Artikel "Sukan" Terkini
Kompleks Sukan Negeri Terengganu Kini Miliki Gelanggang Bola Sepak Pantai
KUALA NERUS, 12 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang bola sepak pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, usaha berkenaan bertujuan merancakkan sukan bola sepak pantai di negeri Terengganu secara lebih selamat dan memenuhi standard yang ditetapkan pihak berautoriti.
Menurutnya, gelanggang bola sepak pantai yang baharu ini dijangka siap pada minggu ini dan bakal digunakan sebagai tempat latihan pasukan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.
“Kebetulan pihak kejurulatihan Bola Sepak Pantai Kebangsaan turut bersama dan telah menyatakan hasrat untuk memulakan sesi latihan di sini.
“Insya-Allah pemasangan lampu limpah sementara akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat buat kegunaan latihan pasukan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.
“Sementara itu, komponen-komponen lain akan dibangunkan secara berstruktur dan berperingkat bagi kemudahan pengguna di sini, Insya-Allah.
“Semoga dengan usaha ini, Negeri Terengganu akan melahirkan pemain bola sepak pantai yang lebih berkualiti dan membantu nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
12 Mar 25
1838
Terengganu Jadi Destinasi Latihan Skuad Kebangsaan Bola Sepak Pantai
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memilih Terengganu sebagai destinasi latihan skuad kebangsaan pada kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan rancak melakukan persiapan selama dua minggu bagi menghadapi Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 di Pattaya, Thailand bermula 21 Mac 2025 ini.
"Pihak kerajaan Negeri Terengganu tiada halangan dan membuka sepenuhnya peluang untuk mewujudkan sebarang kerjasama melibatkan penggunaan fasiliti sukan di negeri ini dengan sebaiknya.
"Usaha mempersiapkan Padang Bola Sepak Pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu tidak sempat untuk disiapkan buat kegunaan latihan pasukan kebangsaan kali ini.
"InsyaAllah, tahun-tahun mendatang diharap ia akan menjadi lokasi pilihan. Padang berkenaan dijangka siap pada pertengahan Mac ini.
Hishamuddin berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya selepas meninjau persiapan akhir Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang membuat latihan akhir di Gelanggang Bola Sepak Pantai Telaga Batin, Kuala Nerus baru-baru ini.
Turut bersama, Mohd Saiful Md Noor, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan sepanjang tinjauan tersebut berlangsung.
Tambah beliau, jurulatih bagi skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa pemain yang dipilih juga memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia dengan menggabungkan pemain-pemain muda menyarung jersi pasukan.
Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga menganggotai jawatan sebagai Jawatankuasa Eksekutif FAM sempat merakamkan pesanan semangat beliau untuk memberi keyakinan kepada pemain.
"Selamat maju jaya buat semua yang terpilih mewakili Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia bertanding di peringkat Asia," ujarnya mengakhiri hantaran tersebut.
11 Mar 25
878
Qabil Irfan Bersiap Sedia Ke Jerez, Sepanyol Untuk Cabaran ESBK 2025
KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Pelumba cilik sensasi negara, Qabil Irfan, bakal berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac ini bagi menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama Espana Superbike Championship (ESBK) 2025.
Kejohanan itu bakal menjadi satu lagi medan penting buat pelumba berusia 13 tahun berkenaan untuk mengasah kemahirannya di peringkat antarabangsa.
Qabil, yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Young Rider of The Year’ semasa MAM Award Night anjuran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia, akan bersaing dalam kategori ‘ESBK Talent Cup’ menggunakan jentera NSF 250.
Ini merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kariernya selepas menjuarai MiniGP World Championship 2023 dan memenangi perlumbaan ESBK Moto4 pada awal tahun ini.
Menerima kunjungan istimewa Qabil bersama ibu bapanya di Wisma Darul Iman baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan anak muda itu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong dan membimbing atlet muda berbakat untuk mencapai kejayaan di peringkat global.
