lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
SUKSEM : Platform Bertukar Pandangan Bukan Sekadar Membuktikan Kekuatan
KUALA  NERUS, 15 Oktober - Para kontinjen di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) diingatkan agar tidak menjadikan acara sukan itu sebagai gelanggang untuk beradu kekuatan semata-mata sebaliknya ia perlu dijadikan platform untuk saling bertukar pandangan memperkasakan negeri masing-masing. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata selain itu ia juga boleh dijadikan medan untuk menjalinkan persahabatan serta kesatuan yang kuat antara semua kakitangan pejabat-pejabat SUK seluruh Malaysia. "Temasya SUKSEM pada kali ini bakal memperlihatkan sebanyak 12 pejabat SUK seluruh Malaysia yang berentap merebut johan keseluruhan menerusi 10 acara yang dipertandingkan. "Temasya pada kali ini melibatkan seramai lebih 2,448 atlet, pegawai dan urus setia kejohanan daripada 12 pejabat SUK seluruh Malaysia. "Ini tidak termasuk ketua-ketua jabatan yang turut hadir menyokong pasukan masing-masing yang akan bertanding serta pasukan teknikal kejohanan yang akan menjayakan temasya sukan ini yang dianggarkan lebih 500 orang yang akan turut serta," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya SUKSEM Kali Ke-9, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam. Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Mengulas lebih lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran sukan itu pada kali ini akan turut memberi rangsangan ekonomi kepada penduduk setempat. "Ini dapat membantu ekonomi penduduk tempatan di sekitar Kuala nerus dan Kuala Terengganu khususnya yang akan mendapat limpahan ekonomi daripada penganjuran pada kali ini," ujar beliau. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan tahniah atas kejayaan penganjuran SUKSEM itu. "Saya difahamkan pejabat SUK Terengganu hanya mengambil masa kurang dua bulan dilantik sebagai tuan rumah buat pertama kalinya terus mengambil tanggungjawab dan memulakan persiapan ke arah pelaksanaanya pada kali ini.  "Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola dan seluruh jentera, persatuan-persatuan sukan, para kontinjen dan semua yang terlibat kerana dapat berganding  tangan menjayakan Temasya SUKSEM Kali Ke-9 yang gemilang ini," ujarnya.  
15 Oct 24
300
SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton
SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) menjadi tumpuan pada pagi ini apabila tampil cemerlang menerusi sukan badminton di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) kali ke-9 yang bermula pada pagi ini dengan mengalahkan SUK Melaka. Kejayaan memenangi lima perlawanan menerusi dua regu lelaki, satu regu wanita dan perseorangan lelaki menyaksikan Terengganu bermula langkah kanan. Pengurus Badminton SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata, pada tahun ini atlet badminton bersemangat untuk memperbaiki pencapaian pada tahun sebelum ini yang hanya berjaya mara ke peringkat suku akhir. " Alhamdulillah, di peringkat kumpulan pasukan Terengganu telah melepasi halangan pertama pada pagi ini dengan menang kesemua set  5-0 melawan pasukan Melaka. "Kita berharap agar momentum ini diteruskan untuk perlawanan kedua pada sesi petang ini dengan memastikan sasaran utama kita untuk muncul juara peringkat kumpulan akan dapat dicapai," ujarnya. Beliau yang juga merupakan ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan)  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas berakhir perlawanan pasukan Badminton SUK Terengganu melawan SUK Melaka, di Stadium Negeri, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut Asrur berkata, secara tradisinya sukan badminton di peringkat SUKSEM selalunya didominasi oleh Sabah dan Sarawak. "Kali ini kita melihat Johor pun ada sedikit peningkatan dan insya-Allah pada kali ini kita akan cuba menyaingi pasukan-pasukan ini. "Namun perjalanan ini masih jauh masih terlalu awal, namun kita akan cuba mengatur strategi bagi memastikan edisi pada kali ini kita akan muncul sebagai juara," ujarnya.  
15 Oct 24
738
SUKSEM IX Himpun 2,448 Atlet di Terengganu
SUKSEM IX Himpun 2,448 Atlet di Terengganu
KUALA NERUS, 14 Oktober - Seramai 2,448 atlet dari seluruh negara berhimpun di Terengganu bagi menjayakan Temasya Sukan SUK Se- Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) yang bermula hari ini. Temasya sukan dwi tahunan itu mempertandingkan 10 jenis sukan pada edisi kali ini iaitu bola jaring, bola sepak, sepak takraw, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, golf, karom dan e-sukan. Dalam acara pembukaan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar dengan gimik meletakkan obor SUKSEM IX di pentas utama. Selaku tuan rumah, kontinjen SUK Terengganu hadir dengan 204 atlet bagi merebut tampuk kejuaraan SUKSEM IX sepanjang empat hari kejohanan berlangsung. Berdsarkan rekod, SUKSEM pertama kali diadakan pada 2004 dengan lima acara dipertandingkan. Pada tahun tersebut, kontinjen SUK Sabah muncul sebagai juara sulung. Manakala, penganjuran edisi terakhir yang berlangsung di Selangor pada 2022 menyaksikan kontinjen SUK Sarawak dinobatkan sebagai juara.  
