Artikel "Sukan" Terkini
Lebih Banyak Acara Berbasikal di Terengganu 2025
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) yang berakhir hari ini, menutup tirai penganjuran acara berbasikal bagi tahun ini di Terengganu.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan beberapa acara berbasikal bertaraf antarabangsa akan menghiasi kalendar acara bagi tahun 2025.
"Untuk menjayakan 'Land of Cyclist' di Terengganu, pelbagai acara berbasikal akan dianjurkan pada tahun 2025.
"Saya menjangkakan pada tahun hadapan, akan ada sekitar empat atau lima acara berbasikal bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, insya-Allah.
"Jadi, saya juga mempelawa semua untuk terus hadir dan memeriahkan suasana penganjuran dalam setiap acara yang akan kami umumkan dari masa ke masa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan IGMR2024 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Helmi Mohamed dan Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja.
Penganjuran IGMR2024 merekodkan penyertaan seramai 1,600 peserta sekali gus mencatat rekod terbaru penganjuran Terengganu Inc Challenge Series.
15 Dec 24
570
IGMR2024 Catat Penyertaan Terbesar Acara Berbasikal
KUALA TERENGGANU,14 Disember - International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) memecahkan rekod penganjuran Terengganu Inc Challenge Series dengan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 1,600 penyertaan.
Pengarah program, Norfar'izan Hashim berkata, IGMR2024 merupakan siri keenam dianjurkan di bawah TDM Berhad dengan tujuan menarik lebih banyak pelancong datang ke Terengganu, disamping menjana ekonomi setempat.
Menurutnya, siri kali ini mempertandingkan dua acara iaitu MTB Jamboree dan Jambo Race sejauh 30km dan Fun Ride sejauh 39km.
"Penyertaan dari luar Terengganu juga ramai (seperti) dari Kelantan dan Melaka serta kami turu menerima penyertaan dari luar negara iaitu Thailand dan Singapura.
"Mungkin akan datang siri IGMR ini akan lebih meriah, maksudnya lebih ramai dari segi penyertaannya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Tambahnya, IGMR2024 di bawah TDM Berhad kali ini menyediakan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi diiringi hadiah-hadiah lain seperti motosikal, barang elektronik dan sebagainya.
Jadi, ia tidak menolak hadiah-hadiah lebih 'grand' akan ditawarkan kepada peserta dalam IGMR akan datang.
Sebagaimana diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Helmi Mohamed, Syarikat Air Terengganu (SATU) dipilih sebagai penganjur IGMR bagi tahun 2025.
14 Dec 24
301
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2 yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.
"Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.
"Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA).
"Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya.
"Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan," ujarnya.
12 Dec 24
149
50 Pasukan Bakal Berentap Rebut Piala YB ADUN Sura
DUNGUN, 24 November – Sebanyak 50 pasukan dari seluruh Malaysia bakal bersaing merebut gelaran juara dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala YB ADUN Sura 2024 yang berlangsung di Pantai Sura, Dungun pada akhir November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata kejohanan itu merupakan acara tahunan yang telah memasuki edisi kelima tahun ini.
“Ia adalah acara yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat sukan tempatan dan seluruh negara.
"Selain menjadi medan persaingan, kejohanan ini juga bertujuan mempromosikan sukan bola sepak pantai yang semakin mendapat perhatian dan ini merupakan tahun kelima ia dilaksanakan,” ujarnya sewaktu membuat tinjauan persiapan padang.
Beliau turut berkata tujuan utama kejohanan ini dilaksanakan adalah untuk menyokong perkembangan 'sport tourism' di Dungun khususnya di Dun Sura.
"Kejohanan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka, tetapi juga untuk menarik pengunjung dari seluruh Malaysia untuk hadir menyaksikan perlawanan ini. Kehadiran pengunjung pastinya memberikan impak positif terhadap ekonomi setempat.
"Selain kejohanan bola sepak pantai, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti jualan gerai makanan, pameran sukan, dan hiburan muzikal, menjadikan suasana di Pantai Sura semakin meriah dan menarik.
