Artikel "Sukan" Terkini
Sang Penyu Waspada Sengat Ikan Merah
Poster: FB Terengganu FC
KUALA NERUS, 19 Januari - Melupakan kekalahan semalam, Terengganu FC mula memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee musim 2024-2025 dan mempersiapkan pasukan bagi melayan kunjungan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC, pada perlawanan keempat kumpulan, Rabu ini.
Pengendali pasukan, Badrul Afzan Razali berkata tumpuannya terarah kepada usaha Sang Penyu untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan kelab-kelab di Asia Tenggara itu.
"Untuk aksi timbal balik ini, kita lebih tumpukan Piala Shopee dahulu dan akan memikirkan aksi menentang JDT selepas itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
"Untuk tahun ini, kita ada skuad yang 'depth' jadi saya harap pemain-pemain akan dapat pengalaman di Piala Shopee dan Piala Malaysia (kerana) apabila perlawanan dekat-dekat ini, memerlukan betul-betul rehat yang cukup," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas aksi separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025 yang menyaksikan Terengganu FC tewas dengan jaringan 4-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), semalam.
Dalam pada itu, beliau memuji prestasi penjaga gol pasukan, Rahadiazli Rahalim yang mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan tersebut.
"Saya memuji dia malam ini walaupun kita dibolosi empat gol. Kalau kita tengok Rahadiazli menyelamatkan beberapa peluang terbuka daripada JDT dan saya harap momentum beliau tidak akan menurun untuk perlawanan selepas ini," ujarnya.
Sebagai rekod, pada saingan ACC Piala Shopee, Terengganu kini berada di kedudukan keempat dengan mengumpul lima mata, berbeza dua mata di belakang pendahulu.
Selain PSM Makassar FC, Sang Penyu akan menentang BG Pathum United bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 5 Februari nanti.
19 Jan 25
180
JDT 'Jinakkan' Terengganu FC
KUALA NERUS, 17 Januari- Terengganu FC tewas 0-4 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), JDT terlebih dahulu melancarkan serangan menerusi Bergson da Silva seawal minit kedua perlawanan.
Turun selaku pasukan pilihan, JDT dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun tuan rumah masih konsisten meneutralkan ancaman mereka.
Penyerang Terengganu FC, Ismail Akinade berjaya melakukan umpanan di luar kotak penalti lawan pada minit kelapan, bagaimanapun rembatan lemah Nurillo Tukhtasinov mudah ditangkap penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
Dua minit kemudian, gawang Sang Penyu hampir bolos selepas pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni melakukan kesilapan ketika mengeluarkan hantaran lintang Romel Morales, mujur rembatan Oscar Aribas tersasar.
Skuad Harimau Selatan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi kuisan mudah Romel, selepas menerima bola muntah tandukan Park Junheong yang terkena palang hasil sepakan penjuru JDT.
Terengganu FC cuba bangkit menerusi percubaan Akinade pada minit ke-26, namun dinafikan Syihan.
Memasuki minit ke-33, Romel yang menerima lorongan Arif Aiman melakukan 'turning' sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Rahadiazli Rahalim untuk gol kedua pelawat.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Fitri Maskon membatalkan gol tersebut kerana sebelum jaringan terhasil, kapten Terengganu FC, Manuel Ott terlebih dahulu dikasari pihak lawan.
Perlawanan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT lebih agresif mencari kelebihan jaringan dengan ancaman ke kubu tuan rumah.
Pada minit ke-55, Arif Aiman jatuh di dalam kotak penalti setelah Alif Zakaria melakukan hadangan dan dihadiahkan sepakan penalti.
Bagaimanapun, hasil semakan semula VAR keputusan tersebut dibatalkan.
Terengganu FC mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila pemain gantian, Bonillo melakukan hantaran lintang tepat kepada Ott yang tidak dikawal, tetapi rembatan pemain kelahiran Filipina itu melambung tinggi.
Pada minit ke-79, Arif Aiman menunjukkan magisnya sebagai pemain paling bernilai di hadapan 11,250 peminat bola sepak yang hadir apabila menggelecek memasuki kotak penalti, sebelum mudah menewaskan Rahadiazli untuk jaringan kedua JDT.
Hasrat Terengganu FC untuk mengelakkan jurang jaringan lebih besar menjelang aksi kedua di Johor Bahru, lebur apabila sekali lagi dihukum Arif yang meledak gol ketiga pelawat hasil hantaran Juan Muniz pada minit ke-84.
