lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

SUKSEM: Boling Padang Sumbang Emas Kedua Terengganu
SUKSEM: Boling Padang Sumbang Emas Kedua Terengganu
KUALA NERUS, 17 Oktober - Pasukan Boling Padang SUK Terengganu muncul juara setelah menewaskan Pahang 5-0 dalam perlawanan akhir Kejohanan Boling Padang Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX), hari ini. Kejayaan itu menyaksikan skuad berkenaan menyumbang pingat emas kedua buat kontinjen Terengganu, selepas pasukan badminton meraih pingat pertama dalam perlawanan pagi tadi. Dalam perlawanan di Lawn Bowls Arena Terengganu petang ini, skuad Hanelang berdepan tentangan sengit pelawat seawal permainan. Namun, kesemua regu berjaya kembali mendominasi perlawanan untuk muncul juara. Manakala, tempat ketiga dimenangi Perak yang menewaskan Johor 4-1. Majlis penyampaian hadiah dan piala disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Bersama-sama beliau menyampaikan pingat kemenangan ialah TSUK (Pengurusan) Pahang; Dato' Dr Mohd Zakaria Ibrahim dan TSUK (Pengurusan) Perak; Dato' Nor Sham Rahman. Hadir sama, ketua kontinjen Terengganu yang juga merupakan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan; Yusaini Amir Mohamad Nor, Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Pahang; YM Tengku Dato' Asmaliza Ku Lah serta Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan.  
17 Oct 24
661
SUKSEM: Terengganu Jumpa Perak di Separuh Akhir
SUKSEM: Terengganu Jumpa Perak di Separuh Akhir
KUALA NERUS, 16 Oktober - Pasukan bola jaring Terengganu meneruskan aksi cemerlang di peringkat suku akhir setelah menewaskan Selangor 31-15 di Stadium Tertutup Gong Badak, sebentar tadi. Skuad Hanelang bermula garang dengan mendahului lawan 11-3 pada permulaan permainan. Bagaimanapun, Selangor yang memasukkan penyerang (GS) gantian berjaya mengubah permainan dan merapatkan kedudukan kepada 6-12 sebelum masa pertama ditamatkan. Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat lebih agresif menambah jaringan. Selangor dilihat semakin kerap melakukan jaringan untuk merapatkan kedudukan. Namun, kesungguhan tuan rumah mengekalkan tempo permainan secara agresif, berjaya mengekang kebangkitan pelawat. Keputusan akhir perlawanan membolehkan Terengganu melangkah ke separuh akhir untu bertemu Perak, jam 3.00 petang ini.  
17 Oct 24
572
SUKSEM: Sang Penyu Tunggu Tok Gajah di Pentas Akhir
SUKSEM: Sang Penyu Tunggu Tok Gajah di Pentas Akhir
KUALA NERUS, 16 Oktober - Pasukan Terengganu menang selesa ke atas Johor 5-0 untuk melangkah ke pentas akhir Kejohanan Boling Padang Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX), sebentar tadi. Kemenangan itu menyaksikan pasukan Terengganu akan bertemu Pahang dalam perlawanan akhir pada jam 4.00 petang ini di Lawn Bowls Arena Terengganu. Pengurus pasukan, Wan Muhd Masyum Wan Harujan berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya. "Alhamdulillah semua beri sepenuh perhatian dan semangat. Kalau kita tengok markah dipaparkan, semua berjaya dapatkan mata yang tinggi. "Setakat ini, kita akan mengekalkan strategi sama cuma susunan pemain kita akan lihat lawan selepas ini. "Kita akan tengok perlawanan antara Perak dan Pahang dalam separuh akhir ini," katanya ketika ditemui di Lawn Bowls Arena Terengganu, hari ini. Dalam pada itu, pertemuan Pahang dan Perak menyaksikan pasukan Pahang menang tipis 3-2 untuk melangkah ke pentas akhir.  