24 Nov 24
201
Terengganu FC IV Raih Naib Juara Piala Belia 2024
KUALA NERUS, 23 November – Walaupun gagal mencipta keajaiban di halaman sendiri, Terengganu FC IV tetap mampu berbangga dengan pencapaian sebagai naib juara Piala Belia 2024.
Pasukan muda itu tewas 3-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC IV dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, menjadikan keputusan agregat 5-7 memihak kepada JDT.
Turun dengan kesebelasan terbaik selepas terikat 2-2 pada aksi akhir pertama di Pasir Gudang minggu lalu, pasukan muda Terengganu mendapat sokongan penuh penyokong setia yang memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
Meskipun bermain di hadapan penyokong sendiri, hujan lebat dan permukaan padang basah menguji ketangkasan kedua-dua pasukan.
Namun, pasukan pelawat lebih bijak menyesuaikan diri dengan keadaan sukar ini.
Kesilapan pertama berlaku pada minit ke-18 apabila pertahanan Terengganu gagal mengawal asakan pantas JDT, menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.
Daniesh Amiruddin dengan tenang menjaringkan gol pertama untuk meletakkan JDT FC IV di depan.
Malang sekali lagi menimpa tuan rumah apabila penjaga gol mereka, Ariff Safwan, melakukan kesilapan pada minit ke-26.
Penalti kedua diberikan, dan Zamir Zairi menyempurnakannya tanpa masalah, menjadikan agregat 4-2 untuk JDT.
Namun, Terengganu tidak menyerah kalah, dalam suasana padang yang basah, mereka menemui ruang melalui serangan balas.
Che Ku Irfan berjaya memanfaatkan hantaran cantik Zarul Izree untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-35.
Semangat pemain muda Terengganu memuncak apabila Iskandar Akmal menyamakan kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama.
Sepakan kencang dari luar kotak penalti, menjadi detik kebangkitan sementara buat pasukan tuan rumah.
Namun, kebangkitan Terengganu FC IV tidak bertahan lama.
Pada babak kedua, JDT kembali menunjukkan keunggulan mereka, Zamir Zairi sekali lagi mencuri tumpuan apabila rembatan jauhnya pada minit ke-52 menggegarkan jaring Terengganu.
JDT semakin selesa di hadapan apabila kapten mereka, Adib Ibrahim, menanduk masuk gol keempat pada minit ke-73 hasil hantaran Lutfil Hadi.
Dalam suasana hujan yang masih tidak berhenti, JDT terus menguasai tempo permainan dengan menggunakan kelebihan fizikal dan kepintaran taktikal.
Gol kelima JDT pada minit ke-84 benar-benar memadamkan semangat pasukan tuan rumah. Alauddeen Aliff, dengan larian deras di bahagian sayap, menghantar bola lintang sempurna yang ditanduk mudah oleh Abid Safaraz.
Walaupun permainan semakin sukar, Terengganu FC IV tetap tidak berputus asa.
Iman Alif berjaya menanduk masuk hantaran kapten pasukan Solihin Hakimi pada masa tambahan, tetapi jaringan itu hanya sekadar penghias keputusan perlawanan.
Wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 3-5, memuktamadkan kemenangan buat JDT FC IV.
Kekalahan ini menyakitkan buat pasukan Terengganu FC IV, tetapi ia juga menjadi pengalaman berharga buat pasukan muda ini.
Dengan hadiah wang tunai RM30,000 sebagai naib johan, masih boleh berbangga dengan usaha dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Pasukan muda ini membuktikan mereka adalah antara kuasa besar dalam arena bola sepak belia negara.
Bagi JDT FC IV, kemenangan ini mengukuhkan reputasi mereka sebagai raja bola sepak negara.
Dengan piala kejuaraan dan wang tunai RM60,000, mereka membuktikan bahawa disiplin dan ketahanan mental adalah kunci kejayaan, walaupun beraksi dalam keadaan padang yang serba mencabar.
