Artikel "Sukan" Terkini
Program Kayuhan Muhibah Jumaat Ini
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengadakan Program Kayuhan Muhibah pada 30 Disember ini sebagai salah satu gimik pra pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2017.Pengarah Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Nur Kamilah Hamzah berkata, program tersebut akan bermula di Dataran Batu Burok dan berakhir di lokasi yang sama.“Ianya terbuka kepada pelbagai agensi dan orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti kayuhan.“Laluan berbasikal sempena Program Kayuhan Muhibah akan dibuka sehala melibatkan beberapa jalan utama di bandaraya ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.Menurut beliau, laluan dewasa sejauh 20 kilometer (km) yang bermula di Batu Burok melibatkan Jalan Sultan Zainal Abidin menghala ke Pasar Payang, Kampung Cina, Jalan Sultan Ismail, Batas Baru, Jalan Kemajuan, Susur Duyong (pusingan-U), lampu isyarat Bukit Besar, Jalan Kamaruddin dan kembali ke Batu Burok.“Manakala laluan untuk VIP dan kanak-kanak dengan jarak tujuh km yang juga bermula di Batu Burok akan melalui jalan berhampiran Hotel Primula, Chicken Cottage ke Jalan Sultan Sulaiman, Bulatan Ladang dan seterusnya berpatah ke Hotel Primula sebelum berakhir di Batu Burok,” ujarnya.
26 Dec 16
98
1,260 Peserta Bakal Berentap Mountain Bike Batangan Jamboree Sabtu Ini
Seramai 1,260 pengayuh basikal lasak tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan di kejohanan Mountain Bike Batangan Jamboree 2016, di Kampung Batangan, Seberang Marang pada 24 Disember (Sabtu) ini.Program yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM13,000 itu turut mendapat penyertaan peminat sukan lasak berbasikal dari Thailand, Bangkok, Singapura dan juga Brunei.Sebanyak lapan kategori akan dipertandingkan seperti Men Junior (17 dan ke bawah), Men Open (18-35 tahun), Men Master (36-44 tahun), Men Veteran 45 dan ke atas), Kak Chik (34 ke bawah) dan Kak Long (35 ke atas).Kategori lain, Fat Bike Open, Heavy Weight (90 kg) dan Terengganu Closed mengutamakan pengayuh baru yang belum pernah memenangi acara berbasikal (podium).Penganjuran pertama kali oleh kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu itu sebagai platform mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017. Pengurus Promosi sekretariat itu, Ahmad Fathil Abdul Ghani, berkata, pada masa sama mahu menonjolkan sub sektor sukan dan eko pelancongan di lokasi terbaik yang terdapat di Terengganu.Katanya, Kampung Batangan, Marang dipilih menjadi lokasi kejohonan memandangkan bentuk muka buminya yang bersesuaian untuk aktiviti basikal lasak dan ekstrim di negeri ini.“Secara tidak langsung, kejohanan seumpama itu mampu meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelancongan masyarakat setempat seperti mempopularkan lagi industri keropok lekor, dodol daun palas, manisan kelapa, batik, sutera ,industri kraf, perhotelan, chalet dan inap desa setempat,” katanya.
18 Dec 16
157
Terengganu Hantar Pasukan Wanita Sertai Liga Hoki Malaysia Tahun Depan
Kerajaan negeri buat pertama kalinya akan menghantar pasukan hoki wanita untuk menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) pada Januari tahun depan.Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato'Rozi Mamat berkata,ini merupakan satu sejarah dan penghargaan untuk golongan wanita yang bakal bermain dalam liga tersebut."Bagi pemilihan pemain untuk peringkat pertama ini,para pemain dipilih dari kalangan pelajar dan lepasan Sekolah Sukan Terengganu (Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Setiu) selain peserta Sukan Malaysia (SUKMA)."Untuk hoki wanita ini,kita menyasarkan untuk berada di empat tempat teratas dalam liga dan dapat menyamai tahap yang ditunjukkan oleh pasukan lelaki,"kata Rozi.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berkhatan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuroh, Telemong, semalam.Menurut Rozi lagi, peruntukan untuk pasukan hoki telah disalurkan melalui Tabung Sukan Negeri yang baru dilancarkan dua bulan lepas."Pihak kami serahkan peruntukan ini kepada persatuan hoki untuk agihan perbelanjaan dan layanan yang sama perlu dilaksanakan sama seperti pasukan hoki lelaki."Kita tidak mahu mendengar layanan atau agihan yang tidak sama kerana mereka adalah pasukan yang akan bermain untuk Terengganu...jadi adalah wajar mereka ini mendapat apa yang pasukan hoki lelaki dapat selama ini,"katanya lagi.Menurut Rozi, Tabung Sukan Negeri yang dilancarkan baru-baru ini di khususkan untuk empat sukan teras iaitu basikal, bola sepak, acara berkuda dan hoki."Kita juga nak ucapkan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang Tabung Sukan Negeri sejak ia dilancarkan kerana peningkatan sumbangan sebanyak RM 35 juta berbanding yang RM23 juta tahun lalu,"katanya.