14 Oct 24
370
'Ia Tempoh Yang Lama Untuk Kembali Juara'
'Ia Tempoh Yang Lama Untuk Kembali Juara'
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober- Itu luahan Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun setelah pasukannya bergelar juara Piala Tun Abdul Razak 2024. "Tidak boleh kata apa, sepanjang lapan tahun itu sudah lima kali kami muncul naib johan dan tempat ketiga. ia tempoh lama untuk merasai bergelar juara lagi. "Syukur, setelah lapan tahun kami menunggu untuk juara kerana sebelum ini format diperkenalkan Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) tidak berpihak sangat kepada kita menyebabkan dalam kebanyakan kejohanan, pemain-pemain senior kita tidak dapat beraksi. "Pada edisi kali ini, ia dibenarkan dan ramai kelompok pemain terengganu yang bermain kebangsaan dapat beraksi," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini semalam. Fikri turut merakamkan rasa terima kasih kepada semua penaja pasukan hoki lelaki dan wanita yang membantu secara tidak langsung meraih kejayaan tersebut. Tambahnya, selepas ini PHT akan terus mempergiatkan usaha untuk bukan sahaja memperlihatkan kejayaan peringkat atasan, tetapi mewujudkan beberapa program pembangunan terutamanya kejohanan peringkat kebangsaan di negeri Terengganu. "Begitu juga dengan mengadakan klinik-klinik hoki yang melibatkan pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) sebagai mentor. Itu fokus kami pada masa akan datang," ujarnya.  
14 Oct 24
548
Perodua Myvi, RM37,000 Hadiah Buat Yang Bertuah di IGMR 2024
Perodua Myvi, RM37,000 Hadiah Buat Yang Bertuah di IGMR 2024
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Terengganu Inc. Challenge Series: International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) bakal menawarkan hadiah lumayan berkeseluruhan RM37,000 bagi acara yang dipertandingkan, dan sebuah Perodua Myvi sebagai hadiah utama untuk cabutan bertuah pada edisi kali ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim percaya, hadiah lumayan yang ditawarkan bakal menarik minat peserta tempatan dan luar negara. “Selain kenderaan tersebut sebagai hadiah utama, pelbagai hadiah istimewa turut ditawarkan melalui cabutan bertuah seperti wang tunai, sebuah basikal, barangan elektrik dan elektronik seperti iPhone 15, iPad, TV Flat Screen, peti sejuk dan lain-lain. “Cabutan bertuah ini bertujuan untuk menambah kemeriahan acara dan menghargai penyertaan aktif daripada semua pihak. “Kejohanan ini merupakan salah satu daripada acara Terengganu Inc Challenge Series yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan Negeri, bermula sejak tahun 2019 dan kini memasuki edisi keenam, IGMR 2024 dijangka bakal menarik lebih 1,000 peserta tempatan dan juga dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran IGMR 2024 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini semalam. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Terengganu Inc; Burhanuddin Hilmi Mohamad@Harun, Pengarah Eksekutif TDM Berhad; Najman Kamaruddin dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT); Ahmad Azizi Zulkifli. Pelumba profesional terkenal dari Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh, telah diumumkan sebagai ikon jersi rasmi kejohanan. Tambah Hishamuddin, Penganjuran IGMR 2024 bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan sukan berbasikal di Malaysia, tetapi juga sebagai usaha memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi utama bagi pelancongan sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan berbasikal, juga sebagai hab sukan bertaraf antarabangsa. “Program seperti ini dapat memupuk semangat perpaduan, mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat. “Ia juga meningkatkan rasa bangga terhadap negeri Terengganu yang bergelar sebagai ‘Land of Cyclists’ dengan menawarkan pengalaman berbasikal mencabar, namun mempesonakan melalui laluan-laluan yang penuh dengan pemandangan indah dan juga penuh cabaran. “Sekalung tahniah saya ucapkan kepada penganjur utama tahun ini TDM Berhad, dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), PLBT, TSG, dan syarikat-syarikat GLC di bawah payung Kumpulan Terengganu Inc, moga dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya. Untuk rekod, kejohanan tersebut terbuka kepada semua yang berjaya mendaftarkan diri  sebelum 20 Oktober, dan bakal berlangsung pada 14 Disember di PSKT. Acara yang dipertandingkan adalah MTB Race and Jamboree sejauh 30 km melibatkan 12 kategori iaitu Elite, Men Open A, Men Open B, Men Master A, Men Master B, Men Veteran A, Men Veteran B, Men Junior, Women Open, Women Super Mama, E-Bike dan Heavy Weight. Selain itu, terdapat kategori Fun Ride (on road) sejauh 39 km bagi peserta yang minat berbasikal tetapi tidak bertanding. Maklumat lanjut mengenai IGMR 2024 boleh didapati di laman sosial rasmi Terengganu Inc Challenge Series.    