“Selamat berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac 2025 untuk menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama ESBK.
“Sesungguhnya, ramai lagi atlet muda berbakat yang perlu digilap agar potensi mereka tidak disia-siakan.
“Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong atlet sukan kelahiran Terengganu untuk terus berjaya dalam apa jua jenis sukan,” ujarnya dalam satu hantaran melalui laman sosial media rasminya baru-baru ini.
Qabil, yang sering mengunjungi Hishamuddin sebelum berlepas ke luar negara, menyatakan kesyukurannya atas sokongan berterusan yang diterima daripada pihak kerajaan negeri serta rakyat Malaysia.
08 Mar 25
124
Terengganu Rancang Bina Gelanggang Futsal di Kompleks Sukan Negeri
KUANTAN, 28 Februari - Kerajaan Terengganu sedang meneliti untuk membina sebuah gelanggang futsal baharu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam usaha memperkasa pembangunan sukan futsal di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berkait rancangan itu pihaknya mengambil kesempatan membuat lawatan ke gelanggang futsal Sergio Aguero Arena di Semambu, Kuantan.
“Kesempatan ini bagi meneliti model arena ini untuk memulakan langkah pembinaan sebuah gelanggang futsal di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
“Terima kasih Mr Sergio Aguero dan Mr Lucas Casco atas sambutan mesra sebentar tadi,” katanya.
Menurut Hishamuddin, sukan futsal di Terengganu kurang rancak ekoran kekurangan gelanggang dan kekurangan pertandingan di pelbagai peringkat.
“Tentunya, ia memberikan kesan kepada pembangunan sukan futsal di peringkat akar umbi. Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandang serius perkara ini,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan kerjasama pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu, beliau berhasrat untuk menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang futsal untuk ditempatkan di dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam tempoh terdekat.
“Beberapa model gelanggang futsal dalam negara ini akan ditinjau dan diteliti terlebih dahulu sebelum memulakan langkah pembinaan.”
“Keazaman ini cukup tinggi untuk melihat agenda pembangunan sukan futsal di kalangan anak-anak muda Terengganu akan terus berkembang maju dan memperkukuhkan penglibatan pasukan Terengganu di peringkat kebangsaan,”
Doakan usaha kami dipermudahkan.
28 Feb 25
385
Qabil Irfan Dinobat 'Young Rider Of The Year'
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Semalam menjadi malam yang cukup bertuah buat anak Terengganu apabila Persatuan Sukan Bermotor Malaysia telah menobatkan Qabil Irfan sebagai 'Young RIder Of The Year'.
Anugerah itu telah disampaikan kepada pelumba cilik pada malam anugerah MAM Award Night bagi menghargai penggiat sukan bermotor dua dan empat roda dalam negara di M Hotel, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Irfan sangat bertuah menerima anugerah berkenaan di acara yang sangat berprestij itu.
"Lebih 1,000 orang jemputan daripada penggiat sukan permotoran hadir pada malam tersebut dan pelbagai anugerah yang dicalonkan.
"Antaranya 'Malaysia Motorsport Icon', 'Young Rider OF The Year', 'International Rider Of The Year dan banyak lagi bagi tahun 2024," ujarnya dalam satu kenyataan melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, seorang lagi pelumba cilik dari Terengganu Hakim Danish turut tercalon dalam kategori anugerah 'Malaysia Motorsport Icon dan 'International Rider Of The Year'.
"Manakala Qabil Irfan dan Muhammad Arief Marzuki tercalon di dalam kategori 'Young Rider Of The Year', tuah (memihak) buat Qabil Irfan atas kejayaan dinobatkan di bawah anugerah tersebut.
"Semoga pelumba-pelumba muda dan cilik Terengganu terus bersinar dan terus membawa nama baik Malaysia di persada antarabangsa,"ucap beliau.
