lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

THT Kekal di Puncak Liga
THT Kekal di Puncak Liga
KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) kekal mendahului liga setelah meraih kemenangan buat kali ketujuh, menewaskan Matador Hockey Club (MHC) yang dibarisi enam pemain import di Stadium Hoki Kebangsaan 2 (NHS2) Bukit Jalil dengan keputusan 4-0, malam tadi. Perlawanan bermula sengit sebaik sahaja wisel dibunyikan, menyaksikan asakan demi asakan antara THT dan MHC.  Permainan sengit berterusan kegagalan menjaringkan gol menjadi duri dalam daging kedua-dua pasukan. Walaubagaimanapun, THT berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui ledakan gol padang yang disempurnakan oleh Faizal Saari. Gol tersebut memberi dorongan kepada pasukan pantai timur itu untuk merancakkan rentak permainan meskipun dengan keadaan padang yang licin akibat hujan. Hasilnya, memasuki awal babak Kedua perlawanan, tepat pada minit ke-31, THT licik merampas bola dalam satu pergelutan sengit di hadapan gawang MHC, membuahkan satu lagi gol menerusi pukulan daripada Samkelo Mbivi. Selang lima minit kemudian, penjaring gol terbanyak bagi keseluruhan liga buat masa ini, Faizal sekali lagi mencuri perhatian dengan gol keduanya dalam permainan itu pada minit ke-36. Jaringan padang tersebut melebarkan kedudukan THT kepada 3-0, meninggalkan MHC dengan jurang yang besar.  Biarpun selesa dengan kedudukan 3-0, pasukan THT tidak mengendurkan rentak permainan walau sejenak untuk terus mendominasi padang. Perlawanan terus berlangsung rancak, stadium menyaksikan kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan namun, MHC terpaksa akur kepada nasib yang memihak kepada THT. Pada minit ke-50, pemain kebangsaaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook melengkapkan jaringan terakhir dalam perlawanan itu tadi menerusi pukulannya selepas menyambut baik hantaran daripada pemain import, Lee Nam Yong. THT kini masih memegang status kemenangan berturut dan kekal di kedudukan teratas liga dengan 21 mata keseluruhan. Pasukan dibawah latihan Mohd Harfizi Baharom itu dijadualkan untuk menentang Nurinsafi Sporting pada 13 Februari bertempat di Stadium Hoki Bertam, Penang, jam 8 malam.
08 Feb 25
184
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kejohanan Terengganu Marathon 2025 (TM2025) yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Februari 2025 dijangka mendapat penyertaan melebihi 20,000 peserta dari dalam dan luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Induk TM2025, Hishamuddin Abdul Karim, mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan kejohanan tersebut di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut beliau, segala persiapan sedang berjalan lancar bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. “Kejohanan Terengganu Marathon 2025 akan berlangsung pada 21 & 22 Februari 2025 dengan pelbagai kategori dipertandingkan iaitu 42KM (marathon penuh), 21KM (separuh marathon), 10KM dan 5KM. “Larian ini akan bermula di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu dan dijangka akan disertai oleh lebih 20,000 peserta yang terdiri daripada pelari tempatan dan luar negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya. Selain menjadi medan persaingan buat pelari profesional dan amatur, TM2025 juga berpotensi dalam mempromosikan pelancongan sukan di Terengganu serta menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini. Dengan penyertaan besar dari pelari tempatan serta antarabangsa, Hishamuddin meletakkan kepercayaan bahawa acara Terengganu Marathon 2025 akan menjadi satu lagi kejohanan sukan berprestij yang bakal membanggakan negeri Terengganu.
