakat-bakat muda dalam seni silat sekali gus mengekalkan tradisi warisan itu.
Pengerusinya, Cikgu Suhadi Mohd berkata majlis Ujian Kenaikan Bengkung yang diadakan baru-baru telah memperlihatkan komitmen yang tinggi daripada orang muda.
Katanya, program melibatkan 86 orang (79 Bengkung Pra Putih Cula 1, 7 Bengkung Hijau) daripada Gayong Jati Marang dan 15 orang daripada Gayong Jati Kuala Nerus itu disifatkan sangat berjaya.
“Peserta yang diberi kenaikan bengkung inilah yang akan menggantikan kami di masa depan, mereka ini bakat baru yang juga bakal menggembangkan lagi seni silat gayong,” katanya.
Sementara itu, Ketua Waris Lembaga Adat PSSGJM, Mohd Zakaria Muda berkata, hasil yang dikecapi pertubuhan selama melatih peserta terbabit cukup membanggakan.
Ujar beliau, silat bukan sahaja digunakan sebagai satu seni untuk mempertahankan diri tetapi juga dijadikan sebagai satu aktiviti untuk meningkatkan jati diri terutamanya bagi anak muda.
“Saya berharap anak muda akan diberi pendedahan lebih lagi berkaitan silat dan akan diperluaskan lagi agar warisan kita dapat terus terpelihara
“Usaha ini harus diteruskan untuk generasi akan datang, penganjuran program seperti ini membuktikan seni silat tidak akan mati bahkan sentiasa ada pelapis baru.
“Kita mengharapkan seni silat akan terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.
27 Aug 24
406
Insentif Penerjun Kontroversi SUKMA Belum Diputuskan
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Ada atau tidak insentif untuk atlet terjun yang mendapat pingat atas 'nama Terengganu' di Sukan Malaysia (SUKMA) akan diputuskan selepas mendapat laporan penuh daripada pihak bertanggungjawab.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, beliau akan memutuskan semua itu setelah menerima laporan penuh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam masa terdekat.
"Saya akan tunggu laporan penuh sebelum buat keputusan (pemberian insentif), termasuklah pihak yang dihantar tanpa melalui kerajaan negeri, itu kita akan buat keputusan kemudian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Pembersihan Pantai Batu Buruk yang dirasmikan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di pantai itu, hari ini.
Beliau menegaskan, secara umumnya keputusan untuk insentif belum dimuktamadkan.
"Saya belum buat keputusan lagi sebab saya masih menunggu laporan penuh dari segi pencapaian kita dan apa yang perlu kita buat.
"Sebab yang paling penting, saya rasa ialah bagaimana kita ingin melaksanakan pelan strategi yang lebih kemas supaya dua tahun lagi, kita akan tambah baik keadaan kita.
"Sudah tentulah sasaran kita ke depan ini adalah untuk menjadi juara," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Hishamuddin Abdul Karim mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa penglibatan atlet terjun wanita Muslim negeri itu ke SUKMA Sarawak dibuat tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Ini berikutan pendirian kerajaan negeri Terengganu tentang kod etika berpakaian atlet muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
27 Aug 24
353