17 Oct 24
173
SUKSEM : Regu Wanita Bantu Terengganu Raih Emas
SUKSEM : Regu Wanita Bantu Terengganu Raih Emas
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pasukan badminton Terengganu memperoleh emas setelah regu wanitanya berjaya menghadiahkan kemenangan dalam aksi penentu di perlawanan akhir menentang Sabah di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia Kali Ke-9. Terengganu walaupun pada awalnya selesa mengatasi Sabah 2-0 melalui regu pegawai dan regu veteren, terpaksa berhempas pulas setelah Sabah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi dua regu dalam acara terbuka. SUK Terengganu berjaya dinobatkan pemenang pingat emas setelah regu wanitanya mencipta kemenangan sekali gus meletakkan kedudukan akhir 3-2. Pengurus Badminton, SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata kemenangan di peringkat akhir itu menjadi bonus buat pasukannya dan melepasi sasaran. "Ini merupakan satu bonus untuk kita menjuarai kejohanan badminton SUKSEM pada kali ini kerana pasukan yang kita hadapi bukan calang-calang sebaliknya merupakan juara bertahan pada edisi yang lepas. "Alhamdulillah, ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna setelah kita mengharungi segala cabaran yang boleh dikatakan semua negeri yang menyertai acara ini menghantar pasukan yang kuat," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan) berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton SUKSEM di Stadium Negeri, di sini, hari ini. Tambah beliau, pada edisi yang lalu Terengganu hanya mampu melangkah sehingga ke peringkat suku akhir "Tahniah juga kepada pasukan saya atas kemenangan ini setelah berusaha dan memberikan komitmen yang terbaik terutamanya kepada pemain, tiada dilupakan pihak pengurusan arasan dari Pejabat SUK yang turut hadir memberikan sokongan," ujarnya.  Dalam pada itu, Timbalan Setiausa Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) , Ab Rasid Jusoh telah menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton itu iaitu Terengganu (emas), Sabah (Perak) dan Sarawak (gangsa).
17 Oct 24
717
SUKSEM: Atlet Pingpong Kedah Meninggal Dunia
SUKSEM: Atlet Pingpong Kedah Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Pemain pingpong kontinjen SUK Kedah, Abdul Halim Md. Daud, 54, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira jam 9.15 malam tadi. Setiausaha Kerajaan Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukan SUK Se-Malaysia Ke-9 (SUKSEM IX), Tengku Seri Bijaya Raja menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan kontinjen Kedah berikutan kehilangan itu. Beliau berharap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan reda dengan kehilangan insan tersayang itu.  Pada kejadian sebelah petang tadi, Allahyarham Abdul Halim Md. Daud, 54, dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), selepas tidak sedarkan diri, ketika menyertai perlawanan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus. Pada awalnya, Allahyarham mengadu tidak sedap badan ketika berehat sejurus menamatkan acara itu. Allahyarham dipindahkan dari HoSZA ke HSNZ untuk diberikan rawatan rapi kira-kira jam 6.20 petang. Difahamkan, keluarga allahyarham dari Kedah juga sudah selamat tiba di Kuala Terengganu bagi urusan menuntut jenazah dan dibawa pulang ke kampung halaman.  
16 Oct 24
587
SUKSEM: Atlet Kedah Kritikal, Dikejarkan ke HoSZA
SUKSEM: Atlet Kedah Kritikal, Dikejarkan ke HoSZA
KUALA NERUS, 16 Oktober - Seorang atlet ping-pong SUK Kedah dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), selepas tidak sedarkan diri, ketika kejohanan berlangsung sebentar tadi. Dikhabarkan pesakit, Abdul Halim Md. Daud, 54, pada awalnya mengadu tidak sedap badan ketika berehat sejurus selepas menamatkan acara bagi kategori veteran sempena Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, di sini. Menurut Pegawai Perhubungan (liaison officer) Kontinjen SUK Kedah, Muhammad Shafiee Abdullah, mangsa kemudian meminta pasukan perubatan untuk membuat rawatan awal sebelum dihantar ke HoSZA. "Daripada maklumat doktor, pada peringkat awal dimasukkan ke hospital jantungnya tidak berdenyut. "Setelah beberapa prosedur dijalankan jantung berfungsi semula tetapi, beliau masih dalam keadaan kritikal. "Beliau kini dalam pemantauan rapi doktor dan dalam proses untuk dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman. Muhammad Shafiee turut memaklumkan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai insiden berkenaan serta akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa. Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Kontinjen Kedah, Dato' Dr Nadzman Mustaffa berada di HoSZA untuk mengikuti perkembangan lanjut keadaan dan proses rawatan.
