lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Kembali?
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Kembali?
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM), satu acara ikonik yang melatari bandar Kuala Terengganu dikhabarkan akan kembali diadakan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris ketika ditanya tentangnya memaklumkan, beliau mengambil cakna tentang acara berkenaan. "LAJSM? Dalam perhatian saya dan kita jangka kebarangkalian akan dianjurkan dalam musim monsun, tetapi saya sedang berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menganjurkannya, kerana kerajaan negeri tidak terlibat dengan penganjuran secara khusus tetapi kita hanya pembimbing sisi sahaja. "Kita hendak orang yang ada roh untuk menjayakan satu-satu acara, kita boleh setuju tetapi jika kita tidak terperinci sebaliknya orang (penganjur) hanya untuk dapatkan bajet, kita tidak berminat. "Ramai yang minta untuk dipullihkan dan saya memang hendak pulihkan, saya hendak cuba jika sempat tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam. Tambahnya, terdapat dua acara larian yang dicadangkan iaitu LAJSM dan Larian Drawbridge. "Tetapi saya rasa tahun ini kita akan buat satu dahulu, kalau LAJSM itu masih ada sejarah dan pelari-pelari masih mahukan, kita akan usahakan yang itu dahululah," katanya. Dalam pada itu, tinjauan di laman Facebook LAJSM mendapati hantaran terakhir di laman itu adalah pada tahun 2023, berkenaan operasi pemulangan semula bayaran kepada peserta LAJSM 202 yang dibatalkan akibat pandemik COVID -19.
06 Oct 24
2515
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan negeri menyeru peminat setia bola sepak untuk terus memberi sokongan penuh kepada Terengganu FC (TFC). Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sokongan penyokong penting bagi menaikkan semangat skuad penyu susulan ketiadaan ketua jurulatih selepas Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan. “TFC mempunyai penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas buat sementara. Tidak bermakna kalau tidak ada (jurulatih) itu terus tergantung begitu sahaja dan kita akan uruskan isu ini, dalam senarai pendek nama calon (ketua jurulatih baharu) sudah ada. “Kepada penyokong tentunya kita nak semua berjalan dengan lancar, tetapi ialah dalam mana-mana perjalanan sekali pun akan ada atas jalan raya kita jumpa dengan jalan tidak ada ‘line’, lubang dan sebagainya. Itu perkara biasa sama juga dengan proses kita untuk memperkukuhkan pasukan bola sepak atau pasukan-pasukan lain, akan ada masalah-masalah. “Yang penting ialah penyokong dan peminat pasukan bola harus bersama dengan pasukan untuk memberi sokongan moral supaya walau apa jua cabaran, kita hadapi secara bersama. Insya-Allah dengan cara itu semangat pasukan dan pemain kita akan meningkat,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, TFC akan melihat kepada kemampuan terutama faktor kewangan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggantikan ketua jurulatih baharu dengan calon tempatan atau import.  
03 Oct 24
237
Pengorbanan Seorang Guru Bantu Pelajar OKU Raih Emas
Pengorbanan Seorang Guru Bantu Pelajar OKU Raih Emas
MARANG, 28 September - Pengorbanan seorang demi melihat anak didiknya yang juga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya dalam sukan lompat jauh berhasil setelah muridnya memperolehi emas peringkat negeri baru-baru ini. Guru Pendikan Khas Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Wan Husni Wan Abdullah, 36, berkata Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sekolah Sukan Negeri Terengganu yang diadakan pada 21-23 Ogos baru-baru ini telah menjadi bukti bahawa Muhammad Ashreil Mikhail Zawawi mampu meraih kejayaan cemerlang. Dengan memperolehi satu pingat emas dalam acara lompat jauh BPL 12 (Masalah pembelajaran lelaki bawah 12 tahun) Muhammad Ashreil juga berjaya memecahkan rekod baru kejohanan.  "Saya berusaha mencari sumbangan untuk kos makan minum, serbuk protein dan telur dan dia juga banyak juga guna duit sendiri. "Persediaan di peringkat kebangsaan pada tujuh sehingga 11 Oktober ini di Stadium Ipoh, Perak juga memerlukan kos kira-kira RM600, hanya untuk Ashreil seorang," ujarnya  kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Katanya demi melihat kejayaan anak muridnya itu beliau telah menghabiskan RM1,400 untuk menampung empat orang pelajar bermula dari tahun lepas bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Daerah dan Negeri, namun hanya Ashreil seorang sahaja yang berjaya ke peringkat kebangsaan. Jelasnya, ia termasuk belanja untuk membeli kasut khas untuk larian, makanan tambahan, ubat-ubatan serta alatan yang lain. "Saya nak ucap terima kasih kepada YB Ustaz Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan) sebab sudi memberi sumbangan kepada Ashreil. "Besar harapan saya agar  Ashreil menang emas dalam lompat jauh, di peringkat kebangsaan dan semoga dia terpilih ke sekolah sukan khas yang akan dibuka di Nilai, Negeri Sembilan melalui panel pemilih," katanya merujuk kepada penyerahan sumbangan olahraga pendidikan khas kepada Ashreil di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pengkalan Berangan baru-baru ini.  