04 Feb 25
1299
Kerajaan Negeri Cadang Bina Litar Permotoran di Kemaman, Alukan Pelabur
Kerajaan Negeri Cadang Bina Litar Permotoran di Kemaman, Alukan Pelabur
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan Terengganu dalam perancangan untuk membangunkan sebuah litar permotoran baru di Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, walaupun perancangan itu masih dalam peringkat awal, kos pembinaan fasiliti yang tinggi menjadi cabaran utama dalam merealisasikan projek tersebut.   "Sebenarnya, jangkaan kita (kerajaan negeri) untuk perancangan dalam masa panjang yang kita ada buat masa ini adalah litar permotoran baru. "Tanah pun kita dah 'reserve' untuk di Kemaman, Terengganu, tapi bila ia akan berjalan, saya belum pasti kerana sekarang ini mungkin tak mampu. "Memang agak sukarlah, pada saya ia disebabkan oleh kos yang terlalu tinggi,” katanya dalam satu episod ‘Wheel Talk Podcast’ oleh Tarmacsportsmy baru-baru ini. Menurut Hishamuddin, kerajaan Terengganu juga berbesar hati untuk memberikan kelulusan kepada pelabur yang berminat membangunkan litar terbabit. Beliau turut berkongsi bahawa pihaknya telah melawat Litar Buriram di Thailand bersama Ron Hogg, Pengurus Petronas Malaysian Cub Prix, untuk meneliti formula pembangunan litar di sana. "Dari segi rekaan dan infrastruktur, mereka telah mengkaji bagaimana aspek tersebut boleh diaplikasikan di Terengganu," jelasnya. Dalam perbincangan mengenai sukan permotoran di Terengganu, isu keselamatan di Litar Gong Badak turut dibangkitkan. Hishamuddin dan Zulfahmie Khairuddin, bekas pelumba motosikal negara, bersetuju bahawa litar sedia ada tidak sesuai untuk perlumbaan kompetitif tanpa penambahbaikan aspek keselamatan. “Untuk perlumbaan pun, kelengkapan fasiliti di litar Gong Badak mungkin tidak sesuai. Zulfahmie Khairuddin pun sebut macam itu. “Memang tidak sesuai sebab ada beberapa aspek ‘safety’ yang perlu ditangani terlebih dahulu," ulas beliau. Oleh itu tambah beliau, pembinaan litar baru di Kemaman dilihat sebagai satu keperluan untuk memastikan perkembangan sukan permotoran di negeri ini terus maju sejajar dengan ‘scene’ sukan permotoran yang ada bukan sahaja di Terengganu, malah seluruh negara. Selain kepentingan kepada pembangunan atlet, Hishamuddin turut bersetuju akan pandangan daripada pengacara bahawa litar dengan fasiliti yang lengkap juga berpotensi menjadi pemacu ekonomi dan pelancongan bagi negeri Terengganu.
02 Feb 25
251
Terengganu Perkasa Sukan Bendung Masalah Sosial Kalangan Belia
Terengganu Perkasa Sukan Bendung Masalah Sosial Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan Terengganu sedang giat merangka strategi bagi memperkasa sektor sukan sebagai langkah membendung masalah sosial dalam kalangan belia negeri itu. Menyedari kebimbangan terhadap peningkatan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan penggunaan 'vape' berasaskan bahan terlarang, kerajaan negeri melihat sukan sebagai medium terbaik untuk menarik golongan muda kepada aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, dalam satu sesi audiosiar bersama Tarmacsportsmy, menegaskan bahawa penglibatan belia dalam sukan bukan sekadar untuk berpeluh, tetapi sebagai satu cara untuk mengisi masa mereka dengan perkara yang lebih berfaedah. “Kita (kerajaan negeri) memandang tinggi pencapaian sukan kerana ia merupakan antara elemen penting dalam menurunkan kadar isu sosial dalam negeri. “Apabila anak muda sibuk dengan latihan dan persaingan dalam sukan, mereka kurang terdedah kepada pengaruh negatif seperti penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang lain,” ujar beliau. Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri sedang menyusun agenda sukan yang lebih kompetitif bagi memastikan belia tidak sekadar bersukan untuk berseronok, tetapi turut mempunyai hala tuju yang lebih jelas dalam bidang tersebut. Kata Hishamuddin, salah satu inisiatif utama yang bakal diperkasakan ialah aktiviti berbasikal di Terengganu, yang suatu ketika dahulu diiktiraf sebagai ‘Land of Cyclists’. "Penglibatan belia dalam sukan berbasikal itu semakin berkurangan dan perlu dihidupkan kembali. “Maka kita mengambil tindakan untuk tahun 2025 ini, kita mesti merancakkan kembali aktiviti berbasikal di Terengganu.   “Kita akan mengadakan lebih banyak acara seperti ‘fun ride’ supaya belia menantikan dan teruja untuk menyertai aktiviti sebegini.   “Dengan adanya program seperti ini, Insya-Allah, walaupun bukan sepenuhnya, kita dapat membantu membendung masalah sosial dalam negeri,” katanya. Selain sukan berbasikal, kerajaan negeri turut merancang untuk memperkenalkan lebih banyak program lain yang bakal dapat memberi impak positif kepada pembangunan belia.