16 Oct 24
10831
SUKSEM: Atlet Terengganu Perlu Manfaat Kelebihan Tuan Rumah
SUKSEM: Atlet Terengganu Perlu Manfaat Kelebihan Tuan Rumah
KUALA NERUS, 16 Oktober- Atlet Terengganu yang bersaing di pentas Temasya Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) perlu menggunakan segala kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mempamerkan persembahan terbaik dalam sukan dipertandingkan. Ketua kontinjen, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, kesempatan yang ada sebagai tuan rumah perlu direbut untuk bergelar johan SUKSEM IX. "Dari segi persediaan, auranya bermula sebelum SUKSEM lagi sebab kita telah tahu sejak dua tahun lalu kita akan jadi tuan rumah, yang mana masing-masing telah ada iltizam dalam diri untuk bersedia, dari segi tempat. Semua itu menjadi kelebihan kepada kita sebagai tuan rumah. "Kalau kita tengok keputusan setakat hari pertama (semalam), ada beberapa acara yang kita telah dapat keputusan luar biasa sedangkan kita membariskan atlet yang sama sebagaimana dua tahun lalu dengan penambahan muka baru sekitar 10 ke 20 peratus sahaja, tetapi hasil diperolehi nampak berlainan pada saingan hari pertama. "Mungkin itu adalah kelebihan yang dimanfaatkan atlet-atlet kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Santai YBM Setiausaha Kerajaan Terengganu bersama YB Setiausaha Kerajaan-kerajaan Negeri di Darul Syakirin, semalam. Tambah Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan) itu saingan tahun ini dilihat lebih mencabar terutama bagi atlet tuan rumah. "Dari segi saingan, Sarawak memang negeri yang menjadi saingan mungkin kerana ia johan sebelum ini. Tetapi saingan dari negeri lain tidak boleh dipandang mudah, semuanya hebat-hebat. "Kepada atlet yang bertanding, jangan kita ambil mudah tetapi gunakan peluang sebenarnya dengan keadaan padang yang kita berlatih di situ, dari segi pergerakan kita yang mudah serta acara-acara pilihan juga merupakan kegemaran kita (Terengganu). "Misalnya, acara bola tampar yang kurang memberi peluang kepada kita, ditukar kepada acara boling padang yang menjadi kekuatan kita," katanya.    
16 Oct 24
254
SUKSEM : Terengganu Tunjuk 'Nelang'
SUKSEM : Terengganu Tunjuk 'Nelang'
KUALA NERUS, 16 Oktober - Pasukan Ping- Pong Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu mempamerkan semangat juang tinggi menundukkan SUK Pulau Pinang 5-0. Dalam perlawanan yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di Pejabat Daerah Kuala Nerus itu menyaksikan Terengganu menang selesa menerusi kelima-lima regu. Pada awalnya didahului oleh beregu lelaki veteran mengatasi Pulau Pinang dengan mata, 11-2, 11-3, 11-6. Momentum itu diteruskan lagi menerusi acara beregu wanita terbuka yang turut menyaksikan laluan mudah untuk pasukan tuan rumah dengan mata, 11-6,  11-1 dan 11-6. Menerusi regu campuran, Terengganu mengandakan aksi bagi memastikan kemenangan menjadi milik mutlak Sang Penyu dengan Pulau Pinang ditundukkan dengan kiraan mata, 11-1, 11-5 dan 11-1. Terengganu telah menang  bergaya ketiga-tiga set mengatasi lawan, namun tidak menerusi beregu lelaki terbuka. Walaupun pada peringkat awal Terengganu berjaya mengatasi Pulau Pinang dengan kiraan mata 11-5, namun pada set kedua Pulau Pinang berjaya bangkit mengatasi tuan rumah dengan mata, 7-11. Dengan semangat yang dimiliki, pasukan Terengganu akhirnya kembali bangkit mengatasi Pulau Pinang dengan kiraan mata, 12-10 dan 11-8.  