13 Oct 24
323
Lapan Tahun Menanti, Terengganu Genggam Piala Tun Abdul Razak
Lapan Tahun Menanti, Terengganu Genggam Piala Tun Abdul Razak
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Pasukan Hoki Terengganu mengakhiri kemarau kejuaraan selama lapan tahun dengan merangkul Piala Tun Abdul Razak 2024, malam tadi. Kejayaan bersejarah itu hadir selepas Terengganu bangkit dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Taman Daya, Johor Bahru. Skuad kendalian Asrul Hisyam Ahmad itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan terbabit sekalipun dikejutkan jaringan awal tuan rumah menerusi Muhammad Faris Ros Fadillah pada minit ke-26. Terengganu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak sebelum Muhammad Aiman Nik Rozemi meletakkan Terengganu di depan 2-1 dengan jaringan pada minit ke-43. Johor cuba bangkit untuk meraih detik bersejarah di halaman sendiri, tetapi penjaga gawang Speedy Tigers, Zaimi Mat Deris kemas menjaga pintu gol Terengganu. Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi yang merupakan gelaran ketiga pada kejohanan itu selepas berbuat demikan pada 2012 dan 2016. Penyerang, Faizal Saari juga meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan selepas meledakkan 19 gol untuk Terengganu. Pencapaian menjulang Piala Tun Abdul Razak 2024 menjadi detik penuh warna-warni skuad hoki Terengganu setelah menamatkan saingan sebagai naib juara pada saingan Liga Hoki Malaysia tahun ini. Dalam pada itu, jutaan tahniah turut dirakamkan buat Pasukan Hoki Wanita Terengganu atas kejayaan meraih tempat ketiga dalam Piala Tun Abdul Razak edisi ke-62.    
13 Oct 24
605
Tengku Muhammad Ismail Saksi Kemenangan Terengganu
Tengku Muhammad Ismail Saksi Kemenangan Terengganu
KUALA NERUS, 13 Oktober - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan aksi suku akhir Piala Agong 2024 yang mempertemukan pasukan Terengganu menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam. Keberangkatan tiba baginda di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Hishamuddin Abdul Karim pada jam 3.00 petang. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rasid Jusoh dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohammad. Pada perlawanan berkenaan, Terengganu menewaskan ATM 39-29 untuk menempah tempat ke separuh akhir Piala Agong 2024. Terengganu mendahului ATM pada separuh masa pertama dengan keputusan 24-8. Tuan rumah menambah derita pelawat dengan dua try, satu conversion dan datu penalti pada separuh masa kedua. ATM cuba bangkit dengan melakukan tiga try dan tiga conversion, tetapi tidak berjaya menafikan kemenangan Terengganu di bumi Darul Iman.    
13 Oct 24
5129
Terengganu Sokong Usaha Cungkil Bakat Sukan di Akar Umbi
Terengganu Sokong Usaha Cungkil Bakat Sukan di Akar Umbi
KUALA NERUS, 10 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mempergiatkan pembangunan sukan di akar umbi menerusi penganjuran kejohanan sukan di pelbagai peringkat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata,  pembangunan yang sistematik bermula daripada peringkat akar umbi, mampu memajukan sukan tanah air. “Kita mempunyai ramai pemain berbakat dan mereka perlu digilap daripada peringkat kampung lagi agar suatu masa nanti, kita mempunyai pemain yang berkualiti tinggi. “Kerajaan negeri menyokong penuh usaha untuk mengadakan pertandingan sukan termasuk bola sepak di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). “Jika memerlukan sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri, kita boleh berbincang, sebelum ini dah banyak kita keluarkan peruntukan untuk membantu pembangunan sukan di akar umbi,” katanya dalam program ‘Temu Mata Anak Muda’ di Warung Pok Pin, Kampung Padang Maras, Batu Rakit semalam. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan anak muda DUN Batu Rakit berhubung penganjuran sukan bawah 20 tahun.  Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Harun Esa. Dalam perkembangan lain, menjawab pertanyaan tentang pembinaan rumah untuk belia, Hishamuddin berkata agenda itu sentiasa menjadi tumpuan Kerajaan Negeri. “Sudah banyak projek perumahan yang meliputi pelbagai peringkat umur kita bina walaupun ada kekangan tertentu. Yang pastinya, penyaluran Dana Khas atau royalti yang tidak mengikut kebiasaan menambahkan kerumitan pihak kerajaan negeri.  "Insya-Allah di sebalik tekanan yang ada, kita akan terus berusaha bagi memastikan rakyat Terengganu yang layak menikmati kemudahan ini," katanya. Untuk rekod, program 'Temu Mata Anak Muda' semalam adalah siri kedua selepas DUN Langkap. Program tersebut bagi menyampaikan peralatan sukan kepada pihak DUN di samping slot sembang santai anak muda berkait Kerajaan Negeri dan isu setempat.