26 Feb 25
156
Terengganu Tawar Ar-Riyadah Residence Sebagai Lokasi Penganjuran Kursus Jurulatih Bola Sepak
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan negeri sedia menawarkan Ar-Riyadah Residence kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai lokasi penganjuran kursus kejurulatihan dan kepengadilan secara konsisten di peringkat nasional untuk pelbagai tahap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tawaran itu dihulurkan setelah Kursus Kejurulatihan Kecergasan Asian Football Confederation (AFC) berjaya dijayakan dengan sempurna di lokasi terbabit.
Ujarnya, beliau telah mewakili pihak FAM merasmikan kursus yang diadakan bermula 23 Februari hingga 1 Mac di Ar-Riyadah Residence itu.
"Kursus ini telah mengumpulkan 13 orang jurulatih kecergasan yang telah terlibat dalam mengendalikan kelab-kelab bola sepak yang beraksi dalam Liga Malaysia.
"Kursus ini dikendlaikan oleh Pendidik Jurulatih AFC, Encik Mark Jones dan Encik Reuben Jude Balraj, Ketua Unit Saind Sukan FAM,"ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM itu berkata demikian melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak FAM atas penganjuran kursus yang diadakan itu.
"Sudah tentu memberi manfaat buat jurulatih kecergasan tempatan dan pastinya menyumbang dalam meningkatkan tahap profesionalisme bola sepak negara,"ujarnya.
24 Feb 25
359
21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Penganjuran premier acara Terengganu Marathon 2025 (TM2025) dengan sokongan penuh kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyaksikan penyertaan 21,582 peserta di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas kepada semua peserta yang bertanding menjayakan program sehingga mendapat pengiktirafan Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS).
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Marathon Terengganu 2025 yang berjaya menamatkan larian mengikut kategori masing-masing, sama ada berjaya naik podium atau sekadar menamatkan larian, anda semua adalah juara.
“Anda semua adalah hebat dan luar biasa kerana memberikan komitmen untuk meneruskan larian sejauh 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer hatta 100 meter sekalipun.
“Keazaman dan semangat inilah yang kita kena ada dalam diri kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan penutup bagi acara TM2025, pagi tadi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato' Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza; Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Dr. Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penuh dalam menjayakan acara tersebut.
Antara pihak terlibat dalam penganjuran acara yang telah menarik kunjungan peserta dari pelbagai negeri itu tadi termasuklah KBSM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Terengganu Running Community, penaja utama Him & Her Coffee, Kaharo Jewels dan lain-lain penaja.
TM2025 menawarkan pelbagai kategori perlumbaan, termasuk Maraton Penuh (42KM) untuk peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas, serta Separuh Maraton (21KM) bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas, dengan kategori veteran untuk peserta berusia lebih 40 tahun.
Selain itu, terdapat Larian 10KM, terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas termasuk kategori veteran, serta Larian Santai 5KM bagi peserta berusia 13 tahun ke atas, dengan kategori khas untuk golongan muda (10-18 tahun) dan veteran.
Bagi kanak-kanak, terdapat kategori Kid Flash 1KM dan 2KM, khusus untuk peserta berumur antara 6 hingga 13 tahun.
Di samping trofi kemenangan yang diberikan kepada penamat larian mengikut kategori tersendiri, acara larian yang telah disertakan dalam Calender Of Event (COE) Terengganu 2025 itu turut menyediakan hadiah utama kategori cabutan bertuah jongkong emas bernilai RM100,000.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan bahawa acara larian ini turut akan dibawa kedalam perancangan tahun depan.
“Saya merakamkan rasa syukur dan Insya-Allah dengan kelancaran program yang telah terbukti pada hari ini, Terengganu Marathon akan berulang kembali pada 2026 nanti.
“Dan mengikut jadual penganjuran kami, tahun ini turut akan diadakan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud,” ujar beliau.
22 Feb 25
733
Apa Khabar Agaknya Insentif SUKMA Terengganu?