29 Sep 24
142
STL: Terengganu Turtles Bangga Raih Pentas Akhir
STL: Terengganu Turtles Bangga Raih Pentas Akhir
KUALA NERUS, 29 SEPTEMBER- Terengganu Turtles tewas kepada juara bertahan, KL Thunder 2-0 di pentas akhir Grand Prix (GP) Terengganu Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) Premier, semalam. Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu, Terengganu Turtles tewas 7-15 pada set pertama dan 11-15 di set kedua untuk muncul sebagai naib juara bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000. Pengurus pasukan, Wan Shahrul Nizam Wan Shafi'i bagaimanapun bangga dengan pencapaian tersebut. "Secara keseluruhannya sasaran kita adalah sehingga peringkat separuh akhir namun, Alhamdulillah kita lolos ke akhir dan ia satu bonus kepada kita apatah lagi beraksi di bumi Terengganu sendiri  "Bagi perlawanan hari ini, kita sudah jangka pasukan yang diturunkan itu, tetapi kita tidak dapat menyesuaikan diri bermain kerana variasi tekong mereka sukar dibaca, kita cuba bangkit pada set kedua dan beri tentangan, Alhamdulillah kita dapat beri tentangan yang baik. "Ini akan jadi pemangkin untuk pasukan kita menghadapi GP seterusnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan akhir yang menyaksikan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim. Hadir sama, ialah Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 1, YM Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Sharizal Yahaya dan Pengurus Pemasaran Emas Anuar Sdn Bhd, Mohd Jefri Rusli.  Dalam pada itu, Wan Shahrul Nizam optimis dengan perkembangan pasukannya untuk baki sirkit yang akan datang. "Pencapaian yang lebih baik berbanding di GP Selangor, perlu dibanggakan dan kita perlu bersyukur setelah lima tahun dalam Divisyen Satu, tahun ini merupakan tahun pertama kita menyaksikan pencapaian kita kepada pentas akhir. "Kita lebih mengetengahkan pemain tempatan kita sendiri yang kebanyakan mereka kita letakkan sasaran tertentu untuk jangka masa dua ke tiga tahun, Khairul Aman, Alif (Mursyid), Afif (Jazimin) itu pemain-pemain aset negeri Terengganu untuk akan datang yang mana dalam dua tiga tahun, kita yakin akan mempunyai skuad yang begitu mampan." "Saya ambil kesempatan untuk berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya exco sukan kita, YB Hishamuddin yang begitu bersemangat memberi sokongan kepada kami. Kita akan cuba lagi pada GP Perak, Pulaun Pinang dan Johor untuk lolos ke Piala Kejuaraan nanti," katanya.        