02 Feb 25
208
Duo 'Fijian' Perkuat Terengganu Marvels
Duo 'Fijian' Perkuat Terengganu Marvels
KUALA LUMPUR, 29 Januari - Terengganu Marvels bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua tonggak import dari Fiji bagi menghadapi saingan Netball Super League (NSL) 2024 pada awal Februari. Penolong jurulatih pasukan, Nur Asmidar A Halim berkata, dua pemain iaitu Reama Magdalene Verekauta yang bermain di posisi serangan dan Matila Georgina Vocea (pertahanan) melengkapkan 'missing puzzle' dalam pasukannya. "Sebenarnya kita lihat dari segi apa yang pasukan kita perlukan, dari segi agility nya, ketinggian dan corak permainan lebih agresif. "Kita mencari kelebihan dari segi serangan serta pertahanan, dan melihat dua orang pemain dari Fiji ini memenuhi keperluan Terengganu Marvels," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penaja pasukan Terengganu Marvels di sini, semalam. Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu (NGO), Hishamuddin Abdul Karim. Asmidar menambah, saingan NSL kali ini bakal menyaksikan saingan sengit antara lapan pasukan bertanding. "Setiap pasukan pasti akan berikan yang terbaik dan untuk Terengganu sendiri, kita jangkakan kita akan merebut kedudukan ketiga atau keempat terbaik. "Persaingan agak sengit, dari segi prestasi pasukan tiga teratas yang bersaing kebanyakan ada lebih dari lima pemain kebangsaan," katanya. Namun, cabaran pasukan pantai timur itu tidak boleh dipandang enteng apabila turut dibantu pengalaman bekas pemain kebangsaan iaitu Izyan Syazana Mohd Wazir dan tiga pemain muda kebangsaan (Fatin Najiha Rahmad, Nur Izzazrin Aizie Ahmad Yani dan I'dha Syamimi Muhammad Yusree). Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu (TNA), Zuraida Md Noor menyifatkan, meskipun dibarisi majoriti muka baharu, Terengganu Marvels bakal memberikan tentangan sengit kepada pasukan lain. "Saingan agak sengit tetapi saya cukup positif dan optimis dengan pasukan Terengganu Marvel's, walaupun pemain muda tetapi mereka ada satu semangat luar biasa. "Saya setuju kita mungkin turun sebagai pasukan 'underdog' tetapi dalam sukan, apa-apa pun boleh terjadi. Atas kesungguhan itu, saya rasa mungkin kita (berjaya capai) tiga terbaik," katanya. Terengganu Marvels akan memulakan aksi pertama NSL 2025 dengan menentang Negeri Sembilan Venom di Stadium Juara, Bukit Kiara pada 1 Februari.                             