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Sejak berakhirnya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, tiada kedengaran apa-apa perkembangan tentang insentif dan imbuhan kepada atlet-atlet yang berjaya meraih kejayaan ketika itu.
Sekalipun menduduki tempat kelima, kontinjen Terengganu meraih keseluruhan 124 pingat dengan 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa pada temasya itu.
Adapun, Para SUKMA menduduki tempat kesembilan dengan meraih 10 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa.
Itu antara suara-suara yang muncul di media sosial bagi menimbulkan persepsi negatuf terhadal industri sukan Terengganu.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, baru-baru ini memaklumkan, kerajaan Terengganu telah meluluskan pembayaran insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam temasya berkenaan.
Menurutnya, proses pengagihan insentif telah pun disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Alhamdulillah, berita baiknya kerajaan negeri telah meluluskan pembayaran insentif bukan sahaja untuk atlet SUKMA tetapi juga buat atlet Para SUKMA.
“Ini satu pakej yang bersekali, di mana atlet Para SUKMA akan menerima jumlah insentif yang sama dengan atlet SUKMA.
"Namun, beberapa proses pentadbiran perlu dilaksanakan sebelum keputusan akhir dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya sekali gus menangkis tohmahan liar.
Tambahnya, majlis rasmi penyampaian insentif bakal diadakan dalam masa terdekat, namun jumlah bayaran yang akan diberikan akan diumumkan kemudian berikutan dianggarkan kira-kira 500 atlet bakal menerima manfaat tersebut.
Walaupun Terengganu tidak muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, kerajaan negeri masih mengekalkan formula pembayaran insentif yang telah diguna pakai sebelum ini.
Sebagai rekod, MSNT telah menetapkan pembayaran insentif sebanyak RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 bagi pemenang perak dan RM1,000 untuk gangsa. Manakala, sebarang tambahan imbuhan diputuskan berdasarkan pencapaian semasa kontinjen dalam SUKMA.
Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk menghargai pencapaian atlet tempatan serta memberi dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang sukan.
19 Feb 25
1625
160 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Dungun
DUNGUN, 16 Februari - Seramai 160 peserta yang terdiri daripada 80 regu telah menyertai Kejohanan Badminton Tertutup Dungun dan Jemputan 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Dungun, baru-baru ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Badminton Dungun (PBD) dengan kerjasama Kelab Proaktif BC itu mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori B+C dan Kategori Bakat Baru.
Presiden PBD, Aniss Azizee Md Alwi berkata, kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk atlet tempatan menunjukkan bakat, malah turut memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan masyarakat.
“Kami amat gembira dengan sambutan yang sangat positif daripada masyarakat tempatan terhadap kejohanan ini. Ia bukan sahaja menggalakkan sukan badminton, malah mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Diharapkan kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan bagi menarik lebih ramai individu untuk menyertai aktiviti sukan dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya selepas kejohanan.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid yang merasmikan acara perasmian penutup serta penyampaian hadiah kepada pemenang.
Acara ini turut menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus membuktikan minat yang tinggi terhadap sukan badminton dalam komuniti setempat.
Dalam kejohanan terbabit, regu daripada FLY Badminton Club Dungun dan Hazwan Badminton Training muncul juara dalam Kategori B+C dan Kategori Bakat Baru.
18 Feb 25
487
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61.
Beliau mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan EXCO FAM dengan mendapat 17 undi, di belakang pemain bola sepak lagenda Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi.
Beliau merakamkan penghargaan sokongan semua pihak dan menyedari ia tanggungjawab besar.
"Ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan, malah ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas.
"Situasi sempena kongres ini antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak.
"Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira," ujarnya melalui suatu kenyaatan di facebooknya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pihak terbabit sebelum ini telah berulang kali berusaha bagi memastikan namanya tersenarai dalam pemilihan ini.
"Paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM.
"Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara," jelas beliau.
16 Feb 25
326