17 Dec 16
154
Anak Terengganu Juara Hatrik Pencak Silat Dunia
Anak Kuala Terengganu, Siti Rahmah M Nasir, 29, muncul juara dunia tiga kali, selepas meraih kemenangan terbaru, di pentas akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2016 di Arena Gor Lila Bhuana Denpasar, Bali, baru-baru ini.Dalam kejohanan antarabangsa selama seminggu berakhir Khamis lalu, yang disertai 40 negara, Siti Rajmah bersama Olahragawan Kebangsaan 2015, Al Jufferi, 24, dari Pahang yang pernah meraih kemenangan pada 2012 dan 2015 meneruskan hatrik itu untuk menumpaskan lawan masing-masing.Siti Rahmah mengetepikan cabaran Nguyen Thi Yen dari Vietnam 5-0 dalam kelas Putri E, sementara Al Jufferi menumbangkan pesilat Thailand, Kuibrohem Kumaha 5-0 bagi kelas Putra E.Ternyata selain latihan jitu dan perancangan Siti Rajmah sebelum melangkah ke final pada 8 Disember lalu untuk mengkaji dan menilai persembahan dari rakaman video pesaingnya dari Vietnam, Nguyen Thi Yen membuahkan hasil.Pertemuan itu adalah ulangan final antara mereka berdua yang mana kali terakhir pada Sukan SEA Singapura, tahun lalu. Sebelum itu, pada aksi separuh akhir, dia menumpaskan lawan dari Belanda, Minouche Van Der Hoeven dengan keputusan 5-0.Selain Siti Rajmah, seorang lagi anak Kuala Terengganu, Razak Ghazali, 28, turut meraih pingat emas untuk Malaysia bagi Kelas Putra D selepas menewaskan tuan rumah, Iqbal Chandra Pratama dengan keputusan 3-2.Kemenangannya itu juga memperbaiki pencapaian pingat perak yang diraihnya di Phuket, Thailand tahun lalu.
14 Dec 16
356
Pampasan RM100,000 Untuk Keluarga Arwah Atlet Kabaddi
Atlet kabaddi Terengganu, Fatin Nadeera Jasni, 20, yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya tahun lalu menerima bayaran pampasan berjumlah RM100,000 daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).Cek pampasan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman kepada ibu mangsa, Faridah Abdul Ghani, 57, semasa sesi rehat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.Fatin Nadeera yang berasal dari Kampung Losong Atap Zink terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 29 berhampiran tapak pelupusan sampah, Jalan Sungai Ikan, Kuala Nerus setelah selesai menjalani latihan persiapan awal bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di MSNT pada 5 Mei 2014.Akibat pendarahan dalam kepala, mangsa koma selama setahun dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 27 Mei 2015.Sementara itu, Ahmad Razif berkata perlindungan insurans yang disediakan kepada semua atlet sedikit sebanyak membantu keluarga mereka dan mengurangkan rasa kesedihan berikutan kehilangan orang tersayang.“Kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan atlet terjaga. Bukan hanya pada insurans sahaja malah perkara lain turut dititikberatkan termasuk memberi bantuan persediaan untuk mereka melanjutkan pelajaran. “Kerana itu, saya minta MSNT melihat balik mana-mana atlet yang boleh kita bantu melalui skim-skim bantuan untuk mereka menyambung pengajian,” ujarnya. Katanya, melalui pendekatan ini apabila seseorang atlet itu sudah tidak aktif lagi dalam sukan yang diwakilinya maka mereka boleh memberi khidmat kepada negeri seperti menjadi jurulatih dan sebaginya.