29 Jan 25
1320
Sweet Pinky Beauty House Suntik 'Tonik' Buat Terengganu Marvels
Sweet Pinky Beauty House Suntik 'Tonik' Buat Terengganu Marvels
KUALA LUMPUR, 28 Januari - Sweet Pinky Beauty House tampil menjadi penaja utama pasukan Terengganu Marvels sebagai satu usaha memartabatkan kesihatan fizikal dan mental kaum wanita. Pusat kecantikan yang berpusat di Terengganu itu memberikan tajaan sebanyak RM80,000 bagi membantu pasukan berkenaan menghadapi saingan dalam Netball Super League (NSL) 2025 yang bermula 1 Februari ini. Pengarah urusan Sweet Pinky, Datin Farah Nizah Japilos berkata, hatinya tergerak untuk menaja Terengganu Marvels berikutan ia merupakan sukan utama untuk wanita. "Saya berminat kerana ia untuk wanita, Sweet Pinky Beauty House memang berkonsepkan untuk wanita sahaja dan itu menarik saya untuk berkongsi rezeki sama-sama, apa yang boleh bantu memberi semangat mereka untuk menang. "Realitinya, wanita zaman sekarang lebih banyak bekerjaya dan ramai yang sudah kurang bersukan. "Wadah sukan ini secara tidak langsung perlu diketengahkan dan dipromosikan dalam melahirkan wanita yang sihat dari segi fizikal dan mental," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama suaminya, Dato' Mohd Azrul Zakaria pada Majlis Memperkenalkan Pemain Terengganu Marvels dan penaja pasukan yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, di sini, semalam. Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor. Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr Nasree Najmi. Selain Sweet Pinky Beauty House, dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan EPIC dan TDM Berhad masing-masing turut menaja 10,000. Antara penaja lain ialah Media Physio, Dexxe, Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu, Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) dan Celebrity Fitness Wangsa Walk Branch.            
28 Jan 25
282
'Fun Run' Dungun 2025, Didik Peserta Patuhi Syariah
'Fun Run' Dungun 2025, Didik Peserta Patuhi Syariah
DUNGUN, 25 Januari - Acara 'Fun Run Tahun Baru 2025 Jambatan Seberang Pintasan' bukan sekadar bersukan tetapi juga untuk mendidik peserta supaya mematuhi syariah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program berkenaan memperkenalkan budaya mesra syariah kepada masyarakat dengan bersukan tetapi menutup aurat. Penganjuran program juga tambahnya, selaras dengan ajaran Islam yang amat menggalakkan umatnya bersukan sebagai usaha untuk menjaga kesihatan badan. "Untuk beribadat kepada Allah SWT kita memerlukan badan yang sihat agar ibadat kita lebih berkualiti, jadi aktiviti sukan membantu kita menjaga kesihatan tubuh badan. "Namun, dalam bersukan, masyarakat perlu di didik mematuhi syariat yang datang daripada Allah SWT terutamanya dalam pematuhan dan tatacara menjaga aurat dan pergaulan. "Sebab itu, antara syarat kita letakkan ialah setiap peserta yang ingin menyertai program ini maka perlu berpakaian patuh syariat," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup acara tersebut di Padang Bola Kampung Seberang Pintasan di sini, semalam. Seramai 500 peserta di seluruh Dungun telah mengambil bahagian melibatkan dua kategori larian iaitu sejauh 5 kilometer dan 2.5 km (kategori pra sekolah).   
25 Jan 25
212
Berbaloi Mandi Peluh!
Berbaloi Mandi Peluh!