29 Sep 24
2066
Gol Awal Buat TFC Gigit Jari
Gol Awal Buat TFC Gigit Jari
KUALA TERENGGANU, 28 September - Kesilapan pemain tengah, Marin Pilj yang hilang bola di luar kotak penalti membuat Terengganu FC gigit jari apabila tewas 0-1 kepada Selangor di sebentar tadi. Dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Selangor mencipta jaringan seawal saat ke-28 selepas Marin gagal mengawal bola dengan baik. Kelekaan pemain import Terengganu itu dimanfaatkan Ronnie Fernandez yang menerima hantaran daripada Yohandry Orozco. Jaringan awal tersebut ternyata menyentak semangat pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner. Skuad tuan rumah cuba mencari gol penyamaan dengan beberapa serangan ke kubu Selangor, namun ketumpulan jentera serangan menghampakan peminat sang Penyu. Selangor yang memiliki kelebihan satu jaringan menerapkan strategi bertahan dan hanya menunggu untuk melakukan serangan balas. Skuad Nidzam Jamil hampir menambah jaringan kedua selepas Marin sekali lagi hilang bola di kawasan tengah, namun pertahanan Terengganu berjaya mematahkan serangan balas itu. Keputusan 0-1 memihak skuad merah kuning kekal hingga tamat babak pertama. Bersambung babak kedua, Terengganu mengubah corak permainan dengan lebih banyak serangan ke bahagian pertahanan Selangor. Selepas beberapa pertukaran Terengganu banyak memberikan masalah buat benteng pertahanan Selangor dan menguasai sepenuhnya perlawanan. Kemasukkan Akram Mahinan menghidupkan bahagian tengah Terengganu dan menghasilkan beberapa serangan menarik, namun pemain pertahanan gergasi merah kekal berdisplin menafikannya. Beberapa percubaan Terengganu pada babak kedua gagal membawa sebarang hasil sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan. Keputusan kekal 0-1 dengan Selangor berjaya membawa pulang tiga mata berharga ke Shah Alam.
28 Sep 24
138
STL: Terengganu Turtles Ke Pentas Akhir
STL: Terengganu Turtles Ke Pentas Akhir
KUALA NERUS, 28 September - Terengganu Turtles mengharungi dua aksi dramatik dalam usaha melangkah ke pentas akhir Grand Prix Terengganu, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) 2024. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu, tuan rumah menewaskan Selangor Pistons menerusi pertarungan tiga set 17-15, 13-15 dan 15-13 bagi saingan peringkat suku akhir yang berlangsung malam tadi. Pada tengahari tadi pula, di peringkat separuh akhir Terengganu Turtles menafikan cabaran PDRM Defenders, juga melalui penentuan rubber set 15-8, 6-15 dan 15-11. Malam ini, tuan rumah mengharapkan sokongan 'rumbu' rakyat Terengganu ke Gong Badak dalam melayan juara GP Selangor bagi sirkit pertama, KL Thunder.            
28 Sep 24
325
STL: Terengganu Turtles Mara Ke Suku Akhir
STL: Terengganu Turtles Mara Ke Suku Akhir
KUALA NERUS, 26 September - Terengganu Turtles berjaya melayakkan diri ke suku akhir Grand Prix (GP) Terengganu Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) Premier setelah menewaskan Bomba Fighters 2-0, sebentar tadi. Pasukan pantai timur itu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabilla gandingan regu Zulkifli Abdul Razak, Aman Mohd Rosdi dan Afif Jazimin mudah menamatkan set pertama 15-5. Bomba Fighters cuba menghidupkan cabaran pada set kedua apabila bangkit mengejar 12-13. Namun, gema sorakan penyokong tuan rumah di Stadium Tertutup Gong Badak menyuntik semangat pemain Terengganu Turtles untuk menamatkan saingan dengan kemenangan straight set 15-12. Undian bagi perlawanan suku akhir yang berlangsung esok menyaksikan Terengganu Turtles bakal melayan kunjungan Selangor Pistons pada jam 9.30 malam esok.    