22 Nov 16
146
Kemudahan Sukan Endurance Ditambahbaik Menjelang Sukan SEA 2017
Setiap kemudahan di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu akan ditambahbaik sebagai persediaan dan kelancaran Terengganu sebagai tuan rumah acara sukan berkuda endurance Sukan SEA 2017.Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, sehingga kini semua kelengkapan untuk menjadi tuan rumah sudah ada dan menepati syarat pengajuran sukan berprestij itu."Semua sudah lengkap kerana tempat ini pernah menganjurkan beberapa pertandingan peringkat antarabangsa tetapi untuk memastikan ianya lebih sempurna, kita akan 'upgrade' beberapa kemudahan yang sedia ada," katanya kepada TIT ketika ditemui selepas pelepasan pertandingan Endurance yang diadakan di Lembah Bidong, petang semalam.Rozi berkata, tempat penginapan peserta juga mencukupi kerana beberapa hotel berhampiran tempat pertandingan sudahpun disenaraikan sebagai tempat penginapan peserta selain chalet di dalam TIEP.Dalam pada itu, Mohd Faris Syafiq dari STET muncul juara kategori CEN 80 kilometer (km) (Q) dalam pertandingan Endurance yang diadakan di Lembah Bidong, semalam.Manakala Yasir Yahya dari Cowboy Stable menduduki tempat pertama pertama bagi kategori CEN 40 km.
19 Nov 16
679
Seberang Takir FC Pertahan Kejuaraan Piala Epic
Seberang Takir Fc mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Aslan Warrior dalam perlawanan akhir Piala Epic DUN Seberang Takir yang berlangsung di Kompleks Sukan Tengku Muhamad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu, malam tadi.Nasib menyebelahi Seberang Takir FC apabila menewaskan Aslan Warrior 4-2 dalam pusingan penentuan sepakan penalti selepas terikat jaringan 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan.Kapten pasukan tersebut, Ahmad Tarmizi Hashim berkata, dia tidak menyangka akan menang dalam perlawanan akhir berkenaan kerana lawannya merupakan pasukan yang kuat.“Aslan Warrior merupakan pasukan yang terdiri daripada askar dan sudah dikenali sebagai pasukan yang hebat.“Namun, saya selaku kapten pasukan percaya dengan kemampuan ahli pasukan dan hasilnya kami dapat mempertahankan kejuaraan ini buat kali kedua berturut-turut sejak diperkenalkan pada tahun lepas,” katanya.Tarmizi berkata, sebagai persediaan menghadapi kejuaraan tersebut, pemain muda mula diserapkan ke dalam pasukannya pada musim ini.“Untuk tahun ini, kami gandingkan pemain muda dan pemain lama supaya serasi serta memberi pengalaman kepada mereka.“Bermula tahun hadapan, kemungkinan semua pemain yang akan diserapkan sebagai kesebelasan utama bagi pasukan ini adalah pemain muda,” katanya.Dengan kemenangan tersebut, Seberang Takir FC membawa pulang wang tunai Rm3,500, piala iringan serta medal, manakala Aslan Warrior pula menerima wang tunai RM2,500 dan medal.Tempat ketiga pula, dimenangi oleh Teluk Ketapang Darat, sementara tempat keempat milik pasukan Telaga Daing. Masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 berserta medal.Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.Turut hadir, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Khairuddin Abdul Majid.
18 Nov 16
243
Permohonan Maaf Atau Tindakan Undang-Undang - Naib Presiden PBSNT
Ab Rasid menunjukkan laporan polis yang telah dilakukan pada Khamis lalu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.Tindakan undang-undang bakal diambil kepada pemilik akaun page Facebook (FB) Terengganu, T&T dan Selamatkan Bolasepak Terengganu berikutan fitnah terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PSBNT), yang mencetuskan viral di kalangan peminat bola sepak negeri ini, baru-baru ini.Naib Presidennya, Ab Rasid Jusoh berkata, terdapat beberapa tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada persatuan dan dirinya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Belia serta Pengerusi Jawatankuasa Pengecaman dan Penilaian Pemain, sehingga menjejaskan imej beliau selaku penjawat awam.Beliau berkata, tempoh lima hari diberikan kepada pemilik akaun-akaun tersebut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik tuduhan yang dilakukan ataupun berdepan tindakan undang-undang serta saman.“Jika dalam tempoh itu mereka masih tidak menarik balik fitnah yang dilemparkan dan tiada permohonan maaf yang dilakukan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka.“Saya juga bersedia untuk bersemuka dengan pengendali-pengendali akaun tersebut jika mereka mempunyai masalah untuk diutarakan,” katanya kepada pemberita.Beliau ditemui pemberita dalam majlis ramah mesra bersama media di Pejabat T-Team, Kuala Terengganu, hari ini.Ab Rasid berkata, status yang mula dimuatnaik pada 26 Oktober lalu di laman sosial tersebut menyentuh beberapa isu antaranya mengaitkannya dengan kejatuhan bola sepak Terengganu serta melobi dirinya untuk bertanding sebagai timbalan presiden serta setiausaha PBSNT.Selain itu dirinya juga turut dikaitkan dengan kejatuhan moral pemain Terengganu serta mengeluarkan senarai pemain pasukan negeri untuk musim depan selain beberapa serangan peribadi.Berikutan fitnah tersebut, satu laporan polis dibuat pada Khamis lalu sebagai tindakan susulan dan memudahkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.