16 Oct 24
1747
SUKSEM: Bola Sepak Terengganu Layak Ke Suku Akhir
SUKSEM: Bola Sepak Terengganu Layak Ke Suku Akhir
KUALA NERUS, 16 Oktober- Setelah seri 2-2 dengan Sabah pada aksi peringkat Kumpulan B semalam, pasukan Terengganu bangkit mengatasi Pahang dalam perlawanan kedua untuk layak ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak SUKSEM IX 2024. Pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi, Terengganu mendahului Pahang1-0 pada separuh masa pertama, namun pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua. Kedua-dua pasukan berhempas-pulas menambah jaringan untuk merebut tempat ke suku akhir dan Terengganu akhirnya memperoleh peluang terbaik apabila dihadiahkan sepakan penalti. Mendahului 2-1 hasil jaringan menerusi sepakan penalti, Terengganu berjaya menjarakkan kedudukan dengan satu lagi jaringan bagi menutup peluang Pahang untuk mara. Pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, sebagai tuan rumah, Terengganu perlu menyajikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung. "Semalam kita ada peluang (untuk menang), tetapi tidak dapat diterjemahkan kepada gol. Kita mendahului 2-0 bagaimanapun, kelekaan menyebabkan Sabah dapat menyamakan kedudukan dalam tempoh kurang 10 minit. "Hari ini pula, kita ambil mudah ketika lawan Pahang, kemungkinan pemain fikir kita dapat seri dengan Sabah jadi ambil mudah bertemu Pahang yang tewas dengan Sabah semalam. "Alhamdulillah, kita menang dan kalau ikut keputusan hari ini, kita layak ke suku akhir untuk bertemu pasukan dari Kumpulan D samada Sarawak, Negeri Sembilan dan Perlis," katanya.  Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Tambahnya, peluang ke suku akhir perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. "Kita bermain sebagai tuan rumah, jadi apa yang disasarkan ialah untuk layak ke peringkat akhir. "Mungkin di kalangan pemain, perlu lebih banyak bermain secara berpasukan bukannya untuk tunjuk kemahiran dalam permainan. "Lebih-lebih lagi ketika bermain secara karnival ini, kita perlukan rehat yang cukup, mengelakkan kecederaan serta tidak mengutip kad yang sia-sia," ujarnya.
16 Oct 24
1961
SUKSEM: Pasukan Lawn Bowl Terengganu 'Comeback' Bergaya
SUKSEM: Pasukan Lawn Bowl Terengganu 'Comeback' Bergaya
KUALA NERUS, 15 Oktober- Pasukan Boling Padang Terengganu melakukan kejutan apabila bangkit mengatasi pasukan Perlis 5-0 untuk kemenangan pertama dalam aksi peringkat kumpulan acara boling padang Temasya Sukan SUK Se- Malaysia Kali ek-9 (SUKSEM IX), hari ini. Dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Lawn Bowl Terengganu itu, Perlis pada awalnya mendahului Terengganu dalam kategori regu lelaki, regu wanita dan wanita bertiga menjadikan kedudukan 3-2. Namun, pada masa berbaki sekitar 15 minit terakhir, regu lelaki yang ketinggalan dengan mata 1-7 bangkit mengatasi lawan untuk menang dengan keputusan 10-8. Semangat kebangkitan turut meresap kepada regu wanita yang sebelum itu ketinggalan 10-11, dan mereka juga melakukan 'comeback' dengan kemenangan 18-11. Ketika loceng masa dibunyikan, Terengganu selesa dengan kemenangan dalam empat kategori untuk mendahului lawan setelah dua kejutan dilakukan dan keputusan selesa pasukan regu campuran (menang 17-6) serta lelaki bertiga (37-2). Tetapi, pasukan wanita bertiga yang masih terikat mata 8-8 dengan Perlis pada set terakhir berjaya mendapatkan satu mata untuk melengkapkan kemenangan selesa pasukan Terengganu. Terengganu menang 5-0 ke atas Perlis dan turut menewaskan Sarawak 4-1, pada sebelah petang dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan.   
15 Oct 24
588