Poster: FB Terengganu FC  KUALA NERUS, 22 Januari - Terengganu FC terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya menumpaskan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shoppe 2025, sebentar tadi. Kemenangan hasil jaringan tunggal kapten pasukan, Safawi Rasid itu membantu Terengganu FC mencerahkan peluang untuk ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut. Turun dengan kekuatan penuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Badrul Afzan Razali mempamerkan corak permainan menyerang bermula dari minit pertama perlawanan. Pada minit ke-22, kesilapan pertahanan Shahrul Nizam Ros Hasni nyaris membawa padah kepada tuan rumah, apabila beliau tertampan bola hampir-hampir memasuki gawang sendiri. Percubaan tepat pertama Terengganu FC hadir pada minit ke-24 menerusi Ismail Akinade yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti, tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Muhammad Reza Arya Pratama. Enam minit kemudian, PSM Makassar FC mendebarkan penyokong yang hadir apabila penyerangnya, Ricky Pratama menerima umpanan di dalam kotak penalti tanpa dikawal pertahanan, mujur rembatan pemain muda itu melambung melepasi gawang. Pada minit ke-41, Akhyar Rashid berjaya mengumpan bola dalam satu serangan balas membolehkan Akinade berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, tetapi penyerang kelahiran Nigeria itu gagal menyudahkan peluang terbaik untuk Sang Penyu mendahului lawan. Keputusan kekal tanpa jaringan pada separuh masa pertama sekalipun Terengganu FC merekodkan lapan percubaan ke kubu pelawat. Bersambung babak kedua, Terengganu FC sekali lagi mencatatkan percubaan menerusi tandukan Akinade yang tersasar ke sisi gawang pada minit ke-49. Pada minit ke-52, Safawi pula hampir memecahkan kebuntuan jaringan melalui sepakan percuma, namun cemerlang dinafikan Reza Arya. Akhirnya pada minit ke-62, Terengganu FC memperoleh peluang keemasan selepas hantaran lintang Nurillo Tukhtasinov terkena tangan pertahanan PSM Makassar FC di dalam kotak penalti. Safawi mudah menyempurnakan sepakan penalti memastikan Terengganu FC memiliki kelebihan satu jaringan pada minit ke-64. PSM Makassar FC cuba bangkit dengan serangan bertali arus pada minit ke-70, namun Rahadiazli Rahalim cemerlang mengawal gawangnya. Memasuki minit ke-91, Muhammad Arham Dermawan hampir menyamakan kedudukan buat PSM Makassar FC, bagaimanapun tandukannya sekadar melepasi palang gol. Kecemerlangan Rahadiazli dan benteng pertahanan membantu tuan rumah kekal di hadapan sehingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan malam ini membantu Terengganu FC mendaki ke kedudukan kedua Kumpulan A dengan tujuh mata. PSM Makassar FC jatuh ke tangga ketiga dengan perbezaan satu jaringan. Manakala, BG Pathum United yang menewaskan Shan United dalam satu lagi aksi malam ini, kini muncul pendahulu Kumpulan A dengan lapan mata. Terengganu FC akan menentang BG Pathum United pada 5 Februari nanti di gelanggang lawan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan.              
22 Jan 25
259
Empat Import, 'Gear' Baru TSG 2025
Empat Import, 'Gear' Baru TSG 2025
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Dalam usaha mencapai kejayaan lebih cemerlang musim ini, Terengganu Cycling Team (TSG) menambah sengat dengan kehadiran empat pelumba import baru. Juara GC Tour of Thailand dan GC Tour of Sharjah UAE 2024, Adne Willemjan Van Engelen dari Belanda yang sebelum ini bertanding mewakili Roojai Insurance (CT) tampil bersama TSG musim ini. Selain itu, pelumba kelahiran Kazakhtan, Vadim Denisovich Pronskiy, Mathias Bjorn Bregnhoj (Denmark) dan Stefan Jaco De Bod dari Afrika Selatan turut menyarung jersi biru muda pasukan berpengkalan di Terengganu itu. Mereka akan menyertai Anatolii Budiak dari Ukraine, Aiman Cahyadi (Indonesia) dan Merkel Eyob Tewedeberhan (Eritrea) yang masih kekal bersama pasukan musim ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap, musim 2025 akan mencatatkan lebih banyak kejayaan buat TSG selepas mengekalkan gelaran Juara ICU Tour buat kali keenam (2012, 2019, 2021, 2022, 2023 dan 2024). "Lebih membanggakan lagi, TSG berjaya mempertahankan kedudukan selaku Pasukan Benua Terbaik Dunia buat kali ketiga apabila mengenepikan 178 pasukan yang mewakili lima benua dalam kategori tersebut. "Dengan pencapaian itu, membolehkan TSG berada di ranking ke-30 keseluruhan dalam siri Jelajah Dunia UCI daripada 213 pasukan bertanding," katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba TSG 2025 di Primula Beach Hotel, semalam. Dalam majlis berkenaan, sebanyak 22 penaja tempatan dan luar negara turut diraikan. Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Nara Setia, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dan Tengku Seri Bijaya Raja. Hishamuddin turut merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak terlibat dalam menyokong TSG selama ini. "Saya mewakili kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang setia bersama pasukan sejak TSG ditubuhkan. "Tidak ketinggalan kepada rakan strategik iaitu Tourism Terengganu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut memberi sokongan dari sudut peluang pekerjaan dan sebagainya," tambahnya. Sebagai rekod, TSG berjaya merebut 53 podium daripada 39 perlumbaan pada musim 2024 dengan pencapaian terbaik menduduki tempat kedua dalam perlumbaan Presidential Cycling Tour of Turkiye bertaraf 2 Pro UCI. Selain pelumba import, TSG menampilkan sembilan pelumba tempatan musim ini iaitu Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Mohd Harrif Saleh, Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Zuladri Amin Zulkurnain, Muhammad Shahir Aiman Abd Halim, Kee Zhe Yie, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Haizam Mohd Shabri.  