23 Nov 24
345
Sukan Air dan Karnival Pantai Warnai Kalendar Pelancongan Terengganu 2025
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memasukkan program sukan air seperti pertandingan lumba perahu panjang ke dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mempertimbangkan cadangan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang turut menawarkan DUN Buluh Gading sebagai tuan rumah bagi acara tersebut.
“Kerajaan Negeri sedia maklum akan cadangan ini dan insyaallah akan mempertimbangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan Karnival Pantai Terengganu 2024, yang mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri, menjadi bukti betapa pentingnya acara sebegini dalam menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat.
“Pencapaian ini menunjukkan potensi besar karnival pantai sebagai acara utama negeri.
“Ia bukan sahaja mempromosikan pelancongan tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat, terutamanya usahawan kecil dan penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS),” jelas beliau.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan bahawa Karnival Pantai Terengganu akan diteruskan pada tahun 2025 yang dijangka menjadi salah satu acara tanda aras (signature) dalam kalendar pelancongan dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.
“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama sambil memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.
20 Nov 24
537
TSG Dinobat Pasukan Terbaik Asia Kali Keenam
KUALA TERENGGANU, 20 November - Terengganu Cycling Team (TSG) sekali lagi mencipta sejarah apabila merangkul gelaran Pasukan Terbaik Asia pada tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim meluahkan penghargaan dan tahniah kepada TSG atas usaha gigih selama ini.
"Kejayaan gemilang kali keenam itu diraih setelah TSG mengumpulkan 1,879 mata, mengatasi cabaran sengit pasukan JCL Team Ukyo dari Jepun yang menduduki tempat kedua, serta Roojai Insurance dari Thailand di tempat ketiga.
"Namun, kejayaan TSG tidak hanya terhenti di Asia, pasukan ini mencipta rekod baharu apabila dinobatkan sebagai Pasukan Kontinental Terbaik Dunia untuk kali ketiga, menewaskan 178 pasukan lain yang berdaftar di bawah UCI Continental Team.
"Selain itu, TSG berjaya menempatkan diri dalam senarai 30 Pasukan Terbaik Dunia, mengatasi lebih 213 pasukan yang bertanding sepanjang musim ini," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Tambah Hishamuddin, pencapaian ini bukan sahaja membanggakan Terengganu tetapi juga Malaysia di pentas dunia, ia mencerminkan usaha konsisten TSG dalam membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
“TSG telah membuktikan bahawa Terengganu adalah kuasa besar dalam arena sukan berbasikal.
“Dengan komitmen dan semangat juang yang tinggi, tidak mustahil lebih banyak kejayaan menanti mereka pada masa akan datang.
“Tahniah diucapkan kepada TSG atas kejayaan luar biasa ini! Teruskan mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada dunia,” ujarnya.
20 Nov 24
122
ADUN Sura Realisasikan 'Sport Tourism' Melalui Sukan Memanah
DUNGUN, 16 November – Kejohanan Memanah Piala YB ADUN Sura melonjakkan potensi 'Sport-Tourism' di Terengganu khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, kejohanan yang pertama kali diadakan itu berjaya menarik perhatian dengan penyertaan hampir 200 peserta dari seluruh Malaysia, termasuk yang tampil unik mengenakan busana tradisional Melayu.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin meluahkan rasa teruja atas sambutan luar biasa terhadap kejohanan tersebut.
"Saya tidak menyangka kejohanan ini mendapat sambutan sehebat ini. Walaupun baru pertama kali diadakan, persiapan yang dilakukan amat profesional, hampir menyamai standard pertandingan peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut beliau, kejohanan ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi juga langkah strategik untuk memperkenalkan DUN Sura sebagai destinasi pelancongan sukan yang berpotensi.
"Saya berharap kejohanan ini akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan. Ia bukan sahaja meningkatkan imej DUN Sura, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kita dalam sektor pelancongan sukan," tambahnya.