26 Sep 24
287
Terengganu FC Gigit Jari
Terengganu FC Gigit Jari
KUALA NERUS, 25 September - Pasukan Terengganu FC gagal mendapatkan tiga mata penuh dalam saingan Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup 2024, setelah sekadar seri 2-2 menentang Dong A Thanh Hoa (DATH) FC, sebentar tadi. Sekalipun mendahului dua gol di awal perlawanan, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner gagal menyekat kebangkitan kelab Vietnam itu pada separuh masa kedua. Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sang Penyu bermula garang dengan menguasai perlawanan seawal minit pertama. Tuan rumah cuba memanfaatkan kelebihan laman sendiri untuk mencetak jaringan awal namun tiada percubaan tepat ke arah gol. Pada minit ke-22, pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid berjaya memecah kebuntuan apabila bijak menewaskan dua pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol, Trinh Xuan Hoang dengan rembatan rendah untuk gol pertama tuan rumah. Terengganu FC terus tenang mengawal permainan sekalipun DATH FC cuba untuk bangkit. Memasuki minit ke-41, Manuel Ott sekali lagi menambah duka pelawat apabila menyudahkan hantaran lintang Azam Azmi untuk gol kedua perlawanan, Terengganu FC mendahului 2-0. DATH FC bagaimanapun bangkit merapatkan kedudukan kepada 2-1 setelah Luiz Antonio Soares menyempurnakan sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin pada minit-minit terakhir separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, pasukan pelawat lebih agresif mengkucar-kacirkan kubu Sang Penyu. Kesilapan Ubaidullah Shamsul Fazili mengeluarkan bola dari kawasan sendiri akhirnya menghadiahkan jaringan penyamaan kepada DATH FC pada minit ke-52 apabila tertampan bola ke gawang sendiri. Pada minit ke-77, Ubaidullah hampir menebus kesilapannya apabila menyambut bola muntah hasil sepakan percuma Marin Pilj, bagaimanapun rembatannya dinafikan tiang gol. Tuan rumah terus buntu menjelmakan jaringan kemenangan sehingga wisel penamat dibunyikan. Keputusan seri 2-2 pada aksi kedua saingan ACC Shopee Cup meletakkan Terengganu di kedudukan kelima dalam kumpulan A.              
25 Sep 24
434
Ayuh! Sokong Terengganu Turtles Malam Ini
Ayuh! Sokong Terengganu Turtles Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 24 September - Peminat sukan sepak takraw dijemput hadir beramai-ramai menyaksikan Sirkit kedua Liga Sepak Takraw (STL) pada GP Terengganu yang bermula hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menyeru rakyat Terengganu hadir beramai-ramai menyokong pasukan Terengganu Turtles yang akan menentang Penang Black Panther pada jam 9.30 malam ini di Stadium Tertutup Gong Badak Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Menurutnya, Bagi GP Terengganu, pasukan tuan rumah juga akan menghadapi Bomba Fighter dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C pada malam esok. "Pastinya, persaingan dan perlawanan yang penuh dengan aksi menarik dari setiap pasukan dalam Kejohanan STL 2024. "Sama-sama kita mengunjungi dan menonton perlawanan ini. Pastikan kita memberikan sokongan penuh buat pasukan tuan rumah, Terengganu Turtles," jelasnya melalui hantaran terbaru di Facebook peribadinya, hari ini. Terengganu Turtles kini berada di kedudukan ketujuh STL Premier setelah saingan sirkit pertama GP Selangor, dengan 10 mata.  
24 Sep 24
4952
Program Komuniti DUN Bukit Payung Dapat Sambutan Hangat
Program Komuniti DUN Bukit Payung Dapat Sambutan Hangat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Program Komuniti DUN Bukit Payong (PROKOM@DBP) yang berlangsung di Dataran Padang Bola Sepak Kampung Atas Tol kelmarin mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Program yang dianjurkan sempena sambutan N18 Sejahtera berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti. Acara dimulakan dengan perarakan maulidur rasul diikuti dengan persembahan silat serta persembahan nasyid dari kumpulan Soutul Muhibbin yang memukau hadirin. Selain itu, pertandingan hafazan, azan, serta acara sukan rakyat seperti tarik tali turut memeriahkan suasana. Antara yang paling mendapat perhatian ialah sesi bicara cinta Rasul & Qasidah yang penuh penghayatan serta gol soccer untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun, yang memberikan kegembiraan kepada anak-anak kecil. Pameran agensi kerajaan dan sukaneka wanita juga tidak ketinggalan menyemarakkan lagi program ini. Program ini turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat serta penyampaian hadiah cabutan bertuah, hadiah utama berupa pakej percutian dua hari satu malam (2H1M) menjadi tumpuan utama peserta yang menanti dengan penuh debaran. Dengan tema 'N18 Sejahtera' program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk merapatkan silaturahim di kalangan penduduk setempat serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana penuh harmoni. ADUN Bukit Payung, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, beliau berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan pengisian yang lebih mantap dan bermanfaat buat komuniti setempat.
18 Sep 24
243