Memasuki minit ke-92, pemain gantian JDT, Nazmi Faiz Mansor melakukan hantaran lintang yang disudahkan Bergson untuk gol keempat perlawanan.
Terengganu FC menutup aksi pertama separuh akhir tanpa sebarang jaringan dan berdepan tugas getir untuk mengejar kelebihan empat jaringan JDT di gelanggang lawan pada 1 Februari nanti.
17 Jan 25
284
Faizal Saari 'Mengganas', THT Kekal Menang Bergaya
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Penyerang sensasi Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari membantu melengkapkan kemenangan kelima dengan menjaringkan empat gol dalam aksi pada petang ini menyaksikan pasukan itu berjaya mengalahkan Armed Forces HT (AFHT).
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Faizal Saari berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua menewaskan penjaga gawang AFHT, Mohamad Akmal Yussaini.
Selang lima minit perlawanan, THT sekali lagi meneruskan aksi cemerlang menerusi Mohamad Akhirmullah Anuar Esook meletakkan THT mendahului pihak lawan 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung aksi babak kedua, THT terus garang meratah pasukan lawan dengan jaringan gol cantik yang dihasilkan oleh Faizal Saari sekali hasil umpanan rakan sepasukan terus menyaksikan THT mendominasi perlawanan dengan kemenangan selesa.
Akhirnya, pihak lawan berjaya menghasilkan satu jaringan menerusi tendangan sudut penalti pada minit 38 menerusi Muhamad Nazrey Din pada minit ke-38 yang menjadikan kedudukan 4-1.
Tidak cukup dengan itu THT terus mendera pelawat dengan menambah dua lagi jaringan menerusi aksi yang cukup cemerlang dipamerkan oleh Faizal pada minit ke-46 dan 48 sekali gus melakarkan kemenangan cukup bergaya buat THT pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL).
Kemenangan kelima itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Hafizi Baharom mengumpul 15 mata menerusi lima perlawanan.
THT bakal berdepan Kelab Liaoning Men's HT pada 20 Januari ini juga di SHBB yang akan menjadi perlawan terakhir di tempat sendiri.
15 Jan 25
158
THT Belasah TNB-T 6-1
KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) terus mengekalkan kecemerlangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila mencatatkan kemenangan buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 6-1 semalam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk itu menyaksikan THT memulakan perlawanan dengan cemerlang.
THT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui penyudahan pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari.
Tidak menunggu lama, THT menambah jaringan kedua pada minit ke-19 menerusi Muhammad Akhimullah Anuar Esook yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Muhammad Faris Hamzan, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 2-0.
TNB-T tidak menyerah begitu sahaja dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-36, Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan satu pukulan penalti sudut untuk menjadikan skor 2-1.
Bersambung babak berikutnya, perlawanan menjadi lebih sengit, THT kembali melebarkan jurang jaringan pada minit ke-41, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari, menghantar bola dari garisan tengah padang yang kemudiannya disambut baik oleh Syarman Mat Tee untuk menambah gol ketiga bagi THT, 3-1.
Tidak lama selepas itu, pada minit ke-43, Faizal Saari sekali lagi menjaringkan gol menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, memperkukuhkan kedudukan THT dengan 4-1.
Walaupun THT gagal menambah jaringan menerusi beberapa peluang penalti sudut, mereka tetap terus menguasai permainan. Pada minit ke-52, Muhammad Amirul Hanif Mamat menjaringkan gol kelima selepas satu serangan pantas, membawa THT mendahului 5-1.
Menjelang minit ke-57, THT mengesahkan kemenangan bergaya dengan jaringan kedua dari Muhammad Akhimullah, sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1.
Dengan kemenangan ini, THT terus berada dalam landasan kemenangan dan dijadualkan untuk bertemu Armed Forces HT pada 15 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
13 Jan 25
92
THT: Tiada Masalah Prestasi Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Jurulatih pasukan Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Harfizi Baharom, menegaskan bahawa tiada isu berkaitan prestasi dua pemain import pasukan itu, meskipun terdapat kritikan daripada pihak media.
Beliau mempertahankan kemampuan kedua-dua pemain import tersebut, yang turut menyertai perlawanan Piala Sumbangsih dalam kempen Liga Hoki Malaysia 2025 baru-baru ini.
Dua pemain import THT, Samkelo Mvimbi dari Afrika Selatan dan Lee Nam Yong dari Korea Selatan, masing-masing memainkan peranan penting dalam pasukan.