Jelasnya, acara yang berlangsung di Padang Kampung Padang Jambu itu turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat.
"Ia membuka peluang kepada penduduk untuk menjana pendapatan melalui penyediaan rumah penginapan, gerai jualan, dan pelbagai aktiviti sokongan lain.
"Konsep 'sport-tourism' kini menjadi elemen penting dalam pembangunan ekonomi. Dengan kemasukan pelawat ke DUN Sura, kita dapat melihat impak positif, bukan sahaja kepada penganjuran acara, tetapi juga kepada ekonomi penduduk setempat," ujarnya.
Beliau optimis bahawa kejohanan ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha-usaha lain dalam memperkasa sektor pelancongan sukan, sekali gus meletakkan DUN Sura di peta pelancongan Malaysia.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan acara ini dan berharap lebih banyak program serupa dapat diadakan pada masa depan untuk terus memperkenalkan Dun Sura sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan berpotensi.
17 Nov 24
226
Terengganu Anjur Kejohanan Cungkil Bakat Bola Sepak Remaja
KUALA NERUS, 3 November - Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mengambil inisiatif mencungkil bakat remaja untuk pembangunan sukan bola sepak Terengganu dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Remaja peringkat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata dengan menyasarkan remaja berusia 10 hingga 15 tahun usaha pencarian peringkat awal dilakukan secara serius dan bersepadu membabitkan 80 pasukan.
"Usaha ini melibatkan penglibatan daripada semua pihak, di awal ini di bawah kendalian UBSNT sebelum berada di bawah kendalian Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu termasuk di bawah Terengganu FC (TFC).
"Jadi melalui kerancakan usaha yang dilakukan ini kita berhasrat bagi melahirkan serta mengesan bakat-bakat yang boleh diketengahkan pada masa akan datang.
"Pada petang ini 'team scouting' ada bersama-sama bagi menilai dan meneliti nama-nama yang sepatutnya dipilih untuk diketengahkan pada peringkat seterusnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Kejohanan Bola Sepak Remaja 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak UBSNT kerana berjaya mengumpulkan anak-anak remaja Terengganu yang berbakat dalam sukan terbabit.
"Insya-Allah daripada ratusan penyertaan hari ini ia akan memberi kesan besar untuk tahun-tahun mendatang untuk kelansungan pembangunan bola sepak Negeri Terengganu," ujarnya.
03 Nov 24
466
800 Peserta Sertai Funwalk D'baroh
BESUT, 2 November - Seramai 800 orang peserta telah menyertai acara monsoon Funwalk D'baroh, sejauh lima kilometer (KM) dengan mengeliling sawah padi di sekitar Kampung Padang Baloh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, dengan kejayaan program itu beliau sangat berterima kasih kepada semua yang hadir menjayakannya serta menunjukkan komitmen dan sokongan padu dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat.
"Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi peluang untuk menjaga kesihatan fizikal malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim diantara pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan belia, keluarga serta komuniti tempatan".
"Setinggi penghargaan kepada pihak penganjur Persatuan Beliau Sahabat Sejahtera Daerah Besut,sukarelawan, dan semua pihak yang telah berusaha keras memastikan acara ini berjalan lancar dan tidak lupa juga diucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penaja yang memberikan sumbangan untuk menjayakan funwalk ini","ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri acara Monsoon Funwalk D'Baroh, yang diadakan di Taman Kohafas Agro Darau, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Husaimi menasihatkan agar aktiviti senaman itu dapat dijadikan sebagai rutin harin yang akan dapat memberikan inspirasi kepada anggota komuniti lain supaya kesihatan dan kesejahteraan dalam hidup akan menjadi keutamaan.
Acara funwalk ini turut dimeriahkan dengan diadakan tiga "check point" disediakan makanan dan minuman antaranya kuih tradisional, ubi kayu, buah-buahan, air tuak dan aiskrim malaysia, sambil menikmati pemandangan yang indah dikelilingi sawah padi serta bukit.
02 Nov 24
212