14 Nov 16
201
Terengganu Mahu Tebus Kegagalan, Julang Piala Emas Raja-Raja
Selepas tewas di peringkat separuh akhir sejak tiga edisi terakhir, bagi musim ini, Terengganu nekad menebus kegagalan untuk mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2016 yang bakal membuka tirainya pada Jumaat ini.Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT), Dato’ Mazlan Ngah berkata, bagi edisi ke-76 ini, beliau mengharapkan persembahan terbaik dan mampu mencipta kejayaan pada musim ini.“Kita akan beri tumpuan dalam perlawanan di peringkat kumpulan dahulu sebelum mara ke pusingan seterusnya.“Sebagaimana tahun lepas, kita tewas di peringkat separuh akhir namun bagi edisi kali ini kita sasar ke pusingan akhir kerana sudah lama Terengganu tidak menjulang Piala Emas Raja-Raja,” katanya.Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Tajaan Kepada Pemain Terengganu di Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.Dalam pada itu, ketua jurulatih pasukan tersebut, Subri Sulong berkata walaupun hanya sempat melakukan persediaan dalam masa yang pendek ianya bukan penghalang untuk mara ke pusingan akhir dalam kejohanan edisi ke-76 tersebut.“Seramai 20 pemain telah dipanggil untuk kejohanan kali ini termasuk beberapa tonggak skuad Piala Presiden, Hanelang FC dan tiga pemain negeri yang beraksi bersama Shahzan Muda.“Meskipun hanya mula berkumpul dan menjalani latihan sejak dua minggu yang lalu, persiapan kami tetap berjalan baik. Aspek kecergasan lebih ditekankan pada peringkat awal latihan dan keserasian para pemain mula terserlah melalui lima perlawanan persahabatan yang diadakan setakat ini,” katanya.Subri berkata, dengan kehadiran beberapa tonggak utama dalam pasukan senior diharapkan dapat menguatkan skuad tersebut.“Kekuatan pasukan ini agak seimbang di semua posisi kerana diperkuatkan pemain-pemain yang bersama skuad senior Terengganu tetapi itu tidak memberi kelebihan atau tekanan kepada kami.“Kehadiran pemain skuad senior Dhiyaulrahman Hasry serta penyerang utama skuad Piala Presiden Mohd Azrean Abdul Aziz dan Mohd Haidhir Suhaini yang akan mengetuai bahagian serangan dijangka mampu menyengat,” katanya.Bagi edisi ke-76 yang akan berlangsung bermula Jumaat ini di Kuala Lumpur, Terengganu berada dalam Kumpulan C bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur dan Kedah.
01 Nov 16
52
Mini Stadium RM5 Juta Di Telemong Bina Tahun Depan
Projek pembinaan mini stadium bernilai RM5 juta di Dataran Kuala Ping, Telemong, Hulu Terengganu bakal dimulakan awal tahun depan.Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kemudahan sukan untuk kegunaan penduduk negeri ini dan Hulu Terengganu khasnya itu, membabitkan sebuah padang bola dan juga dewan."Berdasarkan perancangan kita, pembinaannya akan bermula tahun depan dan saya amat berharap projek ini berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancang."Kemudahan mini stadium ini kelak, diharapkan dapat menjadi platform untuk golongan belia beriadah dan mengembangkan bakat sekali gus dapat mengelak mereka daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Memasak Bubur As-Syura Perdana Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Kuala Ping, hari ini.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat.Di majlis itu, sebanyak 100 kawah bubur asyura disediakan penduduk DUN Telemong dan agensi kerajaan di daerah Hulu Terengganu.Program yang bermula jam 8 pagi dan berakhir enam jam kemudian itu, diadakan secara tahunan dalam usaha mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin setempat dalam DUN Telemong.
29 Oct 16
67