Mohd Harfizi berkata, Samkelo beraksi sebagai penyerang, manakala Lee merupakan pemain serba boleh yang mampu beraksi di pelbagai posisi.
“Saya rasa tiada masalah dengan prestasi mereka. Kita memang memerlukan pemain yang bekerja keras di atas padang, dan dari apa yang saya lihat, kedua-dua mereka memberikan impak besar kepada pasukan THT. ‘Work rate’ mereka sangat tinggi setiap kali diturunkan,” jelas Mohd Harfizi.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual selepas perlawanan antara THT dan UiTM HA-KPT yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, semalam.
Bagaimanapun, Mohd Harfizi mengakui bahawa Samkelo masih belum menjaringkan gol sepanjang kariernya bersama THT.
Namun, menurutnya, posisi pemain itu yang diletakkan di bahagian tengah lebih berfungsi untuk menutup ruang dalam permainan.
“Setakat ini, dia (Samkelo) belum menjaringkan gol kerana kita meletakkannya di posisi tengah untuk memastikan kawasan itu dilindungi dengan baik,” tambah beliau.
11 Jan 25
117
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung hari ini.
THT memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie.
Gol tersebut memberi tonik awal kepada pemain THT untuk terus menyerang meskipun keadaan padang licin akibat hujan.
Hasilnya, pada minit ke-32, pemain THT, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan menarik rakan sepasukan.
Jaringan tersebut meningkatkan kedudukan THT kepada 2-0.
Bersambung babak kedua, baru empat minit permainan berlangsung, THT menambah jaringan melalui pukulan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari.
Selesa dengan kedudukan 3-0, Terengganu mengendurkan sedikit serangan dan membolehkan UiTM memberi ancaman bahaya.
Akibatnya, pada minit ke-51, UiTM berjaya memecahkan kebuntuan apabila pemain nombor 28, Muhammad Idris Samad, menjaringkan gol pertama pasukan mereka selepas menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.
Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 3-1, tetapi gagal menutup jurang yang besar diperoleh Terengganu.
Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, mengakui bahawa UiTM memberikan saingan yang sengit pada peringkat awal perlawanan.
"Kami akui UiTM menggunakan corak permainan bertahan dalam babak pertama.
"Jadi, kami cuba mengubah strategi untuk mendapatkan gol pertama, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah, strategi itu berhasil, dan kami berjaya mencapai matlamat kami," katanya dalam sesi temu bual selepas perlawanan di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
THT dijadualkan bertemu pasukan TNB Thunderbolts dalam perlawanan seterusnya pada 12 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
10 Jan 25
100
Asma Rangkul Pingat Perak di Kejohanan Pencak Silat Dunia
HULU TERENGGANU, 8 Januari – Gadis kelahiran Ajil, Asma Mohd Nazri, mencipta sejarah apabila berjaya merangkul pingat perak dalam 20th World Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 18 Disember lalu.
Asma, 25, yang mewakili Malaysia dalam kategori seni tunggal wanita, mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan memukau juri dan penonton dari seluruh dunia.
Beliau berjaya menawan perhatian ramai dengan persembahan bertenaga dan penuh seni, yang menunjukkan kehebatan budaya silat warisan Melayu.
Menurutnya, perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukanlah mudah, terutama dengan cabaran latihan intensif dan persaingan sengit daripada peserta dari negara lain seperti Indonesia, Vietnam, dan Thailand.
“Saya tidak menyangka dapat melangkah sejauh ini, apatah lagi membawa pulang pingat perak di pentas dunia. Ini adalah detik yang sangat bermakna buat saya dan keluarga,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu, Asma telah memenangi emas dalam silat seni kategori Regu Putri yang berpeluang mengisi tempat ke team kebangsaan dan memenangi pingat perak pada Sukan SUKMA 2022 dalam kategori Silat Seni Tunggal Puteri sebelum memenangi emas di 8th Asian Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Bukhara, Uzbekistan.
Anak jati Ajil itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan, termasuk keluarganya, jurulatih, serta rakan-rakan pasukan silat negara.
“Pengorbanan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka di kampung halaman saya di Ajil. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus mengangkat martabat seni silat di persada dunia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Maliaman Kassim, turut memuji dedikasi dan semangat juang Asma sepanjang kejohanan.
Beliau menyifatkan Asma sebagai atlet berbakat besar yang mampu pergi lebih jauh dalam kariernya.