10 Oct 24
203
Piala Tun Abdul Razak 2024: Terengganu Intai Dua Tempat di Separuh Akhir
Piala Tun Abdul Razak 2024: Terengganu Intai Dua Tempat di Separuh Akhir
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Setelah membelasah Negeri Sembilan dengan jaringan 10-0 semalam, pasukan hoki lelaki Terengganu mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B dalam saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2024. Setelah lima perlawanan, Terengganu mengumpul 15 mata  meraih kemenangan dalam semua perlawanan dan menempah slot ke peringkat separuh akhir.  Hanelang akan bertemu Sabah dalam aksi terakhir Kumpulan B, pada jam 3.00 petang esok bagi memastikan rekod bersih kemenangan peringkat kumpulan. Dalam pada itu, pasukan hoki wanita Terengganu kini berada di tangga kedua kumpulan B dengan tujuh mata di belakang pendahulu, Young Tigress yang mengumpul 10 mata. Pasukan wanita akan turut beraksi pada jam 7.30 pagi menentang Melaka dalam perlawanan terakhir untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.  
08 Oct 24
522
Tour Gateh d'Tranung Pikat Pelumba Antarabangsa
Tour Gateh d'Tranung Pikat Pelumba Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kejohanan Tour Gateh d'Tranung (TGdT) semakin mendapat tumpuan apabila penganjuran kali ketiga yang akan berlangsung 22-28 Oktober ini berjaya menarik penyertaan 10 pasukan berbasikal profesional luar negara. Pasukan dari Belanda, Global Cycling Team akan turut disertai Sunrimoon Cycling Team yang berpangkalan di China bersama tiga pasukan dari Indonesia iaitu NC Pro Cycling Team, Nusantara Cycling Team dan ASC Monster Cycling Team. Selain itu, ia turut disertai Australia Velofit Cycling Team, Grant Thorton Cycling Team (Thailand), Spacialized Maverick Cycling Team (Singapura), Seven Eleven Cycling Team (Filipina) dan RCF Cycling Team yang berpangkalan di Malaysia tetapi menampilkan gabungan pelumba Eropah dan Asia. Pasukan-pasukan itu melengkapkan jumlah 25 pasukan bertanding melibatkan 13 pasukan kelab profesional dan 12 pasukan kelab tempatan yang akan menakluki bumi Terengganu hujung bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, penglibatan pasukan-pasukan antarabangsa memberi keyakinan usaha mempromosikan negeri sebagai destinasi pelancongan sukan dan mengangkat Terengganu sebagai 'Land of Cyclist' berada di landasan yang betul. "Impak paling ketara, kelab luar berhasrat menyertai perlumbaan ini selepas habis siri kedua tahun lalu yang mana mereka terus hubungi kita untuk tempah slot bagi siri ketiga kali ini. "Antara punca penyertaan mereka rancak pada tahun ini adalah kerana 'live streaming' yang telah disediakan penganjur, bertambah berbanding dua pasukan (antarabangsa) sahaja tahun lalu. "Sebenarnya kita menerima tawaran lebih 30 pasukan, tetapi terpaksa dihadkan kepada 25 pasukan sahaja," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media TGdT di Wisma Darul Iman, hari ini. Hadir sama Timbalannya, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Hishamuddin menjelaskan, penganjur kejohanan menghadkan pasukan bagi menepati syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan bahawa setiap perlumbaan menerima penyertaan tidak melebihi 200 pelumba. Tambahnya, sekalipun kejohanan berkenaan belum bertaraf UCI, syaratnya diikuti dalam usaha meningkatkan nilai dan prestij kejohanan. TGdT menawarkan perlumbaan sejauh 671.3 kilometer merangkumi lima peringkat. Peringkat pertama akan bermula di Dungun, Marang (Peringkat kedua), Hulu Terengganu (ketiga), Kuala Nerus (keempat) dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu (kriterium).
07 Oct 24
622