21 Jan 25
190
THT Jinakkan LMHT, 8-3
THT Jinakkan LMHT, 8-3
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, THT terus menunjukkan belang apabila melakar enam kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Lioning Men’s Hockey Team (LMHT) dengan keputusan 8-3 di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, semalam. Keputusan itu menyaksikan THT memperoleh 18 mata keseluruhan, meletakkan skuad pantai timur itu di kedudukan teratas liga MHL 2025 pada masa ini. Manakala, LMHT kekal berada di carta terbawah setelah tewas buat kali keempat sepanjang liga berlangsung. Aksi THT menentang LMHT di Stadium Pantai Batu Buruk petang tadi menyaksikan Andywalfian Jeffrynus meledak jaringan gol pertama THT perlawanan seawal minit ke-11 dengan satu hantaran cantik dari rakan sepasukannya. Tanpa mengambil masa yang lama, skuad THT melalui gandingan lincah dua beradik, Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari menggelecek pantas ke hadapan gawang sebelum Fitri berjaya menggandakan kedudukan skuad itu pada minit ke-14.   Perlawanan diteruskan sehingga ke babak kedua apabila pemain import, Lee Nam Yong menyumbang gol ketiga kepada skuad THT pada minit ke-30. Seminit kemudian, seorang lagi pemain import THT, Samkelo Mvibi juga mencuri peluang mengukuhkan kedudukan skuad kepada 4-0 dalam satu pukulan sudut penalti pada minit ke-31. Walaupun selesa dengan 4-0, penyerang skuad THT yang juga merupakan pemain hoki kebangsaan, Faizal meneruskan hentaman bertalu terhadap LMHT menerusi satu jaringan sudut penalti pada minit ke-41 dan satu jaringan padang pada minit ke-42.   Skor perlawanan 6-0 memihak kepada skuad tuan rumah namun, situasi itu jelas sekali tidak melemahkan moral skuad pelawat, LMHT apabila mereka berjaya menerobos pertahanan THT dengan tiga jaringan berturut. Jaringan sudut penalti oleh Yang Peng minit ke-42, gol padang Wang Tao minit ke-47 dan seterusnya jaringan sudut penalti Zhang Zhongqiang minit ke-52 berjaya memberi peluang kepada LMHT dalam perlawanan itu tadi untuk menutup jurang skor kepada 6-3. Walaubagaimanapun, skuad THT tidak melepaskan peluang untuk kekal mendominasi perlawanan selepas skuad itu meledak dua jaringan penutup sebelum perlawan tamat. Dua jaringan padang menerusi Fitri minit ke-53 dan Faizal minit ke-54 mengesahkan kemenangan skuad THT dengan keputusan muktamad 8-3. Skuad THT akan berhadapan tiga lagi pasukan, Matador Hockey Club, Nurinsafi Sporting dan Territory Stingers dalam liga ini. THT dijadualkan untuk berentap dengan Matador Hockey Club pada 8 Februari, jam 8 malam, di  Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Padang 2 (NHS2).  
21 Jan 25
207