“Asma telah menunjukkan disiplin yang tinggi dan semangat yang luar biasa. Pingat perak ini adalah permulaan diperingkat dunia kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
"Kejayaan Asma bukan sahaja mengharumkan nama Ajil, tetapi juga Malaysia di pentas dunia. Ia menjadi bukti bahawa warisan budaya Melayu seperti silat masih relevan dan dihormati di arena antarabangsa" katanya.
08 Jan 25
263
Kerajaan Negeri Memperkasa Sukan Permotoran
KUALA TERENGGANU, 6 Januari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk memperkasakan pembangunan sukan permotoran di Terengganu, khususnya melalui Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan permotoran negeri.
"Ia berkaitan dengan sukan permotoran yang akan diadakan mengikut lunas undang-undang dan pertimbangan yang bersesuaian.
"Pihak kerajaan negeri akan terus memperkasa pembangunan sukan permotoran di negeri ini khususnya di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus," katanya dalam satu hantaran rasmi akaun Facebooknya.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Sukan Negeri Terengganu, Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), dan persatuan sukan permotoran.
Justeru itu, beliau berharap belia-belia dapat menggunakan litar itu dengan sebaiknya dan meletakkan keselamatan sebagai perkara yang utama.
06 Jan 25
107
THT Julang Piala Sumbangsih 2025
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Terengganu Hockey Team (THT) berjaya merampas kembali Piala Sumbangsih setelah menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad(TNB) 2-1 pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2 itu, TNB terlebih dahulu di depan dengan satu jaringan menerusi pukulan penalti yang disempurnakan Jang Jung Hyun pada minit ke-27.
Namun, jaguh pantai timur itu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dengan penyerang THT, Faizal Saari menyudahkan pukulan sudut penalti, tiga minit kemudian.
Pada minit ke-42, penyerang THT, Tengku Ahmad Tajuddin yang kembali menabur bakti di Terengganu memastikan kemenangan dengan jaringan kedua pasukan, sekaligus memacu kemenangan THT meraih Piala Sumbangsih.
Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom yang nyata berpuas hati dengan kemenangan itu menguatkan azam untuk mengembalikan ketiga-tiga piala musim ini ke Terengganu.
"Kita agak kecewa kerana radar untuk memenangi trebel sudah ada, tetapi kita terlepas peluang keemasan.
"Insya-Allah 2025 ini pemain sudah sedia bangkit daripada kekecewaan dan mengembalikan gelaran juara yang pernah dimenangi pada tahun 2023," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Meskipun saingan dijangka lebih sengit pada musim ini, THT mempertaruhkan 39 pemain termasuk dua import iaitu Samkelo Mvimbi (penyerang) dari Afrika Selatan dan pemain Korea Selatan, Lee Nam Young yang mampu bermain di pelbagai posisi.
MHL musim ini menampilkan dua pasukan luar negara iaitu Australia, Territory Stringers dan Laoning Hockey Team (China).
Selain itu, Matador Hockey Team yang mempertaruhkan lapan pemain import Pakistan turut menambah rencah liga musim ini.
Pasukan-pasukan lain yang bertanding ialah Maybank, TNB Thunderbolt, Nurinsafi Sporting, UiTM HA KPT dan Armed Forces HT.
05 Jan 25
212
Lumba Perahu Panjang Gamit Nostalgia, Hidup Semula Warisan
KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Penganjuran Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 mampu menghidupkan kembali tradisi yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat pesisir Sungai Nerus.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, penganjuran pesta yang bermula semalam sehingga hari ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan setiap tahun.
“Ini merupakan acara tahunan, kerana itu kita telah mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menjadikan penganjuran sukan perahu panjang ini sebagai sebahagian daripada kalendar pelancongan Negeri Terengganu.
“Cadangan ini telah saya kemukakan dalam Persidangan Sidang DUN bulan lepas dan saya juga menawarkan untuk DUN Buluh Gading menjadi tuan rumah sekiranya cadangan ini diterima,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang 2024 Terengganu Darul Iman di Jeti Kg Tanjung Sabtu di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azmi Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut, serta Ketua Balai Manir, SM Tuan Kamaruzaman Muda.
Beliau juga berharap agar cadangan itu diterima memandangkan beberapa kampung pesisir Sungai Nerus sudah mempunyai perahu panjang sendiri.
"Sukan ini sudah sebati dan menjadi permainan tradisi di sini," katanya.
28 Dec 24
588